Novel: Kaisenjyo (Bab 74)

“Hisamiko, Hisamiko!” Jerit Azuchi. Pada pandangan Azuchi, Hisamiko perlahan-lahan naik menembusi bumbung terowong itu tanpa menghiraukannya. Azuchi cuba merempuh bumbung tersebut namun tidak berhasil. Lembah Amaguri tidak membenarkan seekor binatangpun memasukinya. Azuchi hampa, dia duduk di dalam terowong gelap itu berseekoran.

“Eh, mana Azuchi? Bagaimana dia boleh tiba-tiba terlepas dariku? Bukankah aku memangkunya di dadaku tadi?” Hisamiko kebingungan. Dia sedang duduk di atas tanah berumput, tidak jauh darinya hutan pokok konifer atau pokok hinoki (Japanese cypress), dan air terjun serta perbukitan dan keadaan sekeliling sunyi sepi, hanya dipecahkan hingar dari air terjun. Hari tersebut cerah dan rumah di bawah akar pokok gergasi terletak tidak jauh dari tempat duduknya.

Hisamiko kembali membuka penutup terowong dan turun, berdiri separuh badannya di dalam terowong, pada tangga.

“Hisamiko!”

“Azuchi, bagaimana engkau boleh terlepas dariku?”

“Aku tidak tahu. Aku hanya nampak separuh badanmu, sedang menembusi bumbung terowong ini.”

“Hah?”

Hisamiko turun sepenuhnya ke dalam terowong.

“Sekarang aku dapat melihatmu penuh.” Azuchi menjelaskan.

“Aneh, mungkin tempat ini telah disihir.”

“Sihir apa?”

“Mungkin sihir sama seperti rumah perlindungan kami. Bezanya engkau dibenarkan masuk ke rumah kami, tidak seperti binatang lain yang perlu diiringi penghuni rumah barulah dibenarkan masuk. Namun untuk terowong ini, engkau mungkin tidak dibenarkan masuk, bersekali dengan semua binatang-binatang lain.”

“Mengapa pula begitu?”

“Aku jangka begitulah, namun aku belum benar-benar pasti akannya. Azuchi, engkau tunggu sahaja aku di sini.”

“Engkau hendak buat apa di atas sana?”

“Aku mahu melihat-lihat. Usah bimbang, aku pasti akan kembali. Onii-san mungkin di atas.”

“Hisamiko, jaga dirimu. Jangan kau merayau lama-lama di sana!”

“Usah bimbang. Aku pasti selamat.” Hisamiko mengusap-usap jambul Azuchi. Dia berpatah kembali ke atas.

Hisamiko berdiri merenung sekeliling. Sunyi sepi, tiada tanda hidupan di sini. Hanya sekali sekala bunyi menyeramkan datang dari hutan itu tatkala angin bertiup. Juga hingar dari air terjun itu menghidupkan suasana di sini. Dan rumah apakah itu?

Hisamiko bergegas menuju ke pondok di bawah akar pokok gergasi tunggal di situ.

Dia mengetuk pintu. Tiada jawapan.

Dia menolak pintu. Gelap di dalamnya. Hisamiko mengatur langkah tanpa gentar meredah laluan malap yang hanya diterangi cahaya matahari dari luar. Di kanannya jelas periuk belanga, itu bahagian dapur. Hisamiko berjalan sehingga tiba di sebuah bilik yang dipenuhi buku-buku.

“Buku apakah ini? Tulisannya aneh sekali.”

Hisamiko membelek dua tiga helai halaman sebuah buku tebal yang terbuka di atas meja.

“Ia seperti tulisan kanji. Namun susunannya berlainan dari zaman ini. Ada juga kanji yang sudah tidak lagi digunakan pada zaman ini.”

“Melihatkan tempat ini bersih, nampaknya ia kerap dikunjungi seseorang. Namun di mana onii-san?”

Di tepi meja itu terdapat sebuah rak buku yang tinggi dari lantai sehingga ke bumbung, dan menempati keseluruhan dinding, kecuali satu bahagian dinding yang kecil di hujung kanannya. Hisamiko perasan terdapat cahaya matahari masuk dari celah-celah bahagian dinding kecil di hujung kanan dan menerangi bilik itu, selain dari jendela. Celahan yang ditembusi cahaya matahari itu membentuk petakan, seperti bingkai pintu kecil.

“Mungkin ini juga pintu rahsia seperti pintu unjuran perpustakaan itu? Jika tidak kerana celahan yang ditembusi cahaya matahari ini, mungkin aku akan menyangka ia sebahagian dari dinding.”

Hisamiko teruja. Dia cuba menolak dinding itu. Celahan itu membesar. Namun dinding itu kembali terkatup. Kudrat Hisamiko tidak cukup. Dia mengambil beberapa batang kayu penyapu di atas lantai dan cuba mengumpil celahan itu, sedikit demi sedikit. Pabila celahan itu membesar, dia menyendal dengan buku tebal. Diumpil lagi dan lagi, kemudian diselit buku demi buku yang diambil dari rak. Sehinggalah celahan itu membesar dan Hisamiko menuil lagi. Akhirnya dinding itu runtuh.

Prakkkk... Bam!

Dinding itu merekah dan jatuh menyembah bumi.

Hisamiko gugup. Apa sudah aku lakukan? Mati aku jika pemilik rumah ini kembali!

Hisamiko mengamati dinding itu dan mendapati ia pintu kecil, selebar tubuhnya, diketuk sehingga mengisi ruangan bingkai pada dinding itu demi menyembunyikan sebuah bilik.

Terpampang di hadapan Hisamiko sebuah bilik kecil di balik bukaan itu. Hisamiko melangkah masuk keterujaan. Badannya yang kurus memudahkan dia memasuki bukaan itu.

Rupanya cahaya yang menerobos dari celah-celah bingkai dinding itu datang dari batu-batu yang disusun di atas siling bilik.

Batu apakah ini? Setiapnya memancarkan cahaya malam, namun jika disusun banyak dan rapat-rapat, ia menerangi seperti cahaya matahari.

Bilik itu sungguh kecil. Ada katil kayu kecil di dalamnya dan hanya ada sedikit ruang antara katil dengan dinding yang mampu memuatkan Hisamiko seorang. Kabinet tunggal dengan tiga laci berdiri di antara dinding kiri dan kiri kepala katil. Bantal di kepala katil itu diisi biji kapas. Katil itu dilitup kemas dengan selimut futon tebal. Pasu bunga di kaki katil bertanam pokok momiji bonsai. Terdapat lubang-lubang di bahagian atas dinding berhampiran siling untuk tujuan pengudaraan.

Bilik ini kecil sekali. Susunan perabotnya benar-benar seperti susunan di bilik khas yang otou-san bina untuk okaa-san ketika dia terlantar sakit akibat demam panas. Bezanya, di bilik ini tiada origami angsa bergantungan. Baunya wangi. Seperti bau bunga fuji.

Okaa-san selalu menulis diarinya ketika dia terlantar sakit. Okaa-san seringkali menyembunyikan diarinya. Namun aku mengetahuinya. Selepas kami meninggalkan rumah kami, aku ada mengambil dan menyimpan diarinya. Bila aku merinduinya aku akan membuka dan membaca halaman-halaman itu sehingga tertidur.

Bilik ini kelihatan seperti pernah dihuni wanita. Aku tidak tahu mengapa. Mungkin kerana ia sama dengan bilik sakit ibuku? Apakah bekas penghuninya ada menyimpan diari di sini? Mungkin disorok di balik futon di bawah bantal, seperti okaa-san?

Hisamiko menyeluk tangannya ke bawah futon, di bawah bantal. Namun tiada apa-apa ditemuinya. Dia menggeledah laci. Terpampang di hadapannya sebuah buku kecil, seperti diari. Kulitnya dihias dengan corak bunga sakura. Hisamiko membuka buku kecil itu, namun seperti buku tadi, tulisannya aneh dan tidak dapat difahami. Memandangkan buku ini kecil, dia menyimpannya ke dalam yukata untuk dibawa pulang.

Menyedari tiada apa lagi yang boleh diteroka di dalam pondok itu, dia kembali ke muka pintu cepat-cepat, bimbang ditangkap pemilik rumah itu. Sudahlah menceroboh, kemudian merosakkan dinding pula. Entah apalah nasibmu Hisamiko bila tuan rumah ini kembali dan menangkapmu.

Dari jauh kedengaran sayup-sayup bunyi hentakan. Tang, tang, tang! Begitulah bunyinya.

Hisamiko cuba mengamati bunyi itu. Ia diselang-seli dengan bunyi tiupan angin menerobos hutan hinoki dan hingar dari air terjun. Hisamiko bergerak merentas hutan hinoki dan bunyi itu semakin jelas.

Dia bersembunyi di sebalik belukar. Di hadapannya seorang lelaki berpakaian seperti shugenja, sedang menghentak pedangnya berkali-kali pada sebuah tiang batu berwarna putih. Setiap kali sebelum dia menghentak pedangnya pada tiang batu itu, dia akan berdiri dan menumpu sepenuh perhatian dan tenaganya. Setiap hentakannya berhasil memotong batu itu. Di kaki tiang batu itu sudah ada lima ketul yang berjaya dipotong.[LM1] 

“Hah, sudah cukup tujuh ketul. Sudah cukup.” Dia mengambil ketujuh-tujuh batu itu dan memasukkannya ke dalam buntil kain. Kemudian digalasnya buntil kain itu. Dia menyarung kembali pedangnya dan bergerak meninggalkan tempat itu, menuju ke pintu terowong. Hisamiko terperanjat. Mungkin inilah orangnya yang menjaga tempat ini!

Sebaik lelaki berpakaian shugenja itu benar-benar hilang dari pandangan, Hisamiko mula bergerak menuju ke pintu terowong. Namun dalam perjalanan, dia tertarik dengan sebuah kofun kecil dengan penanda batu di atasnya, terletak di sebelah pondok akar pokok gergasi.

Dia mendekati kofun itu, membaca tulisan pada penanda batu.

“Takeuchi Chiyo? Pusara siapakah ini?”

Hitori (seorangkah)?” Kedengaran suara seorang lelaki.

Hisamiko pantas menoleh. Lelaki berpakaian seperti shugenja tadi berada di belakangnya.

“Engkau...bukankah engkau telah masuk ke terowong itu?”

“Aku kembali keluar kerana menyedari ada pengekor. Apa kau buat di sini ojou-chan?”

“Aku mencari abangku.”

“Okuhida Ryouji-kah?”

“Bagaimana engkau kenal dia? Bagaimana kau tahu dia abangku?”

“Aku ada menemuinya tempoh hari di tepi gaung. Mata kalian sama. Jarang bangsa Yamato bermata begitu.”

“Gaung apakah yang kau perkatakan?”

“Gaung berhampiran lereng padang rumput dengan pokok jarang-jarang. Engkau hanya boleh ke sana melalui terowong itu juga jika satu syarat dipenuhi.”

“Syarat apa?”

“Seseorang perlu memperbetulkan kembali susunan batu-batu pemantul di pintu keluar terowong pada lereng berumput itu. Seseorang itu mestilah dari keturunan Amaguri. Atau seseorang yang punya ketajaman mata dan terlatih sepertiku.”

“Bagaimana melakukannya? Lekas beritahuku ojii-san!”

“Sabar, sabar.” Lelaki itu cuba menenangkan Hisamiko yang kelihatan gelabah. “Boleh kutahu namamu dahulu?”

“Hisamiko.”

Inilah gadis itu. Petarung yang menerima nasib sama seperti Ayame-san. Namanya telah didedahkan Kotobuki. Okuhida Hisamiko. Akhirnya aku bertemumu.

“Namaku Saionji Hideki. Aku akan membantu mencari abangmu. Engkau kembalilah ke unjuran perpustakaan. Mujur kawasan ini tiada sebarang hidupan. Bahaya engkau keluar seorang begini.” Lelaki separuh abad berkepala botak itu berpesan dan memandang Hisamiko penuh kerisauan.

“Maaf, boleh kutahu siapakah tuan sebenarnya?”

“Aku pekerja Kogen di sini. Ayuh, pulang segera. Aku akan mencari abangmu.”

Mereka berdua kembali ke unjuran perpustakaan.

Sampai di bilik unjuran, Hisamiko menegur Saionji.

“Saionji-san, tempat apakah sebenarnya lembah itu?”

“Itulah lembah Amaguri. Ia terletak di Hidagawa.”

“Hidagawa? Tidak masuk akal langsung. Ia separuh hari berkuda dari Kogen.”

“Ia terhubung melalui terowong itu oleh sihir Amaguri, bilamana seseorang merosakkan susunan batu-batu pemantul di lereng padang rumput sedang batu-batu pemantul di lembah Amaguri dibiarkan dalam keadaan memantul ke muka terowong di sana. Namun jika susunan batu-batu pemantul di lembah Amaguri dirosakkan, pengembara terowong akan ke lereng berumput juga, tidak kira apa keadaan batu pemantul di sana.”

Hisamiko mengangguk kecil. Jelas dia tidak berapa faham. Saionji menyedarinya. Tidak perlulah engkau faham perinciannya, Hisamiko. Hanya kami yang perlu memahaminya.

Azuchi terbang menyambar Hisamiko. Hisamiko memeluknya.

“Burungmu?”

“Ya. Namanya Azuchi.”

Saionji menyentuh jemala burung itu dan mengusapnya. Benarlah. Jika dia punya pengiring hayabusa, benarlah dia petarung itu.

“Okuhida-san, aku akan keluar menjejaki mereka. Aku harap engkau tidak keluar seorang diri begini lagi. Mereka pasti selamat.”

Arigatou, Saionji-san.”

Doumo.”

Saionji turun kembali ke dalam terowong untuk menghantar batu-batu yang baru dipotong itu ke simpanan di pangkalannya di lereng berumput. Batu-batu ini akan digunakan sebagai pengganti jika batu pemantul di lereng dicuri.

Dia terkejut apabila membuka penutup terowong, mendapati dia kembali ke lembah Amaguri. Dia menepuk kepalanya.

“Bagaimana aku boleh terlupa? Bukankah aku turun dari lereng berumput melalui terowong ini ke lembah Amaguri selepas mendapati batu-batu pemantul di lereng berumput itu dirosakkan pagi ini? Jika ia masih rosak sekarang sudah pastilah aku tidak akan dapat kembali ke sana.” Dia menepuk-nepuk kepalanya lagi.

“Sudah kali keempat. Masuk kali ini sudah kali keempat ia dirosakkan setelah beberapa hari berlalu. Yare yare...” Saionji geram, dia turun kembali.

Saionji keluar dari unjuran perpustakaan itu terus ke tingkat atas tanah, untuk ke lereng berumput dengan berkuda. Dia tidak dapat menggunakan terowong untuk ke sana. Ini kerana untuk ke sana menggunakannya, dia harus merosakkan susunan batu-batu pemantul di lembah Amaguri terlebih dahulu. Namun jika dia melakukannya, muka terowong di lembah Amaguri akan hilang kerana ia terowong sihir, lantas dia tidak akan dapat kembali ke dalam terowong. Saionji juga tidak arif kaedah Shinji yang mampu ke lembah tersebut dari tama-no-iwa Shirasaka. Satu-satu kaedah lain yang tinggal ialah dengan ke Hidagawa namun dia tidak dibenarkan memasuki lembah tersebut dari sana kerana dia bukan dari keturunan Amaguri. Maka mahu tidak mahu, Saionji perlu ke lereng berumput dengan berkuda.

Aku akan menjejaki mereka semua di lereng berumput, getus Saionji. Barangkali individu yang kerap merosakkan batu-batu pemantul di lereng berumput ada dalam kalangan mereka. Aku akan betulkan kembali batu-batu pemantul di lereng berumput menggunakan batu-batu yang baru kupotong ini. Selepas itu pengembara terowong akan kembali dapat ke lereng berumput menggunakan terowong berkenaan, terutama Tatsuhiro.

Hisamiko dan Azuchi berjalan naik ke tingkat dua di bawah tanah dan melepak di kerusi di situ.

“Hisamiko, sebenarnya aku terbau Ryouji, Shinji dan Tsuneki dari pintu keluar terowong itu tadi.” Maklum Azuchi yang duduk di riba Hisamiko.

“Benarkah?”

“Namun aku tidak nampak mana-mana pintu keluarpun. Tiada guna memberitahumu kerana aku tidak akan dapat mengikutmu dan membawamu menjejaki bau itu.”

“Sebentar, apa yang Saionji-san mahu lakukan dengan kembali ke lembah Amaguri? Bukankah situ Hidagawa? Aku yakin onii-san dan dua orang itu tiada di situ tetapi di lereng berumput yang dikatakannya itu.”

Hisamiko diam sejenak, berfikir tentang apa yang telah diperkatakan Saionji sebentar tadi.

Dia terkejut mendapati Saionji bergegas mendaki tangga naik ke atas.

“Aku fikir aku faham sekarang. Barangkali dia perlu ke lereng berumput dengan berkuda menuruni tanah tinggi ini kerana terowong itu tidak boleh digunakan. Batu pemantul di sana mungkin telah dirosakkan seseorang.”

“Hisamiko, ayuh ke taman zen. Kita tunggu sahajalah. Bukankah kita sudah berjanji dengan lelaki itu?”

Hisamiko melangkah longlai. Dia terpaksa menyerah kalah sahaja. Terowong itu amat sukar difahami kejadiannya. Namun hari ini dia diterjah persoalan demi persoalan baru yang amat mengelirukan. Batu apakah yang dipotong lelaki itu? Aku tidak pernah melihatnya. Pondok apakah itu dengan buku-buku bertulisan aneh? Bagaimana pula tempat itu berada jauh di Hidagawa? Mengapa tiada sebarang hidupanpun dan mengapa Azuchi tidak dibenarkan memasukinya?

Hisamiko meraba-raba buku kecil yang disorok di dalam yukatanya. Mungkin rahsianya tertulis di dalam buku ini...

**

Berbalik kepada trio Ryouji di tepi gaung...

“Apa kalian buat di sini?” Kedengaran suara seorang lelaki menegur mereka. Semua menoleh. Suara itu milik shugenja yang pernah menegur Ryouji tempoh hari, bernama Saionji Hideki. Lelaki itu baru sahaja turun dari lereng berumput di atas.

Melihatkan Ryouji dan rakan-rakan leka, Kentaro bersiap sedia melarikan diri, namun Ryouji pantas menindihnya.

“Lelaki ini cuba melarikan diri dari penjara Kogen. Kami membantu Kogen menahannya.” Ryouji memberitahu shugenja itu.

“Ayuh ikutku.” Saionji memberi isyarat agar mereka mengikutnya. “Ikat banduan itu.”

Tsuneki mengambil tali yang dibawanya untuk menyelamatkan banduan itu tadi. Dibantu Shinji, mereka mengikat lengan Kentaro.

**

“Kentaro, mengapa engkau melarikan diri? Aku dengar tempohmu lagi beberapa bulan sahaja di sini.” Ryouji menyoal.

“Sebelum itu, apa kau buat di sini?”

Ryouji mengeluh, pabila soalannya dijawab dengan soalan.

“Aku bekerja untuk Kogen. Panjang ceritanya. Sekarang, jawab soalanku tadi.”

“Engkau tidak tahu yang mereka mahu merekrut banduan di sini?”

“Untuk apa?”

“Menyertai Maharaja sekiranya berlaku perang saudara. Maka kami akan ditahan di sini meskipun tempoh hukuman penjara kami tamat.”

“Hah?”

“Dan engkau, semua yang tinggal di sini, tidak kira lelaki, wanita, semua akan dikerah dan dilatih menggunakan senjata.”

“Saionji-san, benarkah?” Ryouji cuba mendapatkan kepastian dari Saionji.

“Itu hanya ura-ura. Hanya pengurusan tertinggi Kogen yang tahu kesahihannya.”

“Terpulang kalian mahu percayakanku atau tidak. Ura-ura atau tidak, aku mempercayainya. Aku tidak mahu kekal di sini. Aku mahu pulang bertemu ibu bapaku!”

“Kentaro, aku akan pulang ke kampung tidak lama lagi, demi ‘menghantar’ Keisuke. Selepas dia mati dibunuh kalian, aku tidak ingat apa-apa berkenaannya sehinggalah baru-baru ini.”

Sebaik Ryouji menghabiskan kata-katanya, dia menyepak tulang kering Kentaro. “Itai! (sakit)” Kentaro terduduk. Perjalanan mereka terbantut seketika.

“Beritahu aku, Kentaro. Aku ingin benar mengetahuinya. Apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu? Mengapa kalian memukulnya sebegitu kejam?”

Ryouji berdiri, air matanya mengalir memandang Kentaro yang melutut di hadapannya. Saionji duduk di atas rumput. Dia mengambil masa mendengar mereka. Shinji dan Tsuneki juga berhenti menunggu Ryouji.

“Apa dosa Keisuke terhadap kalian? Jawab aku, Kentaro!”

 **

Oi Keisuke!”

Keisuke dalam perjalanan merentas bendang menuju ke rumah Ryouji, berseorangan, pabila terdengar namanya dipanggil.

“Berhenti sekejap.”

Tiga orang budak lelaki yang selalu membulinya datang naik ke denai dari tebing tali air.

“Apa kalian mahu?”

“Oh ho, berlagak ya? Sejak Ryouji menjadi sahabatmu engkau semakin berani pula ya?”

Satoru dan Michio segera memegang kedua-dua belah tangan Keisuke. Kentaro menumbuk perutnya.

“Sakit...hentikan...” Keisuke berkata lemah setelah ditumbuk di perut bertubi-tubi. “Mengapa kalian memukulku? Apa salahku?”

“Kerana engkau lemah.”

“Salahkah aku dilahirkan lemah? Aku tidak mengganggu kalian.”

“Orang lemah tidak layak hidup di dunia ini.” Begitulah kata-kata yang terpacul dari mulut Kentaro.

“Siapa...siapa yang mengatakan begitu?”

“Engkau dari keturunan petani. Kami semua dari keturunan samurai!”

“Kita semua di sini sama. Kita semua petani! Sesiapa yang berjaya menghasilkan padi yang banyak akan mendapat hak tanah dari daimyo kita.”

“Tidak, hanya engkau seorang petani. Bapa-bapa kami menjual status samurai mereka demi membayar hutang. Namun keluarga kami tetap samurai.”

“Keisuke, mengaku yang engkau lemah.”

“Tidak, siapa yang malas berusaha, mereka yang lemah! Mereka yang hanya tahu bertumbuk dan malas berusaha, merekalah yang lemah!”

Meluap-luap kemarahan mereka mendengarkan kata-kata Keisuke.

Kentaro menumbuk muka Keisuke pula. Satoru dan Michio memegang kedua-dua tangan Keisuke.

“Siapa...siapa yang mengajarmu berkata begitu? Ryouji-kah?”

Kentaro menumbuk lagi. Berdarah-darah muka Keisuke.

“Sejak engkau berkawan dengan Ryouji engkau semakin pandai berkata-kata ya?”

Tidak cukup dengan menumbuk, Kentaro mengambil sebatang kayu dan melibas ke kepala Keisuke yang sudah dilepaskan, sedang rebah di atas tebing tali air.

“Zaman sudah berubah...” Keisuke berkata lemah. Matanya bengkak sehingga tidak mampu dibuka. Giginya patah-patah. Mulutnya bengkak dan berdarah.

“Ha?” Kentaro berpura-pura kurang mendengar, mencorongkan tangan ke telinganya dan mendekatkan kepalanya ke mulut Keisuke yang berdarah-darah.

“Hanya mereka yang berusaha keras ... menjadi kuat!” Keisuke dengan beraninya melaung dengan kudrat yang masih ada. Kentaro berang tidak terhingga, seraya melepaskan libasan terkuatnya ke kepala Keisuke.

Keisuke tidak sedarkan diri. Kepalanya berlumuran darah merah pekat.

“Keisuke...oi Keisuke!” Satoru menggoncang-goncang tubuh Keisuke. Tiada pergerakan. Dia mendekatkan jari ke hidung Keisuke. Tiada nafas dihela.

“Kentaro... aku fikir dia sudah...”

Wajah Kentaro pucat lesi seperti mayat mendengar kata-kata Satoru.

Dari jauh kedengaran suara memanggil nama Keisuke. Suara itu dari Ryouji.

“Ryouji sudah datang. Kalian, segera lari!” Beritahu Michio.

“Kalian!” Ryouji memanggil mereka bertiga, namun tidak diendahkan 

**

Kali pertama Ryouji menemui Keisuke ialah ketika dia sedang dikepung tiga ekor malaun itu.

Ketika itu Keisuke baru sahaja dua bulan tinggal di kampung itu selepas ibu dan bapanya diterima bekerja di salah sebuah bendang milik Daimyo Taiishi Kimura. Mereka ialah keluarga petani yang baru berpindah dari Osaka.

Ryouji sedang berjalan menelusuri denai bendang pada satu petang pabila mendapati tiga ekor malaun itu sedang menolak-nolak seorang budak lelaki bertubuh kecil.

“Petani...Petani...!” Begitulah kutukan malaun ini kepada budak lelaki itu, sambil menolak-nolaknya. Dia tidak membalas, hanya tunduk ketakutan.

“Apa kalian buat dengan budak itu?!” Bentak Ryouji.

“Budak ini keturunan petani. Tidak layak dia tinggal di sini.” 

“Bukankah kita semua petani?”

“Engkau dan kami, keturunan samurai. Kita setaraf Ryouji. Hanya budak ini petani, kasta rendah. Patut dia dihalau dari tinggal bersama kita di sini.”

“Apakah budak ini mengganggu kalian?”

“Ya. Kewujudannya menjijikkan.”

“Jika begitu, aku mahu menjadikannya rakanku. Kalian tidak perlu lagi berdamping dengannya. Selesai masalah kalian.”

“Ryouji, engkau akan terpalit dengan kejijikan petani jika engkau berkawan dengannya.”

“Aku tidak peduli, itu masalahku. Petanilah yang menanam padi yang dimakan kalian, yang diberak kalian.”

“Engkau tidak berpuas hatikah Ryouji?” Kentaro menyoal ancaman, dia terasa dengan ayat pedas Ryouji.

“Aku tidak mahu bertarung di sini. Lepaskan budak itu sekarang!” Tengking Ryouji.

Ketiga-tiga malaun itu mengepung budak lelaki itu. Ryouji melakukan tendangan tinggi ke muka Kentaro. Kentaro rebah. Dia tahu Kentaro dalang utamanya, maka disebabkan itu dia menyasarkan serangan ke Kentaro dahulu.

Satoru dan Michio mula gugup melihatkan Ryouji mula beralih ke arah mereka.

“Lari!” Laung Michio. Ketiga-tiga malaun melarikan diri.

Tatte (Bangun).” Ryouji menghulur tangan kepada budak lelaki itu. Dia bangun.

“Siapa namamu?”

“Keisuke.”

“Keisuke, mulai hari ini datanglah ke rumahku.”

Arigatou, Ryouji.”

Dalam perjalanan pulang, Keisuke memberanikan diri membuka perbualan.

“Ryouji, bagaimana menjadi kuat sepertimu?”

“Mengapa?”

“Jika aku menjadi kuat mereka akan takut membuliku lagi.”

“Engkau perlu belajar bertarung. Bapaku boleh melatihmu.”

Mata Keisuke bercahaya mendengarkan kata-kata Ryouji.

“Namun kata bapaku, kekuatan tidak hanya datang dari kepandaian bertarung. Zaman sudah berubah. Siapa yang bekerja keras, dia akan berjaya. Dengan kekayaan dia akan menjadi kuat dan dapat mengumpul pengikut. Dengan ilmu, dia mampu mencipta senjata yang lebih canggih.”

“Maksudmu, hanya dengan bertani pun kita masih boleh menjadi kuat?”

“Ya. Kata bapaku lagi, jika engkau mampu mengeluarkan hasil berkualiti, pembeli akan cenderung membeli hasil kita. Kita lebih kaya. Dengan kekayaan, kita mampu membeli pengikut dengan pelbagai cara. Meski kita lemah, dengan pengikut yang ramai, kita akan mampu menumpaskan musuh yang lebih kuat fizikalnya namun kurang pengikut.”

“Pengikut? Seperti Michio dan Satoru?”

“Itu contoh di depan matamu. Kentaro menggunakan akalnya mengumpul pengikut seperti Michio dan Satoru. Dia menggunakan persamaan kasta, keturunan samurai itu sebagai sentimen.”

Maka dengan akal sahaja sudah mampu menjadikan kita lebih berkuasa. Bukan hanya fizikal, getus Keisuke. 

“Namun dia masih kalah denganmu. Jadi bukankah kepandaian bertarung lebih penting?”

“Tidak semua engkau boleh lakukan sendiri. Jika engkau ada kawan yang tahu bertarung, bukankah masalah itu boleh diselesaikan?”

Begitu rupanya. Aku perlu bersahabat dengan Ryouji demi melindungi diriku, bisik Keisuke.

Namun Ryouji tidak selalu ada di sisi Keisuke. Lambat laun, akan tiba satu hari di mana Keisuke perlu melindungi dirinya sendiri.

**

“Jadi, engkau marah disebabkan kata-katanya itu? Disebabkan itu engkau membelasahnya?”

“Petani sepertinya sepatutnya tutup mulut. Namun dia begitu berani mencabarku.”

“Jika ada sesiapa mencabarmu seperti itu sekarang, adakah engkau akan membunuhnya?”

“Barangkali. Aku tidak pasti. Mungkin aku akan memukulnya begitu juga. Mungkin tidak sehingga ke tahap membunuh. Pada ketika itu aku tidak dapat mengawal kemarahanku. Aku bangga dengan kesamuraian. Meskipun otou-san menjualnya demi menjelaskan hutang-hutang kami. Aku bercita-cita mahu membeli status itu kembali, namun aku tidak menyangka peristiwa itu membawa takdirku ke sini.”

“Aku tidak faham... engkau... engkau dan Saitou sama sahaja. Kalian begitu mudah membunuh.”

“Aku tidak sengaja Ryouji. Aku benar-benar menyesalinya. Aku fikir aku sudah dihukum selama lapan tahun berada di sini, tanpa sekalipun ibu bapaku datang melawatku. Aku tahu mereka malu denganku. Aku dengar mereka telah melarikan diri jauh dari kampung itu selepas aku dibawa ke sini.”

Ne, Kentaro. Apakah engkau sudah benar-benar menyesali jenayahmu?”

“Ya. Aku fikir aku mahu menemui ibu bapaku. Maafkan aku, Ryouji kerana telah membunuh rakanmu.”

“Minta maaf dari orang tuanya. Aku tidak layak menerima maafmu. Sekarang apa yang kau fikir tentang kata-kata terakhir Keisuke itu? Apakah engkau sudah mampu menerimanya?”

“Aku masih tidak bersetuju dengannya. Sehingga kini, aku masih merasakan kesamuraian wajar dihidupkan kembali. Maharaja yang memperkenalkan Pembaharuan itu padaku harus ditentang. Masyarakat padaku, harus berkedudukan. Perlu ada yang diperintah dan yang memerintah. Yang di bawah perlu kekal di bawah, yang di atas perlu kekal di atas. Agar keamanan berkekalan.”

“Ryouji, aku tahu membunuh itu salah, dan apa yang berlaku ke atas Keisuke itu tidak disengajakan. Namun jika aku temui mana-mana individu yang cuba membawa ideologi sama seperti yang Keisuke bawakan, aku tidak akan teragak-agak mencederakannya, atau mungkin membunuhnya.”

Ryouji terpana mendengarnya. Jika Kentaro dilepaskan, ada kebarangkalian tinggi dia mungkin akan menyertai pemberontak menentang Maharaja. Pendek kata, dia bakal menjadi ancaman awam. Perlukah dia diperhatikan selepas dilepaskan?

Sebaik tiba di penjara Kogen...

“Kalian tidak perlu mengekoriku. Pulanglah sekarang.” Saionji memaklumkan.

Shinji memimpin Ryouji dan Tsuneki keluar. Seperti biasa Shinji menghafal laluan pulang

“Ryouji, bagaimana engkau?”

“Aku tidak apa-apa. Aku cuma rasa bersalah.”

“Bersalah?” 

“Aku fikir aku telah membunuh Keisuke. Aku tidak sepatutnya memberitahu ajaran bapaku kepadanya. Mungkin caranya mengungkapkan mesejku itu kepada Kentaro kurang matang.”

“Aku fikir kau patut. Bukankah itu ideologi yang dipegang Kogen?”

Shinji memegang bahu Ryouji, “Ryouji, kebenaran harus disebarkan. Itu teras utama Pembaharuan. Ilmu yang berguna dari Barat, sains dan matematik mereka, perlu disebarluaskan. Kita dalam kegelapan selama ini. Betapa pengetahuan mereka, ideologi mereka, meski pahit sekalipun, kita perlu menelannya seperti menelan ubat yang pahit. Padaku, tindakan Kentaro itu tetap satu kesalahan. Jika dia tidak berpuas hati, dia boleh sahaja meninggalkan Keisuke. Namun dia memilih untuk memukulnya.”

Shinji menyambung, “Di Eropah, pernah berlaku peperangan hanya kerana mereka berbeza pendapat. Jika engkau tidak pernah mendengarnya, mereka berperang kerana berbeza pendapat tentang agama mereka, iaitu Kristian (kirishitan).”

 “Sungguh?”

“Ya. Perbezaan pendapat boleh melarat sehingga berlaku keganasan, peperangan. Aku fikir perang yang kuramalkan bakal berlaku itu akan bermula dari perbezaan pendapat begini. Antara Maharaja yang mahu menghapuskan sistem samurai, dan mereka yang mahu mengekalkannya.”

“Jadi apakah engkau cuba katakan bahawa kematian Keisuke itu satu korban perang kecil?”

“Ya. Malangnya keputusan ‘perang’ itu tidak menyebelahi Keisuke. Namun ia bukan salahmu kerana menyebarkan ‘fahaman’mu itu. Ia kerana perbezaan pendapat. Walau bukan engkau sekalipun yang memberitahunya, mungkin akan ada mereka yang lain yang akan memberitahu Keisuke.”

“Keisuke memilih untuk berpegang pada fahamanmu itu. Itu pilihannya. Sejujurnya aku bangga dengannya.”

“Mengapa?”

“Jika aku di tempatnya, mungkin aku akan menahan diriku dari mengutarakan peganganku dan akan mengutarakan pelbagai helah bagi melepaskan diri. Padaku, nyawa lebih bernilai. Melepaskan diri dan meneruskan hidup lebih utama bagiku. Ryouji, beruntunglah, engkau telah bertemu seorang yang kental jiwanya.”

Tsuneki hanya mendengar, tidak benar-benar faham perbualan berfalsafah mereka. Baginya, tugas menyelamatkan ‘penghuni gaung’ sudah diselesaikan.

Mungkin malam ini mimpi itu tidak akan datang lagi, dan aku boleh tidur lena, bisik Tsuneki dalam hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...