BAB 26
Saki membuka rumah
merpati itu. Hatinya berbunga melihat rumah merpati itu pertama kali berisi
surat. Sudah pastinya daripada Kobato.
Saki membuka
gulungan itu.
“Saki, aku perlukan
engkau menyiasat hubungan Takasaki dengan bekas daimyo-nya Hamada. Aku mahu mengetahui dari tahun bila dan sehingga
tahun bila dia berkhidmat kepada Hamada dan kejadian-kejadian di Shinagawa
sepanjang tempoh perkhidmatannya.”
Saki mula berasa
curiga, namun dipendamkan. Mengapa dia mahu mengetahuinya? Apakah dia
mengesyaki sesuatu pada Takasaki?
Apapun, aku akan
melakukannya. Mungkin aku akan dapat memenangi hatinya dengan cara ini.
Saki membaca baki
tulisan itu.
“Perpustakaan atau
pejabat Takasaki mungkin memiliki rekod-rekod tersebut. Cuba dahulu
perpustakaannya. Rahsiakan perkara ini antara kita berdua sahaja.”
**
Saki masuk ke
perpustakaan. Dia ternampak Shinji sedang sibuk mencari buku. Dia menegur
Shinji, dan Shinji membalas dengan mengangguk kepalanya sedikit, kemudian
menyambung mencari bukunya. Dalam hati Shinji hairan. Saki tidak pernah ke
perpustakaan sebelum ini. Tempatnya sama ada di lombong sulfur di onsen atau di kuil baru di seberang
Sungai Miya. Perpustakaan adalah wilayahku, getus Shinji. Aku adalah daimyo di sini!
Saki berjalan di
celah-celah rak. Perpustakaan tersebut amat luas dan terdiri dari dua tingkat,
satu aras tanah manakala satu lagi aras di bawah tanah, yang dihubungkan dengan
sebuah tangga kayu yang berbunyi-bunyi.
Saki menuruni anak
tangga kayu itu untuk ke aras bawah tanah. Shinji, mengapa engkau di sini? Aku tidak mahu
sesiapapun berada di sini. Shinji, apakah engkau membina rumah di sini?
Saki geram kerana
selalunya pada waktu pagi begitu Shinji sedang berada di bengkel relau dan
sepatutnya tiada sesiapapun di perpustakaan. Dia mengambil keputusan mencari di
tingkat bawah dahulu sementara menunggu Shinji beredar.
Shinji terdengar
bunyi derapan pada tangga kayu. Dia tahu Saki sedang menuju ke tingkat bawah
tanah. Apa yang dicari Saki di sini? Harapnya dia tidak membuka rak rahsia. Rak
rahsia berada di situ. Jika dia membukanya, habis Takasaki!
Shinji berjalan
perlahan-lahan, cuba melihat dari celahan di antara kayu-kayu lantai tidak
sekata yang menghala ke lokasi rak rahsia. Dia mengintai dari atas, dibimbangi
rak rahsia itu ditemui Saki. Tidak kelihatan pun kelibat Saki. Shinji tidak
berpuas hati. Dia mahu ke tingkat bawah tanah bagi memastikannya.
Saki masih berlegar
dari rak ke rak. Dia membaca penanda yang bertampalan pada rak dan menemui
himpunan rekod-rekod para daimyo yang
pernah memerintah wilayah-wilayah di seluruh Jepun. Rekod-rekod itu belum
dikemaskini sejak Maharaja menyempadankan semula semua wilayah pada musim panas
tahun lepas. Saki mencari di rak yang bertuliskan ‘Wilayah Shinagawa’ yang
merupakan wilayah lama bagi kampung Kobato. Dia menarik keluar rekod yang
bertanda ‘Yoshitsugu Hamada’.
“Yoshitsugu Hamada,
daimyo ke-20 Shinagawa, memerintah
dari tahun 1821 ketika berusia 18 tahun selepas kematian bapanya daimyo ke-19 Shinagawa, Yoshitsugu Hoshi.”
Saki membaca rumusan di muka hadapan rekod itu. Dia mulai menyelak
helaian-helaiannya. Rekod itu tampak lebih baru dan kurang berhabuk berbanding
rekod-rekod lain, barangkali kerap dikemaskini kerana Hamada masih memegang
kuasa, cuma dia baru sahaja ditukar peranan kepada gabenor oleh Maharaja pada
tahun lepas. Saki cuba mencari maklumat tersebut, ia tercatat di muka
seterusnya. Wilayah baru (prefecture) di bawah pemerintahan Hamada bernama Gizen yang
mengambil sebahagian besar wilayah Shinagawa dan beberapa wilayah-wilayah lain
seperti Yozehama di utara dan Hidagawa di baratnya. Muka surat itu seperti
helaian yang baru ditambah ke dalam rekod itu melihatkan kualiti kertasnya.
Saki menyelak
halaman seterusnya. Keseluruhan rekod itu mencatatkan perihal terperinci
pemerintahan Hamada, seperti ditulis oleh seorang yang begitu rapat dengannya,
termasuk kejadian-kejadian yang sempat dirakamkan oleh pelbagai sumber yang
berlaku di dalam Shinagawa. Ia bercampur-aduk di antara kisah yang benar dan
diselidik dengan baik dengan disertakan sumber atau sekadar rakaman kata-kata
dari para penduduk wilayah tersebut yang tidak diketahui kesahihannya.
Dia tertarik dengan
sebuah kejadian pada tahun 1854, di sebuah kampung bernama Shizen. Kejadian itu
dilaporkan oleh seorang penghuni pekan Shizen-machi berkenaan sebuah kebakaran
rumah di pinggir sebuah bendang di Shizen-mura. Menurut sumber tersebut, dia
mendengar ura-ura pelakunya mungkin bersekongkol dengan Hamada. Dia kerapkali
mendengar mangsa kebakaran itu mengadu kepadanya berkenaan masalah hutang yang
dihadapi. Mangsa kebakaran tersebut lesap tanpa diketahui. Kesemuanya tiga
orang, termasuk seorang anak kecil berusia tiga tahun. Nama-nama mangsa yang
hilang: Kozue Taka, Kozue Yuu isterinya dan Kozue Kobato anaknya.
Saki memetik
jarinya. Dia menemui catitan kejadian kebakaran tersebut. Nama keluarga itu
‘Kozue’, dan tahun kejadian, rumah di tepi bendang seperti yang pernah
dikisahkan Ryouji kepada Azusa dan juga tahun kejadian berpadanan dengan usia
Kobato. Saki pernah meminta Azusa bertanyakan Ryouji latar belakang Kobato dan
Ryouji memberitahunya dalam beberapa siri perbualan di antara mereka.
“Sebentar. Di dalam
ini langsung tidak direkodkan hubungan Takasaki dengan Hamada. Di mana boleh
aku memperolehinya?”
Tiba-tiba kedengaran
bunyi derapan di tangga. Saki cepat-cepat menutup rekod itu dan menyimpannya
kembali. Shinji sedang turun ke situ.
Shinji melihat
sekeliling dan tempat rak rahsia. Bagus, Saki tidak menemuinya. Shinji menarik
nafas lega. Dia kemudian menemui Saki yang berpura-pura mencari-cari sesuatu di
dalam salah satu ruang antara rak.
“Apa yang engkau
sedang lakukan di sini Saki? Perlukan bantuanku?”
“Tiada apa-apa."
Shinji melihat pada
rak. Sesuatu menarik perhatiannya. Sebuah rekod tidak diletak dengan betul dan
sedikit terkeluar dari kedudukannya, iaitu rekod berkenaan Hamada.
“Saki, jika engkau
perlukan bantuanku, aku ada di tingkat atas.”
“Shinji...sebentar.”
Saki memanggilnya dalam refleks.
“Ya.”
“Maaf, tidak
mengapa.” Saki teringatkan pesan Kobato agar menjaga rahsia mereka.
Saki aneh hari ini.
Shinji naik ke atas semula. Asalkan Saki tidak mengganggu rak rahsia, dia tidak
perlu risau.
**
Saki cuba
menjarakkan hari-hari dia mengunjungi perpustakaan itu. Dia akan memerhati
Shinji. Hanya bila Shinji tiada barulah dia akan memasukinya. Saki gigih
mencari dari hari ke hari, sehinggalah hampir sebulan lamanya dia mencari,
ditambah dengan kesibukan melombong sulfur dan membersihkan kuil patung Buddha
dan patung singa. Dalam tempoh itu, disebabkan dia kerap ke perpustakaan dan
membelek buku-buku di dalamnya, dia mulai minat membaca.
Baru-baru ini Saki
mulai menyedari sudah dua hari Shinji tidak ke perpustakaan. Shinji dilihatnya
kerapkali ke bengkel relau, entah apa pula projeknya kali ini. Seperti biasa,
Saki menggunakan peluang keemasan ini untuk menggeledah perpustakaan tersebut
mencari petunjuk seterusnya.
Dia tertarik
melihat buku-buku yang bersepahan di atas meja Shinji. Saki tidak berminat
dengan hobi Shinji, namun setelah berada di dalam perpustakaan itu
berkali-kali, dia tidak dapat membendung rasa ingin tahunya kali ini.
Dia membelek-belek
buku-buku itu. Ada buku berkenaan senjata kuno. Kemudian buku racun. Apa yang
sedang Shinji selidiki? Kemudian dia membongkar buku yang lain pula. Topik-topiknya
pelbagai. Mungkin buku-buku ini ditelaah dan dibiarkan berminggu-minggu di situ
maka topiknya pelbagai dan bercampur aduk. Kemudian pandangannya tercatuk pada
sebuah buku dengan lukisan seorang samurai sedang bertarung, yang mana lukisan tersebut sangat buruk pada mata Saki, dan di bawahnya tertulis tajuknya
‘Kaminari no kaze’. Di bawah kulitnya
terpampang nama dua orang penulisnya; Okuhida Miura dan Takasaki Nakatsu.
Saki mengambil buku
itu dan membuka halaman pertama. Halaman pertama memaparkan sejarah
perkhidmatan dua orang penulis buku itu. Saki membaca sejarah penulis pertama,
iaitu Takasaki, sehingga menemui rangkap berikut;
“...pernah berkhidmat sebagai ketua samurai dan
pengawal peribadi utama kepada daimyo Shinagawa, Yoshitsugu Hamada selama 33
tahun dari tahun 1823 sehingga 1855...”
Bererti Takasaki
masih berkhidmat kepada Hamada pada ketika kebakaran di Shizen berlaku, pada
tahun 1854. Bererti dia mungkin turut terlibat, getus Saki. Kerana dia ketua
samurai pada ketika itu.
Saki mengutus surat
kepada Kobato memaklumkan penemuan tersebut.
Surat itu tiba di
rumah kedai membuat pedang itu selepas sebulan Kobato mengutus suratnya kepada
Saki.
Namun Kobato tidak
berada di rumah. Dia telah dihantar Mitsuhide ke Shimagane jauh di barat Honshu
atas urusan perniagaan. Dia tidak akan kembali sehinggalah enam bulan
kemudiannya iaitu pertengahan musim sejuk di awal tahun 1871. Sebelum pergi,
dia meninggalkan pemberian Saki di rumah tersebut dan meminta Mitsuhide
menyimpan surat dari Kurobato.
Para perantis di
situ sudah ada lima orang maka ketiadaan Kobato ditampung mereka. Mitsuhide mengambil surat itu dari Kurobato
dan menyimpannya.
Shimagane ialah
sebuah wilayah di hujung Barat pulau Honshu. Di selatannya, di seberang Selat
Shimonoseki atau nama Baratnya Van der Capellan, terletaknya pulau Kyushu,
pulau di mana ramai bekas samurai menetap setelah melarikan diri dari
wilayah-wilayah mereka selepas Pemulihan yang dilakukan Maharaja.
Apakah tujuan
Mitsuhide menghantar Kobato ke sini selama enam bulan?
Shimagane adalah
wilayah yang membekalkan bijih terbaik untuk penghasilan pedang Jepun atau katana. Bijih itu digelar satetsu atau ‘pasir besi’. Selepas satetsu dilombong, ia akan dicampur
dengan arang dan diproses pada suhu tinggi di dalam relau tanah liat dinamakan tatara mengikut kaedah turun-temurun.
Proses ini memakan masa sehingga seminggu dan dilakukan oleh beberapa orang
tukang besi, sekitar lima hingga tujuh orang bergantung kepada kuantiti satetsu. Keluli yang dipanggil tamahagane akan terhasil dan mendap di
bawah relau ketika proses, dan selepas proses tamat, relau tanah liat tersebut
akan dipecahkan bagi mendapatkan tamahagane
ini. Kemudian tamahagane ini akan
dijual kepada penempa katana di
serata Jepun, yang mana salah seorang daripada mereka ialah Mitsuhide.
Tujuan Mitsuhide
menghantar Kobato ke sini ialah bagi mempelajari asas penghasilan katana dari bijihnya. Kualiti katana bergantung kepada kualiti bijih.
Sama seperti kualiti padi. Jika padi dibaja dengan baja yang berkualiti,
hasilnya juga berkualiti. Akame satetsu
lebih berkualiti dari masa satetsu
dan mendapat permintaan yang tinggi dari penempa-penempa katana. Kobato akan membina jaringan hubungan dengan para pelombong
dan penempa tamahagane, bagi
memudahkan urusan perniagaan di masa akan datang.
**
Awal musim panas, 1871.
Sejak belakangan ini, banyak siri rompakan berlaku di lebuh Nakasendo. Kobato kerapkali
mendengar dari pengawal-pengawal yang datang ke kedai pedangnya untuk membaiki
bilah katana mereka.
Perompak-perompak itu terdiri dari lima orang, dan berpakaian seperti ninja.
Bahkan, kumpulan
perompak ini turut merompak pembekal tamahagane
yang sepatutnya sampai ke kedai pedang mereka. Ini menyebabkan mereka tidak
dapat menyiapkan tempahan mengikut masa yang telah ditetapkan dengan pelanggan.
Kobato mula berasa terganggu dan tercabar.
Kobato mahu
menyiasatnya sendiri. Sudah lama dia tidak mempraktikkan seni kaminari-no-kaze nya, maka dia melihat
insiden-insiden ini sebagai peluang bagi menggilapkan kembali kemahiran berpedangnya. Dia juga sudah mulai bosan bekerja di kedai pedang itu.
“Mitsuhide, aku
ingin mengambil cuti.”
“Engkau mahu ke
mana, Kobato?”
“Berkelana di luar
pekan ini. Aku sudah lama benar di sini, Mitsuhide. Lagipun, sekarang musim
panas amat sesuai untuk keluar mengembara.”
“Baiklah, Kobato.
Aku tidak menghalang. Jaga dirimu, keadaan sekarang tidak berapa selamat,
engkau pun mendengar berita-berita dari pengawal-pengawal pedagang itu bukan?
Kami masih memerlukanmu di sini. Harap engkau kembali dalam keadaan sempurna.”
“Jangan bimbang Mitsuhide. Aku pasti selamat.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan