Novel: Kaisenjyo (Bab 30)

 BAB 30


Chisato merenung wajah Ryouji lama, seraya mengalirkan air mata. "Baka! (bodoh!)" dia menjerit lalu meninggalkan Ryouji, berlari menuju ke hutan buluh sambil menekup mata dengan lengannya, sambung tangis di sana.


Maafkan aku Chisato! Hontou ni!


Mendengarkan jeritan Chisato itu, seorang demi seorang mula berkumpul di teratak kerikil. Hisamiko sedang duduk di taman bonsai dan tidak berganjak sedikitpun, merenung Ryouji dari jauh. Ryouji memandangnya. Namun Hisamiko pantas memalingkan mukanya sambil mendengus ‘huh!’ penuh meluat, merajuk nampaknya. Aku akan memujuknya nanti, bilang Ryouji. Namun bagaimana harus aku memujuk Hisamiko yang sudah berusia sebelas tahun itu? Dia bukan lagi budak kecil, mungkin lebih sukar.


Tsuneki yang mula-mula keluar dari rumah lalu memeluk Ryouji. "Ryouji engkau ke mana? Mengapa engkau tidak memberitahuku?"


"Maafkan aku Tsuneki. Nanti kita berbual panjang di bilik, ne?" Ryouji membuat janji dengan Tsuneki.

 

Shinji pula tercegat seperti batu sambil menyilang lengannya. 


"Panjang umurmu Ryouji. Bagaimana kakimu?" mata Shinji pantas menangkap luka berbalut di kaki Ryouji.


"Hanya luka kecil."


"Ditembak? Atau dihiris?"

"Nanti aku kisahkan."

 

Azusa mengintai dari dataran luas. Dalam hatinya menjerit ‘baka’ juga, namun masih ada buih-buih kegembiraan. Aku sudah dapat meneruskan hidupku sehari-hari seperti biasa, hanya dengan melihatmu Ryouji!

 

Ryouji datang berjumpa Takasaki di pejabat.

 

“Takasaki-san, maafkan aku. Aku terlalu mengikut emosi. Adakah engkau masih marah denganku?”

 

“Aku masih marah. Amat! Ryouji, ke sini sedikit muka engkau. Mari!” Takasaki meminta Ryouji menyuakan mukanya sedikit. Mereka sedang duduk bersila di dalam pejabat, sambil dipisahkan sebuah meja. Takasaki mahu menampar mukanya menggunakan kedua-dua belah tangan seperti memukul gendang taiko.

 

Dia mengangkat tangannya. Ryouji bersedia menerima hukuman, seraya menadah muka dan memejamkan matanya. Dia sedar kesalahannya. Hukuman sebegini lebih baik dari seppuku.

 

“Pap!” kedua-dua tangan Takasaki itu hinggap di bahu Ryouji. Dia memandang Ryouji tepat ke dalam anak matanya. Air matanya mengalir menuruni wajah tua yang hanya berkedut sedikit.

 

“Bodoh engkau Ryouji. Aku amat risaukan engkau!”

 

Ryouji tersentak melihatkan Takasaki. Pertama kali dia melihat Takasaki menangis. Patutlah dia mahu berjumpa aku di dalam pejabat sahaja!

 

Setelah keadaan kembali reda, Ryouji memulakan bicara tentang kejadian di Furukawa.

 

“Sonzaemon mengaku dia terlibat membunuh bapaku. Motifnya dengki. Namun aku tidak membunuhnya meskipun aku mampu. Aku hanya mahu dia meminta maaf dan menyedari kesalahannya.”

 

Aku sudah agak, getus Takasaki di dalam hati. Disebabkan itu aku amat mempercayaimu Ryouji. Aku tahu benar engkau tidak akan melakukannya. Aku mempercayai pertimbanganmu.

 

“Takasaki, aku mahu siasat Hamada lebih lanjut. Kesemua perniagaan keluarga Yoshitsugu. Mereka sebuah keluarga yang amat membingungkan. Mengelirukan. Bahkan jaringan orang-orang mereka di mana-mana.”

 

“Mengapa Ryouji? Adakah kerana didorong oleh kematian bapamu?”

 

“Ia salah satu sebab. Namun aku dapati sejak menghuni di sini, ramai di antara kami menjadi mangsa mereka. Ogasawara, Kobato, Tsuneki, dan juga kami Okuhida. Bahkan bukan setakat mereka, orang-orang di kampung Tsuneki juga menjadi mangsa taun. Aku juga mendengar berapa banyak rumah petani di wilayah Shinagawa dibakar atau mereka dihalau kerana tidak menjelaskan cukai kepada Hamada.”

 

Takasaki terpegun mendengarnya sendiri dari Ryouji. Dia peduli! Dia pedulikan penghuni lain! Aku sengaja meletakkan kesemua hasil siasatanku di dalam perpustakaan itu, yang semuanya disalin dari naskhah asal di Shirasaka-no-Kogen. Dan Ryouji penghuni pertama yang menyuarakan kebimbangannya.

 

“Ryouji, apakah engkau ingin melakukan perubahan?”

 

“Aku tidak pasti lagi, Takasaki. Tetapi bukankah apa yang dilakukan keluarga Yoshitsugu itu salah? Aku tidak faham bagaimana mereka masih dibenarkan melakukan kegiatan mereka tanpa ada undang-undang yang menyiasatnya. Bukankah baru-baru ini Hamada dan anaknya Hagiura dikekalkan sebagai gabenor di wilayah masing-masing? Aku bingung bagaimana mereka masih dikekalkan kuasa masing-masing.” Ryouji memberitahu khabar yang diterima dari Shinji. Takasaki tidak terkejut. Shinji sebenarnya mendapatkan maklumat itu darinya. 

 

“Benar. Kerana mereka bukan lagi daimyo dan hanya gabenor, mereka kini tidak lagi memiliki tanah-tanah di Shinagawa dan Yozehama. Maka para petani sudah sepatutnya boleh menarik nafas lega kerana tiada lagi pemaksaan cukai ke atas mereka. Malah, tanah-tanah di Shinagawa dan Yozehama juga telah disempadankan semula bagi mengurangkan pengaruh mereka. Mereka berdua kini hanya menerima gaji dari istana sebagai sumber pendapatan.”

 

“Namun apa yang ditakuti sekarang ialah, meski kuasa mereka dihadkan dan hanya memakan gaji, bekas-bekas samurai mereka masih berada di segenap pelusuk wilayah-wilayah tersebut, memerhati masyarakat dan memeras ugut mereka agar menjelaskan ufti senyap-senyap tanpa diketahui istana. Para petani ini pula tidak berani mengadu kerana bimbang nyawa mereka diancam. Mereka perlu hidup. Sesetengah dari  mereka menjaga tanggungan yang ramai dan sukar melarikan diri. Maka, keadaan tidak banyak berubah berbanding sebelum ini. Kecuali jika istana memindahkan Hamada dan Hagiura ke Kyushu, seperti yang telah dilakukan kepada Taishii Kimura.” Takasaki menerangkan panjang lebar keadaan semasa kepada Ryouji. Dia merasakan sudah tiba masanya menyerap masuk Ryouji ke dalam pasukan penyiasat pertubuhannya.

 

“Namun jenayah-jenayah lepas yang mereka telah lakukan atau terlibat tidak boleh semudah itu ditutup."

 

“Maka apa strategi engkau dan pertubuhanmu, Takasaki-san?”

 

“Hamada adalah penguasa. Dia melakukan jenayah seperti pembunuhan, pembakaran dan sebagainya adalah dengan menggunakan boneka-bonekanya, iaitu samurai-samurainya yang setia. Mencari bukti jenayah hanya membawa kita kepada bonekanya, bukannya dia. Seperti dalam kes engkau, bukti itu hanya membawamu kepada Sonzaemon. Tidak menuding kepada Hamada. Dan...”

 

“Dan?” Ryouji tidak sabar.

 

Takasaki hampir menceritakan kisah Kobato, dan dia sempat menahan dirinya. Dia adalah boneka Hamada dahulu, dan kata-katanya itu dirasakan sungguh memilukan hatinya, atas apa yang telah dilakukan terhadap Kobato. Dia cuba menahan sakit di jiwa, dan menyambung penerangannya.

 

“Tidak ada apa-apa. Jika engkau mengumpul segala bukti yang engkau ada sekalipun, kebarangkalian untuk berjaya mempersalahkan Hamada di atas jenayahnya amat tipis. Strategi kami di Kogen ialah dengan melobi Maharaja, agar Hamada keluar dari kepompongnya.”

 

Takasaki menelan air liur, kemudian menyambung.

 

“Kekuatan penguasa adalah orang bawahannya. Untuk mengeluarkan penguasa, kita melemahkan orang bawahannya. Dorongan orang bawahan Hamada, iaitu pada masa ini bekas-bekas samurainya, ialah wang.”

 

“Dengan melobi Maharaja, kami mendapat kepercayaan baginda, dan dengan kepercayaan, baginda akan mula mendengar kami. Pada masa itulah kami akan membongkarkan kepada baginda aduan petani dan nelayan yang diugut menjelaskan wang perlindungan atau ufti oleh bekas-bekas samurai Hamada yang masih setia dengannya.”

 

“Kami jangkakan dari aduan itu, Maharaja akan menyiasat dan menekan Hamada bagi mendapatkan sokongan orang kampung yang teraniaya dan juga bagi mengukuhkan Pembaharuannya. Hamada akan mengurangkan aktiviti-aktiviti pungutan ufti, sawah demi sawah, dan kampung demi kampung. Dengan itu, pendapatannya berkurang dan dia akan mula culas membayar bekas-bekas samurainya. Tanpa bayaran, bekas-bekas samurai ini akan meninggalkan Hamada. Tanpa mereka, petani dan nelayan tidak akan diugut lagi bahkan mereka akan lebih berani melawan Hamada yang semakin kurang pengugut. Ketika ini kami akan membantu golongan petani dan nelayan ini, dan jika perlu, melatih mereka bertarung dan membekalkan senjata.”

 

“Semakin kurang orang bawahannya, semakin kuranglah kuasa Hamada. Dia akan keluar akhirnya dari ‘istana’ persembunyiannya dan melarikan diri. Pada ketika itu, kami akan mengejar dan menangkapnya dan membawa dia ke Tokyo di hadapan Maharaja untuk diadili.”

 

“Semudah itu? Mengapa Kogen tidak melakukan sejak dahulu lagi?”

 

“Sistem sudah berubah, Ryouji. Dahulu, Hamada adalah daimyo. Dia ada hak mengutip cukai dari petani. Sekarang, perbuatan itu dikira jenayah oleh Maharaja dan Hamada hanya berhak ke atas gajinya sahaja, tidak lebih dari itu. Kami menggunakan sistem baru ini sebagai alat bagi mendakwa Hamada. Itulah gunanya Pembaharuan. Membaharui sistem yang menindas, yang digunakan oleh sebahagian daimyo untuk mengambil kesempatan di atas kesusahan para petani.”

 

“Maksudku, mengapa kita kekal dalam sistem sebegini berkurun lamanya? Mengapa baru sekarang Pembaharuan itu berlaku?”

 

“Telah ada beberapa pembaharuan yang berlaku dalam masa seribu tahun lepas. Namun ia tidak lebih dari pemulangan kuasa kepada Maharaja, atau penyatuan wilayah kepada seorang daimyo tunggal yang digelar shogun. Kuasa bertukar tangan dari Maharaja ke shogun, kembali ke Maharaja, kembali ke shogun, kemudian ke shogun yang lebih berpengaruh, dan yang terbaru, kembali kepada Maharaja. Hanya yang terakhir itu, yang kulihat bakal membawa perubahan besar kepada masyarakat kita.”

 

“Jelaskan mengapa Takasaki-san. Mengapa engkau berfikir begitu?”

 

“Pembaharuan yang terakhir itu menghapuskan sama sekali sistem samurai. Bererti cara hidup kita yang sudah sebati berkurun lamanya di tanah Yamato ini akan berubah. Tiada lagi samurai yang berkuasa. Kita semua sama. Hanya yang berusaha keras akan mendapat ganjaran setimpal. Hanya yang benar-benar berbakat dalam kepimpinan dan seni pertarungan akan diterima memasuki pasukan keselamatan dan tentera. Sesiapapun kini boleh menjadi seperti ‘samurai’, maksudku seorang yang tahu bertarung, asalkan dia berusaha dan memiliki bakat. Dan yang paling penting, hanya Maharaja dan kerajaannya yang berhak memungut cukai. Selain dari itu, mereka tidak layak dan akan diperangi.”

 

Ryouji khusyuk mendengar kuliah Takasaki. Takasaki terlihat bayang-bayang Shinji sedang duduk di pintu gelangsar di luar. Takasaki tidak kisah, dia melastik dua burung dalam satu lastikan. Dia juga mahu Shinji mengetahuinya. Bahkan aku sendiri akan memanggilnya kelak dan menerangkan kembali apa yang tidak dia fahami. 

 

Maka, untuk memerangkap dan membawa keluar Hamada dan keluarganya, aku perlu menyertai Kogen, fikir Ryouji.


Novel: Kaisenjyo (Bab 29)

 BAB 29


“Kotobuki-san, mengapa engkau di sini?” Ryouji terperanjat, selepas ditarik sami itu ke sebuah lorong.

 

“Shh...engkau jangan bisinglah!” Kotobuki, sami yang pernah merawat Hisamiko itu, datang ke Furukawa selepas menerima surat dari Takasaki melalui merpati. “Takasaki menghantar aku selepas melihat engkau keluar malam tanpa kebenaran dari rumahnya. Dia mengatakan Ryouji sedang melakukan perkara bodoh di Furukawa.” Sami itu menumbuk kepala Ryouji. Sakitnya!

 

Ryouji terpana. Dari mana pula orang tua itu mengendapku? Ramai betul pengendap di rumah itu. Selepas Tsuneki, Funazuki dan kini Takasaki juga tumpang semangkuk!

 

“Mereka masih mengejarmu?”

 

“Tiga orang sudah kutumpaskan. Abaikan seorang lagi yang lembab kerana badan gemuknya. Mereka menggunakan senjata api ini.” Ryouji menyuguh senjata api itu kepada Kotobuki.

 

“Ia seakan-akan tanegashima, namun separa automatik. Oh, aku tahu senjata ini. Kami menyelidiknya di makmal Kogen di tanah tinggi Shirasaka. Semua pemberian Miura, diperolehi dari pedagang Belanda.”

 

“Kami juga memiliki satu di bengkel Takasaki. Takasaki mengajar kami menggunakannya. Ada dua peluru yang masih berbaki di dalam kelopak.”

 

“Engkau bernasib baik, budak bodoh!” maki sami itu selamba. “Mereka menggunakan senjata api kali ini, tidak seperti sewaktu engkau diserang di pinggir hutan itu. Nasib engkau baik kerana mereka nampaknya cuma ada sebuah dan tembakannya mengenamu sipi. Senjata ini dan pelurunya mahal. Pedagang Belanda sengaja menjualnya mahal. Atau mungkin mereka mencurinya dari saku pedagang Belanda?”

 

Ryouji menggeleng tidak tahu. Kotobuki hanya berspekulasi, mungkin juga. Mereka pun perompak, mencuri adalah rukun hidupnya.

 

“Apapun, orang biasa mungkin tidak dapat mengelak sepertimu. Lihatlah, sepantas kamu pun, tembakannya masih mengena sipi. Mari sini, aku ingin lihat kecederaan di betismu.”

 

Ryouji menawarkan betisnya kepada Kotobuki untuk diperiksa. Darahnya sudah berhenti mengalir.

 

“Lukanya agak dalam. Mujur sahaja sipi. Bayangkan sekiranya peluru itu menembusi tulangmu. Kemungkinan kakimu terpaksa dipotong kerana tulangmu sudah rosak. Engkau akan cacat selama-lamanya.”

 

Gerun Ryouji mendengarkannya. Aku tidak mahu cacat! Tidak pernah kutahu begitu bahaya senjata api ini! Mungkin orang-orang Sonzaemon juga cacat akibat tembakanku itu. Apapun, mereka tidak seharusnya menyerangku dahulu. Tanggunglah akibatmu sendiri!

 

“Kotobuki-san, aku sedikit mengantuk.” Ryouji memberitahu, kepalanya tiba-tiba pening dan dia kerap menguap. Dia keletihan yang amat sangat.

 

“Ya, engkau kehilangan banyak darah. Engkau perlu berehat. Dan makan. Mari sini, aku bawakan onigiri. Makanlah. Kemudian minum air dan telan ubat ini.”

 

Mereka menyorok di dalam sebuah bangunan terbiar.

 

“Ryouji, sebentar lagi akan lalu sebuah kereta kuda membawa jerami melalui pekan ini. Jika engkau melihatnya, melompat segera ke bahagian belakangnya dan menyorok di balik jerami. Kita akan berundur ke sebuah lembah. Aku mahu menunjukkan sesuatu.”

 

“Engkau hendak membawaku ke mana?”

 

“Ke lembah Okuhida. Untuk memulihkan pendarahanmu. Engkau kehilangan banyak darah. Dan juga memulihkan emosimu. Ryouji, jangan bertindak melulu seperti ini lagi. Jepun di ambang pengenalan senjata api era baru, bukan lagi tanegashima seperti zaman moyang Tetsugawa. Furukawa sudah menjadi sebuah pekan seperti di negara Amerika itu.”

 

“Amerika?”

 

“Ya. Negara orang-orang Kapal Hitam. Di sana pekan sebegini digelar pekan koboi. Kerapkali berlaku pergaduhan dan rompakan menggunakan senjata api seperti itu. Furukawa bukan lagi seperti pekan yang engkau kenali sewaktu kecil.”

 

“Apakah Kapal Hitam yang engkau maksudkan?”

 

“Engkau ini benar-benar buta sejarah! Banyakkan membaca, Ryouji. Atau, banyakkan berbicara dengan orang-orang yang banyak membaca. Sudahlah. Engkau harus berehat.”

 

Ryouji terfikirkan Shinji, ulat buku di rumah perlindungan itu. Dia harus bertanya kepada Shinji suatu hari nanti tentang Kapal Hitam. Dia juga harus membaca lebih banyak bahan-bahan bacaan lain di perpustakaan mereka! Bukannya membaca bahan-bahan dewasa milik Takasaki itu sahaja!

 

Kereta jerami kini melalui tempat mereka. Ia tidak berhenti, kerana dikhuatiri akan disedari pengintip bahawa ia mengambil seseorang. Mereka melompat masuk ke bahagian simpanan jerami di belakang dan menyorok di baliknya. Pengendera kereta itu sebenarnya pengintip dan juga seorang sami yang bersama-sama dengan Kotobuki menjaga kuil ber-onsen. Komunikasi mereka sentiasa menggunakan merpati.

 

Kotobuki tidak mahu membawa Ryouji ke kuilnya dahulu, dikhuatiri dia diekori Sonzaemon. Lembah Okuhida adalah kawasan di tengah-tengah pergunungan Hidagawa yang amat sukar ditemukan dan penuh fatamorgana. Ia kawasan mistik dan hanya boleh ditemukan oleh sami Shinto sepertinya, dan keturunan Okuhida. Mana-mana individu yang bukan dari golongan ini, akan dikelirukan oleh kabus dan fatamorgana dan pepohon hutan yang berulang-ulang, meskipun dia mengembara bersama sami Shinto dan keturunan Okuhida.

 

Hari semakin gelap. Selepas beberapa lama menaiki kereta itu, mereka melalui sebuah tanah lapang. Malam itu bulan mengambang. Tanah lapang itu ditumbuhi rumput-rumput pendek dan bunga-bunga liar. Ia digelar hara.

 

Okuhida no hara e youkoso, Fujiwara-no-Okuhida-no-Ryouji! (Selamat datang ke lembah Okuhida, Fujiwara-no-Okuhida-no-Ryouji!)” Kotobuki mengalukan Ryouji. Ryouji melihat sekeliling, hanya padang rumput seluas mata memandang. Kemudian barulah dia menyedari di tengah-tengah padang itu terdapat sebuah tiang batu setinggi badannya. Ia nampak putih kerana memantulkan cahaya bulan. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah rumah berbumbungkan jerami. Ada sungai kecil mengalir namun amat terlindung jika dilihat dari tempat di mana Ryouji berdiri.

 

Kereta jerami itu meninggalkan mereka. Kotobuki dan Ryouji melambai-lambai ke arah pengenderanya.

 

Kotobuki memapah Ryouji ke tiang batu itu lantas mereka berdua duduk bersila mengadapnya.


"Ryouji, ini adalah tama-no-iwa (monolith of the spirits / batu semangat) puakmu." Kotobuki menerangkan tentang tiang batu itu.

 

“Ryouji, letakkan tapak tanganmu di situ. Pejamkan matamu.” Kotobuki meminta Ryouji meletakkan tangannya di atas sebuah tempat berbentuk bulat di atas permukaan tiang batu itu.

 

Ryouji mengikut arahan Kotobuki.

 

“Tenangkan dirimu seketika. Kawal pernafasanmu.”

 

“Ryouji, tenangkan dirimu. Dan tetap duduk dalam tenang seperti itu, dan tumpukan perhatian terhadap setiap kata-kataku. Jangan sekali-kali alihkan tanganmu atau membuka matamu sehingga aku menghabiskan kata-kataku.”

 

Kotobuki membaca beberapa rangkap mantera dalam bahasa yang tidak Ryouji fahami. Mungkin bahasa Sanskrit.

 

“Ryouji, aku mahu engkau fikirkan perkara yang paling menyakitkanmu ketika ini. Apa yang berada di dalam benakmu. Tumpukan sepenuh perhatian padanya.”

 

Ada empat.

 

Kematian otou-san yang masih belum terbela, ajalku yang mungkin sebelum tahun kedua puluhku, dan kematian ibu bapa rakan-rakanku yang masih belum terbela dan kematian penjaga kuil Furukawa yang berlaku benar-benar di hadapanku dan pembunuhnya adalah Saitou.

 

Yang pertama itu, aku masih bingung. Nampak Sonzaemon dan Hamada yang melakukannya. Semua petunjuk yang aku ada setakat ini menuding ke arah mereka berdua. Bahkan, Sonzaemon telah mengakuinya. Aku hanya ingin melihat mereka meminta maaf dariku dengan jujur. Bukan paksaan. Dengan kejujuran dan menyedari perkara yang mereka lakukan itu salah. Namun bagaimana? Bagaimana aku mengubah mereka? Hanya dengan itu sahaja kematian otou-san akan terbela, dan rohnya akan tenang, dan maruah kami akan dipulihara.

 

Ya, itu yang aku mahukan sebenarnya! Bukannya membunuh Sonzaemon atau Hamada!

 

Yang kedua itu, aku tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan kepada Chisato. Bagaimanakah dia akan menerimanya? Adakah dia akan menangis sepanjang hari? Dia telah lama menderita, dan aku tidak mahu menambahkan luka di hatinya. Aku silap kerana mengakui perasaanku. Jika aku tahu berkenaan sumpah itu dahulu, sudah pasti aku tidak akan mengakui perasaanku. Sekarang aku terperangkap dalam dilema.

 

Yang ketiga itu pula, rakan-rakan di rumah perlindungan itu juga keluargaku. Sakit mereka adalah sakitku. Kasihan Kobato yang menanggung derita sendirian. Kasihan Tsuneki yang masih kecil kematian bapa dan menjadi seorang yang bingung sosial. Kasihan Ogasawara bersaudara yang juga kehilangan bapa dan diburu pemerdagang. Semua mereka ini, adalah mangsa langsung dan tidak langsung keluarga Yoshitsugu.

 

Dan yang keempat! Yang sentiasa membuatkan darahku mendidih mengingatkannya. Ia satu-satunya pembunuhan yang benar-benar dilakukan di hadapan mataku, pembunuhnya aku ketahui wajahnya, yang dibunuhnya baru aku kenali. Meskipun begitu, dari pengamatanku, penjaga kuil yang dibunuh itu bukanlah seorang yang jahat, bahkan dia menipu Saitou demi melindungi kami! Dia tidak seharusnya menerima pengakhiran sebegitu. Dan aku mahu dia diadili, dan aku mahu Saitou menerima hukumannya suatu hari nanti!


 Air matanya mula bertakung dalam pejam, namun melimpah dan menitis jua di atas ribaannya.

 

“Ryouji, sekarang aku mahu engkau fikirkan apa yang paling menggembirakanmu ketika ini.”

 

Hisamiko. Dia satu-satunya ahli keluargaku yang masih tinggal. Aku gembira menjadi abangnya. Aku gembira melihat dia masih hidup. Aku tidak mampu untuk meneruskan hidupku tanpanya. Bodohnya aku kerana hanya menyedarinya selepas ibu dan bapaku pergi. Dan yang kedua, rakan-rakan di rumah perlindungan itu. Sejak aku tiba di situ, aku seolah-olah hidup kembali. Kobato, Shinji, Tsuneki, Ogasawara dan Funazuki bersaudara. Dan Takasaki-san dan Mariko-san. Mereka semua keluargaku. Dan Chisato. Pertama kali aku dapat merasa cinta seorang wanita meskipun mungkin sejenak.


Meskipun mungkin sejenak! 

 

“Ryouji, ramai yang masih memerlukanmu. Ramai yang tidak mahu kehilangan engkau. Sanggupkah engkau melihat mereka bersedih?" Kotobuki meneruskan soalan seperti seorang pakar motivasi yang melakukan terapi hipnosis pula.

 

Tidak sekali-kali. Dia teringat Kobato yang pernah menasihatkan perkara sama. Namun Kobato sudah tiada. Namun kali ini nasihat yang sama dibenamkan kepadaku kembali tetapi aku lebih jelas dan lega dengannya. Mungkin kerana aku menumpukan sepenuh perhatian? Atau suara Kotobuki yang menyejukkan telinga?

 

“Ryouji, fikir. Apa yang perlu engkau lakukan dari sekarang.”

 

Aku masih ada mereka. Aku masih boleh meneruskan kehidupan ini. Ya, luka di hatiku ini masih belum benar-benar dapat dirawat. Ia tidak boleh dirawat semalaman. Namun aku masih ada mereka!

 

“Ryouji, lebih kurang seribu tahun lalu, moyangmu Fujiwara-no-Zenzaburo, telah datang ke sini dan membuat perjanjian dengan hayabusa-no-kami (semangat hayabusa) di sini, di mana dia menanam tiang batu ini. Dia memohon agar dia dan keturunannya dikurniakan kepantasan hayabusa ketika bertarung, namun dengan suatu pembayaran. Setiap seratus tahun akan ada seseorang dari keturunanmu yang akan menerima sumpah hayabusa dan mati sebelum mencecah umur dua puluh tahun.”

 

“Zenzaburo juga menukar namanya kepada Okuhida-no-Hayabusa demi membuktikan penghormatan kepada kami itu yang tidak berbelah bagi. Disebabkan itu, juga setiap seratus tahun, akan datang dari keturunanmu seorang pemedang yang handal, yang juga boleh menyeru dan menjinakkan hayabusa tanpa perlu dilatih, bahkan memahami pertuturannya.”

 

Pertama kali Ryouji mendengarkan butir-butir penuh perjanjian Zenzaburo dengan semangat hayabusa. Rupanya Hisamiko bukan sahaja akan menjadi pemedang handal, penjinak dan penyeru hayabusa malah turut memahami bahasa mereka.

 

“Ryouji, lembah ini hanya boleh dilawati sami-sami Shinto dan puakmu, puak Okuhida. Sesiapapun yang bukan dari golongan ini, akan disesatkan, dikelirukan oleh fatamorgana, dan pepohon serta laluan hutan yang berulang-ulang. Engkau selamat di lembah ini yang melangkaui seribu langkah ke semua arah dari tama-no-iwa ini, yang juga pusatnya. Kalian puak Okuhida juga berkuasa menentukan siapa yang layak masuk ke sini dengan memohon kepada hayabusa-no-kami di tiang batu ini."

 

“Ryouji, bilamana engkau berputus asa, tiada tempat mengadu ketika mana engkau bersedih dan diselubung ketakutan, buntu mencari penyelesaian terhadap masalahmu, malah ketika engkau dikejar musuhmu, datanglah ke sini, berlindunglah di sini. Tenangkan dirimu di sini, nescaya engkau akan dapat melihat jalan keluar. Inilah lembahmu dan nenek moyangmu.”

 

Ryouji membuka matanya dan mengangkat tangannya dari permukaan bulat pada tiang batu itu usai ‘khutbah’ Kotobuki. Dahulu ketika di kuil Furukawa, dia diselubungi pelbagai persoalan, dan kehidupan baru di rumah perlindungan itu hampir-hampir sahaja membuatkan dia terlupa seketika akan semuanya. Namun akhir-akhir ini persoalan-persoalan tersebut kembali di mindanya, tatkala sahabat baiknya, Kobato telah pergi meninggalkannya, dan Chisato pula masih dirundung kemurungan, meninggalkan dia kerapkali berseorangan akhir-akhir ini. Dan itu semua berlaku ketika dia telah terdedah dengan pelbagai bukti yang menunding ke arah Sonzaemon dan keluarga Yoshitsugu, dan bukti-bukti lain yang menunjukkan ramai yang telah menjadi mangsa mereka, selain dirinya. Dendam lama kembali membakar di dalam jiwanya. Dia tidak tahu kepada siapa harus dia mengadu. Kepada Tsuneki? Dia masih mentah. Shinji? Dia bingung emosi. Dia tidak akan faham perasaan kehilangan ibu bapa. Takasaki? Dia pasti menghalangku seperti sebelumnya tanpa menjelaskan alasannya. Dia memendam, dan terus memendam. Dan pada malam itu, dia nekad melarikan diri, mahu menyelesaikan persoalan-persoalan itu sendiri. 

 

Dan tidak pernah dia menyangka Kotobuki yang menghubunginya di Furukawa dan membawa dia ke sini. Aku telah diselamatkan, fikirnya, oleh Kotobuki-san!

 

Dia tidak pernah berasa sebegitu tenang seperti di malam ini, seolah-olah semua jalan telah terbuka untuk semua persoalan-persoalan yang menghantui dirinya. Dia baring, air matanya mengalir perlahan-lahan lagi, sambil dia merenung bulan yang sedang mengambang.

 

“Terima kasih Kotobuki-san.”

 

"Betsu ni, Ryouji. Memang tugasku selaku ahli Kogen membimbing kalian."

 

Sumpah hayabusa itu benar-benar menggusarkan hatiku. Ia penggerak utama aku keluar dari rumah itu. Mungkin hayabusa-no-kami akan melepaskanku jua dari sumpah itu, sepertimana yang telah Kotobuki-san beritahuku di kuil, dan aku akan hidup bersama Chisato, bersama Hisamiko sehingga ke hari tua. Mungkin! Aku hanya perlu berfikiran positif selepas ini dan hidup! Dan terus hidup dan terus hidup! Kerana mereka memerlukanku!

 

Dan aku akan pastikan, suatu hari nanti, semua mereka yang teraniaya itu, akan mendapat pembelaan mereka. Pasti!


Novel: Kaisenjyo (Bab 28)

 BAB 28


Pertengahan musim panas, 1870.

 

Malam itu Ryouji tidak boleh tidur. Hatinya gundah-gulana. Dia rasa bersalah, dia sudah tahu pembunuh bapanya. Bagaimana dia masih berbaring selesa tanpa mengambil sebarang tindakan? Sonzaemon bila-bila masa sahaja akan melarikan diri. Mungkin ke Kyushu, mungkin ke Joseon atau Qing di tanah besar, atau mungkin ke pulau misteri yang jauh dari sini? Mana mungkin aku boleh menjejakinya sejauh itu?

 

Mengapa? Mengapa aku tidak menahannya ketika itu? Ketika pembunuh otou-san itu berada benar-benar di hadapanku. Mengapa aku tidak menahannya pada ketika itu?!

 

Kobato, tolong aku! Bertarung denganku, aku mahu melupakan perkara ini walaupun sejenak!

 

Namun Kobato pun sudah tiada. Kobato tiada lagi untuk mendengar aku. Aku keseorangan mendepani rasa dendam ini. Perlukah aku berjumpa Chisato? Tidak, aku tidak mahu membebankan Chisato dengan kisahku. Jiwanya masih diselubung kesedihan. Aku tidak mahu menggusarkan hatinya sekarang.

 

Aku harus merancang. Hisamiko akan aku tinggalkan di sini dahulu. Bahaya jika dia mengikutiku. Aku tidak mahu kejadian sama di Furukawa berulang. Aku perlu mencari Sonzaemon sekarang! Sebelum masaku sampai dan ajal menjemputku! Dia berbisik sendirian, sambil melihat tangan kanannya. Tanda hitam itu semakin lama semakin jelas dan membesar. Sumpah hayabusa yang tidak lagi dapat dinafikan. Benar kata-kata Kotobuki.

 

Ryouji mengemas apa yang perlu. Dua pedang panjang, salah satu daripadanya yang pernah digunakan Miura, dan sebilah pedang pendek. Dia senyap-senyap melangkah keluar malam itu. Dia kini menginap di katil Kobato di bawah, maka melarikan diri tanpa bunyi lebih mudah. Shinji dan Tsuneki sedang nyenyak tidur nampaknya. Shinji dengan buku menutup wajahnya, sedang Tsuneki memeluk bantal peluknya sambil air liurnya meleleh.

 

Malam itu dia menyusup perlahan, kemudian melalui koridor ke pejabat. Dia menyisipkan suratnya di celah pintu gelangsar pejabat, meninggalkan pesan sekiranya perkara buruk berlaku ke atasnya.


Aku yakin Hisamiko akan selamat di sini. Aku percayakan Takasaki-san.

 

Hisamiko, maafkan onii-san kerana memungkiri janjiku. Janji di mana aku akan membawamu ke mana sahaja engkau pergi. Atau sekurang-kurangnya memberitahumu. Aku terpaksa keluar seketika, demi menuntut bela nyawa otou-san. Aku mahu rohnya tenang di sana. Aku akan kembali ke sini, Hisamiko, pasti!

 

Dia meninggalkan rumah itu dalam kepekatan malam. Malam itu pertengahan musim panas tahun 1870, iaitu sudah hampir genap dua tahun dia dan Hisamiko tinggal di situ.

 

Takasaki melihat dari pondok merpati kecil di atas pohon shirakaba di hutan buluh. Dia tidak menghalang meskipun dia tahu Ryouji sedang melakukan perkara bodoh, bertindak melulu sedang dikuasai emosi. Namun dia harus bersedia sekiranya perkara buruk berlaku ke atas Ryouji.

 

Ryouji, aku mempercayai engkau. Aku berharap engkau membuat keputusan yang matang seperti seorang dewasa. Aku akan lepaskan engkau. Jangan sia-siakan keputusanku ini, Ryouji!

 

**

 

Ryouji menghala ke kampungnya, melalui tiga buah kuil sehingga tiba di pekan Furukawa.

 

Aku yakin Sonzaemon masih berada di Furukawa.  Aku tidak akan bermalam di kuil di mana Hisamiko dirawat. Aku tidak mahu Kotobuki-san menyedariku. Takut-takut dia bertanya banyak pula. Aku tidak pandai menyembunyikan rancanganku.


Ryouji berjalan lebih laju dari biasa disebabkan dia tidak perlu membawa Hisamiko. Disebabkan dia menghabiskan seluruh malamnya berjalan, dia sampai di pekan Furukawa ketika dinihari. 


**

 

Terdapat dua surat yang ditinggalkan Ryouji, satu untuk Hisamiko dan satu lagi untuk Takasaki. Hisamiko membaca surat yang ditinggalkan Ryouji. Dia menangis. Chisato dan adik kembarnya memujuk Hisamiko. Pada mulanya Hisamiko mahu lari keluar mengejar abangnya, namun ditahan dan dipujuk Chisato. Chisato memeluknya kuat-kuat sambil mengusap kepalanya, menenangkan hatinya yang berkecamuk. Hisamiko cair dalam pelukan Chisato.

 

Dalam surat kedua, Ryouji berpesan kepada Takasaki yang dia tidak akan pergi lama dan meminta Takasaki menjaga Hisamiko selama tempoh itu. Dia berkata mahu mencari ketenangan di sebuah kuil di tengah-tengah pergunungan Hidagawa, namun tidak memberitahu lokasinya. Takasaki percaya ia hanyalah alasan. Dia tahu Ryouji sedang menjejaki Sonzaemon.

 

**

 

Ryouji tiba di Furukawa, pekan pedagang itu. Ramai manusia membanjiri lorong-lorong yang di bahunya dibarisi kedai-kedai kayu dan kertas keras. Pelbagai barangan import seperti sutera dan rempah ratus dapat dilihat. Furukawa adalah pekan utama yang menyediakan capaian kepada barangan-barangan dari negara asing, terus dari pelabuhan di Osaka. Dahulu ketika Ryouji kecil, bapanya sekali-sekala akan membawanya ke pekan ini dan bertemu pedagang dari Barat atas urusan yang tidak dia fahami pada waktu itu.

 

Dia menunggu dan menunggu berseorangan. Dia kebosanan dan melepak di sebuah kedai soba. Tiba-tiba dia mendengar kekecohan. Dia berlari ke arah tempat tersebut dan mendapati sebuah kedai sedang disamun. Kelihatan empat orang lelaki menghunus dan melibas pedang mereka seperti samseng, dan memaksa tuan kedai itu menyerahkan wang mereka.

 

Ryouji dengan beraninya menghalau penyamun itu. Mereka melarikan diri melihatkan kepantasan Ryouji bertarung.

 

Dalam empat orang penyamun itu, terdapat seorang yang agak lembab dan gemuk, ditinggalkan oleh tiga rakannya. Ryouji berjaya menangkap si gemuk itu dan menariknya ke sebuah lorong.

 

Ryouji menyuruhnya diam sambil pedangnya di leher si gemuk. Dia memaksa lelaki gemuk itu membuka topengnya.

 

Sah, memang Sonzaemon!

 

Kuso!(Sial!)” Ryouji marah benar, dia menumbuk Sonzaemon.

 

“Nampaknya engkau seperti sudah tahu.” Sonzaemon mengagak, melihatkan Ryouji yang benar-benar marah.

 

Ryouji memandang Sonzaemon, matanya merah menyala, mukanya berkerut seribu.

“Mengapa Sonzaemon?! Mengapa engkau membunuh bapaku? Mengapa?!” Ryouji menumbuk wajah bulat itu bertubi-tubi. Berdarah-darah pipi dan hidungnya. Bengkak matanya, menambah bulat di muka. Mata Ryouji berair dalam kemarahan. Dia sedih bercampur marah.

 

“Jawab soalanku Sonzaemon! Apa yang telah otou-san lakukan padamu?”

 

“Kerana dengki, Ryouji. Aku dengki dengan bapamu. Hasil padinya selalu laris. Sehinggakan dia merampas pelanggan setiaku. Aku juga ingin makan dan hidup, Ryouji. Namun bapa engkau tidak sedikitpun menghiraukan aku dan rakan-rakanku.” Sonzaemon menyedut darah yang meleleh dari hidungnya. Dia berpura-pura menangis.

 

“Engkau mahu membunuhku sekarang, Ryouji? Lakukannya sekarang! Aku di depanmu. Lakukan!”

 

Ryouji bertambah geram mendengarkannya. Dia bersiap sedia meletakkan pedangnya di leher Sonzaemon, namun hatinya masih berbolak balik. Di dalam hatinya dia merasakan bahawa dendamnya tidak perlu diselesaikan dengan cara membunuh, namun dia tidak pasti mengapa. Dia keliru. Membunuh untuk melindungi diri dan orang lain dalam bahaya adalah perlu seperti kes Chisato, namun untuk membalas dendam? Aku tidak dapat menerimanya. Apakah membalas dendam akan mengembalikan otou-san ke alam dunia? Aku tidak dapat memahaminya.


"Apakah Hamada juga terlibat?"


"Benar, Ryouji. Aku berpakat dengannya. Hasil padi bapamu akan dikongsi kami berdua."

 

Sonzaemon menjawab, kemudian tersenyum, tidak sedikitpun gentar terlukis di mukanya yang bengkak-bengkak dan berdarah itu. Senyumannya penuh sindiran yang menjijikkan.

 

Sejurus itu, terdengar bunyi letupan. Ryouji pantas mengelak, memotong alir fikirnya yang berunut-runut.

 

Orang-orang Sonzaemon berpatah balik dan menembak ke arah Ryouji. Ryouji bingkas bangun dan mengelak mendadak naik ke jurus keenam kaminari. Berdas-das tembakan menyusul. Namun satu mengena betisnya sipi.

 

Dia melarikan diri dengan pantas, menjengket-jengket dan bersembunyi di dalam sebuah bangunan kosong, dan cuba merawat lukanya.

 

Dia menahan kesakitan yang amat sangat, menggigit kain yukatanya agar tidak menghasilkan sebarang bunyi, bimbang dikesani pemburunya. Dia perlahan-lahan memotong kain hakamanya, kemudian membaluti lukanya. Melihatkan darah tidak berhenti mengalir dari kecederaan itu, dia cuak, dan cuba memaksa dirinya bertenang. Aku tidak boleh mati sekarang. Aku telah berjanji dengan Hisamiko, Chisato dan Takasaki-san dan semua, aku akan kembali. Hisamiko, onii-san pasti akan kembali.

 

Salah seorang dari orang-orang Sonzaemon masuk ke bangunan itu. Dia menembak atap bagi menakut-nakutkan Ryouji, bahawa dia memiliki senjata api. Bangsat! Jika aku tahu kalian sebegini bahaya aku sepatutnya memenggal kepala kalian sewaktu di hutan pinggir Furukawa itu lagi! Dia melihat kaki mereka dari bawah timbunan perabot lama. Bangunan itu seperti ditinggalkan lama setelah gempa bumi berlaku beberapa tahun lepas di situ. Kawasan di dalamnya masih bersepahan dengan timbunan perabot-perabot yang telah musnah, namun bumbung dan strukturnya masih utuh berdiri.

 

Ryouji memaksa dirinya diam sambil menahan kepedihan di betisnya, sehingga mereka semua beredar. Nyah kalian segera! Argh...! Ryouji terlepas gigitan kain yukata.

 

“Dia di sini rupanya...” Salah seorang dari mereka membuka timbunan perabot rosak itu setelah mendengar erangan Ryouji. Ryouji kini terdedah.

 

Salah seorang dari mereka yang memiliki senjata api, mengacukannya tepat ke Ryouji. Tidak, aku tidak boleh mati sekarang! Tidak!

 

“Berhenti! Jangan bunuhnya!” Sonzaemon berteriak kepada mereka, sambil termengah-mengah membawa lemak-lemak degil di badannya.

 

Sonzaemon berbisik kepada orangnya yang memegang senjata api “Hamada mahukan lokasi Takasaki. Budak ini bersamanya sejak Miura mati. Mungkin kita boleh menghantar budak ini kepadanya dan mendapatkan imbuhan lumayan. Kita boleh makan sedap-sedap selepas ini dan tidak perlu lagi merompak.” Ya, makan adalah agenda terpenting Sonzaemon. Terutama makan yang sedap-sedap.

 

Ketika mereka leka berbincang, Ryouji mencapai sebilah kayu beluti, dan melemparnya tepat ke kepala yang memegang senjata api. Dia rebah, dan senjata itu terjatuh dari tangannya. Kemudian dalam mengengsot, Ryouji pantas mencapai senjata api itu dan menembak kaki seorang lain lawannya. Dia kemudian pantas berguling mengelak tetakan katana lawannya yang ketiga, dan menembak kakinya. Ketiga-tiga musuhnya kini sedang rebah. Ryouji mengacu senjata api itu ke arah Sonzaemon seraya berteriak “Jangan dekati aku atau nyawa engkau melayang!”

 

“Tembaklah, aku tidak akan lari.”

 

Ryouji tidak mengendahkannya seraya meninggalkan tempat itu dalam keadaan berjengket-jengket, bergegas ke dalam lorong-lorong pekan Furukawa yang berselirat. Dia perlu merawat kecederaannya segera atau dia akan cacat kakinya buat selama-lamanya akibat jangkitan kuman. Dan dia tidak akan membunuh Sonzaemon walau sejijik manapun pengakuannya. Membunuh adalah perbuatan pengecut. Aku hanya mahu Sonzaemon melutut meminta maaf kepadaku dan menyedari kesilapannya suatu hari nanti. Atau membunuh dirinya bagi menebus maruah. Pasti, suatu hari nanti!


Novel: Kaisenjyo (Bab 27)

 BAB 27


Esoknya dia keluar menuju lebuh Nakasendo. Ketika melintasi simpang di Nagano, dia teringat kembali pedagang yang bernama Tokizawa itu, yang pernah menawarkan pekerjaan sebagai pengawal mereka. Dia menggeledah sakunya, lencana dagang itu ditinggalkan di rumah.

 

Dia bersembunyi di sebalik sebatang pokok matsu di atas bukit, memerhati sebuah kawasan yang menjadi kawasan panas serangan perompak-perompak tersebut.

 

Tidak lama kemudian, datang sebuah kereta kuda membawa tamahagane. Tamahagane berharga mahal melihatkan proses penghasilannya yang rumit dan hanya berjaya mengeluarkan dua persepuluh dari kuantiti bijih yang diproses. Disebabkan itu, ia menjadi sasaran utama perompak, selain dari sutera.

 

Lima orang berpakaian ninja berwarna hitam dan menutup muka, keluar mengacukan pedang dari bawah bukit di seberang laluan Nakasendo itu. Mereka menahan dan mengepung kereta itu dan bercakap-cakap dengan pengendera kereta kuda. Pengendera kereta kuda itu gugup. Kemudian pengawal di kiri dan kanannya mula mengeluarkan katana masing-masing. Mereka bertarung.

 

Kobato keluar dari persembunyian dan campur tangan. Mereka berjaya menumpaskan kelima-lima perompak. Kobato mengarahkan para pedagang dan pengawal itu meneruskan perjalanan sedang empat orang perompak terbaring kesakitan.

 

Omae wa dare da? Keisatsu ka?! (Engkau siapa? Poliskah?)” Salah seorang dari mereka bertanya Kobato.

 

“Di mana ketuamu melarikan diri?”

 

Belum sempat soalan Kobato berjawab, tiba-tiba sebilah kunai melayang ke arahnya. Kobato sempat mengelak, kunai itu mencacak ke batang pokok matsu di hadapannya.

 

Kobato mengejar pelempar kunai itu, dan berjaya menangkapnya. Dia menindih pelempar kunai itu menggunakan badannya dan menarik kain yang menutupi wajahnya.

 

Kobato tersentak. Dia mengenali wajah lelaki di hadapan matanya itu.

 

“Engkau lelaki yang menyelamatkan aku malam kebakaran itu. Engkau Atsushi, bukan?!”

 

**

 

1854, musim luruh.


Pada ketika ini, Takasaki sudah menyertai Kogen senyap-senyap meskipun masih berkhidmat kepada Hamada. Miura telah meletak jawatan dua tahun sebelumnya, setelah sekian lama menyertai Kogen secara sembunyi. 


Takasaki berharap ini adalah misi terakhirnya dengan Hamada. Dia merasakan sudah cukuplah semua dosa-dosanya. Sekiranya ada anak kecil terlibat, aku akan menyelamatkannya dan menjaganya. 

 

“Bagaimana?” Takasaki bertanya kelangsungan rancangan mereka malam itu kepada Tsugiyama dan pembantunya Tatsuya.

 

“Mudah. Angin kuat telah memarakkan api. Sebelum pagi, semua penghuninya akan tinggal abu, seperti arahan Hamada-sama.” Tsugiyama menjawab tanpa perasaan, rakannya Tatsuya mengangguk sahaja. Modus operandi pasukan Tsugiyama dalam membakar rumah sasaran ialah dengan menyimbah bahan bakar di sekeliling rumah dan kemudian mencampakkan punca apinya, seperti kayu bernyala. Mereka tidak akan memecah masuk rumah sasaran. Maka, ada kebarangkalian penghuni rumah sasaran akan terselamat dari perbuatan mereka, sekiranya mereka sempat melarikan diri. Kelemahan modus operandi ini akan dimanfaatkan Takasaki bagi menyelamatkan anak kecil sekiranya ada di dalam rumah itu.

 

“Kalian boleh beredar dahulu. Tinggalkan kami berdua di sini. Aku akan mengejar kalian kemudian.”

 

“Baik, Takasaki-san.” Mereka beredar.


Setelah jauh dari Takasaki, Tatsuya bertanya kepada Tsugiyama.


"Tsugiyama-san..."


"Aku tahu. Aku tidak akan memberitahu Hamada-sama. Engkau pun tutup mulutmu."


"Baik Tsugiyama-san."


Aneh, Tsugiyama seorang yang sadis, namun malam ini dia bersimpati pula dengan anak kecil itu. Aku hairan dengan tingkah lakunya. Tsugiyama, sihatkah mentalmu? Apa peribadi sebenarmu Tsugiyama? Aku hairan, kerana aku melihat dua peribadi dalam satu jasad di hadapanku ini. Seringkali, dua peribadi itu saling bertingkah merebut hati yang rapuh. Tatsuya menggumam sendirian di dalam hati. 

 

Jauh di belakang mereka, Takasaki mengalih pandangan kepada seorang lagi rakan samurainya yang bernama Atsushi, yang sejak tadi duduk di atas kudanya mendiamkan diri.

 

“Atsushi, lekas!”

 

“Baik Takasaki-san!”

 

Atsushi kembali ke tempat kebakaran. Dia harus lekas, jika tidak budak kecil di dalam rumah itu juga akan mati. 


Takasaki perlu berlakon di hadapan Tsugiyama pembantunya itu, jika tidak, dia pasti akan melaporkan kepada Hamada dan Hamada pasti akan memecatnya kerana tidak melaksanakan perintahnya dengan betul, iaitu membunuh ketiga-tiga ahli keluarga petani yang menggunakan nama keluarga ‘Kozue’ itu.

 

Dia hanya percayakan Atsushi untuk tugasan begini.

 

Takasaki sedang berjudi dengan masa. Antara lakonan bagi mengekalkan jawatannya, atau nyawa budak kecil yang tidak mengerti apa-apa itu, dia harus memilih. Namun dia memilih yang ketiga, iaitu kedua-duanya. Maka dia harus berjudi dengan masa.

 

Setibanya di depan rumah yang sedang marak dijilat api, Atsushi melihat kanak-kanak dalam usia tiga tahun itu masih menangis di sisi bapa dan ibunya yang mati dihempap kayu. Dia tidak berganjak sedikitpun. Atsushi menarik kesemuanya keluar, termasuk budak itu, berulang-alik meredah api yang marak.

 

Dia meletakkan mayat ibu dan bapa budak itu di tepi batas bendang, kemudian membawa budak itu menaiki kuda ke sebuah rumah. Dia memujuk budak itu dan menerangkan dia datang untuk menyelamatkannya. Mayat ibu bapanya akan dibakar di tempat lain. Budak itu mulai berhenti menangis dan tertidur.

 

Atsushi sampai di sebuah rumah di dekat kota Kawamoto setelah melalui jalan yang terpisah dari jalan yang dilalui Takasaki, Tsugiyama dan Tatsuya.

 

“Mariko-san.

 

“Terima kasih Atsushi.”

 

Budak kecil itu adalah Kozue Kobato, berumur tiga tahun.

 

** 

 

“Kobato, lepaskan aku, ne? Aku terpaksa melakukan perkara ini untuk mencari makan. Hamada telah memecatku.”

 

“Sejak bila engkau berkhidmat kepada Hamada? Adakah sejak sebelum malam itu?”

 

Atsushi mendiamkan diri, lama. Kobato menengkingnya.

 

“Jawab soalanku Atsushi! Atau aku penggal lehermu dengan pisau ini!” Kobato mengambil pisau dari pinggangnya dan meletakkan di leher Atsushi.

 

“Benar.”

 

“Maka engkau yang membakar rumahku bukan? Dan kemudian berpura-pura menyelamatkanku!” Kobato menumbuk Atsushi.

 

Tumbukan bertubi-tubi itu mematahkan beberapa biji gigi. Hidung Atsushi berdarah-darah.

 

Gomen, Kobato. Aku hanya mengikut arahan.”

 

“Atas arahan siapa?”

 

“Ia atas arahan...” Atsushi tidak sampai hati memberitahu perkara sebenar. Kobato dijaga oleh Takasaki sejak kecil.

 

“Atas arahan siapa?! Jangan kau paksa aku ulangi soalanku!”

 

Kobato merenung Atsushi. Atsushi kelihatan menahan untuk menyebut bunyi ‘ta’. Seolah-olah nama itu terlekat di giginya.

 

Kobato seperti sudah dapat mengagak siapa gerangannya, melihatkan wajah Atsushi dan juga dakwaan Tsugiyama dahulu ke atas Takasaki.

 

“Ta...kasaki-san, maksudmu?” Kobato cuba mengagak, menyebut nama itu perlahan-lahan.

 

“Ya.” Atsushi membenarkan.

 

Kobato menerima kejutan besar.

 

“Mengapa Takasaki, Atsushi? Mengapa dia?”

 

“Dia ketua samurai di bawah Hamada. Dia menyelamatkan engkau kerana tidak sampai hati melihat anak kecil yang tidak berdosa dibunuh Hamada. Maafkan dia, Kobato.”

 

Kobato teringat surat yang diberikan Saki yang dibacanya setelah pulang dari Shimagane. Kata-kata Atsushi berpadanan dengan penemuan Saki bahawa Takasaki adalah ketua samurai di bawah Hamada dan dia meletakkan beberapa bulan selepas kebakaran itu. Juga benar, aku tinggal dengannya beberapa bulan sebelum kami berpindah ke Hidagawa.

 

Kobato berjalan longlai meninggalkan tempat itu dalam keadaan keliru.

 

“Jangan engkau apa-apakah lagi penghantar tamahagane atau aku bunuh kalian tanpa soal.” Dalam lemah dan nada mendatar dia masih sempat memberi amaran kepada Atsushi.

 

“Takasaki mendidik budak ini dengan baik. Kemahiran kaminari-no-kaze-nya boleh dipuji.” Atsushi mengulas dalam hati, tidak mengetahui bahawa yang banyak mengajar Kobato ialah Ryouji.

 

Malam itu dia duduk termenung di bawah pohon momiji yang sudah berdaun, di belakang kuil Shizen. Dia cuba menghadam maklumat-maklumat mengejutkan yang diterima pada hari itu.

 

Malam itu juga dia kembali ke kedai pedang Mitsuhide senyap-senyap untuk mengambil pemberian Saki dan Kurobato, serta meninggalkan surat kepada Mitsuhide.

 

Dia telah memutus untuk meninggalkan kedai pedang itu.

 

**

 

Musim panas, 1858 (Kobato berumur tujuh tahun, dan tinggal di rumah perlindungan Takasaki)

 

“Kobato! Kobato! Kobato!” Takasaki melaung-laung nama Kobato. Pagi itu mereka keluar berburu. Sengaja Takasaki membawanya sekali kerana dia kebosanan di rumah.

 

Tadi dia di sini. Ke mana pula dia lari? Takasaki termangu. Dia terlalu sibuk menumpukan panahnya ke arah seekor rusa sehinggakan terlupa Kobato.

 

Kobato!

 

Takasaki mengikut denai berpetunjukkan ranting-ranting patah. Harapnya dia selamat.

 

Dari celah-celah semak itu dia dapat melihat kelibat Kobato dari belakang, sedang duduk sambil mengetuk-ngetuk batu besar. Apa yang sedang dilakukan?

 

“Kobato...”

 

Takasaki terperanjat melihat pemandangan di depan mata.

 

Kobato sedang menyiang seekor tupai, wajahnya kering tidak beremosi, menggunakan pisau yang dibawanya. Kesan percikan darah memenuhi dada yukata dan wajahnya.

 

Takasaki memegang bahu Kobato. Kobato terperanjat, seperti baru sahaja sedar dari lamunan, padahal kepatahan ranting ketika Takasaki datang ke situ sepatutnya sudah menyedarkannya.

 

“Kobato, apa yang telah engkau lakukan?”

 

“Aku menyembelih tupai ini.”

 

“Untuk apa Kobato? Apakah engkau ingin memakannya?”

 

“Tidak. Aku hanya kebosanan.”

 

Takasaki tersentak mendengarkan jawapan itu. Dia memarahi Kobato dan membawanya pulang ke rumah. Kobato terdiam membisu sepanjang perjalanan pulang.

 

Sejak peristiwa itu pandangan Takasaki terhadap Kobato berubah. Dia tidak bersedia mengajar Kobato jurus tinggi seni kaminari, meskipun dia melihat Kobato bersemangat dan meminatinya, setiap kali dia melihat Takasaki berlatih berseorangan dan dengan penghuni yang lain.

 

Disebabkan itu, Kobato masih jauh ketinggalan selepas Ryouji tiba. Ryouji mengajar jurus tersebut dan Takasaki membenarkan meskipun hatinya berat. Namun melihatkan perubahan sikap Kobato selepas kedatangan Ryouji, dia sedikit lega.

 

Perwatakan Kobato masih menjadi misteri kepada Takasaki. Kadangkala dia ceria dan kadangkala dia murung. Sejak Ryouji datang ke rumah itu, dia kurang bermurung. Takasaki tidak pasti apakah disebabkan peristiwa pahit yang membunuh ibu bapanya ketika dia kecil, atau disebabkan masalah semulajadi, seperti yang pernah berlaku kepada seorang putera Maharaja pada zaman silam.

 

Bagaimana jika yang pertama itu benar? Bukankah aku pelakunya? Tangan Takasaki terketar-ketar. Terngiang kembali mimpi yang sering berulang-ulang dialaminya. Dia memandang tangannya. Di dalam mimpi itu, dia melihat tangannya dicemari darah. Dan Kobato di hadapannya sedang menghunus pedang dan cuba membunuhnya. Seringkali, pada saat itulah dia akan terjaga.


Novel: Kaisenjyo (Bab 26)

 BAB 26


Saki membuka rumah merpati itu. Hatinya berbunga melihat rumah merpati itu pertama kali berisi surat. Sudah pastinya daripada Kobato.

 

Saki membuka gulungan itu.

 

“Saki, aku perlukan engkau menyiasat hubungan Takasaki dengan bekas daimyo-nya Hamada. Aku mahu mengetahui dari tahun bila dan sehingga tahun bila dia berkhidmat kepada Hamada dan kejadian-kejadian di Shinagawa sepanjang tempoh perkhidmatannya.”

 

Saki mula berasa curiga, namun dipendamkan. Mengapa dia mahu mengetahuinya? Apakah dia mengesyaki sesuatu pada Takasaki?

 

Apapun, aku akan melakukannya. Mungkin aku akan dapat memenangi hatinya dengan cara ini.

 

Saki membaca baki tulisan itu.

 

“Perpustakaan atau pejabat Takasaki mungkin memiliki rekod-rekod tersebut. Cuba dahulu perpustakaannya. Rahsiakan perkara ini antara kita berdua sahaja.”

 

**

 

Saki masuk ke perpustakaan. Dia ternampak Shinji sedang sibuk mencari buku. Dia menegur Shinji, dan Shinji membalas dengan mengangguk kepalanya sedikit, kemudian menyambung mencari bukunya. Dalam hati Shinji hairan. Saki tidak pernah ke perpustakaan sebelum ini. Tempatnya sama ada di lombong sulfur di onsen atau di kuil baru di seberang Sungai Miya. Perpustakaan adalah wilayahku, getus Shinji. Aku adalah daimyo di sini!

 

Saki berjalan di celah-celah rak. Perpustakaan tersebut amat luas dan terdiri dari dua tingkat, satu aras tanah manakala satu lagi aras di bawah tanah, yang dihubungkan dengan sebuah tangga kayu yang berbunyi-bunyi.

 

Saki menuruni anak tangga kayu itu untuk ke aras bawah tanah. Shinji, mengapa engkau di sini? Aku tidak mahu sesiapapun berada di sini. Shinji, apakah engkau membina rumah di sini?

 

Saki geram kerana selalunya pada waktu pagi begitu Shinji sedang berada di bengkel relau dan sepatutnya tiada sesiapapun di perpustakaan. Dia mengambil keputusan mencari di tingkat bawah dahulu sementara menunggu Shinji beredar.

 

Shinji terdengar bunyi derapan pada tangga kayu. Dia tahu Saki sedang menuju ke tingkat bawah tanah. Apa yang dicari Saki di sini? Harapnya dia tidak membuka rak rahsia. Rak rahsia berada di situ. Jika dia membukanya, habis Takasaki!

 

Shinji berjalan perlahan-lahan, cuba melihat dari celahan di antara kayu-kayu lantai tidak sekata yang menghala ke lokasi rak rahsia. Dia mengintai dari atas, dibimbangi rak rahsia itu ditemui Saki. Tidak kelihatan pun kelibat Saki. Shinji tidak berpuas hati. Dia mahu ke tingkat bawah tanah bagi memastikannya.

 

Saki masih berlegar dari rak ke rak. Dia membaca penanda yang bertampalan pada rak dan menemui himpunan rekod-rekod para daimyo yang pernah memerintah wilayah-wilayah di seluruh Jepun. Rekod-rekod itu belum dikemaskini sejak Maharaja menyempadankan semula semua wilayah pada musim panas tahun lepas. Saki mencari di rak yang bertuliskan ‘Wilayah Shinagawa’ yang merupakan wilayah lama bagi kampung Kobato. Dia menarik keluar rekod yang bertanda ‘Yoshitsugu Hamada’.

 

“Yoshitsugu Hamada, daimyo ke-20 Shinagawa, memerintah dari tahun 1821 ketika berusia 18 tahun selepas kematian bapanya daimyo ke-19 Shinagawa, Yoshitsugu Hoshi.” Saki membaca rumusan di muka hadapan rekod itu. Dia mulai menyelak helaian-helaiannya. Rekod itu tampak lebih baru dan kurang berhabuk berbanding rekod-rekod lain, barangkali kerap dikemaskini kerana Hamada masih memegang kuasa, cuma dia baru sahaja ditukar peranan kepada gabenor oleh Maharaja pada tahun lepas. Saki cuba mencari maklumat tersebut, ia tercatat di muka seterusnya. Wilayah baru (prefecture) di bawah pemerintahan Hamada bernama Gizen yang mengambil sebahagian besar wilayah Shinagawa dan beberapa wilayah-wilayah lain seperti Yozehama di utara dan Hidagawa di baratnya. Muka surat itu seperti helaian yang baru ditambah ke dalam rekod itu melihatkan kualiti kertasnya.

 

Saki menyelak halaman seterusnya. Keseluruhan rekod itu mencatatkan perihal terperinci pemerintahan Hamada, seperti ditulis oleh seorang yang begitu rapat dengannya, termasuk kejadian-kejadian yang sempat dirakamkan oleh pelbagai sumber yang berlaku di dalam Shinagawa. Ia bercampur-aduk di antara kisah yang benar dan diselidik dengan baik dengan disertakan sumber atau sekadar rakaman kata-kata dari para penduduk wilayah tersebut yang tidak diketahui kesahihannya.

 

Dia tertarik dengan sebuah kejadian pada tahun 1854, di sebuah kampung bernama Shizen. Kejadian itu dilaporkan oleh seorang penghuni pekan Shizen-machi berkenaan sebuah kebakaran rumah di pinggir sebuah bendang di Shizen-mura. Menurut sumber tersebut, dia mendengar ura-ura pelakunya mungkin bersekongkol dengan Hamada. Dia kerapkali mendengar mangsa kebakaran itu mengadu kepadanya berkenaan masalah hutang yang dihadapi. Mangsa kebakaran tersebut lesap tanpa diketahui. Kesemuanya tiga orang, termasuk seorang anak kecil berusia tiga tahun. Nama-nama mangsa yang hilang: Kozue Taka, Kozue Yuu isterinya dan Kozue Kobato anaknya.

 

Saki memetik jarinya. Dia menemui catitan kejadian kebakaran tersebut. Nama keluarga itu ‘Kozue’, dan tahun kejadian, rumah di tepi bendang seperti yang pernah dikisahkan Ryouji kepada Azusa dan juga tahun kejadian berpadanan dengan usia Kobato. Saki pernah meminta Azusa bertanyakan Ryouji latar belakang Kobato dan Ryouji memberitahunya dalam beberapa siri perbualan di antara mereka.

 

“Sebentar. Di dalam ini langsung tidak direkodkan hubungan Takasaki dengan Hamada. Di mana boleh aku memperolehinya?”

 

Tiba-tiba kedengaran bunyi derapan di tangga. Saki cepat-cepat menutup rekod itu dan menyimpannya kembali. Shinji sedang turun ke situ.

 

Shinji melihat sekeliling dan tempat rak rahsia. Bagus, Saki tidak menemuinya. Shinji menarik nafas lega. Dia kemudian menemui Saki yang berpura-pura mencari-cari sesuatu di dalam salah satu ruang antara rak.

 

“Apa yang engkau sedang lakukan di sini Saki? Perlukan bantuanku?”

 

“Tiada apa-apa."

 

Shinji melihat pada rak. Sesuatu menarik perhatiannya. Sebuah rekod tidak diletak dengan betul dan sedikit terkeluar dari kedudukannya, iaitu rekod berkenaan Hamada.

 

“Saki, jika engkau perlukan bantuanku, aku ada di tingkat atas.”

 

“Shinji...sebentar.” Saki memanggilnya dalam refleks.

 

“Ya.”

 

“Maaf, tidak mengapa.” Saki teringatkan pesan Kobato agar menjaga rahsia mereka.

 

Saki aneh hari ini. Shinji naik ke atas semula. Asalkan Saki tidak mengganggu rak rahsia, dia tidak perlu risau.

 

**

 

Saki cuba menjarakkan hari-hari dia mengunjungi perpustakaan itu. Dia akan memerhati Shinji. Hanya bila Shinji tiada barulah dia akan memasukinya. Saki gigih mencari dari hari ke hari, sehinggalah hampir sebulan lamanya dia mencari, ditambah dengan kesibukan melombong sulfur dan membersihkan kuil patung Buddha dan patung singa. Dalam tempoh itu, disebabkan dia kerap ke perpustakaan dan membelek buku-buku di dalamnya, dia mulai minat membaca.

 

Baru-baru ini Saki mulai menyedari sudah dua hari Shinji tidak ke perpustakaan. Shinji dilihatnya kerapkali ke bengkel relau, entah apa pula projeknya kali ini. Seperti biasa, Saki menggunakan peluang keemasan ini untuk menggeledah perpustakaan tersebut mencari petunjuk seterusnya.

 

Dia tertarik melihat buku-buku yang bersepahan di atas meja Shinji. Saki tidak berminat dengan hobi Shinji, namun setelah berada di dalam perpustakaan itu berkali-kali, dia tidak dapat membendung rasa ingin tahunya kali ini.

 

Dia membelek-belek buku-buku itu. Ada buku berkenaan senjata kuno. Kemudian buku racun. Apa yang sedang Shinji selidiki? Kemudian dia membongkar buku yang lain pula. Topik-topiknya pelbagai. Mungkin buku-buku ini ditelaah dan dibiarkan berminggu-minggu di situ maka topiknya pelbagai dan bercampur aduk. Kemudian pandangannya tercatuk pada sebuah buku dengan lukisan seorang samurai sedang bertarung, yang mana lukisan tersebut sangat buruk pada mata Saki, dan di bawahnya tertulis tajuknya ‘Kaminari no kaze’. Di bawah kulitnya terpampang nama dua orang penulisnya; Okuhida Miura dan Takasaki Nakatsu.

 

Saki mengambil buku itu dan membuka halaman pertama. Halaman pertama memaparkan sejarah perkhidmatan dua orang penulis buku itu. Saki membaca sejarah penulis pertama, iaitu Takasaki, sehingga menemui rangkap berikut;

 

“...pernah berkhidmat sebagai ketua samurai dan pengawal peribadi utama kepada daimyo Shinagawa, Yoshitsugu Hamada selama 33 tahun dari tahun 1823 sehingga 1855...”

 

Bererti Takasaki masih berkhidmat kepada Hamada pada ketika kebakaran di Shizen berlaku, pada tahun 1854. Bererti dia mungkin turut terlibat, getus Saki. Kerana dia ketua samurai pada ketika itu.

 

Saki mengutus surat kepada Kobato memaklumkan penemuan tersebut.

 

Surat itu tiba di rumah kedai membuat pedang itu selepas sebulan Kobato mengutus suratnya kepada Saki.

 

Namun Kobato tidak berada di rumah. Dia telah dihantar Mitsuhide ke Shimagane jauh di barat Honshu atas urusan perniagaan. Dia tidak akan kembali sehinggalah enam bulan kemudiannya iaitu pertengahan musim sejuk di awal tahun 1871. Sebelum pergi, dia meninggalkan pemberian Saki di rumah tersebut dan meminta Mitsuhide menyimpan surat dari Kurobato.

 

Para perantis di situ sudah ada lima orang maka ketiadaan Kobato ditampung mereka.  Mitsuhide mengambil surat itu dari Kurobato dan menyimpannya.

 

Shimagane ialah sebuah wilayah di hujung Barat pulau Honshu. Di selatannya, di seberang Selat Shimonoseki atau nama Baratnya Van der Capellan, terletaknya pulau Kyushu, pulau di mana ramai bekas samurai menetap setelah melarikan diri dari wilayah-wilayah mereka selepas Pemulihan yang dilakukan Maharaja. 

 

Apakah tujuan Mitsuhide menghantar Kobato ke sini selama enam bulan?

 

Shimagane adalah wilayah yang membekalkan bijih terbaik untuk penghasilan pedang Jepun atau katana. Bijih itu digelar satetsu atau ‘pasir besi’. Selepas satetsu dilombong, ia akan dicampur dengan arang dan diproses pada suhu tinggi di dalam relau tanah liat dinamakan tatara mengikut kaedah turun-temurun. Proses ini memakan masa sehingga seminggu dan dilakukan oleh beberapa orang tukang besi, sekitar lima hingga tujuh orang bergantung kepada kuantiti satetsu. Keluli yang dipanggil tamahagane akan terhasil dan mendap di bawah relau ketika proses, dan selepas proses tamat, relau tanah liat tersebut akan dipecahkan bagi mendapatkan tamahagane ini. Kemudian tamahagane ini akan dijual kepada penempa katana di serata Jepun, yang mana salah seorang daripada mereka ialah Mitsuhide.

 

Tujuan Mitsuhide menghantar Kobato ke sini ialah bagi mempelajari asas penghasilan katana dari bijihnya. Kualiti katana bergantung kepada kualiti bijih. Sama seperti kualiti padi. Jika padi dibaja dengan baja yang berkualiti, hasilnya juga berkualiti. Akame satetsu lebih berkualiti dari masa satetsu dan mendapat permintaan yang tinggi dari penempa-penempa katana. Kobato akan membina jaringan hubungan dengan para pelombong dan penempa tamahagane, bagi memudahkan urusan perniagaan di masa akan datang.


**

Awal musim panas, 1871. 


Sejak belakangan ini, banyak siri rompakan berlaku di lebuh Nakasendo. Kobato kerapkali mendengar dari pengawal-pengawal yang datang ke kedai pedangnya untuk membaiki bilah katana mereka. Perompak-perompak itu terdiri dari lima orang, dan berpakaian seperti ninja.

 

Bahkan, kumpulan perompak ini turut merompak pembekal tamahagane yang sepatutnya sampai ke kedai pedang mereka. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menyiapkan tempahan mengikut masa yang telah ditetapkan dengan pelanggan. Kobato mula berasa terganggu dan tercabar.

 

Kobato mahu menyiasatnya sendiri. Sudah lama dia tidak mempraktikkan seni kaminari-no-kaze nya, maka dia melihat insiden-insiden ini sebagai peluang bagi menggilapkan kembali kemahiran berpedangnya. Dia juga sudah mulai bosan bekerja di kedai pedang itu.

 

“Mitsuhide, aku ingin mengambil cuti.”

 

“Engkau mahu ke mana, Kobato?”

 

“Berkelana di luar pekan ini. Aku sudah lama benar di sini, Mitsuhide. Lagipun, sekarang musim panas amat sesuai untuk keluar mengembara.”

 

“Baiklah, Kobato. Aku tidak menghalang. Jaga dirimu, keadaan sekarang tidak berapa selamat, engkau pun mendengar berita-berita dari pengawal-pengawal pedagang itu bukan? Kami masih memerlukanmu di sini. Harap engkau kembali dalam keadaan sempurna.”

 

“Jangan bimbang Mitsuhide. Aku pasti selamat.”

Teaser_Buku II

Teaser Buku II: Yoru-no-kaze Teaser ini adalah bab khas dari Kaisenjyo Buku II: Yoru-no-kaze yang sedang aku siapkan. Ia berkenaan satu w...