Doodle
nyos
Penutup
Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.
Maka dengan ini, telah sempurnalah sebuah novel
trilogi bertajuk Kaisenjyo, selepas berhempas-pulas selama hampir empat tahun,
dari Ogos 2020 hingga Julai 2024. Aku bersyukur kerana masih belum dijemput
ajal sehingga berjaya menerbitkan buku terakhir iaitu Yoru-no-kaze ini. Rezeki
aku, dan kalianlah agaknya.
Aku tidak pernah terfikir akan menulis sebuah novel trilogi
sepanjang ini. Mulanya aku menulis kerana mahu menjualnya. Kemudian berharap
dapat membina nama, dan diupah syarikat agar menerbitkan lebih banyak karya
yang menguntungkan dan akhirnya mampu berhenti dari kerja sekarang dan menyara
hidup sebagai novelis. Itu adalah daya gerak utama mengapa aku menulis pada
mulanya.
Namun dalam hari demi hari menulis itulah, aku semakin
kenal diri dan akhirnya mengubah hala tuju. Aku fikir, aku menulis kerana mahu
meninggalkan legasi. Dan di dalam legasi ini terkandung apa yang aku pelajari
dari sebuah kehidupan yang singkat, untuk dikongsikan kepada generasi sekarang
dan akan datang.
Idea Kaisenjyo ini sebenarnya telah bermula
lama sejak 2018 lagi, namun ditangguh-tangguh kerana aku masih belum berminat
menulis. Selepas pandemik, dan dipaksa syarikat kembali bekerja di kantor, aku
mula berfikiran alangkah baiknya jika aku dapat berhenti dari kerja dan
persekitaran yang membosankan dan merimaskan introvert seperti aku ini. Maka
terbitlah rasa mahu mencipta untung sendiri, dengan menjual cerita, dan
akhirnya aku pun mula menulis pada Ogos 2020, dan menerbitkan Buku 1 sedikit
demi sedikit bermula Februari 2021.
Tidak dinafikan aku rasa gembira bila kiraan
baca naik, namun pabila aku menyelidik berkenaan novel-novel yang laris di
pasaran, aku rasa Malaysia belum bersedia menerima novel seperti yang aku tulis
ini. Pasaran Malaysia, para pembeli dan pembacanya masih lagi hanya berminat
dengan genre cinta, seram dan sejenisnya. Aku akui, aku tak mampu menulis
genre-genre begini. Aku boleh mempelajarinya, namun aku tidak berminat. Dari
situ, aku dapati minatku hanya pada menulis genre fantasi yang ada kaitan
dengan sejarah, iaitu fiksyen fantasi sejarah, atau menulis perkara serius
sahaja. Maka aku memutus, aku hanya akan menulis apa yang aku minati, dan persetankan
cita-cita mengejar untung. Persetankan pasaran Malaysia.
Lalu kalau menulis kerana minat, apa gol
akhirku? Jika wang pun bukan gol, apa gol sebenar aku? Sesuatu yang telah
menuntut pelaburan masa dan tenaga yang begitu besar mestilah ada manfaatnya,
jika tidak sesuatu itu hanyalah perkara sia-sia. Jika bukan wang, maka aku
fikir mesej adalah manfaat yang boleh diterapkan ke dalam novel ini. Maka aku
cuba terapkan mesej dan cantikkan dan perjelaskannya, cuba jadikan mesej itu
sedekat mungkin dengan pembaca, supaya bukan setakat pembaca pada era ini
sahaja yang boleh memanfaatkannya, tetapi anak dan cucu dan cicit pembaca itu
juga.
Mesej paling besar dari trilogi Kaisenjyo ini
ialah keburukan perang. Tiada kebaikan walau secebis pun dari peperangan,
kecualilah pada pihak yang mengambil manfaat dari perang itu, seperti Belanda
contohnya. Namun kebaikan itu hanya akan dinikmati oleh segelintir, sebahagian
besar jiwa yang terlibat akan merana. Aku terapkan perang antara Yamato dan
Emishi, antara sesama Yamato sendiri, dan juga antara individu (Ryouji dan
lainnya, Hisamiko dengan lainnya). Selain itu, aku turut menjual apa yang aku
percaya: bahawa kebaikan akan sentiasa mengatasi kejahatan. Juga, aku turut
canangkan bahawa kita sebagai manusia sentiasa diberi pilihan, namun kadangkala
kita tidak mampu memilih apa yang lebih besar manfaatnya kepada masyarakat
kerana kita perlu mempertahankan pilihan yang melebihkan diri kita, itu adalah
antara kelemahan utama manusia.
Sepatutnya penulisan novel ini tidak perlulah
memakan masa sehingga empat tahun. Namun disebabkan aku tidak gemar memaksa
diri, dan menulis dalam santai, ia memakan masa sehingga sepanjang itu. Aku
belajar sesuatu sejak menulis; bahawa ada tiga rukun yang mesti dipenuhi jika
engkau mahu menulis: iaitu masa, mood dan idea. Aku percaya tanpa salah satu
dari ketiga-tiga rukun ini, engkau tidak akan mampu menulis. Inilah yang
memanjangkan masa pembikinannya.
Selepas tamatnya novel ini, aku jujurnya rasa seperti
sudah hilang segala beban menyelesaikannya. Mula memang aku fikir menulis ini
menggembirakan, di mana bila engkau berjaya mencipta penyelesaian untuk satu-satu
masalah yang timbul, seperti masalah plot. Namun bilamana novel ini jadi terlalu panjang,
kadangkala aku rasa terbeban juga. Apapun, novel ini sudah tamat dan aku harus
bergerak ke depan, kerana sebenarnya ada lebih kurang lapan novel lain yang
sedang aku kerjakan sekarang. Aku berharap dengan sokongan berterusan dari para
pembaca Portal Cinta Ilham yang menaikkan kiraan baca, akan terdoronglah lagi diriku
untuk terus memuatnaik lebih banyak karya-karya ke sini.
Akhirkata, terima kasih semua di atas sokongan
kalian. Sayounara!
meddmenov
“MEnakluk Dunia Dengan Menulis NOVel”
Novel: Yoru-no-kaze (Bab 69 - Akhir)
Ryouji dan Hisamiko berjaya menumpang sebuah kereta kuda pengangkut barang dagang di Nakasendo. Mereka terpaksa berhenti dan menyambung menggunakan kereta kuda lain di sepanjang perjalanan, pabila diekori polis. Mereka berhenti di banyak hentian sepanjang Nakasendo untuk mandi dan mendapatkan bekalan makanan.
Selepas dua minggu, mereka akhirnya sampai dan bersembunyi buat sementara waktu
di lembah Okuhida. Namun penemuan mayat Koichi di sebelah kubur Ayame, yang
kini sudah tinggal rangka dalam yukata, mengejutkan mereka. Benarlah Koichi
telah meninggal dunia.
Mereka mengebumikan rangka dan yukata Koichi itu bersebelahan kubur Ayame.
“Aneh onii-san.”
“Mengapa?”
“Bagaimana mayatnya boleh reput sedangkan lembah ini tiada kehidupan.”
“Mungkin serangga dibenarkan memasukinya. Engkau pernah mengejar
kunang-kunang di sini, bukan?”
“Oh, betul juga.”
“Aku ingin melakukan sesuatu di tiang batu itu. Engkau boleh mengambil
angin di sana dahulu.” Ryouji menuding ke arah sebatang pokok momiji
biru yang penuh dengan kesan torehan. Ia torehan yang sering dilakukan Koichi,
demi mengeluarkan resinnya, membekukannya dan menjualnya. Resin itu juga
digunakan Shinji dalam ramuan pedangnya.
“Baiklah.” Hisamiko tidak berlengah seraya berlalu ke arah pokok itu,
berteduh di bawahnya. Ryouji ke tiang batu Okuhida yang berwarna putih itu, dan
meletakkan tangannya pada tanda bulat, dan membaca mantera yang pernah diajar
Koichi.
Serta-merta, sekelilingnya menjadi gelap. Muncul satu titik cahaya putih
dan keluarlah suara.
“Okuhida Ryouji, engkau menyeruku?”
“Ya. Mengapa engkau hanya muncul sebentar tempoh hari? Aku belum sempat
bertanyakan engkau.”
“Jika aku menawarkan jawapannya pada hari itu, sudah pasti engkau tidak
akan datang ke sini.”
“Mengapa engkau mahu aku datang ke sini?”
“Kerana Koichi. Dia mati di sini. Demi menjawab soalanmu pagi itu, tentang
bagaimana dia mati.”
“Ne, kami-sama. Beritahu aku apa yang telah berlaku pada Hisamiko?
Apa maksud dia tentang gelora itu?”
“Seperti yang kukatakan, kalian telah mendapat pecahan kuasa hayabusa
puak Shirasaka.”
“Apakah gelora yang diperkatakan Hisamiko itu berbahaya?”
“Ya, jika engkau mahu tahu jawapannya. Hisamiko kini adalah petarung yang
tidak akan dikalahkan sesiapa. Kecuali jika seseorang mampu mencipta senjata
yang menyekat kepantasannya.”
“Seperti bom? Atau jaring?” Ryouji teringat yang Ayame ditewaskan oleh bom,
dan Hisamiko pernah dijaring penjenayah dahulu.
“Mungkin. Namun dengan latihan yang cukup, mereka boleh mengelak semua
itu.”
“Jadi...jadi... apakah yang kau boleh cadangkan agar dia tidak menggunakan
kuasa itu?”
“Halang dia dari bertarung. Cegah dia dari diprovokasi terutama tentera
Maharaja yang sedang mengejar kalian. Ryouji, berhati-hati dengan adikmu.”
“Apakah ia turut memberi kesan kepadaku?”
“Ya. Dengan kalian memegang penuh kuasa hayabusa, engkau tidak akan
dimamah rusuhan tenaga lagi pada jurus sembilan kaminari. Sedang
Hisamiko dia akan mampu naik ke jurus kesepuluh, seperti Shirasaka Ayame.”
“Ryouji, jika engkau tidak mengawal adikmu, kalian adalah dua malapetaka
yang paling bahaya kepada Jepun sekarang.”
Sejurus selesai perbualan, bintik cahaya itu menghilang, kegelapan
menyingsing lalu dan Ryouji kembali ke alam nyata. Dia memandang Hisamiko yang
sedang berteduh di bawah pokok momiji biru. Dalam hatinya dia berkata,
kami tidak boleh berada di sini lagi. Lari sejauhnya, atau Hisamiko akan
membunuh tentera Maharaja dan menambahkan masalah di sini.
Mulanya Ryouji berfikiran mahu tinggal di situ bersama Hisamiko dan
bersembunyi dari Maharaja untuk selama-lamanya kerana tentera Maharaja tidak
boleh memasuki lembah itu, namun melihatkan lembah itu tiada apa-apa kehidupan
dan sumber makanan, dia membatalkan hasratnya. Mereka menyusup keluar dan
bersembunyi di lembah Amaguri yang terletak berhampiran lembah mereka.
Ryouji memandang ke arah tapak di mana pokok gergasi yang menelan Ayame itu
pernah berdiri. Ia hanya tinggal tanah yang baru ditumbuhi rumput muda. Ryouji
sebak mengenangkan nasib Ayame.
Mereka ke bahagian batu-batu putih disusun membulat dan menggunakan teknik
yang pernah ditunjukkan Shinji. Portal ke perpustakaan Kogen dibuka, dan mereka
menuruni dan menyusur terowong portal itu sehingga ke perpustakaan Kogen.
“Kaho-san!” Tegur Hisamiko dengan suara perlahan tapi keras, dari balik
celah rak buku. Kaho sedang tekun membaca sebuah buku di mejanya.
Kaho menoleh, matanya membulat mendapati Hisamiko ada di situ.
“Hisamiko!”
“Shhh!” Hisamiko memberi isyarat diam. Kaho menurut.
Hisamiko datang menghampiri. Namun Kaho cepat meluahkan fikirannya, “Ne,
Miko. Apa kaubuat di sini? Mati engkau kalau orang Maharaja nampak, tahu tak?
Seluruh Jepun sedang mencari kalian, tahu?”
“Aku perlukan bantuan kau.”
“Bantuan? Hisamiko, ini tempat paling akhir kau boleh minta bantuan. Kogen
sekarang di bawah Maharaja. Orang baginda ada di mana-mana di sini.”
“Namun bantuan itu hanya ada di sini.”
“Bantuan apa?”
Ryouji menyampuk tiba-tiba dari belakang, “Hubungi Shinji. Kami perlukan
bantuannya.”
Kaho memandang Ryouji dengan wajah terkejut. Dia menelan liur. “Miko, kau
tak cakap abang kau ada sekali.”
“Maaf, aku mahu beritahu kemudian tapi dia menyampuk pula.”
“Okuhida-san, ohisashiburi. Berkenaan permintaanmu, maaf, aku
tidak mahu dituduh bersekongkol dengan pelarian Maharaja.”
“Sekurang-kurangnya, bolehkah engkau bantu hubungi isterinya?”
“Aku tak mahu.”
“Kaho, aku harap kau faham. Bukan niat kami membantu pemberontak. Kau tahu
bukan kenapa kami disalahfaham pihak Maharaja? Kami terpaksa melepaskan Chisato
dan Chiho kerana mereka dianiaya Ayame-san. Mereka dikerah menyertai perang di
luar kawalan diri sendiri, namun mereka berjaya melepaskan diri dan lari ke
pelabuhan. Kami membantunya mendapatkan kapal. Apakah engkau faham?”
Kaho terdiam. Dia mengenali Chisato dan meskipun dia kurang rapat, dia
berasa kasihan dengan Chisato yang terlantar sejak memasuki Kogen dan kisah
silamnya yang diketahui dari rakan-rakannya. Sekali-sekala dia ada berbual
dengan Chisato dan padanya, Chisato seorang yang lemah lembut dan menyayangi
adik-adiknya. Bahkan ramai ahli perempuan di Kogen-no-shita menganggap Chisato
seperti kakak besar mereka kerana umurnya.
“Kaho, kami merayu. Hanya engkau satu-satunya saluran kepada Shinji. Dan
hanya perpustakaan ini saluran yang terhubung kepada kami. Kami tahu bahaya
berada di sini.”
Kaho mengeluh dan mengalah, “Aku cuba. Kalian dari portal itukan?”
“Ya, portal Hidagawa, lembah Amaguri.”
“Kalian tinggal di sana dahulu. Namun aku nasihatkan kalian usah lama-lama
di sini. Aku bimbang andai wakil Maharaja tahu...habis kerjayaku.”
Esoknya, Shinji turun ke tingkat bawah dan bertemu Ryouji dan Hisamiko
selepas menyusur portal. Dia memeluk Ryouji dan masing-masing bergurau senda
seperti biasa sebelum Ryouji menceritakan tujuan sebenarnya ke lembah Amaguri
itu.
“Agak sukar juga mengatur semua itu. Namun aku akan cuba demi engkau
Ryouji.”
“Engkau tak takutkah dengan wakil Maharaja?” Soal Ryouji, agak kaget dengan
semangat dan keberanian luar biasa Shinji.
“Aku tak takut!” Tegas Shinji. “Ini Shinjilah. Usah kau risau, Ryouji,
Hisamiko.”
“Arigatou, Takeuchi-san.” Hisamiko tunduk hormat pada Shinji, Shinji
tersipu-sipu malu dan ditampar bahunya oleh Ryouji.
“Kau tak payah nak malu-malu dengan adikku!” Sergah Ryouji. Shinji hanya
ketawa kecil.
“Bukan malu, tapi adikmu makin cantik sekarang.” Balas Shinji memuji gatal.
Hisamiko hanya menjeling namun senyumnya dapat dilihat, terhibur barangkali
dengan keletah Shinji.
“Shinji, barangkali ini pertemuan kita yang terakhir. Paling akhir.” Ryouji
menekan kata-katanya. Matanya merenung sahabatnya itu dalam-dalam seolah mahu
merakamkan benar-benar wajah Shinji demi memori.
“Ah kau ni. Nanti kita akan bertemu lagilah! Bukankah aku akan bertemu
kalian lagi pada hari kalian bertolak meninggalkan sini?”
“Oh ya. Betullah tu.” Ryouji menepuk dahi.
“Apapun Ryouji, boleh aku bercakap sesuatu denganmu?”
Ryouji mengisyaratkan kepada Hisamiko yang mereka mahu berbincang sesuatu.
Hisamiko beredar jauh sedikit dari mereka.
“Aku dengar dari Shiori, engkau menghantar Chisato dan Chiho ke pelabuhan?
Disebabkan itu kau dikejar Maharaja?”
“Benar.”
“Jadi kau betul-betul bertemu Chisato?”
“Yalah. Kenapa?”
“Erm, Ryouji. Maafkan aku.”
“Kenapa kauminta maaf?”
“Aku terbocorkan rahsia engkau. Aku telah berjanji takkan beritahu Chisato
yang kau masih hidup. Tapi aku fikir aku harus beritahu dia. Dia mendesakku
selepas mendapat tahu aku keluar ke Gero bertemu kau.”
“Maknanya dia tahu yang aku masih hidup sejak sekian lama. Namun memilih
untuk tidak menyambung cintanya selepas tahu aku sudah berkahwin.” Gumam
Ryouji.
“Ya benar. Maafkan aku terbocorkan rahsiamu Ryouji! Chisato terlalu
memaksa. Entah siapa yang membocorkan rahsia aku keluar ke Gero kepadanya!”
Ujar Shinji dengan penuh geram.
“Ah, tak perlu minta maaflah Shinji. Semua itu sudah pun berlalu.”
“Jadi, Ryouji. Bagaimana dengan pertemuan kalian? Apakah berlangsung dengan
baik?”
“Dia sudah hilang kewarasan. Adiknya Chinami terbunuh dalam pertempuran
dengan tentera Maharaja.”
“Sou ka... Chinami-chan ka...”
“Dia menyebut-nyebut namaku. Namun dia tidak berperlakuan normal. Chiho
menariknya dariku. Aku fikir ada baiknya begitu. Mudah dia melepaskanku.”
“Dan dengan mendiang binimu yang bernama Kiku itu, engkau sudah pulihkah?”
Soal Shinji penuh simpati terukir pada wajahnya merenung Ryouji.
“Sedikit. Amat sukar melupakan Kiku. Namun selepas semua ini, aku hanya
mahu melarikan diri sejauh-jauhnya. Mungkin di Kyushu nanti ada sinar harapan
baru.”
Mereka beredar tidak lama kemudian. Shinji berpatah balik ke Kogen. Shinji
akan menentukan hari sesuai mereka boleh keluar dari lembah Amaguri dan
menunggu di Nakasendo, iaitu pabila tentera Maharaja sudah reda sedikit
pencarian mereka dan berundur. Dalam tempoh masa sehingga hari itu tiba, Shinji
menghantar bekalan makanan kepada Ryouji dan Hisamiko senyap-senyap di waktu
malam, dengan bantuan Kaho dan Shiori.
Pabila hari yang sesuai tiba, Shinji menggunakan jaringan pengangkut barang
Kogen yang dibina selepas bertahun bekerja di Kogen. Pengangkut barang itu
disogok dan Ryouji dan Hisamiko hanya perlu menunggu di satu kawasan sebelum
mereka menumpangnya. Shinji yang bekerja di makmal Kogen sekian lama, juga
bertanggungjawab menjaga inventori barangan mentah maka dia telah membina
jaringan dengan para pengangkut barang yang ramai, seperti yang pernah dia
rasuahkan baju besi itu dan juga yang pernah ditumpangi sewaktu melawat Ryouji
di Gero dahulu.
Shinji bertemu mereka berdua buat kali terakhir pada hari mereka
dibenarkannya keluar dari lembah Amaguri. Pada hari itu, Shinji menghadiahkan
Ryouji seekor burung merpati kecil yang boleh digunakannya untuk menghantar
khabar. Shinji juga berjaya memindahkan simpanan Ryouji dan Hisamiko warisan
bapa mereka dari akaun mereka ke akaun baru di bawah nama palsu, supaya mereka
berdua dapat mengeluarkan wang di Kyushu nanti tanpa dijejaki tentera Maharaja,
dan tanpa mereka terkesan dengan pembekuan aset oleh Maharaja.
Ryouji dan Hisamiko berjaya melepaskan diri dari pengejaran tentera
baginda, dengan menyamar, sehingga mereka sampai ke hujung Honshu, di
Shimagane. Di sana mereka meneruskan perjalanan merentas Selat Shimonoseki
dengan menaiki feri, sehingga ke pulau Kyushu. Dan di Kyushu, mereka berkejaran
menumpang sana menumpang sini sehingga ke Nagasaki. Di Nagasaki, mereka
melepaskan merpati yang dibekalkan Shinji, demi menghantar khabar mereka sudah selamat
tiba di sana.
Shinji yang menerima merpati dan khabar yang diikat pada kakinya, membuka
surat itu dan membacanya. Air mata kegembiraan mengalir. Segala usahanya tidak
sia-sia. Namun air mata itu juga mengandung seribu satu kesedihan. Shinji yakin
dia tidak akan menemui Ryouji lagi, buat selama-lamanya. Buat selama-lamanya.
Selamat jalan, sahabatku!
**
“Seiji, bagaimana dengan mereka?” Soal Maharaja kepada pembantunya.
“Oh, Koisou dan Sarumichi selamat memastikan mereka naik ke atas feri,
Heika. Berita dari pengintip kita di Shimagane baru sampai tadi dengan
merpatinya. Mereka hampir terdedah di jeti feri Shimagane, namun semuanya
berjaya dibereskan.”
“Ceritakanlah.”
“Ryouji dan Hisamiko hampir terdedah ketika sedang membeli tiket feri ke
Kyushu. Sarumichi dan Koisou mendapat tahu penjual tiket itu cuba melapor
kepada pengintip kazoku, namun Sarumichi dan Koisou sempat menyogoknya
agar menutup mulut.”
“Baguslah. Dan mereka sudah aturkan seseorang memerhatikan penjual tiket
itu?”
“Ya, Heika. Seseorang yang amat dipercayai mereka.”
“Di mana Sarumichi dan Koisou sekarang?”
“Seperti perintah Heika, mereka mengikut beradik Okuhida itu ke Kyushu.”
“Bagus. Peringatkan mereka agar tetap pada perintahku: mengelakkan sebarang
provokasi antara beradik Okuhida itu dengan tenteraku dan mana-mana pengintip kazoku.
Kerana provokasi hanya akan mendedahkan mereka pada umum.”
“Perintah dijunjung, Heika.”
Maharaja mengusap-usap dagu. Baginda masih tidak sedap hati selagimana
Ryouji dan Hisamiko terdedah kepada pengintip kazoku dan tenteranya,
sehinggalah mereka berdua benar-benar tersembunyi. Baginda teringat dalam dua
bulan Hisamiko dan Ryouji berada di Tokyo sebelum ini, mereka menjalankan tugas
melindunginya dengan penuh dedikasi. Ada beberapa insiden cubaan membunuh
baginda yang dilakukan bekas pengikut Yoshinobu dan juga Saisho yang menyelinap
masuk ke istana, namun dipatahkan dengan mudah oleh duo itu. Ketiadaan beradik
Okuhida itu satu kehilangan yang tidak mudah digantikan. Namun baginda perlu
menghilangkan mereka dari Tokyo sekarang, kerana desakan kazoku yang
mendapat berita mereka membantu pemberontak, dan demi kuasa yang dipegangnya
juga demi reputasi baginda. Baginda tidak sanggup mereka dibunuh oleh jasa-jasa
yang telah duo itu taburkan. Baginda sedar mereka bukan penderhaka, mereka
membantu Chiho dan Chisato kerana mereka itu rakan mereka dan beradik Ogasawara
itu telah disihir Ayame. Mereka bukan penderhaka seperti Ayame, getus baginda.
Beta akan terpaksa lebih kerap berkurung dalam istana ini, keluh baginda
dalam hati. Siapa lagi yang mampu melindungi beta secekap mereka.
“Erm, Heika.”
“Ada apa?”
“Patik ingin melaporkan, Sarumichi dan Koisou ada bertembung dengan ahli
Kogen yang membantu Ryouji dan Hisamiko keluar dari Hidagawa sehingga berjaya
ke Shimagane.”
“Siapa?”
“Mereka pengangkut barang Kogen. Kata mereka, mereka diupah Takeuchi
Shinji.”
“Oh... bawa Takeuchi- itu ke sini.”
“Heika, apa yang Heika mahu lakukan ke atasnya?” Soal Seiji cemas.
“Engkau fikir beta mahu menghukumnya? Tidak! Beta mahu memberikan
ganjaran!”
“Oh, oh. Baik, perintah dijunjung, Heika!” Ujar Seiji penuh lega.
**
Angin samudera bertiup lembut menyejukkan pelipis dan menerbangkan rambut
mereka berdua. Ryouji dan Hisamiko menggeletar kesejukan. Berlayar pada musim
sejuk memang mencabar. Mereka mengenakan topi kon dan menutup separuh bawah
wajah agar tidak dikesan mana-mana pengintip Maharaja di atas feri itu. Di
belakang mereka, gunung-ganang San’yo membarisi Shimagane yang kini kian
menjauh dan berbalam-balam. Ini kali terakhir mereka dapat melihat pulau tempat
mereka dilahirkan, pulau Honshu. Mereka tidak akan dapat kembali lagi,
sekurang-kurangnya pada era Maharaja kini. Mungkin jika umur mereka
dipanjangkan, mereka akan kembali ke sini, itupun jika Maharaja sekarang
mangkat dan puteranya mengampunkan mereka.
Ryouji berperang dengan bisikan-bisikan dalam dirinya ketika merenung laut.
Dia merasakan segala apa yang diusahakan untuk Hisamiko kini seolah sia-sia,
seolah tiada hasil langsung, seolah ketentuan Tuhan itu lebih mendahului.
Semakin dia cuba mengelakkannya, semakin Hisamiko dekat dengan ketentuan itu,
bahawa dialah Kaisenjyo, bahawa dialah pembunuh yang tidak akan dikalahkan.
Maka persoalan yang sama berulang-ulang dalam kepalanya; apa gunanya menjadi
manusia yang berakal, andai usaha jadi sia-sia? Andai ketentuan dalam hidup ini
sudah pun tertulis, buat apa menabur usaha? Apa maknanya semua ini?
Namun kata-kata Inspektor Kasukabe kembali menerpa benak, yang maknanya
lebih kurang begitu, yang dia sudah lupa ayat tepatnya.
“Dengan belajar dari kegagalan, kita akan lebih faham bagaimana permainan
Tuhan. Kita akan lebih bijak menanganinya di masa akan datang.”
Ryouji hanya mampu menyimpulkan, bahawa menjadi manusia itu hanyalah dengan
berusaha dan menghadapi kegagalan dan berusaha lagi, belajar dari kegagalan itu
dan menambahbaik. Dia memandang ke hadapan, daratan yang berbalam-balam kian
jelas dengan gunung-ganangnya yang perang di musim sejuk.
“Onii-san. Lihatlah, itu Kyushu. Kyushu!” Hisamiko bersorak girang.
Ryouji hanya mampu tersenyum. Mungkin di Kyushu masih ada harapan. Walau
apapun permainan Dia, aku yakin suatu hari nanti aku pasti akan memahaminya, dengan
syarat aku berani menghadapi kegagalan demi kegagalan, dan belajar darinya dan
menambahbaik.
Walau sudah berkali-kali aku ‘dipermainkan’-Nya. Dia senyum lagi, dengan keyakinan dan
kekuatan baru terbit di ufuk hati.
**TAMAT**
Novel: Yoru-no-kaze (Bab 68)
“Demikianlah kisahnya bagaimana Ayame-san dibunuh.” Saionji, shugenja yang dipertanggungjawabkan meronda lembah Amaguri dan Gunung Kogen, menamatkan perkhabarannya kepada Koichi berkenaan apa yang berlaku kepada Ayame selepas masuk ke lembah Amaguri itu selepas dikejar tentera Maharaja.
“Maafkan aku, Koichi-san. Aku hanya memerhati dari atas pokok dan
bersembunyi dan tidak melakukan apa-apa, seperti arahanmu. Maafkan aku!”
“Tak perlu meminta maaf Saionji. Engkau telah menuruti segala arahanku. Dan
arahanku itu adalah arahan dari baginda juga.” Meskipun berat. Aku terpaksa
melakukannya.
Saionji meminta izin beredar dari lembah itu, demi meneruskan tugasnya
meronda Gunung Kogen, dan Koichi membenarkan. Koichi turut beredar, keluar dari
lembah Amaguri itu dan terus berkuda ke lembah Okuhida.
Sebaik tiba di lembah itu, dia berjalan menuju ke tiang batu putih Okuhida.
Di sebelah tiang batu itu bersemadinya Ayame. Sudah dua bulan Koichi
berulang-alik begini dari Kogen ke lembah Okuhida demi melawat kubur Ayame.
Semakin hari, dia semakin lama dan kerap ke sini. Jika dahulu hanya seminggu
sekali, namun kini, dia akan datang seminggu tiga kali. Kogen telah diserahkan
beransur-ansur kepada majlis yang dilantik Maharaja. Ryouji sudah pun berpindah
ke Tokyo bersama Hisamiko. Ryouji enggan mewarisinya.
Apa boleh dilakukan, getus Koichi. Aku tidak menyalahkan Ryouji atas
pilihannya. Dia menerima tugas membunuh Ayame dariku dan dari baginda agar dia
mendapat habuan dari Maharaja, dan salah satunya ialah rumah di Tokyo. Lagipun,
melihatkan keadaan Kogen yang semakin berpecah-belah dan ramai yang tidak
bersetuju dengan perlantikannya, adalah lebih baik dia tidak menerima jawatan
itu. Aku memilih Ryouji kerana keperibadiannya. Namun tidak sekali-kali aku
menyangka, hanya aku yang kenal Ryouji. Rata-rata mereka di sini tidak kenal
Ryouji meski namanya diketahui ramai ahli Kogen, mungkin mereka hanya kenal
pada namanya. Disebabkan itu, mereka enggan menerima Ryouji menjadi pemimpin
mereka. Mereka mengenali aku lebih dari itu, sebelum aku menjadi ketua Kogen
lagi, aku berkecimpung sebagai pengintip dan membina jaringan dengan banyak
penjaga rumah perlindungan. Ryouji mungkin ada melawat banyak rumah
perlindungan sewaktu misinya, namun itu misi menghukum, bukan membina jaringan
dengan penjaga rumah.
Aku tidak tahu siapa lagi yang boleh dipercayai selain Ryouji demi
mewariskan Kogen. Namun sekarang masalah itu sudah pun diselesaikan. Maharaja
sudah pun mengambilalihnya. Biarkanlah baginda dan perdana menterinya
bertungkus-lumus mentadbir dan mengubah Kogen. Aku hanya mahu bersara. Aku
hanya mahu bersama Ayame. Sekarang aku sudah pun berjaya menyerahkan hampir
seratus-peratus tugasku kepada penjawat baru, iaitu wakil yang dilantik Perdana
Menteri Ito. Lagi beberapa hari, akan diadakan majlis bagi meraikan perpisahan
dan persaraanku dari Kogen. Ah, andai masih ada Tsubomi dan Ayame. Namun siapa
lagi yang ada. Aku tidak ada ahli keluarga lagi. Aku adalah ahli terakhir puak
Shirasaka. Aku mahu berseorangan di lembah ini sehingga hari matiku.
Koichi menyapu daun-daun dan lalang kering yang bertaburan di atas batu
hampar di atas kubur Ayame dengan tangannya. Di tengah hamparan itu adalah
nisan bertuliskan nama Ayame dalam kanji. Koichi merenung batu itu lama,
seolah cuba memanggil roh Ayame agar datang mempersilakan dirinya.
Sejak dua bulan lalu, entah berapa kali dia mengulangi perbuatan itu.
Pabila dia merenung dan perlahan-lahan matanya terpejam, segala memori bersama
Ayame kembali bertandang ke benak. Namun memorinya terlalu sedikit. Memori yang
banyak bertandang adalah memori yang berkait dengan kerjayanya sebagai
pengintip Kogen. Dengan memori yang sedikit, mana mungkin seseorang boleh kekal
hidup dalam sanubari meskipun dia sudah lenyap dari pandangan mata. Dengan
memori yang sedikit, ia diulang-ulang berkali-kali sehingga membosankan dan
memualkan. Hanya yang berulang-ulang itu memori dia duduk-duduk melayan celoteh
Ayame di bawah pokok di sebelah pejabatnya. Dia mendengar namun tidak
mendengar. Dia mendengar namun yang kedengaran hanyalah masalah-masalah Kogen
yang dibincangkan dalam Majlis Tertinggi, menanti buah akalnya dikeluarkan.
Pabila disoal Ayame dia hanya ber’hah’, ‘ya’, atau ‘wakatta’ atau ‘souka’.
Sehingga patah-patah jawapan itu sudah dihafal dan dihafal juga bila waktu yang
tepat untuk dikeluarkan agar Ayame tidak merasakan bahawa jawapan itu sekadar
jawapan kosong yang tiada makna apa-apa. Bahkan intonasinya juga mestilah
nampak bahawa patah-patah itu dikeluarkan dari hati dan bersungguh dan bukannya
sekadar lafaz di mulut.
Tsubomi sesungguhnya adalah isteri yang tidak dimahukan. Ia adalah isteri
yang dipaksakan ke atasnya oleh Omi yang mahukan zuriat, meskipun dia enggan
berkahwin pada ketika itu. Dan ia berturutan kepada Ayame, yang juga anak yang
tidak dimahukan. Selepas pemergian Tsubomi, Koichi menyesal kerana
mengabaikannya. Namun Koichi tidak mengambil pengajaran dari itu. Meski dia
mengambil pengajaran sekalipun, Ayame sudah liat dan sukar dilenturkan lagi.
Ayame sudah dewasa ketikamana dia menjadi penjatuh hukuman bunuh. Koichi sudah
terlambat mendidiknya. Yang tinggal pada waktu itu hanyalah satu matlamat;
iaitu Ayame yang dicop sebagai ‘penyakit’ Kogen mesti dihapuskan sebelum ia
melarat. Namun dia enggan, kerana jauh di sudut hati dia terlalu menyayangi
Ayame. Hanya satu sahaja yang mampu memaksanya membunuh Ayame, iaitu Maharaja.
Meski begitu, dia masih tidak sanggup melakukannya dengan tangannya sendiri.
Maka Ryouji dan Hisamiko diupah melakukannya.
Apakah manusia boleh mengubah ketentuan-ketentuan Tuhan? Soal Koichi dalam
hatinya. Jika semuanya sudah tertulis, seperti ramalan Amaguri itu, maka apa
maknanya usaha dan ikhtiar? Apa maknanya menjadi manusia yang berakal di dunia
ini? Aku sudah cuba mengelak dari takdir-takdir itu selepas mengetahuinya,
namun bagaimana otou-san masih mampu memaksakan jodoh ke atasku dan aku
pula ditelan paksaan itu? Pastinya ada campur tangan Tuhan bukan? Dan ia
berlarutan sehingga lahirnya calon Kaisenjyo dari keturunanku sendiri yang aku
sudah lama ingin elakkan dari ia berlaku. Jika benar Tuhan memberikanku
pilihan, mengapa aku disibukkan dengan Kogen sedangkan aku patut menumpu pada
keluargaku dan mendidik Ayame?
Apakah semua yang telah berlaku ini salahku, atau salah Tuhan yang telah
mentakdirkannya ke atasku?
Aku tidak tahu jawapannya. Apa yang kutahu, takdir itu sudah pun berlaku
dan ia sudah pun tamat, sekurangnya pada saat ini. Maka isyarat darinya jelas
di sini, Ayame bukanlah Kaisenjyo. Kaisenjyo pasti akan datang dari keturunan
lain, seperti Okuhida, atau jika aku melahirkan zuriat lagi, dari keturunanku.
Namun jika aku mati sekarang, bukankah yang tinggal hanya Okuhida sahaja?
Bukankah Kaisenjyo akan datang dari kalangan mereka jika itu kesudahannya?
Alangkah baiknya jika aku mati sekarang. Dengan matinya diriku, bebaslah
aku dari takdir Dia yang sungguh tidak aku fahami. Lagipun apa gunanya hidup
lagi, kerana hidupnya aku di dunia ini hanya akan meneruskan ramalan itu walau
apa sekalipun usaha yang aku lakukan. Permainan Dia paling sukar sekali kutelah
dan kuelakkan, meski sekuat mana sekalipun usahaku. Maka Tuhan, cabutlah nyawaku
sekarang. Aku mohon, Engkau tamatkan penderitaanku ini.
Koichi begitu dalam menghayati doa dan ratibnya di depan nisan Ayame itu,
sebelum tiba-tiba dirasakan ada pedih pada dada belah kirinya. Pedih itu
mencucuk seperti mata pedang menerjah ulu jantung, mulanya sakit pada satu
titik, namun merebak bak akar pisang, menjalar dari kiri dada, ke bahu dan
hujung lengan dan ke perut dan ari-ari dan menuruni sehingga ke peha dan
kakinya. Seluruh anggotanya menjadi kejang, tangannya memagut dada kiri. Koichi
membulat mata, dia terlentang ke atas rumput, matanya menjegil menentang langit
biru. Wajahnya dari putih bertukar biru, mata putih memenuhi bebola mata sedang
mata hitam sudah ke atas. Jasadnya kaku dan membiru dan kejang dan mengeras, tidak semena-mena nafasnya
terhenti, dengan mulut menganga, mata terbuka.
**
“Huah!” Hisamiko bangun mengejut dari futon-nya, gebar diselak.
Peluh memercik membasahi ubun-ubun. Rambut panjangnya yang mengurai diselak ke
belakang bahu. Yukata putih yang dipakainya lencun di bahagian dada dan leher.
Dia bingkas bangun dan bersandar pada dinding. Pintu gelangsar dibuka,
membenarkan bayu malam sejuk musim sejuk menderu masuk, mengeringkan peluhnya.
Selepas beberapa ketika dia berehat, dia merasakan tidak semena-mena satu
lonjakan tenaga menderu dari dada hingga ke kepalanya. Dia berasa sungguh
bertenaga dan seolah mahu melompat keluar dari bilik itu terus terbang ke
gunung dan menghamburkan api ke seluruh kota Tokyo. Hisamiko menyarungkan
yukata biasanya, dan mencapai pedangnya, dia berlari keluar dari rumahnya.
Ryouji yang berada di bilik sebelah dan tidak tidur, sejak tadi menyedari
Hisamiko bangun tiba-tiba dan bila dia keluar sahaja, Ryouji turut bergegas
keluar cuba mengejar adiknya. Hisamiko sudah hilang ditelan pekat dinihari.
Pada waktu itu juga Ryouji merasakan kekuatan luar biasa mengalir dalam
jasadnya. Dia naik ke jurus kesembilan demi mengejar Hisamiko, dan dirasakannya
peningkatan ke jurus itu terlalu mudah berbanding biasa. Dia tidak tahu dan
enggan memikirkannya lebih-lebih kerana dia lebih memikirkan Hisamiko.
Dia dapati Hisamiko sedang bertenggek di atas sebatang dahan tinggi pokok keyaki
yang sudah gugur semua daunnya. Malam dingin musim sejuk mencengkam tulang,
namun Ryouji menahan diri demi adiknya, dia redah kesejukan itu dan cuba
memanjat pokok tersebut. Namun belum pun dia cecah dahan tersebut, Hisamiko
terjun menjunam dan mendarat di atas tanah. Ryouji mengeluh, dia turun
perlahan-lahan.
Hisamiko sudah memecut berlari meredah hutan konifer di pinggir Tokyo.
Ryouji mengejar dengan jurus tinggi menyedari Hisamiko menggunakan kaminari.
Namun dia kembali diselubung kegelapan hutan konifer, meski fajar sudah mula
menyingsing dan langit membiru. Dalam kegelapan itu dia ditendang Hisamiko dari
belakang. Mereka bertarung dengan lengan sahaja, sehingga Ryouji yang keletihan
dan mahu ia segera dihentikan, berteriak nama Hisamiko.
Hisamiko seolah disentak suara Ryouji yang menengking itu seraya terhenti.
Mata hitamnya yang tadi membesar kian mengecil. Nafasnya mula mencungap sebaik
dia ansur sedar.
“Apa dah berlaku, Hisamiko?” Ryouji memegang kedua-dua belah bahu Hisamiko
yang berpeluh dan mencungap dan menggoncang-goncangkannya.
“Aku tak tahu. Tiba-tiba ada gelora dalam tubuhku ketika bangun tadi.”
“Gelora?”
“Aku teringin berperang dan bertempur tiba-tiba.”
Hisamiko dan Ryouji mendengar bunyi klik dalam benak mereka, dan sejurus
itu, segala bunyi unggas malam di hutan itu juga apa-apa bunyi lain hilang
sekelip mata. Pemandangan di sekeliling mereka gelap dan hitam dan ada satu
bintik cahaya muncul di atas kepala. Mereka memandang ke atas.
“Wahai anak-anak Okuhida. Aku hayabusa-no-kami.”
“Apa yang kau mahu dari kami?” Soal Ryouji. Hisamiko masih mendengar suara
Ryouji dalam situasi ini, selain suara semangat itu.
“Pewaris terakhir puak Shirasaka, Shirasaka Koichi baru sahaja meninggal
dunia semalam. Dengan itu, enam persepuluh kuasa hayabusa diserahkan
kepada kalian, puak Okuhida yang merupakan puak terakhir yang membuat
perjanjian dengan hayabusa-no-kami. Kalian kini adalah pemegang penuh
kuasa hayabusa. Dan calon Kaisenjyo adalah Okuhida Hisamiko.”
“Chotto matte, kami-sama.”
“Sekian, Ryouji. Sayonara.” Sejurus itu bintik cahaya hilang dan
kegelapan bubar, mereka kembali ke alam nyata. Bunyi unggas dinihari dan bayu
bertiup kembali menerjah telinga.
“Koichi-san sudah meninggal dunia. Namun di mana? Dan bagaimana dia mati?”
Soal Ryouji sendirian.
“Kita boleh tanyakan orang-orang di Kogen. Mereka pastinya tahu ke mana
perginya Koichi-san paling akhir.”
Ryouji beralih pandangan ke arah Hisamiko. Segalanya terang kini. Dia faham
kenapa Hisamiko tiba-tiba menyatakan berkenaan gelora. Ia pastinya kerana dia
telah dicalonkan sebagai Kaisenjyo.
“Omaera! Di sini kalian rupanya. Usah lari!” Kedengaran suara dari kejauhan.
Kelibat tentera berkuda, dalam dua ke tiga orang di hujung hutan itu kelihatan
berlatar dinihari yang biru gelap.
Hisamiko menarik tangan Ryouji seraya mengisyaratkannya agar mengikutnya
berpusing. Ryouji tidak mampu berfikir panjang, dia mengikut sahaja permintaan
Hisamiko dan mereka melakukan jurus kedua. Ribut yang berpusaran melontarkan
pengejar mereka itu ke pinggiran hutan. Mereka pula telah keluar dari hutan itu
menuju ke satu kawasan di celah gunung.
“Siapa mereka? Kelibat yang mengikut kita akhir-akhir ini seperti aduanmu?”
Soal Ryouji. Mereka duduk berlindung di balik batu-batu besar di tepi sebatang
sungai glasier. Hingar dari sungai itu boleh menabir suara mereka dari
didengari sesiapa.
“Mungkin.”
“Hisamiko, jujur denganku. Engkau tahu bukan siapa mereka?”
Hisamiko diam.
Siapa yang mengintip kami? Aku boleh senaraikan satu-persatu
kemungkinannya, getus Ryouji. Pertama, ahli Kogen yang tidak berpuashati
denganku. Namun aku pun sudah lari dari sana dan Kogen sudah pun diuruskan
Maharaja. Tidak ada maknanya mengejarku. Atau barangkali ada tentera atau
pengintip Maharaja yang tahu Hisamiko telah menyelamatkan Chiho dan Chisato,
yang terlibat dalam pasukan Ayame menentang baginda? Ya, itu kemungkinan yang
amat kuat! Dan dari dalam gelap itu, aku perasan mereka berpakaian seragam
polis. Polis tidak akan mengejar atau mengintip kami kecuali ada bukti yang
sahih, itu etika kepolisan yang aku fahami dari Kasukabe. Oleh itu, mereka
tidak akan mengintip kami hanya berdasarkan pemerhatian, sebagai contoh,
mata-mata mereka nampak Hisamiko menghantar Chisato dan Chiho ke pelabuhan.
Sesuatu bukti mesti dalam bentuk yang tidak boleh disangkal (incontrovertible
proof), baru polis akan bertindak. Pastinya Hisamiko ada terlepas sesuatu,
ketika menghantar Chisato dan Chiho.
“Hisamiko... apa kau lakukan di pelabuhan Wakayama?” Ryouji menekan lagi,
kali ini dia cuba mengorek sesuatu yang paling hampir dengan tercetusnya
intipan misteri demi intipan misteri yang mereka hadapi di Tokyo sejak
berpindah ke sana dua bulan lepas. Ini kerana Hisamiko hanya berpisah dengannya
ketika ke pelabuhan Wakayama itu sahaja. Sejak pertarungan dengan Ayame di
lembah Amaguri, mereka sentiasa bersama sehingga menetap di Tokyo kini.
“Aku hanya menghantar Chiho dan Chisato nee-chan. Oh ya, aku gunakan
duit simpanan kita sedikit membayar kapal mereka. Bukankah sudah aku beritahu
itu?”
“Oh ya. Abang baru terdetik bertanyakan sesuatu. Tambang kapal itu bukannya
murah. Tak kan kau membayarnya tunai?”
“Aku bayar dengan cek...”
Sebaik mendengarnya, mata Ryouji membulat, benaknya seolah baru dijentik
pencerahan, “Itulah dia! Itulah silapmu, Hisamiko!”
“Mengapa? Apa silapnya?”
“Di atas cek itu kau ada tulis namamu bukan?”
“Ya.”
Ryouji menepuk kepalanya. Bukan dia menyalahkan Hisamiko sahaja, dia
menyalahkan dirinya juga. Kerana melepaskan Hisamiko ke Wakayama itu juga
cadangannya.
“Aku sudah dapat mengagak penyebab kita dijejaki. Pegawai sempadan akan
menyimpan rekod setiap anak kapal di pejabat sempadan seperti di pelabuhan.
Pembayaran dengan cek akan mendedahkan namamu dalam buku rekod butiran anak
kapal sehinggalah cek itu ditunaikan. Jika pegawai di pelabuhan korup, namamu
dan anak kapal yang dibiaya akan terdedah kepada pengintip Maharaja atau
mana-mana pihak luar. Cek itu, adalah bukti yang tidak boleh disangkal dan
sahih dan boleh digunakan polis sebagai asas untuk mengintip kita.”
“Mana onii-san tahu semua ini?”
“Aku pernah dibawa otou-san ke pelabuhan di utara (Laut Jepun)
sewaktu kecil dan tahu bagaimana aktiviti mengangkut barang dan manusia di
pelabuhan dilangsaikan.” Sepertimana Mitsuo selalu membawa Ryouji ke Furukawa,
dia juga pernah membawanya melihat-lihat pelabuhan di utara yang merupakan nadi
utama bekalan senjata Kogen.
“Mana mungkin pengintip Maharaja tahu Chiho dan Chisato-nee chan
terlibat dalam pertempuran menentang baginda?”
“Nama semua ahli Skuad Sakura satu-satu telah dihantar kepada Maharaja oleh
Kogen. Sedang tentera lain yang direkrut lewat oleh Ayame tidak ada dalam
senarai itu.” Tambah Ryouji. “Aku tahu selepas perang berakhir, selepas aku
selidik dalam pejabat Koichi. Juga aku dapat tahu, selepas pertempuran pertama
di timur Nakasendo, Maharaja turut menghantar pengintipnya ke semua pelabuhan
keluar masuk negara demi menangkap tentera Ayame dan Yoshinobu yang melarikan
diri merentas hutan.”
“Maafkan aku onii-san. Tiket mereka mahal kerana dibeli di saat
akhir. Aku terpaksa membayar dengan simpanan sekaligus terpaksa menulis cek
itu...” Segera Hisamiko meminta maaf menyedari kesilapannya.
“Salahku juga, Hisamiko. Salahku juga menghantarmu ke Wakayama.” Ryouji
mengeluh di hujungnya. “Apapun, perkara yang sudah berlaku tak perlu
dikenang-kenang lagi.”
“Tak syak lagi, telahanmu benar onii-san.”
“Kenapa?”
“Aku perasan tentera yang kejar kita tadi memakai pakaian ala tentera
Prussia, pastinya polis Maharaja.”
Ryouji mengangguk perlahan.
“Nampaknya kita kena melarikan diri dari Tokyo dan tidak akan kembali lagi
ke sana. Menyerah diri kepada Maharaja hanyalah akan dihukum bunuh kerana
membantu pemberontak. Kita akan berundur ke lembah Okuhida dahulu.” Cadang
Ryouji.
“Dengan apa? Tak kan dengan berlari?”
“Selepas kita hilang penat di sini, kita akan ke Nakasendo. Di sana kita
akan tumpang mana-mana kereta kuda.” Ryouji mencadangkan, melihatkan mereka
baru sahaja melakukan jurus kedua yang memakan tenaga.
“Baiklah.”
“Hisamiko, engkau sudah tidak apa-apa? Pagi tadi engkau...”
“Aku tidak apa-apa, onii-san. Cuma aku bimbang andai ia berlaku
lagi...”
“Usah kau risau. Rehatlah. Aku perhatikan sekeliling.”
**
“Tak guna!” Polis berpakaian ala tentera Prussia itu mendengus. “Mereka
menggunakan kaminari pula.”
“Agak-agak ke manakah mereka akan lari, Kamimura?” Soal salah seorang dari
pengikutnya, kepada pegawai yang mendengus itu.
“Mereka akan mencari pelabuhan. Mereka pastinya sudah tahu. Aku hairan, apa
yang mereka takut sangat? Maharaja hanya mahu mereka dilokapkan dan
disoalsiasat.”
“Jika takut, bererti benarlah mereka bersalah. Benarlah mereka membantu
pemberontak lari dari sini.” Saenuma memberi pandangan.
“Jika benar begitu, hukumannya amatlah berat. Barangkali hukuman mati.”
“Aku fikir, mereka lari sebab rancangan engkau menggunakan pengintip
itulah, Kamimura. Andai ditangkap terus, pastinya mereka tidak akan ada ruang
melarikan diri. Bukti dari pengintip upahan kazoku itu sudah memadai
untuk kita menangkap mereka.”
“Sepatutnya sudah berjaya ditangkap. Namun entah mengapa baru dua ke tiga
hari lepas bukti itu tiba dan didedahkan. Selama dua bulan selepas perang itu,
senyap saja. Entah apa punya lembab penyiasat upahan kazoku itu. Dengan
dua tiga hari sahaja masa diberi, mana mungkin kita mampu menangkap mereka.”
“Barangkali harga upah tidak dipersetujui.” Saenuma mencadangkan.
“Selalunya begitulah. Tak guna punya penyiasat. Fikir duit saja.”
“Yang menyukarkan kita ialah burung bangsat itu sentiasa ada. Jika
pengintip kita mengintip gadis Okuhida itu pada jarak yang cukup jauh, beberapa
saat selepas itu, pasti dia sudah tiada. Padahal jarak pengintip kita dari
tempatnya agak jauh, dalam satu perenam ri. Aku tak fikir gadis itu
boleh mengesan kita pada jarak itu. Dan pastinya ada burung itu terbang
melintas depan mata pengintip kita!” Jelas Kamimura sambil menggenggam
penumbuk, jelas dia geram dengan kegagalan menangkap Hisamiko berkali-kali.
“Kau yakin ke ‘ninja’ kita tu boleh tangkap dia jika diintip dari dekat?”
“Ninja kita tu tahu kaminari juga. Namun jika bukan kerana burung
bangsat itupun, budak perempuan Okuhida itu sungguh peka seperti kucing!
Pengintip itu juga tahu kaminari, mampu berlari lagi pantas dari ninja
biasa. Namun masih juga terdedah pada pancainderanya!” Kamimura menggenggam
penumbuk lagi menahan geram. “Maka kita tak boleh intipnya dari dekat.”
“Sebentar. Mengapa tak diminta sahaja berdepan-depan agar mereka menyerah
diri? Burung itu takkan tahu dan curigakan kita jika guna cara baik. Selepas
mereka leka, kita kepung dan jaringkan mereka.”
“Burung itu cerdik, Saenuma. Ia bukan calang-calang burung. Bahkan sangat
pandai mengelak panah dan menyerang pemanah kita. Barangkali gadis itu telah
berbincang dengannya dan memintanya menegah sekiranya wajah kita dan mana-mana
polis cuba mendekatinya. Atau jika kita bersedia dengan jaring, akan diberitahu
awal-awal kepada mereka.”
Saenuma mengeluh, “Bagaimana dengan abangnya? Peka seperti gadis itu
jugakah?” Soal Saenuma.
“Aku tak rasa abangnya sepeka itu.” Jawab Kamimura. “Mungkin hanya adiknya
sahaja, kerana yang kudengar, adiknya itu salah seorang dari calon Kaisenjyo.
Namun mereka sentiasa bersama. Agak sukar sebenarnya. Mahu gunakan bom dan
cederakan mereka agar tidak melarikan diri, berisiko membunuh mereka, sesuatu
yang baginda tidak mahukan.”
“Nampaknya fikir panjang pun dah tak guna lagi. Mereka pun dah benar-benar
lari dari kita. Sekarang kita perlu mencari di semua pelabuhan di Honshu ini.”
Saenuma mengeluh di hujung ayat.
“Saenuma, kerahkan orang-orang kita berkawal di semua pelabuhan di barat
Honshu.”
“Ryoukai.”
Novel: Yoru-no-kaze (Bab 67)
Ia memakan masa sehari juga sebelum aku memutus mengetuai mereka. Abashiri tidak punya anak dan saudara maka tiada sesiapa yang menentang keputusannya menjadikan aku, orang Yamato, ketua mereka. Mungkin juga kerana ramalan Amaguri itu yang mereka taati seperti mentaati agama atau dikri Maharaja, menyelamatkanku dari menjadi tentangan mereka yang tidak berpuas hati – jika ada – dan juga membuatkan mereka sebulat suara menyokong keputusan Abashiri. Aku menjadi raja mereka secara rasmi selepas Abashiri meninggal dunia akibat sakit tua. Aku menyedari tanpa batu pemberian nee-chan itu, sudah pasti aku tidak akan bertahan di sini, sudah pasti aku masih di dalam pelarian. Sungguh engkau berjasa padaku, nee-chan.
Tahun demi tahun, aku membesar menjadi wanita dewasa sedang masih mengetuai
mereka. Aku dipandu oleh Komori dalam selok-belok pentadbiran, dan Komorilah
yang banyak membentuk jiwa pemimpinku selepas itu, sebagaimana dia pernah
menasihati Abashiri. Kemudian Komori pergi selama-lamanya dan aku dibiarkan
bersendirian mengemudi mereka. Aku tidak dikahwini kerana mereka menganggapku Tuhan.
Bahkan mereka menyembahku. Mereka fikirkan aku jelmaan semangat raya hutan
mereka yang mereka panggil Kamui itu.
Aku lewat menyedari akan hakikat kuasa kerana aku hanyalah seorang remaja
bawah umur ketikamana tampuk ini disuguh kepadaku. Tetapi pabila mereka mula
menyembahku, aku fikir tiada risiko untuk aku melakukan sedikit kekerasan. Mula
aku memberanikan diri menjatuhkan hukuman mati ke atas kesalahan membocorkan
rahsia kami kepada pengintip Yamato. Pembelot itu dipanah di hadapanku, dengan
panah beracun, sebelum ia mati mulutnya mengeluarkan buih putih. Aku menahan
trauma di jiwa melihatkan kematian di hadapanku, namun lama-kelamaan aku jadi
terbiasa, jiwaku mengeras seperti lahar di kaki Gunung Iwate. Dari setia,
mereka jadi takut denganku. Kata-kata dari mulutku adalah undang-undang segera.
Namun aku tahu, pabila aku mula mengesan bibit-bibit pemberontakan, aku
hapuskan bibit-bibit itu dan aku ringankan hukuman-hukumanku agar mereka tidak
marah dan kekal setia dan kekal TAKUT.
Dengan momokan bahawa akulah Kamui Besar, akulah raja, dan akulah yang
patut ditakuti, memimpin mereka menjadi mudah. Aku mengekalkan keamanan dan
mereka membiak dan bertambah bilangan. Aku latih mereka menjadi tentera
sepertimana Yamato. Mereka sudah memiliki teknologi seperti penjinakan kuda dan
pemanahan, namun aku tambahbaik senjata mereka dengan besi berkualiti dengan
ilmu penempaan besi yang aku raih dari tawanan Yamato kami. Kami menjadi
kelompok penakluk, aku mengembangkan empayar kami lebih dari kampung itu. Sempadan
aku buka, dan batu nee-chan di atas menara itu aku ambil kembali agar
aku dapat melindungi diriku kelak. Kami telah kuat, tiada sesiapa mampu
menumpaskan kami dan mereka tidak perlu lagi batu nee-chan itu, maka
kampung kami telah kembali terbuka seperti dahulu. Sehinggalah ke satu tahap,
di mana keseluruhan utara Honshu ini berada di bawah telapak kakiku dan
Maharaja Yamato di Kyoto hanyalah tinggal satu sahaja figura tunggal yang harus
aku tumpaskan sebelum seluruh Jepun jatuh ke tanganku.
“Mengapa engkau mengambil kembali batuku itu?” Soal nee-chan
kepadaku dalam satu mimpi.
“Ini pemberianmu kepadaku. Aku mahukan ia kembali.”
“Bagaimana dengan kampungmu itu nanti? Bagaimana jika tentera Yamato
menyerang mereka?”
“Mereka sudah kuat, mereka tidak akan dapat dikalahkan. Nee-chan, aku mahu
menakluk seluruh Jepun.”
“Apakah engkau membunuh orang-orang awam Yamato demi mencapainya?”
“Ya. Itu tidak dapat dielakkan.”
“Nadeshiko! Aku tidak pernah mengajarmu membunuh mereka yang tidak
bersalah!”
“Nee-chan, aku hanya membalas dendam. Bukankah dahulu mereka
membunuh orang awam Emishi di kampungmu?”
“Engkau Nadeshiko. Apakah kerana darahmu... kerana engkau memang lahir dari
bangsa itu...”
“Nee-chan...”
“Nadeshiko, aku mengambilmu dahulu dengan harapan aku dapat mengubahnya,
mengubah tanggapanku. Namun sayang, engkau sama sahaja dengan bangsamu. Bangsa
penghisap darah, bangsa pembunuh! Dan engkau membawa dan mendidik tabiat
pembunuh itu ke dalam bangsaku!”
“Nee-chan, sungguh aku tidak berniat... Nee-chan...”
“Mulai hari ini, roh engkau akan dicampakkan ke sebuah pulau sebagai gadis
perang laut (Kaisenjyo). Jasadmu pula akan kekal terbaring di dalam
khemahmu, kekal dalam lenamu sekarang sehingga ia mereput sendiri. Engkau akan
diberi peluang menempati jasad seorang wanita yang akan datang ke pulau itu.
Dan engkau akan sentiasa menghalang mana-mana penceroboh pulau itu dari
mendekatinya. Itu tugasmu selaku Kaisenjyo.”
“Nee-chan!!!!!” Aku meraung.
“Dan aku bersumpah, bangsa Yamato akan dihukum dengan ‘dua matahari’ yang
akan gugur di tempat asal tamadun mereka dilahirkan, sekiranya mereka kekal
dengan kekejaman mereka. Sayonara!”
Kata-kata Amaguri yang terakhir itu bergema, paling tajam dan menikam-nikam
telinga dan hatiku. Ia sebuah sumpahan yang menggerunkan. Apa yang nee-chan
maksudkan dengan ‘dua matahari’? Dua matahari yang akan digugurkan? Apa
maksudmu, nee-chan?
“Nee-chan.... nee-chan!”
Aku melihat batu itu tiba-tiba berada di dalam tanganku, ada cahaya keluar
darinya dan memecahkannya kepada tiga bahagian. Ketiga-tiga belah batu itu
berhamburan ke udara dan menghilang, tercampak entah ke mana.
Kemudian segalanya jadi gelap. Sedar dari mimpi, aku tiba di sebuah pulau
terbaring di atas pasir pantai yang memutih sejauh mana memandang. Angin laut
bertiup menghantar bau masin dan hanyir laut.
Aku memegang diriku. Namun hampa, aku tidak berjasad. Tanganku menyentuh
pasir pantai yang melapik. Segalanya boleh ditembusi. Aku bahkan boleh terapung
dan terbang seperti bulu burung. Aku terapung dan menerawang bahagian atas
pulau itu. Ia bergunung-ganang dan ada yang mengeluarkan asap.
Aku tidak lagi maklum akan apa yang berlaku di kampung Emishi itu. Mungkin
jasadku di sana masih dalam tidur dalam khemah? Aku tidak tahu. Mungkin jasadku
sudah tidak bernyawa, berbau dan akhirnya dikebumikan? Aku tidak tahu. Mungkin
bangsa Emishi di sana sudah ditewaskan Yamato? Aku tidak tahu. Segalanya
berlaku terlalu pantas, sedang aku di kemuncak kuasa mengembangkan empayar
Emishi.
Aku terkurung dan terpenjara di sini. Aku tidak lapar dan tidak makan. Aku
hanya terapung dan menunggu sehingga wanita yang dijanjikan nee-chan itu
sampai dan aku dapat menakluk tubuhnya. Hanya dengan itu aku akan dapat kembali
ke Jepun dan meneruskan agendaku menaklukinya. Hanya dengan berjasad sahaja
mereka para pengikutku akan dapat melihatku seperti biasa dan menanggap
kewujudanku, dan merasa gerun denganku.
Tamat kisah Yamato Nadeshiko
nyos
Kala fajar mulai menyingsing Tersingkaplah jendela sebuah duka Alam membisu seribu nada Hanya deru angin bertandang Membisik pada kelana Bah...
-
Musim bunga, 1872 (sekitar masa Ryouji dan rakan-rakan berpindah ke Kogen) Tiga orang pemuda dalam pertengahan tiga puluhan, sedang berdir...
-
Di Kogen, Tokui mula disoal siasat oleh Kogen. Ryouji, Goryuuin dan Ayame duduk berhadapan Tokui di dalam bilik soal siasat, di dalam sebuah...
-
BAB 52 Awal pagi itu, mereka sudah bersedia. Penunggang kuda masing-masing sudah bersedia dengan para pembonceng. Tawanan mereka diik...