Novel: Yoru-no-kaze (Bab 66)

Sejak hari itu aku dilayan seperti raja. Aku disediakan tempat tinggal yang selesa dan makanan yang banyak. Aku tidak menjangkakan semua ini, seolah-olah Tuhan telah memberkati hidupku dan mengurniakan kemewahan dari langit yang tidak pernah aku jangkakan. Tahun-tahun derita aku di Kyoto dan sewaktu dipaksa menyertai kempen Yamato ke utara kian kabur dan tenggelam kala aku asyik diulit sanjungan dan kemewahan di tengah-tengah belantara utara ini.

 

Aku tidak pernah melepaskan batu pemberian Amaguri nee-chan, malah aku mengikatnya dan menyorokkan dalam pakaianku. Ini kerana aku mula menyedari, bahawa jika batu itu direnggangkan dari tubuhku, aku akan mendengar bahasa pertuturan mereka berubah sekelip mata. Selepas beberapa percubaan, aku yakin pertuturan mereka diterjemah ke telingaku oleh batu ini dengan saktinya. Selagimana aku memegang batu ini, aku akan memahami mereka. Arigatou nee-chan!

 

Nee-chan pernah mengatakan batu ini boleh mencipta ruang tersembunyi sesuai untuk kami semua bersembunyi dari Yamato, namun bagaimana? Nee-chan tidak sempat memberitahuku. Sudah bermalam-malam aku berdoa sebelum tidur agar bertemu nee-chan barang sekejap cuma demi mendapatkan kaedahnya, namun dia tidak muncul-muncul.

 

Tidak lama selepas itu, tentera Yamato berjaya mengesan lokasi perkampungan ini.

 

“Bagaimana mereka boleh mengesan tempat ini?” Komori, seorang pawang wanita pertengahan umur, gumam di telingaku.

 

“Apa maksudmu?” Aku bertanya sedang mata menatap penuh gerun tentera Yamato yang tiba dengan kuda mereka di pinggir kampung kami.

 

“Kawasan ini dilindungi batu itu.” Komori menuding ke arah sebiji batu putih yang lonjong dipacak di tengah-tengah di atas bumbung sebuah khemah yang paling tinggi di sini dan terletak di tengah-tengah kampung ini.

 

“Mungkin kerana nee-chan sudah tiada, maka sihirnya tidak lagi berkesan di sini.” Aku meneka, namun aku fikir itu tekaan yang paling wajar. Ada sihir kekal selepas kematian penciptanya, namun ada juga sihir yang lupus selepas kematian penciptanya.

 

“Maka harinya sudah tiba. Benarlah Amaguri. Nadeshiko, jalankan perananmu.” Komori berkata dengan suara mendesak.

 

“Nadeshiko, laksanakan perananmu.” Desak salah seorang pemuda di sini.

 

“Nadeshiko, laksanakan perananmu.” Tambah satu lagi dari seorang gadis.

 

Suara-suara itu makin bertambah, dan berulang dan bergema. Bahkan mereka mengulang-ulangnya seperti bernyanyi lagu-lagu keraian mereka pula, ada keseragaman dalam nada dan kekuatan. Aku menjadi pusat tumpuan. Aku menjadi bahu sandaran dengan tidak semena-mena. Aku rasa beban di kedua-dua belah bahu semakin berat, menekan dan cuba menghempapku dan memaksa aku mencium bumi.

 

Aku tidak pernah rasa begini ditekan. Aku semakin sedar akan hakikat, bahawa kesenangan yang aku kecapi di sini datang dengan tanggungjawab. Kesenangan dan sanjungan mereka menuntut sebuah bayaran. Aku tiada tempat kembali dan aku harus mempertahankan sokongan dan kuasa yang mereka pertaruhkan ke atasku, demi kesenangan mereka dan kesenanganku jua.

