Novel: Kaisenjyo (Bab 63)

Shinji mengikut Tatsuhiro menuju ke sebatang pokok gergasi yang akarnya berceracak dan berselirat membentuk sebuah terowong di bawahnya, tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Di tepi pokok gergasi itu adalah hutan-hutan pergunungan Hidagawa. Sekali lagi Tatsuhiro mengeluarkan batu bercahaya itu bagi menerangi terowong akar pokok gergasi.

 

Mereka tiba di dasar terowong di bawah pokok gergasi. Di dalamnya kelihatan seperti bahagian dalam sebuah pondok kayu yang dipenuhi dengan perkakasan kayu. Ada belanga besar diperbuat daripada logam dan batu unggun di bawahnya. Ada rak-rak kayu yang dipenuhi mangkuk dan senduk kayu. Itu bahagian dapur.

 

Sebaik mereka melalui sebuah pintu kecil mereka menemui sebuah bilik bacaan. Di situ dia menemui buku-buku bertulisan aneh. Kualiti kertasnya jauh sekali berbeza dari zaman itu.

 

Dia mencapai sebuah dan membukanya. Tulisannya juga tidak dapat difahami. Ia seperti tulisan kanji Cina namun tidak mendatangkan apa-apa makna kepada Shinji.

 

“Tulisan apakah ini?”

 

“Minum air dahulu.” Tatsuhiro menghulur Shinji sebekas air yang disisip selalu di pinggangnya.

 

Ya. Aku makan halia kering itu banyak sekali aku belum meminum air.

 

Shinji meneguk air dari bekas buluh yang dihulur Tatsuhiro. Sekelip mata sekelilingnya kembali ungu. Kesan halia kering itu mudah dihilangkan dengan meminum air sahaja nampaknya. Shinji kembali dapat menggunakan kuasanya.

 

“Shinji, sekarang buka kembali buku itu dan cuba engkau bacakan dan terjemahkannya.”

 

Shinji membukanya dan sekelip mata dia dapat membacanya!

 

Seribu tahun dari sekarang, Emishi akan hilang dari dunia ini. Namun darahnya tidak akan hilang dan mengalir dalam urat nadi anak-anak Yamato yang terpilih. Saat itu salah seorang dari mereka perlu datang ke sini demi menamatkan sumpah hayabusa. Selain itu...” Shinji menterjemah buku itu sambil Tatsuhiro mendengarnya khusyuk. Ia bahasa Jepun kuno, dan pada ketika bahasa itu digunakan oleh penulisnya Amaguri pada seribu tahun yang lalu, ia masih menggunakan tulisan kanji Cina yang belum diperbaharui.

 

Selain itu...” bacaan Shinji tergantung. Halaman itu terkoyak dari bahagian tersebut. Dia memandang Tatsuhiro.

 

“Tatsuhiro aku tidak faham. Apakah semua ini? Mengapa engkau bawa aku ke sini? Dan bagaimana aku tiba-tiba boleh membaca tulisan ini?”

 

“Bertenang Shinji. Aku akan jawab soalanmu satu-persatu selepas ini. Tetapi sebelum itu...” Tatsuhiro mencapai sebatang kayu yang tersadai sekian lama di atas lantai, iaitu kayu penyapu dari beberapa yang lainnya dan memukul kaki Shinji pantas.

 

“Apa yang kau buat Tatsuhiro?!” Shinji mengerang kesakitan dan rebah. Sekelilingnya mulai beransur ungu, lebih ungu dari ketika dia membaca buku itu.

 

“Shinji, bertarung denganku. Jika engkau enggan engkau akan dipukul. Ambil ini!” Tatsuhiro mengambil satu lagi kayu dan mencampakkannya langsung kepada Shinji. Shinji menyambutnya.

 

Dia bangun. Ketika cuba mengukuhkan tubuhnya dan menghunus kayunya dia langsung dipukul Tatsuhiro di pinggang. Dia rebah sekali lagi.

 

Tatsuhiro terus-menerus memukulnya. Kali ini di lengan dan badannya.

 

“Sakit...sakit...hentikan Tatsuhiro!” Tatsuhiro tidak menghiraukan Shinji. Shinji yang lembik tidak bertindak pantas mengelak, dilemahkan oleh pemandangan sekeliling yang kian ungu. Kesakitan akibat pukulan itu, dan keadaan sekeliling yang ungu menghalangnya dari berfikir dengan jelas untuk mengelak.

 

“Shinji.” Tatsuhiro masih tidak berhenti memukulnya. “Ingat kembali, Shinji! Ingat semua ilmu pertarunganmu dan bangkit melawanku!”

 

“Apa yang engkau bicara?! Engkau gila!”

 

“Aku perlu memukul demi mengingatkanmu.”

 

Nampaknya aku terpaksa memukul kepalanya. Nampaknya memukul tubuhnya tidak memberi kesan.

 

Tatsuhiro kemudian menghala pukulan ke kepala Shinji. Selepas beberapa kali pukulan itu dilakukan di kepala, dia akhirnya pengsan.

 

Sedar dari pengsan dia menyedari dirinya sedang terbaring di atas katil. Dia mendapati kepalanya berbalut. Dia cuba bangun namun tubuhnya terasa begitu berat dan sesekali sakit menyerang dari kawasan tubuh yang tercedera setiap kali dia cuba menggerakkannya.

 

“Tatsuhiro...”

 

“Ya, Shinji.” Tatsuhiro sedang duduk di sebelahnya, sedang membelakanginya sambil menatap sebuah buku.

 

“Engkau baring sahaja di atas katil. Jangan bergerak. Badanmu masih tercedera.”

 

“Mengapa...mengapa engkau memukulku?”

 

“Shinji, engkau ingat apa-apa sekarang?”

 

Shinji terpinga-pinga di perbaringan.

 

“Maksudmu?”

 

“Engkau ingat apa-apa?”

 

“Aku bermimpi.”

 

Sebentar. Bukankah tadi aku kesakitan di seluruh tubuhku?

 

Shinji memegang kepalanya. Tiada kesakitan. Ia hilang. Sekelilingnya kembali ungu. Dia perlahan-lahan mencabut pembalut kepalanya dan bangkit dari perbaringan.

 

“Tatsuhiro.” Shinji memegang kayu tadi seraya melibasnya ke kepala Tatsuhiro, namun Tatsuhiro pantas mengelak.

 

“Shinji, bertenang. Aku memukulmu kerana aku tahu engkau pasti akan sembuh darinya.”

 

“Terangkan.Terangkan semuanya!” Shinji membentak.

 

“Engkau mewarisi kuasa ahli sihir Amaguri.”

 

“Kuasa apa?” Shinji masih dalam posisi cuba menyerang Tatsuhiro dengan kayu.

 

“Engkau mewarisi deria pendengaran dan penglihatan yang tajam dari Amaguri. Dan kuasa penyembuhan yang pantas.”

 

“Hanya itu?”

 

“Namun engkau tidak akan pandai bertarung. Berlatih segigih manapun, engkau akan kekal begitu. Kekal keliru dengan serangan penyerangmu. Engkau tidak akan memiliki daya koordinasi.”

 

“Maka apa tujuan engkau membawaku ke sini?”

 

“Latihan untukmu.”

 

“Hah?”

 

“Anggap ini sebahagian dari latihanmu, untuk menjadi saintis kami.”

 

“Tidak Tatsuhiro. Aku masih tidak nampak apa kaitannya. Kalian mahu memperalat kemahiranku bukan?Dengan menggunakan kuasaku?”

 

“Bukan memperalat. Kami mahu meminta bantuanmu.”

 

Bantuan?

 

“Oh, bantuan ya. Begini. Jika kalian perlukan bantuanku, aku mahukan bayaran!”

 

“Kogen akan mempertimbangkannya.”

 

“Aku mahu ke Eropah dan aku tidak mahu lagi kembali ke sini.”

 

Tatsuhiro tercengang mendengarkannya.

 

“Shinji... aku bimbang jika...”

 

“Engkau tidak dengarkah?! Aku mahu ke Eropah. Jika kalian tidak mampu melakukannya untukku,  lupakan.”

 

“Engkau tidak rindukan rakanmu nanti, berseorangan di negara asing?”

 

Shinji terdiam. Mengapa Tatsuhiro seperti tahu lebih berkenaan hidupku? Siapakah yang membongkarkannya? Kotobukikah?

 

“Aku tidak pedulikan mereka.” Shinji berkata perlahan.

 

“Walau Ryouji sekalipun?”

 

Shinji terdiam seketika.

 

Ryouji sahabatku. Satu-satunya sahabatku selain Tsuneki, Hisamiko dan Chisato dan adik-beradiknya. Namun, mengapa aku begitu berat meninggalkan mereka?

 

“Shinji, engkau mahu meninggalkan negara ini tanpa terlebih dahulu memberitahu mereka? Atau terlebih dahulu mencari asal-usulmu?”

 

“Aku tidak peduli berkenaan asal usulku.”

 

“Benarkah begitu? Engkau telah melihat ibumu di dalam mimpimu? Bagaimana dia dikejar orang-orang Hamada? Dan bertungkus-lumus mencari jalan menyelamatkanmu?”

 

Kata-kata Tatsuhiro mengingatkan Shinji kepada mimpi yang baru dialaminya tadi di dalam pengsan. Mimpi itu terlalu pantas dan dia hampir melupakannya ketika bangkit, ditambah kekeliruan atas apa yang berlaku dan kemarahan terhadap Tatsuhiro. Rupanya mimpi itu bukan sebarangan. Ia mungkin sejarah sebenar diriku.

 

“Tatsuhiro, bagaimana engkau tahu? Dan mengapa ibuku dikejar orang-orang Hamada?”

 

“Ibumu anak murid Noguchi Takamine. Dia melarikan diri kerana Hamada mahu membunuhnya.” Jawab Tatsuhiro, matanya melilau berhati-hati. Seolah-olah sedang mencari perkataan yang sesuai bagi meneruskan kata-kata.

 

Tatsuhiro terus-menerus menceritakan perihal ibu Shinji. Shinji terduduk, melepaskan kayunya.

 

“Maafkan aku Shinji. Ibumu telah dibunuh orang-orang Hamada dalam peristiwa itu, tidak lama selepas engkau ditinggalkan di gereja itu. Orang-orang kami cuba menyelamatkannya namun kami sudah terlewat, dia ditikam dengan pedang beracun dan meninggal dunia. Jika ibumu tidak pantas menyelamatkanmu sudah pasti engkau akan turut dibunuh.”


“Mengapa Hamada mahu membunuh kami?”

 

“Kerana kalian dari keturunan Amaguri.”

 

“Jadi apa kaitannya dengan dia?! Terangkan Tatsuhiro!”

 

Tatsuhiro menerangkan kaitan antara Hamada dengan keturunan Amaguri dan mengapa dia mahu membunuh mereka.

 

“Hanya kalian, keturunan Amaguri sahaja yang mampu membatalkan kuasa semua tama-no-iwa yang pernah dicipta ahli sihir Amaguri. Dengan terbatalnya kuasa itu, engkau akan dapat menangkap Hamada yang turut memiliki kuasa tama-no-iwa pada ketika ini.”

 

Shinji seolah-olah tidak mendengar penerangan Tatsuhiro. Dia lebih berminat mengetahui tentang ibunya.

 

“Di manakah kubur ibuku? Di mana kuburnya, Tatsuhiro?!” Shinji menyoal dalam kemarahan.

 

“Mayatnya telah dikebumikan di dalam hutan di tepi pokok yang besar ini.”

 

Mereka menuju ke kubur ibu Shinji.

 

“Ibumu telah dikebumikan di sini atas wasiatnya.”

 

Shinji duduk di sebelah pusara ibunya, bertafakur. Fikirannya kosong. Apa yang boleh dikenang? Aku tidak pernah melihat wajahmu. Engkau sudah terlalu lama meninggalkanku.

 

Okaa-san, terima kasih. Aku hidup sehingga kini kerana pengorbananmu. Aku tidak pernah melihat wajahmu. Namun engkau tetap hidup dalam fikiranku.

 

Shinji menekap tangan pada busut kofun itu, di pusatnya ada batu nisan bertuliskan nama ibunya, Takeuchi Chiyo. Air matanya menitik satu persatu.

 

“Amaguri telah menyihir tempat ini agar orang-orang selain dari keturunannya hanya dapat masuk dari terowong khas di pergunungan Tateyama sahaja. Dia meletakkan tama-no-iwa pertama yang diciptanya di sini, berdekatan kubur ibumu. Iaitu tama-no-iwa asal yang memiliki kuasa paling tinggi dari tiga tama-no-iwa utama yang hilang dari pemilikannya.”

 

Lebih kurang seribu tahun lepas, Fujiwara-no-Sekiro atau Shirasaka-no-Hayabusa, pengasas puak Shirasaka, telah menanam batu tama-no-iwa sehingga lembah yang diliputinya, iaitu Shirasaka-no-kogen turut merangkumi terowong itu. Oleh itu, hanya orang-orang yang dibenarkan Kogen memasuki Shirasaka-no-kogen sahaja yang akan dapat memasuki kawasan rahsia Amaguri.

 

“Apakah fungsi sebenar batu itu?”

 

“Puak Emishi ialah puak asal yang menghuni tanah ini lama dahulu sebelum bangsa Yamato tiba di sini dari tanah besar. Namun bangsa Yamato sering melanggar penempatan mereka bahkan kerapkali berperang. Ahli sihir Amaguri telah mencipta batu tersebut demi melindungi kawasan mereka.”

 

“Suatu ketika puak Yamato mendapat tahu Amaguri bertanggungjawab menjaga kesemua kawasan perkampungan Emishi. Amaguri pada hemat mereka, harus ditangkap, agar mereka dapat mengeluarkan saki-baki Emishi yang masih bersembunyi. Jika tidak, mereka akan menyusun bala tentera senyap-senyap demi memerangi bangsa Yamato.”

 

“Ketika Amaguri melarikan diri, dia tercicir sebahagian dari tama-no-iwa-nya. Itulah yang ditulis dalam diarinya di dalam pondok di bawah pokok gergasi itu, menurut terjemahan ibumu kepada Kotobuki. Pada hemat Kotobuki, tiga itulah yang menjadi punca kepada kuasa Shirasaka, Okuhida dan satu puak samurai misteri bernama Higashihara.”

 

Ketika Omi menubuhkan Kogen dan membangunkan tempat ini dari sebuah lembah terbiar yang kosong dan dipenuhi semak dan bungaan liar, buruh yang terlibat dalam membina perpustakaan tersebut telah melaporkan penemuan terowong ke kawasan rahsia Amaguri kepada Omi. Omi mencadangkan agar dibina sebuah unjuran di perpustakaan tersebut bagi menyembunyikan terowong ini.

 

“Bagaimana pula unjuran itu dipenuhi buku-buku lucah? Omi juga seorang yang miangkah?”

 

Tatsuhiro menahan ketawa. “Bagi mengalih perhatian penceroboh. Itupun jika mereka berjaya membongkar lipatan dinding yang aku tolak tadi. Bukan mudah mengesan kewujudannya.”

 

“Hah? Engkau fikir ia berkesan untuk semua penceroboh?”

 

Aku tidak fikir kaedah itu berkesan, lebih-lebih lagi jika penceroboh itu Ryouji. Kogen tidak serius sebenarnya. Ia lebih kepada tempat menyembunyikan buku-buku itu sahaja.

 

“Sekurang-kurangnya.” Tatsuhiro membalas.

 

“Tatsuhiro, aku masih musykil. Rumah kami di Hidagawa punya sebiji tama-no-iwa namun aku tidak pernah tahu kewujudannya sehinggalah Ryouji memberitahuku di sini. Namun aku tidak pernah pula melihat persekitaranku berubah ungu di situ.”

 

“Ia kerana kuasanya lebih rendah dari tama-no-iwa Amaguri di sini. Dan ia tambatan, maka jauh lebih lemah, lebih lemah dari tama-no-iwa milik Shirasaka yang punya enam persepuluh kuasa tama-no-iwa Amaguri, dan tama-no-iwa milik Okuhida yang punya dua persepuluh.”

 

“Batu ini juga tama-no-iwa.” Tatsuhiro menunjukkan batu yang menerangi terowong yang mereka lewati tadi. “Namun batu ini lemah, kufikir dipotong dari tama-no-iwa Shirasaka, kerana aku menemuinya di dalam terowong itu dan engkau tidak pula mengesan keunguan.”

 

“Siapa yang memotongnya?”

 

“Sama ada Kotobuki, Omi atau Ayame. Hanya mereka sahaja yang boleh memotongnya. Sesiapa yang cuba memotong batu tersebut pasti akan gagal.”

 

“Shinji, engkau pasti berfikir dengan menghapuskan kuasa semua tama-no-iwa, engkau akan dapat menangkap Hamada dan membalas dendammu. Namun engkau harus memikirkan kesannya juga. Rumah-rumah perlindungan Kogen akan terbuka kepada pencerobohan luar. Sanggupkah engkau melihat mereka diserang? Bukankah engkau pernah menginap di rumah perlindungan itu? Bagaimana jika engkau di tempat mereka? Fikirkan baik-baik Shinji.”

 

“Bukankah kawasan ini juga akan terkesan?”

 

“Ya Shinji. Segala apa yang telah kami bangunkan di sini akan terkesan jika engkau memilih menghapuskan kuasa tama-no-iwa. Namun sesiapa yang telah menguasai kaminari-no-kaze, akan kekal menguasai seni bertarung separa kami itu kerana seni itu sendiri telah meningkatkan had tampungan tenaga petarungnya. Puak Okuhida dan Shirasaka, akan kekal dengan kebolehan bertarung mereka. Hanya kuasa perlindungan tama-no-iwa sahaja yang akan terkesan dengan keputusanmu.”

 

Tak guna Kotobuki-san! Adakah engkau sengaja mahu mengujiku? Lebih baik aku tidak tahu daripada tahu!

 

Kotobuki-san, engkau gila, gila! Engkau lebih gila dari Takasaki-san!

 

“Shinji, aku telah melaksanakan semua arahan Kotobuki untukmu setakat ini. Pilihan di tanganmu sama ada mahu menghapuskan kuasa tama-no-iwa ataupun tidak...”

 

Sebaik Tatsuhiro menghabiskan kata-katanya, Shinji terduduk. Mengapa Kotobuki-san, mengapa? Mengapa engkau meletakkan pilihan yang berat ini di tanganku?

 

Tatsuhiro,Tatsuhiro! Shinji menyedari Tatsuhiro hilang dari pandangan tiba-tiba. Dia menyedari sesuatu. Di dalam sakunya terdapat batu yang digunakan Tatsuhiro bagi menerangi terowong tadi, bersama sekeping nota bertulis begini:

 

Engkau boleh pulang semula ke Kogen melalui terowong tadi, menggunakan batu ini. Ia potongan tama-no-iwa Amaguri yang bersepahan di sekeliling tama-no-iwa Amaguri utama di sini, entah siapa yang memotongnya. Teruskan perjalananmu, jangan risau, tiada sesiapa mengekorimu dari sini. Aku telah memeriksa sekeliling.

 

Tak guna ‘budak tua’ itu meninggalkan aku berseorangan di sini! Namun bagaimana dia menyelitkan nota ini ke dalam sakuku?

 

Shinji kembali ke tempat di mana tiang batu tama-no-iwa Amaguri utama ditanam. Ia sebatang tiang batu berwarna putih sama seperti di lembah Okuhida. Di sekelilingnya terdapat serpihan-serpihan batu tersebut yang dipotong entah siapa. Shinji cuba memotongnya dengan menghentak menggunakan sebatang kayu, namun tidak berhasil.

 

Shinji berjalan kembali ke terowong. Tatkala sekelilingnya mulai berubah ungu, dia menyeluk kantung pemberian Tatsuhiro dan mengambil kudapan halia itu. Sekelilingnya kembali jelas dan terang. Dia sampai di pintu masuk terowong.

 

Perkara ini benar-benar mengujakan. Bagaimana tempat ini, yang terletak di Hidagawa, boleh dihubungkan oleh terowong pendek begini ke Shirasaka? Aneh. Seolah-olah jarak antara keduanya dimampatkan oleh terowong ini.

 

Shinji memerhati sekeliling. Dia menemui sekumpulan batu yang kelihatan sama dengan batu tama-no-iwa Amaguri, disusun dalam bentuk bulatan tidak jauh dari permukaan lubang masuk ke terowong. Shinji mengamati batu-batu itu. Tidak ada apa yang menariknya.

 

Namun tidak lama kemudian, keadaan sekelilingnya kembali ungu. Dia memandang ke arah kumpulan batu tersebut. Di dalam bulatan kumpulan batu itu terteralah imej bilik unjuran di perpustakaan. Shinji memandang ke langit dan mendapati kumpulan batu itu menerima cahaya berwarna biru dari matahari biru. Ia seolah-olah menyerap tenaga darinya. Kemudian cahaya biru itu dipantulkan ke arah pintu masuk terowong. Permukaan batu-batu itu sengaja dipotong agar mukanya memantulkan cahaya biru ke permukaan terowong.

 

Apakah ini puncanya? Apakah batu-batu ini membolehkan pemindahan dilakukan merentas ruang dan masa? Shinji mengeluarkan batu yang diberikan Tatsuhiro dan membandingkannya dengan batu-batu itu dari segi tekstur. Sah! Kumpulan batu ini ialah tama-no-iwa!

 

Aku fikir, dengan cara yang sama, aku akan dapat keluar dari Kogen bagi menangkap Hamada. Namun, aku perlu mengkaji lebih dalam lagi bagaimana ia dilakukan. Dan aku memerlukan lebih banyak tama-no-iwa. Yang ada bersepahan di sekeliling tama-no-iwa Amaguri itu tidak cukup. Aku perlukan pertolongan seseorang. Aku tidak mampu memotongnya.

Novel: Kaisenjyo (Bab 62)

Sebelum Tatsuhiro bertemu Tsuneki di luar Shirasaka-no-kogen, dia telah terlebih dahulu bertemu Shinji.

 

Suatu hari, Shinji berseorangan di perpustakaan di tingkat paling bawah di bawah tanah, sedang asyik membaca buku.

 

Perpustakaan besar itu terdiri dari empat buah tingkat. Tingkat pertama terletak di atas tanah. Sementara tiga lagi tingkat yang lainnya terletak di bawah tanah. Tingkat ketiga di bawah tanah ialah tingkat yang menempatkan pelbagai jenis buku-buku trivia. Ia menjadi kegemaran Shinji. Ia juga tingkat yang menempatkan karya-karya penting berkenaan senjata kuno. Namun selain daripada buku-buku itu, terdapat sebuah rahsia besar yang disimpan Kogen di dalam tingkat ini.

 

Shinji sedang membelek-belek buku berkenaan perisikan dan ninja pabila dia didatangi seorang budak lelaki, kelihatan sebaya Tsuneki dan rendah fizikal sepertinya.

 

“Engkau baru disini?” Budak itu menegur. Aneh. Suaranya garau seperti seorang dewasa berumur dua puluhan. Shinji menoleh sedikit terperanjat. Wajah dan ketinggiannya pula persis kanak-kanak seperti Tsuneki. Hanya suara yang berlainan.

 

“Ah, hai (ya). Siapa engkau?” Shinji menutup halaman buku yang dibukanya, kemudian meletakkan kembali ke dalam rak.

 

“Aku Tatsuhiro.Yamada Tatsuhiro. Namamu?”

 

“Aku Shinji. Takeuchi Shinji. Di mana engkau tinggal di sini? Aku tidak pernah melihatmu.”

 

“Rumah perlindungan di sebelah rumahmu.”

 

Aneh. Di rumah itu setahu aku hanya ada penghuni perempuan.

 

E to, Yamada-san...”

 

“Panggil aku Tatsuhiro.”

 

“Tatsuhiro, aku fikir rumah itu hanya ada penghuni perempuan.”

 

“Aku memang tinggal di situ, lama dahulu.”

 

“Lama dahulu?”

 

“Ya, sebelum mereka tiba.”

 

“Jadi sekarang di mana engkau tinggal sebenarnya?!” Shinji mula terasa diperbodohkan.

 

“Masih di situ.”

 

“Jika benar engkau masih di situ, pasti aku akan melihatmu.”

 

“Namaku masih didaftar pada rumah itu.”

 

Shinji menepuk kepalanya. Apalah budak kecil ini cakap berbelit-belit!

 

Ne budak.Betul-betul denganku boleh?”

 

“Aku bukan budak. Umurku dua puluh empat tahun.”

 

Patutlah suaranya seperti suara orang dewasa! Tetapi dengan saiz tubuh begini seperti Tsuneki, amat mudah untuk dikesilapkan dengan seorang budak.

 

“Tatsuhiro, beritahu jujur denganku di mana engkau tinggal sebenarnya. Atau aku akan laporkan kepada Kogen yang engkau menceroboh kawasan ini.”

 

“Dipersilakan beritahu. Aku bekerja untuk Kogen.”

 

Bekerja untuk Kogen? Sebagai apa?

 

“Apa buktimu?”

 

Tatsuhiro menunjukkan simbol Kogen yang ditatukan pada lengannya. Apabila dia memusing-musingkan lengannya sedikit, tatu itu memberikan imej yang berbeza-beza, iaitu imej burung hayabusa melingkar dengan paruhnya menyentuh ekor dalam satu bulatan, dan imej dua pedang samurai dalam corak in dan you (yin dan yang). Imej pertama itu adalah simbol Kogen, sementara imej kedua ialah bagi menjadikan logo tersebut lain dari yang lain. Ia salah satu ciri unik simbol Kogen yang tidak membenarkan ia ditiru. Ada banyak lagi cirian unik simbol Kogen seperti contohnya imejnya hanya timbul apabila diletakkan di bawah cahaya matahari.

 

“Maknanya engkau berkhidmat selepas keluar dari rumah itu?”

 

“Benar.”

 

“Sekarang di mana engkau tinggal? Jawab betul-betul!”

 

“Aku tiada tempat tinggal tetap di sini. Aku merayau-rayau di hutan di luar. Namun jika engkau mahu alamatku, ia di sebelah rumahmu. Atau tunggu di sini atau di tepi lagun untuk bertemuku. Namun aku sibuk dan tidak selalu di situ.”

 

“Untuk apa engkau merayau?”

 

“Mengakap (scouting).”

 

“Mengakap?”

 

“Mengakap untuk mengesan mana-mana penceroboh yang cuba mengepung tempat ini dan menghalang logistik Kogen.”

 

Giliran Tatsuhiro pula ‘menyoalsiasat’ Shinji.

 

“Shinji, bagaimana engkau menyertai Kogen?”

 

“Mengapa engkau mahu tahu?”

 

“Tidak ada apa-apa.”

 

Shinji menunggu beberapa ketika. Tidak ada apa yang perlu dirahsiakan, mungkin aku boleh berdagang maklumat dengan ‘budak’ ini. Bukankah dia pengakap Kogen? Aku mahu tahu lebih berkenaan mereka yang bertarung di hutan luar kawasan ini. Dan juga mungkin, kebarangkalian wujudnya kawasan tersembunyi Kogen yang lain di sini seperti lembah tinggi ini.

 

“Aku mengikut Takasaki-san.” Shinji menjawab ringkas.

 

“Takasaki-san ka? Semoga rohnya tenang di sana.”

 

“Nampaknya engkau sudah tahu.”

 

“Dia rakan kami, sudah semestinya kami perlu tahu.”

 

Rakan? Tidak, Takasaki seperti datuknya. Dia cucu! Atau mungkin cicit!

 

“Aku lihat engkau kerap di sini. Engkau tiada kawan?” Tatsuhiro selamba bertanya begitu.

 

“Aku ada kawan, cuma tidak ramai. Aku gemar membaca buku di sini, lagi banyak berbanding di rumah Takasaki. Terutama buku-buku trivia di tingkat ini.”

 

“Oh, begitu rupanya. Engkau mahu berkawan denganku?”

 

“Itu bergantung.”

 

“Bergantung kepada apa?”

 

“Engkau hanya perlu mendengarku membebel. Sudi?”

 

“Itu mudah sahaja. Aku pendengar yang bagus. Cuma aku akan tertidur jika engkau membebel perkara yang aku tidak faham.”

 

Bagus. Asalkan engkau mendengar. Seperti Tsuneki yang mendengar kemudian tertidur kerana tidak faham. Namun aku tidak gemar betul jika dia menggangguku ketika nafsu membacaku datang.

 

“Apa kau buat di sini Tatsuhiro? Engkau kata tadi engkau mengakap di luar.”

 

“Mengendapmu.”

 

“Engkau bernafsu songsangkah?!”

 

“Aku normal. Aku sudah berkahwin.”

 

Melopong Shinji mendengarnya.

 

"Mengapa engkau mengendapku pula?"

 

“Mari, ikuti aku.” Tatsuhiro tidak menjawab, sebaliknya mengisyaratkan kepada Shinji agar mengikutinya.

 

“Ke mana?”

 

“Diam sahajalah, dan ikut aku.”

 

Shinji mengikut ‘budak tua’ itu ke satu sudut tersembunyi.

 

Setibanya mereka di sudut itu, Tatsuhiro menekan-nekan dinding kayu di situ, dan ia terbuka, menampakkan satu unjuran tersembunyi yang berbentuk bilik, di mana di kedua-dua belahnya adalah rak-rak buku dari lantai sehingga ke bumbung. Semua rak-rak itu dipenuhi dengan buku. Namun yang berlainannya, buku-buku di dalam ruangan ini hanya berkisar tentang topik-topik senggama sahaja.

 

Shinji menarik salah satu dari buku-buku itu keluar. Dia langsung membuka dan membelek-belek beberapa halaman. Terbelalak biji matanya melihatkan buku-buku itu sebenarnya adalah buku-buku perihal senggama. Mengapa baru sekarang aku tahu tempat ini? Bagaimana Kogen juga menyimpan buku-buku begini? Adakah Takasaki-san yang mencadangkannya?

 

“Shinji, bukan itu tujuannya aku bawa engkau ke mari. Lihat sini.”

 

Tatsuhiro berjalan terus sehingga tiba di tengah-tengah rak. Dia kemudian mencangkung di tepi bahagian lantai yang sedikit tidak sekata susunan kayunya. Dia menekan lantai itu sedikit dengan kaki, dan kayu yang tidak sekata itu langsung menjungkit sedikit dari letaknya dan timbul. Dia memegang kayu itu dengan kedua-dua belah tangan, mengangkat dan meletakkannya ke tepi. Maka terpampanglah di hadapan mereka sebuah lubang yang gelap menuju ke dalam tanah. 


Tatsuhiro menyeluk dada yukatanya dan mengeluarkan objek berupa sepotong batu berwarna putih. Dia menggerak-gerakkan batu itu di dalam gelap lubang dan ia mula mengeluarkan cahaya yang malap menerangi lubang itu. Kian jelas di hadapan mereka anak-anak tangga bermula dari lubang itu mengunjur ke dasar lubang.

 

“Aku akan turun dahulu, engkau tolong pegang batu ini.” Tatsuhiro memberikan batu itu kepada Shinji. Batu apakah ini?

 

Tatsuhiro turun dahulu, Shinji memegang batu itu, sedang masih takjub dengan kebolehannya memancarkan cahaya. Kemudian sebaik Tatsuhiro mencecah dasar lubang, Shinji mencampakkan batu itu, Tatsuhiro menyambut dan dia memegang batu itu dan Shinji turun mengikutnya.

 

“Ke mana engkau mahu bawakan aku?”

 

“Diam sajalah, dan ikuti aku.”

 

Dalam kelam terowong itu Shinji dapat melihat dinding-dindingnya dilapisi batu-bata yang disusun dengan kemas, bahkan permukaan tempat dia berpijak dan bumbung dan dindingnya licin tanpa habuk tanah dan akar rumpai. Amat bersih, seperti kerap dibersihkan. Bagaimana mereka melakukannya? Pastinya ia memerlukan tenaga buruh dan logistik yang kemas dan selamat bagi membawa bahan-bahan binaan ke sini. Aku tidak yakin mereka mampu menghasilkan batu-bata ini di sini. Batu-bata ini amat licin, seperti batu kerikil besar yang dipotong dengan alatan khas. Terowong ini begitu sempurna sekali bulatnya. Hanya bahagian lantainya sahaja yang rata.

 

Selepas beberapa minit berjalan, cahaya mula kelihatan di hujung terowong.

 

“Kita sudah sampai, Shinji.” Suara Tatsuhiro perlahan namun masih bergema.

 

Rupanya cahaya itu datang dari sejenis bahan yang menyelaputi permukaan penutup terowong, di mana bahan itu memantulkan cahaya dari batu Tatsuhiro. Tatsuhiro mendaki tangga disitu dan menolak buka penutup terowong di atasnya. Dia memanjat sehingga ke permukaan, dan membantu Shinji memanjatnya.

 

Shinji kaget memerhati keadaan di luar terowong. Ia tidak banyak bezanya dengan Kogen-no-shita ataupun pergunungan Hidagawa, namun tempat itu cukup cantik sekali. Ia punya lagun dan air terjun serta perbukitan sama seperti di Kogen-no-shita, namun di sini tiada langsung binaan manusia seperti taman zen dan rumah. Hanya alam semulajadi. Juga anehnya, tiada langsung binatang di sini, hatta serangga sekalipun. Hanya pohon-pohon hutan. 

 

“Di manakah kita?”

 

Tatsuhiro tidak menjawab. Dia masih terus berjalan menelusuri sebuah denai berumput di tengah padang yang penuh bungaan liar.

 

Kemudian langit yang sedari tadi cerah berubah keunguan. Keadaan sekeliling menjadi kelam. Shinji kaget. Dia yang rabun bertambah rabun, mula meraba-raba lokasi Tatsuhiro yang masih di depannya. Dalam kelam itu dia sempat mendongak ke langit, dan alangkah terkejutnya dia mendapati di sebelah matahari yang menyinar langit terdapat satu lagi matahari, namun berwarna biru pekat. Di sekeliling matahari itu kelihatan runut-runut seperti lonjakan lautan api di permukaannya berwarna biru terang. Langit di sekeliling matahari biru itu gelap dan diterangi malap oleh runut biru, namun jika bertemu dengan cahaya dari matahari biasa di sebelahnya, maka ungulah jadinya.

 

Dia mengalih pandangan ke hadapan, mencari Tatsuhiro. Tatsuhiro hilang!

 

“Tatsuhiro,Tatsuhiro!”

 

“Apa? Aku di sini, Shinji.” Tatsuhiro mencuit pinggang Shinji. Dia di belakangnya. “Shinji, engkau memintasku.”

 

“Engkau tidak lihat langit Tatsuhiro?”

 

“Ada apa di sana?”

 

“Matahari biru.”

 

“Aku hanya nampak satu matahari sahaja.”

 

“Aku melihatnya sekarang! Dan di sekelilingku semuanya berwarna ungu!” Shinji mengadapTatsuhiro dan memegang bahunya, menggoncangkan tubuhnya ketika dia berkata-kata. Tatsuhiro tenggelam dalam rabun dan gelap ungu di mata Shinji.

 

Benarlah, budak inilah yang dikatakan Kotobuki, getus Tatsuhiro. Budak yang mampu mengamati jurus tinggi kaminari dengan penglihatannya yang setajam burung hayabusa,dan kemudian pendengarannya pula yang akan ditajamkan. Dia berdarah kacukan dengan puak Emishi itu. Nenek moyangnya ialah Amaguri, seorang ahli sihir wanita dari puak Emishi yang mencipta tama-no-iwa dan membuangnya merata-rata sehingga dimanfaatkan Fujiwara dan gadis petani bernama Higashihara Hiiragiko itu.

 

Kami harus menjaga budak ini di sini. Jika tidak dia pasti akan dipujuk Hamada menyertainya. Dia suka membaca bukan? Dan suka mengkaji? Kami akan berusaha menambat hatinya di sini. Kami akan cuba menegahnya menyertai rombongan Maharaja ke Eropah. Jika tidak berhasil, kami akan pastikan dia kembali pulang ke sini, dan berbakti kepada Kogen.

 

“Shinji, kunyah ini. Penglihatanmu akan pulih seperti normal.”

 

“Pulih seperti normal?”

 

“Ya.” Tatsuhiro menghulurkan sejenis kudapan seperti halia kering yang besar. Shinji mengambil dan mengunyahnya. Pedas berangin!

 

“Telan Shinji, telan!”

 

Shinji menelannya. Sekelip mata langit di atas kembali cerah dan pandangan sekeliling kembali kepada asalnya.

 

Benda apakah ini? Ia seperti mengunyah halia muda bercampur madu dan asam ume! Tetapi sedap juga.

 

“Tatsuhiro engkau ada lagi benda ini? Sedap juga rasanya.”

 

“Ada. Aku ada sekantung lagi. Makanlah semuanya.” Tatsuhiro menghulurkan sekantung gula-gula halia itu kepada Shinji. Shinji pantas merenggutnya dari tangan Tatsuhiro dan makan dengan lahapnya, seperti sudah seharian kelaparan.

 

Itu cuma halia kering yang telah dihalwakan dan dijerukkan dalam asam ume, kemudian dikeringkan. Ia berkesan merendahkan kuasa Shinji. Namun itu juga kelemahannya, ketikamana kuasanya diperlukan.

 

Tetapi kawasan apakah ini?

 

“Shinji, tempat ini sebenarnya titik tengah pulau Honshu. Kita sekarang berada di tengah-tengah pergunungan Hidagawa.”

 

“Hah? Tatsuhiro engkau mengarut. Jika benar katamu, bererti aku boleh pulang ke rumah Takasaki dari sini?”

 

“Tidak.”

 

“Mengapa pula?”

 

“Tempat ini telah disihir moyangmu, Emishi-no-Majou-no-Amaguri (Amaguri Sang Ahli Sihir Emishi.) Sekali masuk engkau tidak akan boleh keluar, kecuali melalui terowong tadi. Hanya terowong itu yang bebas dari sihir moyangmu.” Sebenarnya hanya keturunan Amaguri sepertimu yang boleh keluar masuk tanpa melalui terowong itu, namun aku terpaksa berbohong buat sementara waktu. Aku bimbang engkau yang bijak ini akan merancang sesuatu jika aku mendedahkannya. Aku membawamu ke sini hanya untuk satu tugasan Kotobuki.

 

“Moyangku? Emishi? Tatsuhiro, apa yang engkau mengarut denganku? Aku bersusur galur dari puak Emishi?”

 

“Benar. Engkau keturunan ahli sihir Emishi bernama Amaguri. Buktinya engkau telah melihat matahari biru.”

 

Sebentar. Satu persatu. Dia kata aku berketurunan Emishi. Kerana aku telah melihat matahari biru? Dan satu persoalan lagi, tempat ini titik tengah Honshu?

 

“Dan...berkenaan tempat ini, bagaimana pula ia terhubung ke perpustakaan Kogen? Dengan terowong sesingkat beberapa minit perjalanan? Sedang aku berkuda separuh hari dari Hidagawa ke Kogen.”

 

Tatsuhiro tidak menghiraukan soalan Shinji, dan dia bertanya, “Shinji, engkau ingat apa-apa berkenaan ibu bapamu?”

 

Kono gaki! (Budak ini)! Dia menjawab soalanku dengan soalan!

 

“Aku tidak ingat wajah ibuku. Pengasuhku memberitahu ibu meninggalkan aku kepada seorang paderi Jesuit di sebuah gereja di Kyoto ketika aku masih terlalu kecil. Paderi Jesuit itu mengupahnya mengasuhku. Tatsuhiro, engkau belum menjawab soalanku.”

 

“Engkau rindukan ibumu?” Masih, Tatsuhiro tidak menghiraukan soalan Shinji.

 

“Aku tidak punya rasa apa-apa. Memori sebelum aku ditinggalkan di gereja itu hilang, dan aku hanya mendengarnya dari pengasuhku. Mengapa engkau bertanya?”

 

“Aku akan beritahu mengapa selepas kita tiba ke tempat ini. Ikut aku. Ia ada kaitan dengan Amaguri nenek moyangmu, dan juga mengapa terowong itu mampu membawa kita ke tempat yang jauh ini.”

 

Engkau menyedihkan, Shinji. Sekurang-kurangnya aku masih mengingat wajah ibuku yang terlantar sakit sebelum dia meninggal dunia. Bapaku sudah lama tiada sejak aku dilahirkan, maka aku mengemis di pekan sejak kematian ibuku sebelum diambil Kogen ke sini. 

Novel: Kaisenjyo (Bab 61)

Ryouji terbangun dari tidur yang panjang, menyedari dia sedang bersandar pada sebuah batu besar. Dia memandang ke atas, mendapati seseorang sedang duduk di atasnya.

Ryouji bangun perlahan-lahan. Dia mendapati Ayame sedang duduk di atas batu besar itu, dan merenung lama Gunung Fuji.

“Apa yang sedang engkau lakukan?”

“Terkejut aku. Engkau sudah sedar rupanya.”

“Sudah berapa lamakah aku di sini?”

“Hampir dua jam.”

Ryouji mendapati Ayame kembali merenung Gunung Fuji di hadapan mereka. Ryouji perasan, tangan Ayame sedari tadi terketar-ketar. Hari ini tidaklah sesejuk mana.

“Aku lihat engkau benar-benar sukakan gunung itu.” Ryouji masih memerhati tangan Ayame.

“Ia seperti Kogen.”

“Seperti Kogen?”

“Ya. Menanti untuk meletus.”

“Apa maksudmu Ayame?”

“Engkau tahukah gunung itu pernah meletus lebih dari seratus tahun lalu?”

“Tidak... sou desuka.”

“Di luarnya nampak gah, cantik. Salju memutih di lereng-lerengnya. Teguh berdiri menusuk awan dan berlatarkan langit biru. Di kakinya subur pepohon dari tanah yang dimuntahkannya dahulu. Sebahagiannya mengeluarkan bunga yang berwarna-warni.”

“Namun di dalamnya hanya Tuhan yang tahu. Api yang bergejolak di dalamnya menanti masa untuk keluar. Sekali ia keluar dan meranapkan sekitarnya sehingga tiada apapun tersisa.”

Ryouji hanya mendengar gumam dara berusia hampir tiga dekad itu. Apa yang disyarahkan Ayame? Letusan? Apakah ada bunga-bunga api perpecahan di dalam Kogen? Atau duri-duri dalam daging yang mula membarah? Rumah-rumah perlindungan yang pincang? Atau pengurusan dana yang pincang?

“Kogen mula meniti di bibir rakyat. Kita dijulang sebagai pembela mereka yang ditindas. Namun mereka tidak menyedari semua kepincangan ini, Ryouji. Kepincangan, onar-onar yang dilakukan duri dalam daging. Jika perkara begini terlepas keluar, reputasi dan kepercayaan terhadap kita hancur, sebagaimana hancurnya segala pepohon yang ditimpa lahar panas dari gunung itu dahulu.”

“Aku bimbang Ryouji. Aku bimbang, akan lebih ramai orang-orang seperti Tokui yang mula berprasangka terhadap kami.” Ayame cuba menyembunyikan tangannya dengan berpeluk tubuh, menyedari Ryouji asyik merenung ke arah tangannya. Namun masih jelas bahunya menggigil di mata Ryouji.

Aku tidak pasti apa yang membuatkan tangan Ayame terketar-ketar. Apa yang bermain dalam cepu fikirnya. Namun sekarang aku fikir aku memahaminya. Beban tanggungjawab yang digalas di bahunya.

Ayame menyambung, “Mereka menjadi penjaga di hadapan kita, namun mereka khianat di belakang, menggunakan kuasa yang kami beri demi kepentingan mereka.”

“Ryouji, aku tidak dapat membayangkan kehidupan anak-anak kami di bawah duri dalam daging ini. Aku tidak pernah merasakannya. Bayangkan, mereka mengawal rumah merpati mereka maka berita onar mereka tidak sampai kepada kami jika ada di antara anak-anak itu mahu menghantar aduan senyap-senyap. Mereka juga membelot kepada orang-orang Hagiura dengan membenarkan mereka masuk ke rumah perlindungan menggunakan kuasa mereka ke atas tama-no-iwa rumah tersebut.” Ayame merujuk beberapa kes sebelumnya yang juga berlaku di rumah perlindungan Kogen. “Mujur sahaja kami masih punya pasukan nazir.”

Binatang! Binatang! Ryouji bertambah geram mendengarkan kata-kata Ayame, seraya memaki dalam hati sambil menggenggam penumbuknya. Mengapa baru sekarang aku tahu perkara ini? Malang mereka yang menjadi mangsa penjaga bangsat begitu dan aku tidak berada di sisi mereka. Malang!

“Sudah berapa lamakah kesialan ini berlaku? Apakah ia semakin berleluasa?”

“Ia berlaku sekali-sekala sejak Kogen ditubuhkan. Namun kes-kes baru semakin bertambah sejak musim luruh tahun lepas (1871). Dari penyiasatan kami, ia berpunca dari pemotongan peruntukan.”

“Apa? Bukankah kita baru mendapat dana dari Maharaja?”

“Benar. Namun dana itu digunakan bagi membuka rumah perlindungan baru.”

Atau untuk tujuan membantu Maharaja memerangi pemberontak? Soal Ryouji dalam hati, sinis, penuh prasangka.

“Selain itu, aku mendengar dari pengintipku yang keluarga Yoshitsugu sedang mendirikan rumah pelacuran baru di Yozehama. Jika dahulu mereka membeli anak-anak gadis, kini mereka mula menculik. Mereka tertekan setelah dilarang mengutip ufti oleh Maharaja. Mereka bukan sahaja menculik bahkan merasuah penjaga rumah-rumah kita bagi mendapatkan bekalan gadis-gadis bawah umur untuk dilacurkan.”

Bekalan? Mereka menjual anak-anak gadis kami seperti menjual lembu!

“Perkembangan begini memberi peluang jenayah kepada penjaga rumah kita. Jika gaji dikurangkan, mereka akan cenderung mendapatkan wang dari sumber lain seperti keluarga Yoshitsugu, dengan memangsakan ahli rumah kita.”

“Ryouji, tujuanku hanya satu, aku ingin Kogen bersih dari onar-onar yang menyakitkan ini dan terus mekar begini, seperti bunga-bunga itu.” Ayame memuncungkan mulutnya ke arah bunga-bunga dan pokok yang berwarna warni jauh di kaki Gunung Fuji.

“Kogen pasti akan terus mekar!” terpacul keluar kata-kata itu dari mulut Ryouji tiba-tiba.

Ayame terkejut seraya memandang Ryouji yang tiba-tiba bersemangat.

“Aku bertekad akan menghancurkan Hamada dan sekutunya dan akan memulihkan Kogen dari dalam!”

Ayame tersenyum. Kemudian dia pecah ketawa terbahak-bahak, sehingga terbatuk sedikit. Dia menghentikannya sebaik melihat Ryouji membuat riak tidak senang.

“Mengapa engkau ketawa, Ayame-san?”

“Maafkan aku, tetapi ia berbunyi naif.”

Ryouji merah muka mengingatkan kembali kata-katanya yang tiba-tiba. Ya, amat naif. Ia seperti seorang budak bawah umur yang cuba menjadi adiwira dengan melaungkan kata-kata kosong namun tiada inisiatif atau perancangan untuk menjayakannya.

“Ryouji, kita boleh melihat kerosakan dari luar. Namun kerosakan dari dalam amat sukar untuk dikesan. Kerana ia datang dari orang-orang yang kita percayai sejak sekian lama. Bukan setahun dua, bahkan berpuluh-puluh tahun lamanya.”

Benar, Ayame. Pengkhianat dari dalam adalah musuh paling berbahaya. Aku telah mengalaminya sendiri. Ia salah satu pengajaran paling besar yang aku terima sepanjang umurku.

“Apakah kalian mengenali Segawa sebelum ini?”

“Bapaku (Kotobuki) mengenali Segawa sejak kecil. Segawa adalah salah seorang dari penghuni rumah perlindungan kami, di Kogen-no-shita.”

Ryouji terkejut mendengarnya. Jika itulah katamu Ayame, maka aku faham kesukarannya. Kerana mereka begitu lama denganmu, maka tidak mustahil kalian akan mengambil mereka menjaga rumah perlindungan atas dasar kepercayaan. Dan amat sukar mengesan sebarang perubahan sikap jika mereka benar-benar berubah seratus lapan puluh darjah kemudiannya.

“Namun hanya kerana seorang wanita bernama Masami, dia berubah begitu. Masami asalnya adalah salah seorang pengintip kami. Dia bertemu Segawa ketika sama-sama menyertai misi kami sebagai pengintip, dan kemudian berkahwin. Selepas itu mereka memohon menjaga rumah perlindungan kami dan dibenarkan Omi. Bertahun-tahun mereka menjaganya. Namun hanya pada tahun ini sahaja, Segawa dan Masami mula berubah.”

“Mengapa begitu?”

“Masami mula berubah beberapa tahun lepas dengan membazirkan dana kami. Pada fikirannya, dia sudah lama berkhidmat maka fikirnya Kogen tidak akan mengambil kisah jika sedikit dana disalahguna.”

“Mengetahui perbuatan Masami, Omi-san mengambil keputusan memotong beberapa peruntukan untuk rumah mereka. Masami tidak berpuas hati dengan tindakan itu.”

“Masami menghasut Segawa, dan natijahnya, adalah seperti yang engkau lihat sekarang.”

“Ryouji, jika engkau kekal pada prinsipmu, engkau masih boleh mencantas duri dalam daging seperti ini. Namun jika duri ini sebahagian darimu, dan dia isterimu, atau adikmu, atau anakmu, apa yang engkau mampu lakukan? Atau engkau menyerah diri dan menjadi duri juga?”

Ryouji terpana mendengar kata-kata Ayame. Jika aku berada dalam situasi begitu, aku juga perlu memilih. Aku mungkin bernasib baik, kerana belum melaluinya lagi. Namun jika duri itu Hisamiko, mampukah aku ‘mencantasnya’?

“Ryouji, mengapa denganmu? Aku dengar dari Takumi yang engkau teragak-agak menamatkan riwayat Masami dan Segawa. Kemudian engkau pengsan pula di sini.”

“Ingatan lama tiba-tiba datang dalam memoriku saat itu.”

“Ingatan lama?” Aku ada mendengar dari bapaku. Miura menceritakan padanya. Mungkinkah yang itu?

Ryouji mengisahkannya.

Otou-san menegahku dari membalas dendam. Aku hanya mengingati itu namun aku tidak ingat kisah sebelumnya, sehinggalah ketika aku berhadapan dengan Segawa.”

“Disebabkan itu engkau teragak-agak membunuhnya?”

“Benar. Disebabkan itu juga aku tidak membunuh Sonzaemon.”

“Sonzaemon?”

“Pembunuh bapaku.”

Sou ka (benarkah?)...” Ayame terdiam seketika, barangkali bertakafur mengingati Miura. 

Sebentar, aku seperti pernah mendengar nama itu. Bukankah dia perompak di Furukawa? Dia gemuk dan hanya mengarah di belakang pengikut-pengikutnya yang kurus-kurus belaka. Di manakah dia sekarang?

Kemudian dia menyambung, “Sekarang, apa yang engkau fikir berkenaan tegahan bapamu itu?”

“Dia hanya menasihatiku. Aku telah lama mengambilnya sebagai prinsipku. Semua yang bersalah harus dibicarakan di mahkamah. Atau sekurang-kurangnya di Kogen. Aku tidak akan sewenang-wenang membunuh mereka.”

“Meskipun jenayah itu dilakukan di hadapan matamu? Seperti kes Keisuke?”

“Ya. Aku akan menahannya untuk dibawa di mahkamah. Hukuman mesti dijatuhkan oleh penguasa.”

“Meskipun penjenayah itu mahu membunuhmu?”

“Aku akan membunuhnya demi mempertahankan diri, namun itu hanya akan kulakukan jika aku tidak mampu menewaskannya dan menangkapnya untuk dibicarakan dan dihukum di mahkamah.” Ryouji masih tidak sepenuhnya yakin dengan kata-kata itu, mengingatkan apa yang telah berlaku sewaktu menewaskan Masami dan Segawa. Dia masih teragak-agak pada ketika itu, dan mungkin telah dibunuh jika Tokui tidak mengambil inisiatifnya.

Ayame terdiam, kemudian ketawa kecil.

“Mengapa engkau ketawa Ayame?”

“Peganganmu terlalu perinci.” Aku tidak menyangka pemahamanmu begitu perinci meskipun engkau masih belasan tahun.

“Aku akui betul katamu. Memang hukuman selayaknya dilakukan penguasa atau orang-orang yang telah dilantik oleh mereka. Ryouji, bilamana engkau memangku tugasku seperti ketika kita di rumah Segawa, aku harap engkau tidak teragak-agak lagi."

“Maafkan aku.” Ayame-san, aku sebenarnya masih teragak-agak. Aku tidak pasti adakah aku benar-benar bersedia menjadi pelaksana hukuman sepertimu. Dan sesungguhnya hatiku sedang mempersoal kewajaran hukuman bunuh dalam Kod Kogen.

“Engkau tahu apa yang telah berlaku kepada pembunuh Keisuke?”

“Aku tidak ingat. Barangkali sudah dihukum. Aku ingin kembali kampungku mendapatkan khabar tentangnya.”

“Ryouji, maafkan aku. Sebenarnya aku sudah mengetahuinya. Bapamu pernah bercerita kepada bapaku. Mereka sudah dihukum oleh Kogen selepas menerima laporan dari daimyo Kimura sekutu kami, namun mereka tidak dihukum bunuh.”

“Benarkah begitu?”

“Ya. Kejadian itu berlaku ketika mereka di bawah umur. Mereka kini dipenjarakan di Kogen. Tidak silap aku mereka akan dibebaskan hujung tahun ini.Tempoh penjara lapan tahun.”

“Di manakah penjara itu?”

“Ia salah satu dari kawasan yang tersembunyi di sekitar Kogen.”

Sebentar. Kawasan tersembunyi? Ryouji cuba mengingat sesuatu.

Maka benarlah telahan aku dan Shinji. Mereka punya kawasan-kawasan lain yang tersembunyi di sekitar tanah tinggi itu dan Kogen-no-shita. Aku akan memberitahu Shinji perkara ini.

Nampaknya aku akan menemui bangsat-bangsat ini dahulu sebelum aku ‘bertemu’ Keisuke.

“Apapun, terima kasih Ayame memberitahuku. Namun aku akan tetap kembali ke kampungku seketika. Aku perlu ‘bertemu’ Keisuke. Aku belum benar-benar‘menghantarnya’ ke alam sana.”

“Terpulang padamu Ryouji. Yang penting jaga dirimu.”

Aku tidak pasti lagi, apakah aku akan terus berkhidmat kepada Kogen. Ini baru sahaja misi pertamaku. Namun sudah pelbagai perkara datang menghunjam kepalaku bersilih ganti. Skuad Sakura? Aku tidak mahu bertanya lanjut sekarang. Aku mahu memerhati Ayame dahulu. Dari kata-katanya, jelas dia punya wawasan murni mengembalikan Kogen ke landasan asalnya. Aku tidak nampak perkara mencurigakan. Jika skuad rahsia itu caranya, maka bukankah itu diperlukan? Bukankah ia satu pembaharuan, sebagaimana Pembaharuan yang telah dilakukan Maharaja?

Juga berkenaan dana peribadi bapaku itu. Benarkah dakwaan Masami? Aku belum pernah melihat wasiat bapaku. Namun mengaitkannya dengan bantuan kepada Maharaja untuk perang saudara yang mungkin akan berlaku, nampak wajar. Apapun, aku memerlukan siasatan lanjut. Shinji mungkin punya lebih banyak petunjuk, dia sering ke makmal ujikaji senjata dan memerhati bagaimana bekalan bahan mentah dibawa masuk. Aku ingin mendapatkan perkembangan terbaru tentang sama ada Kogen ada menambah bekalan bahan mentah untuk penghasilan senjata.

**

Kotobuki tidak keruan mendengar berita berkenaan Ayame terlantar di rumah perlindungan Segawa itu. Dia menyembunyikan kegusarannya di balik wajah tenang seorang sami. Hanya Megumi yang berpeluang melihat dia melepaskan perasaan yang terbuku di hati di dalam bilik pejabatnya.

“Kotobuki-san, dia pasti akan selamat. Hayabusa-no-kami sentiasa membantu pemedang handal.” Megumi duduk di hadapan Kotobuki, kedua-duanya bersila, dipisahkan sebuah meja teh di dalam bilik pejabat.

“Sejujurnya aku tidak mahu lagi dia melakukan kerja-kerja begini...namun aku tidak mampu menghalangnya.”

Megumi masih setia mendengar duda berusia lanjut itu berkisah. Siapa lagi yang mahu mendengarnya?Omi yang berusia sembilan puluhan itu tidak akan mendengarnya begitu.

“Aku menghantar Ryouji yang masih baru itu demi melindunginya. Namun, dia masih ditewaskan. Bagaimana jika dia pergi mengikut Tsubomi, Megumi?”

“Aku tidak peduli akan ramalan Kaisenjyo itu, walau apa sekalipun isi ramalan itu, Ayame tetap satu-satunya anakku. Aku tidak akan sanggup membunuhnya hanya kerana ramalan itu. Hatta membiarkan dia mati dengan apa cara sekalipun.”

Suara Kotobuki bernada sebak, namun dia tidak sekali-kali menangis di hadapan wanita itu. Wajahnya masih tenang seperti biasa. Megumi masih duduk membatu, tidak menghulurkan bahu atau menepuk bahu Kotobuki, sekali sekala dia akan memujuk, bila dirasakan perlu. Dia lebih banyak menadah telinga mendengar, sebagaimana Kotobuki pernah menadah telinga mendengar kisah-kisah silamnya sebelum dia diterima masuk bekerja di sini. Kisah hitam dua puluh tahun lepas.

**

Ayame tiba bersama Ryouji di Kogen. Dia bertemu Omi dan Kotobuki di luar dewan. Kemudian Omi dan Ryouji beredar, Ayame mengikut Kotobuki masuk ke dalam bilik pejabat.

Kotobuki yang sedari tadi kelihatan tenang sahaja di luar, pantas meluru dan memeluk Ayame.

Ayame terkesima. “Otou-san...”

“Ayame, aku tidak kisah jika engkau berhenti dari kerja-kerja begini.” Nadanya sebak. “Cukuplah dengan pemergian ibumu.”

“Berhenti? Tidaklah, otou-san. Kogen adalah kehidupanku. Aku mahu berbakti selagimana aku bernyawa. Lagipun aku sudah lama melakukan kerja begini.” Ayame membiarkan Kotobuki memeluknya untuk beberapa ketika. Kotobuki hanya membisu, tidak meneruskan ayatnya atau ia akan melarat menjadi pertengkaran. Ini bukan kali pertama Kotobuki menegahnya. Kotobuki terlalu berlembut dan tidak tegas menghalang Ayame. Sehinggalah sekarang Ayame sudah terlibat dalam berpuluh-puluh misi, ia sudah terlalu lambat. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, namun rebung itu sudah keras, sudah terlalu lambat.

Aku lega otou-san begini. Kerana aku hampir berputus asa, aku fikir mereka akan bergembira dengan pemergianku. Kerana apa yang kudengar pada hari itu berkenaan Kaisenjyo. Aku fikir mereka akan membunuhku bila-bila masa, terutama ojii-san. Pabila perlakuanku mula menzahirkan isi-isi ramalan Amaguri berkenaan Kaisenjyo itu, mereka akan membunuhku jua.

Namun otou-san, aku harap engkau tidak begitu. Aku harap kasihmu terhadapku kekal begini. Sehingga bila-bila.

**

Berbalik kepada perbualan Ryouji dan Shinji selepas pulang dari misi di rumah perlindungan Segawa...

Mungkin, aku tangguhkan dahulu kisahku di rumah Segawa itu. Aku perlu mengorek sesuatu berkenaan perang yang pernah diramalkan Shinji.

“Ryouji, engkau melihat bukan pedang Kobato? Apakah sama dengan Saishi-tou?”

“Pedang Kobato hanyalah pedang biasa. Saki mungkin sudah membongkarkan formulamu, namun aku yakin Kobato tidak akan berjaya menempanya. Ia bukannya mudah. Tukang pedang di Kogen pun belum dapat menemuinya sebelum engkau sendiri menempanya.”

Shinji menghembus nafas lega. Ryouji hairan melihatnya.

“Mengapa Shinji?”

“Aku fikir pedangku telah membunuh Takasaki-san. Aku hanya risaukan itu.”

“Shinji, aku fikir engkau tidak perlu risau meskipun jika pedang Kobato itu Saishi-tou.”

“Mengapa pula begitu?”

“Takasaki sengaja membiarkan dirinya dibunuh Kobato.”

“Hah? Ryouji, apa hujahmu?”

“Aku fikir mustahil dia dikalahkan Kobato. Kedua-duanya mampu melakukan jurus kesembilan. Aku fikir dia hanya mahu Kobato tenang, dan mahu menebus dosanya dengan Kobato. Dan dia sendiri sudahpun bersedia untuk mati. Mungkin, kerana yakin dengan kita? Aku tidak pasti. Jika dia bersedia untuk mati lama dahulu sudah pasti dia telah membiarkan Kobato membunuhnya ketika kali pertama Kobato datang tahun lepas.”

Itu hanya sangkaanmu Ryouji. Namun aku terima sahaja. Aku tahu engkau mahu menyedapkan hatiku.

“Tahun lepas? Ryouji, maksudmu?”

“Kobato telah datang sebelumnya pada tahun lepas. Engkau dan Tsuneki sedang berada di perpustakaan. Sebentar, apa yang kalian buat di sana?”

E...to... Aku telah berkongsi buku itu dengan Tsuneki...”

Ryouji menampar belakang kepala Shinji. “Engkau ni memang benar-benar tak senonoh! Dan engkau berkongsi pula bahan lucah itu dengan musang itu!”

Itai (sakit)! Tsuneki meminta sebagai bayaran, kerana aku telah memintanya mengajarku memanah tepat. Aku fikir dengan berlatih memanah dahulu baru aku dapat memperbaiki mutu tembakanku.”

“Jadi, apa reaksi Tsuneki?”

“Dia geli-geleman kemudian menangis.”

Bodoh punya musang! Benda begitu pun engkau hendak menangis.

“Apakah dia menangis kerana terharu? Atau ketakutan?”

“Aku fikir dia ketakutan. Dia kata dia tidak akan membuka buku itu lagi.”

Baguslah. Aku suka jika dia tidak membukanya lagi. Aku bimbang musang bodoh itu akan kembali mengulangi perangai bodohnya yang suka mengendap.

“Jadi Ryouji, mengapa Saki dibunuh? Apa motifnya?”

“Kobato memberitahuku yang Saki menghalangnya dari menemui Takasaki.”

“Hanya itu alasannya?”

“Ya. Aku tidak pasti kesakitan apakah yang dialaminya. Aku menyesal mengajarnya jurus tujuh dan lapan. Dia bukan setakat membunuh Saki, bahkan Azusa, dan Takasaki!”

“Bukan salahmu Ryouji. Engkau pun tidak dapat mengagak perangainya.” Shinji cuba menyedapkan hati Ryouji pula.

“Namun apa yang pasti, aku mendapat satu pengajaran besar.”

“Maksudmu?”

“Lawan yang bersembunyi di sebalik nama ‘rakan’, ‘keluarga’, ‘kekasih’, adalah lawan paling berbahaya. Lebih bahaya dari Hamada. Aku perlu lebih berhati-hati di masa akan datang.” Ryouji menyebut ‘lawan’. Padanya Kobato bukanlah musuh. Kobato bermasalah, dan tiada sesiapa yang bersamanya sewaktu dia bertarung dengan dirinya sendiri.

Ryouji menyambung,“Sedang Hamada, dia tidak bersembunyi. Kita tahu dia adalah musuh kita. Namun musuh yang aku perkatakan tadi, tidak mudah dikesan.”

“Ryouji, aku tidak dapat memaafkan Kobato. Atas apa yang telah dilakukannya terhadap Saki.”

“Dia telah menerima balasannya Shinji. Dia lenyap seperti angin pada malam itu. Aku harap engkau dapat memaafkan dia.”

“Ryouji, apa kata-kata terakhir si bangsat itu?” Wajah Shinji mencuka sebaik bertanyakan soalan itu.

“Dia hanya mengucapkan ‘terima kasih Ryouji, satu-satunya sahabatku’, selepas aku mengatakan yang aku masih sahabatnya meskipun dia telah membunuh Saki, Azusa dan Takasaki.”

“Dia langsung tidak meminta maaf darimu?”

“Entahlah Shinji.Jika difikirkan kebiadapannya itu, aku juga tidak mahu memaafkannya. Aku ingin sekali membawanya ke Kogen untuk diadili. Dia tidak menunjukkan rasa bersalah, malah ketawa.”

Shinji menggenggam penumbuk menahan marah. Jika Kobato berada di hadapanku aku tidak akan teragak-agak untuk menumbuknya barang sedas dua.

“Dia sakit, Shinji. Dia sudah lama sakit. Dan kejadian dia dimamah rusuhan tenaga benar-benar tidak dijangka. Aku fikir hanya itu sahaja kali terakhir aku bertemunya. Aku hanya mahu dia pergi dengan tenang. Aku fikir, Tuhan sudah menghukumnya saat itu.”

Mungkin, aku akan memaafkannya suatu hari nanti, getus Shinji. Mungkin, apabila tiba masanya nanti. Apabila aku dapat melupakan Saki. Aku benar-benar tidak menyangka. Aku punya begitu banyak masa di sana, dan hanya beberapa bulan belakangan ini sahaja baru aku menyedari kehadiran Saki dalam hidupku. Mengapa tidak sebelumnya? Mengapa aku mensia-siakan kewujudannya?

Namun kadangkala jika difikirkan kembali, ada baiknya interaksiku dengan Saki sesingkat itu. Jika tidak, mungkin lebih berat untuk aku lepaskan Saki dari memoriku.

Teaser_Buku II

Teaser Buku II: Yoru-no-kaze Teaser ini adalah bab khas dari Kaisenjyo Buku II: Yoru-no-kaze yang sedang aku siapkan. Ia berkenaan satu w...