Novel: Kaisenjyo (Bab 9)

BAB 9 


Penghuni wanita pula berada di dataran. Jadual mereka diasingkan mengikut jantina. Pada hari itu, pelajar wanita belajar seni mempertahankan diri. Ini adalah kelas pertama Hisamiko. Dia terpinga-pinga. Di tangannya ada kayu kendo yang pendek. Hisamiko sudah biasa dengan aktiviti kejantanan. Cuma dia tidak pernah belajar seni mempertahankan diri. Ryouji dan Miura belum bersedia mengajarnya. Namun, Ryouji telah bersetuju Takasaki melatihnya latihan-latihan asas dahulu. Hisamiko perlu akur.

 

“Mariko-san, apa yang kita akan lakukan hari ini. Di mana Onii-san?” soal Hisamiko tanpa gentar meskipun dia baru mengenali Mariko. Mungkin setelah mendapat pemangkin semangat dari Ogasawara bersaudara.

 

“Hisamiko-chan, kita akan belajar seni bertarung. Jangan risau, Ryouji ada bersama Takasaki. Mereka belajar membuat katana.”

 

Hisamiko faham. Asalkan Ryouji tidak lari, maka dia senang hati.

 

Mariko memulakan kelas. Sebagai isteri Takasaki dan satu-satunya guru dan penjaga di situ selain Takasaki, dia perlu tahu seni mempertahankan diri. Takasaki mengajarkan segala apa yang dia tahu. Mariko tidak membantah. Mungkin berguna suatu hari nanti jika Takasaki curang terhadapnya!

 

Disebabkan Hisamiko adalah yang paling baru di situ, maka dia dibenarkan melihat dahulu mereka berlatih. Mariko kemudiannya meminta Chisato mengajar Hisamiko perkara-perkara asas seperti latihan pernafasan. Sementara itu Chinami dan Chiho berlatih bersama.

 

Selain mereka, terdapat dua orang lagi penghuni perempuan di situ. Mereka menginap di bilik asrama yang lain, bersebelahan bilik Hisamiko.

 

“Funazuki Azusa, Funazuki Saki, ayuh ke depan,” nama mereka dipanggil Mariko. Mereka adalah duo pertama yang dipanggil pagi itu untuk mempamerkan pertarungan mereka.

 

Mereka diberikan kayu  kendo sebagai pedang tiruan. Azusa dan Saki mula bertarung pedang sementara yang lain memerhati. Pergerakan mereka lincah seperti pemedang berpengalaman. Mereka, Funazuki bersaudara berasal dari kawasan sekitar rumah perlindungan itu. Azusa bertubuh lebih tinggi dari Saki. Kedua-duanya lebih berisi berbanding penghuni perempuan yang lain, namun ketinggian mereka masih tidak dapat menyaingi ketinggian Chisato. Mereka berdua bukanlah gemuk tetapi berisi dengan otot, seperti datang dari keluarga buruh atau tukang besi. Lebih tepat lagi, tukang membuat katana. Apapun, mereka pasti biasa melakukan sebarang kerja-kerja berat sebelum masuk ke sini.

 

Disebabkan kemahiran bertarung mereka yang tinggi, mereka bersama-sama Mariko adalah tonggak pertahanan rumah perlindungan tersebut jika Takasaki dan Kozue tiada. Kozue adalah yang terbaik kemahiran bertarungnya dalam kalangan pelajar lelaki, namun mungkin selepas ini tempat tersebut akan diambil alih oleh Ryouji. Funazuki bersaudara adalah penghuni yang pertama menyertai pusat perlindungan itu selepas Kozue, disusuli dengan Tsuneki, Shinji, Ogasawara bersaudara dan terakhir Okuhida bersaudara.

 

Sekarang tibalah giliran Hisamiko dan Chisato. Mariko sedar masih terlalu awal untuk Hisamiko, namun dia mahu melihat potensi Hisamiko terlebih dahulu. Kemudian barulah dia merancang bagaimana melatihnya kelak. Pertarungan bermula.

 

Sepanjang pertarungan itu berlangsung, Mariko terpegun. Hisamiko mampu mengelak semua serangan Chisato namun dia tidak sedikitpun menghayun kayunya. Membingungkan, kerana dia difahamkan oleh Takasaki bahawa Hisamiko tidak pernah menerima sebarang latihan pun dari Miura mahupun Ryouji. Malah, di tengah-tengah pertarungan tersebut Hisamiko mencampakkan kayunya ke tepi seolah-olah satu beban bagi lengannya yang kecil itu untuk terus memegangnya. Dia terus mengelak dan mengelak, pergerakannya pantas.

 

“Berhenti!” Mariko memberi arahan. “Hisamiko, dari mana engkau belajar mengelak sebegitu?”

 

“Aku melihat pergerakan. Onii-san, otou-san, Kozue nii-san, dan nee-san tachi (kakak-kakak itu),” dia menunjuk ke arah Funazuki bersaudara. Semua pergerakan yang pernah dilihatnya dihafal. “Kayu itu berat, aku tidak mahu menggunakannya.” Dia menunjuk pula kayu yang telah dicampak tadi.

 

Mariko memahaminya. Hisamiko seorang yang kurus dan lengannya kecil. Mungkin aku harus laporkan pemerhatianku ini kepada Nakatsu. Aku mahu mengujinya lagi. Apa kata jika aku benarkan dia berlawan dua orang sekaligus?

 

Dia kemudian menyuruh Hisamiko bertarung dengan Funazuki bersaudara, tanpa menggunakan kayu. Demi mempercayai apa yang dilihatnya, dia mahu Hisamiko bertarung dengan kedua-duanya serentak hanya dengan mengelak. Hisamiko hanya mengangguk patuh.

 

Sekali lagi, keajaiban di depan mata Mariko. Funazuki bersaudara seperti memukul angin. Hisamiko seolah-olah dapat mengagak pergerakan mereka dua tiga langkah ke hadapan dan dia seolah-olah menari mengikut alunan angin musim luruh. Sekali sekala dia turut mengelak daun-daun kering yang berterbangan ke dataran itu. Subarashii! Menakjubkan! Mariko hampir menjerit keterujaan. Kibasan kain yukata Hisamiko berselang seli dengan lincah pergerakannya, menyapu bersih daun-daun kering yang bersepahan di lantai dataran.

 

Seorang srikandi pernah muncul di tanah Yamato sekitar seribu tahun lepas ketika era Heian, bernama Hiiragiko. Mungkin Hisamiko adalah penyusulnya. Aku sedang melihat seorang yang mungkin bakal menjadi lagenda di hadapanku.

 

Azusa sekali-sekala dapat melihat Mariko terpegun dengan rentak Hisamiko. Timbul rasa tidak senang dalam hatinya. Aku adalah kebanggaan Mariko-san selama ini, aku dan juga Saki-chan. Siapa budak pelik ini yang hanya tahu mengelak? Kemunculannya tiba-tiba dan menjengkelkanku.

 

Pertarungan dihentikan. Hisamiko tewas jua kerana capalnya patah dan kakinya terseliuh. Melihatkan itu, Mariko tersedar dari lamunannya, bingkas bangun dan segera mendukung Hisamiko ke bilik rawatan. Dia sedar kesalahannya menyuruh Hisamiko bertarung lagi. Dia bersedia mendengar bebelan Takasaki. Namun dia tetap berpuas hati kerana menemui rahsia baru keluarga Okuhida.

 

Lihatlah, Mariko-san mendukungnya lagi! Mariko-san sudah menemui pelajar kegemarannya! Azusa mengerling dengan wajah meluat. Saki di sisinya turut sama menjeling. Kedua-duanya tercungap-cungap selepas sekian lama memukul angin.

 

Sehabis sahaja latihan menempa bilah, Ryouji bergegas ke bilik rawatan setelah mendengarkan berita Hisamiko tercedera dari Chisato.

 

Hisamiko memandang Ryouji. “Onii-san, Miko tidak apa-apa. Hanya seliuh kecil.” Dia melihat capal Hisamiko telah pecah. Mariko menyedari seraya berkata “Jangan bimbang Ryouji, aku boleh membaikinya.” “Terima kasih Mariko-san.”

 

“Ryouji, aku ingin berbincang sesuatu denganmu, boleh ikutiku ke bilik pejabat?”

 

“Ya.”

 

Mereka tiba di bilik pejabat yang menghadap perpustakaan. Shinji yang baru tiba dari bilik relau sedang memasuki perpustakaan apabila menyedari mereka berdua masuk ke pejabat. Ryouji menyedari Shinji, dan dia menutup pintu gelangsar rapat-rapat dengan harapan perbualannya dengan Mariko tidak dapat didengari.

 

“Ryouji, kau mungkin tidak akan percaya dengan apa yang aku lihat. Sebelum itu aku inginkan kepastian adakah Hisamiko benar-benar tidak pernah menerima sebarang latihan darimu?”

 

“Ya. Dia hanya memerhati aku berlatih bersama otou-san.”

 

Benarlah apa yang diperkatakan Hisamiko. Lagipun dia nampak seperti seorang budak yang jujur.

 

“Kau mungkin tidak percaya, pagi ini aku melihat bagaimana dia hanya mengelak pukulan demi pukulan.”

 

“Adakah kau melibatkan dia dalam pertarungan? Mariko-san, ini baru hari pertamanya...”

 

“Benar. Maafkan aku. Semua pelajar perlu bertarung meskipun pada hari pertama. Aku ingin melihat potensi mereka dahulu, sebelum merancang bagaimana memperinci latihanku kepada setiap seorang dari mereka. Hisamiko berlainan dari pelajar-pelajar lain. Dia tidak mahu menggunakan kayu, berat katanya. Dia hanya mengelak dan mengelak. Dan tiada satupun pukulan kayu kendo dari lawannya mengena. Pergerakannya sempurna seperti dirasuk hayabusa, pantas.”

 

Ryouji hampir tidak percaya dengan apa yang didengarinya. “Mariko-san, terima kasih memberitahuku. Aku akan menyelidik sendiri perkara ini dari Hisamiko kemudian.” Ryouji bergegas keluar, tidak mahu memanjangkan perbualan. Dia risau amat dengan Hisamiko. Ini adalah kejadian aneh yang kedua berlaku selepas menyedari Hisamiko memahami pertuturan hayabusa.

 

Ryouji, hontou gomen ! (Ryouji, aku benar-benar meminta maaf)!” Mariko menundukkan kepalanya.

 

Soshite, rikai shite kurete arigatou. (dan terima kasih kerana memahamiku).”

 

“Tidak mengapa. Terima kasih juga padamu. Jika engkau tidak membenarkan pertarungan tersebut mungkin aku juga tidak tahu keanehan ini. Terima kasih, Mariko-san.” Ryouji membalas tunduk.

 

Ryouji menutup pintu gelangsar pejabat dan beredar.

 

Hisamiko keluar dengan kaki berbalut dan dia berjalan menggunakan topang sambil dibantu Ryouji dan Chisato. Dia dibawa terus ke biliknya. Ryouji beredar, dia tidak dibenarkan masuk ke asrama perempuan. Tempatnya diambil alih oleh Chinami dan Chiho.

 

Chisato membaringkan Hisamiko berhati-hati. Dia melihat Hisamiko seperti seorang kakak melihat adiknya. “Berehatlah Hisamiko. Kau anak yang hebat. Nee-chan kagum denganmu.” Dia menguntum senyuman. Senyumannya yang lembut itu mengingatkan Hisamiko kepada ibunya. Senyuman yang jujur dan ikhlas, tiada niat tersembunyi atau berbaur sindiran. Senyuman yang sedikit sebanyak meredakan kepedihan di kakinya yang mulai membengkak itu. Chisato duduk di sisi Hisamiko sambil mengusap ubun-ubunnya. Peluhnya masih belum kering.

 

Hisamiko tertidur. Chinami dan Chiho mula bersuara,

 

Nee-chan, tadi ketika bertarung kami melihat nee-chan tidak memukul Hisamiko betul-betul.”

 

“Benar. Pukulanku hanyalah acahan. Disebabkan elakannya pantas, pukulan acah-acahku itu tidak nampak ketara pada semua yang menonton. Aku akan memastikan dia mengelak dahulu kemudian barulah aku meneruskan setiap hayunanku. Aku amat mengasihani Hisamiko seperti kamu berdua. Aku tidak mahu dia dicederakan sedikitpun akibat dari kesilapanku.” Chisato menepuk lembut kepala Chinami dan Chiho.

 

Chisato nampaknya bukanlah sembarang. Dia mungkin lebih cekap bertarung berbanding Funazuki bersaudara. Namun dia memilih untuk memendam kebolehannya. Tidak pasti atas alasan apa. Mariko menyedarinya dan cuba mengeluarkan bakatnya namun hampir-hampir berputus asa. 

 

**

 

Suatu petang Hisamiko yang kakinya masih bertopang ditemani Ryouji di taman bonsai. Dia kebosanan berbaring di bilik dan mahu keluar. Ketika duduk di taman bonsai, Ryouji mula bertanya kejadian-kejadian aneh beberapa hari lepas.

 

“Miko, ketika engkau di kendonganku semasa kita berjalan ke kuil ketiga, engkau telah berkata sesuatu yang mana hayabusa di atas kita berkata bahawa kita akan selamat. Adakah engkau sedar pada waktu itu?

 

“Ya, onii-san. Cuma aku masih lemah waktu itu, jadi aku tertidur.”

 

“Miko, Mariko-san memberitahuku segala-galanya ketika engkau berlatih bertarung. Engkau juga sedar ketika itu?”

 

“Ya, onii-san, semuanya benar. Aku sedar ketika itu. Tubuhku seperti bergerak sendiri, seolah-olah segala pergerakanmu ketika berlatih dengan otou-san dapat kuingati dan terjemah pada sendiku dengan jelas. Mataku amat peka dan melihat jelas pergerakan Funazuki bersaudara.”

 

Aneh! Hisamiko sedar dan dia melakukannya dalam keadaan sedar. Aku tidak sabar menunggu Hisamiko sembuh kakinya. Aku mahu melihatnya sendiri.

 

“Miko, bagaimana engkau boleh memahami bahasa burung?”

 

“Aku tidak tahu, onii-san. Aku juga mendengar bunyi burung itu mengkukur sama sepertimu dan orang-orang lain, namun setiap dari kukuran atau teriaknya memiliki perincian yang jelas di telingaku.

 

Aku berasa seperti seolah-olah aku pernah bertutur menggunakannya lama dahulu dan dapat memahaminya.”

 

Adakah ini yang dimaksudkan oleh sami akupunktur itu? Seingat aku dia hanya menyatakan Hisamiko mampu menjinakkan hayabusa. Namun tidak sekali-kali memahami bahasa mereka, mahupun dikurniai kepantasan bertarung.

 

“Engkau juga mampu bertutur bahasa mereka?”

 

“Ya.”

 

Ryouji mahu mengujinya. Dia langsung bersiul memanggil hayabusa yang sedari tadi bertenggek di atas pokok shirakaba yang tinggi di depan mereka.

 

Burung itu terbang rendah dan hinggap di atas lengannya, mengejut. Berat! Aku patut lebih bersedia di kali lain kelak.

 

“Miko, arahkan sesuatu kepadanya.”

 

Hisamiko mengangguk. Dia membuat bunyi yang jika didengar, hanyalah bunyi mengkukur dan berteriak kecil. Kemudian burung itu terbang dan menangkap tupai yang sedang berkeliaran di atas sebatang pokok momiji dan membawanya kepada Hisamiko di bawah kukunya.

 

Ryouji terpegun melihatkan keajaiban itu.

 

Sedari tadi Tsuneki yang berada tidak jauh dari situ memerhati Ryouji dan Hisamiko. Dia turut terpegun lantas menyerbu mereka.

 

Sugoi ne! (mengujakan!)” teriaknya mengejutkan dua beradik Okuhida itu. “Hayabusa wo yoberun jya! (Rupanya kalian boleh menyeru hayabusa!)”

 

Ryouji menyumpah di dalam hati. Yabai, yabai, yabai ! (bahaya, bahaya, bahaya!) Bising benar engkau Tsuneki! Dari mana pula engkau mengintai kami? Aku tidak mahu dijadikan bualan dan bahan kecohan.

 

Oshietekurenai ka? (sudikah engkau mengajarku?)” Tsuneki, yang amat pendiam itu, tiba-tiba menjadi begitu teruja dan meminta mereka mengajarnya bagaimana menyeru hayabusa.

 

Nai. Dare ni mo konna koto wo shaberarenai, Tsuneki. Onegai. (Tidak, Tsuneki. Tolong, jangan beritahu sesiapa.)”

 

Zurui ! (Kedekut!)” Tsuneki merajuk dan lari dari situ. Dia hanya berpura-pura merajuk, masih menyorok dan menyambung mengintai mereka.

 

Mereka berdua melepaskan hayabusa itu. Dia kembali ke pokok shirakaba dan bertenggek melihat manusia di bawahnya. Asyik memanggil aku sahaja, namun tiada habuan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...