Musim bunga, 1872 (sekitar masa Ryouji dan rakan-rakan berpindah ke Kogen)
Tiga
orang pemuda dalam pertengahan tiga puluhan, sedang berdiri berhampiran sebuah kedai
makan di pinggir Ishikawa. Ishikawa ialah kawasan perkampungan nelayan mengadap
Laut Jepun. Pemuda-pemuda ini barangkali samurai atau bekas samurai, melihatkan
mereka membawa pedang di pinggang.
Sonzaemon
sedang makan bersama rakan-rakan baru yang dikumpulkan sejak dua tahun lepas.
Dia, bersama-sama rakan barunya, bekerja sebagai nelayan di situ. Tubuhnya
sudah kurus sedikit sejak bekerja keras melaut. Dia sudah bekerja di sini
hampir dua tahun setelah melarikan diri dari Furukawa pada 1870 selepas konco-konconya
ditewaskan Ryouji.
Perbualan
samurai-samurai muda itu agak kuat sehingga dapat didengari para nelayan yang
sedang khusyuk makan tengahari. Angin laut berhembus lembut, tidak terlalu kuat
sehingga menabir suara mereka. Cuaca cerah sekali hari ini, di awal musim bunga
1872.
“Sudah
sedekad kita mencari pewaris puak itu namun tidak ketemu. Akhirnya kita kembali
ke sini.” Salah seorang samurai bersuara.
“Budak
bodoh itu meninggalkan bapanya, ketua puak Yoshihisa tanpa apa-apa berita.
Bapanya meninggal dunia sedang dia hilang entah ke mana. Sekarang wilayah di
bawah keluarga Yoshihisa diserap ke dalam wilayah pemerintahan Ninomiya kerana
tiada pewaris.”
“Yoshihisa
Hatakemaru, di mana engkau berada sekarang?” Gumam seorang lagi pemuda.
Sonzaemon
tersedak kuah miso yang dihirupnya, mendengarkan nama itu. Dia perlahan-lahan
mengangkat muka yang sedari tadi hanya terbenam pada mangkuk miso, cuba
mengamati gerangan siapakah samurai-samurai itu.
“Engkau
mengapa Sonzaemon?” Salah seorang dari dua rakan Sonzaemon yang turut makan
bersama, menegurnya.
Sonzaemon
tidak mengendahkan rakannya. Matanya mengamati wajah-wajah samurai itu.
Bukankah
itu Toshio, pewaris Ninomiya? Dan dua lagi pengikutnya yang bernama Natsuo dan
Hirotsugu?
Sonzaemon
mengamati wajah mereka satu persatu, berhati-hati agar tidak disedari mereka.
Sah,
memang mereka! Wajah mereka masing-masing telah berubah dan berbulu-bulu
seperti Emishi! Mungkin, kerana darah Emishi mereka. Puak Ninomiya antara yang terawal
berhijrah ke utara dan bercampur gaul dengan penduduk Emishi yang menghuni asal
kawasan hutan utara.
Benarkah
bapaku sudah meninggal dunia? Dan wilayah kami diserap masuk ke dalam wilayah
pemerintahan Ninomiya? Ah, persetankan. Aku sudah tidak peduli akan wilayah
kami. Aku sememangnya mahu melarikan diri dari kesamuraian. Namun, berita
pemergian otou-san itu benar-benar mengejutkanku.
Apakah
gilanya mereka, setelah sedekad masih mencariku lagi! Kalian benar-benar gigih!
Sonzaemon
duduk tegak, bertafakur. Rakan-rakannya hairan melihat gelagatnya. Yang sedang
mengunyah udon di mulut terjuihkannya, yang sedang menyudu kuah ramen terpegun
dan tergugurkan sudu ke dalam mangkuk.
“Engkau
tiba-tiba berdoa apa pula ini Sonzaemon?”
Sonzaemon
tidak menjawab. Nampak air mata perlahan-lahan meleleh dari sudut mata.
“Engkau
menangis pula?”
Salah
seorang rakannya menghulurkan kain pengelap yang sering disangkut di bahu.
Sonzaemon mengelap matanya.
“Haih,
engkau ini macam perempuan pula. Apa yang engkau tangiskan Sonzaemon? Teman
wanitakah?”
“Nanti
aku jelaskan. Habiskan makanan kalian. Aku bayarkan semua.”
“Obaa-san
(Mak cik), satu lagi mangkuk udon.”
“Gotou!”
“Ehehehe...alang-alang
Sonzaemon. Alang-alang engkau yang bayarkan.”
“Obaa-san,
satu lagi mangkuk ramen.”
“Baiklah.”
Seorang mak cik menyahut pesanan mereka.
“Arghh,
pokai aku!”
“Bertenanglah
Sonzaemon. Esok aku bayarkan pula.”
Sudahlah
aku bersedih. Kini mereka mengambil kesempatan pula.
**
Pertengahan musim
bunga 1872 (Ryouji dan rakan-rakan baru sahaja berpindah ke Kogen)
Pekan Kawamoto
ialah pusat pentadbiran Wilayah Gizen, terletak di tengah-tengahnya. Di
sepanjang laluan utama pekan tersebut dapat dilihat kereta-kereta kuda, penjaja
sedang menarik kereta kayu berisi barang jajaannya seperti kraftangan dan juga
ada penjaja sake yang menjual sake terus dari tong sake yang ditarik di belakangnya, dan
orang ramai lalu-lalang mengunjungi kedai-kedai di bahu laluan yang menjual
barangan tani, makanan dan snek traditional Jepun, dan juga kraftangan. Tidak
seperti Shizen, di sini samurai lebih ramai, ketara dengan ramainya dari
kalangan orang ramai tersebut yang membawa pedang tersisip. Pekan ini juga
lebih luas dan besar dengan populasinya lebih kurang tiga kali ganda populasi
Shizen.
Di pekan ini
jugalah gabenor Gizen (atau dahulunya daimyo
Shinagawa), Yoshitsugu Hamada tinggal, nun jauh di atas bukit yang terletak di
hujung laluan utamanya, di mana di kaki bukit itu terletaknya bangunan bugyou atau samurai majistret. Bukit
tersebut ditanam pokok-pokok shirakaba
yang tinggi diselang-seli dengan pokok momiji
dan juga pokok-pokok malar hijau yang rimbun daunnya dan tinggi, memberi
ilusi seolah-olah ia sebuah hutan tebal yang menutupi rumah Hamada dari
pandangan pengunjung pekan Kawamoto di kaki bukit tersebut. Namun rimbunan
pepohon ini juga memberi peluang kepada para pengintip yang ramai di pekan
untuk bersembunyi dan mendengar butir bicara Hamada dengan para samurainya,
kemudian membocorkannya kepada Kogen.
Pada bukit tersebut
terdapat sebuah denai memudahkan pelawat mendakinya sehingga ke puncak – iaitu
denai yang pernah didaki Shinji – yang ditarah berbentuk tangga dan dilapisi
batu-batu kerikil, namun disembunyikan oleh rumput dan tumbuhan renek yang
tebal. Apabila didaki sehingga ke puncaknya, akan tibalah pelawat ke sebuah
kawasan luas yang ditumbuhi pepohon momiji
yang banyak sekali, kerana Hamada sukakan pokok itu.
Di tengah-tengah
kawasan luas itu terdapat sebuah taman bonsai yang di tengahnya dilengkapi
dengan kolam ikan koi, sama seperti taman di rumah perlindungan Takasaki. Pokok
matsu juga ditanam dua ke lima batang
di sekitar teratak yang bersimpang siur di sekeliling kolam itu meskipun
sedikit bagi mengimbangi warna momiji
tatkala warnanya berubah kirmizi ketika musim luruh.
Menghadap taman
itu, ialah rumah Hamada yang besar. Kelihatan seorang lelaki gemuk berkimono
dari sutera yang mahal berwarna hijau sedang berdiri di hadapan anjung rumah
itu, di atas teratak kerikil, sedang menunggu Hamada. Dia berseorangan.
Pengiring-pengiringnya sedang menunggu di ruang menunggu yang terletak di
bahagian lain rumah yang besar itu.
“Otou-san.” Lelaki gemuk itu memanggil
bapanya Hamada. Dia masih berdiri mengadap anjung.
“Tsugiyama telah
mati. Dia dibunuh isteri Takasaki.” Maklumnya.
Hamada tidak
memberikan sebarang reaksi. Dia sedang duduk bersila di anjung rumah yang
tingginya dari tanah separas lutut. Dia sedang melihat cermin yang besar,
sedang tangannya memegang penekap solekan, menempek-nempek penekap itu ke atas
kulit wajahnya. Kemudian dia meratakan debu-debu solekan itu sehingga putih
melepak wajahnya seperti geisha. Dia
masih tidak mengendahkan kata-kata anaknya itu, masih dengan asyiknya menyolek
wajah tua berkedut itu. Kemudian dengan tenang dia meletakkan alat penekap, dan
mencapai batang gincu merah. Digincu bibirnya agar tampak merah menyerlah di
celah-celah wajah yang telah diputihkan itu seperti daun momiji di musim luruh, iaitu pokok kegemarannya.
Hagiura merenung
bapanya tanpa sebarang riak terlukis di muka. Sekali lihat, lelaki gemuk ini
apabila pegun begitu, nampak tidak ubah seperti patung batu makhluk kappa
yang gemuk dan bulat kepalanya dan ditumbuhi lumut-lumut hijau, sesuai dengan
warna kimononya yang hijau. Meski Hagiura seperti sudah lali dengan perangai
aneh bapanya itu, namun dalam hati dia masih memaki.
Dah tua pun masih
bodoh!
Bapanya sudah
begini sejak peristiwa itu. Peristiwa yang telah mengubah peribadi bapanya
seratus lapan puluh darjah.
Tiada terkejut
dipamerkan Hamada selepas mendengar berita buruk berkenaan Tsugiyama, meskipun
dia salah seorang bekas samurai terhandal yang pernah dimilikinya. Kemudian dia
meletakkan gincunya, menoleh memandang ‘patung kappa berlumut hijau’ itu
dan mula bersuara.
“Hagiura, aneh
bukan? Mulanya Takasaki, kemudian Tsugiyama. Dalam masa tiga bulan sahaja bekas
samurai-samurai terbaik kita mati dibunuh. Hagiura, engkau sudah tahu siapa
yang membunuh Takasaki?”
“Tsugiyama ada
memberitahuku sebelum dia melakukan serangan kedua di rumah Takasaki. Anak
Miura memberitahunya bahawa Takasaki dibunuh oleh anak Kozue Taka.”
“Kozue Taka?
Sebentar, aku seperti pernah mendengar nama itu.”
“Lama dahulu,
keluarga terakhir yang dibakar Takasaki atas arahanmu.” Sudahlah bodoh, pelupa
pula!
“Oh, ya! Baru aku
teringat. Benar katamu. Namun bukankah aku telah arahkan seluruh keluarganya
dibunuh dan rumah mereka dibakar?”
“Ya. Nampaknya
Takasaki senyap-senyap mengingkari arahanmu pada waktu itu dan menjaga anak
Kozue.”
Nasib engkaulah
Takasaki. Itulah balasannya mengingkari arahanku.
“Di mana anak Kozue
Taka? Aku mahu dia dihapuskan.”
“Menurut Tsugiyama,
dia telah mati, kerana menyalahgunakan jurus kesembilan seni kaminari. Ini gelang rambutnya sebagai
bukti.”
“Jauhkan dariku.
Aku tidak mahu memegangnya. Mungkin bawa penyakit.” Hamada membuat muka
geli-geleman seperti seorang pondan, lengkap dengan isyarat tangan yang
membengkok sedikit. Dia menyambung bicara.
“Otou-san, aku dengar dari Tsugiyama dan
Shizuo yang anak Miura itu sudah menguasai jurus kesembilan kaminari-no-kaze ciptaannya itu, namun
di bawah sedar. Namun mereka tidak pasti bagaimana ia berlaku. Yang pastinya,
setiap kali ia berlaku, seekor hayabusa
sedang mengibaskan sayapnya di atas Ryouji anak Miura itu. Dalam kes Shizuo,
seekor hayabusa biasa, manakala dalam
kes Tsugiyama, Goro.”
“Goro pun terlibat
sama? Aneh, aneh. Jika anak Miura hanya mampu melakukannya dalam separa sedar,
bagaimana pula Miura mampu melakukannya dalam sedar?”
“Maaf otou-san, pemahamanku tentang kaminari tidak mendalam. Aku tidak pasti
bagaimana Miura melakukannya dalam sedar. Namun menurut pemerhatian Tatsuya,
isteri Takasaki juga melakukannya dalam sedar.”
“Aneh, isteri
Takasaki bukan dari keturunan Okuhida ataupun Shirasaka seperti Miura, begitu
juga anak Kozue Taka. Ini bermakna sudah dua orang yang bukan dari puak yang
dua itu, yang mampu mencapai jurus ini. Aku yakin Takasaki punya kaedah baru
mencapainya.”
“Aku pun fikir
begitu, otou-san. Dari laporan
Shizuo, dia tidak pernah melihat pedang yang mereka gunakan. Ia ringan namun
kuat, bahkan menyumbingkan pedang Shizuo. Aku fikir itu rahsia mereka.”
Maka dengan
mengubah ramuan pedang, orang-orang yang bukan dari kalangan puak yang dua itu
akan dapat mencapai jurus kesembilan? Itukah rahsianya? Atau hanya itukah rahsianya?
Hamada berfikir,
cuba merancang gerakan catur seterusnya. Dia sudah kehilangan semua bekas-bekas
samurai terhandalnya, Miura, Takasaki, Saitou dan Tsugiyama. Dia perlukan
petarung handal yang baru sebagai pengganti. Siapa yang boleh diharapkan?
“Hagiura, Sonzaemon
masih ada di Ishikawa?”
“Ya, otou-san. Dia mengemis di sana selepas
lari dari Furukawa. Sekarang ini menjadi nelayan. Badannya sudah kurus sedikit
sekarang, cuma tembamnya masih ketara. Mengapa engkau tiba-tiba berminat dengan
si gemuk itu?” Hagiura selamba mengutuk fizikal Sonzaemon, tidak sedar yang dia
juga gemuk.
“Dia tahu menarik hayabusa seperti Tsugiyama. Dia juga
bekas samurai dari utara, melarikan diri dan berkhidmat di bawah Kimura sebagai
petani bersama-sama Miura. Sejak itu dia menjadi gemuk. Aku rasa aku perlu
memberinya sedikit dorongan agar dia boleh menguruskan badannya. Kunci
penguasaan jurus kaminari ialah
pengurangan jisim, termasuk berat badan.”
Hagiura merah muka
sambil memandang perutnya yang makin membusung. Dia juga gemuk dan sedar
hakikat itu. Aku mungkin perlu kurangkan makan nasi. Dan kurangkan minum sake.
Tidak. Sake satu keperluan. Aku perlukan sake. Nasi tidak apa. Maka,
lupakanlah. Kegembiraan hidup itu lebih kupentingkan.
“Apa ideamu untuk
mendorongnya?”
“Aku akan
memberikannya makan sedap-sedap. Namun dia hanya akan diberi makan sekali
sehari dan dietnya akan diatur, dan hanya selepas dia menamatkan latihan
hariannya dan dia akan dikurung di sini.”
“Engkau sudah tahu
siapa yang akan melatihnya?”
“Aku mahu dia
dilatih oleh Shizuo. Shizuo akan aku pindahkan ke sini, sebagai pengganti
Tsugiyama dan pembantu engkau dan aku. Shizuo akan melatih Sonzaemon seni kaminari.”
“Mengapa tidak
engkau jadikan Shizuo sahaja pengganti Tsugiyama?”
“Kerana aku mahu Shizuo
dikembalikan ke tugas asalnya selepas selesai melatih Sonzaemon. Dia punya
jaringan yang bagus untuk mengenalpasti kampung-kampung yang ada anak gadis
untuk dijual.”
“Habis, siapa yang
akan menggantikan Shizuo?”
“Buat masa ini, aku
akan mengambil Atsushi kembali bekerja denganku. Dia juga seperti Shizuo
memiliki jaringan yang bagus. Atsushi sekarang rancak merompak di Nakasendo.
Aku tidak mahu dia berterusan mengganggu pedagang-pedagang di situ, tempias
buruknya akan mengganggu nama baikku selaku bekas daimyonya.”
“Lalu mengapa pula
tidak sahaja engkau bawa Atsushi ke sini? Risikonya besar jika engkau mengambil
Sonzaemon, kerana dia tidak pandai bertarung dan gemuk.”
“Aku mahu Atsushi
kekal di luar sepertimana Shizuo. Sedang Sonzaemon, engkau tidak tahukah yang
dia bekas samurai Yoshihisa yang pernah berkhidmat untuk Hoshimiya di utara?
Aku hanya perlukan seseorang untuk melatihnya kaminari.”
“Mengapa Sonzaemon,
otou-san, selain dari kebolehannya
menyeru hayabusa? Bukankah dia gagal
melunaskan hutangnya terhadapmu? Aku hairan mengapa engkau tidak menangkapnya
meskipun sudah tahu lokasinya.”
“Kegagalan
melunaskan hutang itu di luar kawalannya kerana tanah sawah Miura itu diambil
kembali oleh Maharaja. Aku berminat dengan Sonzaemon kerana jaringannya yang
aku dapat tahu dari pengintipku. Dia bergaul dengan masyarakat di luar kasta
samurai dan mudah didekati, meskipun ketika menjadi samurai di utara dia tidak
kisah bergaul dengan petani dan nelayan. Dia kenal pakar racun Noguchi Takamine
bekas tabibku itu, penjual dan penyumpit fukiya,
pembekal senjata api di Furukawa. Sonzaemon adalah kunci bagi menguatkan kita
dengan pasukan baru dan senjata baru.”
“Aku hairan, otou-san. Jika dia punya jaringan yang
bagus, mengapa dia memilih untuk membunuh Miura? Aku tahu dia dengki kerana
Miura punya hasil yang tinggi. Bukankah dia patut menggunakan jaringan itu
untuk mencari kerja lain?”
“Dia mahu selesa
hidup di sawah itu di bawah Kimura tanpa perlu lagi merisikokan nyawanya dengan
menjadi samurai. Hagiura, dia memang dengki, dan yang lebih utama dia juga
mahukan bendang Miura. Miura menjaga sawahnya dengan begitu baik sebelum dia
mati. Dia membina sistem tali air yang baru, yang mengawal kuantiti air ke
sawah dan mengelakkan banjir. Sonzaemon berfikir dari dia meminjam wang yang
banyak bagi melakukan perkara sama, mengapa tidak dia keluarkan sedikit sahaja
wang untuk mengupah pembunuh Miura?”
“Dia menggunakan
kemahiran komunikasinya bagi menghasut bekas pekerja Miura agar meninggalkan Miura
dan bekerja dengannya. Maka, kerja-kerja di sawah Miura tidak akan rumit dengan
bantuan mereka nanti. Itu perancangan dia denganku. Untung akan dibahagi antara
dia denganku. Namun disebabkan Maharaja merampas tanah itu, semua perancangan
ini terkubur begitu sahaja.”
Hagiura sebenarnya
agak gusar dengan keputusan bapanya mengambil Sonzaemon. Sonzaemon padanya
tidak boleh dipercayai. Namun mungkin, bapanya lebih tahu dari maklumat yang
diperolehi dari pengintipnya yang kian berkurang itu.
Asalkan bapaku
tidak mengganggu urusanku dan membuat keputusan atas risikonya sendiri, maka
aku tidak kisah. Namun aku akan pastikan, aku akan mewarisi wilayahnya suatu
hari nanti. Dan aku akan pastikan pada waktu itu yang Sonzaemon hilang dari
pandanganku.
“Oh ya Hagiura,
bagaimana dengan aktiviti karayuki
engkau?”
“Orang-orang Kogen
semakin rancak menghalang pasukanku dan menangkap bakal-bakal karayuki dan membawa mereka ke rumah
perlindungan, sejak mereka mendapat bantuan Maharaja. Otou-san engkau ingat bukan tahun lepas, di Kisennuma, di mana
mereka telah merampas feri kita?”
“Aku tidak pernah
melupakan itu. Pulangannya setahun membendang. Dan kita terlepasnya begitu
sahaja.”
“Malah terbaru
mereka sanggup membayar orang-orang kita agar mereka tidak lagi mengganggu
keluarga yang telah menjual anak perempuan mereka. Kogen juga berani menerima
kemasukan anak-anak keluarga miskin ke rumah perlindungan mereka, berkat
bantuan kewangan Maharaja.”
“Maksudmu, mencari
gadis-gadis baru untuk dijual semakin sukar? Mengapa tidak engkau serang sahaja
rumah perlindungan mereka?”
“Orang-orangku
tidak menculik, otou-san. Kami membeli anak gadis dari ibu bapa yang
rela, atau atas kerelaan gadis itu sendiri, atau membeli gadis-gadis yang
dipukau dari puak Emishi. Jika pun aku memilih cara ganas, adalah mustahil
untuk aku menyerang rumah perlindungan Kogen. Engkau pun tahu, bukan? Tentang
sihir mereka.”
Hamada tidak
menunjukkan sebarang reaksi. Dia arif benar akan sihir itu. Sihir yang sama
juga memberikannya kuasa halimunan.
“Sihir itu datang
dari batu yang mereka letak bagi menghalang penceroboh dari menjejaki
rumah-rumah perlindungan mereka. Itu yang kudengar dari ura-ura orang ramai.
Sihir sama yang engkau gunakan bagi menyembunyikan dirimu, otou-san.”
“Aku tidak peduli.
Serang kampung-kampung dan culik mana-mana anak gadis. Kita perlukan mereka
sebagai sumber pendapatan. Aku telah diberi amaran oleh Maharaja agar tidak
lagi mengutip ufti dan aku mahu memperlahankan aktiviti tersebut sehingga
Maharaja sejuk hati. Maka, pemerdagangan dan pelacuran karayuki adalah sumber utama pendapatan kita sekarang.”
“Otou-san. Engkau ingin mengambil risiko?
Selama ini kita tidak pernah menculik...”
“Hagiura. Fikirkan
bagaimana. Culik atau tidak, aku sudah tidak peduli. Jika engkau mampu
melakukannya, engkau dan aku akan selamat. Tiada sesiapa yang akan menjejaki
kita.”
Cakap memang
senang. Bayangkan, jika jenayah culik begini diketahui Maharaja, akan bertambah
menyiraplah darah baginda. Dan engkau otou-san,
dan aku, dan semua pengikut kita, akan dilucutkan jawatan gabenor, dan akan
menerima penghinaan dari orang ramai dan dihukum baginda. Jika engkau mahu
menjadi penculik, jangan seret aku sekali!
“Beritahu Shizuo
rancanganku. Tangkap segera Sonzaemon dan bawa dia ke sini. Lagi cepat dia tahu
bertarung kaminari, lagi cepat
rancanganku ini membuahkan hasil.”
“E to, otou-san,
bagaimana jika engkau gunakan sahaja pasukanmu yang mengepung Tateyama dan
Yokuma?”
“Aku tidak mahu.
Mereka amat penting.”
Ya, penting! Kerana
Yokuma ialah pusat kuasa mistikmu! Dan Tateyama pula, tempat engkau mahu
melunaskan hasadmu terhadap Kogen!
“Baiklah otou-san.
Aku akan menggunakan sumber manusiaku demi mencari Sonzaemon.” Hagiura
mengangguk kepala, meskipun jauh di sudut hati dia tidak bersetuju.
Otou-san, aku gabenor, dan engkau juga gabenor. Engkau tiada kuasa mengarahkan
aku. Aku harap engkau sedar jika aku menuruti arahanmu ia kerana aku masih
menerima engkau sebagai bapaku. Namun bila-bila masa sahaja dari sekarang aku
akan memusnahkan engkau pabila tiba ruang dan peluang, kerana aku sudah muak
dengan semua karenahmu. Hanya kerana kuasa engkau itu, mereka tidak berani
melakukan apa-apa terhadapmu. Aku akan pastikan engkau jatuh tersungkur suatu
hari nanti. Aku akan mencuri batu itu dari tanganmu dan akan mencari jalan
memusnahkannya. Selagi mana ia di tanganmu, semua cubaan membunuhmu seperti
memukul angin. Sia-sia.
**
Selepas sebulan berlalu sejak misi di Suruga, satu hari Ryouji meminta
kebenaran dari Kotobuki untuk keluar selama beberapa hari melawat kampungnya.
Kotobuki bersetuju mudah. Mungkin telah dimaklumkan Ayame lebih dahulu.
“Hisamiko, kita berdua akan keluar dari sini selama beberapa hari.”
Ryouji bertemu adiknya beberapa hari sebelum mereka bertolak.
“Benarkah onii-san?!” Hisamiko teruja. Matanya membulat. Dia laju
memaut lengan Ryouji di sebelahnya, dan senyum lebar. Mereka berdua duduk di
bangku batu di taman zen.
“Benar, Hisamiko. Engkau akan menunggang kudamu.”
“Kita akan ke mana, onii-san?”
“Kita akan ke kampung kita dahulu. Aku mahu bertemu seseorang.”
“Seseorang?”
“Rakan lamaku. Kemudian kita akan menghabiskan masa di Inotani. Engkau boleh
meminta semua yang engkau inginkan. Aku akan cuba penuhinya.”
“Arigatou, onii-san!” Semakin kuat dia memaut lengan abangnya dan
menyandarkan pipi padanya, tersenyum lebar. Lama benar dia tidak senyum begitu.
“Sebentar, onii-san. Mengapa engkau kata begitu? Aku boleh
meminta semua yang aku inginkan?”
“Aku baru mendapat gaji pertamaku.” Ryouji tersenyum memandang Hisamiko,
tangannya di atas kepala Hisamiko. Hisamiko membalas senyuman.
Aku gembira melihat Hisamiko senyum begini. Aku harap dapat mengubati
luka di hatinya. Terlalu banyak perkara menyakitkan berlaku ke atas kami pada
tahun ini sahaja. Kematian Takasaki-san, Mariko, Azusa, dan Saki. Dan tidak
lupa Kobato yang bodoh itu. Kemudian Chisato pula diserang dan terlantar. Dan
belakangan ini ketika aku di luar, Hisamiko berseorangan menangis di sini,
seperti yang kudengari dari Shinji dan musang.
Aku harap tiada aral melintang dalam kembara kali ini. Mungkin ini kali
terakhir aku diberi peluang bersama-sama Hisamiko melihat dunia luar. Aku mahu dia
gembira sehingga selepas ketiadaanku nanti. Aku mahu mencipta seberapa banyak
kenangan manis dengannya. Aku tahu dia kesunyian di sini. Chisato di atas sana
masih tidak sedarkan diri. Aku mahu menghiburkan Hisamiko selagi masa masih
ada.
**
Mujur sahaja Tsuneki tiada kerana sedang dilatih memanah. Jika tidak
sudah pasti dia mahu mengikut kami. Aku tidak akan benarkan. Aku tidak mahu dia
menyibuk. Nanti aku akan membawanya pula mengikuti aku mengembara. Dia budak
lelaki, dia sepatutnya keluar dari situ. Lainlah jika dia dari jenis Shinji
yang berminat dengan buku dan makmal.
Di Kogen selepas Hisamiko dan Ryouji beredar...
Tsuneki meraung-raung dan melompat seperti budak-budak.
“Oi musang, kau dah gila ke?” Sae menegurnya. Sae sedang
memerhati Tsuneki sedari tadi. Nampaknya nama musang itu sudah tersebar ke
rumah-rumah perlindungan lain di situ.
“Ryouji...mana engkau? Ryouji!!” Tsuneki kembali meraung, sambil duduk.
Mujur suaranya masih belum pecah. Jika tidak semakin hodohlah pencemaran bunyi
di lembah yang tenang dan aman ini.
“Hisamiko... Hisamiko!!” Kemudian Tsuneki beralih kepada memanggil nama
peribadi Hisamiko.
Beberapa orang gadis dari rumah perlindungan Sae mula berhimpun di
sekeliling Tsuneki melihat ragamannya. Mereka ketawa dan berbisik-bisik. Tsuneki
tidak menghiraukan mereka, berjalan longlai menuju ke bangku di taman zen.
Kemudian terlelap di situ keletihan.
**
Ryouji membawa sebuah beg yang sama yang dibawa ketika pulang ke
kampungnya dahulu. Hisamiko menurut di belakang dengan kuda kecilnya yang
bernama Kaname.
Ryouji menyarung topi kon, sementara Hisamiko menyarung topi kon baru,
yang atasnya rata dan punya tali pengikat di bawah dagu. Topi begini agak aneh
rekaannya dari kebiasaan dan Ryouji membelikannya agar Azuchi ada tempat
bertenggek di atas kepala Hisamiko. Lengan Hisamiko yang kecil tidak mampu
menanggung berat Azuchi jika dibiarkan bertenggek di atasnya.
Setelah sejam menuruni lembah Shirasaka, mereka tiba di pantai mengadap
Laut Jepun, berhampiran perkampungan nelayan Onuma. Hari masih pagi, matahari
sudah naik suku di dada langit.
Perkampungan itu sunyi. Perahu-perahu terbiar bertambat di jeti, namun
masih bersih terurus. Barangkala ada nelayannya, cuma mungkin sedikit. Wabak
taun yang meragut sebahagian besar nyawa penduduk kampung itu dahulu telah
menebarkan penduduknya yang masih berbaki keluar ke serata Yozehama. Ada yang
berhijrah sehingga ke Semenanjung Noto. Mereka tidak lagi mahu tinggal di situ,
kerana sungainya telah tercemar dengan teruk. Hanya sebahagian kecil yang masih
tinggal di situ. Barangkali mereka pendatang baru, mungkin bergantung hidup
dengan air hujan atau air laut yang disuling bagi membuang garamnya.
Setelah matahari turun sedikit, mereka tiba di kampung. Disebabkan
perjalanan mereka menyusur tebing Sungai Miya yang panjang itu dari muara di
Yozehama, maka mereka akan bertemu dengan kubur bapa mereka dahulu. Ryouji
turun dari kuda diikuti Hisamiko.
“Masih seperti dahulu.” Gumam Ryouji ketika membersihkan daun-daun
kering lama dan ranting-ranting kayu mati yang melitupi pusara bapanya.
Hisamiko dan Ryouji duduk bersila di sebelah kubur Miura yang membusut
seperti kofun itu. Ia ditumbuhi rumpai-rumpai liar. Selalunya kubur
begini akan dicacakkan pedang milik mayat tersebut. Namun pedang Miura yang
bermata itu telah disimpan Ryouji. Sekali-sekala dia akan membawanya keluar
bagi melindungi diri sekiranya menyertai misi berbahaya.
Mereka berdua mendiamkan diri bertafakur. Masing-masing dengan monolog
sendiri, mengenang bapa mereka.
Lama benar kami tidak melawatmu, otou-san. Kali terakhir hampir
tiga tahun lepas. Di awal tahun ini aku cuma melepasi kawasan ini sahaja di
seberang sungai sana, ketika ke Shirasaka. Aku agak sibuk belakangan ini. Aku
baru sahaja dilantik menjadi ahli Kogen, otou-san. Ahli Kogen sepertimu.
Namun aku tidak menjadi pembiaya sepertimu. Aku menjadi petarung tugas-tugas
khas merangkap penjatuh hukuman mereka. Aku akan membunuh orang. Aku akan
membunuh orang, otou-san! Aku menjadi sepertimu ketika zaman mudamu,
yang menjadi samurai Hamada. Dan aku takut, amat. Aku runsing. Mampukah aku
bertahan begini bersama Kogen? Mampukah?
Mereka menunggang kuda menaiki sebuah cerun landai di tebing Sungai Miya
itu, untuk ke kampungnya. Sebaik melalui denai hutan, Ryouji teringat kembali
bagaimana dia menemui tompok-tompok darah di lantai denai itu, sewaktu dia cuba
menjejaki Miura.
Denai ini masih tidak berubah. Pokok-pokok yang tumbuh di tepian tidak
merayap ke tengahnya, seolah-olah hidup mereka dipandu oleh satu peraturan yang
tidak tertulis di mana-mana.
Tibalah mereka di kawasan lama rumah mereka. Ryouji sedia maklum bahawa
rumah tersebut telah dimiliki seseorang. Mereka tidak berminat untuk melawat
rumah tersebut. Ryouji perlu melalui kawasan yang penuh kenangan pahit dan
manis itu demi menuju ke destinasi utamanya, iaitu tempat dia menemui Keisuke
dibunuh.
Di musim panas begini, sawah padi masih hijau. Daun-daun padi sudah mula
tinggi dari paras air. Bulirnya sudah mula muncul, kehijauan, namun masih belum
matang buah padinya. Orang-orangan dipasang bagi menghalau burung.
Jerami-jerami kering yang berbaki di tepi denai-denai yang mengurati lautan
bendang yang luas terbentang itu sedikit dari biasa, kerana sudah dipindahkan
ke pekan Furukawa untuk dijual ke serata Jepun. Hari ini cerah. Harapnya
begitulah cerahnya harapan para petani yang mengharapkan hasil yang tinggi bagi
menjelaskan cukai kepada Maharaja dan memberi makan rakyat yang semakin ramai.
Semoga tahun ini mendatangkan hasil yang lumayan. Tiada gempa, tiada letusan
gunung berapi, tiada pemimpin bodoh yang membuat hal di atas sana, tiada bala
penyakit padi atau serangga juta yang kunjung tanpa diundang merosakkan
tanaman-tanaman kami. Begitulah bunyinya doa-doa mereka ketika berkunjung ke
kuil-kuil Shinto saban tahun meraikan tahun baru.
Tahun ini genaplah tahun ketiga Pembaharuan. Sudah tiga tahun
bendang-bendang ini diusahakan para petani persendirian yang diupah Maharaja.
Tiada seorangpun yang dikenali Ryouji. Ada lima ke enam orang petani sedang
bersiar-siar di tengah-tengah denai sambil memerhati petakan mereka. Ryouji
melepasi mereka dan hanya menunduk kepala sedikit, mereka membalas tunduk,
dengan wajah kehairanan. Dengan bendang-bendang ini diusahakan para petani
persendirian, Maharaja mengharapkan hasil yang lebih tinggi dapat diperolehi,
demi ‘mengkayakan negara dan menguatkan pertahanan’ iaitu cogan kata
yang terkenal itu. Namun sudahkah ia membuahkan hasil yang diingini itu?
Sudahkan mereka berjaya mengembalikan modal yang dilaburkan?
Ryouji dan Hisamiko telah berjalan kaki dari kawasan rumah mereka tadi,
sedang kuda dibiarkan di dalam belukar selepas mereka naik dari tebing landai.
Mereka tidak mahu berkuda di tengah-tengah bendang itu demi menghormati
orang-orang kampung dan para petani, serta bagi memastikan mereka tidak
disalahanggap sebagai samurai atau petarung atau mana-mana orang kebesaran.
Mereka orang asing di situ dan tidak mahu menarik perhatian sesiapapun, kerana
Ryouji agak rimas berbasa-basi demi memperkenalkan diri mereka berulang-ulang
kali. Ziarah ini diharapkannya ringkas dan sebentar. Kepulangan ke sini tetap
memeritkan meskipun ada kenangan-kenangan manis yang menghalwa di kalbu yang
berparut.
Ryouji sampai di tebing sebuah tali air, tempat dia menemui Keisuke
dalam keadaan kepalanya berdarah dan tidak sedarkan diri. Mayat Keisuke tidak
dikebumikan, sebaliknya dibakar atas permintaan ibu bapanya.
Ryouji duduk di atas tebing yang sedikit curam itu, lututnya diangkat,
tangannya kedua-dua belah memeluk betisnya. Hisamiko duduk meniru abangnya.
“Keisuke, aku minta maaf. Aku tidak ingat engkau. Aku jatuh sakit
selepas kematianmu. Selepas itu bapaku meninggal dunia dan tiada sesiapapun
yang tinggal untuk menceritakan kembali semuanya kepadaku.
Bagaimana engkau di sana? Engkau budak kasihan, Keisuke. Aku masih
teringat kali pertama aku menemuimu di sini. Dan tidak kusangka di sini jugalah
tempat engkau mati dibunuh.
Selepas kali pertama bertemumu dan aku memberi amaran kepada Kentaro dan
rakan-rakannya, mereka tidak lagi berani mendekatimu. Namun aku masih hairan
bagaimana engkau boleh dipukul di sini pada hari itu? Bagaimana engkau boleh
berseorangan di sini tanpa aku?
Keisuke, aku kembali ke sini pada hari ini, kerana aku ingin
memberitahumu satu perkara, bahawa sesungguhnya pemergianmu tidak dilupakan.
Aku tidak akan melupakanmu! Tidak sekali-kali, selepas aku telah pulih dari
kesakitan itu. Aku, ibu bapamu, kami sentiasa mengingatimu. Hidupmu tidak
sia-sia. Kita sempat bersahabat, meskipun singkat waktunya. Banyak kenangan
manis kita di sini. Selepas pulih dari kesakitan itu, aku perlahan-lahan sudah
dapat mengingat kembali memori kita di sini. Arigatou, Keisuke, untuk pertemuan
kita yang singkat itu. Hontou ni arigatou.
Maafkan aku, kerana tidak berada di sisi engkau sewaktu mereka
memukulmu. Maafkan aku kerana berkongsi didikan bapaku sehingga engkau
terlanjur berkata-kata yang akhirnya meragut nyawamu. Sesungguhnya aku telah
membunuhmu! Maafkan aku...”
Air mata Ryouji meleleh perlahan-lahan selesai dia mengungkapkan
kata-kata itu.
Tidak lama selepas kematian Keisuke, ibu dan bapanya meninggalkan
bendang itu. Ryouji tidak tahu ke mana mereka pergi. Malah dia tiada bertanya,
kerana memorinya hilang sama sekali berkenaan Keisuke.
Ryouji, apa yang engkau fikir sekarang? Telah ramai yang mati kerana
engkau tidak berada di sisi mereka sewaktu mereka diserang. Bahkan mereka yang
telah terbukti membunuh, engkau biarkan sahaja mereka terlepas tanpa engkau
menuntut bela mangsanya. Bapamu, penjaga kuil yang dibunuh Saitou itu, kemudian
Takasaki, Saki, dan Azusa. Kemudian Mariko. Berapa ramai lagi yang akan engkau
korbankan kerana kelemahanmu dan sikap berbolak-balikmu? Engkau masih mahu
mengharapkan Maharaja mengubah undang-undang sedia ada? Lihat Tokui, bagaimana
dia mampu pantas memutus, bahkan menyelamatkan nyawamu lagi! Ryouji, jika engkau
berterusan begini, tidak mustahil suatu hari nanti, nyawamu juga bakal
melayang.
Ya. Aku yakin pasti ada jalan keluar. Aku yakin pasti ada jalan keluar
melalui saluran undang-undang. Namun ia perlu dimulakan oleh sesuatu. Sesuatu
yang berpengaruh, seperti Kogen. Sesuatu yang dipandang tinggi oleh rakyat
jelata. Iaitu Kogen. Atau Maharaja. Atau kedua-duanya. Membunuh bukanlah
satu-satunya jalan yang ada. Dunia ini tidak semudah hitam dan putih. Aku yakin
pasti ada jalannya.
“Aku fikir aku ingat tentang rakanmu yang bernama Keisuke itu.” Ujar
Hisamiko, ketika mereka melangkah pulang ke lokasi kuda.
Ryouji memandang adiknya. Aku pernah melihat Hisamiko memerhati kami
berdua bermain di halaman rumah.
“Dia kurus dan rendah, wajahnya cerah dan bulat. Aku memberikan patung
kayu yang otou-san berikan padaku, kepadanya. Dia kelihatan amat gembira
dan tunduk berterima kasih kepadaku berulang-ulang kali.”
“Sou ka...” Ryouji menjawab acuh tak acuh, kembali memandang ke
hadapan seolah-olah tidak mendengar kata-kata Hisamiko. Hisamiko sedikit geram.
“Onii-san...”
“Aku mendengarmu Miko...”
“Engkau marah denganku?”
“Tidak.” Jawabnya pendek, masih memandang ke hadapan.
“Onii-san...”
Hisamiko ke hadapan melihat wajah abangnya. Wajahnya kaku seperti batu.
Tidak sedih, tidak marah, tidak gembira. Cepu fikir sarat.
“Aku tidak marah denganmu. Aku hanya pening sedikit.”
“Kita berehat dahululah. Di gua kecil itu.” Hisamiko mengambil tangan
abangnya, berpaut dan menariknya, agar langkah Ryouji dipercepatkan. Sedari
tadi dia melangkah longlai.
“Hmm.”
Saat itu, aku sedar. Kehilangan Keisuke adalah kehilangan kedua dalam
hidupku, selepas kucing itu. Ia mendahului kehilangan ibu dan bapaku. Ia satu
tamparan besar pada jiwaku yang tidak dapat menerima kegagalan melindungi
Keisuke, lantas aku cuba melupakannya, dan aku berjaya melupakannya, namun
dengan cara yang tidak kusangka. Melalui kesakitan.
Dan sekali lagi ia hadir dalam memoriku. Saat ini, aku mula berfikir
apakah aku sememangnya seorang yang gagal melindungi mereka di sekelilingku?
Bermula dari otou-san yang dipanah fukiya. Mengapa aku tidak
mampu melindunginya dari tembakan itu? Kemudian penjaga kuil yang dibunuh
Saitou itu. Ke mana Saitou menghilang? Apakah dia sudah dihukum? Bukankah
Takasaki yang melaporkan kepada daimyo Kimura akan kesnya? Dan Takasaki,
Saki dan Azusa, bagaimana aku boleh terlepaskan mereka malam itu sehingga
mereka dibunuh Kobato? Ya, malam itu aku bersama Chisato. Chisato menahanku.
Mengapa aku tidak menghiraukannya? Mengapa aku masih memilih Chisato? Apakah
aku sememangnya gagal dalam memilih? Atau aku digerakkan oleh sesuatu untuk
memilih semua ini? Agar semua peristiwa-peristiwa ini berlaku agar menepati apa
yang sudah tertulis?
Perlukah aku menyalahkan Tuhan, atau menyalahkan diriku yang tidak
bersungguh mencegah semua ini dari berlaku?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan