Memaparkan catatan dengan label hayabusa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hayabusa. Papar semua catatan

Novel: Kaisenjyo (Bab 17)

 BAB 17


Namaku Kozue Kobato. Aku telah lama tinggal di rumah ini sejak mengikut Takasaki ke sini.

 

Kemudian Funazuki yang menjaga lombong belerang dan onsen di belakang rumah ini pula menyertaiku, selepas ibu mereka meninggal dunia.

 

Tidak lama kemudian, Tsuneki dan Shinji pula menyusul.

 

Aku mengenali Funazuki bersaudara lama sebelum mereka berpindah ke sini. Ini kerana mereka dan ibu mereka tinggal di seberang Sungai Miya di kuil patung Buddha dan patung singa, dan juga menjaga onsen dan melombong sulfur di belakang rumah ini. Maka, Funazuki bersaudara kerapkali ditinggalkan ibunya di sini di rumah Takasaki ini sewaktu ibunya pergi melombong.

 

Ibu mereka ditimpa penyakit yang aku tidak pasti apa pada mulanya. Ia penyakit yang tidak boleh disembuhkan. Ibu mereka hanya mendapat tahu penyakit itu, kanser, setelah dirawat seorang tabib, beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia.

 

Sejak itu aku merasakan aku pembawa sial. Ibu bapaku mati keranaku. Takasaki juga membenciku dalam diam kerana aku telah menyembelih seekor tupai tanpa sebab. Dan aku fikir kerana aku bergaul dengan Saki, maka ibunya ditimpa penyakit itu, dan mati. Sejak itu, aku mengambil keputusan menjauhkan diri dari mereka. Aku seorang yang jahat, dan tidak menghargai nyawa. Dan juga pembawa sial.

 

Aku pernah menempik dan memukul Saki yang kerapkali datang kepadaku dengan harapan dia takut dan menjauhkan dirinya dariku. Funazuki yang ternampak aku memukul Saki, telah bertumbuk denganku dan kami dileraikan oleh Takasaki dan Mariko. Sejak itu, mereka tidak lagi mendekatiku. Bahkan, mereka ke mana-mana berdua dan jarang sekali berinteraksi dengan penghuni lain di rumah ini.

 

Tentang penghuni lain yang menyusul, Shinji juga dingin dan banyak menghabiskan masa di perpustakaan melakukan hal sendiri. Tsuneki pula masih kecil dan jurang umur menjarakkan kami. Dia kerap tidak faham dan bingung setiap kali aku cuba berbual dengannya. Takasaki pula tidak banyak bercakap denganku dan Mariko pula sentiasa sibuk dengan kerja-kerja di sekitar rumah.

 

Sehinggalah Ogasawara bersaudara datang ke rumah ini.

 

Sejak Chisato datang ke rumah itu bersama adik-adiknya, rumah ini sedikit sebanyak menjadi lebih ceria. Mereka betah membuka bicara dengan penghuni lain. Funazuki bersaudara mula bercakap sedikit dengan penghuni lain, bahkan mereka menghormati Chisato. Chisato sering tersenyum dan rajin menegurku. Dia muda setahun dariku dan parasnya cantik sekali. Aku tidak pernah menemukan wanita secantik itu dalam hidupku selepas ibuku. Namun, memori bayangan wajah ibuku semakin luput ditelan masa. Kini, aku hampir tidak ingat lagi rupanya.

 

Pada waktu itu aku masih tidak tahu kisah latar Chisato. Aku tidak pernah berkesempatan bertanya. Mungkin mereka juga melalui pengalaman pahit sepertiku. Namun mereka masih mampu tersenyum dan berbual dengan Funazuki Azusa dan Saki. 

 

Chisato seorang yang rajin. Dia kerapkali membantu Mariko melakukan kerja-kerja rumah, di samping menjaga adik kembarnya. Dia sebaya aku namun sudah memegang tanggungjawab. Di sebalik kerja-kerja yang dilakukan, aku tidak nampak garis-garis pada tangannya seperti Funazuki beradik. Chisato berbadan sedikit berisi dan berkulit cerah kekuningan. Dadanya besar dan pinggangnya ramping. Wajahnya matang melangkaui umurnya, dan dia memiliki mata yang cantik ruyup ke sisi, sedikit sepet. Rambutnya hitam disanggul rapi ke belakang. Dia kerapkali kulihat mengenakan yukata bercorak sakura berbagai warna, kebiasaannya warna jingga pudar dan merah jambu, dan lengannya disingsing ketika dia makan, cerah dan sempurna. Aku tidak tahu bagaimana dia masih kekal cantik sebegitu. Mungkin kerja-kerja Funazuki lebih kelelakian, kerana mereka melombong belerang di samping menjaga kuil di seberang Sungai Miya, iaitu kuil yang ada patung Buddha dan dua patung gangsa berbentuk singa itu.

 

Aku kagum dengan Chisato. Aku seringkali mencuri pandang dia. Kadangkala mata kami bertembung dan dia hanya tersenyum, dan mengalihkan pandangannya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Disebabkan itu, aku merasakan ia hanyalah senyuman biasa. Tiada apa-apa yang istimewa antara kami.

 

Masa berlalu, dan perasaanku terhadapnya mula berputik.

 

Pernah satu ketika aku menemuinya menangis berseorangan di hutan buluh. Dia duduk di atas longgokan potong-potong buluh tua dan menutup mukanya. Aku melihatnya dari belukar dan mendengar esak tangisnya yang tidak henti-henti. Aku mendengar dia kerapkali meminta maaf kepada bapanya atas sebab yang aku tidak ketahui. “Otou-san, gomenasai, gomenasai, gomenasai... (Ayah, maafkan aku, maafkan aku, maafkan aku...)” begitulah yang aku dengari dan masih terngiang di telingaku. Adakah bapanya masih hidup? Mengapa dia di sini jika demikian?

 

Aku bersimpati, aku ingin sekali mendengar kisahnya dan menepuk bahunya, atau memberikan bahuku untuk dia sandarkan kepalanya dan menangis semahunya. Namun aku tidak punya keyakinan.

 

Aku pernah bertanya Takasaki berkenaan Chisato. Takasaki menjawabku “Mengapa engkau tidak bertanya kepadanya sendiri, Kobato?” sambil tersenyum dan menepuk-nepuk bahuku. Takasaki tidak pernah berubah. Dia tidak banyak bercakap, namun setiap perlakuannya seperti memiliki motif yang tidak aku fahami. Mungkin dia mahu aku menjadi lebih berani?

 

Aku memberanikan diri mendekati Chisato. Pada hari itu, Chisato datang lagi ke hutan buluh. Aku mengekorinya. Dia masih menangis seperti selalu. Itu memang tempatnya bersendirian. Jauh dari adik-adiknya. Aku faham dia tidak mahu menangis di depan sesiapapun, lebih-lebih lagi Chinami dan Chiho.

 

Aku mengambil batu-batu kecil, dan membalingnya ke arah Chisato. “Dareka iruno? Dare? Dete koi...onegai...(Siapakah itu? Siapa? Keluarlah, aku mohon...)” Chisato menanya-nanya dengan hidungnya masih sengau kesan tangis. Suaranya lembut seperti seorang ibu memanggil anaknya keluar.

 

Boku dake desu. (Hanya aku.)” Aku keluar mengaku, dengan muka berpura-pura bersalah. Chisato hanya ketawa kecil sambil menyeka air mata dengan lengan yukatanya. “Bikkuri shita. (Takut aku.)”

 

“Mengapa engkau menangis, Chisato?”

 

Nani mo. (Tiada apa-apa)” Jawabnya ringkas.

 

“Aku sudi mendengar, jika engkau memerlukan telinga.”

 

Iranai wa. (Tidak perlulah)”

 

“Aku sudi meminjamkan bahuku, jika engkau memerlukannya.”

 

Nani mo iranai wa. (Tiada apa-apapun yang aku perlukan)”

 

Aku dapat membaca yang dia terganggu akan kehadiranku.

 

“Kozue-san, maafkan aku. Mungkin di lain kali kita berbual, ne? Aku mahu sendirian seketika di sini.” Chisato menyuakan bahu yang dingin kepadaku. Masih segaris senyuman terukir di bibirnya. Matanya sungguh cantik. Aku terleka sejenak memandangnya.

 

“Maafkan aku mengekori dan menganggumu.”

 

Iye betsuni. (Tidak mengapa, hanya perkara kecil)”

 

Jika itu yang engkau mahukan, baiklah Chisato. Nampaknya hari ini bukanlah masa yang sesuai. Aku melangkah berat meninggalkannya seorang di situ.

 

Sebentar, apakah aku mahu mendengar kisahnya kerana simpati atau kerana cinta? Atau sekadar menggunakan alasan simpati untuk mencari cintanya?

