Sebelumnya...
Aku
perlu melakukannya sendiri. Mimpi itu datang berulang kali. Aku yakin ada
seseorang sedang meminta bantuan di bawah sana.
Aku
akan menggunakan tali dari bangsal kuda yang kulihat hari itu untuk turun ke
bawah gaung dan kembali ke atas. Aku tidak tahu berapa ramai yang sedang
memerlukan bantuanku.
Tsuneki
bangun turun dari katil. Dia melihat katil Shinji dan Ryouji kosong. Ke manakah
mereka?
Aku
tidak tahu bagaimana memecahkan mangga pintu perpustakaan. Tidak mengapa, aku
akan turun mengikut arah anak sungai dari sini.
**
Mereka
membawa seketul tama-no-iwa Amaguri yang telah dijemur Shinji pada
siangnya bagi menerangi jalan, batu sama ketika mereka menggunakan terowong
tadi.
Setelah
jauh meredah belukar dan onak menuruni pergunungan itu, Ryouji meminta Shinji
berhenti.
“Matte,
Shinji. Engkau nampak kabus itu?”
“Ada
apa dengannya?”
“Di
bawahnya adalah gaung yang kukatakan tadi.”
“Di
manakah tempat ini sebenarnya?”
“Ia sempadan gunung Kogen. Ayuh ikut aku.”
“Gunung Kogen?”
“Salah sebuah dari gunung dalam banjaran ini. Hanya Shirasaka-no-kogen
dan lembah tempat kita diami itu menempati gunung ini.”
“Banyak benar perkara yang kau tahu Ryouji.”
“Tak adalah. Mungkin aku tidak tahu apa-apapun jika Tsuneki tidak
membantuku hari itu.” Dan terima kasih pada shugenja misteri itu juga.
Shinji
menuruti Ryouji terus meredah gelap malam yang hanya diterangi bulan mengambang
dan cahaya batu tama-no-iwa.
“Hah,
jumpa pun. Kami turun dari lereng padang rumput di atas itu sehingga ke sini.”
Ryouji menunjuk ke arah sisi kanan mereka, sebuah bukit separa landai dan
berumput, hanya ditumbuhi pepohon gunung jarang-jarang. “Di padang rumput itu
ialah pintu keluar terowong dari unjuran perpustakaan itu.”
“Yang
ada pokok kaede itu?”
“Benar.
Eh, engkau pun tahu?”
“Aku
pernah membawanya ke situ sewaktu engkau ke Suruga. Jadi apa kaitan dengan
Tsuneki berada di sini?”
“Dia
bermimpi dan mendengar suara itu di sini. Maka dia pastinya akan datang ke
sini.”
“Dan
mengapa pula dia memilih malam ini?”
“Aku
hanya menurut firasatku. Mungkin, dia bangun malam dan menyedari kita tiada,
lantas mengambil kesempatan? Shinji, lihat itu.”
Ryouji
menunjuk ke arah tali panjang yang diikat dan dililit kemas pada sebatang
tunggul, tempat shugenja yang ditemui Ryouji pernah duduk.
“Tali
apakah ini?” Shinji memegang tali itu dan duduk mengamati strukturnya. “Ia
seperti tali yang pernah digunakan untuk menggantung kita di pokok.”
“Engkau
tahu di mana tali ini boleh didapati?”
“Seingatku
ia disimpan di tepi bangsal kuda di dalam sebuah setor di situ.”
“Hairan.
Dari mana Tsuneki belajar menyimpulkan dan menyambungkan tali-tali ini?” Ryouji
memegang bahagian lain tali itu. Ia disambung dengan satu sama lain dengan
simpulan-simpulan sehingga membentuk tali yang panjang, menjalar dari tunggul
dan menghilang ke dalam gaung sana.
“Ryouji,
apa perancangan kau?”
“Jika
kita turun, kita akan mati. Itu kata shugenja itu...”
“Argh...”
Shinji pantas menutup hidungnya, tatkala bayu malam tiba-tiba bertiup. “Bau
apakah ini? Busuknya!”
Ryouji
juga menutup hidungnya. “Aku tidak pasti. Yang aku tahu ia datang dari dasar
gaung itu.”
“Ryouji,
cuba kau tarik tali tu. Aku tidak nampak ia tegang...”
Ryouji
menarik tali itu. Sehingga hujungnya. Sah, Tsuneki tiada. Sama ada dia
tertinggal di dasar gaung, atau dia tidak turun ke dalamnya sama sekali.
“Tsuneki!
Tsuneki!” Laung Ryouji ke dasar gaung. Shinji turut melaungkan nama Tsuneki.
“Kalian!”
Keluar suara dari balik batu-batu dan pepohon renek di belakang mereka. Tsuneki
memunculkan diri.
“Mengapa
kalian di sini?”
“Apa
kau buat malam-malam buta di sini Tsuneki? Kami risaukan engkaulah!” Shinji
menengking.
“Aku...aku
mahu menyelamatkan suara di dasar gaung itu. Namun aku takut. Aku takut tidak
akan dapat naik semula ke atas.”
“Tsuneki!
Bukankah aku telah ingatkan engkau, abaikan sahaja mimpi itu?” Ryouji memarahi
Tsuneki pula.
“Suara
itu berulang kali muncul dalam mimpiku. Aku tidak boleh tidur memikirkannya.”
“Tsuneki
ceritakan lanjut.” Pinta Shinji. “Ryouji, aku fikir mungkin ada benarnya
kata-kata Tsuneki.” Shinji mengenyitkan sebelah mata kepada Ryouji.
Tsuneki
mengisahkan mimpinya sepertimana yang pernah diberitahu kepada Ryouji dulu.
“Tsuneki,
kita tidur dahulu. Esok aku ada perancangan. Aku mahu bertanya Kotobuki dahulu
berkenaan gaung ini.”
“Mengapa
bukan sekarang? Bagaimana jika orang di dasar gaung itu mati?”
“Habis,
engkau sudah tahu bagaimana untuk naik semula ke atas permukaan ini? Tsuneki,
jangan engkau ambil risiko kecuali jika engkau sudah tahu bagaimana
menguruskannya. Aku akan membantumu ‘menyelamatkan’ orang di dalam gaung itu,
selepas kita memahami gaung tersebut.”
“Aku
tidak faham, Shinji.” Sampuk Ryouji pula. “Apakah engkau sudah mempertimbangkan
risikomu sewaktu engkau merancang ke Kawamoto?”
“Ya.
Aku tahu Kotobuki akan menghantar orangnya ke sana.”
“Apa?”
“Mereka
tidak akan membiarkan aku mati. Bukankah sudah aku katakan nyawaku amat
berharga pada mereka?”
“Ryouji,
Shinji, aku tidak takut mati.” Tsuneki tiba-tiba mencelah.
“Tidak,
Tsuneki.” Terpacul kata-kata itu dari mulut Shinji. Tsuneki tergamam.
Shinji
menyambung. “Maafkan aku hari itu membiarkan engkau keluar berseorangan dengan
kuda itu. Dan engkau Ryouji. Aku juga tidak mahu kehilanganmu.”
“Aku
pasti akan menyelamatkan ‘orang itu’. Kita perlu memahami dahulu gaung ini.
Ryouji, apa lagi maklumat yang kau tahu berkenaan gaung ini?”
“Menurut
shugenja itu, bau mayat yang mereput di dasar dihalang naik oleh
kedalaman gaung itu sendiri dan hanya tiba ke permukaan pabila angin bertiup.”
“Apa
yang membunuh mereka di situ?”
“Katanya
mereka mati akibat sesak nafas.”
“Sesak
nafas? Bagaimana dia tahu mereka mati akibat sesak nafas, sedangkan mereka mati
di bawah sana?”
“Aku
tidak tahu.”
“Jika
benar, maka mungkin sama ada udara di dasar gaung itu beracun, atau melemaskan,
atau kedua-duanya. Bukankah sini kawasan gunung berapi?”
“Barangkali.
Aku lihat hanya gunung itu yang mengeluarkan asap.” Ryouji menunjuk ke arah
satu puncak Tateyama yang asapnya berkepul keluar, diterangi cahaya bulan
mengambang. “Mungkin kawasan lain juga begitu namun masih di tahap rekahan.”
“Jika
gunung berapi, berkemungkinan ia mengeluarkan juzuk udara berat yang akan
mendap di dasar gaung dan menyesarkan juzuk oksigen ke permukaan. Sesiapa yang
terperangkap di dasar gaung tidak akan boleh bernafas. Atau mungkin bersama
juzuk udara itu, ada udara beracun yang menambah seksa mereka yang terperangkap
di sana.”
“Aku
faham udara beracun. Tetapi apa maksudmu dengan juzuk oksigen?”
“Juzuk
udara yang ditemui saintis Inggeris seratus tahun lepas. Ia digunakan kita dan
hidupan lain untuk fungsi badan dan disedut masuk ketika bernafas. Ia hanya
seperlima dari udara yang kita sedut ini. Selebihnya juzuk-juzuk lain yang
lebih berat dan ada yang lebih tumpat dari oksigen.”
“Apa
kaitannya dengan gunung berapi?”
“Aku
fikir juzuk udara yang lebih berat itu lebih banyak di dasar gaung ini kerana
beratnya, maka ia tenggelam dan menyesarkan juzuk lain ke atas. Mungkin
penghasilannya ada kaitan dengan tindakan seismik di sini. Mungkin bersamanya
juga udara beracun, aku tidak pasti.”
Ryouji
mengangguk faham.
Shinji
mengalih pandang ke arah Tsuneki yang sedari tadi tercegat.
“Tsuneki,
fahamkah engkau jika engkau selamat turun ke bawah sekalipun, engkau tidak
semestinya akan selamat naik kembali, faham?”
Tsuneki
membisu.
“Tsuneki,
nyawa hanya sekali. Matilah dengan cara yang bijak, bukannya mati katak.”
“Tapi
engkau boleh pula keluar berseorangan!” Balas Tsuneki. “Mengapa engkau tidak
mengajak aku sekali seperti yang engkau janjikan Shinji?”
“Aku
telah fikirkan perancanganku dahulu. Jika aku bawa engkau sekali, mungkin aku
tidak akan dapat melindungimu. Engkau dan aku sama-sama tidak tahu bertarung.
Dan aku lihat engkau keletihan hari itu maka aku tidak jadi mengejutkanmu.”
**
Esoknya
mereka tiba lagi di situ. Mujur unjuran perpustakaan itu tidak dikunci pada
siangnya maka mereka bertiga menggunakan terowong untuk kembali ke tempat itu.
Kali ini mereka membawa tali yang panjang dan tikus yang telah ditangkap
Shinji.
Selepas
mereka berjaya keluar ke lereng berumput, Shinji merosakkan batu-batu pemantul tama-no-iwa
di situ agar tiada sesiapapun yang dapat menjejaki mereka. Dia mengambil
seketul dua batu itu dan menyimpannya ke dalam buntil kain yang dibawanya.
Beberapa
jam selepas itu di taman zen...
“Onii-san!
Di mana onii-san? Chinami, Chiho di mana mereka?” Hisamiko gelabah.
“Kami
nampak dia dengan Shinji dan Tsuneki ke perpustakaan tadi.”
Perpustakaan
di awal pagi? Untuk apa? Onii-san bukanlah ulat buku!
Hisamiko
berlari ke arah perpustakaan. Azuchi terbang turun mengikut Hisamiko.
“Mengapa
engkau gelabah pagi-pagi buta begini?”
“Aku
mahu mencari onii-san. Engkau tidak perlu mengikutku.”
“Aku
mahu mengikutmu!” Azuchi bertegas.
“Baiklah,
tapi engkau jangan terbang. Hanya berjalan di belakangku.”
“Baiklah.”
Hisamiko
berjalan dituruti burung itu. Tidak ramai yang berada di dalam bangunan itu
pada pagi ini. Pustakawan tidak dapat mengesan Azuchi kerana dilindungi meja.
Azuchi hanya separas lutut Hisamiko.
“Nee-chan,
di mana tiga orang budak lelaki yang baru masuk tadi?” Tanya Hisamiko pada
seorang gadis pustakawan di situ yang sedang duduk di belakang meja besar dan
tinggi.
“Barangkali
mereka di tingkat bawah. Tidak pasti aras yang mana.”
“Arigatou.”
“Azuchi,
engkau bau apa-apa?”
“Aku
bau Ryouji. Tetapi tidak kuat. Ia datang dari bawah sana.”
Mereka
turun tingkat demi tingkat, sehinggalah Azuchi berhenti di sebelah dinding di
tingkat tiga di bawah tanah perpustakaan itu.
“Tup,
tup.” Azuchi mematuk dinding. “Aku fikir bau itu datang dari dalam. Ada bau
Tsuneki dan Shinji sekali.”
“Di
sini? Engkau yakin Azuchi?”
“Cubalah
tolak.”
Hisamiko
menolak perlahan-lahan. Alangkah terkejutnya dia mendapati sebuah unjuran di
situ.
Azuchi
terbang rendah dan hinggap di atas penutup lantai di antara dua rak tinggi.
“Dari
bawah ini.”
Hisamiko
menekan-nekan. Penutup lantai itu terjungkit tiba-tiba, memeranjatkan mereka
berdua. Hisamiko perlahan-lahan mengangkat penutup itu dan melepaskannya.
Lubang terowong terpampang di hadapan mereka.
“Gelapnya.”
“Pelita
itu masih bernyala sedikit Hisamiko.” Azuchi menghalakan paruhnya ke arah
sebuah pelita yang belum dipadamkan, terletak tidak jauh dari muka terowong, di
sisi salah sebuah rak buku besar. Minyaknya masih berbaki.
Hisamiko
mengambil pelita itu, dan berhati-hati menuruni anak tangga menuju ke dalam
terowong.
**
Berbalik
kepada trio Ryouji di tebing gaung...
“Kalian,
bantu aku simpulkan tali-tali ini sehingga panjang. Ikut simpulan yang aku akan
tunjukkan.”
Ryouji
dan Tsuneki mengangguk.
Selesai
penghasilan tali yang panjang, mereka mengikat satu hujung pada tunggul kayu di
situ. Mereka akan mencampakkan satu lagi hujung ke dasar gaung mengikut lokasi
yang ditentukan Shinji.
Tiba-tiba
Shinji mendengar sesuatu. Ia seperti bunyi lemah seseorang meminta tolong,
datang dari dasar gaung di hadapan mereka.
“Tunggu
sebentar...” Shinji melepaskan tali yang dipegangnya dan bergerak merapat ke
tebing gaung. “Aku mendengar seseorang. Jeritannya lemah.” Dia mencorongkan
tangan ke telinga, cuba mendapatkan isyarat yang lebih jelas.
“Di
sini. Suara itu datang dari sini.”
Mereka
mencampakkannya. Tali itu bergerak-gerak.
Mereka
bertiga memerhati penuh tumpuan.
“Oi!
Kami akan membantumu!” Ryouji melaung ke arah gaung.
Dari
jauh kedengaran bunyi sahutan, namun kurang jelas dan tidak dapat difahami.
Hanya Shinji yang mendengarnya.
“Dia
berkata ‘tunggu aku sedang memanjat ke atas’.” Shinji menyampaikan mesej dari
gaung itu.
Tali
itu bergoncang-goncang. Semakin lama ia semakin kuat. Ryouji mengangkat tali
itu agar tidak bergeser dengan permukaan tanah berbatu yang akan memutuskannya.
Seorang
lelaki dengan haori lusuh berwarna perang dan hakama hitam, koyak
di sana sini, naik ke tebing seraya rebah tertiarap, tercungap-cungap
keletihan.
“Arigatou,
kalian.”
Setelah
keadaan lelaki itu sedikit baik, dia menceritakan kisahnya.
“Aku
terperangkap di bawah bersama rakanku. Kami berpaut pada dahan pokok-pokok yang
tumbuh di lereng curam gaung.”
“Di
mana mereka?”
“Mati
akibat kelemasan udara gaung. Aku sempat memanjat ke dahan lebih tinggi. Namun
di sekitar mereka tiada dahan yang lebih tinggi, maka mereka dilemaskan udara
gaung.”
“Bagaimana
kalian boleh berada di situ?”
“Kami
tinggal di seberang sana.” Lelaki itu menunjuk ke arah tebing seberang gaung
yang ditumbuhi hutan sugi. Kami masuk ke daratan titian itu dan
tersesat, sehingga kami menemui lereng gaung itu dan cuba memanjat ke atas.
Sewaktu memanjat, kami melihat bawah dan menyedari daratan titian itu sudah
bergantikan lohong yang gelap, serentak itu aku menyedari rakanku terjatuh ke
dalamnya pabila dia melepaskan pegangan pada dahan pokok lereng.”
Aneh,
getus Shinji. Jika dia penghuni seberang gaung ini, dia tidak akan dibenarkan
masuk ke sini oleh kuasa Shirasaka bahkan tidak akan bertemupun tempat ini.
Lelaki ini cuba menipuku!
“Orang
muda, beritahu kisah sebenar kepada kami.”
Ryouji
tersentak. Dia memandang Shinji yang merenung tajam lelaki itu.
“Aku
tidak menipu kalian. Percayalah aku.”
“Engkau
tinggal di seberang gaung itu bukan? Jika demikian engkau tidak akan dibenarkan
masuk ke sini oleh kuasa Shirasaka!”
Lelaki
itu tergamam.
“Kuasa
Shirasaka akan membenarkan sesiapa yang sudah lama tinggal di sini terus tinggal
di sini, termasuk seberang gaung itu.” Jelas lelaki itu, cuba membela dirinya.
“Bohong!
Kuasa Shirasaka hanya melindungi gunung Kogen dan sempadannya ialah tebing
gaung sebelah sini!”
Lelaki
itu kehilangan hujah. Dia cuba bangkit untuk melarikan diri, namun kakinya yang
tercedera membatalkan hasratnya. Ryouji ternganga mendengar pernyataan Shinji.
Dari mana dia tahu semua ini?
“Shinji
mana kau tahu semua ini?”
“Nanti
aku beritahu. Seorang pengangkut barang bernama Musashi-san memberitahuku.”
“Engkau
dari sini bukan? Apa kau buat di gaung itu? Beritahu kami perkara sebenar!”
Ryouji pula mengambil urutan menyoalsiasat.
Lelaki
itu masih mendiamkan diri.
“Engkau
dari penjara Kogen bukan?” Shinji tiba-tiba membuat tekaan dengan yakinnya.
“Hah?”
Ryouji terkejut, memandang Shinji.
“Sewaktu
aku dan Tsuneki ditahan di lokap selepas keluar tanpa kebenaran, kami melihat
tahanan yang akan dihantar ke penjara Kogen dibawa keluar. Di tangan mereka ada
gelang itu.” Shinji membisik, dan menunjuk ke arah tangan lelaki itu. Gelang
logam itu berkunci, dan dipasang pada sebelah tangan sebagai penanda.
“Benar.
Aku melarikan diri.”
Ryouji
pantas mendekati lelaki itu.
“Pemuda,
di manakah letaknya penjara Kogen? Di mana?!” Ryouji memegang dan
menggoncangkan bahu lelaki itu.
“Aku
tidak akan kembali ke sana!”
“Penjara
Kogen terletak di satu tempat tersembunyi...” Shinji cuba memberitahu Ryouji,
namun Ryouji tidak mengendahkan, masih menumpu pada tahanan mereka.
“Sebentar.
Engkau... engkau Kentaro bukan?” Ryouji merenung tajam wajah lelaki itu. Ia
kurang jelas dek rambut panjang yang menutup wajahnya dan mukanya dicemari
celoreng dari tanah-tanah gunung dan
misai beserta jambang yang tidak dicukur. Namun wajahnya kian jelas tatkala
Ryouji duduk mengadap dan merenungnya kala ini.
“Ryouji...engkau
kenal dia?” Shinji menyoal. Tsuneki pula hanya duduk memerhati mereka sedari
tadi.
Lelaki
itu mengangguk. “Ya Ryouji. Mengapa engkau masih ingat aku? Dan mengapa engkau
di sini?”
“Kuso
(sial)!” Ryouji tiba-tiba melepaskan tumbukan ke muka lelaki itu.
“Engkau
pembunuh Keisuke!” Shinji dan Tsuneki pantas merangkul lengan Ryouji dan
menariknya sekuat hati ketika dia mahu menendang lelaki bernama Kentaro itu.
“Hukumanmu
belum habis dan engkau mahu melarikan diri pula ya! Di mana bangsat dua ekor
itu? Di mana mereka? Di mana Satoru dan Michio?”
“Mereka
sudah mati, Ryouji. Mereka mengikutku melarikan diri. Kami menyelinap keluar
melalui sebuah terowong di penjara itu, sehingga tiba di penghujungnya. Kami
mendapati Gaung Maut benar-benar di muka terowong itu. Aku keluar dan terus
memanjat ke atas menggunakan dahan pokok lereng. Namun Satoru terjatuh langsung
ke bawah, Michio pula lambat memanjat dan dilemaskan udara di gaung itu.”
Ryouji
kembali duduk melutut, beransur tenang. Shinji dan Tsuneki melepaskan rangkulan
mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan