Mata baginda
membulat, mulut melopong sedikit mendengarkan khabar dari Seiji itu.
“Mengapa Yoshihisa
tidak memberitahu beta hal mereka... memang beta menghantar tentera mengejar
mereka namun beta juga menghantar orang agar memastikan mereka tidak dibunuh
namun dipenjarakan di tempat tersembunyi, tersembunyi dari kazoku.
“Ya. Orang yang
Heika hantar itu, Koisou, iaitu salah seorang pelombong, dibunuh oleh mereka
yang mengkhianati syarikat, ketika berlaku perang kecil antara kumpulan Yato
dengan para pelombong yang tidak sebulu dengannya.”
“Malang nasibnya.
Dia tahu kaminari, namun entah apa
silapnya dia boleh terleka.”
“Sarumichi melaporkan
Koisou dijaring seseorang ketika menyelinap dalam dek kapal tatkala sedang
mengejar lawannya, dan disuntik racun anti-kaminari,
racun sama yang membunuh Ryouji. Dia sempat memotong jaring itu dan teruskan
bertarung dalam dek yang sempit dan gelap, kemudian rebah dan mati tiba-tiba.”
“Seiji, abadikan
nama Koisou di makam pahlawan kita. Kurniakan pampasan sewajarnya kepada
waris-warisnya.”
“Perintah dijunjung
Heika.”
“Namun bagaimana
dengan Sarumichi?” Soal baginda.
“Sarumichi
ditangkap orang-orang Yato. Yoshihisa mengarahkan orang-orang Yato tidak
membunuhnya. Sarumichi memberitahuku, Yoshihisa mencurigainya. Dia merasakan
orang tua itu mahu memerhati dan mungkin memanfaatkannya.”
“Mungkin Yoshihisa
mengesyaki Sarumichi adalah mata-mataku.”
“Barangkali. Orang
tua itu licik.”
“Tentang beradik
Okuhida, mereka telah berjasa kepada beta dan negara ini. Beta hanya mahu
menahan mereka dan melindungi dari orang-orang kazoku, hanya itu tujuan beta menghantar mereka keluar dari Jepun.”
“Akan tetapi Tuanku
harus beringat ahli kazoku telah
bersepakat dan Heika telahpun bersetuju agar mereka dibunuh. Jika kazoku mengetahui semua perancangan
Heika ini, habis Heika. Habis pembaharuan Heika selama ini. Semua ini tinggi
risikonya terhadap takhta Heika.”
“Benar Seiji.
Disebabkan itu beta harus lebih berhati-hati dan menaruh sepenuh kepercayaan
beta pada engkau Seiji. Beta faham betapa kazoku
mahu mempertahankan takhta beta namun jangan dilupakan jasa beradik Okuhida
menumpaskan penderhaka Ayame itu. Beradik Okuhida tidak menderhakai beta
seperti Saisho, perjuangan mereka ikhlas. Selepas perang mereka terus berada di
sisi beta setia melindungi. Beta hanya menggerakkan tentera mengejar mereka demi
menjaga hati ahli kazoku yang
mempercayai ramalan Amaguri bahawa gadis Okuhida itu akan memusnahkan takhta
beta.”
“Oh.” Maharaja
menekup wajahnya sambil bertelekan dialas meja. Rasa bersalah terhadap Hisamiko
menyelubung baginda. Malang gadis itu ditinggalkan seorang di pulau sedang
abangnya dibunuh. Malang. Apakah dia masih hidup? Sedang gadis itulah yang
menyelamatkan nyawa baginda berkali-kali dari para pemberontak yang cuba mencuri
peluang membunuh baginda. Apakah dia sedang diapa-apakan binatang yang
dikatakan Yoshihisa? Atau diapa-apakan pembunuh yang dikatakan Yoshihisa itu?
Baginda memagut
dada seolah dicucuk jantungnya. Perit menikam-nikam urat pembuluh. Ada rasa
sakit yang berakar dari sanubari menjalar mencucuk urat dan daging.
“Heika!” Seiji
meluru seraya memaut tubuh Maharaja yang hampir terlungkup ke arah meja di
hadapan.
“Oh, beta tak
apa-apa.” Baginda memegang birai meja dengan kedua-dua belah tangan dan menolak
tubuhnya kembali bersandar pada kerusi, dibantu Seiji. “Hanya sakit sedikit di
dada.”
“Tuanku berehatlah
dahulu, kita boleh sambung berbincang kemudian.”
Baginda mengangkat
tangan meminta Seiji mendengar permintaannya.
“Ya, Heika.”
“Beta mahu Yoshihisa
membawa pulang gadis Okuhida itu hidup-hidup. Pastikan ahli kazoku tidak mengetahui perkara ini.”
Entah apalah nasib
gadis itu, getus baginda. Dia dibiarkan berseorangan sedangkan pembunuh yang
dikatakan Yoshihisa itu masih berkeliaran.
“Jadi, apakah
Tuanku bersetuju dengan cadangan Yoshihisa agar menakluk pulau itu?”
“Oh ya. Sebelum itu
beta mahu bertanyakan sesuatu. Apakah bekalan senjata dan tentera kita masih
mencukupi?”
“Ya. Semakin ramai
petani dan bekas samurai menyertai sekolah tentera Tuanku di sini. Mungkin
kerana yurannya lebih murah. Namun begitu, patik fikir jika Tuanku berkenan
menakluk Yumejima, ada baiknya perancangan menakluk Joseon ditangguh dahulu
seperti Tuanku telah bertitah berkenan tadi.”
“Mengapa pula?”
“Patik mendengar
Amerika dan Rusia juga merancang menakluk pulau itu, dari rakan pedagang patik.
Bala tentera simpanan diperlukan jika mereka mendahului kita. Senjata mereka
masih jauh mengatasi senjata kita juga. Namun usah Tuanku risau, mereka masih
dalam proses perbincangan dan belum memutus menghantar tentera. Kita punya masa
dan jarak kita dari pulau itu lebih dekat berbanding mereka. Tentera kita sudahpun
bersedia, mujur juga kerana pemberontakan beberapa tahun lepas mendorong kita
membangunkan mereka.”
“Baiklah Seiji.
Beta akan tetapkan keputusan persetujuan beta untuk menakluk Yumejima dalam
masa dua hari. Namun beta perlukan lebih maklumat. Usahakan kumpulkan sebanyak
mungkin dalam masa dua hari ini, Seiji.”
“Perintah
dijunjung, Heika.” Seiji mengundur diri.
“Seiji.”
“Ya Heika.”
“Beta sendiri akan
khabarkan kepada Yoshihisa dua hari dari sekarang keputusan beta.”
“Perintah dijunjung
Tuanku.”
Dua hari kemudian, selepas
meneliti maklumat-maklumat tambahan dari para pengintipnya beserta Seiji, baginda
memutus memperkenan penaklukan Yumejima. Yoshihisa dipanggil dan diarah
melakukan persiapan dalam masa setahun. Baginda juga menganugerahkan beberapa
projek landasan keretapi kepada Yoshihisa. Yoshihisa berjaya mempercepat dan
mengikat perjanjian dengan beberapa pembekal besi sebelum projek landasan itu
dimulakan tidak sampai enam bulan dari tarikh penganugerahannya.
Menjelang 1878,
tentera dan segala kelengkapan senjata dan kapal sudah dipersiapkan. Dalam
musim bunga, mereka akan memulakan pelayaran. Mereka merancang menakluk
Yumejima sebelum musim sejuk tahun itu tiba.
**
Di Yumejima
terdapat sebuah bukit magnet, iaitu bukit hitam dalam jajaran bukit-bukau yang
mengelilingi lembah rahsia. Medan magnet yang dikeluarkan oleh bukit ini amat
kuat sehingga boleh menarik jarum kompas pelayar ke arahnya. Namun sebahagian
dari permukaan bukit ini diselaputi sejenis batuan persis ferit, yang
berperanan memesongkan medan magnet itu ke arah pusat bukit menyebabkan
bahagian yang diselaputinya tidak memberi kesan kepada kompas pelayar dari
luar.
Gempa yang kuat
tempoh hari telah meruntuhkan selaput ferit di permukaan bukit itu. Medan
magnet dari bukit itu mula terbebas sepenuhnya dan mempengaruhi jarum kompas
pelayar-pelayar dari semua arah.
Asap yang semakin
tebal dari gunung berapi di pulau itu tambah memudahkan pelayar menjejakinya, bersekali
dengan pemesongan jarum kompas. Jika rombongan pedagang yang dibunuh Hisamine
dahulu mengesan pulau ini dengan jarum kompas, maka rombongan lain barangkali
akan mengesan dengan asap tebal dari gunung berapi pula.
Hisamiko semakin
kerap berlatih kemahiran pedangnya sejak kematian Hisamine. Dia semakin takut
dan semakin bersedia terhadap sebarang pencerobohan. Dia nekad, bersama Shiro,
akan membunuh sesiapa sahaja yang cuba mendekati pulau itu. Meski pesan
abangnya masih terngiang di benak, dia cuba mengabaikan. Dia telah menumpahkan darah.
Hatinya semakin keras.
Onii-san tidak
akan memarahiku. Aku sedang melindungi diri bukan? Bukankah onii-san
membenarkan aku menumpahkan darah demi melindungi diri? Begitulah fikir Hisamiko.
Setiap kali dia
menghayun pedang di lembah rahsia, dia menyedari daya yang tidak kelihatan
senantiasa menarik-narik pedangnya.
Dia menyedari daya itu
datang dari bukit hitam. Hisamine pernah meletakkan pisau di atas batu dan
menunjukkan pisau itu berpusing agar mata logamnya sentiasa menghala ke arah
bukit hitam. Daya halimunan yang memusingkan pisau itu ialah medan magnet yang
terbebas dari bukit magnet namun mereka tidak mengetahuinya meski memahaminya.
Hisamine pernah menunjukkan fenomena ini kepada Hisamiko dahulu.
Hisamiko mula menggunakan
daya tersebut sebagai alat berlatih; dengan cara memotong dan melawannya dengan
menguatkan hayunan pedang. Setiap kali pedangnya memotong daya itu, kelihatan
bunga api memercik keluar (tenaga elektrik) dan pedangnya menjadi panas.
Jika dia meletakkan
pedangnya pada kayu dan dedaun kering, ia terbakar. Hisamiko tidak memahami
semua fenomena ini secara saintifik, namun dia tahu akan kewujudan sejenis batu
yang dikenali sebagai magnet dari Hisamine dan batu itu digunakan oleh pelayar
dari empayar Qing di tanah besar untuk membuat kompas. Dia tahu salah satu
bahan di dalam pedangnya ialah besi iaitu bahan yang terkesan dengan medan
magnet.
Tatkala dia
menggabungkan kepantasan kaminari dengan medan magnet, kuasa elektrik
yang lebih besar terhasil pada pedangnya. Segala apa yang disentuh bilah itu
akan terbakar serta-merta.
Dia cuba
mendekatkan bilah yang telah ‘dicas’ itu dengan Shiro, namun bulu putihnya
mengerbang tiba-tiba. Shiro kebingungan seraya bertanya dengan menulis di atas
tanah seperti biasa, “Apa yang kau dah lakukan Hisamiko?”
Hisamiko hanya
menjungkitkan kedua-dua belah bahunya. “Ia kuasa dari bukit hitam itu mungkin.”
“Kuasa bukit?”
“Aku tidak pasti. Akan
tetapi setiap kali aku melibas pedang menentang daya penarik besinya, pedang
ini seolah mengaut kuasa itu. Jika aku mendekatkannya pada kayu kering, ia
keluar sebagai api. Jika aku mendekatkan dengan bulumu, ia menariknya.”
“Shiro.”
Shiro menggerutu
menyahut.
“Kita akan bunuh
sesiapa sahaja yang akan mendekati pulau ini. Apakah engkau masih bersetuju
dengannya bersamaku?”
Shiro menulis pada
batu menggunakan sisa kayu api yang sudah berarang, “Ya. Aku bersetuju.”
Hisamiko menguntum
senyum. Namun matanya sungguh kosong dan kelam. Anak matanya hitam dan besar.
Wajahnya meski putih namun serinya sudah sama sekali hilang, putih dan pucat
seperti mayat atau patung gangsa di kuil Buddha. Tiada cahaya lagi terzahir
pada mata itu. Ia renungan penuh kebencian, penuh keputusasaan. Shiro
mengamatinya. Dia pernah merasa berputus asa satu ketika dahulu. Dia juga
pernah membenci manusia, tatkala ibunya dibunuh samurai yang memiliki tanah
padi mereka. Namun dia telah membunuh samurai itu, dan bencinya termati saat
itu dan hanya kepada manusia jenis itu. Hanya manusia yang membencinya kini,
kerana tamak haloba. Rakan-rakan sekapal itulah.
Namun dia tidak
pernah merasai kebencian seperti yang terpancar pada raut Hisamiko. Ia
bercampur-aduk dengan keputusasaan. Benci itu tidak melayakkan Hisamiko kembali
ke mana-mana tamadun dan benci itu tunggal mewajarkannya agar terus terkurung,
dikurung dan terasing dari semua manusia. Seperti ramalan itu. Ramalan Amaguri
yang dicanang-canang sekian lama di tanah Yamato. Bahawa Kaisenjyo harus
dikurung di pulau terasing. Kaisenjyo? Bukankah Kaisenjyo telah mati? Mengapa
Hisamiko begitu padan benar dengan Kaisenjyo yang telah diramalkan Amaguri itu?
Apakah Hisamiko adalah sebenar-benar Kaisenjyo yang dimaksudkan Amaguri?
Namun dengan
Hisamiko di sini, aku tidak peduli kebencian manusia terhadapku dan kebencian
Hisamiko terhadap manusia. Aku dan dia sama. Aku perlu disisihkan dan Hisamiko
perlu disisihkan. Dengan kayu persamaan ini kami berpaut agar terapung di samudera
kehidupan yang bergelora. Dengan persamaan ini aku harap aku berpeluang meraih
cinta Hisamiko dan Hisamiko hanya akan memandangku.
Demi Hisamiko akan
aku turutkan kebenciannya, kemahuannya. Demi Hisamiko.
**
Tiada ulasan:
Catat Ulasan