 

Aku mencari peluang di hari lain. Namun dia tidak lagi ke situ, di tempat itu. Aku cuba mencarinya lagi di tempat lain di dalam hutan buluh itu, namun dia tidak kelihatan.

 

Aku mencarinya lagi di hari lain, dan entah bagaimana, suatu hari, pencarianku mudah amat. Dia hanya duduk bersahaja di taman bonsai. Aku mendekatinya.

 

“Kobato, jika engkau mahu mendengarku dahulu...”

 

Langkahku terhenti. Dia menyedari kehadiranku, lalu berkata sedemikian tanpa menoleh wajahnya.

 

“Sebetulnya aku tidak memiliki sebarang perasaan terhadapmu.” Sebaik menghabiskan kata-katanya dia menoleh memandangku, di matanya tiada langsung perasaan benci terhadapku, hanya segaris senyuman yang tidak pernah lekang di bibir dan matanya seolah-olah melihatku dengan penuh rasa simpati. Adakah dia sudah tahu kisah latarku?

 

Namun masih, mendengarkan kata-katanya itu, hatiku bagai dihenyak-henyak. Segala harapanku untuk menagih cintanya musnah. Sekarang aku menyedari jawapan kepada persoalan di mindaku.

 

Meskipun selepas peristiwa itu, dia masih tidak lekang dengan senyumannya apabila bertembung denganku. Dia masih kekal begitu, seperti selalu, seperti sebelum peristiwa di hari itu. Tiada kejanggalan pada wajahnya. Padanya aku cuma rakannya. Hanya aku sahaja yang janggal. Cinta ini, hanyalah cinta yang bertepuk sebelah tangan.

 

Dan aku akan terus berseorangan pada hari-hari mendatang. Sehinggalah Okuhida bersaudara datang ke rumah ini. Sejak itu setahun yang berbaki di situ untukku menjadi lebih berharga dari tempoh bertahun lamanya yang telah kuhabiskan sebelum ini.

 

Hanya kerana seorang insan bernama Ryouji. Okuhida Ryouji. Yang telah mengubah semua penghuni di rumah ini.

 

**

 

Kobato berjalan mengelilingi kuil dua patung singa dan patung Buddha di seberang sungai Miya, kemudian meredah denai hutan yang sudah tidak berdaun di belakang kuil tersebut, menahan sejuk yang mencengkam dan salji yang menebal di lantai hutan.

 

“Kobato, engkau tinggallah dahulu di sini sehingga musim panas.” Mariko mempelawa sedang didengari Takasaki, namun Takasaki tidak menunjukkan sebarang reaksi. Mariko risaukan Kobato yang berkelana di tengah-tengah kesejukan tanpa hala tuju.

 

“Tidak mengapa Mariko-san, aku sudah merancang lama perjalanan ini. Aku ingin keluar secepat mungkin.” Kobato menolak pelawaan Mariko. 

 

Bodoh juga aku menolaknya mentah-mentah, fikir Kobato ketika mengingati kembali perbualan tersebut. Sejuk amat di luar ini, sedang mereka enak duduk di dalam rumah itu di tepi unggun.

 

Kobato mengelamun sepanjang perjalanan, memikirkan ke mana hala tujunya. Dia hanya membawa sedikit makanan dan wang. Jika kehabisan, dia terpaksa menangkap ikan di sungai atau mula bekerja di mana-mana pekan.

 

Denai yang dilaluinya itu kini bertemu sebuah denai lain yang lebih lebar dan dilapisi keping-keping batu besar. Inilah laluan Nakasendo, yang merentang dari Kyoto sehingga Tokyo merentasi hutan pergunungan Hidagawa. Satu rombongan pedagang baru sahaja meninggalkan simpang itu.

 

Kobato mendekati salah seorang dari mereka, seorang lelaki yang sedang mengenderai sebuah kereta kuda, seraya bertanya,

 

“Maafkan aku kalian, adakah kalian menuju ke Tokyo?”

 

“Ya Tuan.” Lelaki itu kelihatan sedikit terkejut melihatkan Kobato yang membawa pedang. “Tuan samuraikah? Ada apa-apa yang boleh kami bantu?”

 

“Saya Kobato.” Kobato menunduk hormat, seraya menyambung, “Saya bukan samurai. Saya pelajar seni pedang dari Hidagawa. Apakah laluan ini menghala ke Shinagawa?”

 

“Maksud Tuan wilayah Gizen? Ya. Jika Tuan mahu ke sana, ikuti kami, dan pabila tiba di sebuah simpang di Nagano nanti, Tuan harus ke utara, sedang kami akan ke selatan.” Gizen adalah nama baru wilayah yang disempadankan semula oleh Maharaja, di mana sebahagian besar Shinagawa telah dimasukkan ke dalam Gizen.

 

Kobato mengikut mereka di belakang. Rombongan itu terdiri dari lima orang ahli; dua orang pengawal di kiri dan kanan menaiki kuda, dan seorang di hadapan mengenderai kuda yang membawa kereta kayu. Kereta kayu itu terbahagi kepada dua bilik; bilik depan ditempati dua orang wanita berusia dalam lingkungan tiga puluhan, manakala bilik belakang dipenuhi kain-kain sutera dan barangan peribadi mereka.

 

Seekor burung merpati tidak henti-henti mengekori Kobato dari kuil patung singa dan patung Buddha meskipun cuaca amat dingin. Ia seperti cuba menjejaki sesuatu yang mungkin sedang dalam pemilikan Kobato.

 

Setelah hari hampir malam mereka singgah di sebuah penginapan beronsen yang digelar lembah neraka atau jigokudani. Ini kerana terdapat sebuah onsen yang besar di situ yang kerapkali dikunjungi monyet dari bukit berdekatan, yang akan mandi di dalam onsen itu bagi memanaskan badan di dalam cuaca yang sejuk membeku itu. Sebahagian dari onsen itu dibendung bagi kegunaan pelawat penginapan di situ dan mengelakkan dari diceroboh monyet-monyet ini.

 

Kobato turut sama singgah di situ bermalam. Dia lapar dan perlu memanaskan badan.

 

Ketika baring melepaskan lelah pada malam itu, dia membuka pemberian  dari Saki dan membelek-beleknya. Ia patung kayu berbentuk telur dengan wajah seekor hantu tanuki yang gemuk yang diukir dan diwarnai dengan kemas pada permukaannya. Dia kebosanan lalu menggoncang-goncangnya. Ada sesuatu di dalamnya!

 

Kobato cuba mencari bukaan. Dia nampak satu garis melintang di tengah-tengah telur itu. Dia menarik penutup telur itu untuk membukanya. Gagal. Kemudian dia memulasnya. Berjaya.

 

Di dalam telur itu terkandung sekeping surat yang dilipat kecil. Dia mengambil lipatan surat itu dan membukanya. Tulisan di dalamnya berbunyi begini:

 

Kobato, patung ini akan menghubungkan kita. Aku melatih seekor merpati berulang-alik dari kuil di seberang sungai Miya dan patung ini. Hubungiku menggunakannya bila-bila masa engkau mahu. Dia akan mengiringimu sentiasa, jangan lupa memberikannya makan selalu. Dia suka roti dan nasi. Aku mencintaimu. Saki.”

 

Kobato membuka pintu gelangsar, dan memandang ke sebatang pokok sakura yang sudah rompong di taman menghadap anjung bilik itu. Seekor burung merpati yang mengekorinya sejak siang tadi sedang bertenggek di atasnya, asyik memerhati patung gemuk itu, dan kemudian dia masuk berlindung dari kesejukan ke dalam sebuah lubang pada pohon itu. Kobato cepat-cepat menutup kembali pintu tersebut tatkala angin sejuk mulai menderu masuk.

 

Sekurang-kurangnya aku tidak berseorangan dalam perjalanan ini, fikirnya. Dia sambung mengelamun lalu tertidur.


Novel: Kaisenjyo (Bab 16)

 BAB 16


Ryouji menunjukkan pakaian dan senjata yang ditemui pada rangka manusia itu kepada Takasaki.

 

Miura pernah memberitahu Takasaki terdapat cubaan membunuhnya beberapa kali menggunakan fukiya. Namun dia bernasib baik kerana dapat mengelaknya beberapa kali. Disebabkan itu dia banyak berkurung di dalam rumah dan menghabiskan masa melakar kaligrafi.

 

Takasaki membelek-belek dan mengamati kelongsong fukiya itu. Berdasarkan corak pada kelongsong tersebut dia mengagak ia dibuat di sebuah kedai di Furukawa. Mereka membeli fukiya yang betul-betul sama dan membandingkan jarumnya dengan memori Ryouji, kerana jarum yang membunuh bapanya sedang dalam pemilikan Hamada. Serupa. Kemudian mereka bertanya peniaga itu jika dia dapat mengingat setahun lalu akan sesiapa yang pernah membeli fukiya sedemikian. Dia tidak dapat mengingatinya.

 

“Takasaki, jika benar itu mayat pembunuh bapaku, tidakkah engkau hairan bagaimana dia dibunuh sejurus membunuh bapaku. Barangkali orang yang mahu bapaku mati ingin menghapuskan bukti.”

 

“Aku lihat modus operandinya sama seperti Hamada. Aku amat arif akan kaedah sebegitu kerana aku pernah bekerja dengannya. Dia akan menghantar dua pihak yang saling tidak berhubungan untuk membunuh sasaran sama yang pandai bertarung. Satu pihak dihantar untuk mengalih perhatian sementara satu lagi pihak akan membunuh secara sembunyi. Dia fikir cara itu lebih senang dan pantas meskipun itu cara pengecut dan bertentangan dengan pegangan samurai.”

 

“Jadi engkau fikir penyumpit fukiya itu juga dihantar Hamada, dan Saitou tidak tahu akan hal tersebut?”

 

“Ya. Kebarangkaliannya tinggi.” Ryouji teringat Saitou yang kebingungan melihat jarum fukiya yang ditunjuknya sewaktu di kuil Furukawa.

 

Jika benar Hamada yang mengarahkan pembunuhan tersebut, dia hanya mahu satu perkara sahaja; Hamada tunduk dan meminta maaf kepadanya. Hanya itu. Jika dia enggan, aku akan memaksanya melakukan seppuku. Aku bukan samurai, tetapi dia adalah samurai. Bukankah itu cara mereka untuk menebus maruah sendiri yang telah tercalar?

 

Aku tidak patut membunuh mereka meskipun hatiku perit. Kerana aku tidak mahu menjadi sebahagian dari mereka. Aku bukan samurai dan bapaku tidak pernah menerapkan nilai-nilai bushido dalam diriku. Aku hanya seorang rakyat biasa yang menghargai hidup dan kehidupan.

 

Sekurang-kurangnya itulah yang Ryouji mahukan. Namun apakah dia mampu tetap dengan pendirian sebegitu bilamana musuhnya itu di depan mata dan dia dikuasai emosinya?

 

“Ryouji, cuba lihat ini. Aku temui dalam tabinya.” Takasaki menyuguh sekeping sampul kertas yang dilipat dan disisip kemas di dalam tabi kalis air.

 

Ryouji mengambil sampul tersebut. Dia menarik sekeping kertas dari sampul itu dan membukanya. Ia seperti surat kontrak, dengan cap darah ibu jari.

 

“Takasaki, aku masih tidak dapat membaca sebahagian besar kanji. Boleh engkau bacakan?”

 

Takasaki membacakan surat itu. Ia adalah surat kontrak upah membunuh Miura antara pengupah dengan penyumpit. Di bawah cap jari itu ialah nama pengupah dan nama penyumpit.

 

Takasaki membacakan nama pengupah itu. “Son-zae-mon.”

 

Ryouji tersentak mendengarkannya. Sonzaemon yang membunuh bapanya!

 

“Takasaki-san, aku harus pergi sekarang.”

 

“Ryouji, tunggu. Engkau hendak ke mana?”

 

“Ke utara. Aku mahu menjejaki Sonzaemon.”

 

“Ryouji, bersabar.” Ryouji menoleh memandangnya. Matanya penuh kesakitan. Air matanya mengalir. Mukanya merah. Giginya berlaga. Dia menahan marah. Sonzaemon, orang yang telah menyerangnya di Furukawa. Sonzaemon si gemuk itu, rupanya!

 

“Ryouji!” Ryouji berlalu tanpa menghiraukan Takasaki.

 

Takasaki pantas mengejar Ryouji, cuba menahannya dari terlalu mengikut perasaan.

 

“Ryouji! Bertenang. Pandang aku.” Takasaki menahan Ryouji, memegang bahunya, melihat tepat ke wajahnya.

 

“Aku tidak tahu siapa Sonzaemon ini, tetapi engkau harus berwaspada. Engkau telah dua kali diserang. Engkau sasaran banyak musuh.”

 

“Dia petani yang berjiran dengan bapaku! Dia yang menyerang aku di Furukawa tempoh hari dan mencederakan Hisamiko. Aku tidak akan memaafkannya. Tidak sekali-kali. Jangan menghalangku, Takasaki-san.”

 

Takasaki terkesima mendengarnya.

 

“Ryouji!”

 

Kobato dan Shinji sedari tadi mencuri dengar perbualan mereka di pejabat. Mereka mengekori Ryouji sebaik dia keluar dari pejabat itu.

 

“Ryouji!” Kobato memanggilnya.

 

“Aku faham perasaanmu.” Kobato berdiri di depan Ryouji, menghalangnya dengan mendepangkan tangan.

 

“Ke tepi Kobato.”

 

“Engkau biadap dengan Takasaki-san!” tengking Kobato. 

 

“Bagaimana dengan Chisato? Bagaimana dengan adikmu Hisamiko? Musuhmu bukan dia seorang. Hamada juga sedang mencarimu. Mujur sahaja dia tidak menyerangmu ketika engkau pulang ke kampung.”

 

“Ryouji, bertenang. Fikir. Jangan terlalu mengikut perasaanmu. Kita atur dahulu strategi. Mungkin Sonzaemon itu diarahkan seseorang atau mungkin dia bersekongkol dengan Hamada.”

 

Ya, fikir. Bertenang, Ryouji. Fikir. Benar kata-kata Kobato. Bagaimana dengan mereka nanti jika aku diapa-apakan? Dan aku juga tidak mahu menumpahkan darah. Bukankah aku tidak mahu menjadi seperti Sonzaemon dan Hamada, yang membunuh sewenangnya?

 

Namun masaku terlalu suntuk. Aku harus lekas! Aku harus bertemu Sonzaemon secepat mungkin. Aku perlu pergi sekarang! Aku tidak akan mati sebelum aku berjaya menangkap pembunuh otou-san!

 

Ryouji kebingungan. Dia melutut, sambil matanya memandang bumi. Apakah aku perlu mengingkari Takasaki-san dan menurut gerak hatiku? Namun bagaimana dengan Hisamiko, Chisato dan rakan-rakanku di sini? Sumpah hayabusa itu satu kesialan! Moyangku tidak sepatutnya membuat perjanjian dengan hayabusa-no-kami (semangat hayabusa)!

 

“Kobato, tolong aku. Kita bertarung di hutan buluh.” Masih dalam duduknya, Ryouji meminta dari Kobato dalam nada perlahan dan mendatar.

 

Ryoukai!” Kobato menyahut. Shinji mengikuti mereka.

 

Ryouji bertarung dengan Kobato bagi merungkai kekusutannya. Shinji hanya melihat dan kagum. Dia tidak pernah punya ibu bapa. Dia tidak memahami perasaan mereka, perasaan kehilangan ibu bapa. Sejak dari kanak-kanak lagi, paderi Jesuit di gereja Kyoto itulah yang menjaganya. Kemudian dia menghilang, entah ke mana. Namun dia tidak sedikitpun merasa kehilangan paderi itu suatu kehilangan besar dalam hidupnya. Paderi itu tidak menyayanginya. Dia memberi aku makan, tempat tinggal dan perpustakaan namun dia tidak melayaniku seperti seorang anak.

 

Mungkinkah sebab yang sama mengapa Ryouji menangis di depanku tempoh hari? Aku tidak mahu bertanyakan lebih lanjut, aku tidak tahu sejauh mana pertanyaanku akan melukakan lagi hatinya. Kerana aku amat lemah perkara-perkara berkait dengan emosi. Aku tidak betah akan emosi. Persetankan semuanya berkaitan emosi!

 

Di akhir pertarungan itu Ryouji akhirnya menangis juga sambil memegang bahu Kobato. Kobato menepuk-nepuk kepala Ryouji. Dia meminjamkan bahu kepada sahabatnya itu.

 

“Aku tidak mahu menangis di hadapan Hisamiko, Kobato. Terima kasih membantuku.”

 

Doumo. Bukankah kita sahabat?” Kobato mengujar begitu mudah. Dia sendiri menyembunyikan sakitnya di tengah malam. Menangisi ibu bapanya sembunyi-sembunyi sedang Ryouji mencuri dengar.

 

**

 

Musim sejuk, 1869.

 

Hari ini adalah hari terakhir Kobato di sini. Dia mengemas barangannya. Baju-baju disimpan dalam buntil kain. Kimononya diselaputi baju jerami tebal bagi menebat sejuk yang mencengkam. Dia memakai topi jerami bagi menyingkirkan salji yang berguguran di atas kepalanya. Pedangnya tersisip kemas di pinggang. Dia akan pergi jauh dari rumah ini dan mungkin tidak akan kembali lagi ke sini. Dia tidak pasti ke mana hala tujunya. Mungkin kampung halamannya dahulu?

 

Halaman rumah perlindungan itu memutih dilapisi salji yang turun lebat malam sebelumnya dan masih lagi tidak berhenti turun, meskipun tidak selebat malam itu. Pepohon di taman bonsai sudah gondol. Burung hayabusa masih setia bertenggek di atas pohon shirakaba yang tinggi dan sudah tidak berdaun, sekali sekala dia mengibas kepalanya membuang salji yang berkumpul di atasnya.

 

Semua penghuni rumah telah berkumpul di tepi dataran. Masing-masing menggigil. Nafas mereka berasap-asap. Mata merah menahan sejuk. Semua mereka berpakaian tebal.

 

Ki wo tsukete, Kozue-san (jaga dirimu, Kobato).” Takasaki berpesan.

 

Saki menyerbu Kozue dan menghulurkan sesuatu, sambil menunduk wajahnya.

 

“Terimalah pemberianku yang tidak seberapa ini.” Tutur Saki sambil wajahnya menunduk.

 

“Terima kasih Funazuki-san.” Saki menitiskan air mata, namun tidak disedari Kobato.

 

“Kobato, jaga dirimu.” Ryouji berpesan. “Mudah-mudahan engkau dapat mencari pembunuh ibu bapamu dan menuntut bela kematian mereka.” Ryouji berbisik. Dia memeluk Kobato, matanya mula berkaca.

 

“Aku pasti akan dapat menjejaki mereka, Ryouji. Engkau pun jaga dirimu. Jangan terlalu mengikut perasaan. Aku yakin, Hamada pasti terlibat sama dan bersekongkol dengan Sonzaemon. Engkau harus berhati-hati jika memutus bertemunya nanti. Jangan curi-curi keluar dari sini pula. Jangan bertindak melulu, Ryouji.”

 

“Pasti, Kobato. Kobato, seperkara lagi, jangan terlalu memendam. Jika engkau tiada sesiapa untuk luahkan, hubungi aku.”

 

Kobato hanya tersenyum, sambil berkata “Engkau pun! Pesanan begitu seperti engkau abangku pula.” Mereka ketawa.

 

Kobato hilang dari pandangan selepas mengucapkan ‘ittekimasu’, disusuli dengan teriakan mereka ‘itterasshai’.

 

Saki terduduk dan menangis. Azusa memujuknya. Yang lain-lain masuk ke dalam. Pantas. Sejuk di luar mencengkam.

 

Ryouji menerawang mengingati kembali pertemuan pertama dengan Kobato. Serasa baru semalam mereka bertemu, meskipun telah setahun berlalu. Dia seorang yang peramah dan sangat gigih berlatih. Namun Ryouji merasakan dia belum benar-benar mengenali Kobato. Kobato bijak menyembunyikan kesakitan di dalam jiwanya di balik keramahan dan kepetahan berbicara. Jiwanya sakit. Dia tidak sempat merasa kasih sayang ibu bapa secukupnya. Ryouji pernah mendengar esak tangis Kobato di malam hari ketika dia berpura-pura tidur sementara menunggu untuk berlatih dengan Chisato.

 

Takasaki berasa sedikit lapang di dadanya. Semakin lama Kobato di rumah itu, hatinya menjadi semakin tidak tenteram. Dirinya masih dihantui dosa-dosa lama, malah terbayang-bayangkan perkara buruk. Kobato mungkin telah tahu dan menunggu untuk membalas dendam.

 

Mungkinkah dosa-dosaku hanya boleh ditebus dengan nyawa? Tiadakah cara lain untuk mengampuniku? Penghuni-penghuni di sini masih memerlukanku. Dia menerawang jauh. Dingin di luar seolah-olah tiada kesan padanya. Ryouji memerhatikan Takasaki tanpa disedarinya.


Novel: Kaisenjyo (Bab 15)

BAB 15


Otou-san, bagus ideamu merancang serangan olok-olok kepada rombongan Maharaja ke Edo tidak lama dahulu. Maharaja mungkin akan mengekalkan kita sebagai gabenor selepas  ‘menyelamatkan’ baginda.”

 

“Idea sahaja tidak cukup, jika aku tidak memiliki anak yang bijak sepertimu.” Hamada berseloroh memuji anaknya Hagiura, daimyo sepertinya juga. Mereka berdua ketawa terbahak-bahak.

 

Beberapa bulan lepas Maharaja berpindah dari Kyoto ke Edo dengan melalui lebuh Nakasendo yang merentasi pergunungan di tengah-tengah Hidagawa dan Shinagawa. Hamada telah merancang membuat serangan olok-olok ke atas rombongan Maharaja dan kemudian akan menghantar samurainya untuk ‘menyelamatkan’ mereka. Ini kerana laluan Nakasendo adalah separa di bawah jagaannya, iaitu bahagian yang merentas Shinagawa, maka sekiranya dia melindungi Maharaja, reputasinya akan mencanak. Maharaja pasti akan mengekalkannya di Shinagawa sebagai gabenor dan seterusnya anaknya di Yozehama bagi membalas ‘kesetiaannya.’ Atau mungkin dia boleh meminta lebih lagi dari itu?

 

“Tapi otou-san, jika kita menjadi gabenor, kita tidak lagi memiliki tanah-tanah dan mengutip cukai. Adakah engkau sanggup menerimanya?”

 

Hamada terdiam apabila Hagiura mula mengingatkannya kepada realiti tersebut. Selagi boleh dia mahu melupakannya. Realiti itu sungguh memeritkan. Dia tidak akan dapat lagi menikmati kemewahan yang dikecapinya selama ini.

 

“Tidak sekali-kali. Namun lebih baik dari terus kehilangan kerja. Sekurang-kurang aku masih mendapat pencen. Hagiura, ada sebarang berita dari bekas-bekas samurai di Kyushu?”

 

“Mereka masih tidak berpuas hati. Namun tiada sebarang persepakatan. Jikapun ada, mana mungkin mereka mampu mengalahkan Maharaja. Samurai-samurai dari Satsuma dan Choshu masih bersama baginda. Tambahan pula, kekalahan di Ezo itu membuktikan kekuatan senjata dan bala tentera moden Maharaja.”

 

Saitou, Tarou dan Buntarou telah meletak jawatan secara sukarela dan menyertai bekas-bekas samurai lain ke Kyushu. Hamada sudah kehilangan orang-orang kanan dan juga pengintipnya. Maka dia hanya boleh mengharapkan Hagiura, anaknya yang juga daimyo Yozehama itu sebagai sumber maklumatnya, beserta bekas-bekas samurainya yang masih setia.

 

Namun, akankah mereka setia? Kami harus membayar gaji-gaji mereka. Namun sekarang status samurai sudah dimansuhkan. Tanah-tanah kami juga diambil. Bagaimana harus aku membayar mereka? Mereka pasti akan meninggalkan kami, cepat atau lambat.

 

Mungkinkah aku boleh memujuk Takasaki kembali padaku? Aduhai, sedangkan aku sehingga sekarang pun masih belum dapat menjejakinya, inikan pula mahu memujuknya. Bagaimana dengan pertubuhannya itu? Apakah pertubuhan itu benar-benar menentang Maharaja, atau seperti ura-ura yang kudengari, mereka tidak menentang Maharaja pun, namun hanya memiliki pandangan yang sama mengenai Barat dengan Tetsugawa?

 

Apapun, aku harus mengharapkan Takasaki. Aku akan pinjam Tsugiyama, samurai Hagiura itu bagi menjejakinya dan akan kutawarkan kepadanya tawaran lumayan. Selepas aku memujuk Takasaki kembali kepadaku, kami akan bersama-sama menyusun pakatan, menghimpunkan bekas-bekas samurai dan daimyo-daimyo yang pernah rapat denganku yang sekarang ini berada di Kyushu dan bersama-sama menggulingkan baginda dan memulihkan kembali sistem samurai.

 

**

 

Tanah di rumah perlindungan Takasaki itu adalah tanah yang tidak dimasukkan ke dalam bancian Maharaja kerana ia dikira sebahagian dari kawasan pergunungan Hidagawa. Takasaki tidak terlalu dibebankan dengan masalah kewangan, cuma setelah kehilangan Miura, sumber kewangan pertubuhannya terhad dan dia tidak mampu untuk membawa masuk lebih ramai anak yatim ke situ. Banyak bilik asrama yang masih kosong. Kobato pula akan meninggalkannya lagi beberapa minggu, menambahkan lagi kekosongan yang perlu diisi. Dia perlukan bantuan lebih. Pertubuhannya perlukan bantuan dana.

 

Dia merancang mahu meneruskan usahanya melobi Maharaja di Tokyo. Maharaja itu ialah anakanda kepada Maharaja yang pernah dipujuknya bersama Kotobuki dahulu, dan usianya baru menginjak 15 tahun. Mungkin mudah dipujuk atau dipergunakan, atau jikapun dia bijak, mungkin belum benar-benar bijaksana. Jika baginda masih remaja bererti tugas-tugas pemerintahan dilakukan oleh pemangku sementara. Aku amat berharap pemangku sementara ini berfikiran terbuka dan bersedia menerima idea-idea baru. Aku amat berharap dia tidak konservatif seperti samurai-samurai yang lari ke Kyushu itu.


Aku akan bersungguh-sungguh menerangkan yang pertubuhan kami, Kogen, bukanlah menentang baginda. Aku mahu memujuk baginda menerima kemasukan Barat dan menghentikan sekatan ke atas mereka. Siapakah yang boleh membantuku? Oh ya, Taishii Kimura. Aku akan cuba mendapatkan kerjasama dia. Aku tahu dia masih di Kurimoto di Kyushu berbalas surat dengan Maharaja.

 

**

 

Dahulu, tapak di mana rumah perlindungan Takasaki itu didirikan, adalah tapak sebuah kuil Shinto. Pelawat-pelawat dari serata Jepun akan melawat kuil tersebut dan selalunya akan menumpang mandi di onsennya yang terletak di belakang kuil, dan bermalam di bilik-bilik penginapan di kuil itu. Pelawat-pelawat selalunya ramai ketika pertengahan musim bunga dan luruh.

 

Onsen dan bilik penginapan serta kuil tersebut sejak sekian lama diuruskan oleh keluarga Funazuki turun-temurun. Pada tahun 1845, sebuah kuil baru dibina di seberang Sungai Miya, iaitu yang memiliki sebuah patung Buddha dan dua buah patung gangsa berbentuk singa. Sejak kemunculan kuil baru ini, pelawat-pelawat ke kuil Shinto keluarga Funazuki di seberang mulai berkurang. Lama-kelamaan, kuil tersebut ditutup.

 

Tapak kuil lama itu kemudian dibeli oleh Kogen. Keluarga Funazuki kini menjaga kuil baru di tebing seberang itu. Pentadbiran Kogen mendirikan rumah perlindungan di atas tapak tersebut pada tahun 1854 dan mengamanahkan Miura menjaganya. Namun selepas Miura berkahwin, dia tinggal di utara Hidagawa. Sekitar waktu tersebut, kebetulan Takasaki meletak jawatan dari Hamada secara rasmi dan mengikutinya. Miura menyarankan kepada pentadbiran Kogen agar menyerahkan rumah itu kepada Takasaki untuk diuruskan, dan saranan Miura diterima.

 

Selain mengusahakan penginapan di kuil baru, keluarga Funazuki juga melombong sulfur atau belerang yang banyak terdapat di sekitar onsen di belakang kuil lama dan menjualnya kepada pedagang. Takasaki tidak pernah menghalang kegiatan mereka melombong sulfur sejak dia mengambil alih tanah kuil lama, malah berkongsi pula pendapatan mereka bagi meneruskan kelangsungan rumah perlindungan itu. Onsen itu kini kurang pelawat dan Takasaki menjadikannya sebahagian dari rumah perlindungan itu. Keperluan sulfur meningkat kerana Jepun mula mengindustri selepas Pembaharuan.

 

Beberapa tahun selepas Takasaki mengambil alih tanah kuil itu dan mendirikan rumah perlindungan, pada tahun 1862 ibu kepada Azusa dan Saki meninggal dunia akibat kanser. Dia seorang ibu tunggal, dan ketika itu Azusa berumur lapan tahun dan Saki setahun muda darinya. Azusa dan Saki mewarisi harta keluarga mereka berupa kuil patung Buddha dan patung gangsa beserta lombong sulfur dan onsen. Ibu mereka, yang mengenali Takasaki, mewasiatkan agar Takasaki menjaga Azusa dan Saki sehingga mereka dewasa dan mengamanahkan Takasaki menjaga perniagaan mereka dan memulangkan kembali kepada Azusa dan Saki apabila mereka dewasa kelak.

 

Azusa dan Saki kelihatan lebih matang kerana membesar sendiri dalam persekitaran yang sukar di celah pergunungan seperti itu dan bekerja keras seperti melombong sedari kecil. Disebabkan itu, tubuh mereka berotot seperti lelaki. Takasaki menganggap Azusa dan Saki seperti anaknya sendiri kerana dia mengenali mereka sejak bayi lagi.

 

**

 

Onii-san, semalam aku bermimpi.” Hisamiko bersuara lemah. Kepalanya masih sakit.

 

“Engkau berkahwin dengan Chisato nee-chan.”

 

Tersedak air teh hijau yang diteguknya. Nani??!!

 

“Kemudian aku menjadi pengapitmu. Dan Tsuneki menjadi pengapit nee-chan.”

 

Musang kecil itu? Di mana-mana sahaja pasti ada dia!

 

Onii-san, engkau sukakan nee-chan?”

 

Ryouji diam seketika. Dia melihat Hisamiko, sambil mengusap ubun-ubunnya. Dia cuba mengelak dari memegang bahagian yang tercedera. Berhati-hati.

 

“Ya, sungguh. Aku mencintai Chisato. Engkau dan dia, dua orang wanita yang amat aku hargai selain okaa-san.”

 

“Janji, onii-san. Berjanji denganku yang engkau akan mengahwini nee-chan.”

 

Yakusoku.” Ryouji berjanji.

 

Ryouji merenung seketika kata-kata sami pagi tadi. Dia runsing, amat. Dia harus lekas. Lekas dalam segala-galanya. Sebelum terlambat.

 

Mereka pulang setelah Hisamiko lima hari dirawat di kuil itu. Kotobuki telah menghantar surat melalui merpati kepada Takasaki memaklumkan keadaan mereka. Chisato tidak henti-henti menangis mengingatkan Hisamiko. Dia mahu keluar melihat Hisamiko namun dihalang Funazuki kerana bimbang akan keselamatannya.

 

Hayabusa kembali mengekori Hisamiko sepanjang perjalanan pulang ke rumah perlindungan. Ryouji merajuk dengan hayabusa tersebut dan berkata kepadanya melalui Hisamiko “Sebenarnya aku mahu memberimu seguni ikan namun disebabkan kau telah memakan ayam Sonzaemon, aku tidak jadi memberimu. Padan muka engkau.”

 

Hisamiko tersenyum mendengarkan kata-kata abangnya sambil menterjemah kepada hayabusa.

 

**

 

Sesampai mereka di anjung, Chisato berlari-lari lantas menerpa dan memeluk Hisamiko. Dia menitiskan air mata. Ryouji menegah Chisato dari memegang bahagian kepala Hisamiko yang masih berbalut itu kerana ia masih belum pulih sepenuhnya.

 

Chisato menoleh, melihat Ryouji dengan pandangan tajam dan mulut memuncung.

 

Dia kemudian memarahi Ryouji. Tidak pernah dia marah sebegitu teruk. Ryouji hanya diam dan tunduk menadah telinga mendengar bebelan Chisato, sambil sekali-sekala dia mengangkat muka, dan mata mereka bertentang. Cantiknya Chisato ketika marah, getusnya.

 

Sehingga bilakah lagi aku dapat melihat wajahmu, Chisato?

 

**

 

“Hebat engkau Ryouji!” Shinji menepuk-nepuk belakang Ryouji.

 

“Apa yang hebatnya?

 

“Engkau sudah bertemu jodohmu selepas baru setahun lebih di sini.”

 

“Jodoh?”

 

“Chisato sayangmu itu. Dia memanggilmu ‘Ryouji’ sebelum engkau pulang ke kampung hari itu. Ke tahap manakah hubungan kamu berdua sekarang?”

 

“Kami sudah...”

 

“Kamu berdua sudah melakukannya? Sugei na!” terkeluar loghat Kansai Shinji seketika.

 

“Kami sudah mengakui perasaan masing-masing.”

 

Shinji hampa. Sangkaannya meleset. Mereka belum sampai ke tahap itu.

 

Tsuneki sedari tadi berada di situ, namun dia sedang asyik membelek-belek sesuatu yang diberikan Shinji. Ryouji menyedari Tsuneki tidak memberi perhatian kepada perbualan mereka seperti selalu.

 

“Shinji, adakah engkau telah meracuni fikiran musang itu?” Dia menunjuk ke arah Tsuneki.

 

“Biarkan dia. Itu baru sedikit hartaku yang kuwariskan kepadanya. Ada sepuluh lagi di dalam bengkel bilah. Jika aku berikan semuanya mungkin dia tidak tidur seminggu.”

 

Ryouji tertarik dan mendekati Tsuneki. Tsuneki tidak menghiraukannya, masih asyik dengan alat itu, dia memulas-mulas sejenis tombol pada alat berbentuk kotak itu, kemudian memasukkan kacang edamame dari saku kimononya ke dalam satu lubang pada alat tersebut. Kemudian dia menarik sejenis picu, dan edamame itu meluncur dengan lajunya ke hadapan, menembak seekor tupai jatuh.

 

“Ryouji, aku ingin melihat sepantas mana engkau boleh mengelak tembakan kacang ini.” Shinji mencabar.

 

“Serahkan kepadaku.” Ryouji menyahut cabarannya.

 

“Tsuneki, bersedia. Sasarkan tepat ke dahinya.” Shinji membisik ke telinga Tsuneki.

 

Wakaru (faham).”

 

Kaminari-no-kaze, jurus keenam. Ryouji membuka pencaknya. Dia menunggu Tsuneki menarik picu pada alat penembak itu. Seperti diduga, tidak mengena. Bahkan Ryouji menangkap kacang itu dengan mudah.

 

Namun Ryouji silap. Mesin itu boleh menembak edamame berkali-kali secara automatik. Kali kedua, edamame itu mengenai lutut Ryouji.

 

“Bayangkan ia peluru tanegashima, atau jarum fukiya. Aku mungkin sudah rebah,” fikir Ryouji.

 

**

 

Ryouji mendekati Shinji suatu hari.

 

“Shinji, ajarkanku bagaimana meringankan bilah tanpa mengurangkan ketegarannya.”

 

“Boleh, dengan satu syarat. Ajarkan aku bagaimana menjinakkan hayabusa.”

 

Bagaimana pula Shinji tahu? Ini mesti kerja Tsuneki!

 

“Mengapa Shinji? Engkau pun berminat dengan burung itu?” Ryouji bertanya, masih menahan geram terhadap Tsuneki yang menyebarkan rahsianya.

 

“Aku ingin hayabusa menerbangkan aku ke England. Kemudian aku akan pulang sendiri ke Jepun menaiki kapal terbang setelah aku membelinya di sana.”

 

Lawak apakah yang cuba dikarangnya ini? Ryouji terpana dengan kata-kata Shinji. Kemudian dia bertanya,

 

“Kapal terbang?” Ryouji mendengarkan perkataan hikouki yang disebut Shinji, dan dia tidak mengerti apakah ia.

 

“Aku tidak pasti Shinji. Ia kebolehan turun temurun. Seperti seorang tukang urut yang membetulkan urat-urat yang tidak kelihatan yang mewarisinya dari mimpi, kami puak Okuhida memperolehinya secara semulajadi.”

 

“Aku pernah membaca orang-orang di tanah besar di utara Qing (China) boleh menjinakkan hayabusa tanpa bergantung dengan darah keturunan. Aku yakin aku boleh mempelajarinya seperti mereka.”

 

Ryouji tidak ada pilihan. Hanya Shinji yang mampu mengajarnya rahsia tamahagane. Dia mesti mempelajarinya dari Shinji. Takasaki? Dia terlalu lambat, dan aku perlu menunggu lama sehingga umurku mencecah umur Kobato. Aku tidak tahu sehingga bila aku akan hidup. Sumpah ini semakin lama semakin menggugat hidupku.

 

Dan Takasaki pula, aku tidak pasti sampai bila dia akan terus hidup, kerana Hamada masih memburunya. Mungkin esok, lusa, Hamada akan menemui tempat ini dan membunuhnya. Mungkin dengan pedang. Mungkin juga dengan fukiya! Ryouji menahan amarahnya. Fukiya adalah perkataan yang memeritkan. Bapanya sudah berbulan meninggalkan dunia fana’ ini. Namun luka di hatinya belum benar-benar dirawat. Aku akan pastikan pembunuhnya diadili!

 

Dia membawa Shinji ke taman bonsai. Kemudian dia duduk. Kemudian dia membuat bunyi siulan yang nyaring. Seekor burung hayabusa yang sedang berlegar-legar di atas mereka, terbang turun dan hinggap di atas lengannya.

 

Kemudian dia meminta Shinji melakukannya. Dia membulatkan jari telunjuk dan ibu jari, memasukkan ke dalam mulutnya lalu bersiul. Hayabusa itu terbang lari!

 

Setelah berkali-kali mencuba, Shinji berputus asa.

 

Mereka pulang ke asrama. Tsuneki keluar dari persembunyiannya. Hari itu dia baru sahaja keluar dari pejabat berjumpa Takasaki dan curi-curi mengintai mereka. Dia masih dengan perangai lamanya!

 

Dia mencuba meniup meniru Shinji seperti yang dilihat. Burung itu terbang turun, namun menyerang Tsuneki dengan cakarnya. Tsuneki berlari-lari di sekitar halaman rumah perlindungan itu. Ryouji dan Shinji melihatnya lalu ketawa terbahak-bahak. Kemudian Ryouji meniup dan burung itu turun ke lengannya, Ryouji mengusap-usap kepalanya. Kemudian dia melambung lengannya ke atas dan burung itu terbang beredar. Tsuneki masih mencangkung di bawah koridor menghadap dataran luas sambil tangannya menekup belakang kepala. Kobato yang sedang menyapu daun-daun kering di situ hairan melihat Tsuneki lalu berkata “Nani shite no? (apa yang sedang kau lakukan?)”

 

“Ryouji, terima kasih mengajarku. Rupanya mudah sahaja. Aku mungkin perlu berlatih lagi. Apapun, aku pasti akan mengajarmu ilmu membuat bilah. Lebih dari apa yang Takasaki ajarkan.”

 

“Terima kasih Shinji!” Ryouji tunduk ke paras pinggang. Shinji terkejut.

 

“Ryouji, aku tidak layak menerima tunduk sebegitu. Takasaki lebih layak.”

 

Tanomu, Shinji. Tanomu. (Tolong aku Shinji. Tolong aku)” Ryouji mengangkat muka. Air matanya berlinangan.

 

Shinji lebih terperanjat dan matanya yang kecil nipis itu membulat. Mengapa kau menangis Ryouji?

 

Ryouji beredar, malu. Shinji terpinga-pinga. Apa yang mengharukanmu, Ryouji?

Novel: Kaisenjyo (Bab 14)

BAB 14 


Ryouji bangun pagi itu dan menyedari Hisamiko tiada.

 

Yang ditinggalkan hanya beg yang berisi makanan dan pakaian.

 

Hisamiko? Di mana kamu?

 

Ryouji mula cemas. Dia bingkas bangun dan keluar dari gua kecil itu.

 

Hisamiko sedang duduk di atas batu sambil memandang sungai, seperti sedang memikirkan sesuatu. Tidak pernah aku lihat Hisamiko begitu, apa yang dimenungkan?

 

Kemudian dia menoleh, “Onii-san, tadi aku pergi membuang air. Dalam perjalanan pulang aku terjumpa rangka manusia.”

 

Mereka menuju ke tempat itu. Mayat itu seperti dibunuh di tempat lain dan dicampakkan ke situ. Hanya tinggal tulang temulang dalam kimononya. Biasanya kimono sebegitu dipakai oleh ninja atau ronin. Tiada tengkorak ditemui.

 

Ryouji menyeluk saku kimono itu. Terdapat kelongsong bambu fukiya. Dia meneliti kawasan sekeliling dan menemui tengkorak mayat itu tercampak di dalam semak berhampiran, masih lengkap dengan sarung muka. Mungkin mati dipenggal.

 

Ryouji mengambil kimono, sarung muka dan kelongsong bambu.

 

“Hisamiko, lain kali beritahuku jika engkau bangun. Aku risau engkau hilang tanpa dikesan.”

 

“Aku tidak mahu mengganggu tidurmu. Lagipun aku sudah dewasa, aku boleh melindungi diriku.”

 

Ryouji agak terkejut mendengarkan jawapan Hisamiko. Dari mana dia belajar menjawabku sebegitu?

 

Ketika baru sahaja melintasi pinggir pekan Furukawa, Ryouji berasa seperti sedang diekori. Burung hayabusa yang mengekori mereka melaporkan perkara sama. Kemudian burung itu menghilang seperti sedang mencari sesuatu.

 

Ohisashiburi, Okuhida-san.” Kedengaran suara seorang lelaki memanggilnya. Ryouji menoleh ke kiri. Dia melihat wajah lelaki itu, dan amat mengenalinya. Dia adalah petani bendang yang berjiran dengan bapanya.

 

“Sonzaemon-san!” Ryouji menyeru namanya.

 

“Aku maklum yang engkau telah lari dari rumah itu.” Sonzaemon memulakan bicara.

 

“Benar. Bapaku Miura telah dibunuh. Aku menurut wasiatnya dengan meninggalkan kampung itu. Maaf aku pergi tanpa meninggalkan khabar. Apa khabar engkau sekarang?”

 

“Tidak baik sepertimu.”

 

“Apa telah terjadi padamu?”

 

“Panjang ceritanya. Maharaja mengambil semula tanah-tanah. Daimyo Kimura sudah lari ke Kyushu. Aku ditimbun hutang dan terpaksa lari. Ryouji, tolong aku.”

 

“Apa yang boleh kutolong?”

 

Sonzaemon meniup jarinya. Keluarlah tiga orang lelaki dari belukar mengepung mereka.

 

“Sonzaemon-san. Apa yang kau mahu?!” Ryouji cemas melihat dia dan Hisamiko dikepung. Kesemua mereka bersenjata. Ryouji memberi isyarat kepada Hisamiko agar bersedia. Dia memegang hulu katana, bersedia menariknya dari sarung bila-bila masa sahaja.

 

Hisamiko tidak memiliki katana tetapi sejenis pedang kecil atau tantou. Tangannya kecil dan tidak mampu memegang katana yang berat.

 

“Aku mahukan adik perempuanmu. Serahkan dia dan engkau akan selamat.” Sonzaemon merancang mahu menjualnya sebagai karayuki.

 

Berderau darah Ryouji mendengarkannya. Sungguh biadap engkau Sonzaemon!

 

“Hisamiko, bertindak seperti apa yang kau pelajari.”

 

Kepungan makin mengecil, mereka semakin merapat. Ryouji melibas pedangnya memberi amaran. Di belakangnya Hisamiko masih takut-takut mengacu pedang kecil, maka orang-orang Sonzaemon semakin berani mendekat.

 

“Hisamiko, selagi boleh aku tidak mahu menumpahkan darah. Kita harus melarikan diri. Engkau lari sambil mengelak selepas aku membuat bukaan. Lari ke mana sahaja. Ingat destinasi kita. Jika kau sesat, seru hayabusa.”

 

Ryoukai, nii-san,”

 

Kaminari-no-kaze, jurus pertama. Usai menyebutnya, Ryouji meluru ke hadapan dengan lajunya. Dunia di sekelilingnya seolah-olah memperlahan dan dia dapat melihat jelas sasarannya. Pedangnya kini di leher salah seorang penyerang itu.

 

Namun Hisamiko terlambat kerana terlalu takut dan bilangan mereka ramai. Dia berjaya ditangkap oleh salah seorang penyerang itu yang mengunci lengannya dari belakang.

 

Ryouji berpatah balik meluru ke arah Hisamiko namun dihalang seorang lagi penyerang. Mereka berbalas tetakan demi tetakan pedang. Ryouji kini bertarung dengan dua penyerang, sedang Hisamiko perlahan-lahan dibawa lari. Kemudian, Sonzaemon memberi isyarat beredar dan dua penyerang itu menamatkan pertarungan dengan Ryouji. Kesemuanya melarikan diri. Hisamiko hilang dari pandangan.

 

Ryouji terkesima. Apa yang telah aku lakukan, di mana kelemahanku? Dia mengejar dan terus mengejar. Dua penyerang itu bersilih ganti menepis Ryouji dan menyukarkannya mencari kelibat Hisamiko di tengah-tengah hutan itu yang kian jauh.

 

“Ryouji, kepantasan sahaja tidak cukup. Engkau harus tenang dan tumpukan perhatianmu. Jika engkau terburu-buru akibat takut, engkau akan tewas.” Nasihat Miura menerjah benaknya.

 

Bertenang, bertenang Ryouji! Fikir! Bagaimana harus aku bertenang? Mereka telah mengambil Hisamiko. Mereka akan menjual Hisamiko! Apa silapku, di mana kelemahanku ketika mereka bertarung? Bukan, bukan, di mana kelemahan mereka?! Itu soalan yang harus aku jawab!

 

Ryouji memejamkan mata, memerah otaknya. Cuba mengingat kembali apa yang dilihat. Tiga orang penyerang. Seorang berbadan tegap dan tinggi. Kakinya tempang, disebabkan itu mungkin dia tidak dibenarkan bergerak banyak oleh Sonzaemon dan menunggu di belakang Hisamiko. Ya, kakinya kelemahannya. Dan dia memegang Hisamiko. Bererti pergerakannya lambat, bersekali dengan si gemuk Sonzaemon itu. Maka aku masih boleh mengekori mereka!

 

Aku masih boleh mengejar mereka. Namun aku harus memintas dua ekor penyangak di depanku itu. Sebentar, di mana hayabusa?

 

Ryouji menerawang ke langit. Hayabusa adalah kompas Hisamiko. Di mana ada Hisamiko, di situlah ada hayabusa. Namun tiada seekorpun yang berlegar-legar. Sialan. Ke manakah dia?

 

**

 

Musim luruh, 1868 (selepas bapa Ryouji, Okuhida Miura dibunuh)

 

“Hamada-sama.” Pembantu Hamada memberitahu kedatangan seorang tetamu rahsia.

 

Hamada keluar menuju ke sebuah pintu masuk yang agak tersembunyi di belakang rumahnya. Selalunya dia akan ke situ jika dia ingin bertemu dengan tetamu rahsia.

 

Hamada menunjukkan jarum fukiya yang diberikan Saitou yang dicabut dari leher Miura. Dia bertanyakan adakah penyumpitnya sudah dibunuh. Ronin itu mengiyakan dan menerangkan penyumpit itu telah dipenggalnya, mayatnya dicampak ke dalam gaung. Hamada kemudian meminta pembantunya memberikan upah berupa sebuntil wang perak. Ronin itu tersenyum seraya menunduk hormat.

 

Di sebuah rumah di kawasan bendang berhampiran bendang Miura, seekor burung gagak telah menjatuhkan surat dari Hamada di depan halaman rumahnya. Seorang petani berbadan gempal dan bermisai panjang keluar, mengambil surat itu seraya membacanya. Dia tersenyum selepas mendapat perkhabaran gembira dari Hamada, bahawa musuhnya Miura telah dibunuh. Penyumpit fukiya yang diupahnya itu juga telah dibunuh, maka dia tidak perlu membayar baki upahnya. Namun dia kini berhutang dengan Hamada. Dia harus segera memiliki bendang Miura dan hasilnya akan dikongsi dengan Hamada. Taishii Kimura tidak boleh berkata apa-apa jika dia memiliki geran Miura yang sah, kerana ia bermakna Miura telah mewasiatkan tanah itu kepadanya.

 

“Esok aku akan pastikan rumah Miura itu tiada lagi anak-anaknya. Kemudian aku akan menyelongkar laci-lacinya dan mengambil surat geran.” Petani itu, Sonzaemon merancang.

 

**

 

Itterasshai.” Sonzaemon ‘menyahut’ teriakan ‘Ittekimasu ’ Ryouji, perlahan, dengan nada sinis. Dia perlahan-lahan keluar dari belukar menuju ke dalam rumah keluarga Okuhida setelah Ryouji dan Hisamiko jauh meninggalkannya. Digeledahnya rumah itu. Namun tiada sehelai kertas geran pun yang ditemui. Bangsat engkau Miura, di mana engkau meletakkannya?

 

Geledah dan geledah. Tiada apa-apapun. Sonzaemon berputus asa. Bukan setakat geledah, dia memusnahkan rumah itu dengan menetak dan melibas pedangnya di mana perlu. Habis meja diterbalikkan dan peti pakaian dijatuhkan.

 

Habis, aku memang habis kali ini! Hamada-sama pasti akan membunuhku!

 

**

 

Seekor burung merpati tiba di sebuah pondok yang didirikan di atas sebatang pokok yang tinggi di pinggir hutan buluh yang memagari sebuah rumah perlindungan anak yatim di tengah-tengah pergunungan Hidagawa, yang didirikan di atas tanah bekas kuil Shinto. Kaki merpati itu diikat dengan beberapa gulungan dokumen penting. Merpati itu masuk ke dalam kabinetnya yang telah dilatih, di dalam pondok itu.

 

Menyedari kedatangan merpati itu, Takasaki keluar dari rumah dan memanjat ke pondok itu. Dia memerhati kabinet yang bertanda ‘Miura’ dihuni seekor merpati dengan kakinya berikat dengan gulungan surat-surat. Dia lantas mengeluarkan merpati itu, mencabut surat-surat tersebut dan membukanya. Surat itu dari Miura, memintanya bersedia. Dia sedang diserang dan mungkin akan terbunuh. Dia meminta Takasaki bersedia di sepanjang Sungai Miya menanti kedatangan anak-anaknya. Bersama surat tersebut adalah geran asal tanah bendangnya yang dikurniakan daimyo Taishii Kimura. Dia mengamanahkan Takasaki agar menyerahkan geran tersebut kepada daimyo Kimura dan menguruskan perpindahan pekerja-pekerja bendang upahannya.

 

Takasaki melakukan apa yang telah diamanahkan. Namun dia tidak mahu sekadar menunggu dan mengambil keputusan berjalan terus ke kampung Miura, demi memastikan dia dan anak-anaknya benar-benar selamat. Namun malangnya, yang tiba hanya anak-anaknya sedang Miura sudah mati disumpit.

 

Selepas Maharaja mengarahkan semua tanah-tanah dikembalikan hak milik kepada baginda, Taishii Kimura terpaksa melepaskan tanah-tanah tersebut lalu berpindah ke Kyushu. Sonzaemon hidup dalam ketakutan dan melarikan diri dari Hamada. Dia diburu Saitou selaku orang kanan Hamada. Namun dia tidak tahu Saitou juga telah meletak jawatan tidak lama kemudian dan berpindah ke Kyushu.

 

Dia masih hidup dalam ketakutan, kebuluran dan merayau-rayau di pekan Furukawa, kadangkala merompak pedagang-pedagang yang melalui pekan tersebut dengan rakan-rakan sejenayahnya.

 

Ketika dia merayau-rayau tanpa arah tujuan di dalam hutan Hidagawa itu, dia terserempak Ryouji dan Hisamiko. Apa lagi yang mereka buat di sini? Bukankah mereka telah melarikan diri? Dia mengekori mereka.

 

**

 

Ryouji mengejar mereka seperti mencari sinar dalam terowong yang gelap, tiada hayabusa seperti selalunya yang sering mengekori mereka. Dua orang penyerangnya itu akan bersilih ganti keluar menyerangnya setiap kali dia hampir dekat dengan mereka, menyebabkan penjejakannya sukar.

 

Sonzaemon tersengih. Dia tahu rahsia keluarga Okuhida ketika dia mengintai di celah belukar pada hari Ryouji dan Hisamiko meninggalkan rumah mereka. Iaitu rahsia menarik hayabusa. Sonzaemon pernah belajar menyeru hayabusa ketika tinggal di utara. Dia menggunakan kemahiran itu dan telah memberikan hayabusa itu makan daging ayam yang besar. Dia membeli masa dari hayabusa. Sementara Hisamiko pula masih dipegang lelaki tempang berbadan tegap itu di belakang Sonzaemon. Mulutnya diikat agar tidak menjerit.

 

Hisamiko ketakutan. Badannya menggigil. Onii-san di mana engkau? Chisato nee-chan? Miko takut.

 

Dia teringat kata-kata Mariko agar bertenang. Hisamiko memejam mata. Berfikir. Apa tindakanku? Bagaimana jika Onii-san tiada? Bukankah aku tidak mahu dijual? Aku punya maruah. Otou-san dan okaa-san mengajarku agar menjaga maruah. Onii-san juga. Mereka sanggup mati demi mempertahankan maruahku. Aku perlu bertindak. Aku tidak boleh lagi mengharapkan Onii-san semata-mata.

 

Aku tidak boleh lagi mengharapkan Onii-san semata-mata.

 

Perasaan ketika bertarung dengan Funazuki bersaudara menerpa benaknya. Dia kian jelas dengan apa yang perlu dilakukan. Gentarnya luntur sedikit demi sedikit. Hisamiko perasan lelaki yang memegangnya itu tempang dan berjengket-jengket. Lengannya kuat namun kakinya lemah. Setiap kali dia menuruni cerun curam sebelah tangannya akan berpaut pada tebing dan sebelah tangannya akan menekan Hisamiko kuat pada badannya. Hisamiko tidak tahan bau lelaki itu, seperti bau kerbau di sawah padi bapanya. Namun dia cuba menenangkan diri, menunggu peluang ketika mereka menuruni sebuah bukit.

 

Seperti diduga, lelaki tempang itu melepaskan sebelah tangannya untuk berpaut pada dahan-dahan pokok ketika turun bukit. Hisamiko sedikit demi sedikit melurutkan penutup mulutnya. Dia berjaya. Pantas dia menggigit lengan lelaki itu sekuat hatinya. Lelaki itu kesakitan lalu melepaskan tekapan lengannya. Hisamiko pantas terjun seraya melarikan diri. Namun dia terjatuh dari bukit itu ke dalam gaung di sisinya, berguling, lalu terhantuk pada sebatang pokok di lereng dan pengsan.

 

Melihatkan keadaan Hisamiko yang sudah jauh di bawah cerun, si gemuk dan si tempang itu tidak jadi untuk turun. Mereka menyangka Hisamiko sudah mati. Lagipun, mereka tidak mahu menyusahkan diri mendaki kembali cerun itu. Mereka perlu pulang ke Furukawa sebelum malam.

 

Ryouji sedari tadi masih bertarung dengan dua lagi penyerang di belakang mereka. Pertarungan terhenti tiba-tiba mendengarkan isyarat Sonzaemon menyuruh mereka berundur. Kedua-dua penyerang akur lalu bercempera melarikan diri. Ryouji mengikut arah dari mana bunyi Sonzaemon datang. Dia melihat sekeliling dan mendapati Hisamiko di bawah cerun bukit, sedang terbaring tidak sedarkan diri. Kepalanya berdarah.

 

Ryouji lekas menggelongsor turun dan memaut tubuh Hisamiko. Dia masih bernyawa. Dia mengendong Hisamiko dan bergegas ke kuil Furukawa.

 

Di kuil itu Hisamiko dirawat oleh sami yang pernah merawat demamnya dahulu, bernama Kotobuki.

 

“Ryouji, engkau tidak apa-apakah? Hulurkan tanganmu, aku ingin memeriksa nadimu.” Pinta Kotobuki.

 

“Tekanan darahmu tinggi. Engkau sedang marahkah?”

 

“Ya, Kotobuki-san. Aku sangat marah, marah dengan diriku. Kerana kesilapanku Hisamiko jadi begini.”

 

Sami itu, Kotobuki tidak menjawab. Dia cuba memikirkan nasihat yang wajar kepada anak muda itu. Remaja pada umur sebegitu amat mudah dikuasai emosi. Mungkin itulah juga penyebab kegagalannya mempertahankan diri. Namun mereka berdua dan sudah dilatih Takasaki. Bagaimana mereka masih boleh tewas?

 

“Ryouji, pernahkah engkau berlatih bertarung dengan Hisamiko?”

 

“Tidak. Selama kami di rumah Takasaki dia hanya berlatih bersama Mariko-san dan penghuni wanita lain. Takasaki tidak membenarkan pertarungan rentas jantina.”

 

“Aku fikir kamu berdua harus bertarung sebagai satu pasukan. Tidak semua situasi dia perlu melarikan diri. Kadangkala penyerangmu lebih ramai dan dia harus berlawan. Dia juga harus belajar membuka kepungan. Dia dan kamu, ada peranan masing-masing. Jika kamu berlawan sebagai satu pasukan, mungkin lawanmu akan lebih mudah ditewaskan.”

 

“Bina kepercayaan ketika bertarung dengannya, fahami perbezaan kekuatan antara kamu dan dia, antara lelaki dan perempuan. Kemudian engkau boleh bertarung dengannya menentang musuh-musuh lain. Percayalah Ryouji, pasukan kamu Okuhida bersaudara akan menjadi lebih kuat.”

 

Ryouji mendengar sahaja gumam sami itu. Betul juga kata-katanya. Sebuah pasukan. Dengan Hisamiko. Aku tidak pernah terfikirkannya sebelum ini. Sepanjang masa, aku hanya memerhati Hisamiko sebagai seseorang yang perlu aku lindungi. Namun masa berubah. Hisamiko sudah belajar bertarung. Dia perlu belajar melindungi dirinya dengan berlawan. Dia perlu bersedia sekiranya aku tiada lagi untuk melindunginya.

 

Sami itu keluar. Seperti ada sesuatu yang bermain di benaknya, dan dia cuba mengelak dari meneruskan kata-kata.

 

Dia masih mahu Ryouji hidup dan mendewasa. Dia mahu pasangan adik beradik itu hidup gembira sehingga ke akhir hayat. Mereka anak-anak yang kasihan, teraniaya. Dia mendongak ke langit. Tuhan, panjangkan umurnya!

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...