Novel: Kaisenjyo (Bab 53 / Epilog - Arka I)

BAB 53 (EPILOG ARKA 1)


Saat pertarungan semakin pantas, Mariko melihat peluang terbuka untuk dia meningkat ke jurus kesembilan. Pantas dia merempuh dan menetak leher Tsugiyama. Serta-merta Tsugiyama terjatuh, tidak sedarkan diri. Tidak semena-mena, panah berapi dilancarkan dari jauh, mengenai dada Mariko tepat.

 

Ryouji sudah agak lama sampai di dataran namun dia hanya duduk tidak dapat mengesan Mariko dan Tsugiyama. Ini kerana mereka berada di jurus kelapan dan kesembilan yang pantas dan tidak akan dapat diteliti mata kasar. Ryouji tersentak mendapati Tsugiyama sudah rebah di hadapannya sedang Mariko berdiri dengan pedangnya yang tidak bermata dalam posisi menetak. Tidak lama selepas itu, panah berapi menembusi dada Mariko.

 

“Mariko-san!” Ryouji berlari mendapatkan Mariko.

 

“Ryouji...tinggalkan aku...” Mariko memuntahkan darah sebaik menghabiskan kata-kata.

 

“Tidak, Mariko-san. Aku akan membawa engkau ke kuil Furukawa. Ayuh!”

 

Ryouji mengikat Mariko membelakanginya kerana panah itu masih tercacak di dadanya, bergegas ke kudanya dan pantas menuju kuil Furukawa.

 

Sementara itu, Tatsuya keluar dari persembunyiannya sebaik mereka berdua hilang dari pandangan.

 

“Tsugiyama-san, Tsugiyama-san, Tsugiyama-san!” Tatsuya menggoncangkan tubuh tua itu. Kaku. Dia memeriksa nadi. Tiada denyutan. Tatsuya memapah mayat Tsugiyama dan menguburkannya di tengah-tengah hutan buluh.

 

“Aku telah membunuh perempuan itu. Aku pasti. Panah itu telah menusuk dadanya. Jika aku nampak lagi dia di mana-mana, aku akan pastikan dia mati! Pasti!” Tatsuya menggumam sambil duduk di tepi pusara Tsugiyama.

 

Sementara itu di kuil Furukawa...

 

“Bagaimana, Ayame-san?”

 

Ayame menggelengkan kepala. Mariko sudah tiada.

 

Aku hidup – itu kata-kata terakhir Mariko menurut Ayame, semasa merawat luka yang dalam itu.

 

“Maafkan aku Ryouji. Aku tidak menyangka Tsugiyama akan menyerang seawal pagi begini.”

 

“Bukan salahmu Ayame-san. Mariko-san berdegil tidak mahu meninggalkan rumah itu. Jika dia tidak berdegil sudah pasti dia sekarang dalam perjalanan ke Shirasaka bersama yang lainnya.” Ryouji menyuarakan penyesalannya. Namun nasi sudah menjadi bubur. Kedegilan Mariko telah memakan dirinya.

 

Memori rumah perlindungan itu tenggelam dalam api yang marak, bersama-sama cita-cita murni Mariko yang dipegangnya sejak dari mula. Dia mati mempertahankan perkara yang dipandangnya sebagai nilai sebuah kehidupan. Wajahnya tersenyum pada saat-saat akhir hayatnya.

 

Kalian, anak-anakku, teruskan perjuanganku!

 

*****

TAMAT 

BUKU 1: HAYABUSA , 

ARKA 1: TAKASAKI

 

SETERUSNYA

BUKU 1: HAYABUSA, 

ARKA 2: KOGEN

 

 

***************************************************************************



Novel: Kaisenjyo (Bab 52)

 BAB 52


Awal pagi itu, mereka sudah bersedia.

 

Penunggang kuda masing-masing sudah bersedia dengan para pembonceng. Tawanan mereka diikat kemas agar tidak mudah melarikan diri.

 

“Kalian, jaga diri.” Ryouji berkata sambil melambai tangan.

 

“Jaga dirimu, Ryouji!” Mereka melaung hampir serentak.

 

Onii-san, jaga dirimu. Kita jumpa di Shirasaka.” Hisamiko memeluk Ryouji. Dia kemudian memanjat pelana dan membawa naik Chinami, adik bongsu Chisato. Hisamiko adalah penunggang kuda termuda dalam kalangan mereka. Dia mempelajarinya dengan mengamati Ryouji ketika berlatih. Kemudian dia mencubanya tanpa kebenaran Takasaki dahulu. Melihatkan dia mampu mengawal kudanya, Takasaki akhirnya membenarkan dia menunggang kuda.

 

Aku doakan mereka selamat sampai.

 

Ryouji meninggalkan gerbang buluh itu dan ke rumah. Mariko masih enggan dan berkurung di dalam biliknya.

 

**

 

“Mariko-san, Mariko-san!” Ryouji mengetuk pintu bilik Mariko.

 

“Maafkan aku biadap denganmu semalam. Kami harus bergegas. Orang-orang Tsugiyama sedang menuju ke sini.”


Tiada jawapan.

 

“Mariko-san, aku akan memaksamu keluar. Kami juga tidak mahu kehilanganmu. Maafkan kebiadapanku.”

 

Ryouji menendang pintu gelangsar bilik Mariko.

 

Mariko sudah bersiap dengan pedangnya, terhunus.

 

“Mariko-san... apa yang engkau mahu lakukan?”

 

“Bertarung denganku, Ryouji. Jika engkau menang, bunuh aku. Aku tidak akan meninggalkan rumah ini. Roh Takasaki masih di sini. Aku mahu kehidupanku di sini. Aku juga mahu kalian kekal di sini!” Mariko berkata dengan tangannya terketar-ketar, masih berbolak-balik sama ada mahu bertarung atau tidak dengan Ryouji.

 

“Lupakan cita-citamu Mariko-san. Kita sudah kesuntukan masa.”

 

Sebaik Ryouji menghabiskan kata-katanya, panah berapi menembusi dinding bilik itu, dan hampir mengenai Mariko sebelum Ryouji menolaknya ke tepi. Api mula merebak.

 

Bangsat! Mereka sudah sampai.

 

“Mariko-san, sertai kami. Atau engkau akan mati."

 

“Tidak! Aku akan bertarung dengan mereka. Aku akan pertahankan rumah ini. Ryouji, hormati keputusanku.”

 

“Jika itu yang engkau inginkan, aku tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Mariko-san, aku amat berharap, engkau tidak menyesal dengan keputusanmu.”

 

“Aku tidak menyesal, Ryouji.”

 

Jya, sayonara.” Sebaik menghabiskan kata-kata, Ryouji bergegas meninggalkan rumah itu. Rumah itu mula dijilat api yang semakin marak sedang Mariko masih berkeras mahu kekal di situ. Ia terus-menerus dihujani anak panah berapi.

 

Ryouji terus ke bilik bersebelahan bengkel relau. Dia tahu Tsugiyama pasti akan ke situ mencari rakannya. Mujur tawanannya telah dihantar ke Kogen. Dia melihat Goro sedang terbang berlegar-legar di atas bilik tawanan itu, mengisyaratkan kepada Tsugiyama di persembunyiannya lokasi bau tawanan itu masih di situ. Ryouji bersembunyi menunggu dia keluar.

 

Goro kemudian bertenggek di bumbung bilik itu, sambil menggeleng-geleng kepalanya. Ryouji menunggu lama namun Tsugiyama masih belum keluar.

 

Apakah Tsugiyama sudah tahu tawanan mereka sudah dipindahkan? Ryouji melihat panah-panah berapi yang dilancarkan sedari tadi sudah berhenti. Api di bangunan utama rumah itu semakin marak. Apakah Mariko masih belum mengubah fikirannya?

 

Aku yakin, mereka sekarang bersedia untuk mengejar tawanan kami atau rakan mereka itu. Aku harus menghalang mereka.

 

Di persembunyian di celah-celah belukar, Tsugiyama mendengus melihatkan gelengan Goro. Dia faham itu tandanya Tsugaru dan Tetsugi telah dilarikan ke tempat lain. Bangsat engkau Ryouji! Hanya jika aku datang awal sedikit ke sini.

 

Tsugiyama datang kembali bagi menyelamatkan Tetsugi dan Tsugaru dan menculik Chisato jika dia masih di situ.

 

“Tsugiyama, jika engkau berjaya menculik Chisato, engkau tidak perlu membayar sewa menggunakan Goro.” Tsugiyama terkejut mendengar kata-kata Hagiura tempoh hari. Tsugiyama tanpa banyak soal mengucapkan terima kasih.

 

“Tatsuya, hentikan panahan. Aku yakin rumah itu sudah hampir seratus peratus musnah. Rancangan kita yang pertama berjaya. Sekarang kita akan mengejar Tetsugi dan Tsugaru. Aku akan bergerak dahulu, dan sekiranya aku diapa-apakan, gunakan panahmu. Namun jangan sekali-kali engkau panah musuhku jika aku sedang bertarung dengannya.” Tsugiyama mengingatkan Tatsuya. Dia amat pantang sekiranya pertarungannya dibantu. Maruahnya cukup tinggi , hasil dari bertahun dididik sebagai samurai.

 

“Baik Tsugiyama!”

 

Tsugiyama menunggang kuda menuju ke dataran di hadapan rumah yang sedang terbakar marak itu. Itulah satu-satunya jalan pintas untuk ke tebing Sungai Miya, yang akan membawanya ke utara di mana Shirasaka dan Furukawa terletak. Sedang dia melalui dataran itu dengan pantas, tiba-tiba sebatang panah melayang hinggap pada kuda tersebut. Kuda Tsugiyama tersungkur, dan Tsugiyama sempat melompat turun.

 

“Kita bertemu lagi, Tsugiyama!”

 

Tsugiyama menepuk-nepuk habuk pada kimononya dan bangun. Dia sedikit terperanjat melihat pemanah yang berdiri di hadapannya.

 

“Engkau rupanya, Mariko-san. Setelah 25 tahun engkau menghilangkan diri. Dunia ini sungguh kecil.”

 

“Aku tidak menghilangkan diri. Aku berkahwin dengan Takasaki dan tinggal berdekatan Hamada di Kawamoto selama dua tahun tanpa pengetahuannya. Bukankah engkau juga di situ berkhidmat kepadanya?”

 

Tsugiyama ketawa terbahak-bahak. “Kalian sungguh licik. Aku hairan bagaimana kalian boleh melakukannya. Oh ya, tidak mustahil jika dengan Takasaki. Dia amat sukar dikesan. Aku tidak pernah berjumpa tempat ini sehinggalah selepas kematiannya. ”

 

“Tsugiyama, aku tidak akan melepaskan engkau seperti kali pertama kita bertemu.”

 

“Jangan lepaskan aku, kerana selagi aku hidup akan aku musnahkan rumah ini sehingga tinggal abu semuanya.” Tsugiyama ketawa lagi. Apakah dia fikir dia kelakar?

 

“Aku tidak risaukan rumah ini kerana ia boleh didirikan baru di mana-mana. Aku tidak akan biarkan engkau mengapa-apakan anak-anak kami.”

 

Tsugiyama mengeluarkan katananya sedang Mariko mengeluarkan Saishi-tou-nya. Mereka berdua bergerak berpusingan, menanti gerakan serangan pemula.

 

“Mariko, aku terharu dengan pemergian Takasaki bekas ketuaku itu. Dibunuh oleh kanak-kanak yang diselamatkannya dahulu? Kelakar bunyinya.” Tsugiyama ketawa seraya memulakan serangannya. Mariko pantas mengelak, kemudian cuba menyerang pinggang Tsugiyama yang terbuka dengan Saishi-tou peninggalan Takasaki.

 

“Aku tidak mahu mendengar simpati jijikmu.”

 

Tsugiyama menahan dan mengilas pedang Mariko. Mariko terundur ke belakang, lengan Tsugiyama yang besar tidak berdaya ditahannya.

 

“Akulah yang membantu Takasaki membakar rumah budak itu. Tak sangka dia memilih untuk membunuh Takasaki. Aku sungguh bernasib baik, Mariko.”

 

“Mariko, apa kata engkau lupakan Takasaki, dan hidup denganku? Engkau pun masih cantik.”

 

“Tsugiyama, sama ada aku, atau engkau yang akan mati hari ini.”

 

Mariko berhenti untuk menarik nafas. Aku tidak boleh membiarkan dia mengejar anak-anak itu. Aku harus bertenang dan tumpukan perhatian. Aku lihat, Tsugiyama seperti menahan sakit badannya selepas melompat dari kudanya tadi, terutamanya di pinggang. Pergerakannya tidak licin sewaktu bertarung denganku tadi. Apakah disebabkan dia sakit bertarung dengan Ryouji kelmarin?

 

“Mariko, di mana Chisato?”

 

“Aku tidak akan memberitahumu.”

 

“Aku punya penawarnya jika engkau memberitahu di mana Chisato.”

 

“Kami telah menahan orang-orangmu untuk mendapatkan penawar itu. Aku tidak akan lepaskan engkau. Atas apa yang telah engkau lakukan di kampung nelayan di Osaka itu dan juga rumah-rumah petani yang telah kau bakar selama di bawah Hamada.”

 

Mereka sambung berlawan. Mariko mengurangkan serangan dan banyak mengelak menggunakan jurus lima bagi menjimatkan tenaga dan mencari titik kelemahan Tsugiyama.

 

Ryouji pula sedang bergerak menuju ke belukar hutan untuk menjejaki Tsugiyama. Dia harus berhati-hati atau dihentam panah. Bunyi dan api kebakaran di rumah perlindungan itu menghalangnya dari mendengar bunyi dentingan pedang dan pemandangan pertarungan Mariko dengan Tsugiyama di dataran.

 

Bahagian pintu belakang bilik Mariko sudah berkurang apinya. Namun dia sudah tiada. Ke mana dia menghilang?

 

Ryouji memasuki rumah itu dan meredah asap tebal dan runtuhan yang sudah hangus. Dia berhati-hati berjalan meredah menuju ke pintu hadapan, untuk ke dataran mencari Mariko.

 

Sementara itu di dataran...

 

Mariko mengingat kembali pesan Takasaki beberapa minggu sebelum dia meninggal dunia.

 

“Mariko, Tsugiyama adalah bekas samurai Hamada yang paling berbahaya. Jika ramai bekas samurai lain telah meninggalkannya, Tsugiyama masih setia bersamanya. Dia mencariku dan mahu memaksaku berkhidmat kembali kepada Hamada atau aku akan dibunuh bagi melemahkan Kogen. Aku sendiri tidak mampu mengawalnya sewaktu bekerja dengan Hamada. Bahkan dia lebih dipercayai Hamada dariku.”

 

“Nakatsu, engkau takut dengan bekas pengikutmu?”

 

“Bukan Mariko. Aku tahu aku boleh menewaskannya dengan bertarung. Namun Tsugiyama ini bukan seperti samurai yang biasa. Dia gemar menggunakan taktik kotor, seperti yang digunakan ninja. Sekarang ini dia bekerjasama dengan pakar ubat mencipta pelali baru bagi memabukkan musuh-musuhnya. Maka engkau akan lebih mudah ditewaskan ketika bertarung, sama seperti senjata api pedagang Belanda di Furukawa itu, atau penyumpit fukiya yang membunuh Miura.”

 

“Mariko, jika aku pergi bila-bila masa dari sekarang, engkau harus melindungi anak-anak kita ini dengan nyawamu. Mereka adalah pelapis Kogen yang dipandang tinggi oleh Omi. Okuhida bersaudara dengan kepantasan hayabusa mereka, Shinji dengan kepakaran teknikal, Tsuneki dengan kemahiran memanah tinggi. Chinami dan Chiho...” Takasaki teragak-agak, seperti sudah kehilangan kata.

 

“Mengapa dengan Chinami dan Chiho?”

 

“Engkau tahu apa kebolehan mereka? Aku kurang memerhati mereka kerana menyerahkan sepenuhnya kepadamu dan Chisato.”

 

“Chinami dan Chiho ialah kembar. Engkau tahu bukan jurus kedua yang hanya boleh dilakukan bersama regu? Mereka mampu melakukannya dalam satu sesi latihanku di dataran. Disebabkan mereka kembar, jurus itu tidak memakan tenaga mereka sepertimana pasangan-pasangan regu yang lain.”

 

“Benarkah begitu?”

 

“Ya. Dalam ilmu saintifik Barat, ada disebut berkenaan resonans atau keserasian. Satu bandul berayun jika dihubungkan dengan bandul kedua yang serupa, dan bandul ketiga yang tidak serupa, bandul yang kedua itu berayun hampir sama kuatnya dengan bandul pertama. Kerana kedua-duanya serupa, bandul kedua menerima tenaga tertinggi dari bandul pertama.”

 

“Bagaimana dengan bandul ketiga?”

 

“Bandul ketiga hanya berayun namun sedikit dan tidak sekuat bandul kedua.” Mariko rancak memberi kuliah fizik kepada Takasaki. “Banyak tenaga dari bandul pertama terbazir keluar tanpa diterima bandul ketiga. Tanpa keserasian, pasangan yang melakukan jurus kedua akan keletihan kerana banyak tenaga terbazir.”

 

“Nakatsu, kaminari-no-kaze tidak bercanggah dengan sains dari Barat. Jika bercanggah, mana mungkin pedang Saishi-tou itu dapat membantumu mencapai jurus kesembilan? Ia hanyalah permainan persamaan jisim.”

 

Aku fikir Chinami dan Chiho juga aset berharga untuk Kogen.”

 

“Bagus. Mariko, aku fikir aku sudah boleh berlapang dada. Aku yakin dengan mereka, terutamanya Ryouji. Cuma Ryouji perlu belajar memimpin pasukan. Dia tahu bertarung, namun kepimpinannya perlu diasah lagi. Ryouji terlalu risau akan keselamatan rakan-rakannya sehingga dia tidak mahu melibatkan mereka dalam pertarungan.”

 

“Selain itu, Nakatsu, adakah dia sudah mampu ke jurus kesembilan dalam sedar?”

 

“Ya. Disebabkan dia puak Okuhida, maka mencapai jurus itu pada usia muda dan kurang latihan tidak membahayakan nyawanya. Ditambah dengan pedang Saishi-tou ciptaan Shinji itu.”

 

“Bagaimana pula denganmu?”

 

“Aku juga mampu mencapainya, berkat latihan bertahun-tahun jurus kelapan dan pedang Saishi-tou yang ditempa Shinji itu. Jika tidak mungkin aku tidak mampu mengawal rusuhan tenaga. Aku bukan dari puak Okuhida atau Shirasaka.”

 

“Dan Mariko, satu rahsia yang baru berkenaan jurus kesembilan kutemui. Tulisan Miura punya kesilapan kecil yang perlu dibetulkan.”

 

“Apakah ia?”

 

“Tentang beban emosi. Tentang keperluan membuang tuntutan emosi dan mengejar tujuan utama pertarunganmu. Perkataan ‘beban’ itu sendiri kufikir hanya pandangan Miura. Aku tidak pasti apa alasannya. Namun jika kita memandang tuntutan emosi itu sebagai pendorong, fikiran dan penumpuan dalam pertarungan di jurus kesembilan menjadi lancar.”

 

“Mariko, Ryouji benar. Kita tidak boleh membuang kehidupan. Mengapa aku tidak terfikirkan perkara semudah itu?”

 

“Engkau telah bertahun membunuh orang di bawah arahan Hamada, Nakatsu. Baru sekarang engkau mencari kehidupan. Mana mungkin engkau mampu terfikirkannya. Sedangkan Ryouji itu sendiri penuh dengan kehidupan. Dia datang ke sinipun telah memberi kehidupan kepada penghuni rumah ini.” Mariko cuba mencucuk jarum dalam luka lama Takasaki. Takasaki hanya mendiamkan diri, kerana ia sebuah kebenaran yang pahit. Mariko benar.

 

Berbalik kepada pertarungan dengan Tsugiyama dan Mariko di dataran...

 

Aku fikir mereka sudah jauh dari sini. Aku perlu menamatkan riwayat Tsugiyama. Pinggangnya kulihat bermasalah. Aku akan mencari peluang menyasarkan serangan ke lehernya, dengan berpura-pura menyerang ke pinggang dahulu. Tsugiyama menggunakan jurus ketujuh. Biarkan. Ikuti dia sehingga jurus kelapan.

 

Tenang, Mariko. Engkau telah bersedia untuk mati di sini. Takasaki sudah tiada. Anak-anak itu sudah diserahkan kepada Kogen. Sasaranmu ialah Tsugiyama. Tsugiyama perlu dihapuskan atau lebih banyak kemusnahan yang akan dilakukan. Tuntutan emosi engkau telah dikurangkan, maka mencapai jurus kesembilan menjadi mudah.


Novel: Kaisenjyo (Bab 51)

 BAB 51


Setelah selesai pertemuan dengan Omi, mereka segera bergerak menuju rumah Ryouji dengan kuda masing-masing.

 

Dalam perjalanan, Ryouji perasan seekor hayabusa sentiasa terbang di atas mereka.

 

“Ayame-san, itu hayabusa kamu?”

 

“Benar. Dia memerhati individu mencurigakan dan memberitahuku arah perjalanan yang bebas gangguan.”

 

“Apakah dia punya nama?”

 

“Dia memintaku memanggilnya Momoyama. Aku memanggilnya Momo-chan. Pada mulanya dia tidak suka, namun lama-kelamaan dia terbiasa dengan nama itu.” Ayame ketawa kecil. Pertama kali aku melihat Ayame tersenyum, bertambah seri wajahnya di balik topi kon yang besar itu, getus Ryouji.

 

“Adikku Hisamiko juga punya seekor. Dia menerima nasib yang sama sepertimu.”

 

“Azuchi nama burung itu bukan?”

 

“Hisamiko sudah bertemumu?”

 

“Tidak, Momo-chan yang memberitahuku. Ryouji, setakat manakah Hisamiko sudah diajar?”

 

“Maksudmu?”

 

“Seni kaminari.”

 

“Setakat jurus keenam. Namun amat sukar mendapatkan perhatiannya agar mengikut arahanku. Dia belajar dari pemerhatian dan kemudian mempraktikkan sendiri. Kadangkala melebihi apa yang sepatutnya dia tahu.”

 

Sou desuka?”

 

**

 

Mereka tiba di rumah itu setelah hampir senja. Ayame sudah pulang semula ke kuil Furukawa maka hanya Tsushiko yang mengikut Ryouji ke rumah perlindungan.

 

“Lama benar aku tidak ke sini. Tadaima, Okuhida-san.” Tsushiko bersuara sebaik mereka tiba ke gerbang buluh.

 

Okaerinasai, Goryuuin-san.” Ryouji membalas.

 

Setibanya di rumah, kelihatan bantuan Kogen sudah tiba. Hatsuki dan Natsuki, dari sebuah rumah perlindungan di Shinagawa datang bertemu Ryouji.

 

“Ryouji, ohisashiburi, panjang umurmu. Takziah atas pemergian Takasaki-san.” Hatsuki berkata kepada Ryouji.

 

“Terima kasih kalian kerana sanggup datang ke sini.”

 

Betsu ni, Ryouji. Memang tugas kami.”

 

“Aku mahu melihat tawanan kami sebentar di sebelah bilik relau.

 

Di sebelah bilik relau, terdapat sebuah bilik stor, tempat menyimpan tamahagane dan tempat Shinji menyimpan prototaip rekaan-rekaannya. Di situ tawanan Tsugiyama diikat dan diletakkan. Bilik stor itu dilengkapi tandas dan bilik kolah mandi persis bilik biasa. Oleh kerana bilik relau terpisah dari kompleks bangunan rumah utama, maka ia memerlukan tandas dan bilik mandi sendiri.

 

Bilik itu dikawal oleh dua orang ahli Kogen yang tinggal di rumah itu sejak Takasaki meninggal dunia. Ryouji ke sana seorang diri.

 

“Siapa namamu?

 

“Tsugaru.”

 

“Dan kamu?”

 

“Tetsugi.”

 

“Aku akan melepaskan kalian jika memberitahuku di mana penawar aotsuyu baru yang digunakan Tsugiyama.”

 

“Kami tidak tahu.”

 

“Aku tidak mempercayai kalian. Aku akan beri kalian masa. Atau kalian aku hantar ke Kogen. Di situ kalian akan diseksa sehingga kalian membuka mulut.”

 

“Seksa kami sehingga mati pun, kami tidak tahu.”

 

Ryouji  beredar dan mengunci bilik tersebut.

 

“Tetsugi, agak-agak bila Tsugiyama akan kembali?” Tsugaru bertanya.

 

“Aku tidak tahu, Tsugaru. Aku yakin dia akan membalas dendam dalam masa terdekat. Aku nampak Goro terbang berlegar dari celah tingkap itu tadi.”

 

**

 

“Goryuuin-san...” Ryouji memandang Goryuuin. Goryuuin mengangguk.

 

Malam itu, Ryouji memanggil semua penghuni rumah.

 

“Shirasaka Omi, pemimpin Kogen telah mengarahkan kita meninggalkan rumah ini secepat mungkin. Dia juga mengarahkan rumah ini dibakar termasuk segala isi perpustakaannya.”

 

Shinji mengangkat tangan. “Ya, Shinji.”

 

“Dalam perpustakaan itu ada rekod-rekod penting penyiasatan Kogen. Apakah perlu dimusnahkan juga?”

 

“Ya, Shinji. Kogen memiliki salinan naskhah asal di Shirasaka.”

 

“Bagaimana dengan bengkel relau dan peralatan di dalamnya? Lombong sulfur? Kebun padi huma?”

 

“Biarkan dalam keadaan sekarang. Hanya rumah ini sahaja yang akan dibakar. Shinji, engkau telah menghafal kaedah pembuatan Saishi-tou bukan?

 

“Ya, Ryouji”

 

“Sekiranya engkau ada menulis kaedah tersebut di mana-mana, hapuskan ia. Shinji, sekiranya engkau ada hasil ujikaji perkara-perkara lain yang tidak sempat dihafal namun telah dirakamkan dalam buku catitan, bawa sekali bersamamu.”

 

Shinji mengangguk.

 

“Kalian semua, bawa barang yang penting sahaja. Termasuk senjata kalian. Hisamiko, Chinami dan Chiho, tantou kalian. Tsuneki, busur dan panahmu. Shinji, senjata apimu. Dan Mariko-san, Saishi-toumu. Kita akan melarikan diri dalam masa terdekat.” Sambil Ryouji menyebut nama-nama itu dia memandang penamanya tepat.

 

“Ke mana kita akan melarikan diri, Ryouji?” Tsuneki mengajukan soalannya.

 

“Kita akan melarikan diri dan tinggal di utara, berhampiran Shirasaka.”

 

“Kami memiliki sebuah kawasan yang dilindungi dari penceroboh yang terletak rendah sedikit dari tanah tinggi Shirasaka. Ia amat dekat dengan tanah tinggi tersebut. Maafkan kami kerana tanah tinggi itu sudah padat dan tidak mampu menampung tambahan penghuni, maka Omi-san telah menempatkan kalian di kawasan ini.” Goryuuin menambah.

 

“Oh ya, maaf, izinkan aku perkenalkan diri. Aku Goryuuin Tsushiko, ketua misi-misi khas Kogen. Aku pernah tinggal di sini dua tahun, dan Mariko-san mengenaliku. Ohisashiburi, Mariko-san.”

 

Semua terpegun memandang Goryuuin sebaik mendengar suaranya. Mariko hanya menganggukkan kepala, namun dia kelihatan suram melihatkan kedatangan Tsushiko dan ahli rumah perlindungan dari Shinagawa.

 

“Baiklah, ada apa-apa soalan lagi?”

 

Semua diam.

 

“Baiklah, kita berhenti di sini dahulu.”

 

Selepas semua beredar, Ryouji menemui Mariko.

 

“Mariko-san, maafkan aku bertanya, apakah Takasaki-san ada berpesan apa-apa sebelum dia pergi?”

 

“Ryouji, jika engkau ingin berpindah, pergilah bersama mereka semua. Aku ingin kekal di sini.”

 

“Mariko-san...”

 

“Aku tidak akan kembali lagi ke sana. Aku tidak mahu lagi berada di bawah telunjuk lelaki tua itu.”

 

“Omi-san telah mengarahkan agar rumah ini dibakar...”

 

“Persetankan!”

 

Ryouji terkejut mendengarkan kata-kata Mariko.

 

“Mariko-san, engkau tahu berkenaan tama-no-iwa bukan?”

 

Mariko terus mendiamkan diri.

 

“Orang-orang Tsugiyama hampir menceroboh rumah ini jika aku tidak menghalangnya semalam. Mengapa engkau tidak memberitahuku?”

 

Mariko masih mendiamkan diri.

 

“Mariko-san?”

 

“Ryouji, tinggalkan aku. Aku tidak akan mengikutmu ke Kogen.”

 

“Jika itu yang engkau mahukan, aku tidak menghalang. Akan tetapi rumah ini akan dibakar. Ia arahan Kogen. Bahkan, Takasaki juga telah memberitahu mereka yang kita perlu melarikan diri selepas dia meninggal dunia. Namun engkau memilih untuk menangguhkannya sehingga tama-no-iwa runtuh dan membahayakan nyawa kami.”

 

“Bayangkan Mariko-san, jika orang-orang Tsugiyama sempat masuk dan membunuh penghuni-penghuni yang masih belum mahir bertarung semalam. Engkau bertanggungjawab ke atas perbuatanmu!”

 

Ryouji meninggalkan Mariko.

 

Mariko-san, aku amat berharap engkau fikirkan kembali keputusanmu. Kami juga tidak sanggup kehilanganmu. Cukuplah dengan apa yang berlaku ke atas Takasaki.

 

**

 

Onii-san, sebentar.” Hisamiko memanggil abangnya menunjukkan isyarat dia mahu membisik.

 

Ryouji mendekatkan telinganya dengan mulut Hisamiko.

 

Onii-san, tadi Azuchi memberitahuku yang dia ternampak seekor hayabusa yang besar terbang ke bilik sebelah bilik relau. Dia melihatnya berlegar-legar di atas bilik itu, kemudian menghalaunya.”

 

“Terima kasih Miko.” Dia menepuk lembut kepala Hisamiko.

 

Aku tahu itu Goro. Tsugiyama sudah tahu lokasi tawanan kami. Mereka tidak akan memusnahkan bilik setor ini selagi dia tidak berjaya mendapatkan tawanan kami. Dan pastinya dia tidak jauh dari sini, merancang melakukan serangan dalam masa terdekat.

 

Aku yakin, Tsugiyama akan membuat serangan hendap dalam masa terdekat untuk membalas dendam. Aku harus berjaga-jaga dan peka.

 

“Sebentar onii-san.” Hisamiko memanggil Ryouji ketika dia mahu beredar.

 

“Bagaimana dengan nee-chan?”

 

“Dia masih tidak sedarkan diri. Kotobuki sedang merawatnya di Shirasaka.”


Hisamiko membuat isyarat sambil memandang ke arah lain.

 

Chinami dan Chiho keluar dari persembunyian mereka. “Okuhida-kun, arigatou...” mereka sama-sama tunduk kepada Ryouji.

 

Doumo.” Ryouji menjawab ringkas, tunduk, dan segera beredar. Dia tidak mahu bercerita panjang. Penawar racun yang disuntik ke tubuh Chisato masih belum ditemui. Dengan kata lain, Chisato akan berada dalam keadaan sasau sehinggalah penawarnya ditemui, atau sasau selama-lamanya. Dan dia fikir sekarang bukanlah masa yang sesuai menceritakannya kepada Chinami dan Chiho.

 

Menakutkan. Ryouji menggigil membayangkannya. Segala apa yang aku impikan selama ini akan musnah. Memang, aku akan pergi dalam masa beberapa tahun. Dan semua kesedihan ini akan lesap jua. Namun bagaimana sekiranya sumpah itu terangkat? Apakah aku mampu hidup tanpa Chisato selama-lamanya?

 

Ryouji memandang lengan kanannya. Tanda hitam itu mula mendatangkan bibit-bibit menyakitkan setiap kali dia menggerakkan tangan tersebut dengan kuat, dan ia semakin jelas. Namun kejadian di mana tangan itu tidak boleh digunakan tidak lagi berulang sejak ia berlaku sekali di Kisennuma. Mujur. Jika tidak mungkin aku telah dibunuh Sonzaemon dan pengikutnya di Furukawa, atau mungkin, ketika bertarung dengan Shizuo, Kobato dan Tsugiyama dan pengikutnya. Kerana aku tidaklah terlalu cekap menggunakan tangan kiriku.

 

Malam itu juga Ryouji mengumumkan kepada ahli rumah tersebut yang mereka akan melarikan diri awal pagi esok dan mereka harus bersedia malam itu. Ryouji, Hatsuki, Natsuki dan Tsushiko dan dua orang ahli Kogen bergilir-gilir memerhati rumah itu pada malam tersebut.

 

Perancangan Ryouji esok ialah, keluar dari rumah itu dengan sepantas mungkin tanpa seorang pun ditangkap atau dibunuh, dan membawa tawanannya ke Kogen. Selagi boleh dia tidak mahu menumpahkan darah. Selagi boleh. Tawanan itu akan dibawa dua ahli Kogen tersebut dengan kuda mereka. Hatsuki, Natsuki, Tsushiko masing-masing akan membawa Shinji, Tsuneki dan Chiho atau Chinami. Dari dua baki kuda yang kami ada, satu akan kuberikan kepada Hisamiko dan dia akan membawa salah seorang dari Chinami dan Chiho. Kuda kedua akan ditinggalkan untuk Mariko. Setelah mereka semua berlepas, aku akan menunggu di sini dan cuba memujuk Mariko.


Novel: Kaisenjyo (Bab 50)

 BAB 50


Ayame membawa Ryouji ke bangunan utama, sebuah bangunan kayu dengan atap jerami tebal.

 

Bangunan itu besar dan sebenarnya merupakan sebuah dewan, yang lantainya dilapisi tatami.

 

Ryouji dan Ayame duduk bersila menanti kedatangan Omi.

 

Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang nampak seperti berumur 60-an masuk berjalan dengan tenang. Tidak ada pengawal di kiri dan kanannya.

 

Ojii-sama...” Ayame berkata seraya membongkokkan badannya tanda hormat. Ryouji menurut. Lelaki tua itu menunduk balas.

 

Lelaki tua itu kemudian memandang Ryouji. “Engkau Ryouji anak Okuhida Miura itu?”

 

“Ya, Shirasaka-san.”

 

“Panggil aku Omi-san sahaja. Aku mendengar banyak kisahmu dari Takasaki dan Kotobuki. Anak yang kasihan.”

 

Lelaki tua itu memeluk Ryouji. Ayame hanya melihat sahaja.

 

Kemudian masing-masing kembali ke tempat asal mereka berdiri.

 

“Aku bersedih dengan apa yang telah menimpa Takasaki, dan keluarga Funazuki. Aku benar-benar tidak menyangka dia akan dikalahkan meskipun dia menguasai jurus kesembilan.”

 

Ryouji sebak mendengarnya. Mengingatkan pembunuhan itu dilakukan rakan baiknya sendiri, yang juga anak murid Takasaki. Namun dia tidak lagi mampu menangisinya. Terlalu banyak kematian memeritkan yang dilaluinya dua tiga tahun belakangan ini.

 

Namun Ryouji masih tidak dapat menerima hakikat bagaimana Takasaki dapat dikalahkan oleh Kobato. Takasaki mengalahkan Kobato ketika mereka bertarung sebelumnya, dan dia juga menguasai jurus kesembilan. Apakah Takasaki sendiri yang menyerah kalah atas sebab peribadi?

 

“Ryouji, aku baru mendapat surat dari Mariko. Aku telah menghantar bantuan dari rumah perlindungan di Shinagawa. Engkau kenal bukan, Hatsuki dan Natsuki?”

 

“Ya, aku menemui mereka ketika serbuan tahun lepas.” Ryouji memberitahu, menarik nafas lega mendengarkan khabar baik dari Omi.

 

“Mereka kuhantar bersama seorang lagi petarung wanita dari sini. Goryuuin-san, ke mari masuk!”

 

Seorang wanita yang agak tinggi, lebih tinggi seinci dari Ayame, kelihatan berusia dalam lingkungan dua puluhan dan berkulit cerah dengan rambut panjangnya diikat, masuk mengadap mereka.

 

“Goryuuin Tsushiko desu.” Namanya Tsushiko. Dia menunduk hormat kepada Ryouji.

 

“Okuhida Ryouji desu.” Ryouji membalasnya. Ryouji agak keberatan membawa perempuan di dalam pasukannya, kerana dibimbangi menerima nasib yang sama seperti Chisato. Tambahan pula, mampukah dia menghadapi Tsugiyama? Tahap kemahiran Tsugiyama hanya di belakang Saitou dan antara petarung terbaik kaminari.

 

Tidak, aku sendiri yang akan menghadapi Tsugiyama. Aku akan pastikan tidak seincipun wanita ini disentuhnya.

 

“Ryouji, Goryuuin-san memimpin sepuluh ekspedisi menyelamatkan mangsa pemerdagangan dan pengabaian ibu bapa yang aku lancarkan. Dia telah berkhidmat denganku selama sepuluh tahun sejak datang ke sini pada umur lapan belas tahun. Aku yakin dia dapat membantumu.”

 

Sepuluh ekspedisi? Bererti setiap tahun sekurang-kurangnya satu? Hebat. Bukan calang-calang orang Goryuuin-san ini. Mungkin aku perlu mempercayainya. Namun, risikonya terlalu tinggi. Goryuuin-san cantik orangnya. Jika ditangkap, mereka pasti akan menjual wanita ini. Ia lebih teruk nasibnya dari mati dibunuh.

 

“Dia belajar kaminari terus dari Takasaki dan pernah menghuni rumah perlindunganmu, maka dia tahu selok-belok kawasan rumah itu. Selain itu, dia adalah petarung terbaik yang kami miliki selepas Miura bapamu dan Takasaki.”

 

Ryouji agak terkejut mendengarnya. Ini bererti dia adalah petarung terbaik Kogen, kerana Miura dan Takasaki sudah lagi tiada. Juga mungkin, dia setara dengan Tsugiyama ataupun Saitou!

 

“Ryouji, aku tahu engkau risau. Kogen lebih dari apa yang engkau sangkakan. Ayame juga adalah petarung terbaik kami jika mengambilkira anugerah hayabusa-no-kami yang dikurniakan kepadanya, bersabit perjanjian dengan hayabusa-no-kami yang telah dibuat oleh moyang kami di sini, di tanah tinggi Shirasaka ini, seribu tahun lepas.”

 

Seperti yang pernah diberitahu Kotobuki. Bererti aku dapat melihat siapa Hisamiko di masa akan datang pada Ayame. Sekurang-kurangnya bagi mendapatkan gambaran.

 

“Maaf aku bertanya. Bagaimana dengan ahli puakmu yang telah ditimpa sumpah hayabusa? Apakah dia masih hidup dan melepasi sumpah itu?” Ryouji sengaja bertanya seolah-olah dia tidak tahu. Dia bertanya kerana ingin mendapatkan gambaran dan menyedapkan hatinya.

 

“Mangsa sumpah itu dari kalangan kami telah meninggal dunia. Dia isteri kepada Kotobuki dan ibu kepada Ayame. Dia meninggal sebelum umurnya mencecah tiga puluh. Had umur puak kami lebih sepuluh tahun dari had yang dikenakan ke atas puakmu.”

 

Maka bertepatanlah dengan apa yang telah dikhabarkan Kotobuki kepadaku. Namun, Ryouji semakin tidak sedap hati pula mendengarnya. Apakah tiada harapan langsung?

 

“Ryouji, ajal maut di tangan Tuhan, tiada sesiapapun yang mampu menarik nyawamu sebelum ajalmu tiba. Yakin dengan dirimu, dan sumpah itu pasti akan terlerai. Setakat ini tiada penawar yang mujarab untuk sumpah ini. Shirasaka-no-Hayabusa moyang kami diberikan satu petunjuk berbentuk ayat, oleh hayabusa-no-kami, yang berbunyi: tatkala amarah dibendung, berlalulah awan mendung.”

 

Apakah maksudnya? Ryouji kebingungan. Dia tidak arif bahasa berbunga-bunga. Kemudian dia teringat pesanan yang ditulis Miura pada kertas origami angsa, iaitu segaris ayat di bawah rangkap yang memberitahu lokasi rumah Takasaki. Ayat itu berbunyi seperti ayat yang diperkatakan Omi. Dia menemui ayat itu kemudian sewaktu melawat kubur bapanya pada tahun 1869, ketika dia membuka kembali kertas tersebut.

 

“Aku tidak memahami maksudnya.”

 

“Kami pun. Sehingga Tsubomi, isteri Kotobuki itu meninggal pun kami masih tidak mengerti maksudnya.”

 

“Ryouji, aku ingin bertanya kepadamu di bawah penyaksian Ayame dan Tsushiko di sini, sudikah engkau menyertai Kogen?”

 

“Jika Kogen tetap di dalam usaha murninya seperti sekarang, aku menyertai Kogen dengan rela hati demi memperjuangkan hak orang-orang Yamato yang teraniaya.”

 

Omi tersenyum. Dia meletakkan telapak tangannya ke atas dahi Ryouji dan menyuruhnya memejamkan mata. Ryouji menurut sahaja. Selepas beberapa ketika, dia kemudian mengalihkan tangannya. Ryouji kebingungan, apa yang dilakukan Omi sebentar tadi?

 

Kemudian Omi berpesan kepada Ryouji.

 

“Ryouji, sebagai pemimpin Kogen, aku mengarahkan engkau meninggalkan rumah perlindungan Takasaki dalam masa dua hari, bersama-sama penghuni lain yang masih hidup. Rumah itu akan ditutup dalam masa dua hari, sehingga suatu tempoh yang aku fikirkan sesuai.”

 

“Bagaimana dengan perpustakaan Takasaki?”

 

“Kesemua rekod di dalam perpustakaan itu hanyalah salinan. Naskhah asal disimpan di perpustakaan di sini, di bawah tanah tinggi ini. Salinan itu disimpan di rumahmu bagi memudahkan Takasaki membuat rujukan sekiranya dia menemui petunjuk baharu, tanpa perlu datang ke sini." 


"Bakar perpustakaan itu, dan jangan biarkan sehelai pun terlepas ke tangan orang-orang Tsugiyama.”

 

“Ryouji, bergegas sekarang. Aku bimbang orang-orang Tsugiyama sudah kembali ke sana sebelum engkau tiba.”

 

Ryouji, Ayame dan Tsushiko menunduk hormat kepada Omi. Mereka pulang semula ke rumah Takasaki pada hari itu juga.

 

**

 

Ketika Ryouji dan Ayame dalam perjalanan ke tanah tinggi Shirasaka membawa Chisato yang sedang sasau disuntik aotsuyu baharu, Kotobuki telah bertemu bapanya Shirasaka Omi untuk membincangkan sesuatu.

 

Otou-san, aku diberitahu melalui merpati oleh Ayame yang dia dan Ryouji sedang ke sini sambil membawa rakannya Chisato. Tsugiyama dan orang-orangnya telah menceroboh rumah perlindungan Takasaki dan menyuntik Chisato dengan aotsuyu.”

 

“Kotobuki, mereka semua harus dipindahkan segera. Keselamatan anak-anak itu harus diutamakan. Aku telah menyediakan tempat sementara di bawah lembah ini.”

 

“Bagaimana dengan Mariko?”

 

“Aku tidak boleh menghalang dia. Terpulang jika dia mahu terus tinggal di situ. Namun dia tidak seharusnya membahayakan nyawa anak-anak kita.”

 

Omi menyambung, “Aku menurut permintaan dia mahu tinggal di situ sehingga tama-no-iwanya runtuh kerana aku percayakan dia. Aku percayakan dia akan melapor kepada kita sejurus ia runtuh. Namun dia tidak melakukannya.”

 

Kotobuki menambah, “Dari perkhabaran Ayame, jika Ryouji tiada di situ, Tsugiyama sudah pasti telah menumpaskan Mariko dan yang lainnya. Chisato dan penghuni wanita lain sudah pasti telah diculik dan dijual. Mereka bernasib baik kerana Tsugiyama ditumpaskan Ryouji menggunakan jurus kesembilan.”

 

“Kotobuki, aku akan menerima Ryouji secara rasmi ke dalam Kogen. Aku sendiri akan mengarahkannya berpindah, dan membakar rumah itu. Mariko boleh terus tinggal di situ jika dia mahu, dan aku tidak menghalang. Jika dia mahu mengikut ke sinipun aku tidak menghalang.”

 

Otou-san, akibat serangan itu, Mariko risau Tsugiyama mengulanginya dalam masa terdekat. Dia telah memohon pasukan tambahan dari Kogen.”

 

“Aku tahu. Merpatinya telah sampai dinihari tadi. Aku telah menghantar dahulu pasukan kita yang berdekatan, dari Shinagawa, bagi memerhatikan mereka buat sementara waktu, dan juga Goryuuin-san. Mereka semua mesti dipindahkan segera dan rumah tersebut mesti dimusnahkan dengan dibakar. Aku tidak mahu orang-orang Yoshitsugu menyalin hasil penyelidikan Shinji dan siasatan Takasaki.”

 

“Nampaknya Mariko-san masih membenci tanah tinggi ini. Apakah ada cara lain untuk mengubah fikirannya?”

 

“Bukan mudah Kotobuki. Jika dia di sini aku akan pastikan dia tidak dapat meninggalkan kita menggunakan kuasaku. Namun dia di luar. Jika kita memaksanya, maka kita akan dituduh menculik dan akan memburukkan nama kita di hadapan Maharaja.”

 

“Dia mengahwini Takasaki sebaik mendengarkan yang kita akan menempatkan Takasaki ke sana. Dia memanfaatkan cinta Takasaki terhadapnya demi kepentingan dirinya. Keinginannya untuk melarikan diri dari sini amat kuat.” Kotobuki menambah.

 

Omi menyambung, “Sayang, dia seorang yang bijak. Berpendidikan Barat. Banyak yang boleh disumbangkan di sini. Aku tidak faham mengapa dia begitu berminat menjaga rumah perlindungan.”


Novel: Kaisenjyo (Bab 49)

 BAB 49


Ryouji membawa Chisato menunggang kuda bertemu Kotobuki malam itu juga. Mereka sampai di kuil Furukawa yang beronsen ketika fajar mula menyingsing.

 

“Kotobuki-san! Kotobuki-san!” Ryouji melaung-laungkan nama sami itu.

 

Keluar seorang gadis berusia dua puluhan.

 

Otou-san tiada. Okuhida-san! Ada apa yang boleh kubantu?”

 

“Kami telah diserang Tsugiyama dan orang-orangnya. Chisato disuntik aotsuyu. Kami perlukan bantuan Kotobuki-san.”

 

“Chisato!” Ayame meluru ke arah Chisato dan memaut tubuhnya turun dari kuda Ryouji. “Mari, aku akan cuba merawatnya sendiri dahulu. Otou-san di Kogen atas urusan mustahak.”

 

Ayame membantu mengeluarkan racun tersebut dari tubuh Chisato menggunakan teknik akupunktur yang diajarkan Kotobuki namun belum pernah dipraktikkan. Chisato muntah darah, namun masih belum reda sepenuhnya. Dia masih dalam keadaan separa sedar.

 

“Okuhida-san, aku fikir dos suntikan ini lebih tinggi dari yang pernah disuntik pada Azusa dahulu. Aku berjaya mengeluarkan separuh sahaja dari Chisato. Maafkan aku. Engkau perlu menghantar Chisato ke Kogen. Di sana Kotobuki-san akan menyambung merawatnya.”

 

“Shirasaka-san...”

 

“Panggil aku Ayame sudah mencukupi.”

 

“Terima kasih sungguh-sungguh, Ayame-san!” Ryouji menundukkan kepalanya mengadap Ayame.

 

“Ryouji, sebentar. Adakah Tsugiyama berjaya memasuki rumahmu?”

 

“Ya, dua orang pengikutnya telah aku berkas.”

 

“Ryouji, mereka semua dalam bahaya.”

 

“Mengapa engkau fikir begitu?

 

“Jika mereka sudah menceroboh, bererti tama-no-iwa kalian sudah runtuh.

 

Tama-no-iwa? Di situ juga ada tama-no-iwa?"

 

“Ya, batu semangat atau penanda. Aku bilang puakmu juga ada satu di lembahmu, dan engkau pernah dibawa bapaku melihatnya, di lembah Okuhida?”

 

Benar, Kotobuki pernah membawa aku ke sana. Tiang batu itu ialah penanda yang ditanam di tengah-tengah lembah Okuhida oleh moyangku Zenzaburo.

 

“Tiang batu itu ialah tama-no-iwa bagi puakmu. Lembah Okuhida berpusat di tiang itu. Puak kami juga memilikinya. Tanah tinggi Shirasaka berpusat pada tiang batu kami. Tiang ini hanya akan lenyap sekiranya tiada lagi ahli puak berkaitan yang masih hidup.

 

“Apa kaitannya dengan Takasaki dan rumah perlindungan itu?”

 

“Semua rumah perlindungan Kogen memiliki satu potongan batu ini yang ditanam di dalam kawasannya bagi menghalang penceroboh termasuk binatang buas. Tuan atau penjaga rumah, dalam kesmu Takasaki-san, telah membuat perjanjian dengan hayabusa-no-kami secara tambatan dengan puak kami. Ia secara tambatan, kerana kami itu tidak lagi menerima perjanjian baru seperti nenek moyang kita.”

 

Maka fahamlah Ryouji mengapa hanya orang-orang tertentu yang dapat memasuki rumah perlindungan itu, dan juga hanya orang-orang tertentu yang dapat memasuki lembah Okuhida.

 

“Jika Takasaki mati, tiang itu akan runtuh dalam masa tiga bulan atau kurang. Setelah runtuhnya tiang itu, maka rumah perlindunganmu akan terdedah kepada pencerobohan.”

 

“Di mana letaknya tiang itu di rumahku? Ada sesiapa selainmu yang tahu berkenaan perkara ini, Ayame-san?”

 

“Ia terletak di kawasan puing kuil Shinto lama di situ. Buat masa ini, hanya Mariko-san sahaja yang tahu selain kami. Ryouji, Mariko-san sudah menghubungi Kogen?”

 

“Aku sudah memintanya memberitahu Kogen agar menghantar bantuan.”

 

“Menghantar bantuan sahaja? Ryouji, kalian harus melarikan diri segera. Aku tidak tahu sejauh mana kekuatan Tsugiyama.”

 

“Aku tidak fikir Tsugiyama akan mengulangi serangannya dalam masa terdekat. Dia cedera teruk selepas bertarung malam tadi denganku. Aku bilang kita masih boleh mencuri sedikit masa. Tambahan pula sudah ada beberapa orang Kogen sedang mengawasi rumah itu.”

 

Mereka bergegas ke kuda masing-masing, selepas Ayame berpesan sesuatu kepada penjaga kuil itu. Chisato diikat di belakang Ryouji dengan kain pengendong yang Ryouji selalu gunakan sewaktu dia mengendong Hisamiko dahulu. Mereka akan bergerak ke utara menuju pergunungan Tateyama, di dalam Wilayah Kodama, yang diperintah oleh gabenornya Yoshitsugu Hagiura.

 

“Orang-orang Yoshitsugu telah menambahbaik racun aotsuyu dengan meningkatkan dos dan kesannya. Ramai mangsa-mangsa baru tidak dapat disembuhkan dengan penawar kami dan otou-san telah dipanggil Kogen ke sana bagi merawat mereka.” Ayame memberitahu sebab Kotobuki tiada di kuil.

 

“Di Kogen terdapat sebuah pusat rawatan racun. Apabila pasukan kami menyelamatkan gadis-gadis yang akan dijual sebagai karayuki, kami akan merawat mereka yang diracun dengan aotsuyu di pusat rawatan tersebut.”

 

Hari hampir tengahari dan mereka melintas pesisir pantai perkampungan Onuma, Wilayah Kodama mengadap Laut Jepun. Inilah kampung halaman Tsuneki si musang itu, getus Ryouji sambil tersenyum mengingati Tsuneki, namun dibayangi kesedihan dan kerisauan melihatkan perubahan sikapnya yang mendadak selepas kematian Takasaki. Harapnya Tsuneki dan yang lainnya selamat di rumah itu sementara menanti bantuan Kogen.

 

Hari itu cerah dan dapat dilihat nun jauh dari pantai tersebut berbalam-balam kelibat banjaran pergunungan Tateyama berwarna kelabu dan puncaknya dilitupi salji memutih.

 

Shirasaka-no-kogen terletak di tengah-tengah banjaran itu.” Ayame menunjuk ke arah pergunungan Tateyama, masih memimpin mereka menunggang kuda.

 

Mereka sampai di Kogen hampir tengahari.

 

Shirasaka-no-kogen e youkoso, Ryouji. (Selamat datang ke tanah tinggi Shirasaka, Ryouji)” Ayame mengalu-alukan Ryouji.

 

Tanah tinggi Shirasaka ialah sebuah lembah yang ditumbuhi bungaan liar, sama seperti lembah Okuhida. Bezanya Shirasaka terletak di tanah tinggi dan suhunya lebih rendah meskipun di musim panas. Salji-salji yang mencair dapat dilihat pada dedaunan di situ, barangkali turun pada malam sebelumnya. Sekeliling lembah itu dipagari bukit-bukau yang dilapisi lumut dan puncaknya dilitupi salji yang tebal. Meski salji yang tebal di puncak itu sentiasa mencair mengairi tanah tinggi tersebut, ia tidak pernah lenyap dan senantiasa memutihinya, memberi julukan 'salju yang tidak pernah mencair hanya di Shirasaka-no-kogen', iaitu sebaris ayat pengesahan yang pernah digunakan Miura sewaktu bertemu Takasaki di Furukawa dahulu.

 

Mereka tiba di sebuah kawasan yang dipenuhi rumah-rumah berbumbungkan jerami tebal. Ryouji terpegun dan tidak menyangka terdapat masyarakat yang membina perkampungan di atas gunung begini. Jika difikirkan, Furukawa itu juga di celah-celah gunung. Namun apa yang menghairankan ialah masyarakat ini tinggal di lembah yang tinggi di tengah-tengah banjaran Tateyama, tidak seperti Furukawa yang didirikan di lurah di antara pergunungan Hidagawa.

 

Kampung tersebut berlatarkan sebatang air terjun yang mengalir dari salah sebuah bukit yang memagari lembah itu. Airnya jernih, kerana datang dari salji yang mencair di puncak gunung berdekatannya. Sungai itu mengalir merentasi perkampungan dan menjadi sumber pengairan kepada pelbagai jenis tanaman, termasuklah padi yang dapat dilihat di mana-mana di situ.

 

Lembah ini nampak lebih hidup berbanding Okuhida, fikir Ryouji.

 

“Ayame-san!” Seorang petani membongkokkan badannya tanda hormat sebaik melihat Ayame melintas dengan kudanya. Ayame menundukkan kepalanya membalas.

 

“Kouga-dono. Di manakah bapaku? Seorang lagi mangsa aotsuyu perlu dirawat segera.”

 

“Kotobuki-san masih di bangunan rawatan sejak awal pagi tadi lagi. Ayame-san, ingatkan dia sarapannya. Aku bimbang dia kerap melangkau waktu makannya sejak datang ke sini. ”

 

“Terima kasih Kouga-dono memberitahuku. Aku pasti akan mengingatkannya itu. Ayuh lekas Ryouji!” Ayame tunduk meminta diri kepada petani bernama Kouga itu kemudian menoleh memandang Ryouji.

 

Mereka memecut kuda mengikut sebuah denai di tengah-tengah bendang. Beberapa orang petani di kiri dan kanan mereka terus membongkok tunduk sebaik melihat Ayame melintas. Ryouji faham Ayame bukan sembarangan manusia di sini, dia ahli keluarga Shirasaka, iaitu puak yang mengasaskan Kogen.

 

Ryouji terfikirkan apakah dia akan berkesempatan bertemu dengan Shirasaka Omi, pengasas Kogen yang pernah dikisahkan Takasaki itu?

 

**

 

“Ryouji. Panjang umurmu.” Kotobuki menyambut Ryouji dengan menunduk hormat. Ryouji membalas tunduk.

 

“Rakanku telah disuntik aotsuyu oleh Tsugiyama."

 

“Aku cuba mengeluarkan racun itu seperti ajaranmu, namun hanya separuh berjaya dikeluarkan. Dosnya tinggi kali ini.” Ayame menambah.

 

“Bukan dos, Ayame. Ia racun aotsuyu dengan ramuan baru. Aku bimbang darah yang keluar dari akupunktur engkau ke atas Chisato tidak langsung mengeluarkan racun itu. Keluarga Yoshitsugu menambahbaik ramuannya setelah mengetahui penawar ciptaanku menyembuhkan ramai gadis-gadis yang menjadi mangsa mereka.”

 

“Takamine si bangsat pembuat aotsuyu itu mensia-siakan kebijaksanaannya, menggunakannya untuk menghancurkan wanita-wanita di negara ini.” Kotobuki melepaskan geram yang terbuku di hatinya, mengepal penumbuknya. Jelas dia sedang marah, namun wajahnya masih tenang. Dia tertekan, kerana bilangan mangsanya semakin ramai sedangkan dia tidak dapat berbuat apa-apa.

 

Ryouji melihat di belakang mereka deretan katil-katil yang dihuni oleh gadis-gadis yang merupakan mangsa-mangsa aotsuyu. Mereka dalam keadaan sasau. Ada yang duduk di atas katil, matanya terbuka luas, anak matanya membesar dan termenung sasau. Ada yang terbaring lemah sambil menangis dengan lolongan kecil, tidak tahu apa yang ditangiskan. Mereka semua adalah mangsa-mangsa baru, Kotobuki memberitahu, seawal seminggu yang lepas. Mereka dibawa ke sini setelah diselamatkan oleh Kogen. Yang tidak disuntik akan diletakkan di rumah anak yatim Kogen, manakala yang disuntik aotsuyu akan dihantar ke sini untuk rawatan. Mereka yang disuntik ini selalunya adalah gadis-gadis yang degil dan kerap melawan, maka orang-orang Yoshitsugu akan menyuntik aotsuyu bagi menundukkan mereka.

 

“Kotobuki, tolong, lakukan sesuatu!” Ryouji mengalirkan air mata, dia tidak sanggup melihat Chisato menerima nasib yang sama.

 

“Ryouji, aku sedang berusaha. Beri aku sedikit masa.”

 

Masa. Apakah ada cara yang lebih pantas untuk memperolehi penawarnya?

 

Ryouji duduk di atas lantai menenangkan fikiran. Kotobuki melihatnya aneh. Apakah nasihatku ketika di Okuhida sudah meresap ke dalam dirinya?

 

“Kotobuki, barangkali mereka sudah ada penawarnya.”

 

“Siapa?”

 

“Tsugiyama dan orang-orangnya. Ketika mereka menyerang aku semalam, rakannya juga disuntik. Barangkali Chisato melawan mereka dan menyuntiknya. Jika rakannya itu sudah tidak lagi berguna, Tsugiyama pasti akan membunuhnya. Namun tidak, dia membawa rakannya itu pulang bersamanya.” Ryouji mula menyedari mengapa baru sekarang dia terfikirkan perkara tersebut. Kemudian dia terfikirkan dua orang rakan Tsugiyama yang ditahan di rumah itu. Mungkin aku boleh mendesak mereka mendedahkannya.

 

“Apakah engkau pasti?”

 

“Ya. Dua orang rakannya telah kutahan di rumahku.”

 

“Takamine selalunya mencipta racun namun tidak penawarnya. Mungkin kali ini berbeza.” Kotobuki menyuarakan pandangannya.

 

“Ryouji, tinggalkanlah dahulu Chisato di sini sementara untuk dirawat. Penawar aotsuyu yang lama berkesan melambatkan kesan aotsuyu baharu ini. Harapnya dengan cara ini aku dapat membeli masa untuk mencipta penawar baru.

 

Selain itu, Ryouji, disebabkan engkau sudah di sini, aku bilang engkau patut bertemu bapaku, Shirasaka Omi. Dia sudah lama menyuarakan keinginannya mahu bertemumu.”

 

“Shirasaka Omi? Pengasas Kogen itu?” Ryouji cuba mengingat maklumat dari Takasaki dan Chisato.

 

“Benar. Seperti yang mungkin telah engkau dengari dari Takasaki-san, Omi bapaku adalah pengasas Kogen. Anakku Ayame bekerja bersama pasukan-pasukan Kogen menyelamatkan anak-anak yatim. Sementara aku ditugaskan sebagai pengintip dan sami di kuil Furukawa beronsen yang engkau pernah lawati itu.”


Teaser_Buku II

Teaser Buku II: Yoru-no-kaze Teaser ini adalah bab khas dari Kaisenjyo Buku II: Yoru-no-kaze yang sedang aku siapkan. Ia berkenaan satu w...