Novel: Yumejima (Bab 36)

 

“Gelapnya.”

 

Yoshimaru berjalan berseorangan. Ia hutan pertama yang ditemui di belakang tebing tinggi. Dari luar, ia tampak kurang menyeramkan namun semakin dalam, cahaya semakin kurang kerana kanopi pokok-pokok di situ amat rapat dan pokoknya tinggi-tinggi belaka. Dia terpaksa memasukinya demi mencari kayu api dan mungkin tumbuhan yang boleh dijadikan ubat kepada luka Nozomi dan buah-buah yang boleh dijadikan makanan mereka.

 

“Bagaimana jika aku sesat nanti? Aku perlu tinggalkan jejak. Ah, aku tak pernah masuk ke hutan tebal seumur hidupku. Hidupku hanya di kota Nara sahaja. Sungguh menakutkan. Tiada bezanya dengan hutan di bawah sana nampaknya.”

 

Mata Yoshimaru menerawang pokok-pokok rendah, manalah tahu ada buah di atasnya. Dia tidak tahu memanjat pokok.

 

Kakinya terpijak benda kejal. Ada rasa basah. Dia mengangkat kaki, mendapati buah yang sudah busuk dengan tekstur seperti buah momo. Angin laut yang bertiup menerobos hutan menghantar bau busuk seperti buah-buah yang sudah rosak ke hidung. Dia meneruskan langkah mengikut arah angin dan menemui buah-buah merah kuning tumbuh lebat di atas pokok rendang yang daunnya tidak rapat dan membenarkan cahaya masuk. Di bawah pokok itu berselerakan buah-buah yang sudah membusuk seperti yang dipijak tadi. Dia melompat dan mencapai sebiji yang sudah ranum, seraya menggigitnya. Rasanya masam manis, seperti momo. Dia fikir buah itu selamat dimakan, lantas membawa pulang.

 

“Nozomi, aku temui buah ini. Makanlah.”

 

“Buah apakah ini?”

 

“Aku tak tahu. Aku fikir ia boleh dimakan. Rasanya seperti momo.”

 

Sejak hari itu, Yoshimaru kerap ulang-alik ke hutan itu, meninggalkan Nozomi berseorangan. Dia membawa pulang daun-daun yang boleh digunakan bagi merawat luka Nozomi. Hutan itu kosong dari fauna lain, hanya kelihatan burung-burung dan unggas terbang. Yoshimaru tidak betah dengan suasana hutan, namun dia menguatkan hati demi Nozomi.

 

Nozomi amat gemarkan buah-buah itu. Kakinya masih cedera dan dia meminta Yoshimaru memetik untuknya. Meskipun mereka sudah mampu menangkap ikan dan menyalakan api, Nozomi masih kepingin makan buah-buah itu.

 

“Buah ini seperti buah momo rasanya. Di Nara dahulu aku jarang dapat memakannya kecuali jika bapa tiada atau jika aku mengembara tanpanya di luar. Kerana bapa alahan pada bulunya. Namun aku gemar buah itu. Yoshimaru, boleh kaupetik lagi?” Pinta Nozomi.

 

Tatkala buah-buah di dahan rendah sudah kehabisan, Yoshimaru mula memanjat pokok itu demi mendapatkan buah di dahan lebih tinggi. Dia memberanikan diri, demi Nozomi. Namun dia tidak arif memanjat pokok, kakinya tergelincir dan dia terjatuh ke dalam sebuah lubang di bawah pokok itu yang ditutup daun kering.

 

Dia menyedari tatkala dia berusaha keluar dari lubang itu, ia dikambus dari luar. Siapa yang mengambus tidaklah dia pasti.

 

Namun keluar dari situ mustahil lagi, kerana setiap kali dia cuba menolak tanah yang dikambus, upayanya seolah sia-sia, seperti menolak dinding batu yang kuat. Dia mencari-cari tanah yang lemah, dan dia temui satu tanah lembut seperti aquifer yang berair. Dia menggali dan menggali sehingga bertemu cahaya di hujungnya. Dia keluar dan menemui lembah rendah yang sungguh indah.

 

Entah bagaimana dia merasakan seolah-olah dia dilahirkan semula. Seolah-olah segala harapan yang punah datang bertandang di ribaan sekelip mata. Ia syurga, syurga! Aku tidak pernah dihidang pemandangan seindah begini. 

 

Dia mahu memberitahu Nozomi tempat aneh dan indah itu, namun dia mulai menyedari sesuatu. Tangannya ditumbuhi bulu-bulu hitam. Dia memegang wajahnya. Hidungnya memanjang dan rahangnya melonjong, taring seperti taring serigala tumbuh di kedua-dua rahang. Dia ke sungai air panas di lembah dan melihat pantulan. Alangkah terkejutnya dia mendapati dirinya berubah menjadi seekor serigala berbulu hitam yang amat besar. Dia merasakan sesuatu seperti lebihan daging di belakang tulang belikat seperti memaksa-maksa dikeluarkan. Dia melepaskannya dan ia adalah sayap yang amat besar dan lebar.

 

Yoshimaru meraung sekuat hatinya.

 

Dia bergegas memasuki kembali lubang itu, dan menuju kembali ke hutan gelap. Anehnya, dia boleh pula mengorek tanah-tanah yang dikambus entah siapa dahulu.

 

Dia bergegas keluar dari hutan gelap menuju Nozomi. Nozomi takut bukan kepalang, seraya mencapai kayu dan menghunus ke arah Yoshimaru.

 

Kesedihan maha berat menyelubung hati. Nozomi, ini aku, Yoshimaru. Aku telah disumpah sehingga menjadi makhluk jelik ini.

 

Yoshimaru cuba membuat isyarat dengan tangannya, namun ia tampak aneh di mata Nozomi. Yoshimaru cuba menutur kata, namun yang keluar hanya bunyi gerutu dan deruan seperti bunyi haiwan buas. Nozomi perlahan-lahan melarikan diri. Jelas di mata Yoshimaru, Nozomi sudah pun sembuh. Namun apakan daya, dia tidak lagi dapat bersamanya.

 

Berbulan berlalu, Nozomi hidup berseorangan. Dia bertahan, namun kewarasannya beransur-ansur hilang tanpa lawan berbicara. Yoshimaru pula mulai berubah. Ingatan-ingatannya ketika pernah menjadi manusia beransur hilang. Dia tidak lagi memakan buah dan ikan. Dia mahukan daging. Dia telah membaham unggas. Namun dia mahukan daging yang besar. Seperti Nozomi, satu-satu manusia yang hidup di situ.

 

Setiap kali dia cuba menerkam Nozomi, dia menguatkan dirinya dan bertahan. Sisa-sisa cinta masih melekat di hati, dan dia sedaya upaya mempertahankannya. Dia mengambus kembali lubang ke terowong menuju lembah demi menghindar Nozomi atau sesiapa dari masuk ke dalam dan turut disumpah sepertinya.

 

Berkali-kali dia cuba membunuh dirinya dengan terjun dari tebing tinggi, namun Yoshimaru tidak mati. Tubuhnya kebal. Dia berputus asa. Dia hanya mampu melihat Nozomi bersedih. Dia memandang Nozomi tanpa putus tatkala Nozomi duduk di tebing tinggi merenung laut.

 

Dia tahu Nozomi mahu terjun dan dia akan menghalangnya. Namun kantuk menguasai diri tatkala terlalu lama memerhati Nozomi. Kala kantuk menyelubung, letih tidak tertahan lagi, dia lena dan gelap menguasai alam. Dan kala itu, di pagi esoknya, dia mendapati Nozomi sudah berada di bawah dengan kepalanya berdarah, matanya terbuka, jasad kaku. Gelap menguasai alam.

 

Yoshimaru meraung sekuat hatinya, namun yang kedengaran ialah lolongan serigala bergema di seluruh pulau dan mengejutkan unggas-unggas yang berdiam di pokok-pokok hutan gelap.

 

Nozomi tiba-tiba bangkit.

 

Yoshimaru tergamam. Nozomi, engkau masih hidup!

 

Yoshimaru memeluk Nozomi lama. Namun dia menyedari ia bukan lagi bau Nozomi yang biasa, bau daging yang menyelerakan. Ia bau yang memualkan, seperti bau dari buah seperti momo itu. Tatkala dia melepaskan Nozomi dan membiarkan dia berdiri mengadapnya, dia perasan rambut Nozomi yang hitam lembut itu berubah uban, dan taring tumbuh pada rahang atasnya. Kukunya panjang dan tajam.

 

“Siapakah engkau?” Soal Yoshimaru. Entah faham entah tidak wanita bertaring itu tidaklah dia tahu.

 

Wanita bertaring dan rambut uban itu berkata, “Aku Nozomi.” Dia tersenyum. Ternyata dia memahami bicara Yoshimaru meskipun yang didengarinya hanyalah bunyi serigala.

 

“Tidak. Nozomi tidak bertaring dan beruban!”

 

Sou? Dia sedang melalui nyawa kedua, maka sudah pasti ada bayarannya. Taring, dan rambut hitamnya harus dilepaskan.”

 

Yoshimaru mengalah. Andai itulah bayarannya, dia sanggup menerima Nozomi yang ini. Andai Nozomi yang dipuja dicinta itu masih hidup seperti ini, dia tidak kisah. Dia menerima sepenuh hati.

 

Gadis itu tersenyum dan memeluk Yoshimaru. “Kuro. Itu nama barumu.”

 

Aku tidak kisah. Ambillah namaku. Aku rela, Nozomi. Demi engkau, aku rela.

 

**

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...