Hisamiko dan Shiro sedang berdiri di atas tebing tinggi yang menempatkan kubur Ryouji dan Hisamine.
Shiro banyak
termenung. Yoshihisa. Lelaki tua itu. Aku
seperti pernah melihatnya. Apakah dia lelaki itu? Yang pernah datang ke sini
dahulu bersama rombonganku? Dan kemudian dia lari dengan rakit yang telah
dibina ahli rombongan lain? Wajahnya sungguh berlainan kini. Penampilannya pun.
Pakaian tentera aneh yang langsung tidak menyerupai pakaian Jepun.
Mata Hisamiko
meliar menyelar segenap pesisir. Dari kapal di tengah laut itu turun beberapa
buah bot-bot yang membawa tentera yang masih berbaki. Hisamiko menggetap bibir.
Wajahnya merah membakar.
“Mereka tak
serik-serik lagi nampaknya. Yoshihisa, aku membiarkan engkau hidup kerana
engkau pernah berbaik dengan kami. Malah engkau pernah menyelamatkan kami dari
Yato. Namun jika engkau masih berkeras ke sini, aku tiada pilihan.”
Hisamiko
mengeluarkan pedangnya, dia menggosok-gosok pedang itu pada batu besar bagi
menajamkannya.
**
Lengang. Di mana
bot-bot itu?
Hisamiko memerhati
sekeliling. Bot-bot itu membelok menuju ke muara yang dilindungi hutan
belantara. Maka pergerakannya kini terlindung dari Hisamiko dan Shiro.
Apakah mereka terus
menuju ke lombong emas? Ah, aku sudah tidak peduli. Sama ada mereka hanya
datang ke sini untuk melombong atau atas tujuan apa sekalipun, aku tetap akan
menghapuskan mereka. Jika mereka datang untuk melombong, mereka pasti akan
datang sekali lagi dan sekali lagi. Aku sudah muak. Aku tidak mahu melihat
sesiapapun di sini lagi.
Shiro dan Hisamiko
turun ke pantai dan menyusur sepanjangnya sehingga tiba di belukar berhampiran
muara.
Menggunakan deria
istimewanya, Hisamiko mengesan besi seperti pistol pada pinggang, namun tatkala
dia mengesan dan mendaratkan tetakan pedangnya mengenai leher seorang tentera,
picagari pada tangan tentera itu sudah tertanam pada punggung Shiro di sebelah
sedang isinya sudah ditolak habis.
“Haiwan ini akan mati
jika ia bergerak.” Begitulah kata-kata tentera itu sebelum dia menghembuskan
nafas terakhir, kepada Hisamiko. Tentera itu sempat tersenyum sinis. “Hidup
Maharaja, banzai!” Kepalanya
terlentok kaku sejurus itu.
Shiro mulai kaget.
Hisamiko turut menegahnya daripada bergerak tatkala dia mengingat kembali racun
sama yang membunuh abangnya itu. Jaring dilepaskan tiba-tiba dan Hisamiko
bersama Shiro diikat dan diangkut keluar dari hutan.
Bot khas yang lebih
besar sudah tiba di muara.
“Hisamiko...”
Yoshihisa datang dan menatap Hisamiko dari balik jaring. “Maafkan aku, namun Maharaja
mahu engkau pulang. Engkau harus berterima kasih aku masih menahan diri dari
membunuhmu Hisamiko. Kerana kenangan kita di sini masih aku hargai. Meski
engkau telah membunuh orang-orangku tanpa belas!”
Hisamiko meludah,
matanya tajam menikam Yoshihisa. “Aku akan bunuh engkau jika aku berjaya
melepaskan diri.”
Shiro masih
terpinga-pinga di dalam jaring. Dalam hati Shiro berbisik, “Benarlah dia ini
Yoshihisa! Aku kenal suara itu. Meski wajahnya jauh lebih tua, suaranya dan
lenggoknya tidak pernah berubah!”
Yoshihisa tidak mengendahkan
ugutan Hisamiko, dan mengisyaratkan tenteranya mengangkut mereka ke dalam bot.
Syaitan! Namun
mengapa masih aku setuju menyelamatkannya? Mengapa hatiku masih berbolak-balik?
Apakah ia salahku Hisamiko menjadi begini syaitan?
Namun wajah Hisamiko
kembali bermain di fikirannya. Wajah penuh kebencian itu. Apa yang telah engkau
lalui Hisamiko sepanjang berada di sini? Di mana wajah gadis yang baik yang aku
temui dahulu? Mengapa engkau begitu membenciku? Terlalu banyak perkara yang
ingin aku bicarakan. Engkau mungkin telah menyalahanggap aku membelotmu dan
abangmu. Sedangkan aku langsung tidak berniat begitu.
Hisamiko tidak
dapat menggerakkan pedangnya kerana jaring itu diketatkan. Jika dia punya pisau
pasti lebih mudah kerana pisau lebih kecil dan tidak memerlukan pergerakan yang
besar untuk memotong. Akalnya ligat berfikir ketika mereka dikandar puluhan
tentera masuk ke dalam bot besar. Bot itu ditarik beberapa buat bot lain menuju
ke kapal di luar pesisir. Jaring itu diangkat takal besar masuk ke dalam
sangkar besi yang besar dan dibawa turun ke dek bawah, dikeluarkan dari sangkar
besi itu. Bergelaplah mereka berdua di dalamnya sehingga masa menentukan.
Hisamiko membiarkan
dahulu mereka berkurung. Dia punya perancangan. Shiro harus dibiarkan dahulu.
Racun itu akan hilang kesannya dalam dua hari. Selepas dua hari, dia akan
melepaskan dirinya dan Shiro dengan memotong jaring menggunakan pedang dan
Shiro akan terbang membawanya merentas samudera kembali ke pulau. Atau,
sekembali ke Jepun, dia akan terbang bersama Shiro kembali ke pulau. Dia tidak
akan tinggal di Jepun. Dia sudah berjanji dengan abangnya. Dia tidak lagi
percayakan Maharaja. Maharaja mungkin merancang mahu membunuhnya.
Gelapnya. Ada bau
arang di sini. Juga bau sake. Shiro
hanya mendiamkan diri. Di tempat begini apa yang boleh kautuliskan? Lagi pula
dengan tangan berikat. Hanya bunyi dengkuran, dengusan dan gerutu yang tidak
Hisamiko fahami kedengaran.
Hisamiko cuba
meregangkan sedikit jaring agar boleh dia menggerakkan pedang bagi memotongnya.
Tidak semena-mena,
pintu dikuak. Seorang lelaki masuk dan membawa pelita menerangi kurungan itu.
Dia datang ke arah Hisamiko dan menerangi wajahnya.
“Hei gadis.
Yoshihisa mengarahkan aku mengambil pedangmu.”
Hisamiko memegangnya
kejap namun lelaki itu menumbuk tangannya menyebabkan dia mengerang. Selepas
berdarah-darah tangannya ditumbuk berkali-kali barulah Hisamiko mengalah dan
lelaki itu menarik keluar pedangnya dari jaring. Hisamiko hanya mampu menangis
melihatkan harapan terakhirnya berkecai.
“Oh, inilah
rahsiamu. Pedang Saishi-tou yang telah menumpaskan ramai pemberontak. Juga
tentera kami. Aku akan membuangnya ke laut.”
“YAMEROU!!” Erang
Hisamiko. Lelaki itu tidak mengendahkannya seraya naik ke dek atas.
Plup! Pedang
dicampak langsung ke dalam laut, diperhatikan Yoshihisa.
Shiro mendengus,
dia amat marah. Engkau amat licik seperti
dahulu lagi, Yoshihisa!
“Bertenang Shiro
bertenang. Jika kau gusar lagi cepat racun itu meresap. Engkau harus menunggu
dua hari sebelum kesannya hilang atau engkau akan mati seperti abangku.”
Hisamiko cuba menenangkan Shiro, meskipun hatinya turut bergolak. Ketenangan
Shiro paling diutamakan saat ini. Jika Shiro bergerak, maka habislah
rancangannya. Shiro akan mati, dan perancangannya kembali ke pulau akan turut
termati. Bagaimana mungkin dia berenang sejauh-jauh demi kembali ke sana?
Hisamiko memerah
otak. Bagaimana mungkin dia merancang sedang semua di sini gelap gelita?
**
Emas-emas sudah pun
diangkut. Bendera Empayar Jepun sudah pun dipacak di merata titik utama pulau,
sebagai amaran dan pemberitahuan kepada mana-mana penceroboh termasuk dari
Amerika dan Rusia, bahawa pulau ini sudah berada di bawah penaklukan Maharaja.
Para tentera sudah pun kembali sepenuhnya ke dalam kapal hitam, kecuali yang
diarahkan berkawal di pulau.
Ya, Maharaja telah
mengarahkan beberapa orang tentera ditinggalkan di pulau itu lengkap dengan
senjata api dan makanan. Pulau itu akan dikunjungi lagi sebulan kemudian.
Disebabkan kawasan sekitar lombong emas sudah diteroka, lebih mudah untuk
mereka meneruskan hidup di situ. Mereka juga telah diperingatkan Yoshihisa agar
berhati-hati dengan binatang berwarna hitam yang memakan manusia. Dengan
senjata moden, mereka kurang gentar. Namun jauh sekali mereka maklum bahawa
haiwan hitam itu sudah pun mati.
Yoshihisa mengarahkan sauh dilepaskan, dan pelayaran pulang yang panjang ke Jepun bermula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan