Segalanya gelap. Segalanya
kaku. Segalanya berbau hanyir darah dan tembelang belerang dan ubat bedil. Bunyi
tembakan demi tembakan bertalu-talu yang memekakkan kini termati. Hanya deru
angin laut dan bunyi desiran ombak memukul pesisir dan gemersik daun-daun hutan
diterjah bayu mengisi suasana.
Satu tembakan pun
tidak mengenai Hisamiko. Seolah sekelip mata, ratusan tentera gugur dibelah
perut dan leher satu-persatu oleh gadis berpedang itu. Sepantas kilat
pergerakannya, sehinggakan Yoshihisa hanya dapat melihatnya jelas selepas
Hisamiko bertenggek di atas pokok kelapa di hadapannya usai melakukan
pembunuhan besar-besaran itu.
“Siapa engkau?!”
Pekik Hisamiko.
“Ini aku, Yoshihisa.
Engkau tidak mengenaliku Hisamiko?”
“Aku tidak pernah
mendengar nama itu. Nyah engkau dari pulau ini dan usah kembali lagi ke sini.”
“Sungguh engkau
tidak pernah mendengar namaku? Ini aku Yoshihisa. Orang tua yang pernah ke mari
bersamamu, bersama abangmu. Engkau tidak ingatkah?”
“Usah kaupaksa aku
ulangi. Nyah sekarang!”
Yoshihisa berundur
dalam keberatan, meninggalkan mayat-mayat tentera bergelimpangan dengan darah
membanjiri pepasir pantai. Tangannya menggigil.
Tadi, Hisamiko
muncul tiba-tiba dan melibas pedangnya melulu. Mereka terpaksa melepaskan
tembakan. Namun semakin ditembak, semakin Hisamiko mengganas. Makhluk berbulu
putih itu juga membunuh tatkala ada tentera cuba melintas di hadapannya. Ia
hanya duduk memerhati dan membantu Hisamiko pabila perlu.
Hisamiko yang
dilihatnya itu bukan lagi Hisamiko yang dulu. Tiada lagi kebaikan yang dapat
diterjemah dari wajahnya. Hanya kebencian. Hisamiko telah dikuasai kebencian
yang mendalam terhadap dunia. Kebencian yang cukup kuat untuk membelenggunya di
pulau ini tanpa perlu sihir Kaisenjyo yang dahulu menyekatnya dan Shiro.
Sungguh engkau tidak mengenaliku Hisamiko? Soalan itu berulang dalam kepala Yoshihisa tatkala dia melangkah
longlai menuju ke bot sedang seluruh tubuh tua menggigil.
Shiro yang berada
di bawah Hisamiko berpaut pada batang kelapa, mencuit kaki umanori-nya.
Hisamiko terjun dan
Shiro menyambut dengan belakang badannya. Shiro terbang dengan Hisamiko di
belakangnya menuju ke kapal tentera di tengah laut.
Mereka mendarat di
atas kapal hitam, Hisamiko berdiri di atas belakang Shiro yang merangkak di
atas keempat kakinya di atas dek utama kapal yang menempatkan meriam.
Para tentera
terpaku. Mikio melihat dari jauh Yoshihisa mendayung botnya kembali ke kapal.
Di kejauhan para tentera yang mendarat di pesisir telah bergelimpangan sebagai
mayat. Mikio melopong.
Syaitan apakah yang
menyerang kami di sana?
Hisamiko
mengeluarkan Saishi-tou-nya dan menghunus ke arah para tentera di atas dek
utama. Pandangan Mikio beralih ke arah Hisamiko dan Shiro.
“Kaisenjyo...
apakah dia ini Kaisenjyo? Yang diramalkan ahli sihir Amaguri?” Terpacul soalan
dari mulut Mikio.
Salah seorang
pegawai Mikio yang menjaga meriam bertanyakannya, “Siapa Kaisenjyo?”
“Ia gadis yang tahu
bertarung dan mempertahankan pulau terasing dari dicerobohi. Jika kita tidak
menghalangnya dia akan kembali ke Jepun dan membunuh Maharaja.”
Sebaik Mikio
menghabiskan kata-kata, lehernya ditikam. Di balik mayat Mikio yang rebah,
Hisamiko berdiri dengan pedang Saishi-tou-nya masih menitikkan darah.
“Engkau terlalu
banyak bercakap, pengawai tentera Maharaja. Aku tidak ingin langsung kembali ke
Jepun. Namun engkau terlalu mempercayai Amaguri yang entah siapa itu, yang
wajahnya pun engkau tak pernah lihat. Kalian terlalu mempercayai ahli sihir
itu!” Pekiknya.
“Kerana ketaksuban
kalian, aku dan abangku dihalau sehingga kami terpaksa melarikan diri ke sini.
Aku dan abangku telah bersabung nyawa mempertahankan Maharaja namun apakah ini
balasannya kepada kami? Madu diberi tuba dibalas! Andai....andai aku dan
abangku masih di tanahair sudah pasti abangku masih hidup...”
Rakan tentera Mikio
masih tergamam dan ketakutan seolah tidak mendengar kata-kata Hisamiko. Tatkala
Hisamiko terleka dalam melankolinya, salah seorang sempat mengalihkan meriam
dan menghala ke arah Hisamiko, dan pantas cuba menembaknya, namun Hisamiko
pantas melompat dan menusuk pedangnya ke leher pencucuh meriam itu.
Yoshihisa tiba di
kapal. “Hisamiko, hentikan!” Laungnya segera.
Yoshihisa
termengah-mengah memanjat naik ke atas dek.
“Hisamiko, hentikan
semua ini.”
Hisamiko merenung
Yoshihisa. Tatkala seorang lagi tentera cuba menembak dengan pistol, Hisamiko
mengelak dan membunuhnya dengan sekali libas pedang. Ramai tentera mulai curiga
dengan upaya masing-masing dan ketakutan lantas mengambil kesempatan
bersembunyi. Darah membanjiri dek kapal, mayat-mayat tentera bergelimpangan.
Dek kapal lengang serta-merta, yang tinggal hanya meriam dan pelurunya. Hanya
Yoshihisa yang masih berada di atas dek.
Yoshihisa tergamam.
Hisamiko langsung tidak mempedulikan tegahannya. Hisamiko bahkan begitu mudah
membunuh.
“Kalian lupakan
rancangan kalian dan nyah dari perairan ini segera!” Hisamiko melaung amaran
kepada tentera yang mencicit lari ke dek bawah. Dia kembali ke belakang Shiro,
merenung Yoshihisa tanpa mengapa-apakannya, seraya terbang kembali ke pulau.
Yoshihisa tidak
berganjak. Tatkala meriam lengang, dia bingkas bangun menggagahkan tubuh tua
itu ke bahagian pencucuh meriam. Dia memasukkan peluru dan bahan api. Dia
mengambil pencucuh dan bersedia menyalakannya. Dia mengambil teropong dari
mayat seorang pencucuh meriam dan menyarung pada kepalanya. Dia mengamati ruang
udara demi mengesan lokasi Shiro. Amarah menguasai orang tua ini. Segala arahan
Maharaja luntur dari benak, yang kini terisi api kemarahan menggelojak setelah
melihat ratusan tenteranya ditumpaskan hampir sekelip mata.
Gadis ini bukan
lagi Hisamiko. Dia syaitan, dia sebenar-benar syaitan seperti ramalan Amaguri
yang bersipongang di serata jagat raya Jepun. Dialah Kaisenjyo sebenar! Laung
Yoshihisa dalam hatinya.
DAMMM! Bunyi meriam
berdentum selepas Yoshihisa menyalakannya. Peluru itu hanya sipi memintas Shiro
yang sedang membawa Hisamiko terbang. Yoshihisa mendengus geram. Melihatkan
keberanian Yoshihisa, anggota tentera lain keluar dari dek bawah dan kembali ke
meriam masing-masing.
“Ayuh, kita bunuh
sahaja gadis itu.” Saran salah seorang tentera.
“Chotto matte omaera. (Tunggu sebentar
kalian.)”
“Nande, Chikuma-san (Ada apa, Chikuma)?”
Chikuma, salah
seorang tentera di situ, mendekati Yoshihisa.
“Yoshihisa,
bukankah Maharaja menghalang kita membunuhnya?”
“Engkau perhati
bukan tadi?! Bagaimana ratusan tentera kita dibunuh di pantai? Dan di atas
kapal ini begitu ramai yang mati? Apa engkau ingat kita masih boleh
menangkapnya? Dia syaitan, usah kita bawa pulang syaitan begini ke Jepun!”
“Ini.” Salah
seorang tentera menyuguh sebuah kotak kecil yang panjang. “Yoshimura yang
kaupecat itu masih mahu membantumu.”
Yoshihisa melopong
sebaik membukanya. Ia peluru berisi racun sama yang telah membunuh Ryouji.
Racun yang semakin mudah diserap tubuh jika mangsanya bergerak banyak. Namun
Yoshihisa tidak mudah terpedaya.
“Apa kaubilang aku
boleh menangkapnya dengan racun ini? Hei, Chikuma, gadis itu telah disuntik
benda sama dahulu dan dia masih hidup!”
“Bukan itu
maksudku! Dengar sini Yoshihisa, kita akan menggunakan racun ini menyuntik
anjing putih itu.”
“Selepas itu kita
akan merelakan diri dibunuh gadis itu? Chikuma, gadis itu tidak akan berenggang
darinya!”
Chikuma terdiam
sejenak.
“Perancanganku
begini, kita harap dia leka sebaik anjing putih itu melemah. Dalam lekanya,
kita akan menangkap dengan senjata biasa, seperti jaring atau pisau dan pistol
bagi mencederakan dan menyukarkan dia melarikan diri. Yoshihisa, kepantasan
hanya boleh ditumpaskan dengan kelekaan.”
“Ya, jika anganmu
itu benar-benar berlaku.”
“Yoshihisa kita
tiada pilihan lagi. Gadis itu mesti ditangkap dan pulau ini mesti ditakluki.
Apakah engkau mahu pulang dengan tangan kosong? Dengan begitu ramai bala
tentera yang sudah dikorbankan ini? Bukankah kau yang mencadangkan penaklukan
ini kepada baginda?”
Yoshihisa terdiam.
Dia terpaksa akur dengan keadaan yang menuntut dari semua arah. Dia benar-benar
diperangkap keadaan. Semua tentera yang masih berbaki merenung kepadanya.
Yoshihisa adalah ketua mereka. Dia nakhoda dan dia juga ketua penakluk misi
ini. Hisamiko boleh sahaja membunuhnya namun Yoshihisa sungguh beruntung.
Tidak, seluruh pasukan tentera itu beruntung ketua mereka masih dipanjangkan
umur.
“Kita akan mengikut
perancangan Chikuma. Sasaran utama kita ialah anjing putih itu. Selepas itu
kita akan menangkap Hisamiko. Dan kalian akan meneruskan penaklukan pulau ini
sebaik Hisamiko sudah berada dalam kurungan kita.”
Ikuzo!
**
Tiada ulasan:
Catat Ulasan