Novel: Yoru-no-kaze (Bab 25)

Ojou-chan, engkau mencari sesiapa di sini?” Soal Kousaka usai berbalas tunduk hormat dengan Hisamiko. Mata Kousaka agak gentar melihatkan Hisamiko membawa pedang di pinggangnya, namun gentar itu mengendur kala dia kian yakin berdasarkan penampilan Hisamiko, gadis itu bukanlah dari kalangan pembuat masalah.

 

“Engkau ada nampak seorang pemuda dengan tinggi begini, rambutnya agak panjang, matanya tidak sepet?”

 

“Err...” Kousaka mahu tak mahu sahaja memberitahu, sebelum Hisamiko menyambung, “Dia abangku.”

 

“Oh. Ya. Dia ada datang. Namun sekarang dia sudah meninggalkan kuil ini.”

 

“Apakah kau tahu ke mana dia menghilang?”

 

“Aku tak tahu ojou-chan. Dia meninggalkan kuil ini tanpa memberitahu kami.”

 

“Oh, jika begitu tak mengapalah. Aku risaukan dia. Abangku itu sakit. Tiga bulan dia terlantar selepas bininya meninggal.” Tanpa disedari Hisamiko meluahkan apa yang terbuku kepada sami itu. Mendengarkan nada sedih Hisamiko, Kousaka jadi serba salah. Dia memang langsung tidak tahu ke mana Ryouji menghilang. Namun dia tahu apa yang telah berlaku.

 

Hisamiko memandang sekeliling dan perasan Pagoda Timur rentung, seraya bertanya, “Apa yang telah berlaku pada pagoda itu?”

 

“Semalam, kuil kami telah diceroboh.”

 

“Diceroboh? Siapa yang menceroboh?”

 

“Bekas ahli kami. Dia berdendam lantas membakar pagoda itu. Di situlah simpanan kami, namun hanya sedikit sahaja yang mampu kami selamatkan.” Tambah Kousaka dengan nada yang semakin sugul.

 

Hidoi ne (Dahsyat).”

 

Benak Hisamiko seolah diterpa pencerahan, seraya dia bertanya, “Maka abangku datang ke sini demi menangkapnya?”

 

Kousaka diperangkap. Dia mahu menidakkannya, namun apa alternatif yang paling wajar? Dia sungguh tidak mampu berfikir lancar.

 

“Ya...” Jawab Kousaka perlahan.

 

Wajah Hisamiko berubah merah. Kousaka mengesannya. Namun tidaklah dia tahu sama ada Hisamiko sedang marah dengan pihaknya atau marah dengan abangnya.

 

“Dia datang dengan mandat polis Maharaja.”

 

Aku sudah agak! Getus Hisamiko. Aku sudah agak, dia pasti akan menceburkan diri kembali dalam kegiatan seperti di Kogen dulu! Dia sudah kembali kepada tabiat lama. Dia sengaja meninggalkanku! Bentak Hisamiko dalam hati.

 

Kousaka ingin memberitahu lanjut bahawa Ryouji telah tercedera dalam kebakaran itu, sebelum Hisamiko sendiri bertanya, “Apakah onii-san tercedera?”

 

Lagi Kousaka serba salah. Dia tidak sanggup menipu.

 

“Ya, aku dan rakanku telah memapahnya keluar dari pagoda. Dia dirawat semalaman.” Kousaka menyerah dengan jawapan itu. Hisamiko terlalu mendesak dan bijak.

 

“Maka sepatutnya dia tidak boleh bangkit bukan?”

 

“Ya...”

 

“Maka bagaimana pula dia boleh menghilangkan diri?!” Hisamiko sedikit membentak kerana ada sesuatu mencurigakan yang dia rasakan pada sami itu sesuatu yang sami itu cuba sembunyikan.

 

“Err... ojou-chan. Sungguh kami tak tahu. Dia hilang tiba-tiba.”

 

Akhirnya Kousaka mengalah dan menunjukkan tali yang diikat sehingga ke lereng di bawah.

 

“Aku tak tahu ke mana abangmu hilang. Pagi tadi aku bangun dan menemui tali ini. Mungkin dia dilarikan seseorang? Maafkan aku tidak melihatkannya dengan rapi.”

 

Arigatou, Tuan Sami. Aku sendiri akan menjejakinya.” Balas Hisamiko seraya turun ke lereng mencari barang jejak yang boleh dijadikan pembantu. Dia agak geram dengan sami itu yang menyembunyikan perihal abangnya pada mula, namun dia mengabaikannya kerana mencari abangnya adalah lebih penting dari melayan perasaan itu.

 

Dia membelek-belek hujung tali ketika di lereng, namun hampa. Tiada petunjuk ditemui. Dia melihat kesan roda kereta kuda.

 

Sementara itu Kousaka di atas bertemu Souta.

 

“Souta, budak bertopeng itu tidak diculik bukan?”

 

Souta tersentak. Seolah jantungnya baru direntap malaikat maut dengan lengan halimunan.

 

“Souta, aku tahu polis mengambil budak itu kembali. Engkau beritahulah budak perempuan itu. Kasihan dia, dia sedang mencari abangnya, budak bertopeng itu.”

 

“Macam mana kau tahu Kousaka-san?”

 

“Kau kalau nak berlakon pun bersungguhlah sikit. Aku agak kau masih berjaga sewaktu polis datang ke sini waktu dinihari, dan kau diugut mereka betul tak? Lantas kau buka pintu dan serahkan budak bertopeng itu, menurunkannya menggunakan tali ke lereng bersama polis.”

 

“Engkau melihatnya?”

 

“Tidaklah. Namun aku boleh mengagak siapa lagi yang akan membuka pintu di sini selain engkau? Sebelum Ryoichi membuat onarnya, tiada satu pun kes pecah masuk kuil ini, apalagi kes culik, kecualilah ada tangan dalam yang membantu.”

 

“Maafkan aku Kousaka!” Souta automatik tunduk paras pinggang meminta maaf.

 

“Aku faham kenapa. Tak usahlah kau minta maaf. Aku sudah lama mengagak, polis sememangnya bimbang identiti budak itu didedahkan. Polis tidak mempercayai kita. Lagi, apa lagi yang polis pinta kau buat?”

 

“Jangan sebarkan identitinya sekiranya aku memperolehinya dari penyiasat persendirian. Aku telah berjanji tidak akan mendedahkannya.” Laju jawab Souta takut-takut. Seolah Kousaka punya kuasa memaksa dia meluahkannya. Souta tahu dia tidak boleh berselindung. Kousakalah yang menerimanya menuntut ilmu kesamian di sini dahulu, selepas dia lari dari menyertai polis. Jika tiada Kousaka, ke mana dia boleh membawa diri? Dia sudahlah tidak tahu bertarung, jauh sekali bertani. Membaca pun masih merangkak-rangkak.

 

“Hatta aku sekalipun?”

 

“Ya.” Jawab Souta perlahan, sambil menunduk.

 

“Andai kau dedahkan?”

 

“Aku akan dipaksa masuk ke dalam pasukan polis!”

 

“Oh, itu hukumankah?”

 

“Ya! Aku tidak akan masuk pasukan polis!”

 

Kousaka ketawa terbahak-bahak sambil menepuk-nepuk bahu Souta yang lebih muda darinya itu. “Aku faham kau seorang penakut. Sebab itu kau mahu jadi sami sahaja bukan?”

 

“Namun Kousaka-san, aku fikir penyiasat itupun sudah diugut polis agar tidak memberitahu siapa identiti budak bertopeng itu.”

 

“Ya. Aku pun fikir begitu. Mereka sungguh terdesak. Mereka memerlukan budak itu, kerana hanya dia harapan terakhir polis di kala penjahat di dalam hutan ini sudah semakin canggih seni berpedang mereka.”

 

Souta turun ke lereng memberitahu Hisamiko bahawa Ryouji kini berada di balai polis di Kyoto. Hisamiko tidak berlengah dan tidak mempedulikan rasa marahnya terhadap Souta kerana memyembunyikannya sebelum itu, seraya memecut kudanya kembali ke Kyoto, terus ke ibu pejabat polis di sana.

 

Sementara itu Kousaka hanya berpeluk tubuh memerhati Souta dari atas lereng. Souta masih tunduk selepas mengakui dia menyembunyikan dari Hisamiko.

 

Nampaknya engkau perisik kedua-dua belah, Souta, getusnya. Nampaknya aku tidak boleh mempercayaimu lagi. Engkau lembik, tidak tetap pendirian dan mudah diperalat. Polis mungkin sudah arif akan cirimu itu, disebabkan itu mereka menggunakanmu.

 

Maafkan aku, Fukuyama-san. Kami sudah diselamatkan budak bertopeng yang engkau khabarkan datang dari tempatmu di Gero. Namun malangnya polis masuk campur urusan kami.

 

**

 

Ryouji terbaring di atas futon yang dihampar di atas sebuah katil kayu yang jelas diimport. Kakinya berbalut. Matanya mendongak ke siling, tidak tidur, hanya merenung kosong. Di sebelahnya ada meja dan dulang makanan yang masih belum disentuh, beserta topengnya. Seorang jururawat baru sahaja beredar selepas memeriksa kakinya.

 

Aku tidak boleh lari dengan kaki yang kelecuran ini nampaknya, getus Ryouji dalam hati. Mengapa mereka menculikku dari kuil itu? Mereka polis bukan? Mereka orang Kasukabe bukan? Mereka yang mengupahku... dan aku ditahan sami di sana... dan mereka menculikku? Mengapa tidak mereka pinta sahaja kebenaran dari sami untuk mengambilku? Adakah mereka tidak mempercayai sami itu?

 

Topeng, di mana topengku?

 

Ryouji menerawang sekeliling sebelum menemui topengnya di atas meja.

 

Yabai! Mereka sudah mengetahui identitiku! Polis dan sami, kedua-duanya sudah tahu siapa diriku!

 

Aku telah berniat melakukan semua kerja-kerja ini secara rahsia tanpa pengetahuan mereka, terutama polis. Dan kini, polis menjadi golongan pertama yang membocorkan identitiku! Sebentar, apakah sami di Enryakuji juga tahu identitiku? Aku tidak pasti. Aku tidur sejak malam semalam selepas makan. Sedar-sedar, aku sudah di sini. Ya, aku tidur mati. Sebentar, aku jarang tidur selepas makan. Mengapa aku terlalu nyenyak tidur? Teh, teh itu! Teh yang dihidangkan sami itu telah diletakkan sesuatu, ia dihidangkan sewaktu aku makan malam! Ia dihidangkan oleh sami yang muda itu, ketika yang tua sedang di luar. Siapa namanya? Oh, ya dia dipanggil Souta. Souta!

 

Tak guna, pasti ada dalam kalangan sami itu bekerjasama dengan polis-polis ini. Pastinya Souta itulah!

 

Tuk! Tuk! Tuk! Kedengaran bunyi pintu diketuk di luar. Ryouji mempersilakan orang di luar itu masuk.

 

Pintu gelangsar ditarik buka. Hisamiko berdiri di muka pintu. Wajah Ryouji pucat lesi serta-merta.

 

“Miko, kenapa kau di sini?”

 

Hisamiko merenung dengan mata berapi-api, pipi putihnya menjadi merah dek bahang kemarahan, dia lantas menyerbu dan menampar kaki abangnya yang kelecuran itu sekali.

 

“ITAI!” Jerit Ryouji.

 

Hisamiko memandang Ryouji dengan air mata menuruni pipi bak air terjun dari Gunung Karamatsu, dan terus meninggalkannya terpinga-pinga, sambung melayan hiba di tempat lain.

 

“Adikmu benar-benar menyayangimu.” Kedengaran suara Kasukabe di muka pintu.

 

Ryouji pantas mencapai topeng di meja, mencuba merahsiakan identitinya dari Kasukabe, namun Kasukabe pantas memaklumkan, “Muda da (sia-sia sahaja). Zenbu omae no koto ga shitteiru (aku tahu semua berkenaanmu).”

 

“Walau sebelum kau mengupahku?”

 

“Ya.”

 

“Jadi, topeng ini...”

 

“Orangku yang menghantar padamu. Kau tak ingat?”

 

“Jadi...kau mengekoriku sejak sekian lama?”

 

“Ya, orangku turut melihat siapa yang membunuh isterimu, dan pertarunganmu dengannya.”

 

“Mengapa engkau tidak menghalangnya?!”

 

“Ia terlalu pantas. Maafkan aku. Lagipun aku tegah dia dari masuk campur urusanmu.”

 

“Mengapa engkau mengekoriku sekian lama? Bagaimana kautahu aku di Gero?”

 

“Engkau kenal bukan Koichi?”

 

“Jadi...jadi ini semua angkara Koichi?”

 

“Ryouji, dia tahu apa yang sebenarnya kaumahukan bukan? Engkau mahu menjadi penyelamat bangsa, pembela mangsa-mangsa jenayah di kala undang-undang culas dilaksanakan. Engkau mahu melakukannya bukan? Engkau mahu meneruskan apa yang kaulakukan di Kogen dahulu, namun terhalang oleh adikmu bukan?”

 

Ryouji terdiam.

 

“Aku perlukan orang seperti itu, Ryouji. Kami polis masih baru dalam bidang ini. Jenayah di sepanjang laluan pedagang Nakasendo semakin tidak terkawal. Mereka tahu kaminari, seni yang dipelopori bapamu. Sedang aku tidak mampu mempelajarinya, hatta orang-orangku.”

 

“Jadi engkau mengupahku disebabkan itu? Maka kes pembunuhan sami ini hanya permulaan?”

 

“Benar. Aku mahu engkau menjadi tangan-tangan kami untuk kes-kes yang melibatkan kaminari. Kami akan merahsiakan identitimu.”

 

Ryouji diam berfikir. Kemudian dia meluahkan, “Aku mungkin tidak akan bersetuju, kerana adikku sudah mengetahui semuanya.”

 

“Tak perlu risau Ryouji. Adikmu akan menyertaimu.”

 

“Hah?” Wajah Ryouji menyinga sebaik mendengar patah-patah itu dari Kasukabe.

 

“Ryouji, aku tahu adikmu amat berpotensi, dari Koichi. Jika engkau bimbang akan dirinya, ia bukan kelemahan dia, tetapi kelemahanmu mendidiknya. Hisamiko memandangmu sebagai idolanya. Kenapa kau tak yakin akan dirimu? Jika kau tak yakin, bererti engkaulah yang lemah. Usah kerana kelemahanmu, adikmu dihalang...”

 

“Diamlah...”

 

“Engkau fikir dia suka terperap di kampung di Gero itu? Berapa kali orang-orangku memerhati dia keluar ke hutan buluh kala kelas mengajarnya berlangsung. Dia berlatih di sana engkau tahu? Engkau fikir dia sedang mengajar budak-budakkah? Engkau silap. Dia patuh dengan nasihatmu dan kekal di kampung.”

 

“Engkau ingat bukan Koichi pernah menasihatimu, andai engkau tersilap menjadi contoh teladan yang salah kepada Hisamiko, maka salah Hisamiko adalah dari kelemahanmu. Jika Hisamiko menjadi penumpah darah, maka ia salahmu, Ryouji. Salahmu!”

 

Merah wajah Ryouji menahan amarah yang sedang diinjak-injak ketua polis itu. Kasukabe menyedarinya namun dia tidak peduli. Hisamiko mesti menyertai lelaki separuh gila ini agar dia kekal siuman, getus Kasukabe. Kerana aku amat memerlukannya, kerana hanya dia yang boleh menewaskan penjenayah-penjenayah yang tahu kaminari itu.

 

Maka, apakah mengelak dari ketentuan yang hitam itu satu tindakan pengecut, satu tindakan seorang yang lemah, soal Ryouji dalam hati. Apakah itu yang dimaksudkan Kasukabe-san? Jadi apa tindakan seorang yang berani yang dimaksudkannya? Mengambil inisiatif selain dari melarikan diri? Mengusahakan sesuatu? Berhadapan berdepan-depan dengan takdir hitam itu, dan mencari jalan bagaimana mendepaninya? Agar dengan itu aku dinobatkan sebagai seorang yang berani, seorang yang jantan? Itukah maksudmu, Kasukabe-san?

 

Jika begitu, maka perbuatanku melarikan diri dari Chisato kerana bimbangkan aku tidak mampu melindungi dia dan adiknya jika mereka mengikutku keluar, juga satu tindakan pengecut?

 

“Aku bukan pengecut, Kasukabe. Aku hanya terlebih berhati-hati.” Ryouji cuba melapik apa yang sebenarnya cuba diluahkan.

 

“Maka kurangkan berhati-hati. Redahlah segala pancaroba hidup ini, namun jangan redah buta-buta. Selagi mana kita hidup, kita belajar dan kemudian kita guna ilmu itu untuk terus meredah.”

 

“Aku bimbang andai usaha sejitu mana sekalipun, jika ditakdirkan begitu, begitulah jadinya. Tiada guna usaha besar mana yang aku laburkan.”

 

“Apa maksudmu takdir? Berkenaan Hisamikokah?”

 

“Koichi meramalkan dia bakal menjadi pembunuh yang tidak mudah dikalahkan, jika aku terus membiarkan dia keluar mengikutku membanteras pelaku onar dan kerja-kerja di Kogen.”

 

“Oh begitu rupanya.”

 

“Engkau tidak pernah mendengarnya?”

 

“Aku tidak pernah mendengar yang Koichi boleh meramal sesuatu. Namun berapa yakinkah engkau akan takdir itu? Koichi bukan Tuhan.”

 

Ryouji menggeleng kepala tidak tahu.

 

“Siapa-siapapun antara kita boleh meramal. Sebab kita manusialah, semua ramalan itu tidak pernah pasti dan digelar ‘ramalan’, bukan ‘ketentuan’. Maka kita berusaha keras untuk sama ada mencapainya, atau pun mengelaknya.”

 

“Andai ia berlaku? Selepas aku taburkan segala usaha...”

 

“Engkau akan lebih kenal bagaimana Tuhan mengatur takdir dan karmanya dan jika engkau hidup lebih lama, ia akan jadi satu pengajaran besar. Engkau jadi lebih bijak, dan lebih kenal di mana kesilapanmu dalam usaha-usaha lepas dan berusaha lebih baik, merancang lebih baik.”

 

“Mengarut... tiada gunanya aku hidup lebih lama andai Hisamiko sudah menjadi syaitan... aku mungkin terpaksa membunuhnya...” Gumam Ryouji. “Dengan tanganku sendiri.”

 

“Apa yang penting, jika kau berhasil menampan takdir hitam yang diperkatakan Koichi itu, engkau dan Hisamiko bakal menjadi aset terpenting Maharaja. Engkau akan mendapat pangkat tinggi di sisi takhta baginda sehingga keturunanmu dihormati. Engkau tak mahu? Ini peluang Ryouji. Nakasendo sedang bergolak, bahkan seluruh negara ini juga, bahkan ada ura-ura perang akan meletus lagi. Engkau dan kemahiranmu amat diperlukan. Jasa-jasamu dan adikmu mengekalkan keamanan laluan pedagang bakal dikenang sehingga sekurun, dua kurun akan datang. Engkau akan meninggalkan legasi di bumi Yamato ini.”

 

Legasi penghapusan dosa-dosa bapamu mewariskan kaminari, getus dan tambah Kasukabe dalam hati.

 

“Apapun, berkenaan kejadian di pagoda itu. Mengapa engkau boleh ditewaskan pula? Mujur nyawamu masih selamat.” Soal Kasukabe beralih topik, sambil memandang kaki Ryouji yang masih berbalut.

 

“Aku sudah lama tidak bertarung.”

 

“Sendimu sudah liat?” Soal Kasukabe separa berseloroh.

 

“Tidak. Kematian dia masih mengganggu...”

 

“Jangan-jangan kau...”

 

Tanpa menunggu Kasukabe menghabiskan kata, Ryouji menambah, “Aku fikir waktu itu mati pun tidak apa. Biarlah dia membunuhku, mungkin dengan itu aku boleh bertemu Kiku. Namun tidak, dia hanya menyimbah minyak dan membakar menara itu. Nasibku sungguh baik.”

 

“Aku ingat aku sudah mampu melepaskan Kiku, selepas berdiam di pusaranya. Namun ia tak semudah disangka.”

 

Kasukabe diselubung perasaan bersalah kerana dia juga punya saham di sebalik kematian Kiku, oleh kegagalan orangnya yang dihantar memerhati Ryouji gagal melakukan sesuatu demi menggagalkan balingan pisau Tatsuya. Namun dia menahan diri dari meminta maaf, kerana tidak mahu membuatkan Ryouji berfikir bahawa dia sememangnya layak dipersalahkan dan sekaligus, dinobatkan sebagai sekongkol Tatsuya. Biarlah ingatan kegagalan itu lenyap disapu bayu yang berpuput.

 

Namun luahan Ryouji itu membenarkan sangkaannya selama ini, bahawa Ryouji dilemahkan kematian isterinya. Dan Kasukabe lagi kuat mengatakan dalam hatinya bahawa adalah wajar dia melibatkan Hisamiko sekali, agar Ryouji tidak menjadi lemah begitu lagi.

 

“Ryouji, engkau rehatlah selama mana yang engkau mahu di sini. Aku berikan engkau masa berfikir dan berehat. Selepas engkau sudah pulih betul-betul, maklumkan padaku jawapanmu. Aku amat memerlukan kalian dalam pasukan kami.”

 

Kasukabe keluar kemudiannya. Hisamiko masuk kembali tidak lama kemudian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...