Ryouji berdiri menghunus pedangnya ke kepala Saitou.
“Engkau sudah tewas, Saitou.”
“Bagaimana engkau melakukannya, Ryouji? Sedang engkau belum pun di jurus
kesembilan.”
“Mudah. Pedangku ini pedang terkuat di dunia. Ditempa rakanku.”
“Tidak...sedangkan aku menggunakan besi terbaik di Jepun...”
“Aku hanya menahan impak pedangmu. Jika aku tidak kuat menahannya sudah
pasti aku akan terundur ke belakang dan gagal memecahkan bilahmu. Pedangku
Saishi-tou ini memerlukan sepenuhnya kekuatan penghunusnya kerana meski ia
kuat, ia terlalu ringan.”
“Dari mana engkau mendapat kekuatanmu Ryouji?”
“Pendorong, seperti yang kukatakan tadi. Aku dan Hisamiko telah kehilangan
ramai rakan disebabkan kalian. Luka di hati kami masih merah. Aku tidak mahu
zaman baru yang dibina Maharaja ini berakhir. Era ini sewajarkan berlangsung
berterusan. Heiwa (Keamanan). Aku mahu undang-undang ditegakkan. Aku
tidak mahu seorang lagi Kobato muncul di sini.”
“Kobato?”
“Mangsa Hamada. Rumahnya dibakar ketika kecil. Ibu dan bapanya meninggal
dunia dalam tragedi itu. Dia menaruh dendam seumur hidupnya. Hanya jika
undang-undang yang dikuasai samurai mampu menghukum samurai seperti kalian,
sudah pasti dia tidak akan menjadi begitu. Kerana tidak dapat menerima apa yang
telah berlaku kepada ibu bapanya, dia hilang kewarasan, lalu mengamuk di rumah
kami.”
Air mata Ryouji bertakung. Aku juga
punya saham dalam dosa-dosa Kobato itu. Andai aku ingkar arahan Takasaki-san,
sudah pasti aku masih sempat menyelamatkan Kobato.
Tatsuya tersentak mendengar kata-kata Ryouji. Dia terlibat bersama
Tsugiyama dalam melaksanakan arahan Hamada membakar rumah Kobato.
“Dia membunuh rakan-rakanku dan penjaga rumah perlindungan kami.”
Saitou terdiam. Dia akur dengan nasibnya. Dia mengeluarkan tantou.
Tatsuya terpaku memandang gerak-geri Saitou. Saat yang dinanti-nantikan sudah
tiba.
“Ryouji, arigatou. Kerana sudi bertarung denganku sekali lagi. Aku
akur dengan karmaku. Aku akan melakukan seppuku.”
Ryouji hanya berdiri membatu memandang Saitou sedang pedang masih di tangan.
Dia tidak mahu masuk campur dengan keputusan peribadi Saitou. Biarkan dia
dengan istiadat samurainya. Aku bukan samurai. Namun aku menghormati keputusannya.
Jika dia memilih jalan ini, aku tidak akan menghalang.
Tatkala Saitou cuba membenamkan mata pisau ke sisi pinggangnya, Tatsuya
datang menghampiri.
“Mahu aku membantumu?”
“Penggal kepalaku, onegai, Tatsuya.”
Tatsuya senyum dalam hati. Namun senyum kepuasan itu dikaburi amarah yang
sekian lama dipendam. Dia menunggu Saitou selesai membelah perutnya, dan dia
akan meluahkannya tatkala Saitou masak direjam jarum-jarum sakarat.
Saitou menyarung kembali tantou. Dia seperti baru sahaja teringatkan
sesuatu. Dia mengeluarkan kertas dari sakunya, bertuliskan sebuah puisi seppuku.
Dia membaca puisi itu yang berbunyi begini:
Angin musim luruh bertiup
Membawa pergi maruah yang punah
Bersama kesamuraian
yang lebur dimamah mentari
Aku mahu menjadi debu
Terbang bersama dosa dan
dendam
Selesai membaca puisi tersebut, dengan tenang dia mengeluarkan kembali tantou-nya,
ditekan mata tantou itu ke sisi pinggang sebelah kiri sehingga
seluruhnya tenggelam. Berkerut dahinya menahan kesakitan, hidung mendengus, air
mata dan air liur meleleh, lidah tergigit. Darah mengalir dari kesan tikaman. Dengan
kedua-dua belah tangan memegang hulu tantou, dia menarik pisau itu
langsung ke kanan, membelah bawah perutnya sehingga nampak sedikit tali perut
terkeluar bersama darah merah pekat berjejeran membasahi bumi. Pedihnya seperti
dicucuh bahagian perut itu dengan kayu panas berbara.
Tatsuya menganjak ke hadapan Saitou.
“Dou, Saitou? Mungkin inilah peritnya sakit yang dirasai iparku
itu.”
“A...apa...m maksudmu...Ta..tsuya? Argh...”
“Penjaga kuil Furukawa yang kaubunuh itu adalah suami kepada adik
perempuanku. Dia punya dua anak. Aku terpaksa menyara mereka. Iparku itu
satu-satunya mata pencarian adikku!”
Wajah Saitou berubah kelam. Matanya merah. Pedih yang menikam perutnya
bertambah pedih dek hakikat yang baru dicampakkan ke wajahnya oleh Tatsuya.
Penjaga kuil itu punya ahli keluarga dan selama ini dia bersamanya dalam kelana!
Rasa bersalah dan sesal menderu ke benak sepantas degupan jantungnya.
Dia dan Tatsuya saling merenung. Tatsuya melutut separas Saitou.
“Aku menunggu sehingga saat ini sebelum membongkarkannya kepadamu.”
“Maafkan...aku...Tatsuya...”
“Aku maafkan engkau. Dengan ini.” Tatsuya mengeluarkan tantou-nya
dan meletakkan ke leher Saitou.
“Saitou, akan aku abadikan namamu sebagai salah seorang dari samurai sejati.
Aku akan membantu mengakhiri seppuku
ini, sekaligus menuntut bela nyawanya. Semoga engkau aman bersama para
pahlawan.”
Saitou memejam mata. Dia menerima karmanya dengan tenang. Ryouji sedari
tadi hanya memandang mereka, berdiri membatu.
“Tatsuya, sekarang.” Begitulah bunyinya kata-kata terakhir Saitou.
Tatsuya menarik pisau tajam itu sekilas, memotong bersih kepala Saitou. Ryouji
sedikit terkejut. Ini kali kedua seseorang dipancung di hadapannya, selepas
samurai Empat Celaka yang bernama Suzuki Kenshou dipancung pembelotnya sendiri
di hutan Yokuma. Tubuh Saitou yang melutut tanpa kepala itu tumbang. Banjir
merah sekeliling jasad Saitou, tambah sayu suasana oleh langit cerah berwana
kirmizi petang musim luruh. Angin sejuk musim luruh berhembus menghantar
daun-daun perang, seolah-olah meratapi pemergian Saitou dan membawa rohnya
terbang seperti debu dalam puisinya itu.
“Ryouji, aku akan uruskan mayatnya. Engkau dan gadis itu boleh beredar.”
Sebelum beredar, sempat Ryouji memberi peringatan, “Tatsuya, engkau masih
punya hutang denganku. Aku pasti akan menangkapmu suatu hari nanti dan
membawamu ke Kogen untuk dibicarakan kerana membunuh Mariko-san.”
“Cubalah. Aku akan pastikan aku menambahbaik sebelum bertemu lagi
denganmu.”
Ryouji mengetap gigi menahan geram. Dia berjalan pantas ke dalam bangunan
demi melepaskan Kiku.
Tatkala Ryouji sudah hilang sepenuhnya dari pandangan, Tatsuya
mengisyaratkan sesuatu kepada seseorang yang sedang dalam persembunyian di
balik belukar berhampiran. Keluar seorang lelaki.
“Arigatou, kerana membawa Kiku ke sini. Ini upahmu.” Tatsuya
menghulurkan sebuntil kain berisi wang syiling emas dan tembaga.
“Arigatou, Tatsuya.”
“Segera ke Kawamoto. Laporkan semua pemerhatianmu kepada Yoshinobu-sama.”
“Ryoukai.”
Tetsuro tunduk hormat sebelum berlalu pergi.
**
Ryouji terperanjat mendapati Kiku hilang. Sisa talinya sudah pun terlerai
di kaki tiang.
Dia melaung-laungkan nama Kiku. Tiada sahutan.
“Ryouji.” Kedengaran suara Kiku. Ryouji menoleh.
“Kiku! Ke mana engkau menghilang? Dan...bagaimana engkau melepaskan diri?”
“Nasibku baik mereka mengikatku longgar. Mudah meleraikannya. Aku keluar
dan menyorok di balik dinding bangunan menyaksikan kalian.”
“Jangan-jangan engkau menyaksikan...” Ryouji membuat isyarat memotong
leher, acuh tak acuh.
“Ya.”
“Apakah engkau rasa kurang baik?”
“Aku baik sahaja. Sebaik aku nampak lelaki itu mulai disembelih rakannya, aku
terus memaling muka. Kelibat engkau juga melindungi sebahagian besar pandanganku.”
Sebelum Ryouji sempat meneruskan kata-kata, Kiku menyambung dengan soalan.
“Ryouji, apakah mereka semua menyebabkan kematian rakan-rakanmu?”
“Ya.” Jawab Ryouji perlahan.
“Maafkan aku. Aku langsung tidak tahu kisah latarmu sebelum engkau tiba di
sini. Jika engkau tidak keberatan menceritakan...”
Mendengarkan suara lembut Kiku yang memujuk, Ryouji mula terdorong bercerita
satu persatu kisahnya. Termasuk kisah Kobato, satu-satu kisahnya yang didengari
Kiku tadi. Namun Ryouji cuba meringkaskan dan menumpu pada kisah Kobato.
“Kobato... aku teringat sesuatu. Otou-san
menceritakan padaku dia pernah diselamatkan seseorang ketika dirompak di
Nakasendo, lebih kurang empat ke lima tahun lepas. Nama penyelamat itu juga
Kobato. Otou-san memberitahuku seni
berpedangnya amat pantas. Para pengawal kami tidak mampu menangani perompak itu
jika bukan kerana Kobato.”
Mata Ryouji cerah tatkala mendengar kisah dari Kiku.
Sambung Kiku lagi, “Jika bukan kerana Kobato, sudah pasti kami telah
kerugian besar. Ada banyak sutera mahal dalam kereta kuda itu untuk dibawa ke
Tokyo. Otou-san pernah menawarkan
kepadanya pekerjaan sebagai pengawal kami. Namun kami tidak mendapat jawapan
darinya.”
“Ke mana ‘Kobato’ itu pergi?”
“Kata otou-san dia menuju ke
kampung Shizen di utara Shinagawa. Mereka berpisah di persimpangan Nagano.”
Sememangnya dia Kobato kami! Jerit Ryouji dalam hati.
“Bagaimana rupanya?”
“Dia berkulit gelap, rambutnya diikat ke belakang sehingga menampakkan
dahi, matanya sepet seperti biji badam, dia memberitahu datang dari sekolah
pedang Hidagawa.”
Yalah, benarlah itu Kobato kami. Tiada sekolah pedang di Hidagawa. Mungkin
Kobato sengaja menipu atas alasan peribadi.
“Aku yakin itulah Kobato kami. Dia meninggalkan rumah perlindungan Kogen
kerana sudah melepasi umur lapan belas tahun.”
“Naruhodo.”
“Ryouji...” Kiku memegang sebelah pipi Ryouji, merenungnya penuh simpati.
Ryouji tunduk, sebelah tangannya memegang tangan Kiku yang menyentuh
pipinya.
“Aku menyesal. Andai aku mampu memilih kedua-duanya. Andai aku lebih berani
dan mengabaikan amaran Takasaki pada ketika itu...sudah pasti aku mampu memujuk
Kobato. Namun selepas mendengar kisahmu, sekurang-kurang tambahlah satu memori
kebaikan yang dilakukannya dalam kotak fikirku.” Ujar Ryouji.
Kiku, anekdot yang engkau kongsikan tentang Kobato itu membuktikan bahawa
Kobato masih jernih di hatinya. Meski kebaikan itu tidak akan mampu memadam
dosa-dosanya menumpahkan darah rakanku dan Takasaki. Sekurang-kurangnya dia
pernah begitu. Sekurang-kurangnya Kobato pernah melakukan kebaikan.
**
Halaman rumah agam daripada kayu dan kertas, didirikan di atas puncak bukit
yang berhutan di lerengnya dan berada di tengah-tengah pekan Kawamoto dipenuhi
daun-daun kering perang dan kirmizi. Daun-daun kirmizi itu gugur dari pokok momiji yang berleluasa ditanam begitu
banyak sekali di taman bonsai di hadapan rumah itu, iaitu pokok kegemaran
tuannya Hamada. Namun kini rumah itu dihuni Daimyo Yoshinobu dan keluarganya.
Hamada tidak meninggalkan waris selain Yoshinobu. Isterinya juga sudah lama
meninggal dunia.
Seorang lelaki gempal bersarungkan kimono
berwarna hijau berdiri sambil merenung seseorang. Di hadapannya Tatsuya sedang
melutut.
“Engkau telah mendengar dari Tetsuro bukan? Sudah terbukti, Yoshinobu-sama. Ryouji lebih baik berbanding
Saitou.” Suara Tatsuya bergema di balik deruan angin musim luruh yang
kadangkala kuat kadangkala perlahan.
Yoshinobu menggosok-gosok dagunya, seolah-olah kepalanya sedang sarat
berfikir.
“Arigatou, Tatsuya kerana
berusaha mengatur pertarungan mereka. Dan engkau juga sudah melunaskan dendammu
bukan? Sekarang beritahu apa yang boleh
aku berikan sebagai ganjaran.”
“Tidak banyak. Aku pinta agar Tuan memberi wang perbelanjaan bulanan buat
adik perempuanku dan dua anaknya sehingga anak-anaknya mampu bekerja sendiri.”
“Permintaanmu akan aku tunaikan. Dan bagaimana dengan engkau?”
“Aku mahu belajar lanjut kaminari.
Aku mahu menewaskan Ryouji. Kemudian aku mohon berkhidmat denganmu sehingga ke
titisan darah terakhir.”
Terbeliak mata Yoshinobu mendengar janji setia pendekar yang seringkali
dipandang sebelah mata dan dibayangi ketuanya Tsugiyama itu. Saitou sudah mati,
Tsugiyama juga. Mitsuo dan Takasaki juga. Siapa lagi yang boleh diharapkan?
Sudah lama benar aku menunggu kata-kata keramat ini dari seorang petarung.
Aku tidak boleh melepaskan petarung yang telah dididik Tsugiyama dan
Takasaki ini. Kerana jika Takasaki dan Tsugiyama yang melatihnya, pasti dia
mampu mewarisi kaminari juga. Kaminari itu seni berantai, dan ia
rantai yang hanya boleh dimulakan oleh Takasaki dan Mitsuo. Takasaki telah
melatih Tsugiyama dan pastinya Tatsuya telah dilatih Tsugiyama dengan kaminari
juga.
“Aku bersetuju. Namun Tatsuya, aku sudah kematian semua petarung-petarung
lain. Siapa lagi yang boleh kupinta untuk mengajarmu kaminari?” Aku tahu Tatsuya sudah dipertingkatkan had tampungan
tenaga oleh guru-gurunya yang sebelum itu, namun dia kufikir masih perlu
dilatih, getus Yoshinobu.
“Aku boleh mempelajarinya sendiri. Mereka pernah melatihku dan telah
meningkatkan had tampungan tenagaku. Aku hanya perlukan salinan buku Miura dan
Takasaki demi menambahbaik. Engkau menyimpannya dalam perpustakaanmu?”
“Ya. Aku akan mendapatkannya demimu. Tatsuya, usahakan. Pastikan engkau
menguasainya. Kemudian berkhidmat kepadaku sehingga akhir hayatmu. Jika engkau
mungkiri janji ini, bersedialah melakukan seppuku.”
“Pasti, Yoshinobu-sama.”
Pembantu Yoshinobu mengeluarkan kertas, menulis sesuatu. Tatsuya membaca
dan mengangguk. Yoshinobu turut sama membaca dan mengangguk tanda faham.
Kemudian masing-masing mencucuk ibu jari dan mengecap kesan darah pada kertas
perjanjian itu. Pembantu Yoshinobu kemudian menyimpannya.
Tatsuya tersenyum sendirian tatkala meninggalkan perkarangan rumah Yoshinobu.
Jangan ingat engkau berketurunan Okuhida, aku tidak akan mampu
menewaskanmu. Aku tidak akan menjadi sebodoh Saitou. Aku akan memperolehi
pedang yang kaugunakan. Dendam Tsugiyama pasti akan terbalas. Aku akan
menangkap Chisato yang menyuntik aotsuyu
pada malam itu. Sial. Bagaimana aku boleh ditewaskan gadis itu? Sungguh
memalukan, dua kali aku ditewaskannya! Dan angkara engkaulah Ryouji, iparku
dibunuh Saitou. Jika engkau tidak berada di kuil itu pada hari itu... sudah
pasti iparku tidak menipu Saitou dan sudah pasti dia tidak akan dibunuh.
Semua angkaramu Ryouji!
Dari wajah senyum itu dia berubah menyala. Api dendam membakar dalam dada
naik ke muka, membahang merah ditelan kirmizi senja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan