Shinji dapat mendengar jelas perbualan pemuda-pemuda itu meskipun lokasi mereka jauh dan hanya berbual dengan suara perlahan sesama sendiri.
“Aku tidak puas hati!
Mengapa kita ditempatkan di pergunungan Yokuma? Keluargaku semua di sini.”
Salah seorang dari mereka yang berada di sebelah kanan, bersuara kepada yang
lain, separa berbisik.
“Bukan engkau seorang
sahaja Yukio. Aku pun tidak berpuas hati dengan arahan baru ini.” Ujar pemuda
yang berada di tengah.
Yang berada di sebelah
kiri pula menyambung, “Kita tidak boleh membantah arahannya. Hamadalah yang
menyelamatkan keluarga kita dari belenggu hutang dahulu. Tanpa bantuannya
mungkin bapa kita terpaksa menjual kakak atau adik perempuan kita.”
“Semua berpunca dari
perang yang sia-sia itu. Perang Boshin demi menghapuskan kuasa shogun.
Selepas perang, sawah padi keluarga kita pula diambil Maharaja. Demi sesuap
nasi, ibu bapa kita meminjam dari ceti Belanda, si hidung merah (akahana)
itu. Hamadalah yang menjelaskan semua hutang-hutang kita kepada akahana
dengan syarat kita berkhidmat kepadanya seperti hamba.” Yukio menambah.
Orang-orang Jepun menggelar seorang ceti Belanda di situ dengan gelaran akahana,
kerana lidah mereka tidak mampu menyebut namanya dengan betul. Namun pabila
mereka memanggil ceti itu berhadap-hadapan, mereka memanggil dengan nama nekku-san,
bersabit nama sebenarnya Pieter van Nekk. Pieter seorang pedagang Belanda yang
tinggi tubuhnya, rambutnya putih, perutnya membusung, dan kulit wajahnya merah,
paling ketara merah hidungnya. Selain berdagang, dia juga menguruskan sebuah
syarikat insurans dan juga memberi pinjam wang kepada rakyat Jepun.
“Seperti hamba, namun
kita masih merdeka bukan? Bahkan Hamada menggaji kita lagi. Dia juga melatih
kita bertarung. Aku tidak menyangka aku mampu menguasai kaminari, seni
berpedang lagenda ciptaan petarung terhandalnya Miura itu.” Ujar pemuda yang
berada di tengah.
“Aku tahu, Tetsuro.
Namun apa gunanya kita bekerja menyabung nyawa jika berjauhan dari keluarga?
Aku mahu pulang dan bersama keluargaku di waktu malam.”
“Shhh. Kalian, jangan
terlalu bising di sini. Kita masih di rumah Hamada. Ayuh, singgah ke pekan di
bawah dahulu. Kita boleh bersembang panjang.”
Nampaknya syaitan itu
masih berhati mulia. Namun adakah itu dikira berhati mulia, dengan menambat
mereka yang dibelenggu hutang agar berkhidmat menjaga punggungnya?
Seekor burung gagak
tiba-tiba terbang meluncur, menerpa ke arah leher Shinji dengan paruh terhunus,
namun Shinji sempat mengelak kerana mengesan bunyinya terlebih dahulu. Gagak
itu melanggar kayu mati dan paruhnya terbenam pada kayu itu.
“Sial! Burung gagak
aneh. Ia hampir menikam leherku dengan paruhnya.” Shinji memegang lehernya.
“Mujur aku sempat
mengelak.”
Shinji bangkit dari
mencangkung. Dia mahu menyepak burung itu demi melepaskan geram. Namun burung
itu pantas mencabut paruhnya, kemudian terbang pantas meninggalkan Shinji.
Shinji terpinga-pinga.
Apakah burung ini
dihantar seseorang? Ia seolah-olah mahu membunuhku.
Shinji melihat burung
itu terbang dan hinggap pada lengan seorang lelaki yang tinggi dan berkimono
warna merah seperti daun momiji di musim luruh.
Shinji mengintai lelaki
itu dari celah belukar. Wajahnya panjang dan petak. Rambutnya panjang, hitam
dan licin seperti sutera, diikat kemas ke belakang seperti kebiasaan samurai.
Wajahnya disolek tebal dan putih seperti geisha. Ketinggiannya kira-kira
enam kaki. Tinggi, tidak seperti kebiasaan bangsa Yamato.
“Ne, Kurobi.
Engkau temui seseorangkah?” Lelaki tinggi itu menegur burung gagak yang masih
bertenggek pada lengannya.
Burung itu hanya
menggauk pendek. Ia bermaksud ‘Ya.’
Shinji gementar.
Kewujudannya di situ telah dikesan! Namun siapakah lelaki tinggi ini? Adakah
dia Hamada?
Lelaki tinggi itu
merenung ke arah lokasi Shinji. Shinji tambah gelabah. Lelaki tinggi itu
seolah-olah sedang merenungnya pabila wajah mereka saling bertentangan. Namun
lelaki tinggi itu pantas memaling muka mengadap taman bonsai di hadapannya,
yang dikelilingi pokok-pokok momiji.
“Nampaknya Kogen masih
belum berputus memerhatiku. Teruskan kalian. Teruskan memerhatiku. Selagi mana
aku memegang kuasa batu ini, selagi itulah kalian boleh bermimpi menangkapku.
Sedang Maharaja sekalipun sudah berputus asa denganku.”
Lelaki itu ketawa
berdekah-dekah. Lenggok ketawanya seperti seorang mak cik namun bersuarakan
seorang lelaki tua.
Shinji benar-benar
menyangka lelaki tinggi itu sudah berjaya mengesannya, lantas dia beralih
posisi.
“Kurobi, bunuh
penceroboh itu. Jangan kembali sehingga engkau berjaya menikam lehernya.”
“Gakkk!” burung itu
menggauk panjang, menyahut arahan lelaki tinggi.
Tak guna! Lelaki tinggi
ini rupanya pemilik burung itu! Maka benarlah telahanku yang burung itu
sememangnya dihantar untuk membunuh mana-mana penceroboh!
Dan batu apakah yang
dimaksudkan lelaki itu? Batu, yang melindunginya, menggunakan kuasa? Bukankah
itu mirip batu tama-no-iwa itu yang memberikannya kuasa? Apakah lelaki
tinggi ini Hamada? Menurut Tatsuhiro, Hamada juga punya kuasa dari tama-no-iwa.
Namun Tatsuhiro juga memberitahuku hanya tiga puak selain Amaguri yang memegang
kuasa itu, iaitu Okuhida, Shirasaka dan Higashihara. Adakah Hamada dari puak
Higashihara? Bagaimana pula batu yang melindungi kawasan, boleh digunakan bagi
melindungi individu perseorangan? Aku tidak faham.
Kedengaran suara seorang
wanita memanggil lelaki tinggi itu dari dalam rumah. “Hamada-sama, wakil
keluarga Kurosawa datang mahu mengadap Tuan.” Lelaki tinggi itu masuk ke dalam
rumah.
Berderau darah Shinji
mendengarnya. Tidak syak lagi, lelaki tinggi itu Hamada!
Tatkala Shinji bergerak
turun dari belukar itu masuk menuju dataran rumah Hamada, burung gagak bernama
Kurobi itu sekali lagi terbang menjunam ke arahnya, cuba menikam leher Shinji
dengan paruhnya.
Namun Shinji pantas
mengelak kerana mampu mengesan kehadiran burung itu dari jauh lagi. Dia sempat
melibas tantou-nya mengenai kaki gagak itu. Gagak itu tersungkur dan
menggauk kuat, menarik perhatian para penghuni rumah besar itu, termasuk lelaki
tinggi.
“Apa yang telah
berlaku?”
Shinji berlari pantas
seraya menyorok di belakang rumah.
Hamada keluar. Tetamunya
dari Rumah Kurosawa diminta menunggu di anjung luar.
“Nampaknya penceroboh
itu telah mencederakan Kurobi! Momota, arahkan pengawal jejaki penceroboh
sekarang!”
“Baik, Hamada-sama!”
Seorang lelaki yang menuruti Hamada di belakangnya menyahut arahan itu.
Sementara itu di belakang
rumah tersebut...
“Nyaris aku dilihat
mereka tadi! Burung bodoh!” Gerutu Shinji. Dia sedang bersandar rapat pada
dinding.
“Burung siapa yang
bodoh?” Kedengaran suara seorang wanita tua, seperti mak cik, dari balik
dinding tempat Shinji bersembunyi.
Hekk! Siapa pula yang
menegurku ini?
“Budak, shhh!” Mak cik
itu memunculkan diri.
“Engkau dapat melihat
lelaki tinggi itu bukan?”
“Siapa engkau?”
“Shhh! Perlahankan
suaramu. Aku tukang masak di sini. Apa kau buat di sini dengan beg berat ini?”
Mak cik itu merujuk kepada buntil kain yang sentiasa digalas Shinji berisi
batu-batu tama-no-iwa.
Shinji bersedia
melarikan diri. Namun haori-nya ditarik mak cik itu.
“Namaku Nanako. Aku
benci lelaki itu.”
“Hah?” Shinji terkesima
mendengar pengakuan dari seorang mak cik yang tidak dijangka. Lagi pula mak cik
itu tukang masak Hamada.
“Budak, aku berdendam
dengan lelaki tinggi itu.”
“Apa maksudmu, obaa-san
(mak cik)?”
“Lelaki tinggi itu ialah
Hamada. Dialah yang membakar kampung kami, Aoki ketika dilanda wabak dahulu.”
“Maksudmu Wabak
Berjangkit Aoki 1840?” Shinji cuba meneka. Dari pembacaannya, hanya wabak itu
yang disusuli dengan tragedi kebakaran besar-besaran di Aoki, sebuah
perkampungan besar dalam wilayah Shinagawa atau Gizen sekarangnya. Namun tiada
siapa tahu dari mana puncanya kebakaran itu.
“Benar. Aku melarikan
diri. Aku berjaya melepasi ujian untuk bekerja sebagai tukang masaknya. Aku
ingin bekerja di sini demi menuntut bela kematian keluargaku. Aku mahu
membunuhnya. Namun...”
“Namun apa?”
“Namun aku...aku tidak
dapat melihatnya...”
“Apa maksudmu, Nanako-san?
Bagaimana pula engkau tahu yang dia tinggi?”
“Dia...dia halimunan di
mata selain keturunanmu. Keturunan Amaguri. Momota, pembantunya yang
memberitahuku rupa parasnya yang tinggi. Momota mampu melihatnya.”
Berderau darah Shinji
mendengarkan perkara mengejutkan itu.
“Maksudmu, kuasa itu
datang dari sejenis batu yang dipakainya?”
“Begitulah khabar angin
yang kudengari dari orang ramai. Hanya satu keturunan sahaja yang mampu
melihatnya, iaitu keturunan Amaguri, seorang ahli sihir yang mencipta batu itu
dan memberikan kuasa sama kepada keluarga pengasas Kogen, Shirasaka.”
Maka benarlah Hamada
pemegang kuasa batu tama-no-iwa? Namun adakah dia dari puak Higashihara?
“Nanako... apa kau buat
di sini? Dan, siapakah pula dia ini?” Kedengaran suara seorang lelaki menegur
dari belakang. Nanako menoleh, tanpa sedikitpun mempamerkan perasaan gugup.
Momota seorang lelaki bertubuh kurus dan sedikit rendah dari Shinji. Rambutnya
panjang diikat seperti samurai. Dia membawa sebilah pedang tersisip di
pinggang. Pakaiannya serba biru, dengan haori biru pekat dan kimono dan hakama
biru pudar.
“Momota. Aku temui budak
ini berkeliaran di sini. Dia kelaparan. Aku ingin menjamunya sedikit makanan.
Aku harap engkau benarkan dia masuk ke dapur kita?” Sebaik menghabiskan
kata-katanya, Nanako memaling wajah ke arah Shinji seraya mengenyitkan sebelah
matanya. Shinji faham.
“Hmm. Hei budak. Dari
mana engkau masuk? Aku tidak melihatmu di pintu utama tadi. Jangan-jangan
engkau yang menceroboh sebentar tadi?”
Shinji gugup. Adakah dia
perlu melarikan diri sekarang? Jika dia lari sekarang, maka dia secara tidak
langsung akan membenarkan dakwaan Momota.
“Tuan, aku benar-benar
hendak terkencing sekarang. Di manakah tandas di sini?” Shinji cuba menggunakan
alasan itu demi mengelak dari Momota.
“Err...e to. Di
situ.” Momota menuding ke arah kubikel kecil diperbuat daripada kertas keras
dan pagar-pagar buluh, berhampiran pintu masuk rumah itu. “Selepas engkau
kencing, keluar bertemu aku kembali!”
“Baiklah.”
“Momota, benarkanlah dia
menjamu di dapur dahulu.”
“Momota! Hamada
memanggilmu sekarang.” Suara seorang gadis memanggil Momota dari dalam dapur.
“Nanako, aku benarkan.
Namun jangan lepaskan dia selagimana aku belum kembali.”
“Baiklah.”
Momota kembali ke dalam
rumah.
“Momota, lihatkan
Kurobi. Kakinya tercedera. Aku lihat seperti hirisan tantou.”
“E to, Hamada-sama.”
“Nani?”
Momota teragak-agak.
“Aku telah menemui
penceroboh itu. Dia di tandas belakang sedang kencing.”
“Arahkan pengawal
menunggunya di sana.”
“Baiklah.”
Momota menyuruh gadis
yang memanggilnya tadi memberitahu pengawal.
Sebaik Shinji keluar
dari tandas, dia ditahan dua orang pengawal Hamada.
Shinji mengerling ke
arah Nanako. Wajah Nanako seperti berkata kepadanya ‘semoga berjaya’. Shinji
hanya mengangguk kecil. Nanako membalas dengan senyuman.
Shinji kini ditahan di
hadapan Hamada.
“Kalian, biarkan aku
bersendirian dengan budak ini.”
“Tapi, Hamada-sama...”
“Kalian pekakkah? Aku
hanya mahu bersendirian dengannya.”
“Baiklah...” Kedua-dua
pengawal beredar.
“Engkau yang
mencederakan gagakku bukan?”
“Gagakmu sudah dua kali
cuba membunuhku.”
“Sungguh berani engkau
menjawabku selepas menceroboh rumahku, budak.”
Shinji mengangkat muka,
sedang dia masih melutut di hadapan Hamada. Hamada pula, sedang berdiri memandangnya.
Tubuh Hamada yang tinggi tampak bertambah tinggi jika dilihat dari kedudukan
melutut.
Jelas di hadapan Shinji
seorang lelaki yang agak tua, ada jalur-jalur uban sedikit jika dilihat pada
jarak dekat begini. Wajahnya petak dan panjang dan disolek tebal putih melepak
seperti geisha demi menutup kedutan-kedutan. Namun kedutan itu tampak
jelas jika dilihat pada jarak dekat sebegini. Dia memakai kimono berwarna merah
menyala.
Hamada mengamati wajah
Shinji. Dia cuba mengalih badannya, sedang wajah Shinji mengekornya.
“Ne, budak.
Nampaknya engkau memang mampu melihatku. Sa... semua manusia tidak akan
dapat melihatku selain dari keturunan itu. Keturunan Amaguri!”
Serentak dengan itu,
Hamada mengeluarkan pedangnya dan menghunus ke leher Shinji. Shinji tidak
berganjak, matanya masih merenung Hamada, api kemarahan di dalam dada
bergejolak menanti dihamburkan ke wajah syaitan itu. Tiada sedikitpun gentar
terzahir pada wajahnya meski dihunus pedang Hamada. Kemarahannya lebih
menguasai diri.
“Siapa lagi keturunan
itu yang tinggal, selain dari Chiyo. Maka engkau pastinya anak Chiyo bukan?
Siapa namamu?”
“Shinji...”
“Shinji ka...
nama yang indah. Apa tulisan kanjinya?”
“’Shin’ untuk
baharu. ‘Ji’ untuk era.”
“Huh huh. Besar
cita-cita ibumu. Mengharapkan agar anaknya menjadi pembuka era baharu tamadun
Jepun. Era baharu yang telah melenyapkan kekayaan yang aku miliki.
Harta-hartaku telah dirampas Maharaja bedebah itu!”
“Hamada-san, aku
tidak berminat dengan politik. Aku hanya ingin tahu mengapa engkau membunuh
ibuku. Itu tujuan utama aku ke sini.”
Hamada pecah ketawa. Dia
kembali menyarung pedangnya. Shinji menahan api kemarahan di dada, tubuhnya
menggigil, penumbuknya sudah dikepal. Jika aku punya pedang sekarang sudah
pasti aku akan melibasnya merentas pinggang bedebah ini.
“Jadi, engkau menceroboh
rumah ini untuk membalas dendammu? Budak, cubalah. Engkau ada pedangkah?”
Shinji diam.
“Nampaknya engkau tidak
membawa satu. Ambil pedangku ini, dan bunuhlah aku.”
Hamada mencampakkan
pedangnya ke sisi Shinji. Perlahan-lahan tangan Shinji merayap mencari hulu
pedang itu, sedang matanya masih merenung Hamada yang tersenyum sinis di
hadapannya sedang masih berdiri.
“Sungguh? Engkau tidak
menyesal?”
“Aku tidak menyesal.
Namun selepas engkau membunuhku, engkau akan ditangkap para pengawalku dan akan
dihukum. Pastinya hukuman mati.” Hamada menggerakkan tangannya merentas leher,
sambil senyum sinis.
“Aku tidak peduli akan
nyawaku. Yang penting engkau harus mati di tanganku, Hamada-san.”
Hamada masih tersenyum
sinis.
Ini pertama kali seumur
hidupku, aku membunuh. Demi ibu, demi ketenangan ibu di alam sana, aku harus
menuntut bela kematianmu.
Shinji mengambil pedang
itu seraya melibas. Namun Hamada pantas menahan dengan sebilah lagi pedang yang
disisip di pinggang. Samurai kebiasaannya akan membawa dua bilah pedang,
disisip pada bahagian pinggang yang sama.
“Engkau ingat semudah
itu aku akan menyerah diri? Ayuh bertarung. Buktikan kemahiran berpedangmu,
budak!”
Shinji mengambil jarak.
Dia terdengar bunyi bisikan dari pengikut-pengikut Hamada di balik dinding.
Jelas mereka sedang mengintai pertarungan itu.
Namun keputusan
pertarungan seperti sudah dapat diagak. Shinji tidaklah searif Ryouji mahupun
Kobato dalam bertarung. Dia mudah ditewaskan Hamada. Shinji terbaring. Pedang
Hamada dihunus ke dagunya.
“Mudahnya. Apakah engkau
fikir dengan kemahiran tahap rendah begini engkau mampu menewaskanku. Usah
berangan!” Hamada bersedia mendaratkan libasan membunuh, sebelum Shinji pantas
mengeluarkan senjata api dan menembak tepat ke dada Hamada.
Hamada terkejut seraya
melepaskan pedangnya. Peluru itu tepat menembusi dada Hamada. Namun tiada darah
mengalir. Hamada masih berdiri di situ. Wajahnya mengukir senyuman sinis. Dia
ketawa lagi, kali ini lebih kuat. Seolah-olah seluruh kota Kawamoto dapat
mendengar hilai tawa puaka tua ini.
Shinji mengamati dada
Hamada. Di mana lubang pelurunya? Aku yakin benar peluru itu menembusi dadanya.
Sebentar. Aku ada mendengar bunyi pasu pecah. Pasu itu di belakang bangsat ini.
Shinji memandang di
belakang kaki Hamada. Ada serpihan pasu pecah berterabur.
Bagaimana mungkin peluru
itu menembusi dadanya namun tidak melukakan bahkan melubanginya? Aneh! Bahkan
ia hanya mengenai pasu itu sahaja.
“Bingungkah engkau,
budak?”
“Apa sihirmu, puaka
tua?”
“Itulah kuasaku. Kuasa
dari batu yang dicipta moyangmu Amaguri. Aku tidak akan dapat dilihat kecuali
oleh keturunannya atau orang-orang yang aku benarkan melihatku, dan aku seperti
angin, tidak boleh ditembusi peluru dan pedang.”
Tak guna! Baru kutahu
dia punya kebolehan ini. Seperti angin, tidak boleh ditembusi peluru dan
pedang. Kuso! Aku sepatutnya tahu lebih awal!
“Engkau tidak takutkan
kehilangan kuasamu jika engkau membunuhku?” Shinji cuba menimbulkan keraguan
dalam keputusan Hamada. Mungkin ada sinar cahaya dia dapat melepaskan diri dari
situasi genting ini.
“Bodoh juga engkau. Jika
keturunan Amaguri pupus, ia akan membuka kesemua rumah-rumah perlindungan Kogen
yang sedang disembunyikan pertubuhan itu. Namun kuasaku tetap bertahan sehingga
aku mati. Hanya jika engkau sendiri memilih untuk menghapuskan semua kuasa tama-no-iwa
dengan meminta dari hayabusa-no-kami di hadapan tiang batu kalian, maka
kuasaku akan dihapuskan bersekali dengan perlindungan ke atas rumah-rumah
Kogen.”
“Shinji, aku hanya mahu
engkau dan ibumu mati agar engkau tidak melakukan penghapusan itu, dan aku juga
ingin menamatkan perlindungan ke atas rumah-rumah perlindungan Kogen. Aku mahu
memerdagangkan gadis-gadis cantik belasan tahun yang mereka simpan di
dalamnya!”
Tiba-tiba bumbung bilik
itu dipecahkan. Terjun seorang lelaki berpakaian seperti ninja. Dia bergerak
pantas menarik Shinji keluar dari bilik itu, terus ke lereng di tepi rumah
tersebut.
“Yare yare, siapa
pula yang masuk campur ini? Beruntunglah engkau diselamatkan, Shinji. Jika
tidak aku mungkin telah menamatkan riwayatmu hari ini.”
Pengikut-pengikut Hamada
cuba menjejaki ‘ninja’ itu namun gagal. Ia bergerak terlalu pantas, seperti
menggunakan kaminari jurus tinggi.
“Baka ka (engkau
bodohkah)?!” ‘Ninja’ itu berhenti di balik belukar, menengking Shinji.
Shinji hanya mendiamkan
diri. Dia sedar dia bersalah dan telah menyusahkan pegawai Kogen.
“Tatsuhiro menghantarku
menyelamatkan engkau. Sekarang engkau faham bukan mengapa kami tidak mampu
menewaskan lelaki tua itu?”
“Faham...”
“Aku harap engkau tidak
ulangi lagi kesilapan ini, Shinji!”
“Arigatou...”
Shinji tidak berupaya berbicara lanjut. Dia kebingungan dan keletihan.
Kata-kata Hamada sebentar tadi berpadanan dengan penerangan Tatsuhiro. Namun
mengapa pula kuasa Hamada masih kekal jika dia, keturunan Amaguri, mati? Shinji
tidak dapat memahaminya.
Maka aku sendiri harus
menghapuskan kuasa Hamada dengan meminta dari hayabusa-no-kami di
hadapan tiang batu kami. Namun itu akan menyebabkan rumah-rumah perlindungan
kami terbuka kepada pencerobohan!
Bingung, sungguh
membingungkan! Tidak hairanlah Kogen beriya benar mahu memastikan keselamatanku
terjamin!
**
Monolog Ryouji
Sejak misi di Suruga
pada hari itu, aku dirundung pelbagai persoalan. Tentang kebolehharapan Kogen,
tentang Ayame yang kulihat cuba menyembunyikan sesuatu dan mungkin, merancang
membentuk pasukan renegad (renegade) bernama Skuad Sakura. Tentang harta
peribadi bapaku yang dikatakan disimpan di sini, yang salinan asal wasiatnya
dalam simpanan keluarga Shirasaka. Tentang nasihat bapaku yang menegahku dari
membunuh, meskipun terbukti kesalahan jenayah sasaranku itu. Dan yang terakhir,
tentang wujudnya kawasan tersembunyi di sekitar sini, khususnya penjara yang
menempatkan pembunuh Keisuke itu.
Aku perlukan lebih
maklumat. Aku tidak fikir aku boleh mengharapkan Shinji semata-mata. Aku
perlukan lebih dari seorang pembantu. Mungkin Tokui? Ya, Tokui. Tokui akan
dipindahkan ke rumah perlindungan kami, selepas dia tamat menjalani hukuman
penjaranya selama dua bulan kerana mencampuri urusan Kogen. Aku tidak dihukum,
namun telah diberi amaran kerana ini kesilapan pertamaku, dan kerana aku telah
menewaskan pasangan itu meskipun aku gagal melaksanakan hukuman bunuh. Jika
diikutkan Tokui akan dipenjara selama setahun, namun Kogen mempertimbang
mengurangkannya kerana dia telah menyelamatkan aku dengan membunuh pasangan
itu, sekaligus menyelesaikan misi Kogen.
Fizikal Tokui rendah
sedikit dariku, dalam lima kaki enam inci. Wajahnya ada iras Kobato sedikit,
sepet matanya, gelap kulitnya, dan rambutnya tidaklah sepanjang Kobato, namun
ia tetap diikat membunjut ke belakang dengan sedikit turun menuruni pelipis dan
dahinya. Dahinya rata dan tidak jendul seperti dahi Kobato. Dia sedikit berotot
berbanding Shinji, namun kecil sedikit berbanding Kobato. Tentang sikapnya, aku
hanya boleh membuat tanggapan awal. Dia tegar dengan keputusannya, terutama
ketika membunuh Segawa dan Masami. Dia tidak teragak-agak sepertiku. Aku fikir
kejayaan Ayame memujuknya adalah kerana simbol Skuad Sakura itu yang pernah
ditunjukkan kepada Ayako rakannya. Tanpa simbol itu, mungkin akan lebih sukar
memujuknya.
Apalah agaknya yang
dilalui Tokui sebelumnya? Apa kisah latarnya sehingga dia begitu mudah memilih
untuk membunuh pasangan itu? Atau dia sememangnya seperti Kobato, berpenyakit
jiwa? Tindakan agak menakutkan. Aku bimbang, jika dia membunuh
sewenang-wenangnya. Dunia ini tidak semudah hitam dan putih. Sebarang
keputusan, meskipun hukuman undang-undang, wajar diteliti dan diperhalusi
terlebih dahulu sebelum diputuskan. Jika terlalu cepat memutus, maka aku
bimbang Tokui akan melakukan kesilapan besar di masa akan datang.
Meskipun kod Kogen menghalalkan
darah pelaku jenayah rogol dan pelacuran anak-anak kami, aku masih meragui
kewajarannya. Aku fikir kod itu wajar dipersoalkan. Aku boleh katakan, tidak
hanya nasihat otou-san yang mengkakukan tanganku ketika itu. Ia diriku
sendiri. Sesungguhnya aku tidak sampai hati. Maka aku menggunakan alasan mahu
menahan mereka di Kogen dan mendengar mereka lebih lanjut, sedangkan sebenarnya
aku mahukan Kogen mengambilalih peranan menjatuhkan hukuman bunuh itu. Kerana
aku benar-benar tidak mahu melakukannya. Sejujurnya aku berasa lega, kerana ia
dilakukan Tokui. Aku masih dapat mengelak dari melakukannya sendiri.
Mampukah aku menggalas
tugas begini? Aku kini dalam posisi penjatuh hukuman, bukan lagi saksi
sepertimana dalam kes Keisuke. Anak-anak di rumah itu adalah mangsa, sama
seperti Keisuke, dan mereka ‘mengamanahkan’ kepadaku untuk menjatuhkan hukuman.
Namun aku masih teragak-agak.
Aku perlu membuat
pilihan sekarang, atau aku akan dipaksa membuat pilihan kelak.
Pertama sekali aku mahu
menjejaki penjara rahsia itu dan bertemu pembunuh Keisuke. Aku perlukan bantuan
Shinji hari ini.
Sebentar, di mana
Shinji? Aku tidak bertemunya ketika sarapan. Dia juga tiada di katilnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan