BAB 4
Shogun adalah gelaran yang diberikan kepada daimyo yang diberi mandat memerintah seluruh Jepun oleh Maharaja Takhta Kekwa, yang memerintah Jepun sejak purbakala. Maharaja Takhta Kekwa datang dari satu keturunan bernama Yamato, maka kerabat diraja Takhta Kekwa juga dinamakan ahli Rumah Yamato. Daimyo yang paling berkuasa ialah daimyo yang paling banyak menguasai wilayah-wilayah di Jepun. Daimyo ini diberi mandat oleh Maharaja dan memerintah seperti kuku besi sebagai shogun atau pemerintah tentera, sedang Maharaja kekal sebagai simbol penyatuan sahaja.
Shogun yang sedang berkuasa pada masa ini ialah dari puak Tetsugawa, yang memerintah sejak tahun 1600, selepas memenangi pertempuran di Sekigahama dengan daimyo kedua paling berkuasa pada ketika itu. Sejak Tetsugawa memerintah, orang-orang dari Barat tidak dibenarkan memasuki Jepun melalui dasar Sakoku yang diperkenalkannya. Hanya satu bangsa dibenarkan berdagang, iaitu orang-orang Belanda, dan mereka hanya dibenarkan berdagang melalui sebuah pelabuhan di Dejima, di Nagasaki yang terletak di pulau Kyushu, iaitu pulau paling barat di Jepun dan paling dekat dengan Semenanjung Joseon (nama lama Korea).
“Takasaki-san, Miura sudah mati. Aku tahu engkau menyertai Kogen kerana mengikut dia. Kembali kepada kami dan Hamada akan melupakan pembelotanmu.” Saitou cuba memujuk Takasaki, diselang-seli dengan bunyi desingan pedang.
“Aku sekali-kali tidak akan kembali kepada ketua gilamu itu. Meskipun Miura sudah tiada.”
Setelah beberapa lama bertarung, Saitou dan Buntarou tidak dapat mengalahkan Ryouji dan Takasaki. Sebarang serangan hanya berakhir seri. Setiap kelemahan Ryouji akan ditutup oleh Takasaki yang lebih berpengalaman. Mereka berputus asa, dan memilih untuk mengambil risiko diarahkan melakukan seppuku oleh Hamada dengan berhenti bertarung dan pulang kepenatan dengan hampa dan tangan kosong.
Namun Saitou punya alasan; dia tidak menyangka akan terserempak dengan Takasaki yang merupakan bekas gurunya. Mungkinkah Hamada boleh menerima alasan sebegini? Aku akan cuba. Paling terukpun aku boleh meletak jawatan dan menjadi ronin sahaja. Tidak perlu aku melakukan seppuku. Aku tidak mahu mati lagi. Persetankan maruah yang tercalar.
Hisamiko masih bersembunyi di dalam kuil ketika Saitou memanggil Tarou. Mereka bingkas meninggalkan kuil itu setelah diberi amaran oleh Takasaki. Hisamiko keluar selepas beberapa ketika Tarou meninggalkan bangunan kuil, mukanya pucat ketakutan namun dia tidak menangis.
Takasaki-san menghulur tangan kepada Ryouji “Okuhida-san, bawa adikmu, ikut aku ke rumahku.”
“Tuan adalah Takasaki Nakatsu-san, desuka ?” Ryouji mengagak dari nama keluarganya, Takasaki dan kemahiran berpedang kaminari-no-kaze yang dipamerkannya semasa bertarung.
“Ya, maaf tidak sempat memperkenalkan diri.” Takasaki tunduk. “Aku bilang bapamu telah menceritakan tentangku denganmu. Ayuh.”
“Hai (ya).” Ryouji terpegun Takasaki meneka dengan tepat bapanya Miura hanya dengan cara mengamati seni berpedang rahsia yang dipamerkannya.
Sebelum pergi, Takasaki berdoa kepada para kami di tempat persembahyangan dan
memberi penghormatan kepada roh Miura dan juga penjaga kuil itu. Takasaki
kemudiannya mengebumikan mayat penjaga kuil itu.
“Aku akan melaporkan perkara ini kepada daimyo Hidagawa, Taishi Kimura. Malang penjaga kuil ini, semoga rohnya tenang di sana. Aku akan menghantar orangku menghubungi keluarganya, mereka mungkin tinggal berdekatan Furukawa.”
“Aku mengikuti bapamu menyertai pertubuhannya, namun aku tidak mahir dan minat bertani. Maka aku ditugaskan bekerja menjaga rumah perlindungan.”
“Adakah otou-san yang mempelawamu menyertai pertubuhan yang diperkatakan Saitou?”
"Ya, sebuah pertubuhan yang besar. Lebih besar dari bendang, sawah yang kau lihat, penguasaannya melingkungi seluruh bumi Yamato ini. Akan aku perincikan nanti tetapi bukan sekarang. Okuhida-san.”
"Ryouji. Hanya Ryouji. Aku pernah melihatmu ketika kecil. Kau beberapa kali bertemu otou-san.” Ryouji meminta Takasaki menggugurkan gelaran –san di hujung namanya dan juga meminta dia memanggil nama peribadinya kerana dia mengenali Takasaki.
"Ryouji, maafkan aku kerana tidak sempat membantu bapamu. Semalam dia menghantarku surat menggunakan merpati. Pesannya aku harus bersedia di sepanjang sungai Miya dari hilirnya menanti kedatanganmu sekiranya dia ditewaskan. Aku tahu dia mampu menewaskan musuhnya, namun aku masih hairan bagaimana dia...”
“Dia mati disumpit fukiya,” Ryouji memotong. Tangannya membelek-belek peti gangsa yang diberikan bapanya. Dia lantas menyambung “Ia berlaku pantas, aku tidak sempat menangkapnya.”
“Fukiya? Zaman sekarang tiada lagi ninja. Engkau ada menyimpan jarum fukiya itu?”
“Aku telah memberikannya kepada Saitou. Maaf atas kecuaianku. Boleh aku tahu untuk apa engkau memerlukannya?”
“Barangkali aku boleh mendapatkan petunjuk siapa mereka. Tidak mungkin orang-orang Hamada yang menembaknya. Mereka samurai dan tidak akan menyerang sembunyi begitu.”
Ryouji menepuk-nepuk kepalanya. Sebentar, baru aku teringat...
“Takasaki-san, dari pengamatanku Saitou nampak terkejut dan tidak pernah melihatnya juga. Dia juga mengakui perkara sama yang kau sebutkan, yang samurai tidak akan membunuh begitu.”
“Ya. Namun engkau harus tahu Hamada ketua mereka dan bekas ketuaku itu tidak berpegang kepada bushidou. Kebarangkalian yang dia sebenarnya mengupah penyumpit fukiya itu masih ada. Ini hanya telahanku, aku masih perlukan bukti.”
Takasaki sebenarnya memiliki beberapa kenalan yang berkecimpung dalam penghasilan fukiya. Ia senjata murahan yang banyak digunakan oleh ninja dan juga ronin, iaitu samurai yang tiada tuan tetapi mengambil upah mencabut nyawa orang-orang berkuasa. Mungkin dia boleh menjejak pembunuh Miura dengan menghubungi mereka.
“Bushidou? Apakah itu?”
“Aku akan memberitahumu kelak, Ryouji. Ambil masamu, tenangkan fikiranmu dahulu.”
“Takasaki-san, maaf aku ingin sekali tahu, engkau pernah berkhidmat dengan Hamadakah bersama otou-san?” Ryouji cuba meleraikan kekusutan di benaknya jua.
“Ya, lama dahulu. Miura meletak jawatan enam belas tahun lepas, sementara aku menyusul dua tahun kemudiannya.”
Ryouji mengeluarkan jarinya, cuba mengira-ngira. Bermakna otou-san meletak jawatan tiga tahun sebelum aku lahir. Hanya dalam masa tiga tahun, dia membina kehidupan barunya di Hidagawa sebagai pesawah. Atau mungkin dia telah bersedia lama sebelum meletak jawatan?
Nampaknya otou-san dan Takasaki-san juga mungkin pernah membunuh orang seperti Saitou, ketika mereka berkhidmat kepada Hamada. Aku tidak mahu bertanyakan persoalan ini sebenarnya, aku tidak mahu mendengarkan jawapannya sekiranya benar. Otou-san baru sahaja meninggal dan aku tidak mahu pemergiannya dicemari dengan memori-memori dosanya sekiranya benar.
Namun apakah pegangan mereka ketika bersama Hamada? Aku yakin, setiap orang yang berkhidmat kepada Hamada pasti berpegang kepada sesuatu. Amalan seorang samurai. Amalan yang mewajarkan mereka membunuh orang. Mungkinkah bushidou yang diperkatakan Takasaki-san?
Mungkin aku harus menyimpan dahulu persoalan itu. Aku penat, amat.
Mereka beredar dari kuil itu.
**
“Takasaki-san, ini kuil kedua bukan?” tanya Ryouji, setibanya di kuil besar itu.
Dalam kertas wasiat bapanya, dia bakal menemui tiga kuil shinto dengan torii sebagai pintu masuknya. Namun sehingga sekarang hanya dua sahaja kuil yang ditemui, termasuk kuil ini dan kuil di mana dia bertemu Saitou. Dia harus melepasi ketiga-tiga torii sebagai prasyarat sebelum menemui rumah Takasaki.
“Benar Ryouji. Aku bilang kita bermalam di sini dahulu,” balas Takasaki. Ryouji mengangguk. Hisamiko di kendongan sudah terlena keletihan.
Takasaki tunduk hormat kepada penjaga kuil itu. Ryouji dan Hisamiko turut sama tunduk. Penjaga kuil itu menunduk balas. Takasaki menerangkan kepada penjaga kuil yang mereka mahu bermalam di kuil itu sebelum meneruskan perjalanan. Penjaga kuil itu membawa mereka melalui sebuah teratak yang bersimpang siur di tengah-tengah taman bonsai di hadapan kuil itu. Hari hampir senja. Seperti biasa, bunyi higurashi dari hutan berhampiran masih membingitkan telinga, namun diselang seli dengan bunyi ketukan dari jongkang-jongket bambu kecil yang memukul sebiji batu secara berkala. Jongkang-jongket bambu itu atau shishi-odoshi, menadah air dan apabila ia penuh, ia miring lalu mengetuk batu itu sambil menuangkan air di dalamnya ke dalam kolam di hadapannya sehingga ia kembali kosong, dan miring kembali ke kedudukan asal untuk membuat tadahan dan agihan seterusnya. Setiap bunyi ketukan itu amat menenangkan, bahkan mampu mengkhayalkan dan memukau jika pendengaran seseorang ditumpukan kepadanya. Mungkin ini mampu menenangkan jiwa, fikir Ryouji yang fikirannya masih berkecamuk selama sehari dua ini.
Pelita-pelita dari minyak ikan paus yang dibeli dari pedagang Amerika telah mula dinyalakan di hadapan penginapan yang diperbuat dari kayu dan kertas keras itu. Penjaga kuil itu menunjukkan bilik-bilik mereka dan tempat mandi. Terdapat sebuah kolam air panas ‘onsen’ di situ dan bahagian lelaki dan perempuan dipisahkan oleh tirai bambu yang didirikan di tengah-tengah kolam di atas jajaran batu-batu besar. Tidak ada penghuni lain pada hari itu kecuali mereka bertiga. Maka mereka dapat berehat dengan selesa selepas mandi di kolam air panas serta melepaskan penat setelah seharian berkelana dan melayan pengacau yang tidak diundang yang dihantar oleh pondan tua Hamada itu.
Hisamiko hanya diam dan masih ketakutan, sambil tangannya hanya menggenggam tangan Ryouji sekuat-kuatnya. Ryouji terpaksa memujuk dia bersungguh-sungguh agar melepaskan tangannya kerana dia mahu membuang air. Selepas dipujuk dan diyakinkan bahawa Takasaki adalah orang yang baik, Hisamiko melepaskan tangan Ryouji.
Hisamiko duduk di dalam bilik dan tidak bergerak. Dia tidak menjamah makanan yang dihidangkan pelayan rumah tumpangan itu sehinggalah Ryouji kembali dan menggesanya menjamah. Pertama kali dalam sembilan tahun hidupnya, dia melihat sendiri pertarungan demi pertarungan, bahkan pembunuhan demi pembunuhan. Sekelip mata otou-san mati dibunuh dan pergi meninggalkan kami. Apa kesalahan otou-san? Siapa yang membunuh lelaki yang kami kebumikan pagi itu, yang mayatnya telah membusuk semalaman? Jika benar otou-san membunuhnya, mengapa dia melakukannya?
Ryouji menyangka mungkin Hisamiko kepenatan setelah seharian berjalan, dan ketakutan. Mungkin hanya sementara, mungkin Hisamiko akan kembali seperti sebelumnya, seperti hari-hari normal yang lain.
Sejak ibunya jatuh sakit setahun lepas, Ryouji mengambil alih tugas-tugas ibunya. Hisamiko sempat mempelajari pelbagai perkara dari Ritsuko sebelum dia jatuh sakit. Namun dia tidak seratus peratus berminat, dan lebih meminati aktiviti yang lebih jantan sifatnya seperti mengikut Ryouji mengail, dan memanjat pokok. Miura pula hampir putus asa bagaimana mahu mengasuh Hisamiko seperti seorang perempuan, dia pernah membelikannya anak patung yang diukir seorang pedagang dari Edo, tetapi Hisamiko tidak meminatinya bahkan tetap gemar mengikut Ryouji mengail ikan di tali air. Dia juga gemar memanjat pokok sakura di depan rumahnya. Ryouji perasan yang Hisamiko memiliki kekuatan fizikal dan kepekaan semulajadi apabila dia melatih kemahiran survival. Dia yakin Hisamiko mampu belajar berlawan dan melindunginya dirinya sendiri suatu hari nanti. Dia menunggu masa sehingga Hisamiko bersedia untuk dilatih.
Selepas Hisamiko tidur dan tidak lagi mengganggunya, dan Takasaki selesai menggunakan onsen itu, Ryouji turun ke onsen untuk mandi dan menenangkan fikirannya yang berkecamuk dan menghilangkan kepenatan. Takasaki faham Ryouji memerlukan masa bersendirian, dia lantas beredar setelah selesai mandi.
Terlalu banyak perkara berlaku dalam sehari dua ini kepada Ryouji. Otou-san, penyumpit fukiya, Saitou, Hamada, Takasaki, penjaga kuil yang mati..., di mana harus aku mulakan dahulu? Dia menyedari tubuhnya sudah berendam di dalam air yang suam-suam itu, dengan kepalanya terdedah kepada dingin malam musim luruh. Langit malam itu berbintang, petanda cuaca baik. Mindanya kabur, sekabur pandangannya dari wasap onsen. Apa yang otou-san telah lakukan kepada Hamada sehingga membawa kepada pembunuhannya? Apa pertubuhan yang otou-san dan Takasaki kembangkan, dan apa tujuannya, mengapa ia berbahaya kepada Hamada? Mengapa Hamada mahu menangkapku dan Hisamiko hidup-hidup?
Namun pesan bapanya sebelum dia meninggal masih terngiang-ngiang di benaknya, pesannya agar lari kepada Takasaki. Apa akan terjadi kepada bendang dan rumah yang kami tinggalkan? Apa mungkin kami boleh mendapatkannya kembali?
Dia hampir terlelap ketika sibuk mencari jawapan, sebelum panas onsen yang semakin membahangi badannya mengejutkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan