*
Imbas kembali kisah
Genjirou.
Namaku Genjirou.
Hanya Genjirou.
Aku lupa nama asal
keluargaku. Ah, kami hanya petani. Nama keluarga tidak penting. Lainlah jika
engkau samurai.
Sejak kecil aku
bekerja bersama ibu kepada seorang tuan tanah atau samurai kelas rendah. Kami
bertugas mengusahakan sawah padinya. Namun aku tidak berminat dengan sawah. Aku
meminati seni berpedang.
Satu hari aku
curi-curi belajar berpedang dengan melihat anak samurai itu berlatih. Aku tiru
gerakannya dan hafal. Di malam hari aku keluar dari pondok tempat aku dan ibu
berteduh, dan melatih diriku dengan kayu kendo.
Ibu bekerja keras
di sawah. Satu hari, aku melihat ibu diikat pada tiang. Ibu dituduh mencuri
barang berharga samurai. Ibu berkali-kali menafikannya.
Ibu diseksa dan aku
hanya mampu menangis dan melihat. Ibu tidak mencuri. Ibu mengajarku agar tidak
mencuri walau semiskin mana kami. Ibu mati selepas berhari-hari diseksa. Aku
sugul dan menangis berhari-hari. Namun menangis berpanjangan tiada gunanya.
Selepas kering air mata, yang hadir adalah api dendam.
Malam itu aku
menyelinap masuk ke bilik samurai itu dan pantas menikam lehernya. Aku kemudian
mengulang pada isterinya. Anaknya memerhati segala onar yang kulakukan. Aku
melarikan diri. Mereka mengejarku.
Namun mereka tidak
berjaya menjejakiku. Aku berkelana sehingga sejauh-jauh pekan, menumpang
pedagang menaiki kereta kuda, dan menumpang kapal. Aku yakin aku sudah berada
di pulau lain tatkala berkelana di tengah-tengah samudera. Pabila papan tanda
di jalan-jalan menunjukkan pulau itu Kyushu, aku tergamam. Rupanya aku sudah
jauh meninggalkan Nara tempat aku berdiam sekian lama.
Aku bertemu
seseorang dan rupanya dia ketua sebuah dojo. Aku diambil dan dilatih.
Aku menjadi petarung handalan dan mendapat upah menyertai satu kumpulan
pedagang sebagai pelindung mereka. Salah seorang ahli kumpulan itu ialah
Yoshihisa.
Jauh di sudut
hatiku, aku masih merindui ibu. Aku tidak percaya ibu yang melakukannya. Ibu
tidak sejijik itu. Namun apa yang jelas di mataku, ibu dibunuh mereka. Aku
membunuh mereka sebagai balasan. Dendamku sudah terbalas. Tentang sama ada ibu
yang mencuri barang mereka seperti dakwaan mereka, aku biarkan menjadi
teka-teki. Jika ibu melakukannya sekalipun, ibu tidak seharusnya diseksa
begitu. Hanya kerana mereka samurai, mereka tidak sewajarnya meletakkan
undang-undang di tangan mereka sendiri. Aku yakin bahkan undang-undang Ritsuryou
juga tidak memperkenan perbuatan mereka.
Tragedi hitam itu
membuatkan aku percaya aku punya tuah. Aku dan ibu tidak mempercayai Shinto.
Kami satu-satu keluarga yang bekerja untuk samurai itu yang tidak mempercayai
Shinto, namun kami tahu membaca dan ada senyap-senyap membeli dan membaca
buku-buku yang dijual paderi Jesuit. Aku fikir, Tuhan dalam agama Jesuit itu
mengurniakan aku tuah. Kerana aku sentiasa bernasib baik sewaktu kelana
meninggalkan Nara, aku percaya Tuhan bersamaku. Aku fikir Tuhan menyebelahiku
tatkala aku berjaya membunuh mereka. Tuhan memberikanku kekuatan dan peluang
melakukannya kerana aku membela ibu yang tidak bersalah. Aku melarikan diri
tanpa dijejaki, juga kerana Dia mengurniakan tuah. Aku menjadi petarung
handalan di Kyushu dan diupah para pedagang melindungi mereka, juga kerana Dia
yang tidak putus menganugerah nasib yang baik. Nasib baikku tidak putus-putus
dan berangkai-rangkai.
Bahkan, aku berjaya
membunuh rakan sekapalku di pulau ini juga kerana Dia memberikanku kekuatan ini,
nasib yang baik. Namun sejak itu aku mula berfikir lanjut. Ia bukan lagi nasib
yang baik sebenarnya. Jika dahulu aku boleh katakan nasib yang baik kerana aku
terselamat dari semua musibah, dan aku juga menambahbaik kemahiran bertarung,
namun kali ini bukan lagi.
Mengapa, jika
kalian bertanya? Mereka hilang dari pandanganku. Aku terperangkap di pulau ini.
Aku yakin, di sepanjang hidupku, inilah kali pertama aku merasakan bahawa
nasibku bukan lagi nasib yang baik. Aku fikir, Dia sudah mula membenciku.
Tidak, jika Dia membenciku, mengapa aku masih mendapat emas? Mengapa aku masih
mampu bertarung? Mengapa aku masih hidup?
Aku tidak pasti.
Apakah Dia sedang mengujiku, atau sedang menghukumku?
Suatu hari, aku
berbaring di atas hamparan memutih pasir pantai sedang mata menengadah langit.
Langit cerah biru,
kosong tanpa awan. Angin laut bertiup membawa bau masin garam dan hanyir ikan
ke reseptor hidu. Merangsangnya, menarik dan menyedarkanku bahawa aku masih di
sini, ditinggalkan mereka yang terbang ke alam kekal. Atau lebih tepat, mereka
telah aku hapuskan seorang demi seorang. Kecuali si pengecut Yoshihisa itu yang
lari seperti tikus.
Aku hidup. Aku
telah memenangi persaingan ini. Tuhan, aku kaya, aku kaya! Seluruh lombong itu
dan pulau ini kini menjadi milikku seorang!
Tatkala itu aku
sedar tiada suara menyahut ‘kejayaan’ ini – jika ia masih layak digelar
‘kejayaan’. Tuhan yang dicanang paderi Jesuit itu mungkin sedang mengeji onar
yang telah aku lakukan, di balik langit biru itu. Kerana ketamakan, aku
mengkhianati mereka, rakan-rakan sekapalku.
Namun mengapa Dia
masih tidak menghukumku? Mengapa aku masih belum disambar petir? Apakah mungkin
Dia memaksudkan bahawa Dia memperkenan perbuatanku itu, dalam diam, melalui
isyarat-isyarat alam? Apakah dengan aku tidak dihalang-Nya dari mengambil emas
itu kini, maka aku telah diizinkan-Nya dan diredhai-Nya? Atau Dia sedang
menunggu saat sesuai menjatuhkan hukuman ke atasku?
Aku bingkas bangkit
seraya melangkah ke lombong emas. Kesan tapak kaki rakan-rakanku yang telah
kubunuh itu masih kelihatan membentuk becak pada tanah perang di lantai denai
yang ditebas semaknya menghala ke lombong. Hingar dari sungai di tepi lombong
menenggelamkan bunyi deru ombak dan bunyi gemersik daun-daun pokok-pokok dan
belukar di sekitar meliuk melaga tatkala ditiup angin. Sekali-sekala aku
waspada melihat-lihat belakang kiri dan kanan. Oh ya, hampir aku lupa, tiada
sesiapapun di sini. Aku berseorangan di pulau ini, aku pasti. Semua anak kapal
yang telah kubunuh itu telah aku pusarakan di dalam hutan yang gelap itu.
Aku meraba-raba
permukaan bongkah emas berkilauan, menatapnya. Sukar untuk kuterima, semua
emas-emas ini menjadi milikku seorang. Aku hanya memerlukan beberapa ketul
sahaja untuk bertahan sehingga umur tua. Namun dengan emas sebanyak ini, aku
boleh membeli apa sahaja yang aku mahu, memenuhi segenap kehendak yang tiada
had. Aku boleh membeli sebuah istana, atau sebuah pulau, aku boleh membeli dan
merasa sebanyak mana gundik yang kumahu.
Semua emas-emas
yang berbongkah-bongkah ini kini menjadi milikku! Milik aku seorang!
Namun untuk
memanfaatkan emas-emas ini, aku harus keluar dari pulau ini dahulu. Bagaimana,
dengan Yoshihisa bangsat itu mengambil rakit? Bagaimana mungkin aku membina
rakit yang sama? Aku tidak tahu bertukang. Aku takut berlayar seorang di tengah
samudera yang ganas itu. Andai...andai ada mana-mana kapal yang tersangkut di
sini yang boleh kutumpang pulang.
Dengan fikiran dan
hati yang kosong sekosong langit yang kutengadah itu, aku melangkah longlai
meninggalkan lombong emas. Aku berdiri di atas tebing tinggi melihat lautan.
Aku menunggu, termenung, dan menunggu kapan mungkin barang sebuah kapal sampai
atau sekurangnya terdampar ke sini dipukul badai.
Beberapa bulan
sudah berlalu...
Selepas
berbulan-bulan aku termenung di pantai itu, aku menyerah kalah.
Kini aku lebih
memahami tiada nilainya emas berbongkah-bongkah berbanding harga sebuah
kebebasan. Tidak, langsung tidak sebanding ia dengan harga kehidupan
dikelilingi manusia dan menikmati tamadun. Dengan emas berbongkah-bongkah itu
namun terperangkap di sini, aku masih tidak akan dapat membeli kimono tercantik
di Hidagawa, memakan makanan paling mahal dan enak, atau melanggan pelacur
paling menggiurkan di rumah-rumah geisha
di Kyoto seperti dulu. Apakah ini hukuman Tuhan ke atasku?
Tak guna engkau
Yoshihisa! Andai aku tahu engkau menipuku, akan aku bunuh engkau sekali dan
rampas rakitmu!
Aku menggetap bibir
dan menggenggam penumbuk, aku lepaskan penumbuk ke batang pokok kelapa
berulang-kali sehingga berdarah-darah celah jariku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan