BAB 24
Mereka keluar awal
pagi esoknya. Mereka sampai di kampung Chisato, Kisennuma setelah menumpang
sebuah kereta kuda membawa jerami yang melintas di kaki bukit yang menempatkan
kuil itu. Chisato tidak mampu berjalan jauh dengan kaki yang masih tercedera.
Chisato sampai di
rumahnya. Masih diingati laluan ke rumahnya yang merentas bendang. Sawah padi
di situ baru bertanam, masih hijau. Ryouji berjalan di sebelahnya. Chisato masih boleh berjalan namun perlu berhenti kerap. Cuaca tidak terlalu panas pada hari itu di awal musim bunga.
Sampai di rumahnya,
Chisato terperanjat melihatkan rumahnya telah diubahsuai. Dia ingat benar inilah
tapak rumah bapanya, meskipun dia meninggalkannya hampir empat tahun lepas. Dia bertanyakan seorang lelaki yang sedang duduk di depan
rumahnya sambil mengukir patung.
“Ya, cik. Ini
rumahku. Aku telah membeli tanah bendang dan rumah ini dari Maharaja. Tiada lagi daimyo. Bekas
daimyonya telah berpindah ke Kyushu dan tempatnya diganti oleh gabenor.”
“Tuan masih ingat
orang yang pernah tinggal di sini?”
“Aku tidak pernah
menemuinya. Ketika aku sampai di sini pada tahun lepas, hanya kelihatan rumah dengan kesan
terbakar. Tanah-tanah dipenuhi debu hitam. Tiang-tiang hanya tinggal separuh, habis
semuanya rentung. Aku dengar ia terbiar begitu sejak tiga tahun sebelumnya.”
Chisato terpana
mendengarkan kata-kata lelaki itu. Terbakar? Adakah rumah kami dibakar, dan
bapaku dibunuh? Siapa yang melakukannya?
Chisato
merayau-rayau di kawasan rumah lain di sekitar bendang itu. Namun semua petani
di situ tidak pernah dilihatnya. Mereka semua petani yang baru di sini. Adakah
aku tersilap kampung? Tidak, inilah kampungku! Jalan yang aku lalui tadi amat
aku kenali.
Chisato menemui
seorang lelaki yang selalu berjudi dengan bapanya. Dia sedang merayau-rayau tanpa
arah tujuan di pertengahan jalan.
“Ano sumimasen, encik Kazumi-san
bukan?” Lelaki itu menoleh, rambutnya panjang dan kusut masai, pakaiannya
compang-camping dan kotor, wajahnya penuh celoreng dan berkaki ayam. Dia nampak
seperti kurang siuman, amat kurus seperti sudah sebulan tidak makan. Namun
Chisato tiada pilihan, dia hanya mengenali lelaki itu sedikit sahaja ketika
mana dia melawat rumah bapanya suatu ketika dahulu, maka mungkin dia orang yang
tepat untuk ditanya.
“Chisato-chan, bukan?” tutur lelaki itu selepas
menatap Chisato seketika.
“Ya.” “Engkau telah
banyak berubah, semakin cantik!”
Chisato tersipu
malu dipuji, namun terus bertanya, tidak mahu melengahkan masa, “Kazumi-san, masihkah engkau ingat apa yang
telah terjadi kepada otou-san?”
“Minoru-san ka?” “Aku pergi ke rumahmu suatu hari,
namun mendapati dia sudah rentung bersama rumahnya. Mayatnya kami bakar kerana
tiada sesiapa yang menuntut.”
Rumah Chisato
terletak jauh dari rumah-rumah petani lain maka kebakaran lambat dikesan. Lagi
pula kejadian itu berlaku di waktu malam pada musim luruh, maka bau kebakaran
itu mungkin disangka bau kebakaran akibat seseorang membakar daun kering.
“Benarkah begitu
Kazumi-san?” Chisato masih tidak dapat mempercayai apa yang didengarinya.
“Ya, aku berada
ketika upacara pembakaran. Malang nasib Minoru, seringkali kalah berjudi bahkan
ditipu kerap.”
Chisato terdiam,
fikirannya kaku. Dia tidak dapat mengungkapkan kesedihannya. Pilu kerana dia
tidak sempat melihat bapanya buat kali terakhir. Pandangan terakhirnya yang
dilihat Minoru adalah sebuah pandangan penuh kebencian dari seorang anak
perempuan, bahawa perbuatannya adalah jijik dan tidak boleh dimaafkan. Aku bapa
yang jijik! Aku tidak layak menjadi bapa! Aku layak ditinggalkan mereka!
"Chisato, pulanglah sejenak bersama adik-adikmu. Aku amat merindui kamu semua. Pulanglah Chisato! - aku kerap bermimpi bapamu menjerit kata-kata itu sedang api membakar tubuhnya." tutur Kazumi.
Setiap kali dia bertemu
Minoru, Minoru kerap bercerita tentang mereka bertiga, betapa dia merindui
mereka. Jika bukan kerana hutang berjudi dan pemiutang yang mengejarnya setiap
hari bahkan mengancam untuk membunuh anak-anaknya, sudah pasti dia tidak
menjual mereka.
“Aku bersedih
dengannya. Dia pergi keseorangan. Aku tiada di sisinya semasa dia terperangkap
di dalam kebakaran itu. Pasti dia terseksa benar. Tiada siapa yang mendengar
jeritan terakhirnya akan betapa dia merindui anak-anaknya.”
Apakah itu yang otou-san fikirkan?
Chisato terduduk
mendengarkan Kazumi. Dia amat membenci perbuatan bapanya, namun tidak
sekali-kali dia terfikirkan untuk menghukum bapanya agar mati sebegitu kejam.
Apa yang telah aku
lakukan? Adik-adikku seringkala bertanya bilakah mereka dapat pulang ke kampung
bertemu otou-san. Otou-san amat merindui kami. Dan aku
telah memisahkan mereka sehinggalah otou-san
bertemu ajal.
Apa yang telah aku
lakukan? Chisato menutup mukanya sambil menunduk mengadap bumi, masih melutut
di atas tanah berdebu itu. Ryouji membiarkan dia melayan perasaannya. Dia juga
sedih. Keperitan Chisato mungkin lebih lagi. Tidak, kisah Chisato sungguh
mengelirukan. Insan yang menjadi darah dagingmu melakukan perkara yang
memusnahkan hidup darah dagingnya sendiri. Dan engkau terpaksa bertindak, mungkin
merentas batas kemanusiaan agar dapat melindungi darah dagingmu yang lebih
memerlukan perlindungan. Natijahnya, adalah satu pengorbanan besar. Engkau
mendapat sesuatu dengan kehilangan sesuatu.
Hati Chisato perit.
Keliru. Sedih. Malu. Pelbagai perasaan menerjah mindanya. Dia bingung.
Mereka tiba-tiba ditegur seorang lelaki. Kazumi sudah jauh meninggalkan mereka.
“Okaerinasai, Chisato-chan!” lelaki itu melaung sinis. Chisato
tersentak. Lelaki inilah yang menyerangnya dan Ryouji di pekan yang ada kedai
ramen! Dia lelaki berjanggut uban yang memakai happi
bercorak sagi di belakangnya.
Bagaimana dia mengetahui kampungku? Chisato mendiamkan diri sambil memandang
lelaki itu penuh kemarahan.
“Apa yang engkau
buat di sini, Chisato-chan. Engkau ingin melawat bapamu itukah? Dia sudah
mati, sayang.”
Menyirap darah Chisato mendengarnya. Ryouji memegang bahu Chisato.
“Akulah
Tsugiyama, orang yang membakar rumahmu itu.”
“Mengapa... mengapa
engkau buat begitu?! Apa salahnya?”
“Aku telah
membayarnya wang semasa aku mengambil adik-adikmu. Namun sejurus menerima dia
terus menggunakan semua wang itu untuk membayar hutang-hutangnya. Kemudian
engkau mengambil semula adik-adikmu dari orang-orangku tidak lama kemudian.”
“Jadi?”
“Maka aku mencari
bapamu dan membakar rumahnya. Chisato-chan, tiada duit percuma di dunia ini.”
Chisato tidak dapat
menahan sebak. Dia pulang ke kampung bersusah-payah, hanya mendapati bapanya
sudah tiada.
“Chisato-chan, engkau masih berhutang nyawa
denganku. Engkau membunuh rakanku ketika di jeti.”
“Chisato, engkau
melindungi adik-adikmu. Ingat kata-kataku semalam di pekan? Jika aku dalam
situasi begitupun aku pasti akan membunuh mereka. Mereka harus dibunuh atau
kita yang akan dibunuh. Tiada pilihan.” Ryouji berkata kepada Chisato dengan
nada perlahan, kemudian memandang Tsugiyama.
“Sebelum engkau
apa-apakan Chisato, langkah mayatku dahulu!” Ryouji berteriak.
“Siapa engkau?
Budak hingusan yang hanya tahu membuat ribut?” Tsugiyama masih ingat wajah
Ryouji di pekan itu. Dia bertanggungjawab membuat ribut tiruan di sana.
“Beredar sekarang dari
sini dan jangan mengganggu kami!” Ryouji memberi amaran keras.
“Budak hingusan,
engkau tiada kena-mengena dalam hal ini. Ini antara aku dan keluarganya. Usah
campur tangan, budak!”
Chisato, biarkan
aku bertarung dengannya. Kaki engkau masih tercedera. Hayabusa-no-kami, jangan engkau kembalikan sumpahmu di saat-saat
genting seperti ini, sekali lagi! Onegai!
(Tolong!)
Selepas bangun dari
tidur pagi itu, tangan kanan Ryouji kembali pulih. Namun tanda hitam seperti
yang diberitahu Kotobuki telah mula muncul tanpa perlu ditekan. Ia agak pudar, dan saiznya sebesar bulatan separuh saiz kuku. Apapun, Ryouji bersyukur kerana masih boleh menggunakan tangan
kanannya kembali.
Aku tidak boleh
menggunakan jurus kedua. Hari ini masih panjang, aku perlu menyimpan tenagaku,
fikir Ryouji. Kaminari-no-kaze, jurus
pertama.
Tsugiyama mengelak
dengan mudah. Pantas! Sepantas dirinya.
“Kaminari-no-kaze? Siapa yang mengajarmu?
Takasaki, atau Miura?” Tsugiyama bertanya soalan sama yang pernah ditanya kepada Kobato pada musim sejuk lepas. Tsugiyama ialah bekas samurai yang sekarang ini merompak di Nakasendo. Dia pernah bekerja bersama Takasaki untuk Hamada, kemudian ditukar berkhidmat kepada Hagiura dan kemudian dipecat selepas Pembaharuan. Dia datang ke pekan itu untuk mencari peluang pekerjaan baru dan tidak menyangka akan terserempak dengan Chisato, dendam lamanya.
Dia mengenali otou-san dan Takasaki-san? Siapakah lelaki ini sebenarnya?
Bukankah dia orang keluarga Yoshitsugu melihatkan simbol sagi
itu? Mungkinkah dia bekas anak murid mereka berdua?
“Wajahmu mengingatkan
aku dengan Miura. Siapakah engkau wahai budak?”
“Aku anaknya.”
“Seperti aku telah
agak.”
Sedang mereka sibuk
bertarung, seekor burung hayabusa yang besar datang terbang sambil berteriak. Tsugiyama berundur dari situ, mengejut.
“Mata ne. Sehingga kita berjumpa lagi.
Aku tidak dapat meneruskan pertarungan ini. Dan perempuan itu, aku masih
berdendam dengannya atas nyawa rakanku! Aku pasti akan kembali lagi!” Seraya
menghabiskan kata-katanya dia beredar dari situ dengan pantas, mengikut arah
terbangnya hayabusa itu.
Jika dia tangkas
sebegitu bertarung, mengapa dia tidak bertarung begitu denganku di pekan?
Oh ya, aku lupa!
Jurus kedua adalah jurus terkuat yang tidak boleh ditentang dengan jurus-jurus
lain dan hanya boleh dilakukan bersama regu, satu-satunya jurus sebegitu dalam
kesemua sepuluh jurus. Ia jurus untuk melarikan diri sahaja, bukan untuk
bertarung. Namun tenaga engkau dibazirkan dan engkau tidak lagi boleh bertarung
selepas melakukannya.
Belajar teori dari
Takasaki memang berguna. Namun hanya di dalam dunia realiti sahaja barulah
teori-teori itu mendatangkan makna, di mana dan pada ketika mana ia sesuai
digunakan. Mungkin inilah tujuan Takasaki menghantarku keluar!
**
Chisato masih
bersedih dan membisu sepanjang perjalanan pulang semula ke kuil.
Sampai di kuil,
Ryouji memapah Chisato ke bilik mereka. Chisato masih membisu.
Masuk ke bilik,
Chisato kemudian membuka pintu gelangsar perlahan-lahan dan duduk mengadap
taman. Ryouji duduk di sebelahnya, dipisahkan sedikit jarak.
“Chisato, aku pergi keluar dahulu. Engkau tenangkanlah dirimu di sini.” Ryouji bangun meninggalkannya.
Namun yukatanya ditarik Chisato.
“Ryouji, tunggu.”
Ryouji kembali duduk. Chisato membisu. Kemudian dia menyandar kepalanya ke bahu Ryouji, dan menangis. Ryouji tidak pandai memujuk wanita. Dia hanya duduk pegun di situ seperti patung Buddha di seberang Sungai Miya, sambil memandang ke arah taman. Dia memegang bahu Chisato. Menangislah Chisato sepuas-puasnya. Sementara bahu ini masih utuh ditonggak nyawaku.
Ryouji memandang tangan kanannya. Kotobuki, engkau satu-satunya sami yang sukar untuk tidak aku percayai kata-katamu. Apakah engkau benar seorang sami, atau sebenarnya seorang mistik yang tahu perkara ghaib?
**
“Hagiura-sama!” Tsugiyama melutut hormat kepada
gabenor yang merupakan bekas daimyonya itu. Dia datang mengejut ke Kisennuma. Mengapa dia mencariku di sini? Bukankah dia telah memecatku? Dan disebabkan pemecatan itulah aku hidup dengan merompak di Nakasendo.
“Tiada salahnya aku
melawat bekas samuraiku yang paling setia.” Dia mengangkat lengannya, dan
seekor burung hayabusa datang
bertenggek ke atasnya sedang dia masih utuh dan tenang berdiri, tidak seperti
Ryouji yang terduduk mengaduh berat. Dia nampaknya seorang penjinak hayabusa yang mahir.
“Goro merampas
surat ini dari seekor merpati pengutus.” Hagiura menyuguh sekeping surat
kepada Tsugiyama
“Ia dari Maharaja
kepada Taishii Kimura.” Tsugiyama memberitahu setelah membuka dan membaca surat
yang dihulurkan Hagiura. Meskipun mesej yang tertulis di dalamnya dikodkan, Tsugiyama masih dapat membacanya kerana Maharaja menggunakan kod yang lama yang telah bocor kepada mereka.
“Ya, seteruku yang
berpindah ke Kyushu itu,” Hagiura mengiyakan, sambil mengusap-usap jambul Goro,
hayabusa kesayangannya itu.
“Orang tua kutuk
itu tidak habis-habis menyusahkan aku. Dia mengumpul bekas-bekas samurai bapaku
dan aku untuk berkhidmat di bawahnya sebagai petani. Untuk meluaskan
pengaruhnya saja. Sekarang kerjanya melobi Maharaja pula!” wajah tembam Hagiura
berkerut ketat, bonjol-bonjol lemak degil timbul di pipi. Wajahnya tidak
langsung seperti bapanya Hamada si pondan tua itu.
“Hagiura-sama, berdasarkan kandungan surat ini
Maharaja memperkenan pertubuhan Takasaki dan Miura nampaknya. Bukankah dahulu
ia pertubuhan menentang baginda?”
“Jauh sekali dari
apa yang engkau sangkakan. Ia hanya spekulasi bagi memburukkan mereka. Mereka
menyokong kemasukan Barat, maka rata-rata akan berfikir mereka menentang
Maharaja dan bersekongkol dengan Shogun
Tetsugawa. Ini kerana mereka menyangka Maharaja memusuhi Barat dan Tetsugawa
pula penyokong Barat. Ada pihak mahu mengambil manfaat dari kekeliruan itu agar nama
bapaku diburukkan, kerana Takasaki dan Miura kedua-duanya bekas samurai bapaku.
Dengan buruknya nama bapaku, mereka dapat merebut tempatnya dan menjadi daimyo paling berkuasa di sebelah
Maharaja yang menguasai wilayah-wilayah tengah pergunungan ini.”
“Namun selepas
perang dengan Tetsugawa, baginda terang-terangan mahu membuka
pelabuhan-pelabuhan negara ini kepada Barat, mahu menterjemah karya-karya Barat
yang disimpan pertubuhan Takasaki, bahkan mahu menghantar utusan kita mencedok
ilmu di Barat. Segala usaha kita mengampu baginda selama ini sia-sia. Bahkan,
tanah-tanah kita pula diambil dan kita dilantik sebagai gabenor dengan
diberikan gaji.”
Sebentar, bapaku
membunuh Miura bagi melumpuhkan pertubuhan itu yang disangkanya untuk merekrut
tentera menyokong Tetsugawa. Miura adalah pembiaya utama pertubuhan itu. Namun
sekarang Maharaja pula memperkenan pertubuhan itu, maka bekas-bekas daimyo yang menyokong pertubuhan itu
sudah pasti akan mendapat keutamaan baginda. Tidakkah dia berasa terkilan
kerana membunuhnya? Bodoh benar bapaku!
Namun apakah
keutamaan dari baginda penting? Paling hebatpun engkau cuma dilantik sebagai
gabenor dan diberikan gaji. Tiada lagi cukai dapat dikenakan ke atas petani
kerana kami tidak lagi memiliki tanah. Perjuangan apakah yang kami telah
lakukan?
Perjuangan yang sia-sia! Kami sepatutnya menentang Maharaja sedari awal lagi!
"Tsugiyama, aku mahu mempelawa engkau kembali kepadaku."
"Benarkah begitu, Hagiura-sama?"
"Untuk apa pula aku main-main? Aku hanya percayakan engkau. Engkau sudah terlalu lama berkhidmat kepada keluargaku, sejak bapaku mula mewarisi jawatan daimyonya."
"Arigatou, Hagiura-sama!" Pantas Tsugiyama menunduk hormat. Dia fikir hanya dengan cara ini sahaja hidupnya akan stabil, dengan pendapatan stabil, dalam era yang huru-hara begini. Berapa ramai samurai di luar sana yang terpaksa berkelana mencari pekerjaan baru. Tidak kurang yang merompak dan melakukan kegiatan lain seperti menjadi tentera upahan.
Dengan kembalinya aku kepada Hagiura, lebih mudah untuk aku memujuknya menyewakan kepadaku Goro, hayabusanya itu. Sebentar, simpananku masih belum mencukupi untuk menyewanya. Mungkin aku harus menunggu beberapa minggu lagi. Dengan adanya Goro, aku pasti akan dapat menjejaki Takasaki, menangkapnya dan mendapatkan pulangan lumayan dari Hagiura atau Hamada. Selepas itu, aku mahu bersara di kampungku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan