Novel: Yumejima (Bab 52 - Epilog)

 

Keadaan kembali sunyi. Mayat-mayat tentera rentung hitam hanya mengeluarkan sisa asap. Hingar dari air terjun panas memenuhi suasana. Hari kian petang. Asap dari bukit berasap masih kekal pada ketebalan biasa. Tiada tanda ia akan meletus hari ini. Angin laut berhembus membawa bau belerang dan hangit dan hanyir darah keluar dari lembah ini.

 

Hisamiko mengangkat tangannya memegang pipi Shiro yang berbulu-bulu itu. Tangannya kian sejuk dan membiru. Taring dari mulut Shiro gugur tidak semena-mena. Hidung dan rahangnya mengecut. Bulu-bulu putih di muka dan tubuh turut gugur sedikit demi sedikit. Telinga yang meruncing mengecut dan mengambil bentuk telinga manusia. Wajah Shiro berubah beransur-ansur membentuk wajah seorang lelaki yang berusia sekitar empat puluhan, tubuhnya lengkap beryukata lusuh seorang ronin berwarna kelabu. Air mata mengalir menuruni pipinya tatkala dia memandang Hisamiko yang sudah nyawa-nyawa ikan.

 

“Engkau... siapa?” Soal Hisamiko dalam lemah.

 

“Genjirou. Arigatou Hisamiko. Kasihmu telah meleraikan sumpahan pulau ini terhadapku.”

 

“Sumpahan...apa...?”

 

“Satu-satu sumpahan yang tidak terhapus meski Kaisenjyo sudah tiada. Ia hanya terhapus dengan kasih. Aku tiada kasih sehingga aku bertemumu. Arigatou Hisamiko.”

 

Maka Shiro ialah lelaki ini? Kesialan apakah ini? Jadi, aku selama ini dipeluk digomol seorang lelaki?

 

Kejijikan membayangkan kembali selama ini dia dipeluk seorang lelaki asing menjalar merayap ke segenap tubuh. Namun apa gunanya semua itu lagi. Dia di hujung nyawa kini. Mahu muntah sekalipun tiada upaya.

 

Hisamiko hanya senyum tawar mengenangkan kata-kata Genjirou sebentar tadi. Kasih? Dalam hati dia menyoal dirinya apakah dia benar-benar kasihkan Shiro? Lagi pula Shiro kini ialah seorang lelaki asing. Juga dia seorang manusia lelaki. Mungkin dia mengambil kesempatan ke atas diriku dalam hari-hari aku dipeluknya itu. Kasih? Hanya jijik yang kurasa. Jijik memikirkan yang dia mungkin mengambil kesempatan ke atasku. Aku benci manusia. Seperti aku katakan dahulu, jika aku berupaya akan aku bunuh semua manusia sehingga yang tinggal hanya aku dan Shiro.

 

Apa gunanya lagi semua ini. Shiro telah tiada. Shiro hanyalah sebuah sumpahan, sebuah fantasi, angan-angan dan mimpi yang panjang. Lelaki ini adalah realitinya. Dan aku pula akan mati tidak lama lagi.

 

Dia mengerut dahi menahan perit di kepala dan kakinya. Seluruh dalamannya bagai dicucuk pedang. Dia dapat merasakan hayatnya bakal berakhir sedikit masa lagi.

 

Dia mengenang kembali hidupnya. Apakah masih ada suka dalam ceritera panjang yang melankoli ini? Dia menggeledah kotak memori, cuba mencari sisa-sisa gembira jika boleh dia sandarkan makna pada hidup penuh ranjau dan onak duri ini. Wajah onii-san yang telah lama pergi cukup memedihkan. Onii-san aku rindukan engkau. Aku akan bertemumu onii-san sebentar lagi. Tsuneki. Aku rindukan engkau. Pemergianmu terlalu pedih sehingga saat ini aku masih merasakannya.

 

Hisamine. Hisamine. Hisamine. Apakah ini yang kaurasakan saat akhir hayatmu? Apakah engkau masih ada saat gembira yang boleh kaujadikan makna? Apakah aku yang terlibat dalam saat gembiramu itu? Atau ada insan lain yang lebih bertakhta di hatimu?

 

Hisamiko memandang sekeliling panorama lembah. Dia telah memandangnya sebelum lelap keletihan hari ini. Dia mengulang pandang, dan tatkala bayu laut berhembus menghantar kelopak sakura dan bunga pokok buah aneh merah-kuning melintas wajahnya, harumnya menusuk rongga hidung dan nyamannya angin meredakan keperitan jiwa dan jasad. Menikmati keindahan ini saat akhir hayat dirasakan amat berlainan sekali. Ia lebih dihargai, lebih didalami setiap butir-butir, setiap perinci warna dan bau dan rasa dan suhunya. Apakah ada syurga yang lebih indah dari tempat ini?

 

Aku gembira. Aku gembira kerana bertemu tempat ini. Aku gembira bertemumu Hisamine, aku gembira bertemumu Shiro. Meskipun engkau Shiro telah berubah kepada insan lain. Aku gembira kerana meskipun engkau telah tiada, kasihku terbukti. Aku mampu membahagiakan insan lain. Aku mampu meleraikan sumpahan itu. Aku telah melangsaikan hutang kasihku. Sesungguhnya hidupku tidak sia-sia.

 

Yume mitainda (seperti mimpi).” Hisamiko mengulang-ulang patah itu sambil mata tidak lekang dari menatap panorama lembah. Dia menamatkan imbasannya pada wajah Genjirou.

 

Arigatou, Genjirou kerana menemaniku hingga saat ini. Sayounara.” Hisamiko memejamkan mata dan menghembus nafas terakhirnya. Butir-butir air mata gugur dari wajah itu meresap ke dalam bumi. Senyum terukir di bibirnya. Derita yang ditanggung sepanjang umurnya lebur oleh bahagia yang dilakar di sini. Putik sakura berguguran menutupi bibir dan matanya. Genjirou tidak dapat menahan sebak, meraung sambil memangku mayat Hisamiko.

 

Genjirou, seorang lelaki yang merupakan pembunuh puluhan tahun lampau, yang membunuh kesemua rakannya kerana tamakkan emas di pulau itu. Kerana cinta kepada seorang wanita, dia berubah kembali menjadi dirinya dan sumpahan pulau itu ke atasnya kini berakhir.

 

**

 

Tentera Maharaja yang masih berbaki tiba di lembah rahsia, namun mayat Hisamiko sudah tiada. Genjirou sudah membawanya pergi.

 

Namun tentera Maharaja sudah terlambat. Gempa tidak semena-mena mengucarkacirkan tentera-tentera itu. Ia disusuli letusan gunung berapi memuntahkan lahar dengan ganasnya. Seluruh pulau itu lenyap sekelip mata.

 

Genjirou yang sedang bersembunyi, sebaik menyedari semua tentera yang berkawal di pesisir sedang bergegas ke lembah rahsia itu, telah mengambil salah sebuah bot dan melarikan diri bersama mayat Hisamiko. Nyawanya masih panjang. Di belakangnya hujan abu dan asap semakin menyelubung sekitar.

 

**

 

Yoshihisa tergamam setelah mendapat berita kemusnahan pulau Yumejima bersama pekerja-pekerja syarikat dan para tentera Maharaja yang dihantar di bawahnya dan ditinggalkan di pulau itu.

 

Dia menaiki kapal udara yang dibeli dari pedagang Barat untuk ke Yumejima bersama beberapa orang pekerjanya. Di udara, dia ternampak seseorang sedang berpaut pada sebatang kayu. Yoshihisa menyedari orang itu Genjirou lantas melaungkan namanya. Genjirou mengalami lecuran yang teruk di kakinya, dan diselamatkan. Mayat Hisamiko dituntut Yoshihisa dan dikebumikan di sebuah perkuburan yang dirahsiakan di Kyushu.

 

Genjirou terhutang budi dengan Yoshihisa maka dia tidak merancang untuk membalas dendam. Genjirou tidak pernah memberitahu bahawa dialah anjing putih itu. Genjirou bercadang mahu menghabiskan sisa-sisa hidupnya di sebuah kampung di pedalaman Jooryoku. Yoshihisa menyedekahkan tanah yang dimilikinya di Jooryoku untuk Genjirou. Genjirou akhirnya mati akibat jangkitan kuman pada kesan lecuran di kakinya selepas setahun setengah menderita.

 

**

 

Seorang lelaki tua, berpakaian seperti aristokrat Prussia, melempar renungan sejauh-jauhnya ke luar jendela. Kerusi kayu eboni besar dan berbaldu menghampar punggung. Curut di tangan melukis asap putih berkepul-kepul memenuhi segenap bilik kayu berukiran ala rumah bangsawan Barat yang agam ini. Muncung curut disedut, mata terpejam kenikmatan, lantas dihembus asap sisa ke luar jendela. Tatkala asap menebar jauh ke udara hilang ditelan angin yang bertandang, panorama di hadapan kembali jelas. Kala itu juga, memori dua dekad lepas kian jelas dan kembali menggoncang raga.

 

Memori itu datang dan pergi. Namun belakangan ini, ia kembali mengganggu benak kerap pula. Kala bisnesnya sudah mendatar, dan kian stabil, dan dia kini menyerahkan kian banyak tugas-tugas dalaman syarikat kepada pegawai bawahan, dia kian lapang namun masih kekal memiliki pegangan. Hidupnya kenyang. Hidupnya stabil. Lebih banyak masa senggang, lebih ruang untuk bernafas. Juga lebih ruang untuk benak memutar kembali kisah-kisah lalu yang membelenggu, kian jelas dan kian merengsakan.

 

Dan kemudian, apa lagi yang ingin kaugapai, Yoshihisa? Engkau telah memiliki segala-galanya, getus dirinya.

 

Segala-galanya? Tidak. Aku masih terbelenggu oleh masa silam. Aku cemburu. Aku melihat wajah gadis itu yang dibawa pulang mayatnya. Mengapa dia senyum? Seolah-olah dia menyindirku.

 

Engkau menyedihkan, orang tua. Begitulah seolahnya wajah itu bersuara.

 

Yoshihisa memandang fotograf hitam putih keluarganya, iaitu isteri dan anaknya yang pernah ditinggalkan di Kyoto dahulu, terpampang di atas meja eboni. Dalam foto itu mereka lengkap berpakaian tradisional dengan dia duduk terkangkang di atas kerusi memakai kimono ber-haori dan seluar hakama dan menongkat kedua-dua tangan dengan sebilah pedang samurai bersarung, sedang isteri dan anaknya berdiri di kiri dan kanan.

 

Hatinya sudah kering. Dia sudah lama melepaskan mereka berdua dari kepala. Baginya tiada cinta yang mengisi perkahwinan itu. Dia dinikahkan oleh kedua orang tuanya dan menerima gadis itu. Namun dia mulai merasakan gadis itu beban. Lebih malang, dia mengatakan gadis itulah punca kemurungannya tatkala dia muflis, benar-benar ke wajah gadis itu, sehingga berderai air matanya. Dia menceraikan gadis itu dan anak mereka dan lari ke Hidagawa, sebelum dikejar sehingga ke Kyushu oleh para pemiutang.

 

Namun memori dengan anak-anak Okuhida itu sungguh berbekas. Aku tidak pernah melihat keikhlasan. Terutama gadis itu yang mula mendekatiku di atas kapal. Wajah mereka sungguh murni. Mereka insan teraniaya. Mereka hanya mahu meneruskan hidup, dan membawa bersama mereka kehidupan yang menjadi taruhan di tangan tentera baginda, ke sebuah pulau terpencil.

 

Benci yang lahir dalam sanubari gadis itu bukanlah mutlak. Bukan intrinsik, bukan terbit sejak lahir. Dia terlalu murni untuk dituduh begitu. Ia benci yang lahir dari tangan-tangan manusia sekelilingnya. Termasuk aku.

 

Usianya terlalu lanjut kini. Dengan usia hampir mencecah seabad ini, di mana ia usia purata untuk bangsa Yamato, mungkin sebuah ensiklopedia panjang lewah wajar dikarang bagi merakam segala apa yang pernah dilalui. Agar generasi kemudian yang membaca dapat mengambil iktibar.

 

Apakah aku memang selalu begini? Secara mutlak atau intrinsiknya sejak lahir begini? Begini mementingkan diri?

 

Dia telusuri kembali kisahnya dari mula. Sepanjang hidupnya dia bersikap oportunis, mengambil kesempatan dalam setiap peristiwa, mengutamakan survival sendiri atas orang lain. Dari mula, dia melarikan diri dari Yumejima, kemudian melarikan diri dari isteri dan keluarganya di Kyoto, kemudian melarikan diri dari pemiutang ketika perniagaannya lingkup dan melarikan diri dari Hisamiko dan abangnya demi mengejar wang dan harta.

 

Dia akhirnya hidup mewah, tetapi berseorangan. Matanya kabur, pedih. Wajah Hisamiko yang tersenyum kaku berulang bermain-main di mata.

 

Masih dibuai rasa bersalah kepada Hisamiko dan abangnya, dia mencapai sebilah pedang samurai, lalu merobek perutnya.

 

 

***TAMAT***

Novel: Yumejima (Bab 51)

 

Ketibaan Hisamiko dan Shiro disambut dengan tembakan bertalu-talu mesingan Gatling oleh tentera Maharaja yang berkawal. Hisamiko berang tidak terkata sebaik berjaya mengelak tembakan dan menyembunyikan diri dalam hutan gelap. Dia dan Shiro terus meluru ke lembah rahsia mereka dan Shiro menutup lubang terowong itu dengan batu-batu besar dan tanah liat.

 

“Shiro aku mahu berbaring. Hari ini cerah sekali.”

 

Shiro mengangguk seraya berlalu. Namun Hisamiko menarik ekornya yang terseret menyapu tanah itu.

 

“Shiro, baring di sebelahku.”

 

Shiro menurut seperti dipukau.

 

Mereka berdua baring di atas rumput di tepi rumah yang pernah dibina bersama Hisamine. Di hadapannya sungai air panas masih mengalir, jernih membiru sehingga ke muara. Bunga-bunga masih mekar menghiasi kawasan di seberang sungai, tempat dia pernah berlari dan berguling bersama Hisamine. Angin laut berhembus menyederhanakan suhu di lembah terlindung ini. Asap dari salah satu bukit yang mengelilingi lembah itu semakin tebal dan hitam. Pokok berbuah kuning merah dan berbentuk seperti momo yang tumbuh sebatang dua di tepi pintu masuk terowong masih lebat buahnya. Pokok sakura dan momiji tumbuh di tepi tebing tinggi yang mengelilingi belakang rumah Hisamiko dan Hisamine dan menyokong hutan gelap di atasnya.

 

Hisamiko menengadah langit membiru. Sekosongnya. Sudah berhari dia dilambung ombak dan bertarung. Dia terlalu penat. Dan sekembalinya ke sini dia masih perlu mengelak bangsat yang berkawal di pantai di luar.

 

Dia mengangkat tangan kanan ke arah langit dan menelitinya, ia penuh calar-balar ditumbuk tentera yang cuba merampas pedangnya. Tangan kecil ini juga telah membunuh ramai manusia. Air matanya mengalir mengenangkan dia telah menjadi seorang yang dibenci abangnya. Dia memandang bukit yang berasap di hadapan. Entah bila agaknya ia akan meletus dan memusnahkan semua keindahan ini.

 

Apakah masih ada hari esok untukku menikmati semua ini sekali lagi? Atau aku akan pergi hari ini juga?

 

Aku telah membunuh ramai manusia. Apakah Tuhan akan mengampunkan aku? Wahai Tuhan, aku membunuh demi mempertahankan diriku, Shiro dan pulau ini. Mereka menceroboh. Jika aku biarkan mereka menceroboh, lambat laun mereka pasti akan mengapa-apakan aku dan Shiro sepertimana yang telah berlaku kepada abangku dan Hisamine. Tuhan, apakah engkau masih berkenan mengampunkanku?

 

Air mata deras mengalir lagi.

 

Aku mahu mempertahankan hanya sekeping tanah ini. Hanya ini sahaja ruang yang tinggal buatku. Semua mereka yang pernah hidup denganku telah pun pergi. Kerana manusia. Kerana hidup dengan manusia itu sungguh menyakitkan. Bapa dibunuh, abangku dibunuh, kekasihku dibunuh dan rakan baikku dibunuh. Dan aku dihalau dari negaraku oleh seseorang yang telah aku taburkan jasa bakti. Dan yang tinggal kini hanya sebeting pulau terasing, hanya ini sahaja tempat dan ruang yang menghindarkan aku dari manusia lain. Hanya ini sahaja.

 

Aku telah memilih Shiro dan pulau ini sebagai tempat berpaut dan aku akan mempertahankan keduanya. Namun manusia masih jua datang ke sini! Andai, andai aku punya kuasa menghapuskan semua manusia di luar akan aku lakukan! Agar hanya aku dan Shiro sahaja yang wujud di sini! Agar pulau ini kekal aman!

 

Hisamiko menggenggam penumbuknya, gigi berlaga dan dahi berkerut merenung langit. Air matanya mengalir menuruni bucu mata ke bumi. Shiro memegang tangannya cuba meredakan hati sahabatnya yang berkecamuk.

 

**

 

“Lubang apakah ini?” Seorang lelaki berpakaian seperti tentera Prussia mengamati lubang pada lantai hutan gelap itu. Dia menguis-nguis batu pada birai lubang yang dicampakkan rakannya yang sedang berada di dalam.

 

“Bagaimana Touno-san?” Soalnya kepada rakan di dalam lubang.

 

“Tiada cahaya.” Balasnya. Tidak lama kemudian Touno yang berpakaian ala tentera Prussia naik ke atas.

 

“Tiada cahaya langsung, Kouji-san. Seperti lubang ini telah dikambus di jalan keluarnya.”

 

“Kita cuba cara lain. Dengan letupan.”

 

“Baiklah. Aku ambil bahan letupan sekarang.”

 

Tidak lama kemudian...

 

DAMMM!! Bunyi letupan menggegarkan lembah rahsia. Hisamiko dan Shiro yang sedang terlelap tersentak dan bangkit mengejut. Hisamiko langsung menghala pandangan ke gunung berasap. Tiada lahar, asapnya juga tidak bertambah tebal dari biasa. Dari mana letupan sebentar tadi...

 

Dia menoleh belakang dan mendapati ada dua orang tentera Maharaja sedang berdiri sambil mengacu senapang ke arah mereka. Lubang terowong di belakang sudah runtuh dan lebih besar dari biasa.

 

“Apa kalian buat di sini?”

 

Hisamiko mencapai pisau yang dibawa dari kapal Yoshihisa. Hanya itu sahaja senjata yang masih dimilikinya sekarang.

 

“Berambus dari sini. Sini tempat kami. Kalian telah menceroboh!”

 

“Oi, gadis Okuhida. Pulau ini telah menjadi hak milik Maharaja. Apakah engkau tidak ingat? Dan engkau, bukankah Maharaja telah memanggilmu pulang? Mengapa engkau lari daripada kurungan kami ha?”

 

“Aku tidak peduli semua itu lagi. Nyah kalian, atau aku akan bunuh kalian.”

 

Shiro mendengus dan merenung dua orang tentera itu dan menampakkan taringnya. Keduanya kecut perut dan berundur selangkah dua. Shiro bersedia untuk menerkam, sedang tentera itu masih mengacu senapang ke arah Shiro.

 

Seketika kemudian datang beberapa orang tentera dari muka terowong yang sudah dibesarkan oleh letupan itu. Hisamiko pantas menghilang dan berada di belakang salah seorang tentera yang membawa pedang. Dia mengeluarkan pedang itu sambil melibas dan tatkala pedang itu dihunus ke udara, pemiliknya sudah tumbang dengan kesan libas pada pinggang.

 

Para tentera mula melakukan tembakan rambang demi menumpaskan Hisamiko yang pantas bergerak dalam kaminari. Shiro cuba mengekorinya demi menerbangkannya keluar dari lembah rahsia itu, namun disebabkan tentera tersebut menembak dengan mesingan Gatling juga dan kelambatan Shiro mengekori Hisamiko yang jauh lebih pantas dan ringan tubuhnya, dua ke tiga tembakan mesingan Gatling mengenai Shiro. Ia gugur menyembah bumi. Darah mengalir deras dari kesan tembakan. Hisamiko mendarat pada lututnya.

 

“Shiro...bangun Shiro! Bangun!”

 

Shiro tidak berganjak. Matanya terbuka separa. Mulutnya bergerak-gerak sedikit. Jantungnya masih berdegup.

 

Hisamiko tidak dapat menahan amarahnya melihatkan keadaan Shiro. Dia tekad kini akan menumpaskan tentera itu demi Shiro.

 

Hisamiko kembali naik jurus kaminari dan melibas pedangnya merentas medan magnet dari bukit hitam. Selepas dirasakan cukup casnya, dia mengelak satu persatu peluru Gatling yang menyasar dan dia menyusup celah-celah pasukan tentera sehingga dia cukup hampir kepada mesingan itu dan menetaknya dengan pedang yang sudah dicas. Meletuplah senapang itu bersama para tentera yang berbaki.

 

Hisamiko turut tercedera. Dia mengengsot dengan kaki yang berdarah-darah menuju lokasi Shiro. Darah turut mengalir keluar dari kepalanya dan mulutnya. Organ dalaman Hisamiko nampaknya sudah cedera parah akibat letupan itu. Hampir semua tentera yang telah menceroboh lembah itu telah mati diletupkan, kerana bom yang mereka bawa turut sama meledak dari cas pedang Hisamiko. Sebahagian lagi cedera teruk dan melarikan diri melalui terowong, barangkali juga untuk memberitahu rakan-rakan yang lain di luar.

 

Hisamiko sampai di sisi Shiro. Dia langsung rebah. Namun Shiro kembali sedar dan lukanya menyembuh pantas, ia sebahagian dari kuasanya. Dia sempat memangku Hisamiko di atas lengannya.

Novel: Yumejima (Bab 50)

Sebaik kapal meninggalkan pulau itu cukup jauh, barulah kompas dapat digunakan seperti biasa kerana jarumnya tidak lagi terkesan oleh bukit magnet. Yoshihisa melihat asap tebal di pulau itu dan sedikit gerun. Apakah pulau ini masih di situ selepas sebulan kelak? Apakah mereka para tentera yang ditinggalkan masih di situ selepas sebulan atau dibaham haiwan hitam? Ia sebuah kisah yang mereka perlu karang dan wariskan. Itupun jika mereka masih bertahan, seperti aku dahulu. Hanya mereka yang bertahan yang akan meninggalkan cerita untuk dijadikan iktibar.

 

Dua hari berlalu.

 

Samudera tenang sahaja hari ini. Goncangan memabukkan sudah pun berlalu.

 

Hisamiko sedar inilah harinya. Inilah hari penentu. Dia tidak akan kembali ke Jepun lagi. Kubur abangnya dan Hisamine di pulau itu dan di pulau itulah dia akan mati.

 

Dia mengejutkan Shiro.

 

“Shiro engkau tak apa-apa?”

 

Shiro mengangguk.

 

Setiap kali Hisamiko ingin membuang air, dia akan mengengsot ke satu lubang kayu berpenutup di tepi. Shiro juga begitu. Makanan disuap oleh lelaki yang dihantar Yoshihisa. Yoshihisa tidak sekali-kali melepaskan Hisamiko dari jaring kerana dia tahu bahayanya. Dia maklum bagaimana Hisamiko masih boleh melepaskan diri sewaktu ditahan menggunakan jaring dahulu. Disebabkan itu juga tiada langsung pisau baik yang dicicirkan di sini. Tiada juga cahaya yang membolehkannya merancang melepaskan diri.

 

**

 

“Yoshihisa, maafkan kami, namun bolehkah engkau benarkan kami bawa pulang ini?” Dua orang tentera menunjukkan sebuntil kain berisi bongkah emas kecil yang dipotong-potong.

 

Yoshihisa memandang mata mereka. Ia mata sama yang pernah diamati. Mata Genjirou. Dahulu, mata itu memulakan pembunuhan semua ahli rombongan. Emas itu tidak pernah jemu mencari mangsanya. Tatkala jiwa yang tamak dirasuk, semua akan ditebasnya dibasmi.

 

Yoshihisa menggangguk kecil kepada seorang pegawainya. Pegawainya terus menembak dua orang tentera itu dan mencampakkan mayatnya ke laut. Peristiwa itu diperhatikan rakan tentera lain.

 

“Yoshihisa apa yang kau dah lakukan?!” Pekiknya.

 

“Aku baru sahaja menyelamatkan kalian.”

 

“Engkau telah membunuh tentera kita sendiri! Apa maksudmu selamatkan kami?”

 

“Jika mereka tidak dapat memenuhi keinginan terhadap emas itu, mereka akan membunuh semua yang berada di atas kapal ini.”

 

“Mengarut! Yoshihisa, kami sudah penat dengan karenahmu. Sudahlah rancanganmu ini telah membawa kami ke misi bunuh diri ini. Ramai rakan kami mati. Dan engkau membunuh sewenangnya di atas kapal ini tentera kita sendiri!”

 

Tentera itu menoleh kepada rakan-rakannya. Rakan-rakannya semakin ramai keluar dan membalas renungannya. Dia kembali mengadap Yoshihisa. “Yoshihisa, engkau akan mati hari ini.”

 

Yoshihisa mencicit masuk ke dek bawah. Bertempurlah para tentera di dek atas, di antara yang menyokong Yoshihisa dengan yang menentangnya.

 

“Hisamiko, engkau harus menolongku.” Yoshihisa merayu.

 

“Aku akan membunuhmu!” Bentak Hisamiko.

 

“Tolong Hisamiko. Aku telah menolong kalian sewaktu dikejar Yato dahulu.”

 

“Dan engkau membelot kami? Mengapa engkau membiarkan kami ditangkap mereka, ha?”

 

“Oh, sekarang engkau kenal aku Yoshihisa? Mengapa engkau kata tidak mengenalku? Hisamiko, apa yang berlaku sepanjang engkau di pulau itu? Ceritakanlah!”

 

“Tidak, engkau telah membelot aku dan abangku. Engkau akan kubunuh!”

 

“Hisamiko! Dengari aku, abangmu bodoh keluar dari hutan itu. Bukankah aku tinggalkan kalian senyap-senyap di lubang? Mengapa kalian bodoh keluar? Bukankah kalian mahu tinggal di pulau itu sangat? Dan aku telah carikan persembunyian untuk kalian namun kalian masih bodoh keluar...”

 

Hisamiko tergamam mendengar penerangan Yoshihisa. Namun hatinya telah keras. Dia tidak peduli. Apa yang dipeduli hanyalah Shiro dan pulau Yumejima. Sesiapa yang berada di hadapannya yang cuba menghalang akan dicantas.

 

“Dan apa yang telah kaulakukan di atas sana? Apakah kau membiarkan tenteramu bertempur sesama sendiri?”

 

Yoshihisa mencari alasan berselindung. Sememangnya dia mahu mengurangkan bilangan tentera yang pulang. Kemudian dia akan meletakkan alasan bahawa mereka terkorban sesama sendiri di Yumejima. Siapa pun tidak akan tahu perkara sebenar. Jika ada saksi, dia akan membunuhnya.

 

“Mereka berebut emas yang kami bawa pulang.”

 

“Bukankah tugasmu meleraikan mereka selaku ketua? Apa kau buat berselindung di sini?”

 

“Hisamiko aku tidak upaya meleraikan. Aku telah lama memecat dua orang petarungku. Aku perlukan engkau membantuku.”

 

“Oh begitu? Baiklah. Aku ada syarat. Aku akan bantu engkau leraikan mereka. Selepas itu aku akan membunuhmu.”

 

“Hisamiko...aku merayu. Aku tidak akan mengapa-apakan engkau meskipun engkau telah banyak menumpahkan darah tenteraku. Hanya sekali ini, hanya sekali ini bantulah aku. Demi pertolonganku kali lepas.”

 

Hisamiko menghindar wajah Yoshihisa di balik kelam pelita. Detakan kaki dan dentingan pedang sabung-menyabung masih kedengaran dari dek atas. Dia tidak mempercayai Yoshihisa. Lelaki tua ini hanya memikirkan dirinya. Sejak dahulu lagi perangainya masih tidak berubah. Hisamiko percaya lelaki tua ini membiarkan tenteranya bertelagah sesama sendiri agar mereka saling berbunuhan dan perkongsian hasil emas hanya di dalam kalangan beberapa yang tinggal sahaja.

 

“Aku akan biarkan kauhidup. Akan tetapi jangan engkau tayang lagi wajahmu di hadapanku sampai bila-bila.” Bukankah itu yang engkau mahukan Yoshihisa? Engkau amat sayangkan nyawamu dan takutkan kematian bukan? Aku akan membiarkan engkau hidup. Namun engkau harus berusaha dan tiada sesiapapun lagi yang akan dikorbankanmu sebagai jalan pintas.

 

Tatkala Yoshihisa mahu memotong jaring Hisamiko, dia terkejut mendapati Hisamiko sudah pun selesai meleraikannya. Pisau yang sepatutnya berada di pinggang Yoshihisa sudah berada di tangan Hisamiko.

 

Dia menghunus pisau itu ke arah Yoshihisa dan berundur sambil memanjat ke dek atas. Shiro mengekor sehingga ke atas.

 

Sebelum naik Shiro sempat merenung wajah Yoshihisa. Engkau akan mendapat karmamu, orang tua!

 

Yoshihisa tergamam dan menurut ke dek atas juga, cuba mengejar Hisamiko.

 

Hisamiko pantas melompat terjun ke laut sebelum sempat tentera Yoshihisa menyedarinya, Shiro pula menyambut sambil terbang. Hisamiko berdiri sedang Shiro mengepak-ngepak sayapnya di udara. Dia menjerit ke arah Yoshihisa, “Hiduplah engkau orang tua! Semoga engkau selamat dari mereka, ha ha ha!”

 

Yoshihisa melepaskan penumbuk ke udara. Tak guna! Aku ingat aku berjaya mempengaruhinya agar meleraikan pergaduhan kami!

 

Tentera-tentera yang bertelingkah beralih perhatian ke arah Hisamiko yang bersama Shiro terbang di udara menuju ke pulau Yumejima yang entah di mana, di tengah laut lepas tanpa sebeting darat pun. Namun Hisamiko tahu. Medan magnet bukit hitam meski lemah, dia masih dapat mengesannya.

 

“Kalian semua, bersedia! Tembak gadis dan anjing putih itu!”

 

Hisamiko dan Shiro tidak mengendahkan, mengelak peluru demi peluru meriam. Tidak sampai sehari, mereka tiba kembali ke Yumejima.

 

Yoshihisa mendengus geram. Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Dia perlu menjawab kepada keluarga tentera yang mati, kepada Maharaja akan perihal Hisamiko sekembali ke Jepun nanti. Namun konflik di hadapan mata perlu dileraikan segera, kapal perlu dikemudi sebaiknya. Tiada Yoshimura dan Katamori yang sudi mempertahankannya. Tiada Hisamiko lagi. Melayang atau tidak nyawanya, dia harus bertaruh dengan kemahiran lisan selaku ahli perniagaan yang pernah berjaya.

 

Yoshihisa menghimpunkan seluruh tenaga demi hidup yang perlu diteruskan. Nyawa sendiri lebih utama, diri sendiri perlu dipentingkan lebih dari segalanya.

 

** 

Novel: Yumejima (Bab 49)

 Hisamiko dan Shiro sedang berdiri di atas tebing tinggi yang menempatkan kubur Ryouji dan Hisamine.

 

Shiro banyak termenung. Yoshihisa. Lelaki tua itu. Aku seperti pernah melihatnya. Apakah dia lelaki itu? Yang pernah datang ke sini dahulu bersama rombonganku? Dan kemudian dia lari dengan rakit yang telah dibina ahli rombongan lain? Wajahnya sungguh berlainan kini. Penampilannya pun. Pakaian tentera aneh yang langsung tidak menyerupai pakaian Jepun.

 

Mata Hisamiko meliar menyelar segenap pesisir. Dari kapal di tengah laut itu turun beberapa buah bot-bot yang membawa tentera yang masih berbaki. Hisamiko menggetap bibir. Wajahnya merah membakar.

 

“Mereka tak serik-serik lagi nampaknya. Yoshihisa, aku membiarkan engkau hidup kerana engkau pernah berbaik dengan kami. Malah engkau pernah menyelamatkan kami dari Yato. Namun jika engkau masih berkeras ke sini, aku tiada pilihan.”

 

Hisamiko mengeluarkan pedangnya, dia menggosok-gosok pedang itu pada batu besar bagi menajamkannya.

 

**

 

Lengang. Di mana bot-bot itu?

 

Hisamiko memerhati sekeliling. Bot-bot itu membelok menuju ke muara yang dilindungi hutan belantara. Maka pergerakannya kini terlindung dari Hisamiko dan Shiro.

 

Apakah mereka terus menuju ke lombong emas? Ah, aku sudah tidak peduli. Sama ada mereka hanya datang ke sini untuk melombong atau atas tujuan apa sekalipun, aku tetap akan menghapuskan mereka. Jika mereka datang untuk melombong, mereka pasti akan datang sekali lagi dan sekali lagi. Aku sudah muak. Aku tidak mahu melihat sesiapapun di sini lagi.

 

Shiro dan Hisamiko turun ke pantai dan menyusur sepanjangnya sehingga tiba di belukar berhampiran muara.

 

Menggunakan deria istimewanya, Hisamiko mengesan besi seperti pistol pada pinggang, namun tatkala dia mengesan dan mendaratkan tetakan pedangnya mengenai leher seorang tentera, picagari pada tangan tentera itu sudah tertanam pada punggung Shiro di sebelah sedang isinya sudah ditolak habis.

 

“Haiwan ini akan mati jika ia bergerak.” Begitulah kata-kata tentera itu sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, kepada Hisamiko. Tentera itu sempat tersenyum sinis. “Hidup Maharaja, banzai!” Kepalanya terlentok kaku sejurus itu.

 

Shiro mulai kaget. Hisamiko turut menegahnya daripada bergerak tatkala dia mengingat kembali racun sama yang membunuh abangnya itu. Jaring dilepaskan tiba-tiba dan Hisamiko bersama Shiro diikat dan diangkut keluar dari hutan.

 

Bot khas yang lebih besar sudah tiba di muara.

 

“Hisamiko...” Yoshihisa datang dan menatap Hisamiko dari balik jaring. “Maafkan aku, namun Maharaja mahu engkau pulang. Engkau harus berterima kasih aku masih menahan diri dari membunuhmu Hisamiko. Kerana kenangan kita di sini masih aku hargai. Meski engkau telah membunuh orang-orangku tanpa belas!”

 

Hisamiko meludah, matanya tajam menikam Yoshihisa. “Aku akan bunuh engkau jika aku berjaya melepaskan diri.”

 

Shiro masih terpinga-pinga di dalam jaring. Dalam hati Shiro berbisik, “Benarlah dia ini Yoshihisa! Aku kenal suara itu. Meski wajahnya jauh lebih tua, suaranya dan lenggoknya tidak pernah berubah!”

 

Yoshihisa tidak mengendahkan ugutan Hisamiko, dan mengisyaratkan tenteranya mengangkut mereka ke dalam bot.

 

Syaitan! Namun mengapa masih aku setuju menyelamatkannya? Mengapa hatiku masih berbolak-balik? Apakah ia salahku Hisamiko menjadi begini syaitan?

 

Namun wajah Hisamiko kembali bermain di fikirannya. Wajah penuh kebencian itu. Apa yang telah engkau lalui Hisamiko sepanjang berada di sini? Di mana wajah gadis yang baik yang aku temui dahulu? Mengapa engkau begitu membenciku? Terlalu banyak perkara yang ingin aku bicarakan. Engkau mungkin telah menyalahanggap aku membelotmu dan abangmu. Sedangkan aku langsung tidak berniat begitu.

 

Hisamiko tidak dapat menggerakkan pedangnya kerana jaring itu diketatkan. Jika dia punya pisau pasti lebih mudah kerana pisau lebih kecil dan tidak memerlukan pergerakan yang besar untuk memotong. Akalnya ligat berfikir ketika mereka dikandar puluhan tentera masuk ke dalam bot besar. Bot itu ditarik beberapa buat bot lain menuju ke kapal di luar pesisir. Jaring itu diangkat takal besar masuk ke dalam sangkar besi yang besar dan dibawa turun ke dek bawah, dikeluarkan dari sangkar besi itu. Bergelaplah mereka berdua di dalamnya sehingga masa menentukan.

 

Hisamiko membiarkan dahulu mereka berkurung. Dia punya perancangan. Shiro harus dibiarkan dahulu. Racun itu akan hilang kesannya dalam dua hari. Selepas dua hari, dia akan melepaskan dirinya dan Shiro dengan memotong jaring menggunakan pedang dan Shiro akan terbang membawanya merentas samudera kembali ke pulau. Atau, sekembali ke Jepun, dia akan terbang bersama Shiro kembali ke pulau. Dia tidak akan tinggal di Jepun. Dia sudah berjanji dengan abangnya. Dia tidak lagi percayakan Maharaja. Maharaja mungkin merancang mahu membunuhnya.

 

Gelapnya. Ada bau arang di sini. Juga bau sake. Shiro hanya mendiamkan diri. Di tempat begini apa yang boleh kautuliskan? Lagi pula dengan tangan berikat. Hanya bunyi dengkuran, dengusan dan gerutu yang tidak Hisamiko fahami kedengaran.

 

Hisamiko cuba meregangkan sedikit jaring agar boleh dia menggerakkan pedang bagi memotongnya.

 

Tidak semena-mena, pintu dikuak. Seorang lelaki masuk dan membawa pelita menerangi kurungan itu. Dia datang ke arah Hisamiko dan menerangi wajahnya.

 

“Hei gadis. Yoshihisa mengarahkan aku mengambil pedangmu.”

 

Hisamiko memegangnya kejap namun lelaki itu menumbuk tangannya menyebabkan dia mengerang. Selepas berdarah-darah tangannya ditumbuk berkali-kali barulah Hisamiko mengalah dan lelaki itu menarik keluar pedangnya dari jaring. Hisamiko hanya mampu menangis melihatkan harapan terakhirnya berkecai.

 

“Oh, inilah rahsiamu. Pedang Saishi-tou yang telah menumpaskan ramai pemberontak. Juga tentera kami. Aku akan membuangnya ke laut.”

 

“YAMEROU!!” Erang Hisamiko. Lelaki itu tidak mengendahkannya seraya naik ke dek atas.

 

Plup! Pedang dicampak langsung ke dalam laut, diperhatikan Yoshihisa.

 

Shiro mendengus, dia amat marah. Engkau amat licik seperti dahulu lagi, Yoshihisa!

 

“Bertenang Shiro bertenang. Jika kau gusar lagi cepat racun itu meresap. Engkau harus menunggu dua hari sebelum kesannya hilang atau engkau akan mati seperti abangku.” Hisamiko cuba menenangkan Shiro, meskipun hatinya turut bergolak. Ketenangan Shiro paling diutamakan saat ini. Jika Shiro bergerak, maka habislah rancangannya. Shiro akan mati, dan perancangannya kembali ke pulau akan turut termati. Bagaimana mungkin dia berenang sejauh-jauh demi kembali ke sana?

 

Hisamiko memerah otak. Bagaimana mungkin dia merancang sedang semua di sini gelap gelita?

 

**

 

Emas-emas sudah pun diangkut. Bendera Empayar Jepun sudah pun dipacak di merata titik utama pulau, sebagai amaran dan pemberitahuan kepada mana-mana penceroboh termasuk dari Amerika dan Rusia, bahawa pulau ini sudah berada di bawah penaklukan Maharaja. Para tentera sudah pun kembali sepenuhnya ke dalam kapal hitam, kecuali yang diarahkan berkawal di pulau.

 

Ya, Maharaja telah mengarahkan beberapa orang tentera ditinggalkan di pulau itu lengkap dengan senjata api dan makanan. Pulau itu akan dikunjungi lagi sebulan kemudian. Disebabkan kawasan sekitar lombong emas sudah diteroka, lebih mudah untuk mereka meneruskan hidup di situ. Mereka juga telah diperingatkan Yoshihisa agar berhati-hati dengan binatang berwarna hitam yang memakan manusia. Dengan senjata moden, mereka kurang gentar. Namun jauh sekali mereka maklum bahawa haiwan hitam itu sudah pun mati.

 

Yoshihisa mengarahkan sauh dilepaskan, dan pelayaran pulang yang panjang ke Jepun bermula.

Novel: Yumejima (Bab 48)

 

Segalanya gelap. Segalanya kaku. Segalanya berbau hanyir darah dan tembelang belerang dan ubat bedil. Bunyi tembakan demi tembakan bertalu-talu yang memekakkan kini termati. Hanya deru angin laut dan bunyi desiran ombak memukul pesisir dan gemersik daun-daun hutan diterjah bayu mengisi suasana.

 

Satu tembakan pun tidak mengenai Hisamiko. Seolah sekelip mata, ratusan tentera gugur dibelah perut dan leher satu-persatu oleh gadis berpedang itu. Sepantas kilat pergerakannya, sehinggakan Yoshihisa hanya dapat melihatnya jelas selepas Hisamiko bertenggek di atas pokok kelapa di hadapannya usai melakukan pembunuhan besar-besaran itu.

 

“Siapa engkau?!” Pekik Hisamiko.

 

“Ini aku, Yoshihisa. Engkau tidak mengenaliku Hisamiko?”

 

“Aku tidak pernah mendengar nama itu. Nyah engkau dari pulau ini dan usah kembali lagi ke sini.”

 

“Sungguh engkau tidak pernah mendengar namaku? Ini aku Yoshihisa. Orang tua yang pernah ke mari bersamamu, bersama abangmu. Engkau tidak ingatkah?”

 

“Usah kaupaksa aku ulangi. Nyah sekarang!”

 

Yoshihisa berundur dalam keberatan, meninggalkan mayat-mayat tentera bergelimpangan dengan darah membanjiri pepasir pantai. Tangannya menggigil.

 

Tadi, Hisamiko muncul tiba-tiba dan melibas pedangnya melulu. Mereka terpaksa melepaskan tembakan. Namun semakin ditembak, semakin Hisamiko mengganas. Makhluk berbulu putih itu juga membunuh tatkala ada tentera cuba melintas di hadapannya. Ia hanya duduk memerhati dan membantu Hisamiko pabila perlu.

 

Hisamiko yang dilihatnya itu bukan lagi Hisamiko yang dulu. Tiada lagi kebaikan yang dapat diterjemah dari wajahnya. Hanya kebencian. Hisamiko telah dikuasai kebencian yang mendalam terhadap dunia. Kebencian yang cukup kuat untuk membelenggunya di pulau ini tanpa perlu sihir Kaisenjyo yang dahulu menyekatnya dan Shiro.

 

Sungguh engkau tidak mengenaliku Hisamiko? Soalan itu berulang dalam kepala Yoshihisa tatkala dia melangkah longlai menuju ke bot sedang seluruh tubuh tua menggigil.

 

Shiro yang berada di bawah Hisamiko berpaut pada batang kelapa, mencuit kaki umanori-nya.

 

Hisamiko terjun dan Shiro menyambut dengan belakang badannya. Shiro terbang dengan Hisamiko di belakangnya menuju ke kapal tentera di tengah laut.

 

Mereka mendarat di atas kapal hitam, Hisamiko berdiri di atas belakang Shiro yang merangkak di atas keempat kakinya di atas dek utama kapal yang menempatkan meriam.

 

Para tentera terpaku. Mikio melihat dari jauh Yoshihisa mendayung botnya kembali ke kapal. Di kejauhan para tentera yang mendarat di pesisir telah bergelimpangan sebagai mayat. Mikio melopong.

 

Syaitan apakah yang menyerang kami di sana?

 

Hisamiko mengeluarkan Saishi-tou-nya dan menghunus ke arah para tentera di atas dek utama. Pandangan Mikio beralih ke arah Hisamiko dan Shiro.

 

“Kaisenjyo... apakah dia ini Kaisenjyo? Yang diramalkan ahli sihir Amaguri?” Terpacul soalan dari mulut Mikio.

 

Salah seorang pegawai Mikio yang menjaga meriam bertanyakannya, “Siapa Kaisenjyo?”

 

“Ia gadis yang tahu bertarung dan mempertahankan pulau terasing dari dicerobohi. Jika kita tidak menghalangnya dia akan kembali ke Jepun dan membunuh Maharaja.”

 

Sebaik Mikio menghabiskan kata-kata, lehernya ditikam. Di balik mayat Mikio yang rebah, Hisamiko berdiri dengan pedang Saishi-tou-nya masih menitikkan darah.

 

“Engkau terlalu banyak bercakap, pengawai tentera Maharaja. Aku tidak ingin langsung kembali ke Jepun. Namun engkau terlalu mempercayai Amaguri yang entah siapa itu, yang wajahnya pun engkau tak pernah lihat. Kalian terlalu mempercayai ahli sihir itu!” Pekiknya.

 

“Kerana ketaksuban kalian, aku dan abangku dihalau sehingga kami terpaksa melarikan diri ke sini. Aku dan abangku telah bersabung nyawa mempertahankan Maharaja namun apakah ini balasannya kepada kami? Madu diberi tuba dibalas! Andai....andai aku dan abangku masih di tanahair sudah pasti abangku masih hidup...”

 

Rakan tentera Mikio masih tergamam dan ketakutan seolah tidak mendengar kata-kata Hisamiko. Tatkala Hisamiko terleka dalam melankolinya, salah seorang sempat mengalihkan meriam dan menghala ke arah Hisamiko, dan pantas cuba menembaknya, namun Hisamiko pantas melompat dan menusuk pedangnya ke leher pencucuh meriam itu.

 

Yoshihisa tiba di kapal. “Hisamiko, hentikan!” Laungnya segera.

 

Yoshihisa termengah-mengah memanjat naik ke atas dek.

 

“Hisamiko, hentikan semua ini.”

 

Hisamiko merenung Yoshihisa. Tatkala seorang lagi tentera cuba menembak dengan pistol, Hisamiko mengelak dan membunuhnya dengan sekali libas pedang. Ramai tentera mulai curiga dengan upaya masing-masing dan ketakutan lantas mengambil kesempatan bersembunyi. Darah membanjiri dek kapal, mayat-mayat tentera bergelimpangan. Dek kapal lengang serta-merta, yang tinggal hanya meriam dan pelurunya. Hanya Yoshihisa yang masih berada di atas dek.

 

Yoshihisa tergamam. Hisamiko langsung tidak mempedulikan tegahannya. Hisamiko bahkan begitu mudah membunuh.

 

“Kalian lupakan rancangan kalian dan nyah dari perairan ini segera!” Hisamiko melaung amaran kepada tentera yang mencicit lari ke dek bawah. Dia kembali ke belakang Shiro, merenung Yoshihisa tanpa mengapa-apakannya, seraya terbang kembali ke pulau.

 

Yoshihisa tidak berganjak. Tatkala meriam lengang, dia bingkas bangun menggagahkan tubuh tua itu ke bahagian pencucuh meriam. Dia memasukkan peluru dan bahan api. Dia mengambil pencucuh dan bersedia menyalakannya. Dia mengambil teropong dari mayat seorang pencucuh meriam dan menyarung pada kepalanya. Dia mengamati ruang udara demi mengesan lokasi Shiro. Amarah menguasai orang tua ini. Segala arahan Maharaja luntur dari benak, yang kini terisi api kemarahan menggelojak setelah melihat ratusan tenteranya ditumpaskan hampir sekelip mata.

 

Gadis ini bukan lagi Hisamiko. Dia syaitan, dia sebenar-benar syaitan seperti ramalan Amaguri yang bersipongang di serata jagat raya Jepun. Dialah Kaisenjyo sebenar! Laung Yoshihisa dalam hatinya.

 

DAMMM! Bunyi meriam berdentum selepas Yoshihisa menyalakannya. Peluru itu hanya sipi memintas Shiro yang sedang membawa Hisamiko terbang. Yoshihisa mendengus geram. Melihatkan keberanian Yoshihisa, anggota tentera lain keluar dari dek bawah dan kembali ke meriam masing-masing.

 

“Ayuh, kita bunuh sahaja gadis itu.” Saran salah seorang tentera.

 

Chotto matte omaera. (Tunggu sebentar kalian.)”

 

Nande, Chikuma-san (Ada apa, Chikuma)?”

 

Chikuma, salah seorang tentera di situ, mendekati Yoshihisa.

 

“Yoshihisa, bukankah Maharaja menghalang kita membunuhnya?”

 

“Engkau perhati bukan tadi?! Bagaimana ratusan tentera kita dibunuh di pantai? Dan di atas kapal ini begitu ramai yang mati? Apa engkau ingat kita masih boleh menangkapnya? Dia syaitan, usah kita bawa pulang syaitan begini ke Jepun!”

 

“Ini.” Salah seorang tentera menyuguh sebuah kotak kecil yang panjang. “Yoshimura yang kaupecat itu masih mahu membantumu.”

 

Yoshihisa melopong sebaik membukanya. Ia peluru berisi racun sama yang telah membunuh Ryouji. Racun yang semakin mudah diserap tubuh jika mangsanya bergerak banyak. Namun Yoshihisa tidak mudah terpedaya.

 

“Apa kaubilang aku boleh menangkapnya dengan racun ini? Hei, Chikuma, gadis itu telah disuntik benda sama dahulu dan dia masih hidup!”

 

“Bukan itu maksudku! Dengar sini Yoshihisa, kita akan menggunakan racun ini menyuntik anjing putih itu.”

 

“Selepas itu kita akan merelakan diri dibunuh gadis itu? Chikuma, gadis itu tidak akan berenggang darinya!”

 

Chikuma terdiam sejenak.

 

“Perancanganku begini, kita harap dia leka sebaik anjing putih itu melemah. Dalam lekanya, kita akan menangkap dengan senjata biasa, seperti jaring atau pisau dan pistol bagi mencederakan dan menyukarkan dia melarikan diri. Yoshihisa, kepantasan hanya boleh ditumpaskan dengan kelekaan.”

 

“Ya, jika anganmu itu benar-benar berlaku.”

 

“Yoshihisa kita tiada pilihan lagi. Gadis itu mesti ditangkap dan pulau ini mesti ditakluki. Apakah engkau mahu pulang dengan tangan kosong? Dengan begitu ramai bala tentera yang sudah dikorbankan ini? Bukankah kau yang mencadangkan penaklukan ini kepada baginda?”

 

Yoshihisa terdiam. Dia terpaksa akur dengan keadaan yang menuntut dari semua arah. Dia benar-benar diperangkap keadaan. Semua tentera yang masih berbaki merenung kepadanya. Yoshihisa adalah ketua mereka. Dia nakhoda dan dia juga ketua penakluk misi ini. Hisamiko boleh sahaja membunuhnya namun Yoshihisa sungguh beruntung. Tidak, seluruh pasukan tentera itu beruntung ketua mereka masih dipanjangkan umur.

 

“Kita akan mengikut perancangan Chikuma. Sasaran utama kita ialah anjing putih itu. Selepas itu kita akan menangkap Hisamiko. Dan kalian akan meneruskan penaklukan pulau ini sebaik Hisamiko sudah berada dalam kurungan kita.”

 

Ikuzo!

 

**

Novel: Yumejima (Bab 47)

Hisamiko berdiri di atas tebing tinggi di tempat di mana Tomokazu selalu berdiam. Dia menemuinya tatkala cuba-cuba meneroka gua di hutan gelap. Sedang menelusuri gua itu, dia mendaki tangga-tangga yang dibentuk lantai berbatu di dalamnya sehingga membawanya keluar dan sampai di tebing tinggi ini. Panorama laut lebih luas dan lebih tinggi di sini tidak seperti tebing tinggi di mana kubur Ryouji dan Hisamine ditempatkan.

 

Dari jauh dapat dilihat asap berkepul-kepul. Setahunya tiada pulau lain di sini. Apakah ia asap dari kapal?

 

Hisamiko dapat mengesan kehadiran objek serupa besi dari arah laut, dari arah asap itu. Semakin lama isyarat itu semakin kuat. Dari jauh dapat dilihat semakin hampir imej sebuah kapal berwarna hitam dengan cerobong melepaskan asap hitam yang tebal. Pastinya kapal yang menggunakan arang batu sebagai bahan bakar. Kapal jenis ini biasanya dibeli dari pembuat kapal Amerika. Jepun masih belum berjaya mencipta kapal begini setahunya. Apakah rombongan ini dihantar oleh Maharaja? Ini kerana hanya tentera Maharaja yang mampu membelinya dari pembuat kapal Amerika. Dan dalam banyak-banyak penjual kapal, hanya pembuat kapal Amerika yang mengeluarkan kapal jenis ini, yang mengeluarkan asap dan...

 

Hisamiko melopong. Tatkala kapal itu semakin jelas di hadapan mata, ada meriam besar dalam lima buah begitu dengan setiap muncung meriam dihalakan ke arah pulau.

 

Kurofune da! (Ia kapal hitam!) Jerit Hisamiko dalam hati. Ia kapal hitam seperti yang pernah kulihat ilustrasinya dalam perpustakaan di shukuba di Nakasendo. Ia kapal dari Amerika semestinya. Ia kapal yang pernah dibawa dan dipamer ke Jepun oleh Laksamana Palgraves sebagai amaran agar Maharaja melonggarkan dasar tutup pintu atau sakoku, puluhan tahun lepas.

 

Apakah mereka mahu membedil pulau ini?

 

“Shiro, kita undur ke lembah dahulu.”

 

Apa yang kaunampak? Shiro bertanya dengan riak wajah, mengangkat keningnya yang berbulu putih lebat.

 

“Aku nampak kapal... Kapal hitam.”

 

Kapal hitam?

 

“Ayuh!” Hisamiko menarik sayap Shiro. Shiro teragak-agak dan terpinga-pinga namun dia turut sahaja Hisamiko masuk kembali ke pintu gua untuk turun ke hutan gelap.

 

Tidak lama kemudian kedengaran bunyi letupan menggegarkan segenap penjuru pulau. Bumbung gua yang mereka telusuri turut bergoncang, dan sedikit debu berguguran

 

Apakah gunung berapi itu sudah meletup? Getus Hisamiko. Atau mereka benar-benar telah membedil pulau ini?

 

**

 

Muncung meriam yang baru melepaskan tembakan ke udara itu masih bersisa asapnya.

 

Seorang lelaki berpakaian seragam ala tentera Prussia berwarna hitam, mengangkat tangannya rendah mengisyaratkan pencucuh meriam agar berhenti sebentar. Lelaki itu membetulkan topinya yang senget akibat gegaran meriam. Dia merenung pulau di hadapannya, memerhati kalau-kalau ada tanda pergerakan atau tanda serangan balas.

 

Usai dua minit dia mendiamkan diri. Tiada tanda. Pulau ini masih belum berpenghuni nampaknya.

 

Yoshihisa di belakangnya melopong melihat asap dari pulau. Seingatnya pada rombongan beberapa tahun lalu, asap dari pulau itu tidak setebal ini. Apakah ia bakal meletuskan lahar?

 

“Mikio-san, aku fikir kita harus lekas melangsaikan misi ini.”

 

“Mengapa Yoshihisa-san?”

 

“Aku fikir pulau itu bakal meletus dalam masa terdekat. Seingatku asap dari bukit itu dahulu tidak setebal ini.”

 

Tidak lama kemudian tatkala kapal mereka semakin hampir dengan jeti, kedengaran bunyi batu-batan yang melapisi sebahagian tebing tinggi pulau itu runtuh. Air laut di sekitar pesisir berkocak berolak.

 

Jishin da (gempa bumi).” Gumam Mikio, lelaki berpakaian seragam ala Prussia dan ketua pembedil. Yoshihisa menelan liur, pahit rasanya. Gentar berfikir apakah ini misi bunuh diri? Aku mahu pulang. Aku belum puas menikmati hidupku. Wang-wang yang aku telah kumpulkan sewaktu misi pertama dahulu belum habis dijoli. Sebentar, mengapa aku begitu bodoh menyertai mereka ini? Bukankah aku sepatutnya menunggu di Jepun? Bukankah aku bos dan paling kurang pun hanya perlu menghantar orang-orangku? Dan aku di sini mengetuai mereka pula?

 

Tidak, usah aku lupa tujuanku ke sini. Aku mahu selamatkan Hisamiko bukan? Meskipun Maharaja memerintahkannya, namun aku tetap mahu menyelamatkannya. Baginda hanya mengingatkanku kembali kepadanya, gadis yang aku telah tinggalkan di sini, iya, aku tinggalkan dia di sini kerana mereka sendiri mahu tinggal di sini bukan? Namun masih aku rasa bersalah...

 

Tidak, bukan kerana bersalah. Aku kasihankan dia. Aku dengar abangnya telah mati akibat racun itu, dari Sarumichi. Mereka berdua amat baik terhadapku sewaktu di kapal, bahkan di malam itu ketika mereka menyelamatkanku dari ditangkap orang-orang Yato. Aku terpaksa meninggalkan mereka demi wang, namun mereka juga sememangnya mahu menetap di sini.

 

Hisamiko, engkau harus tinggalkan pulau itu sekarang. Tiada harapan lagi untuk engkau bertahan di situ. Ia akan meletus bila-bila masa. Apakah engkau masih hidup? Apakah engkau masih sihat? Atau... apakah engkau telah dibaham haiwan hitam itu?

 

**

 

Anak kapal turun seorang demi seorang menggunakan bot-bot kecil. Perairan yang cetek memaksa rombongan memberhentikan kapal jauh sedikit dari jeti. Sebaik sauh dilabuhkan, anak kapal berbondong-bondong turun ke bot masing-masing dan lengkap bersenjata api. Meriam di atas kapal dihalakan ke pulau sebagai langkah waspada sekiranya ada kedapatan lanun atau pasukan penakluk terdahulu yang cuba-cuba mahu menghalau mereka. Berwaspada itu perlu meski tiada serangan balas kedapatan dari pulau itu. Inisiatif penaklukan ini dilihat sebagai perang oleh tentera Maharaja maka meriam sudah disiapsiagakan awal-awal.

 

Yoshihisa turut bersama tentera di dalam salah sebuah bot.

 

“Yoshihisa-san, engkau tidak perlu mengikut kami. Engkau ketua kami.” Salah seorang tentera menasihati Yoshihisa.

 

“Aku fikir aku perlu. Budak itu hanya mengenaliku.”

 

Tentera itu diam sejenak, dan merenung Yoshihisa. Dia menyambung,

 

“Terpulanglah. Namun ingat, engkau pergi di atas risikomu.”

 

“Siapa di antara kita yang tidak mengambil risiko, Sakaki?” Tebak Yoshihisa kepada tentera itu.

 

“Ayuh. Kita tak punya banyak masa lagi.”

 

** 

Novel: Yumejima (Bab 46)

 

Mata baginda membulat, mulut melopong sedikit mendengarkan khabar dari Seiji itu.

 

“Mengapa Yoshihisa tidak memberitahu beta hal mereka... memang beta menghantar tentera mengejar mereka namun beta juga menghantar orang agar memastikan mereka tidak dibunuh namun dipenjarakan di tempat tersembunyi, tersembunyi dari kazoku.

 

“Ya. Orang yang Heika hantar itu, Koisou, iaitu salah seorang pelombong, dibunuh oleh mereka yang mengkhianati syarikat, ketika berlaku perang kecil antara kumpulan Yato dengan para pelombong yang tidak sebulu dengannya.”

 

“Malang nasibnya. Dia tahu kaminari, namun entah apa silapnya dia boleh terleka.”

 

“Sarumichi melaporkan Koisou dijaring seseorang ketika menyelinap dalam dek kapal tatkala sedang mengejar lawannya, dan disuntik racun anti-kaminari, racun sama yang membunuh Ryouji. Dia sempat memotong jaring itu dan teruskan bertarung dalam dek yang sempit dan gelap, kemudian rebah dan mati tiba-tiba.”

 

“Seiji, abadikan nama Koisou di makam pahlawan kita. Kurniakan pampasan sewajarnya kepada waris-warisnya.”

 

“Perintah dijunjung Heika.”

 

“Namun bagaimana dengan Sarumichi?” Soal baginda.

 

“Sarumichi ditangkap orang-orang Yato. Yoshihisa mengarahkan orang-orang Yato tidak membunuhnya. Sarumichi memberitahuku, Yoshihisa mencurigainya. Dia merasakan orang tua itu mahu memerhati dan mungkin memanfaatkannya.”

 

“Mungkin Yoshihisa mengesyaki Sarumichi adalah mata-mataku.”

 

“Barangkali. Orang tua itu licik.”

 

“Tentang beradik Okuhida, mereka telah berjasa kepada beta dan negara ini. Beta hanya mahu menahan mereka dan melindungi dari orang-orang kazoku, hanya itu tujuan beta menghantar mereka keluar dari Jepun.”

 

“Akan tetapi Tuanku harus beringat ahli kazoku telah bersepakat dan Heika telahpun bersetuju agar mereka dibunuh. Jika kazoku mengetahui semua perancangan Heika ini, habis Heika. Habis pembaharuan Heika selama ini. Semua ini tinggi risikonya terhadap takhta Heika.”

 

“Benar Seiji. Disebabkan itu beta harus lebih berhati-hati dan menaruh sepenuh kepercayaan beta pada engkau Seiji. Beta faham betapa kazoku mahu mempertahankan takhta beta namun jangan dilupakan jasa beradik Okuhida menumpaskan penderhaka Ayame itu. Beradik Okuhida tidak menderhakai beta seperti Saisho, perjuangan mereka ikhlas. Selepas perang mereka terus berada di sisi beta setia melindungi. Beta hanya menggerakkan tentera mengejar mereka demi menjaga hati ahli kazoku yang mempercayai ramalan Amaguri bahawa gadis Okuhida itu akan memusnahkan takhta beta.”

 

“Oh.” Maharaja menekup wajahnya sambil bertelekan dialas meja. Rasa bersalah terhadap Hisamiko menyelubung baginda. Malang gadis itu ditinggalkan seorang di pulau sedang abangnya dibunuh. Malang. Apakah dia masih hidup? Sedang gadis itulah yang menyelamatkan nyawa baginda berkali-kali dari para pemberontak yang cuba mencuri peluang membunuh baginda. Apakah dia sedang diapa-apakan binatang yang dikatakan Yoshihisa? Atau diapa-apakan pembunuh yang dikatakan Yoshihisa itu?

 

Baginda memagut dada seolah dicucuk jantungnya. Perit menikam-nikam urat pembuluh. Ada rasa sakit yang berakar dari sanubari menjalar mencucuk urat dan daging.

 

“Heika!” Seiji meluru seraya memaut tubuh Maharaja yang hampir terlungkup ke arah meja di hadapan.

 

“Oh, beta tak apa-apa.” Baginda memegang birai meja dengan kedua-dua belah tangan dan menolak tubuhnya kembali bersandar pada kerusi, dibantu Seiji. “Hanya sakit sedikit di dada.”

 

“Tuanku berehatlah dahulu, kita boleh sambung berbincang kemudian.”

 

Baginda mengangkat tangan meminta Seiji mendengar permintaannya.

 

“Ya, Heika.”  

 

“Beta mahu Yoshihisa membawa pulang gadis Okuhida itu hidup-hidup. Pastikan ahli kazoku tidak mengetahui perkara ini.”

 

Entah apalah nasib gadis itu, getus baginda. Dia dibiarkan berseorangan sedangkan pembunuh yang dikatakan Yoshihisa itu masih berkeliaran.

 

“Jadi, apakah Tuanku bersetuju dengan cadangan Yoshihisa agar menakluk pulau itu?”

 

“Oh ya. Sebelum itu beta mahu bertanyakan sesuatu. Apakah bekalan senjata dan tentera kita masih mencukupi?”

 

“Ya. Semakin ramai petani dan bekas samurai menyertai sekolah tentera Tuanku di sini. Mungkin kerana yurannya lebih murah. Namun begitu, patik fikir jika Tuanku berkenan menakluk Yumejima, ada baiknya perancangan menakluk Joseon ditangguh dahulu seperti Tuanku telah bertitah berkenan tadi.”

 

“Mengapa pula?”

 

“Patik mendengar Amerika dan Rusia juga merancang menakluk pulau itu, dari rakan pedagang patik. Bala tentera simpanan diperlukan jika mereka mendahului kita. Senjata mereka masih jauh mengatasi senjata kita juga. Namun usah Tuanku risau, mereka masih dalam proses perbincangan dan belum memutus menghantar tentera. Kita punya masa dan jarak kita dari pulau itu lebih dekat berbanding mereka. Tentera kita sudahpun bersedia, mujur juga kerana pemberontakan beberapa tahun lepas mendorong kita membangunkan mereka.”

 

“Baiklah Seiji. Beta akan tetapkan keputusan persetujuan beta untuk menakluk Yumejima dalam masa dua hari. Namun beta perlukan lebih maklumat. Usahakan kumpulkan sebanyak mungkin dalam masa dua hari ini, Seiji.”

 

“Perintah dijunjung, Heika.” Seiji mengundur diri.

 

“Seiji.”

 

“Ya Heika.”

 

“Beta sendiri akan khabarkan kepada Yoshihisa dua hari dari sekarang keputusan beta.”

 

“Perintah dijunjung Tuanku.”

 

Dua hari kemudian, selepas meneliti maklumat-maklumat tambahan dari para pengintipnya beserta Seiji, baginda memutus memperkenan penaklukan Yumejima. Yoshihisa dipanggil dan diarah melakukan persiapan dalam masa setahun. Baginda juga menganugerahkan beberapa projek landasan keretapi kepada Yoshihisa. Yoshihisa berjaya mempercepat dan mengikat perjanjian dengan beberapa pembekal besi sebelum projek landasan itu dimulakan tidak sampai enam bulan dari tarikh penganugerahannya.

 

Menjelang 1878, tentera dan segala kelengkapan senjata dan kapal sudah dipersiapkan. Dalam musim bunga, mereka akan memulakan pelayaran. Mereka merancang menakluk Yumejima sebelum musim sejuk tahun itu tiba.

 

**

 

Di Yumejima terdapat sebuah bukit magnet, iaitu bukit hitam dalam jajaran bukit-bukau yang mengelilingi lembah rahsia. Medan magnet yang dikeluarkan oleh bukit ini amat kuat sehingga boleh menarik jarum kompas pelayar ke arahnya. Namun sebahagian dari permukaan bukit ini diselaputi sejenis batuan persis ferit, yang berperanan memesongkan medan magnet itu ke arah pusat bukit menyebabkan bahagian yang diselaputinya tidak memberi kesan kepada kompas pelayar dari luar.

 

Gempa yang kuat tempoh hari telah meruntuhkan selaput ferit di permukaan bukit itu. Medan magnet dari bukit itu mula terbebas sepenuhnya dan mempengaruhi jarum kompas pelayar-pelayar dari semua arah.

 

Asap yang semakin tebal dari gunung berapi di pulau itu tambah memudahkan pelayar menjejakinya, bersekali dengan pemesongan jarum kompas. Jika rombongan pedagang yang dibunuh Hisamine dahulu mengesan pulau ini dengan jarum kompas, maka rombongan lain barangkali akan mengesan dengan asap tebal dari gunung berapi pula.

 

Hisamiko semakin kerap berlatih kemahiran pedangnya sejak kematian Hisamine. Dia semakin takut dan semakin bersedia terhadap sebarang pencerobohan. Dia nekad, bersama Shiro, akan membunuh sesiapa sahaja yang cuba mendekati pulau itu. Meski pesan abangnya masih terngiang di benak, dia cuba mengabaikan. Dia telah menumpahkan darah. Hatinya semakin keras.

 

Onii-san tidak akan memarahiku. Aku sedang melindungi diri bukan? Bukankah onii-san membenarkan aku menumpahkan darah demi melindungi diri? Begitulah fikir Hisamiko.

 

Setiap kali dia menghayun pedang di lembah rahsia, dia menyedari daya yang tidak kelihatan senantiasa menarik-narik pedangnya.

 

Dia menyedari daya itu datang dari bukit hitam. Hisamine pernah meletakkan pisau di atas batu dan menunjukkan pisau itu berpusing agar mata logamnya sentiasa menghala ke arah bukit hitam. Daya halimunan yang memusingkan pisau itu ialah medan magnet yang terbebas dari bukit magnet namun mereka tidak mengetahuinya meski memahaminya. Hisamine pernah menunjukkan fenomena ini kepada Hisamiko dahulu.

 

Hisamiko mula menggunakan daya tersebut sebagai alat berlatih; dengan cara memotong dan melawannya dengan menguatkan hayunan pedang. Setiap kali pedangnya memotong daya itu, kelihatan bunga api memercik keluar (tenaga elektrik) dan pedangnya menjadi panas.

 

Jika dia meletakkan pedangnya pada kayu dan dedaun kering, ia terbakar. Hisamiko tidak memahami semua fenomena ini secara saintifik, namun dia tahu akan kewujudan sejenis batu yang dikenali sebagai magnet dari Hisamine dan batu itu digunakan oleh pelayar dari empayar Qing di tanah besar untuk membuat kompas. Dia tahu salah satu bahan di dalam pedangnya ialah besi iaitu bahan yang terkesan dengan medan magnet.

 

Tatkala dia menggabungkan kepantasan kaminari dengan medan magnet, kuasa elektrik yang lebih besar terhasil pada pedangnya. Segala apa yang disentuh bilah itu akan terbakar serta-merta.

 

Dia cuba mendekatkan bilah yang telah ‘dicas’ itu dengan Shiro, namun bulu putihnya mengerbang tiba-tiba. Shiro kebingungan seraya bertanya dengan menulis di atas tanah seperti biasa, “Apa yang kau dah lakukan Hisamiko?”

 

Hisamiko hanya menjungkitkan kedua-dua belah bahunya. “Ia kuasa dari bukit hitam itu mungkin.”

 

“Kuasa bukit?”

 

“Aku tidak pasti. Akan tetapi setiap kali aku melibas pedang menentang daya penarik besinya, pedang ini seolah mengaut kuasa itu. Jika aku mendekatkannya pada kayu kering, ia keluar sebagai api. Jika aku mendekatkan dengan bulumu, ia menariknya.”

 

“Shiro.”

 

Shiro menggerutu menyahut.

 

“Kita akan bunuh sesiapa sahaja yang akan mendekati pulau ini. Apakah engkau masih bersetuju dengannya bersamaku?”

 

Shiro menulis pada batu menggunakan sisa kayu api yang sudah berarang, “Ya. Aku bersetuju.”

 

Hisamiko menguntum senyum. Namun matanya sungguh kosong dan kelam. Anak matanya hitam dan besar. Wajahnya meski putih namun serinya sudah sama sekali hilang, putih dan pucat seperti mayat atau patung gangsa di kuil Buddha. Tiada cahaya lagi terzahir pada mata itu. Ia renungan penuh kebencian, penuh keputusasaan. Shiro mengamatinya. Dia pernah merasa berputus asa satu ketika dahulu. Dia juga pernah membenci manusia, tatkala ibunya dibunuh samurai yang memiliki tanah padi mereka. Namun dia telah membunuh samurai itu, dan bencinya termati saat itu dan hanya kepada manusia jenis itu. Hanya manusia yang membencinya kini, kerana tamak haloba. Rakan-rakan sekapal itulah.

 

Namun dia tidak pernah merasai kebencian seperti yang terpancar pada raut Hisamiko. Ia bercampur-aduk dengan keputusasaan. Benci itu tidak melayakkan Hisamiko kembali ke mana-mana tamadun dan benci itu tunggal mewajarkannya agar terus terkurung, dikurung dan terasing dari semua manusia. Seperti ramalan itu. Ramalan Amaguri yang dicanang-canang sekian lama di tanah Yamato. Bahawa Kaisenjyo harus dikurung di pulau terasing. Kaisenjyo? Bukankah Kaisenjyo telah mati? Mengapa Hisamiko begitu padan benar dengan Kaisenjyo yang telah diramalkan Amaguri itu? Apakah Hisamiko adalah sebenar-benar Kaisenjyo yang dimaksudkan Amaguri?

 

Namun dengan Hisamiko di sini, aku tidak peduli kebencian manusia terhadapku dan kebencian Hisamiko terhadap manusia. Aku dan dia sama. Aku perlu disisihkan dan Hisamiko perlu disisihkan. Dengan kayu persamaan ini kami berpaut agar terapung di samudera kehidupan yang bergelora. Dengan persamaan ini aku harap aku berpeluang meraih cinta Hisamiko dan Hisamiko hanya akan memandangku.

 

Demi Hisamiko akan aku turutkan kebenciannya, kemahuannya. Demi Hisamiko.

 

**

Teaser_Buku II

Teaser Buku II: Yoru-no-kaze Teaser ini adalah bab khas dari Kaisenjyo Buku II: Yoru-no-kaze yang sedang aku siapkan. Ia berkenaan satu w...