 

Amaguri nee-chan tidak akan menyerahkan batu ini kepadaku tanpa sebab, dia pastinya punya sebab yang munasabah. Nee-chan tahu aku pasti boleh melakukannya demi melindungi mereka ini. Nee-chan meyakini diriku sejak saat itu lagi, sejak saat kami melarikan diri di dalam terowong itu. Aku silap dengan menyangkakan nee-chan tidak mempercayaiku, bahkan nee-chan sendiri menyerahkan batu itu kepadaku. Nee-chan sesungguhnya mempercayaiku.

 

“Peranan apa yang kalian maksudkan?” Soalku.

 

“Sungguh engkau masih tidak mengetahuinya?” Soal Komori.

 

“Ya.”

 

“Nadeshiko, hanya engkau yang mampu menukarkan batu di atas khemah itu dengan batu dalam pemilikanmu.”

 

“Menukarkan... apa? Aku tidak faham.”

 

“Kami dilindungi batu di atas khemah tinggi itu. Engkau ada pengganti batu itu bukan?”

 

“Batu? Batu apa?” Aku berpura-pura tidak tahu. Aku tidak pernah mendedahkan batu yang diberikan nee-chan kepada mereka. Mereka tidak tahu. Lantas aku bebas berbohong.

 

“Sungguh engkau tidak memilikinya, Nadeshiko?” Soal Komori. “Amaguri memberitahu wanita ramalan itu akan membawa batu itu. Dan dia memahami bahasa kami juga kerana batu itu.” Dedah Komori.

 

Aku terperangkap. Aku tidak boleh menipu mereka nampaknya.

 

“Kami tahu engkau dari bangsa Yamato, Nadeshiko. Bahkan rupamu sudah terang-terang rupa Yamato.” Ujar pemuda yang tadi meminta cadanganku. “Namun kami mendiamkan diri sahaja kerana ramalan itu. Apakah engkau sama sahaja dengan bangsamu yang menyerang kami, para tentera penjajah itu? Atau engkau, memang insan yang baik yang melindungi insan teraniaya tanpa mengira apa bangsa mereka?”

 

“Kami tahu engkau dianiaya mereka juga, Nadeshiko. Maka bukankah engkau membenci mereka juga? Jika begitu, engkau di sebelah kami Nadeshiko. Asalkan engkau ada pemikiran itu, engkau di sebelah kami, persetankan darahmu.”

 

“Buktikan yang engkau pemimpin kami, Nadeshiko.” Gesa gadis tadi pula.

 

Nyawa-nyawa mereka semua berada di tanganku. Makanan dan tempat tinggal yang selesa dan kesetiaan para penduduk kampung itu datang dengan suatu bayaran, dan mereka sedang menuntut bayaran itu. Di sebelah mana aku harus berpihak, aku harus memutus sekarang. Apakah aku memang membenci para tentera sedarah denganku itu?

 

Ya. Aku membenci mereka! Mereka syaitan yang menjadikan aku barang mainan. Mereka syaitan yang menjarah tanah orang asli di sini dan menghuruharakan hidup mereka yang asalnya tenang di dalam belantara utara ini.

 

Aku memutus untuk memilih orang-orang asli ini, akhirnya. Satu, kerana mereka dianiaya. Kedua, kerana aku yakin dengan kelangsungan sihir Amaguri nee-chan selepas aku menukarkan batu itu. Dan ketiga, aku akan menjadi raja mereka di sini. Namun andai sihir nee-chan tidak berkekalan selepas aku menukarkan batu itu, apa akan jadi dengan kami? Adakah kami akan disembelih seorang demi seorang oleh tentera Yamato?

 

“Hanya menukarkan batu itu?” Soalku.

 

“Ya.”

 

“Jika begitu ia tidak sesukar mana. Jika ia berjaya, kita semua akan selamat. Namun bagaimana jika ia tidak membuahkan hasil? Bagaimana dengan kalian?”

 

“Kami akan mengangkat senjata, kami semua, lelaki, wanita dan kanak-kanak di sini akan merempuh tentera Yamato!”

 

Sorakan bergema sebaik lelaki tadi menghabiskan kata-kata.

 

“Jadi, apakah engkau akan menyertai kami sekiranya kami terpaksa merempuh mereka?”

 

Aku terdiam. Aku sebenarnya tidak mahu mati, jauh di sudut hatiku bersuara. Namun mati atau hidup tiada bezanya. Aku tidak akan kembali lagi ke Kyoto. Aku juga tidak akan pulang ke pangkuan tentera Yamato. Di sinilah tempat tinggalku, di sinilah keluargaku. Aku tidak punya keluarga lagi di Kyoto. Kehidupanku di sini, tanah airku di sini dan dengan keringat dan darah aku akan pertahankan.

 

“Aku akan memimpin kalian!”

 

Bertambah kuat sorakan orang-orang asli di situ. Tentera Yamato yang masih tercegat di atas kuda masing-masing, kebingungan mendengarkan sorakan orang-orang asli di situ.

 

“Nadeshiko, pulang sekarang!” Laung ketua tentera Yamato yang sedang berada di atas kuda, di tengah-tengah bahagian hadapan barisan tentera Yamato.

 

“Nadeshiko, jika engkau menyerah diri, kami tidak akan mengapa-apakanmu. Engkau mahu pulang ke Kyoto? Kami akan menghantarmu pulang jika engkau menyerah diri dan tidak bersekongkol dengan mereka.” Tambah ketua itu lagi.

 

“Aku tidak akan pulang!” Balasku dengan tegas. “Aku tidak percaya dengan kalian!”

 

“Jika begitu, kami akan menghapuskanmu bersama orang-orang Emishi ini. Para pemanahku, bersedia!”

 

Tentera Yamato berkuda di belakang ketua itu menyarungkan panah, dan melepaskannya. Panah-panah itu menghasilkan api pada muncungnya kala dilepaskan dan mengenai beberapa orang penduduk kampung itu. Ia turut menyasar ke arahku, namun aku berjaya mengelaknya. Aku sendiri tidak memahaminya bagaimana aku boleh mengelak, dan aku merasakan seolah-olah tulang dan sendinya bergerak sendiri ketika itu. Sejak batu itu dalam pemilikanku pelbagai perkara aneh telah berlaku.

 

“Nadeshiko, cepat! Jika kaulambat lagi ramai yang akan terkorban.” Tegas Komori kepadaku.

 

Para pemanah Emishi melancarkan panah mereka dari atas pokok-pokok hinoki yang mengelilingi perkampungan itu, ke arah tentera Yamato. Aku melihat ini sebagai peluang untuk aku membeli sedikit masa memanjat khemah tinggi dan menukarkan batu itu secepat mungkin. Banyak panah Emishi yang mengenai tentera Yamato, mereka tumbang dari kuda masing-masing.

 

“Berikan aku tangga.” Aku meminta tangga kerana khemah itu agak tinggi dan tubuhku yang kecil.

 

“Tidak, engkau perlu memanjat khemah itu sendiri dan menukarkan batu itu. Kami tidak boleh menawarkan apa-apa bantuan.” Maklum Komori.

 

Hah?

 

Tentera Yamato bersiap menyarung panah seterusnya dan cuba memanah ke arahku.

 

“Bagaimana kalian meletakkan batu itu sebelum ini?” Soalku.

 

“Amaguri yang meletakkannya. Dia terbang menggunakan sayapnya.”

 

“Bagaimana bisa aku mendapatkan sayap itu?” Soalku.

 

“Kami tidak tahu.” Balas Komori.

 

“Kalian mesti membantuku jika kalian mahu dibantu!” Gertakku penuh geram.

 

“Nadeshiko, kami sungguh tidak tahu. Kami menjangkakan engkau boleh melakukan semua perkara sendiri kerana itulah yang diperkatakan Amaguri kepada kami.”

 

Arghh! Aku tertekan. Tuhan, bantu aku!

 

Panah berbalas-balas di antara tentera Yamato dan orang Emishi. Aku masih mampu mengelak dari panahan Yamato seperti sebelumnya, meskipun kadangkala aku diselubung kelekaan dengan misiku memanjat menara. Aku fikir aku benar-benar dibantu kuasa itu. Tanpa kuasa itu, mana mungkin aku masih mampu mengelak panah meski terleka. Sendi-sendiri dan tulangku seolah digerakkan sendiri.

 

Aku berjaya sampai di khemah itu selepas meredah hujan panah. Kebakaran dan asap mula menyelubung kampung ini. Aku disengat haba pembakaran, kulitku hangat. Tentera Yamato sudah tidak kelihatan dan mereka juga tidak dapat melihat kami dalam asap tebal dan hitam. Para pemanah Emishi yang bertahan di hutan yang mengelilingi kampung ini terus-terusan melancarkan hujan panah ke arah tentera Yamato.

 

Aku menekap tangan pada dinding khemah yang seperti menara ini. Baru kusedar, dinding khemah ini keras dan diperbuat daripada tanah liat yang dibalut rumput ogi (Amur silvergrass) kering dan kemudian dibalut dengan kain dari kulit binatang, menampakkan seolah-olah ia seperti khemah-khemah lain di sini. Aku tidak pernah menemui khemah dengan dinding keras di sini, barangkali ia satu-satunya dinding khemah di sini yang diperbuat daripada tanah liat, mungkin demi mengukuhkannya selaku binaan terpenting yang menempatkan batu sakti itu.

 

Aku lega, kerana aku tahu bagaimana memanjatnya jika ia dari tanah liat. Aku mengambil pisau dan merobek kulit khemah dan jerami ogi, dan kemudian aku takik satu demi satu tangga sehingga ke atas. Di belakang aku mendengar sayup-sayup jeritan dan raungan dan tangisan penduduk yang mungkin sudah tercedera akibat panah atau terbakar tubuh mereka.

 

Rumput ogi itu licin, berduri dan miang. Habis luka-luka jemariku. Dan menara ini terlalu tinggi seperti dua kali tinggi khemah-khemah lain di sini dan ia tiada tangga, akulah yang perlu menakiknya sendiri. Kala aku tergelincir pada separuh ketinggiannya, aku cepat-cepat berpaut pada rumput ogi yang melapisinya. Mujur tubuhku ringan, ia tidak putus. Namun rumput kering itu yang kasar miang berduri melukakan tanganku. Aku menahan sakit pada jemari dan tangan di kala raungan dan jeritan orang-orang kampung di belakang makin kuat dan merengsakan jiwa, dan kala itu juga darah membasahi tangan. Aku bergayut pada rumput itu dan memijak mana-mana dinding tanah liat yang terdedah, sehingga berjaya sampai ke puncak menara.

 

Di sana, aku menemui batu lonjong yang diletakkan dalam sebuah belanga tanah liat berisi jerami kering. Batu lonjong itu berwarna putih dan ditegakkan oleh jerami itu, di tengah-tengah belanga. Ia berkilau disinar mentari. Aku ambil batu itu dan aku letak batu pemberian Amaguri di tempatnya. Batu lonjong putih itu aku simpan ke dalam saku. Sebaik selesai penukaran itu, aku memandang suasana di bawah. Dari puncak menara ini dapat kulihat keseluruhan kampung, termasuk pokok hinoki yang mengelilinginya di mana para pemanah Emishi bertahan.

 

Namun di mana tentera Yamato? Aku terkesima. Aku langsung tidak dapat melihat mereka dari sini. Aku yakin mereka berada di situ bersama kuda-kuda dan para infantri. Namun di mana mereka sekarang? Yang tinggal di tempat mereka hanyalah hutan hinoki. Hujan panah mereka juga sudah berhenti.

 

Tiba-tiba hujan lebat turun membasahi kampung ini. Api-api yang membakar marak khemah-khemah kami terpadam beransur-ansur. Usai hujan, yang tinggal kini hanya sisa asap putih keluar merunut dari khemah-khemah yang terbakar. Ada sepuluh mayat rentung, ada dua puluh mangsa masih hidup namun tubuh mereka melecur, ada yang pengsan kerana kelemasan asap.

 

“Hidup Nadeshiko! Hidup Nadeshiko! Hidup Nadeshiko!” Aku mendengar suara seorang lelaki melaung-laungkan namaku. Aku memandang ke bawah, mendapati seorang lelaki dengan tangannya digawang memandang ke arahku. Suaranya ditiru oleh penduduk lain, kian ramai dan bergema, mereka keluar seorang demi seorang dari khemah-khemah yang terselamat dari kebakaran. Aku berdiri dan dapat merasakan bahangnya, aku dikelilingi lautan manusia yang menjulang namaku sebagai ketua mereka. Para pemanah yang bertahan di atas pokok-pokok hinoki turun menyertai dan bersorak sama.

 

“Nadeshiko, lagakan dua batu itu, engkau akan dapat turun.” Laung Komori dari bawah.

 

Aneh bunyinya, namun aku menurut sahaja. Aku melagakan batu dari sakuku dengan batu pemberian Amaguri yang sudah di dalam belanga. Tiba-tiba angin datang bertiup entah dari mana dan menerbangkanku, membawaku ke bawah. Aku dijulang oleh para penduduk kampung.

 

Lelaki yang melaungkan namaku itu memperkenalkan dirinya sebagai ketua kampung ini. Aku tidak pernah melihatnya semenjak aku tiba di sini dan semua komunikasi dengannya diperantarakan oleh Komori. Katanya dia bersembunyi di satu kawasan yang dirahsiakan dan hanya akan keluar pabila wanita ramalan Amaguri itu memunculkan diri, merujuk kepadaku.

 

Sebaik aku diturunkan ke tanah oleh angin aneh itu, lelaki itu memegang kedua-dua belah tanganku, seraya berkata dalam bahasa Emishi.

 

Aku tidak memahaminya. Aku menyeluk saku dan menyedari aku sudah tidak lagi bersama batu dari Amaguri, dan yang ada hanyalah batu putih dari menara itu.

 

“Apa yang engkau katakan?” Soalku dalam bahasa Jepun.

 

Komori membisik sesuatu kepada ketua mereka itu. Ketua mereka mengangguk-angguk kepala, seraya membawaku ke sebuah khemah diikuti Komori. Sejak hari ini aku mempelajari bahasa mereka dan tidak lama kemudian, aku dapat bertutur dalam bahasa mereka seperti seolah-olah aku memakai batu dari Amaguri itu. Bahasa mereka tidak banyak beza dari bahasa Jepun kecuali beberapa sebutan yang aku perlu biasakan menyebutnya.

 

“Nak, mulai hari ini engkau adalah ketua kampung ini.” Maklum ketua mereka yang bernama Abashiri itu.

 

Hah?

 

“Abashiri-san, aku... aku hanyalah seorang budak.”

 

“Engkau telah menyelamatkan kami, dan mempertaruhkan nyawa demi kami bukan? Engkau layak mengetuai kami, Nadeshiko. Dengan pengorbanan besar itu, apakah engkau masih seorang budak di mata kami? Tidak, Nadeshiko.”

 

Aku berbelah bahagi. Berat bagiku menolak tawaran itu. Aku tahu beratnya hakikat kuasa. Aku tahu bila-bila masa aku akan menjadi yang pertama mempertaruhkan nyawa jika kami diserang lagi. Aku menjadi sandaran mereka dalam membuat keputusan. Raungan mereka yang terkorban dalam serangan Yamato dahulu masih terngiang-ngiang di benakku. Meskipun aku berjaya menamatkan serangan Yamato itu, tidak kurang dari kami yang terkorban dan aku masih rasa bersalah.

 

“Abashiri-san, aku... aku tidak sanggup melihat orang-orang di sini mati kerana kegagalanku memimpin.”

 

“Jika engkau tidak menyelamatkan kami pada hari itu, atau jika engkau tidak menyelamatkan budak kami itu, sudah pasti lebih ramai yang mati.”

 

Aku terdiam mendengarkan penjelasan Abashiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...