Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.
Maka dengan ini, telah sempurnalah sebuah novel
trilogi bertajuk Kaisenjyo, selepas berhempas-pulas selama hampir empat tahun,
dari Ogos 2020 hingga Julai 2024. Aku bersyukur kerana masih belum dijemput
ajal sehingga berjaya menerbitkan buku terakhir iaitu Yoru-no-kaze ini. Rezeki
aku, dan kalianlah agaknya.
Aku tidak pernah terfikir akan menulis sebuah novel trilogi
sepanjang ini. Mulanya aku menulis kerana mahu menjualnya. Kemudian berharap
dapat membina nama, dan diupah syarikat agar menerbitkan lebih banyak karya
yang menguntungkan dan akhirnya mampu berhenti dari kerja sekarang dan menyara
hidup sebagai novelis. Itu adalah daya gerak utama mengapa aku menulis pada
mulanya.
Namun dalam hari demi hari menulis itulah, aku semakin
kenal diri dan akhirnya mengubah hala tuju. Aku fikir, aku menulis kerana mahu
meninggalkan legasi. Dan di dalam legasi ini terkandung apa yang aku pelajari
dari sebuah kehidupan yang singkat, untuk dikongsikan kepada generasi sekarang
dan akan datang.
Idea Kaisenjyo ini sebenarnya telah bermula
lama sejak 2018 lagi, namun ditangguh-tangguh kerana aku masih belum berminat
menulis. Selepas pandemik, dan dipaksa syarikat kembali bekerja di kantor, aku
mula berfikiran alangkah baiknya jika aku dapat berhenti dari kerja dan
persekitaran yang membosankan dan merimaskan introvert seperti aku ini. Maka
terbitlah rasa mahu mencipta untung sendiri, dengan menjual cerita, dan
akhirnya aku pun mula menulis pada Ogos 2020, dan menerbitkan Buku 1 sedikit
demi sedikit bermula Februari 2021.
Tidak dinafikan aku rasa gembira bila kiraan
baca naik, namun pabila aku menyelidik berkenaan novel-novel yang laris di
pasaran, aku rasa Malaysia belum bersedia menerima novel seperti yang aku tulis
ini. Pasaran Malaysia, para pembeli dan pembacanya masih lagi hanya berminat
dengan genre cinta, seram dan sejenisnya. Aku akui, aku tak mampu menulis
genre-genre begini. Aku boleh mempelajarinya, namun aku tidak berminat. Dari
situ, aku dapati minatku hanya pada menulis genre fantasi yang ada kaitan
dengan sejarah, iaitu fiksyen fantasi sejarah, atau menulis perkara serius
sahaja. Maka aku memutus, aku hanya akan menulis apa yang aku minati, dan persetankan
cita-cita mengejar untung. Persetankan pasaran Malaysia.
Lalu kalau menulis kerana minat, apa gol
akhirku? Jika wang pun bukan gol, apa gol sebenar aku? Sesuatu yang telah
menuntut pelaburan masa dan tenaga yang begitu besar mestilah ada manfaatnya,
jika tidak sesuatu itu hanyalah perkara sia-sia. Jika bukan wang, maka aku
fikir mesej adalah manfaat yang boleh diterapkan ke dalam novel ini. Maka aku
cuba terapkan mesej dan cantikkan dan perjelaskannya, cuba jadikan mesej itu
sedekat mungkin dengan pembaca, supaya bukan setakat pembaca pada era ini
sahaja yang boleh memanfaatkannya, tetapi anak dan cucu dan cicit pembaca itu
juga.
Mesej paling besar dari trilogi Kaisenjyo ini
ialah keburukan perang. Tiada kebaikan walau secebis pun dari peperangan,
kecualilah pada pihak yang mengambil manfaat dari perang itu, seperti Belanda
contohnya. Namun kebaikan itu hanya akan dinikmati oleh segelintir, sebahagian
besar jiwa yang terlibat akan merana. Aku terapkan perang antara Yamato dan
Emishi, antara sesama Yamato sendiri, dan juga antara individu (Ryouji dan
lainnya, Hisamiko dengan lainnya). Selain itu, aku turut menjual apa yang aku
percaya: bahawa kebaikan akan sentiasa mengatasi kejahatan. Juga, aku turut
canangkan bahawa kita sebagai manusia sentiasa diberi pilihan, namun kadangkala
kita tidak mampu memilih apa yang lebih besar manfaatnya kepada masyarakat
kerana kita perlu mempertahankan pilihan yang melebihkan diri kita, itu adalah
antara kelemahan utama manusia.
Sepatutnya penulisan novel ini tidak perlulah
memakan masa sehingga empat tahun. Namun disebabkan aku tidak gemar memaksa
diri, dan menulis dalam santai, ia memakan masa sehingga sepanjang itu. Aku
belajar sesuatu sejak menulis; bahawa ada tiga rukun yang mesti dipenuhi jika
engkau mahu menulis: iaitu masa, mood dan idea. Aku percaya tanpa salah satu
dari ketiga-tiga rukun ini, engkau tidak akan mampu menulis. Inilah yang
memanjangkan masa pembikinannya.
Selepas tamatnya novel ini, aku jujurnya rasa seperti
sudah hilang segala beban menyelesaikannya. Mula memang aku fikir menulis ini
menggembirakan, di mana bila engkau berjaya mencipta penyelesaian untuk satu-satu
masalah yang timbul, seperti masalah plot. Namun bilamana novel ini jadi terlalu panjang,
kadangkala aku rasa terbeban juga. Apapun, novel ini sudah tamat dan aku harus
bergerak ke depan, kerana sebenarnya ada lebih kurang lapan novel lain yang
sedang aku kerjakan sekarang. Aku berharap dengan sokongan berterusan dari para
pembaca Portal Cinta Ilham yang menaikkan kiraan baca, akan terdoronglah lagi diriku
untuk terus memuatnaik lebih banyak karya-karya ke sini.
Akhirkata, terima kasih semua di atas sokongan
kalian. Sayounara!
meddmenov
“MEnakluk Dunia Dengan Menulis NOVel”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan