Novel: Kaisenjyo (Bab 108 / Epilog - Buku I)

Matte, Sonzaemon!” Laung Ryouji. Dia dan Hisamiko baru sahaja keluar dari kubu Hamada.

 

Sonzaemon dan Goryuuin berhenti.

 

“Apa yang kalian buat di sini?!”

 

“Membantumu.”

 

“Membantu kami?”

 

“Engkau tidak nampak orang-orang yang mahu menyerangmu di luar? Engkau ingat Hamada semudah itu dikalahkan? Tidak, Ryouji. Jikapun Hamada berjaya ditumpaskanmu, dia punya pasukan simpanan di atas bukit, di balik belukar di luar kawasan tenshu ini. Engkau tidak akan dapat lari sepantas manapun engkau bergerak. Engkau pasti akan mati jua dibunuh mereka.” Sonzaemon menjelaskan.

 

“Sonzaemon...”

 

“Hanya itu yang dapat kulakukan demi menebus dosa-dosaku terhadapmu. Maafkan aku, Ryouji. Maafkan aku!” Sonzaemon  melutut di hadapan Ryouji.

 

Ryouji datang mendekati Sonzaemon, seraya memeluknya.

 

“Sonzaemon, aku memaafkanmu, meski sejujurnya, hatiku amat perit. Namun peristiwa kematian otou-san sudah lama berlalu. Aku dan adikku sudah mampu berdikari.”

 

“Namun Sonzaemon, engkau harus berjanji denganku, jangan sekali-kali engkau ulangi apa yang telah engkau lakukan terhadap bapaku pada insan yang lain.”

 

Sonzaemon mengesat air mata. “Aku berjanji, Ryouji. Jika aku ulanginya sekali lagi, aku akan datang kepadamu. Saat itu, engkau pancunglah kepalaku.”

 

Tiba-tiba, Sonzaemon pantas memeluk Ryouji dan memusingkan tubuhnya ke bawah, ketika itu juga bunyi tembakan kedengaran di udara. Sejurus kemudian, darah mengalir deras dari tubuh Sonzaemon. Sebutir peluru dari tembakan itu telah menembusi belakang badannya menerobos jantung. Dia terkulai sedang Ryouji masih ditindihnya.

 

“Hatakemaru!” Goryuuin menjerit nama kanak-kanak Sonzaemon.

 

Seketika kemudian datang orang-orang Hamada yang masih berbaki, keluar dari celah-celah lubang di dalam belukar. Bila pula mereka mengorek terowong di bawah belukar itu?

 

Uragirimono! Uragirimono! (Pembelot! Pembelot!)” Jerit mereka, bersedia tembakan sekali lagi.

 

“Sial! Mereka punya pasukan simpanan! Hisamiko!” Ryouji menolak tubuh Sonzaemon dan bangkit deras, seraya berlari, menolak Goryuuin ke arah Sonzaemon yang sedang pitam. Ketikamana tembakan-tembakan seterusnya dilepaskan, Ryouji pantas menangkis peluru-peluru itu menggunakan pedangnya.

 

Ryouji dan Hisamiko berlari mengelilingi Goryuuin dan Sonzaemon deras. Melihatkan begitu ramai orang-orang Hamada mula mendekati mereka, Ryouji dan Hisamiko berlari mengelilingi pasangan itu dengan kepantasan meningkat, memulakan jurus kedua dan membina benteng bagi menghalang peluru-peluru dari menyasar kepada mereka berempat. Ribut tiruan yang terhasil menebarkan orang-orang Hamada kembali ke dalam belukar. Goryuuin dan Sonzaemon dibawa pusaran angin halilintar Ryouji dan Hisamiko ke sebuah kawasan terpencil tidak jauh dari menara tenshuu itu.

 

“Hatakemaru! Hatakemaru!” Goryuuin menggoncang-goncang tubuh Sonzaemon.

 

“Goryuuin-san, Sonzaemon sudah tiada.” Ryouji menyimpulkan melihatkan mata Sonzaemon memutih. Dia meletakkan tangan di hidung Sonzaemon bagi mengesahkannya. Tiada lagi hembusan nafas. Dia menutup mata Sonzaemon.

 

Mayat Sonzaemon dikebumikan di kawasan itu. Goryuuin tidak henti-henti menangis.

 

Malam itu sebelum tidur, Ryouji berbual panjang dengan Goryuuin.

 

“Goryuuin-san, apa perancanganmu selepas ini? Mahu kembali ke Kogen?”

 

“Aku fikir tidak mungkin akan kembali lagi ke sana. Aku mahu mencari adikku Hisamine.”

 

“Engkau punya petunjuk?”

 

“Dari maklumat yang kuterima dari Shizuo, dia dihantar ke sebuah pelabuhan tidak jauh dari sini, di Kanazawa. Mungkin dibawa ke Joseon di tanah besar. Aku mahu mencarinya di sana.”

 

“Engkau yakin dia sudah tiada di tanah Yamato?”

 

“Ya. Aku sudah mencarinya di serata Honshu sejak aku tinggal di rumah Takasaki-san. Aku sudah berputus asa. Aku yakin dia masih hidup, namun berada di luar tanah Yamato ini.”

 

Kemudian Goryuuin perlahan-lahan membuka kisah Sonzaemon dan bagaimana dia akhirnya menetap di Hidagawa. Ryouji sudah memaafkan Sonzaemon namun keperitan akibat kehilangan orang tuanya tidak mudah untuk dihilangkan. Mungkin seratus tahun lagi, mungkin seribu tahun lagi. Kehilangan itulah yang membawanya kepada kehidupan begini. Jika tidak, dia mungkin masih seorang petani atau pedagang di Furukawa sahaja, dan tidak langsung mengenali Kogen, mahupun Hamada.

 

“Aneh bukan, Goryuuin-san?”

 

“Apa maksudmu, Ryouji?”

 

“Bagaimana cinta mengubah manusia seperti Sonzaemon.”

 

“Manusia seperti Sonzaemon? Apa maksudmu?”

 

“Maafkan aku Goryuuin-san. Namun sepanjang pengetahuanku Sonzaemon ini raksasa. Dia meratah segala di hadapannya. Dia tamak, dan membunuh bapaku. Namun selepas dia berjaya menemuimu kembali, dia berubah. Bahkan dia meminta maaf sambil menangis di hadapanku. Sedangkan sebelum itu dia benar-benar ego dan tidak langsung tunduk mahu meminta maaf dariku, bahkan mencabar aku membunuhnya demi melunaskan dendamku.”

 

“Engkau pernah bertemunya sebelum ini?”

 

“Ketika dendamku masih membara. Ketika dia masih menjadi perompak di Furukawa. Tidak kusangka permainan Tuhan membawaku  kembali bertemunya di sini, di saat ini.”

 

“Namun aku kagum denganmu, Ryouji. Engkau lelaki teraneh pernah kutemui.” Goryuuin ketawa kecil. Tidak, jika aku menemuimu dahulu Ryouji di kehidupan yang lain, mungkin aku sudah mencintaimu dahulu.

 

“Mengapa pula aneh? Hisamiko juga kerap mengatakan aku begitu.”

 

“Bagaimana engkau mampu memaafkan seorang yang telah membunuh bapamu? Aku masih tidak faham.”

 

Dan bagaimana kata-katamu terhadap seorang pelaku onar di rumah perlindungan kita di bawah Kogen itu, menggerakkan hati mereka sendiri untuk mengakui kesalahannya bahkan mereka sendiri melakukan seppuku dengan rela hati, seperti yang dikisahkan Ayame kepadaku. Aku benar-benar tidak faham engkau, Ryouji. Tidak, bukan aku seorang. Nariko pun. Ayame pun.

 

“Jika aku tidak memaafkannya, apakah aku boleh menghidupkan bapaku kembali?”

 

Goryuuin merenung wajah Ryouji menanti penerangan lanjutnya. Jelas wanita ini bingung.

 

“Goryuuin-san, aku percaya, manusia boleh berubah jika mereka memilih untuk berubah dan diberi peluang untuk berubah. Sebagaimana Sonzaemon berubah menjadi raksasa selepas kehilanganmu, tidak mustahil dia akan memilih untuk berubah jika diberi peluang bertemumu sekali lagi, di mana ia menjadi kenyataan sekarang.”

 

“Aku melihat sebahagian mereka yang memilih untuk tidak berubah. Mereka bukan tidak mahu, hati mereka sakit. Jiwa mereka sakit. Mereka tidak berupaya. Sepertinya mereka berputus asa dengan dunia. Mereka menyalahkan dunia. Aku fikir aku temui penyebabnya. Mereka semua berseorangan. Kala ditimpa musibah, mereka tiada pembimbing. Mereka tiada rakan pendengar. Kala itulah, mereka mula menyalahkan dunia.”

 

Seperti Kobato, yang menghukum dan membenci dunia ini, dan menyandarkan kebenciannya pada nyawa Takasaki. Seperti Hamada yang juga membenci dunia ini, yang membunuh sewenang-wenangnya untuk menghukum dunia. Namun dalam kes Hamada, dia telah jauh terpesong. Dia seperti satu versi Kobato, namun diberi peluang melakukan onar sewenang-wenangnya dengan kekuatan yang dimiliki. Jiwa insan begitu telah jauh pincang. Memperbetulkannya hampir mustahil. Mereka mengisi kekosongan dengan onar-onar mereka. Beruntung engkau Kobato, dihantar pergi sebelum engkau menjadi seperti Hamada.

 

Aku dan Sonzaemon sungguh bernasib baik. Kala aku ditimpa musibah, Hisamiko di sisiku. Juga Takasaki, dan rakan-rakan di rumah perlindungan. Sonzaemon pula, akhirnya bertemu kembali cinta hatinya. Semua ini, membezakan kami dengan mereka yang malang itu, Kobato, dan Hamada. Sungguh kami beruntung.

 

“Engkau tahu, Ryouji. Betapa kemaafanmu itu menenangkan Sonzaemon. Aku sedih atas pemergiannya, namun aku gembira pemergiannya itu ditenangkan oleh kemaafanmu. Terima kasih Ryouji, hontou ni.”

 

Goryuuin tersenyum memandang Ryouji, air matanya berlinangan. Aku tidak pernah melihat Goryuuin tersenyum dan menangis dalam masa yang sama. Senyumannya manis. Orangnya sungguh cantik, dengan matanya yang runcing ke dalam dan membentuk segaris lengkungan ke tepi tatkala dia memejam sedikit matanya ketika menangis. Cantik, bertuah engkau Sonzaemon dicintai gadis begini. Aku terpana seketika.

 

Doumo...”

 

Ryouji tertidur di atas tanah sehingga pagi. Jurus kedua memakan banyak tenaga dan mereka perlu berehat lama sebelum kembali meneruskan perjalanan esoknya. Hisamiko sudah lama berdengkur di sisi Ryouji.

 

“Goryuuin-san, semoga engkau berjaya. Sayonara.”

 

Sayonara, Ryouji, Hisamiko. Semoga kalian bahagia selalu.”

 

“Engkau pun.”

 

Goryuuin meninggalkan mereka tanpa menoleh lagi ke belakang, dengan menunggang kudanya.

 

Semoga engkau berjaya menemukan Hisamine-mu!

 

Setelah Goryuuin hilang dari pandangan mereka, Hisamiko menarik yukata abangnya.

 

Onii-san, sumpahmu telah terangkat. Apakah engkau mahu kembali kepada nee-chan?”

 

“Entahlah, Hisamiko. Aku tidak pernah berasa sebegini hidup. Aku mahu melupakan kenangan pahit itu sejenak. Chisato mungkin sudah bertemu cinta barunya. Aku tidak akan berundur kembali kepadanya setelah memilih jalan ini.”

 

Meskipun hatiku perit terpaksa melepaskannya. Namun itu semua sudah berlalu. Aku telah memilih jalan ini.

 

Ketika itu, aku fikir aku tidak akan hidup lagi. Namun tidak sekali-kali kusangka, aku salah seorang dari mereka yang beruntung, ditimpa sumpahan itu namun berjaya melepasinya. Aku mahu memulakan hidup yang baru. Cinta yang lalu bersama Chisato, biarlah berlalu menjadi kenangan terindah dalam hidupku. Aku yang mengambil jalan ini. Aku tidak mahu mengelirukannya lagi.

 

“Sedang aku mahu menikmati hidup ini sepuasnya.” Ryouji tersenyum memandang adiknya, sedang memegang kepalanya, menepuknya lembut.

 

Hisamiko turut tersenyum. Namun kulihat senyumannya itu telah pudar sedikit serinya. Hisamiko bukan lagi anak-anak. Senyumannya menyerlahkan sebuah kematangan, kedewasaan, jauh melangkaui umurnya yang baru menginjak lima belas tahun. Senyuman itu mengandung seribu satu cerita, seribu satu keperitan yang tidak tertanggung. Otou-san, okaa-san, Tsuneki, Takasaki, Mariko, Azusa dan Saki... luka di hati yang dihiris oleh kematian mereka belum benar-benar kering.

 

Aku tekad, meski sepicis mana sekalipun senyuman yang masih mampu Hisamiko ukirkan di bibirnya, aku akan pertahankannya. Aku akan bahagiakannya. Dan sepertimana terlerainya sumpahan hayabusa ke atasku pada hari ini, aku yakin akan harapan bahawa ramalan Amaguri ke atasnya akan turut terlerai suatu hari nanti.

 

Pasti!

 

*****Tamat****

TAMAT

BUKU 1: HAYABUSA

ARKA 2: KOGEN


SETERUSNYA

BUKU 2: YORU-NO-KAZE (BAYU MALAM)

ARKA 1: KIKU




Novel: Kaisenjyo (Bab 107)

Hamada sedang berdiri di balik dinding di tingkat tertinggi sebuah menara tenshu dalam kubu persembunyiannya. Di sisinya Momota, salah seorang pengikutnya yang masih setia. Momota sedang memerhati kehadiran Ryouji dan lainnya menggunakan teropong.

 

“Seorang dari mereka telah dipanah kita.” Ujar Momota.

 

“Bagus Kurosawa mencadangkan agar kita berpecah dengan satu pasukan memerhati dari bukit itu. Tidak sia-sia mereka dilatih di Yokuma.”

 

“Namun Hamada-sama, engkau yakin mereka akan ditewaskan sebelum tiba ke parit itu?”

 

“Harapnya begitulah. Selagi mana budak perempuan itu ditewaskan, bersama abangnya. Yang lainnya hanyalah picisan. Jika pasukan kita mampu membunuh dua ekor anak Miura itu, maka yang lain terlalu mudah ditewaskan.”

 

“Momota, bagaimana? Engkau tahu lokasi anak-anak Miura itu?”

 

“Tadi aku nampak mereka..sebentar.” Momota mengalih-alihkan teropongnya. Dia mulai gusar.

 

Sial. Di manakah mereka? Aku hanya berjaya mengesan pasukan Kogen.

 

Sementara itu di lokasi pasukan Kogen...

 

Ryouji dan Hisamiko berkuda merentas hutan hinoki menuju ke arah bukit punca panah yang menyasar ke arah mereka, dan mereka berjarak dalam dua puluh langkah antara satu sama lain. Sementara sepuluh pasukan Kogen yang lain yang dipimpin Mizuhito sedang berkuda menghala ke arah parit yang mengelilingi kubu Hamada.

 

Ryouji berkuda mengikut denai yang dilindungi kanopi hutan. Itu yang dipesan Mizuhito sebelum mereka berpecah. Dia harus meredah laluan berkanopi demi mengelak dari dikesan pemanah Hamada, dan pada masa yang sama, memastikan Hisamiko tidak terpisah terus darinya. Dia dibantu Azuchi yang senantiasa memerhati dari atas jika mereka terpesong jauh dari satu sama lain.

 

Kami terpaksa berpecah begini. Aku yakin Hisamiko mampu mengelak panah yang menyasar ke arah kami. Dia akan mengalih perhatian pemanah Hamada di atas bukit. Kebolehannya mengesan besi dan mendengar amaran dari Azuchi adalah nilai tambahnya. Sementara aku akan menyusup dan menyerang hendap para pemanah Hamada dari belakang mereka.

 

**

 

Di atas bukit...

 

“Kurosawa, mereka berpecah!” Seorang pemerhati menggunakan teropong memaklumkan kepada ketuanya.

 

“Kepada berapa bahagian?”

 

“Tiga. Aku hanya menumpu pada budak perempuan itu.”

 

“Bagus, teruskan tumpu pada budak perempuan itu.”

 

Kurosawa beralih kepada salah seorang pemanahnya. “Kikuchi!”

 

“Ya Kurosawa-san.”

 

“Berkawal di belakang kami. Aku yakin kita akan diserang hendap abang kepada budak perempuan itu. Dia bukan calang-calang petarung. Bersedia memanah dia.”

 

Kurosawa beralih kepada seorang lagi pasukan pemanahnya seraya berteriak, “Suzuhara!”

 

Seorang pemanah yang sedang duduk bersedia menanti arahan memanah sasaran mereka, bangkit dan mengadap Kurosawa.

 

“Engkau perlu membantu Kikuchi sekiranya budak itu berjaya mengelak panahnya. Bersedia berpedang dengannya.”

 

“Dengan Okuhida Ryouji?”

 

“Yalah, dengan siapa lagi? Mengapa engkau bertanya, Suzuhara?”

 

E...to... tidak ada apa-apa. Baiklah, Kurosawa-san!” Pantas Suzuhara menyahut arahan Kurosawa dari . Bimbang dilihat pengecut, mungkin. Dia tahu dia bukan setanding anak pencipta kaminari itu. Mungkin dia harus mencuba, demi membuktikan kesanggupannya mempertaruhkan nyawa demi tuan besar mereka Hamada.

 

Sebaik seorang pemanah menarik panahnya, pantas Ryouji menyusup dan menetak belakang tengkuk pemanah itu dengan Saishi-tou. Dia pengsan serta-merta.

 

Suzuhara dan Kikuchi terperanjat bukan kepalang. Ryouji terlalu pantas, mereka tidak langsung menyedari kehadirannya.

 

Mampukah aku menewaskannya? Mampukah? Soal Suzuhara dalam hati. Dia sudah mengeluarkan bilahnya.

 

“Pemuda, jika engkau mahu menewaskanku, lupakan hasrat kalian.”

 

“Engkau begitu angkuh, Okuhida Ryouji. Usah terlalu yakin dengan kebolehanmu. Engkau masih hidup sehinggga ke saat ini kerana keturunanmu. Jika bukan kerana itu maka usah berangan engkau mampu menewaskan kami!”

 

Suzuhara pantas melonjak ke jurus lapan kaminari. Ryouji tidak mahu memanjangkan pertarungan, Azuchi tiba terbang di atasnya dan dia meningkat ke jurus kesembilan.

 

Kikuchi cuba memanah burung itu, namun kepantasannya menyukarkan Kikuchi menetapkan sasaran panahnya.

 

Ryouji menumpaskan kesemua pemanah-pemanah Hamada di situ, berkat bantuan Azuchi dan kekuatan berganda hasil dari empat persepuluh kuasa hayabusa wasiat Tsuneki. Kini tibalah giliran ketua mereka Kurosawa bersemuka dengannya.

 

“Seperti kuduga, anak Miura.”

 

“Tuan, hentikan pertarungan sia-sia ini. Aku tidak akan mengapa-apakanmu. Hamada patut ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan sejak dahulu lagi. Mengapa engkau masih memilih untuk membela syaitan itu?”

 

Kurosawa ketawa mendengarkan cacian Ryouji terhadap Hamada tuan pondannya itu.

 

“Syaitan kau kata? Okuhida Ryouji, tahukah engkau syaitan di matamu itu adalah orang yang kami sanjungi? Yang menyelamatkan kami dari pemiutang-pemiutang Belanda? Yang memberi bantuan ubat dan makanan ketikamana keluarga kami ditimpa musibah? Di mana Kogen yang engkau banggakan itu jika benar ia pembela rakyat?”

 

“Kami tidak membunuh dan memangsakan orang lain seperti Hamada.”

 

“Benarkah begitu? Aku dengar kalian menodai anak-anak di rumah perlindungan kalian? Kekejian apakah itu Ryouji? Kekejian itukah yang engkau sanjungi dan bela di bawah nama Kogen itu?”

 

“Aku akui memang kami melakukan kesilapan. Namun harus engkau ketahui Hamada juga punya peranan menghancurkan kami dari dalam dengan candu dan bahan bacaan tidak senonoh. Dan seperkara lagi, pemiutang-pemiutang Belanda itu adalah sekongkol Hamada, diketuai akahana. Mereka memperalat kalian.”

 

“Jadi semua kepincangan yang kalian lalui itu salah Hamada?”

 

“Tidak semua. Kami juga cuai dan lemah. Namun apa yang ingin aku fahamkan engkau, kita semua masing-masing punya pihak yang perlu dibela. Kami perlu menghentikan Hamada. Usah risau, kami tidak akan membunuhnya. Kami akan menangkap dan membicarakannya.”

 

“Membicarakan Hamada? Ryouji, lawak apakah itu? Dengan hakim dari boneka kalian, bagaimana mungkin Hamada memenanginya?”

 

“Dia dibenarkan membela dirinya, kalian dibenarkan menjadi saksi. Bawa sekali orang-orangmu dan buktimu. Hakimnya bukan boneka Kogen, tuan. Hakimnya ialah wakil Maharaja. Dia tidak akan menyebelahi sesiapapun.”

 

“Tidak, Okuhida-san. Aku tidak mempercayai kalian. Hamada tidak bersalah. Dia membawa keluar keluargaku dari belenggu hutang. Aku akan membelanya dengan darahku!”

 

Ryouji pantas menetak mata urat di bawah ketiak Kurosawa tatkala mengesan dia mengangkat pedangnya. Kurosawa kaku bersama dengan pengikutnya yang semuanya sedang pengsan.

 

Ryouji berdiri pegun. Kata-kata Kurosawa tadi mencucuk-cucuk benaknya. Dia meronta-ronta dalam hati, cuba mempertahankan benteng pegangan yang kian menampakkan rekahan demi rekahan. Apakah yang syaitan itu telah lakukan sehingga orang-orangnya benar-benar setia dengannya? Meskipun kesamuraian telah dimansuhkan, pengikut-pengikutnya masih setia dengannnya. Apa rahsia lelaki itu? Sihirkah? Hutang budi?

 

Tidak, tidak Ryouji! Jangan engkau mudah digoyahkan dengan kata-kata mereka. Sepertimana Masami yang cuba memperalatmu dengan menuduh Shirasaka menahan harta wasiat bapamu. Lihat apa yang orang-orang Hamada telah lakukan di Narai-juku. Lihat mangsa Saitou di kuil Furukawa. Mangsa-mangsa itu, mereka orang-orang awam yang tidak berdosa! Hamada mesti ditangkap. Kepentingan awam harus diutamakan, lebih dari kepentingan beberapa orang pengikut Hamada!

 

Ryouji turun berkuda dari bukit, diiringi Azuchi di atas. Dia harus berkuda mengikut Azuchi yang akan membawanya ke lokasi Hisamiko.

 

Punca kepada ramai dari kalangan petarung Kogen yang tewas di parit yang mengelilingi kubu Hamada ialah senjata api. Pemerhati Hamada di tembok kubu dilengkapi teropong dan senjata api, yang dibekalkan akahana dan sekongkol Belandanya. Semua sepuluh pengikut Mizuhito gugur. Mizuhito sudah nyawa-nyawa ikan.

 

“Okuhida-san... teruskan tanpaku.” Mizuhito menutup matanya.

 

Malang buat pasukan Mizuhito. Mereka ialah salah sebuah dari beberapa pasukan terbaik yang disusun Kogen yang mahir kaminari jurus kelapan sekurang-kurangnya. Mereka dilatih bertahun-tahun. Hanya pada hari ini mereka dihantar ke sini selepas misi-misi Kogen menembus kubu ini menggunakan petarung jurus-jurus rendah gagal. Semoga roh mereka tenang di sana!

 

Ryouji dan Hisamiko menyusup merentas sebuah jambatan yang merentangi parit lebar itu, penuh waspada. Semua pengawal di jambatan itu telah ditumpaskan pasukan Mizuhito. Ia pencapaian terbaik Kogen setakat ini dalam menembusi kubu tersebut. Ternyata senjata api yang digunakan pasukan Hamada lebih pantas pelurunya, barangkali ditambahbaik. Mereka yang mahir jurus kelapan sekalipun masih belum tentu dapat mengelaknya, apatah lagi yang hanya mahir jurus lebih rendah yang dihantar Kogen sebelum mereka.

 

Hisamiko pantas melibas Saishi-tounya, menangkis peluru demi peluru, menggunakan kemampuan mengesan besi, dan kekuatan baru hasil wasiat kuasa Tsuneki.

 

“Ayuh Hisamiko!” Ryouji memanjat tangga menuju ke atas tembok, diikuti Hisamiko.

 

Azuchi terbang dan sekali sekala mengelak peluru. Kelajuan penerbangannya dipacu genetik pembakaan terpilih Hamada pada jasad yang ditempatinya.

 

Mereka berdua akhirnya berjaya menembusi kubu Hamada, menumpaskan seorang demi seorang pengawal di situ, pantas seperti angin menderu. Ada yang mati dan ada pula yang pengsan. Ryouji dan Hisamiko terpaksa membunuh sebahagian dari mereka kerana tiada pilihan lain lagi.

 

Momota mulai gugup.

 

“Hamada-sama, aku tidak mampu mengesan mereka... .Maaf, aku mahu membuang air. Izinkan aku keluar sebentar...”

 

“Momota, engkau telah lama berkhidmat denganku...” Hamada meneliti riak wajah Momota.

 

“Hamada-sama...aku...” Melihatkan renungan tajam Hamada, Momota tidak mampu menyembunyikan apa yang terbuku di hatinya.

 

Momota lantas meluahkannya, “Aku tidak sanggup melihat engkau dibunuh mereka.” Sepantas itu Momota menikam lehernya sendiri. Dia rebah.

 

Hamada memangku jasad Momota yang sudah kaku, darah membasahi lantai tingkat tertinggi tenshu itu. Dia cepat-cepat mengalihkan jasad Momota ke bilik lain dan menguncinya. Kesan darah dibersihkan dengan kain sepantas mungkin.

 

Hamada cuba menyembunyikan sebak di dada. Dia duduk, menenangkan diri di tepi meja teh. Dia menuangkan teh hijau yang masih panas sedari tadi, menghirupnya sedikit demi sedikit. Hari masih cerah, meskipun dingin musim luruh menerpa dari jendela tenshu.

 

Hukuman ke atasku semakin menghampiri. Apakah aku harus menyerah diri sekarang? Aku masih belum puas. Aku masih belum puas!

 

**

 

“Hamada!”

 

Pintu gelangsar itu ditendang. Ryouji memunculkan dirinya, dengan Hisamiko di sisi.

 

Buat pertama kalinya, mereka berdua bersemuka. Pada hari yang bersejarah ini, selepas hampir sejam Ryouji dan Hisamiko bertungkus-lumus menumpaskan pengawal-pengawal di luar. Berkat latihan bertahun-tahun, pergerakan kaminari-no-kaze mereka bersih dan licin, tanpa mampu disentuh sedikitpun oleh musuh-musuhnya. Seperti angin yang menderu, mereka menyusup masuk ke dalam menara tenshu itu sambil menumpaskan pengawal-pengawal kubu Hamada tersebut. Sebahagian dari mereka terpaksa dibunuh. Bukan atas dendam, tetapi demi melaksanakan arahan Kogen, dan membawa Hamada ke muka pengadilan.

 

Dan Ryouji kini berdiri, bersemuka benar-benar dengan Hamada, si bangsat yang hanya selama ini didengari namanya. Hisamiko di belakangnya memata-matai keadaan.

 

“Ryouji, mari duduk, kita minum dahulu.” Hamada menuangkan teh hijau ke dalam dua cawan yang tersedia di atas meja di hadapannya. Dia kemudian duduk bersila dan mengambil secawan dan menghirup teh hijau itu.

 

Ryouji duduk. Hisamiko keluar memerhati sekiranya ada penyerang hendap.

 

“Hamada, aku mahukan penjelasan.”

 

“Engkau pun sudah tahu, bukan? Kegiatan bapamu di belakangku sewaktu dia menjadi samuraiku?”

 

“Aku tahu. Dia membelotmu demi membersihkan kemusnahan yang telah engkau lakukan, terhadap bangsamu sendiri.”

 

“Mengapa Hamada? Naze da? Penjaga kuil di Furukawa, semua penduduk kampung Onuma di Yozehama termasuk bapa Tsuneki, petani-petani di Shinagawa yang dibakar rumahnya termasuk ibu bapa Kobato, Hatsuki dan Natsuki, dan bapa Chisato, dan anak-anak gadis yang dijual sebagai karayuki... . Engkau bertanggungjawab ke atas nyawa dan maruah mereka, Hamada.”

 

“Itu cuma sebahagian dari dosa-dosaku, Ryouji. SEBAHAGIAN sahaja.” Hamada berkata angkuh, sambil menghirup teh hijau lagi. “Jika aku himpunkan kesemua catitan dosa-dosaku menjadi perpustakaan, tidak muat seluruh Jepun ini menempatkannya.” Hamada ketawa terbahak-bahak, lagaknya seperti dewa yang menguasai seluruh alam.

 

Ryouji menahan geram mendengar kata-kata penuh keangkuhan itu. Mahu sahaja dia memancung kepala Hamada itu sekarang juga, sewaktu dia enak menghirup teh itu. Namun dia bertahan. Cuba mengawal derauan darah di ubun-ubunnya sedang mukanya merah dan urat-urat di dahinya timbul. Sakit di lengan kanannya semakin menekan, menambah sengsara di jiwa. Tanda hitam itu sudah pekat dan tangan kanannya kini semakin lemah. Dia hanya bergantung harap dengan tangan kirinya ketika bertarung, dan Hisamiko selaku pembantunya. Dengan latihan berbulan selama berkelana di Narai-juku, dia semakin mahir menggunakan tangan kirinya ketika bertarung.

 

“Hamada, engkau tidak menyesalkah dengan segala apa yang telah kau lakukan?”

 

“Untuk apa Ryouji? Untuk apa aku menyesali semua ini? Nasi telah menjadi bubur. Dan segala apa yang telah aku lakukan, tiada siapa yang menghalangku. Aku berkuasa di sini, dan orang-orangku berada di telunjukku. Aku gembira, aku terhibur! Hidupku diisi dengan hiburan setiap kali pengkhianatku dibunuh, aku teruja. Setiap kali petani-petani yang ingkar itu kumusnahkan hidup mereka. Dan setiap kali aku mengaut laba besar dari menjual anak-anak gadis. Dan aku tidak pernah puas dan mahu keterujaan ini berterusan. Lebih lagi. Aku mahu lebih. Sehingga seluruh dunia ini jatuh ke tanganku pun.”

 

Yamerou! (Hentikan!)” Ryouji membentak seraya mengacu pedang yang tidak bermata itu ke leher Hamada. Giginya berlaga. Matanya tepat memandang Hamada. Hamada sedikit terkejut namun tidak sedikitpun gentar terlukis di wajahnya.

 

“Bunuhlah aku, Ryouji. Ya, akulah yang membunuh bapamu. Yang berpakat dengan petani bernama Sonzaemon itu mengupah penyumpit fukiya.”

 

Ryouji sedikit terkejut. Benarlah telahan Takasaki yang Hamada sememangnya menggunakan taktik kotor begitu untuk membunuh bapanya.

 

Ryouji memejam mata, cuba membendung amarah di dada. Perlahan-lahan dia menarik pedangnya, dan memasukkan kembali ke dalam sarung.

 

“Hamada, aku tidak akan membunuhmu. Aku hanya mahu engkau meminta maaf dariku jika engkau benar membunuh otou-san. Dan meminta maaf kepada rakan-rakanku dan semua mangsa-mangsamu.”

 

Ryouji menunggu, masih duduk bersila. Dia mahu Hamada meminta maaf darinya.

 

Hamada ketawa sekali lagi. “Aku? Meminta maaf dari anak samurai murahan itu?” Panjang tawanya sambil menampar meja. Ryouji menahan telinga mendengar tawa yang menyakitkan itu. Sebuah penghinaan yang tidak mudah dimaafkan.

 

Ryouji terbayang wajah Miura. Orang tuanya itu telah mengabdikan sebahagian besar masa mudanya kepada Hamada, dan kemudian nyawanya diambil selepas tidak lagi diperlukan. Otou-san, maafkan aku. Aku tidak mampu membunuh Hamada. Aku tidak mahu menjadi seperti mereka. Maafkan aku, otou-san! Air matanya berguguran.

 

Aku tidak tahu bagaimana untuk mengubahnya. Hamada tidak boleh diubah semudah itu. Dia telah bertahun melakukan pembunuhan. Hatinya telah keras seperti batu.

 

“Hamada. Jika engkau masih memiliki harga diri, lakukanlah seppuku.”

 

“Ryouji, jika tiada apa-apa lagi yang ingin engkau perkatakan, nyah sekarang. Biarkan aku dengan hidupku.”

 

Ryouji mengangkat mukanya, dengan wajahnya merah berapi dan air matanya mengalir memandang Hamada, penuh kebencian, sambil berkata “Engkau dilarang keluar dari tenshu ini. Jika engkau keluar, aku akan membunuhmu serta-merta! Kecuali, jika engkau mengakui segala kesalahanmu dan meminta maaf dari semua mangsa-mangsamu, dan berjanji untuk tidak lagi meneruskan aktiviti jenayahmu. Jika engkau melakukannya, aku akan merakamkan permohonan maafmu kepada Kogen dan meminta Maharaja meringankan hukuman ke atasmu.”

 

Hamada ketawa lagi, tanpa mempedulikan kata-kata Ryouji. Ryouji pantas menoleh dan keluar, dia tidak mampu memandang wajah jijik itu lagi.

 

Ketika Ryouji sampai di muka pintu, Hamada senyap-senyap mengambil fukiya beracun di bawah meja, seraya pantas menyumpit ke belakang Ryouji. Namun fukiya itu sempat ditangkap Ryouji tanpa menoleh sedikitpun, dan selamba membuangnya ke tepi.

 

Geram, Hamada mengambil pula pisau dari kumpulan pisau di dalam pasu di atas para di belakangnya dan membalingnya ke arah Ryouji. Ryouji mengelak tanpa menoleh sedikitpun. Namun, pisau-pisau yang ditarik gelojoh itu jatuh berantakan di atas tubuh Hamada, menghiris lehernya dan pasu yang berat itu jatuh di atas kepalanya. Dia mati serta-merta.

 

Ryouji menoleh setelah terdengar bunyi pasu tersebut jatuh dan pecah. Dia melihat Hamada sudah tidak sedarkan diri. Dia berpatah balik dan memeriksa nadinya. Tiada denyutan. Dia memeriksa nafasnya. Kaku. Mata Hamada terbeliak. Ryouji menutupnya dan mengalihkan pasu itu, dan menyusun jasad itu dalam keadaan duduk bersandar di tepi para.

 

“Berehatlah Hamada. Engkau telah lama sakit. Sakitmu membahayakan rakyat negara ini. Engkau sepatutnya dikurung di dalam tenshuu ini agar tidak melakukan lebih kerosakan.” Dia mengemaskan kimono yang dipakai Hamada.

 

“Aku berdoa semoga kami mengampunimu.” Ryouji berkata sebelum dia meninggalkan jasad Hamada.

 

Ryouji meneruskan perjalanan keluar dituruti Hisamiko.

 

Onii-san, aku benar-benar tidak menyangka nyawanya dicabut sebegitu rupa. Dia menyerangmu berkali-kali.”

 

“Serangannya itu memakan diri. Aturan kami. Dia telah melakukan pelbagai onar. Mungkin itulah balasan yang setimpal di atas segala perlakuan onarnya.”

 

Ryouji mengangkat tangan kanannya. Dia berasa sesuatu yang tidak kena. Kesakitan yang ditanggungnya pada tangan tersebut hilang. Tanda hitam itu juga hilang. Dia tidak mempercayainya lantas menyuruh Hisamiko mencubit pipinya dan dia menggenggam buka dan tutup tangan kanannya itu. Normal! Seperti tidak pernah berlaku langsung sumpah hayabusa itu. Ryouji berasa seolah-olah langit mendung di atasnya kembali cerah.

 

Dia terlalu gembira, tidak terkata. Telah lama dia tidak merasa tangannya sebegitu kuat dan sihat.

 

“Miko, sumpah itu telah terangkat. Aku telah bebas, aku telah bebas Hisamiko!” Jerit Ryouji sambil menunjukkan tangannya.

 

Hisamiko hanya mampu mengalirkan air mata, kegembiraan. Dia memeluk Ryouji.

 

Dalam gembira itu, Ryouji masih hairan bagaimana sumpah tersebut terangkat. Ia sebuah misteri. Mungkin aku akan rungkaikan suatu hari nanti, fikirnya.

 

Mereka berdua cepat-cepat melarikan diri bimbang disedari pengawal-pengawal yang pengsan di sepanjang laluan mereka. Melarikan diri, sejauh mungkin, jauh dari Kogen. Mungkin ke pulau Kyushu, mungkin ke Shikoku.

 

Atau ke pulau misteri yang belum pernah dikunjungi manusia.

Novel: Kaisenjyo (Bab 106)

Apa dia buat di situ lagi? Gerutu Ryouji, melihat Suzuki sedang melutut merenung Tsuneki, riak wajahnya seperti orang kurang siuman. Penuh terkilan, penuh penyesalan. Kesilapannya tidak menghentikan serangan telah membunuh Tsuneki. Mata Suzuki membulat, asyik merenung Tsuneki yang sudah kaku dan sejuk.

Jangan, jangan Ryouji! Aku perlu menahan diriku. Ini ujian. Ini ujian sumpahan hayabusa. Jika aku menyerah diri pada perasaan dendamku dan membunuh Suzuki, maka sumpahan itu akan terus-menerus menguasai jasadku. Aku perlu menahan diri. Sabar, sabar Ryouji!

Hisamiko berhenti menangis, dan perlahan-lahan meletakkan jasad Tsuneki ke atas lantai hutan hinoki itu. Ryouji menyedarinya, dan memerhati penuh tumpuan akan perlakuan Hisamiko.

Hisamiko melutut, wajahnya tunduk untuk beberapa ketika.

Kemudian dia perlahan-lahan mengangkat wajahnya, memeranjatkan Ryouji.

Tidak pernah Ryouji melihat wajah comel adiknya berubah begitu. Dahinya berkerut seribu, matanya merah, mulutnya yang kecil separa ternganga menampaknya gigi-giginya. Hisamiko merenung Suzuki yang masih melutut memandang Tsuneki yang terbaring di atas tanah. Dia kesakitan jiwa dan raga. Hatinya bagai dihiris sembilu. Tangannya yang kecil perlahan-perlahan merayap mencari hulu pedang Saishi-tou-nya.

Saat itu Ryouji pantas menghalang Hisamiko dengan memeluknya. Hisamiko meronta-ronta seperti dirasuk. Ryouji dapat merasakan Hisamiko lebih kuat dari selalunya, pabila dia terpaksa mengerahkan lebih kudrat memerangkap Hisamiko dari menyerang Suzuki. Barangkali hasil pemindahan kuasa Tsuneki kepada mereka.

“Hisamiko..sabar... aku faham deritamu. Sabar Hisamiko.”

Hisamiko kembali menangis dalam pelukan Ryouji. Ryouji membelai rambutnya cuba menyejukkan api kemarahan Hisamiko.

Aku perlu memberkas lelaki ini kerana dia telah membunuh Tsuneki.

Namun tidak semena-mena kepala Suzuki terputus dari badannya. Dia dipancung dari belakang sedang masih dalam melutut merenung jasad Tsuneki. Ryouji terperanjat bukan kepalang. Siapa yang membunuhnya?

Seorang lelaki berdiri di sebelah jasad Suzuki yang tanpa kepala itu, memegang pedang yang masih dibasahi darah.

Bedebuk! Begitulah bunyi jatuhnya jasad Suzuki yang tanpa kepala itu ke lantai hutan hinoki.

“Konoe...” Ujar seorang lelaki di sebelah lelaki yang memancung Suzuki, baru tiba dengan kudanya.

“Nampak kepala Suzuki yang bergolek itu? Sekarang aku adalah ketua kalian. Sesiapa yang tidak bersetuju, tinggalkan pergunungan Yokuma sekarang!”

Bercempera lari mereka yang tidak sebulu dengan lelaki bernama Konoe itu sebaik mendengar amarannya. Kemudian Konoe mengarah lelaki yang menegurnya tadi.

“Matsuzaka, kumpul semua para ronin penjaga pergunungan Yokuma yang masih berbaki. Kita akan menangkap Hamada. Aku pasti dia sedang bersiap sedia melarikan diri dari Kawamoto. Aku akan menyerahkan dia kepada Maharaja.”

“Baiklah.” Balas Matsuzaka, tunduk patuh dan beredar.

Konoe beralih kepada Ryouji dan Hisamiko.

“Kalian, aku tidak berminat dengan kalian. Itu Tsuneki pewaris Higashihara bukan?” Dia menuding dengan pedangnya ke arah jasad Tsuneki.

Ryouji mengangguk.

“Uruskan mayatnya. Kebumikan di mana-mana. Kemudian keluarlah kalian dari pergunungan ini, usah datang ke sini lagi. Sekali lagi aku bertemu kalian di sini, kalian akan menerima nasib sama seperti lelaki ini.”

Ryouji mengangguk lagi. Dia mengendong mayat Tsuneki. Hisamiko menurutinya, masih sugul. Mereka berkuda keluar dari situ.

**

 

Onii-san...” Tutur Hisamiko perlahan, matanya merenung kubur Tsuneki yang dicacakkan panah dan busurnya.

 

“Miko...”

 

“Mengapa kita melalui semua ini Onii-san...”

 

Otou-san mati dibunuh, penjaga kuil Furukawa itu, Takasaki-san, Saki dan Azusa nee-chan...Chisato nee-chan dan Nariko nee-chan dianiaya begitu...kemudian Tsuneki... apa salah kita semua? Mengapa kita perlu menderita begini?”

 

“Miko...”

 

“Apakah kita tidak punya hak untuk hidup gembira di dunia ini?” Hisamiko menoleh memandang abangnya di sebelah, wajahnya sayu.

 

Ryouji tidak mampu menjawabnya. Ia di luar pengetahuannya.

 

“Miko, percayai aku. Kita akan menumpaskan Hamada. Dia kini sudah pun dihilangkan kuasanya. Aku yakin selepas dia ditangkap, penderitaan kita semua akan tamat di sini.”

 

“Dan bagaimana dengan mereka yang sudah pergi? Aku...aku belum sempat menghabiskan masa dengan Tsuneki. Mengapa dia pergi terlalu awal begini?” Air mata Hisamiko meleleh lagi menuruni pipi.

 

“Hisamiko...” Ryouji memeluk adiknya. “Tsuneki tidak hilang dari kita. Dia hidup, namun di sini.” Dia menekan-nekan lembut pelipis Hisamiko. “Memori dengannya meskipun sedikit, adalah tanda kehidupannya bersama kita.”

 

Mereka berkelana meninggalkan Yokuma, dengan Hisamiko membonceng kuda Ryouji, merentas Nakasendo. Dalam perjalanan itu Hisamiko tidak henti-henti mengalirkan air mata sehingga lencun belakang yukata Ryouji. Dia tertidur keletihan sebaik mereka berhenti di sebuah shukuba, sehingga Ryouji terpaksa mengendongnya turun.

 

Sejak hari itu mereka bermalam di shukuba demi shukuba, mandi di onsen demi onsen, hidup berpindah randah dari rumah tumpangan ke rumah tumpangan. Mereka tiada tempat kembali, rumah di kampung mereka pun sudah dimiliki orang lain. Selain itu, Ryouji mahu menenangkan Hisamiko yang berubah sasau sejak pemergian Tsuneki.

 

Ryouji punya dana besar peninggalan bapanya yang telah dipulangkan kepadanya kembali oleh keluarga Shirasaka selepas dia meninggalkan Kogen. Setiap kali dia mahu menginap di onsen atau makan di mana-mana shukuba di sepanjang Nakasendo, dia hanya perlu menunjukkan sejenis kupon kayu, dan bank-bank di situ akan mengeluarkan wangnya. Dana peninggalan Miura yang banyak membolehkan Ryouji dan adiknya hidup tanpa bekerja untuk beberapa tahun.

 

Mereka berdua berkelana selama tiga bulan merantau tanpa hala tuju dari shukuba ke shukuba memerhati pelbagai ragam manusia dan mempelajari banyak perkara dari para pedagang tempatan dan asing, terutama pedagang Belanda dan Inggeris yang semakin ramai melalui lebuh tersebut sejak Maharaja membuka pelabuhan mereka. Ryouji mahu menghabiskan masa dan meredakan perasaan Hisamiko, serta memulihkan jiwanya. Musim panas 1874 masih panjang. Cuaca cerah dan bunyi higurashi adakala mengingatkan mereka akan kampung halaman, jauh di tengah-tengah Hidagawa. Ketika kelana inilah, selepas reda sedikit kesakitan di jiwanya, Hisamiko mula minat membaca buku-buku dari Barat. Jika dahulu dia gemar membaca novel-novel cinta, kini dia mula menelaah bahan bacaan berat juga.

 

Perwatakan Hisamiko juga banyak berubah. Jika dahulu dia manja dengan Ryouji dan banyak bercakap, kini dia banyak mendiamkan diri. Ryouji menyedari perubahan itu. Adakala Ryouji mendapati ketika Hisamiko duduk berseorangan, dia termenung dan mengerutkan dahinya, mulutnya terkumat kamit seolah-olah sedang memarahi sesuatu. Nadanya berbau sesal, dia menekan-nekan suaranya, dan langsung tidak menyedari kehadiran Ryouji, sehinggalah Ryouji menyentuh bahunya. Pernah Ryouji mendengar dia berulang-ulang kali mengatakan “Aku akan membunuh pembunuh Tsuneki, tidak, aku akan membunuh semua yang membunuh orang-orang yang aku sayangi.” Sekurang-kurangnya begitulah maksudnya. Ryouji gementar mendengarkan kata-kata Hisamiko itu, namun dia tidak berputus asa. Dia yakin, Hisamiko boleh dirawat. Dia faham, amat. Keperitan demi keperitan menimpa mereka. Ia bukan sekali, bahkan berkali-kali.

 

Aku yakin Hisamiko mampu menanganinya. Aku yakin Hisamiko akan kembali ceria seperti dahulu. Asalkan aku tidak berputus asa membimbingnya. Asalkan aku di sisinya seperti ini. Hisamiko, sembuhlah engkau. Sembuhlah, sebelum aku menutup mataku buat selama-lamanya. Hiduplah di dunia ini, seperti wanita-wanita lain. Meskipun hatimu perit mengenangkan kehilangan mereka. Otou-san, okaa-san, Tsuneki, Chisato, Takasaki, Mariko... .

 

Shukuba tidak lekang dari bangunan perpustakaan. Maharaja menggalakkan pembinaan perpustakaan di serata Honshu dan kawasan tumpuan pedagang seperti shukuba dan memenuhkannya dengan buku-buku terjemahan dari Barat untuk memupuk minat membaca dalam kalangan rakyatnya. Di situlah Hisamiko kerap bertandang sejak dia sembuh dari kelukaan jiwanya. Dia kerap senyap, dan membaca di situ, diperhatikan Ryouji. Pabila dia tidak faham mana-mana kanji, Ryouji membantunya. Dalam tempoh itu, Hisamiko meningkatkan jumlah kanji dalam memorinya. Bahkan dia mulai belajar bahasa Inggeris dan Belanda.

 

Tiga bulan berlalu. Angin musim luruh 1874 kini berhembus sederhana menerobos hutan pergunungan Nakasendo, berhampiran Nagano, menerbangkan daun-daun kirmizi ke segenap penjuru alam. Bunyi higurashi beransur-ansur menghilang, dan hutan kini lebih sunyi dari biasa, hanya sekali sekala kedengaran bunyi unggas berselang seli dengan bunyi pedang polis berdenting-denting bertarung dengan perompak, yang ramai dari bekas samurai yang telah dilucutkan jawatan oleh daimyo masing-masing. Hari-hari kian dingin. Pedagang-pedagang yang singgah di shukuba-shukuba mula berpakaian tebal sedikit dari biasa. Yukata mereka dilapisi baju dalam daripada kapas. Ada yang melilit leher dengan kain kapas pelbagai corak dan rekaan. Dunia dihiasi hamparan kirmizi yang dibentuk daun-daun kering yang lama gugur. Alam semakin cepat bergelap, dan malam semakin panjang.

 

Hari ini, Ryouji mendapat surat dari Kotobuki. Terpinga-pinga dia. Dari celah mana pula Kotobuki tahu aku di sini? Kotobuki, engkau memang sesuatu!

 

Ryouji, bagaimana denganmu dan adikmu? Maafkan aku berkenaan Tsuneki. Jika bukan kerana keselamatan kalian sudah pasti aku akan melawat kuburnya. Semoga roh Tsuneki tenang di sana. Dan tahniah kalian kerana berjaya menghilangkan kuasa Hamada. Aku pasti akan memberikan ganjaran besar kepada kalian.

 

Ryouji, maafkan aku mengintipmu. Keselamatan kalian di situ terjaga. Orang-orang Kogen berada di mana-mana. Ryouji, aku maklum yang engkau menyerahkan kepada kami untuk menangkap Hamada. Namun aku tidak bersetuju. Aku tetap mahu kalian melakukannya. Kerana Ryouji, hanya engkau satu-satunya petarung yang paling kupercayai.

 

Ryouji, buat pengetahuanmu, Hamada sedang bersembunyi di sebuah kubu berhampiran Kobe. Kubu itu amat sukar ditembusi, dan telah ramai petarung-petarung kami yang mati ketika cuba menembusinya. Ia dilindungi bekas-bekas samurai Hamada yang setia dan tahu kaminari. Bahkan mereka menggunakan banyak senjata api. Barangkali dia bersekongkol dengan pedagang Belanda.

 

Ryouji, anggaplah ini permintaan terakhirku. Aku mohon bantuanmu menyusup masuk dan menumpaskan Hamada. Terpulang padamu sama ada mahu membunuh atau menangkapnya untuk dibicarakan. Bantu kami, Ryouji. Dan aku jamin, era Hamada akan berakhir. Sebagai ganjaran, aku akan menghadiahkan sebidang tanah dan rumah untukmu dan Hisamiko, di tengah-tengah Hidagawa.

 

Jika engkau bersetuju dengan permintaanku ini, pergilah kalian ke Kawamoto. Bawa surat ini. Tanya pada seseorang di sana di manakah Hamada. Di sana ramai pengintip kami. Dia akan membawamu bertemu seseorang.

 

Ryouji tidak menyedari kehadiran Hisamiko, yang pantas merentap surat itu dari tangannya. Hisamiko kemudian berlari pantas, dan membaca surat itu di tempat lain.

 

“Miko...”

 

Onii-san, aku mahu ke sana. Aku mahu menangkap Hamada.”

 

“Tidak Miko. Aku tidak bersetuju. Kita berdiam di sini. Aku akan mencari pekerjaan dan kita akan membeli rumah dan tanah sendiri.”

 

Onii-san, engkau tidak mahu tawaran Kotobuki? Ia mudah amat. Bukankah kita sudah berkuasa empat persepuluh hayabusa?”

 

Hah? Dari mana engkau tahu semua ini Hisamiko?

 

“Hisamiko...engkau...”

 

“Azuchi memberitahuku.”

 

“Bukankah dia telah mati?”

 

**

 

Ketika Hisamiko duduk berdiam di tepi kolam ikan koi di taman tepi rumah tumpangan mereka, di satu sudut terpencil, seekor burung hayabusa terbang turun dan bertenggek di atas sebatang pokok momiji, kemudian merenung Hisamiko tepat, agak lama. Hisamiko yang sedang termenung memandang ikan koi berenang-renang, perasan itu seraya menengadah ke arah lokasi burung tersebut.

 

“Siapa engkau?” Soalnya, dalam bahasa hayabusa seperti selalu digunakan dengan Azuchi. Meskipun dia tidak pasti apakah burung ini akan faham.

 

“Aku Azuchi. Engkau sudah tidak ingat akukah?” Tidak disangka-sangka, Hisamiko mendengar dan memahami tutur burung itu. Namun yang anehnya dia mengaku dia Azuchi?

 

Hisamiko memerhati tubuh Azuchi. Tiada lagi jalur putih pada bulunya. Namun ada jalur hijau pula, mencorak dari atas jemala sehingga ke atas hujung ekornya.

 

“Bohong. Engkau bukan Azuchi. Jika benar engkau Azuchi, ceritakan padaku apa yang berlaku di hutan Hidagawa tiga tahun lepas.”

 

Azuchi menceritakan penuh perinci. Ia ketikamana misi pertama Ryouji dan Shinji tahun 1871.

 

“Hisamiko, aku menempati jasad hayabusa yang baru. Cantik kan? Jalur hijau di atasnya.”

 

Aku tahu, Azuchi pernah memberitahuku. Setiap seratus tahun, Azuchi akan menjelma dalam mana-mana jasad hayabusa yang sesuai bagi mengiringi pemedang handal. Jasad seseekor hayabusa hanya mampu bertahan tidak lebih seratus tahun. Oleh itu tindakan begini amat biasa baginya. Namun kes aku istimewa. Disebabkan jasadnya yang lepas telah punah, dia terpaksa menempati jasad baru sebelum tempoh tersebut tamat.

 

“Hisamiko, aku telah memilih menempati jasad hayabusa di bawah projek pembakaan terpilih Hamada.”

 

“Deria baumu akan lebih tinggi. Engkau akan mudah terkesan dengan batu resin!”

 

“Fikirkan positif. Aku mampu menghidu musuhmu dari jarak lebih jauh.”

 

Hisamiko membuka loket resin yang dipakainya seraya menayangkan pada Azuchi.

 

“Tutup Hisamiko! Engkau mahu menidurkan akukah?”

 

“Tahu pun.” Hisamiko ketawa, kemudian memanggil burung itu seraya memeluknya, air matanya berlinangan.

 

“Aku rindukan engkau Azuchi. Aku ingat engkau telah mati pada hari itu! Berhari-hari aku menangis mengingatkanmu. Aku menyalahkan diriku setiap hari...”

 

“Hisamiko, ajalku akan tiba selepas tiada lagi dari puakmu yang tersisa di dunia ini. Sebelum saat itu, aku akan hidup dan berpindah dari jasad ke jasad.”

 

 

**

 

Onii-san, engkau risaukan aku bukan? Engkau tidak mahu aku membunuh bukan? Disebabkan itu engkau bercadang melarikan diri dari Kogen bukan?”

 

“Miko...siapa yang memberitahumu?”

 

“Tiada sesiapapun. Aku faham dari pemerhatianku. Aku tahu bertarung lebih dari yang seumur denganku. Pasti engkau bimbang disebabkan itu bukan?”

 

Mujur. Aku fikir dia sudah tahu yang dia ditakdirkan menjadi penumpah darah.

 

Onii-san, aku tidak akan melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya. Kecuali demi melindungi onii-san, rakan-rakan kita. Usah engkau risau onii-san. Tentang Hamada itu, aku mahu menangkapnya. Aku akan menyertaimu onii-san. Aku akan membantumu. Aku tahu yang engkau tidak akan mampu melakukannya seorang, dengan tangan kananmu itu.”

 

“Aku tidak mahu membahayakanmu Hisamiko. Biarkan aku ke sana seorang diri.”

 

“Aku tidak akan membunuh Hamada sekiranya ditumpaskan. Aku serahkan dia kepadamu. Terpulanglah. Namun aku akan sentiasa melindungimu, onii-san.”

 

“Miko, berjanji denganku, selepas kita menangkap Hamada, kita akan melupakan kehidupan begini. Kita hidup seperti biasa seperti sebelumnya, ketika kita di kampung bersama otou-san, bersama okaa-san.”

 

Ryouji bersetuju untuk menerima tawaran Kotobuki. Dengan tanah dan rumah yang ditawarkan, mereka akan mampu meneruskan kehidupan baru jauh dari sebarang pergolakan, di tengah-tengah Hidagawa. Dia bercadang melaburkan wang peninggalan Miura dan mengusahakan tanah tersebut.

 

“Aku berjanji, onii-san.”

 

 

**

 

Setibanya di Kawamoto, Ryouji bertanyakan orang-orang di pekan tersebut akan keberadaan Hamada.

 

“Hamada sudah menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu. Kini wilayah Gizen di bawah pemerintahan anaknya Hagiura. Hagiura sekarang menduduki rumah itu.” Pemberitahu itu, seorang lelaki berusia empat puluhan, menuding ke arah sebuah rumah besar di atas bukit yang dilitupi hutan di lerengnya.

 

“Boleh kutahu ke mana dia menghilang jika engkau tidak keberatan?”

 

“Tidak pula aku tahu. Sebentar ya. Boleh kutahu siapa namamu?” Lelaki itu sedari tadi asyik mengamati Ryouji dari kepala hingga ke kaki, seperti mengesahkan sesuatu.

 

“Okuhida Ryouji. Dan ini adikku Hisamiko.”

 

“Okuhida? Sebentar. Engkau Okuhida yang itu bukan? Setahuku tiada keluarga lain menggunakan nama tersebut.”

 

“Benar.”

 

“Maafkan aku tidak mengenalimu.” Lelaki itu menundukkan badan. “Namaku Fubuki. Aku pengintip Kogen.” Dia menyelak sedikit kolar yukatanya menampakkan logo Kogen di baliknya. Dia menggerak-gerakkan logo itu bagi mempamerkan kebolehan dwicitranya; satu logo in dan you dan satu lagi logo rasmi Kogen.

 

Selepas keluar dari Yokuma dahulu, Ryouji memberitahu Kotobuki bahawa Hamada sudah dihilangkan kuasanya dan menyerahkan kepada Kogen untuk menangkapnya. Ryouji merancang mahu menghabiskan masa bersama Hisamiko dan merawat jiwanya di sepanjang Nakasendo sebelum mencari pekerjaan tetap. Dia sedar ajalnya semakin hampir, hanya beberapa bulan sahaja masih berbaki. Dia mahu menghindari dari menyertai misi-misi berbahaya. Dia mahu Hisamiko berdikari dengan membiarkan dia membina jaringan dengan peniaga dan pedagang di sepanjang Nakasendo, serta mahu Hisamiko berdiam jauh dari dunia pertarungan. Dia tidak mahu Hisamiko menjadi penumpah darah seperti ramalan Amaguri.

 

Namun tawaran Kotobuki terlalu lumayan untuk ditolak, lantas Ryouji kembali kepada misi asalnya, iaitu menumpaskan Hamada. Kedegilan Hisamiko turut sama memainkan peranan. Lagipun dalam kelana begini, siapa yang boleh dia percayai untuk mengiringi Hisamiko sepanjang ketiadaannya? Tsuneki sudahpun tiada.

 

Aku harap inilah kali terakhir Hisamiko bertarung. Selepas itu aku mahu dia menjauhi dunia berdarah ini, berkahwin, beranak pinak dan hidup seperti wanita normal yang lain. Dan aku dapat pergi dari dunia ini dengan aman pabila sampai waktunya.

 

Fubuki membawa mereka berdua memasuki pangkalan rahsia mereka di pinggir pekan Kawamoto.

 

“Fubuki-san, dalam suratnya Kotobuki memberitahuku aku perlu bertemu seorang pegawai di sini.”

 

“Benar. Dialah pegawai itu, yang akan membawamu ke sana.”

 

“Ke mana?”

 

“Persembunyian Hamada.”

 

“Fubuki-san. Aku tidak faham. Mengapa sudah tiga bulan masih Hamada belum dapat ditangkap? Kotobuki ada mengatakan ramai orang Kogen yang mati dibunuh ketika cuba menembusi kubu itu. Apakah ia terlalu sukar ditembusi?”

 

“Benar. Persembunyian itu sebuah kubu, seperti kubu Azuchi dan kubu Momoyama yang pernah dibina seorang daimyo yang bernama Oda Nobuzawa dahulu. Hamada membina kubu itu senyap-senyap dan baru kali ini dia bertahan di sana, sejak kuasa halimunannya dihilangkan. Di kelilingnya parit yang lebar dan dalam, dan juga tembok-tembok batu yang tinggi. Ada sebuah menara tenshu yang boleh digunakan bagi memerhati dari jauh kedatangan musuh.” Terang Fubuki panjang lebar.

 

Kotobuki mengatakan dalam surat itu, bahawa kubu tersebut berdekatan Kobe. Kubu Azuchi dan Momoyama terletak berhampiran Kobe, di pinggir Tasik Biwa.

 

“Boleh kutahu di wilayah mana kubu itu?” Ryouji menyoal, sengaja menguji.

 

“Aku tidak tahu lokasi tepatnya, Mizuhito pastinya tahu. Yang pasti, ia berada di dalam wilayah Hyogo, berhampiran pekan pelabuhan Kobe. Dan amat hampir dengan kubu Azuchi dan Momoyama yang bersejarah itu. Namun ia dikelilingi hutan hinoki yang tebal.”

 

“Engkau perlu berhati-hati, Okuhida-san. Seperti katamu, sesungguhnya ia benar, telah ramai pasukan yang dihantar kami cuba menembusi kubu itu, mati dipanah atau ditembak, meskipun mereka mahir kaminari. Aku tidak pasti entah taktik apa lagi yang dilakukan pondan tua itu.”

 

**

 

“Mizuhito-san, jauh lagikah?” Soal Ryouji, berkuda menuruti seorang pemuda pertengahan tiga puluhan yang juga berkuda. Hisamiko menunggang kuda baru yang dibekalkan Kogen, menuruti mereka. Kaname sudah mati diracun di Narai-juku. Azuchi yang kini menempati jasad hayabusa yang baharu, terbang mengekori Hisamiko tanpa mengenal lelah. Selagi jasad dikandung badan, selagi itulah dia setia dengan tugasnya mengekori Hisamiko ke ceruk bumi mana sekalipun.

 

“Kita sudah hampir. Engkau nampak tenshu itu?” Mizuhito menjawab sambil menuding ke arah sebuah menara besar dan tinggi yang diperbuat daripada kayu, yang digelar tenshuu. Tenshuu dibina di kubu bagi memerhati kehadiran petanda-petanda marabahaya dari jauh. Mereka sedang berkuda, dan disertai sepuluh petarung Kogen berkuda yang lain, menelusuri pinggir tasik besar Biwa (Biwa-ko), yang terletak dalam wilayah Hyogo, di timur laut Dataran Kansai. Tidak jauh dari mereka ialah Kyoto, bandar diraja itu yang terletak di barat daya tasik tersebut, dan Osaka, bandar besar persinggahan para pedagang dari Barat mahupun tempatan. Kobe terletak sedikit jauh dari sini, iaitu di hujung barat tasik tersebut. Namun ketiga-tiga bandar utama ini terletak di Dataran Kansai, iaitu salah sebuah lembah-lembah besar yang kedapatan di celah-celah Honshu yang amat bergunung-ganang. Tokyo terletak di lembah lain yang digelar Dataran Kanto. Geografi pulau Honshu yang bergunung-ganang memaksa sebahagian besar penduduk Jepun menumpu di lembah-lembah ini bagi membina penempatan tetap.

 

“Ya.”

 

Tenshu itu ialah menara pemerhati. Di bawahnya kubu persembunyian Hamada.”

 

“Jadi bukankah kita sedang diperhatikan.”

 

Zap!

 

Seorang petarung Kogen rebah dan jatuh dari kuda tiba-tiba, dia dipanah tepat di dada.

 

“Tak guna!”

 

“Kalian, ikut aku!” Mizuhito melaungkan. Dia lantas melencongkan kudanya masuk ke hutan berhampiran.”

 

Onii-san, panah itu bukan dari arah kubu yang Mizuhito-san maksudkan.” Hisamiko melaporkan apa yang berjaya diamatinya.

 

“Habis tu dari mana?”

 

“Dari bukit sana.” Hisamiko menuding ke arah sebuah bukit yang terletak jauh dari tenshu yang diperkatakan Mizuhito.

 

“Engkau pasti Hisamiko?”

 

“Aku pasti.”

Teaser_Buku II

Teaser Buku II: Yoru-no-kaze Teaser ini adalah bab khas dari Kaisenjyo Buku II: Yoru-no-kaze yang sedang aku siapkan. Ia berkenaan satu w...