BAB 43
"Takasaki-san, aku mahu keluar."
"Engkau mahu mengejar Kobato, bukan?"
Ryouji mengangguk. Dia fikir dia perlu mendekati Kobato dan memujuknya. Kobato adalah teman rapatnya meskipun cuma setahun mereka berkenalan. Kobato kerap berbincang hal peribadi dengannya.
"Ryouji, aku tidak benarkan."
"Maka aku terpaksa mengingkarimu."
"Ryouji!" Melihatkan Ryouji mulai bergegas menuju ke gerbang buluh, Takasaki berkeras menahannya.
"Tidak bolehkah engkau dengar kataku sebentar?! Aku tahu di mana tahapmu. Engkau bukan tandingan Kobato."
"Maksudmu?" Ryouji bertanya perlahan, nadanya keletihan. Letih dengan Takasaki yang gemar menerangkan perkara baru yang dia tidak tahu yang banyak mengubah rancangan dan juga apa yang dia fikirkan berkenaan sesuatu.
"Ketika dia bertarung denganku tempoh hari, kepantasannya luar biasa. Ia di antara jurus kelapan dan kesembilan. Ia boleh dicapai dengan tumpuan yang penuh, barangkali zen."
"Zen? Takasaki, aku tidak faham apa yang engkau karutkan. Aku mohon engkau tidak menghalangku. Dan jika benar katamu, bagaimana pula engkau boleh mengalahkannya?"
"Nasibku baik pada hari itu. Dia masih mentah dalam menstabilkan diri pada kepantasan itu. Ketika dia tidak sengaja memperlahan di jurus tujuh, aku mengambil kesempatan menyungkurkannya."
"Ryouji, Kobato memilih untuk melepaskan segala-galanya dan menyasarkan aku sebagai sasaran utama hidupnya, mungkin itu membolehkannya mencapai zen tanpa disedari, yang mungkin kunci kepada jurus kesembilan kaminari. Engkau mungkin akan dibunuhnya. Kobato yang datang pada hari itu bukan lagi Kobato yang engkau kenali."
Ryouji duduk di atas teratak kerikil itu, membantutkan perjalanan ke gerbang buluh.
"Ryouji, fikir. Tidak berbaloi engkau keluar begini. Engkau pun belum menguasai jurus kesembilan. Aku fikir engkau perlu menguasai jurus kesembilan dahulu jika engkau mahu bertemunya."
Ryouji diam dan terus duduk di atas teratak kerikil itu, cuba menghadam kata-kata Takasaki. Dia menutup wajah dengan tangan. Kobato, apa yang membuatmu berubah begini? Perlukah aku mengorbankan persahabatan kita dengan mempercayai Takasaki? Engkau keseorangan bukan? Engkau tiada ibu, tiada bapa, tiada kekasih, tiada adik-beradik, tiada rakan. Siapa lagi yang akan mendengarmu selain aku?
Kobato, engkau seorang yang kasihan. Ryouji membuka tekupan tangannya. Matanya berair.
Hisamiko dan Chisato sedang memerhatinya dari dataran luas. Mereka sudah bersiap sedia mengekori Ryouji sekiranya dia keluar tanpa kebenaran lagi. Azuchi pula seperti biasa sedang bertenggek melihat drama itu dari atas pohon shirakaba.
**
Awal musim
panas, 1871 (selepas misi pertama Ryouji dan selepas Kobato pulang dari
menyerang Takasaki)
Saki mencari-cari
di manakah buku berkenaan senjata seperti yang pernah dilihatnya di dalam
perpustakaan itu lebih setahun yang lalu, ketika Kobato memintanya mengkaji
latar belakang Takasaki. Dia ada ternampak buku itu di atas meja Shinji namun
sekarang sudah tiada. Mungkin diletakkan kembali di rak yang betul.
Di dalam buku itu
mungkin terkandung seni pembuatan senjata termasuk katana.
Semalam, Saki
menerima surat dari Kobato, memintanya mencari ramuan katana yang digunakan Takasaki, yang membolehkan dia meningkat ke
jurus tinggi kaminari-no-kaze.
Kobato kerap
mengutus surat kepada Saki sejak meninggalkan Mitsuhide si tukang pedang itu. Dia berpura-pura
menyukai Saki, sedangkan dia punya motif terselindung. Isi-isi surat yang
dihantar adalah ayat-ayat dan janji-janji manis. Sehinggalah surat yang
terbaru, yang berisi permintaan kedua sejak kali pertama dia meminta tolong
Saki.
“Saki, aku memerlukan pertolonganmu. Rompakan
kerap berlaku di Nakasendo baru-baru ini. Perompak di situ menggunakan pedang
yang lebih ringan. Aku yakin Takasaki tahu bagaimana membuatnya. Dapatkan aku
cara dan bahan yang diperlukan bagi menghasilkannya. Aku ingin membantu para
pedagang yang melalui kawasan ini. Seperti permintaanku yang lalu, jangan
bocorkan kepada mereka.” Kobato menipu di dalam surat tersebut. Dia
sebenarnya mahukan resepi pedang itu bagi membunuh Takasaki. Dengan pedang yang
lebih ringan, dia akan dapat mencapai jurus kesembilan dan memudahkannya
membunuh lelaki tua itu.
Saki tidak
mengesyaki apa-apa. Padanya, gaya penulisan Kobato menggambarkan yang dia punya
cita-cita mulia menjaga keamanan negara, maka dia memerlukan pedang yang lebih
ringan dan kuat.
Aku perlu bertanya
kepada Shinji. Tidak! Aku tidak boleh sekali-kali membocorkan rahsia. Bagaimana
ya?
Dia teringat
buku-buku yang bersepahan di meja Shinji. Di situ ada buku pembuatan senjata.
Saki menemui kembali buku
itu di rak setelah berhari-hari mencarinya. Dia membelek-belek. Tiada satupun yang berkaitan. Kemudian dia
bertukar ke buku lain, juga berkaitan senjata. Selepas sejam berlalu, masih
tidak ditemukan muka surat yang berkaitan, meskipun sudah habis kesemua
buku-buku berkenaan senjata yang ditelaahnya.
Saki hampa. Apakah
dia perlu bertanya Shinji? Tidak, aku perlu menahan diri. Jika terbongkar,
Kobato pasti akan hampa denganku dan meninggalkan aku berseorangan.
Apakah rancanganku?
Memang Mariko-san ada mengajar kami pelajar perempuan menempa katana, namun aku selalu melangkau kelas
tersebut. Aku amat tidak meminatinya. Perempuan menempa katana? Langsung tidak sesuai. Itu kerja lelaki. Tetapi bukankah
aku juga melakukan kerja-kerja lelaki dengan melombong? Ah, persetankan.
Bilakah Shinji akan
keluar dari bengkel relau? Aku akan cuba memasukinya senyap-senyap. Atau,
mungkin aku boleh bertanya kepada Mariko, tanpa mencurigakan dia.
Saki menyuarakan
hasratnya mahu mempelajari semula kaedah membuat katana kepada Mariko. Disebabkan Mariko sibuk, maka dia meminta
Shinji mengajarnya.
Nampaknya
terpaksalah aku berjumpa Shinji juga. Apa alasanku sekiranya dia bertanyakan mengapa
aku berminat dengan seni pembuatan pedang? Aku tidak boleh mendedahkan nama
Kobato. Hah, sungguh tinggi risikonya. Aku perlu merancang kata-kataku.
**
“Funazuki-san, aku
lihat engkau tiba-tiba berminat dengan pedang. Mengapa?”
“E to, aku jadi berminat setelah banyak
membaca buku-buku di perpustakaan itu.” Saki memberikan alasan.
Sekurang-kurangnya dia tidak menipu. Memang benar dia agak kerap juga
mengunjungi perpustakaan itu sejak tahun lepas. Namun kebanyakan buku yang
dibacanya adalah novel-novel cinta zaman Sengoku dan hanya sedikit buku-buku teknikal seperti
Shinji.
Dia melihat Shinji
menempanya tanpa seorang pembantupun. Hebat. Setahu aku penempa pedang terdiri
dari sekurang-kurangnya dua orang, dari pembacaan di perpustakaan itu.
“Selepas tamahagane yang panas ini berada pada
suhu begini, pada warna putih kebiruan, dan benar-benar mulur apabila diketuk,
barulah ditambahkan bebola kuning ini. Engkau harus memilih bebola yang betul,
yang warnanya hampir merah dan sedikit jingga. Itu resin yang matang, dan akan
memberi kesan kepada bilah ini.”
“Apakah itu?” Saki
teruja ingin tahu. Dia merujuk kepada bebola berbentuk sedikit bujur itu yang lain dari
kebiasaan. Ia kuning berkilau dan hampir merah dengan sedikit warna jingga.
“Batu resin dari
pokok aomomiji.”
“Aomomiji?”
“Pokok yang hanya
ditemui di lembah Shirasaka, dan lembah Okuhida. Seperti momiji, namun daunnya biru sepanjang musim.” Shinji mengulas apa yang dia tahu dari Takasaki. Takasaki telah memberikannya resin itu dan menjelaskan asal-usulnya setelah didesak Shinji.
“Bagaimana aku
boleh mendapatkannya?”
“Pergilah ke lembah
itu, toreh batang pokok tersebut dan tadah resinnya, biarkan ia membeku sendiri. Namun engkau hanya boleh memasukinya jika engkau sami Shinto, atau
keturunan puak penjaganya, atau engkau perlu mendapat kebenaran khas dari puak
tersebut.” Shinji memetik kata-kata Takasaki sekali lagi.
“Puak yang
menjaganya?”
“Puak Okuhida dan
Shirasaka, bergantung kepada lembah yang mana. Di sini ada dua orang ahli puak
Okuhida, penjaga lembah Okuhida. Engkau pun tahu siapa. Di Shirasaka pula, aku
tidak tahu.”
“Siapa yang tahu?”
“Mungkin engkau
perlu bertanya Takasaki. Funazuki-san, engkau banyak benar bertanya.” Shinji
menyuarakan kehairanannya melihat perangai Saki pada hari itu.
“Tiada apa-apa. Aku
cuma berminat, batu ini cantik namun dileburkan untuk membuat katana. Sayang.” Saki memberikan alasan
paling munasabah yang boleh diterima Shinji yang tajam. Dia perlu berhati-hati.
“Benar. Jika dibuat
kalungan, amat cantik sebenarnya.” Shinji mengiyakan. Meskipun Saki seperti
lelaki luarannya, sama seperti Azusa, di dalam jiwanya masih terselit keinginan seorang wanita, fikir Shinji.
Saki mula
kebingungan. Rumitnya cara untuk mendapatkan batu resin kuning itu! Aku tidak
mahu melalui Takasaki, mahupun Ryouji, dan Hisamiko. Lebih ramai yang tahu,
lebih bahaya untuk Kobato.
“Tidak ada cara
lain yang lebih mudah bagi mendapatkannya?” Saki bertanya lagi, tidak berputus
asa.
“Engkau perlu
berjumpa Takasaki-san. Aku tidak tahu.” Jawab Shinji, mulai rimas.
Takasaki lagi!
**
Imbas kembali, awal
musim bunga 1870 (ketika Ryouji pulang dari Kisennuma bersama Chisato)
Seorang penjual
cenderamata menemui Takasaki di luar rumahnya di tebing Sungai Miya.
“Takasaki-san, engkau pernah mendengar bukan
bagaimana tukang pedang kita di Kogen menemui bilah paling ringan dan kuat
tanpa sengaja?”
“Ya. Batu resin
yang dipakai di kalungannya terjatuh ke dalam lipatan tamahagane yang sedang ditempa bersama pembantunya, mencair dan
bergabung dengannya.”
“Bilah yang
terhasil amat ringan dan paling kuat. Dan mereka meniru semula kejadian
tersebut, namun masih tidak dapat menghasilkan bilah dengan ciri sama.” Tambah
penjual cenderamata itu, kemudian menyambung, “Takasaki-san, aku ingin menyampaikan pesan dari Shirasaka Omi-sama, pemimpin kita. Dia telah mendengar
salah seorang penghuni rumahmu mahir menempa bilah.”
“Aku yang
memberitahu dia.”
“Oh sou desuka (yakah begitu)? Baiklah,
begini pesannya, dia meminta kalian mencari proses yang tepat bagi menghasilkan
bilah tersebut sekali lagi, dan merekodkan proses tersebut. Gunakan batu resin
ini.” Penjual cenderamata itu menyuguh beberapa butir batu resin berwarna
kuning kepada Takasaki.
“Baiklah, terima
kasih Inoue-san. Alang-alang engkau
ke Kisennuma, sekiranya engkau ternampak seorang remaja lelaki memakai haori gelap dan wanita memakai haori biru dan topi kon, pelawa mereka
membeli rantai dengan batu resin kamu itu. Jika mereka tidak mengendahkanmu,
beri sahaja kepada mereka. Aku akan membayarmu kemudian.”
“Serahkan kepadaku
Takasaki-san. Jya, mata ne!” Lelaki itu berlalu pergi.
“Shinji, lihat
ini.” Takasaki memanggil Shinji ke pejabat.
“Apakah ini
Takasaki-san?”
“Resin beku dari pokok aomomiji (momiji biru)."
"Pokok aomomiji? Apakah itu?"
"Pokok yang hanya tumbuh di lembah Okuhida dan Shirasaka. Pokok dengan daun momiji yang kekal biru sepanjang musim.”
Lembah Okuhida dan Shirasaka? Mengapa aku seperti pernah mendengar nama itu, terutama Okuhida?
"Takasaki-san, apa maksudmu lembah Okuhida dan Shirasaka?"
Takasaki tersentak mendengar soalan tersebut. Dia tidak sepatutnya menyebutnya tadi. Shinji mendesaknya mendedahkan. Dia memberitahu lembah Okuhida dijaga oleh keturunan Okuhida dengan kuasa mistik. Shinji faham dan menerimanya, kerana dia sememangnya tahu yang Ryouji punya kuasa hayabusa dan membolehkannya bertarung aneh serta menyeru hayabusa.
“Tugasmu Shinji,
ialah mencari proses tepat bagi menghasilkan bilah yang sesuai untuk kaminari-no-kaze, atau sebarang bilah
yang ringan tetapi kuat, dengan mencampurkan bola-bola ini ke dalam adunan
bilahmu.”
“Aku akan cuba,
Takasaki-san. Sekarang pun aku sedang bosan selepas selesai projek penembak edamame itu.”
**
Berbalik pada tahun 1871
Malam itu Ryouji tidak dapat melelapkan mata. Sejak Kobato datang bertarung dengan Takasaki pada hari itu, Ryouji tidak berhenti memikirkan rakan lamanya itu. Apa yang telah berlaku sepanjang dia meninggalkan rumah ini? Mengapa dia berubah sebegitu drastik?
Ryouji menyusup keluar perlahan-lahan dari biliknya, menuju ke koridor utama. Seperti biasa, Shinji masih tidur dengan buku menutup wajahnya dan Tsuneki dengan memeluk bantal peluk. Ryouji masih dengan perangai degilnya yang lama.
Hisamiko juga tidak dapat tidur lena. Dia risaukan Ryouji. Rancangan bodoh abangnya mahu menyabung nyawa menyertai Kogen dan kemudian mahu keluar menjejaki rakan lamanya Kobato itu merisaukannya. Dia bimbang, jika Ryouji keluar malam lagi selepas dihalang Takasaki pada siang hari itu. Aku yakin, onii-san pasti akan keluar malam lagi. Aku perlu berhati-hati setiap malam. Jika dia mampu untuk tidak tidur malam, aku juga pasti mampu. Aku akan menghalangnya.
Takasaki melihat Ryouji menyusup keluar menuju ke gerbang buluh, dari atas pondok merpati. Dia bersiap untuk turun. Dia tidak boleh membiarkan Ryouji keluar lagi. Dia tidak mahu kehilangan Ryouji kali ini. Ia bukan lagi amanat Miura semata-mata, tetapi amanat Kogen. Omi telah menghubunginya setelah mengetahui Ryouji keluar ke Furukawa dahulu melalui Kotobuki dan menasihatinya agar menegah Ryouji bersungguh-sungguh.
Ryouji engkau memang degil seperti bapamu. Aku tidak akan berdiam diri lagi. Aku perlu menghalangmu. Aku lebih kenal siapa Kobato. Aku tinggal dengannya sejak dia kecil. Aku tahu dia tidak akan teragak-agak membunuhmu jika engkau mendesaknya. Wataknya berubah-ubah. Dia boleh berlakon mesra dengan sesiapa sahaja, akan tetapi engkau belum pernah melihat watak sebenarnya selama setahun perkenalanmu itu. Dia bijak menyembunyikan watak sebenar itu. Dan jika engkau bertarung dengannya sekarang, engkau pasti akan tewas.
"Onii-san, doko iku no? (Ryouji mana engkau mahu pergi?)"
Ryouji tersentak, mendengar suara Hisamiko. Dia tidak menyangka Hisamiko berjaga selewat itu.
Hisamiko berlari seraya memeluk Ryouji. "Onii-san aku merayu jangan keluar begini lagi." Hisamiko menangis sedang masih memeluk Ryouji. "Takasaki-san kata engkau akan mati jika engkau pergi."
Hisamiko... mengapa engkau berjaga di saat ini?!
Ryouji membiarkannya dipeluk Hisamiko sedang dia kebingungan, memilih antara Kobato ataupun mereka di sini. Mengapa, mengapa aku perlu memilih dalam perkara begini? Mengapa aku tidak boleh memilih kedua-duanya?
Takasaki sedang berdiri di dataran luas memerhatinya.
Ryouji merenung ke arah bilik relau yang terletak tidak jauh dari teratak kerikil tempat dia berdiri, masih tidak menyedari Takasaki yang sedang memerhatinya dalam gelap di dataran luas. Kemudian dia menoleh memandang pintu utama dan terperasan Chisato sedang memerhatinya.
Chisato melihat dari jauh, di muka pintu gelangsar utama. Dia mengekori Hisamiko menyedari dia keluar ke koridor utama tadi. Ryouji, engkau masih tidak berubah. Kedegilan dan kebodohanmu benar-benar membingungkanku. Bagaimana aku boleh jatuh hati dengan insan begini?
**
Saki kebingungan.
Dia duduk termenung di tepi dataran, sambil melihat Ryouji dan Takasaki
berlatih jurus kesembilan kaminari.
Bagaimana aku harus memberitahu Kobato?
“Ryouji, jurus
kesembilan berlainan. Ia menuntut pembebasan dari beban emosi.” Kedengaran
suara Takasaki memberi tunjuk ajar kepada Ryouji.
“Beban emosi?”
“Ya. Seperti
dendam, marah, risau, sedih, simpati.”
Semua itu memang
beban emosiku sekarang. Kerisauan. Bagaimana jika aku tiada? Apakah Hisamiko
boleh melindungi dirinya sendiri? Dan keperitan dan kesedihan, atas cinta yang
tidak mampu kuteruskan. Dan simpati, atas nasib rakan-rakanku di sini. Dan
marah yang membakar. Marah dengan segala apa yang telah menimpa diriku dan diri mereka.
“Mana mungkin
Takasaki-san, mampu aku membebaskan diri dari beban emosi? Aku tidak akan hidup
dalam keadaan begitu.”
“Aku sependapat
denganmu, Ryouji. Kita hidup dengan musubi
(ikatan), dengan insan yang lain. Dengan musubi,
maka datanglah beban emosi. Ketika engkau dibawa oleh Kotobuki ke lembah
Okuhida, dia hanya membantu menyeimbangkan beban-beban emosimu. Engkau jelas
dengan keutamaanmu. Namun beban emosi itu masih di benak. Kecuali jika engkau
memilih untuk melepaskan kehidupanmu.”
“Mencapai jurus
kesembilan memerlukan engkau membuang kehidupan. Menumpu seratus peratus tenaga
ke arah sasaranmu tanpa dibebani tuntutan emosi lagi. Cinta, simpati, sedih,
dendam, risau. Hanya sasaran di hadapan yang perlu engkau capai.”
“Bagaimana aku
melepaskan kehidupan, maksudmu Takasaki-san?”
“Membuang cintamu,
membuang ahli keluargamu, membuang rakan-rakanmu. Melepaskan semua insan-insan
di dalam hidupmu. Jika engkau tidak mampu mengurangkan berat senjatamu atau
tubuhmu, maka pengurangan beban emosi perlu dilebihkan. Aku fikir mungkin
inilah yang dimaksudkan Miura, setelah berhari-hari aku cuba memahami tulisan
kami semula. Maafkan aku Ryouji, aku memang tidak arif jurus ini. Hanya bapamu
yang pernah melakukannya.”
Saki yang memasang
telinga sambil duduk menongkat dagu memandang mereka berdua, tersentak
mendengar ‘tulisan kami’ yang dituturkan Takasaki. Adakah buku itu yang
dimaksudkan? Buku bertajuk ‘kaminari-no-kaze’
yang pernah dibukanya dahulu? Saki mendongak kepalanya seperti mendapat satu
pencerahan tiba-tiba, seraya bangkit dan terus menuju ke perpustakaan. Takasaki
dan Ryouji memandang Saki, aneh dengan perlakuannya. Namun mereka pantas
menyambung kembali perbualan mereka.
“Tidak mengapa
Takasaki-san. Aku sudah cukup berterima kasih engkau masih sudi mengajarku.
Maka adakah dengan Saishi-tou yang ringan itu, aku tidak perlu mengurangkan
beban emosiku?”
“Mungkin
pengurangan yang diperlukan tidak besar. Aku tidak pasti. Mungkin engkau akan
mendapat tahu dari latihan.”
Takasaki terus
memberi kuliah sedang Ryouji dalam posisi bertapa di atas dataran itu. Cuaca
cerah namun tidaklah terik. Suhu agak dingin kerana sini kawasan pergunungan.
Kencang bunyinya kuliah Takasaki, sedang dia sendiri masih belum mampu
mengurangkan beban emosinya. Dia harus lekas melatih para penghuni di situ
sehingga mereka mampu membela diri mereka sendiri setelah dia tiada nanti.
Kerisauan ini, adalan beban emosi Takasaki, selain dari kerisauan dia terhadap
dendam Kobato. Disebabkan itu, dia masih tidak mampu mencapai jurus kesembilan.
Ryouji berfikir.
Sungguh melampau tuntutan jurus kesembilan. Namun bukankah tujuannya ialah
penumpuan? Sebentar. Mengapa Takasaki memanggilnya ‘beban’? Bukankah emosi
diperlukan, kerana emosi yang dikatakan ‘beban’ itulah yang menggerakkan aku
sehingga ke saat ini?
Aku fikir aku sudah
menemui jawapannya.
“Takasaki-san, aku
fikir aku sudah tahu jawapannya.”
“Ya, Ryouji.”
“Mungkin maksud
bapaku berlainan. Mungkin dia menyalahgunakan perkataan ‘beban’ itu, aku tidak pasti.
Namun jika kita melihat semua ‘beban-beban’ emosi ini sebagai pendorong menuju
sasaran, bukankah itu menjadikan ia lebih bernilai? Bukankah pendorong
memberikanmu tenaga menuju sasaran?”
“Mungkin juga benar fikiranmu.” Takasaki menyembunyikan kekagumannya.
"Namun Ryouji, buktikan
kata-katamu ini. Tunjukkan yang engkau mampu mencapainya."
"Pasti, Takasaki-san."
Malam itu Saki
mendapat maklumat yang cukup untuk menggerakkannya menulis sepucuk surat kepada
Kobato. Suratnya berbunyi begini:
“Ramuan rahsia ialah sejenis resin dari pokok
aomomiji di lembah Okuhida atau Shirasaka. Minta kebenaran puak penjaganya
untuk masuk. Puak penjaga lembah Okuhida ialah Ryouji dan Hisamiko, sedang untuk lembah Shirasaka, aku tidak tahu. Pilih resin matang yang kuning dengan sedikit jingga, dan
mencampurkan ketika bilah itu putih kebiruan serta mulur apabila ditempah.
Tambahan dari buku tentang kaminari-no-kaze, rahsia jurus
kesembilan ialah mengurangkan beban emosi. Maka, tanpa pedang khaspun engkau
mampu mencapainya.”
Aku tahu, kaedah
penghasilan katana begitu amat rumit
dan menuntut Kobato untuk pergi ke lembah itu dan dia perlu bertemu Ryouji sendiri. Namun aku faham tujuan utamanya
ialah menumpaskan perompak-perompak yang mengganggu pedagang di Nakasendo.
Disebabkan itu aku menyertakan cadangan tambahan. Harapnya dia masih berpuas
hati dengan surat balasku.
Demi cintaku, aku
sanggup memberikan lebih dari apa yang dipinta. Kobato meminta satu, aku
memberinya dua.
Selang beberapa
minggu berlatih, Ryouji kini berada di hadapan Takasaki sekali lagi. Takasaki
mahu melihat buah hasil latihannya. Ketika itu di pertengahan musim panas, 1871.
“Sekarang, Ryouji.
Aku mahu engkau tetak batu di hadapanmu ini sehingga terbelah, menggunakan
jurus kesembilan dan Saishi-tou.”
Untuk meningkat ke
jurus kesembilan, Ryouji harus meningkat ke jurus kelapan terlebih dahulu.
Maka, Takasaki menjadi lawan tarung Ryouji. Mereka bertarung dan bertarung,
semakin lama semakin pantas sehingga tidak dapat ditekuni oleh penghuni rumah
yang sedang duduk mengelilingi dataran itu. Saat Ryouji
memasuki jurus kelapan, Takasaki mengundur tiba-tiba dan membiarkan Ryouji
membawa dirinya naik ke jurus kesembilan.
Dia berjaya, dalam keadaan sedar dan tanpa seekor hayabusa pun melintas di atasnya, buat pertama kalinya, meningkat ke jurus kesembilan. Ryouji terus menetak batu di hadapannya, sehingga terbelah dan mengujakan para penontonnya. Kemudian dia mengundur ke belakang sepantasnya, dan berpusingan di udara beberapa kali sehingga wasap putih terhasil akibat pergeseran yukatanya dengan udara. Tujuan pemusingan itu ialah bagi menyingkirkan tenaga berlebihan ke persekitaran sekaligus menghalang rusuhan tenaga dari menguasai tubuh petarung.
Pemusingan itu beransur-ansur memperlahan sehingga
Ryouji kembali mendarat di atas dataran, masih berpusing dan menebarkan
debu-debu di dataran itu ke semua penontonnya. Geseran antara kaki dengan
permukaan dataran mempercepatkan proses pemberhentiannya, dan Ryouji kelihatan tercungap-cungap
keletihan di celahan debu dataran yang bertebaran mengaburi pandangan semua
yang menonton.
“Aku telah
melakukannya, Takasaki-san. Aku telah
berjaya!”
Takasaki tidak
dapat menahan sebak. Dia gembira. Ryouji satu-satunya anak murid yang telah
berjaya dilatih sehingga mencapai jurus kesembilan. Dan buat pertama kalinya,
dia merasakan semacam satu kebebasan dari belenggu emosi yang sekian lama
membebaninya.
Tentang siapa yang
boleh diharapkan agar mewarisi rumah perlindungan ini selepas pemergiannya.
Miura, telah aku sempurnakan wasiatmu hari ini. Ryouji sudah menguasainya. Jurus yang engkau cipta itu sudah dikuasainya. Dan aku telah membuktikan bahawa ia boleh diajar seperti jurus-jurus yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan