Novel: Yumejima (Bab 34)

Aku Okuhida Nozomi. Berpandukan ramalan ahli sihir Emishi bernama Amaguri itu, akan lahir dari keturunan Okuhida seorang petarung wanita yang tidak terkalahkan. Dia adalah Kaisenjyo. Dan aku telah dituding sebagai calonnya.

 

Ramalan Amaguri itu telah dijaja pentaksub Emishi yang menyamar dalam istana di Kyoto. Mereka bekas pembantu kami para samurai Okuhida dan Shirasaka. Mereka telah memberi amaran kepada baginda agar memerhati tiga puak samurai ini – termasuk Higashihara di utara yang merupakan puak di mana pemanah handalan Hiiragiko dilahirkan. Pemanah itulah yang membahagi kuasa dari Amaguri kepada dua puak pertama itu, sekitar lima ratus tahun lampau selepas mendapat batu sakti yang ditinggalkan ahli sihir Amaguri itu.

 

Suka atau tidak, percaya atau tidak, engkau akan dipaksa dan disuguh mempercayai dan menerima. Mengapa tiba-tiba begitu? Kerana taksubnya mereka akan ramalan Amaguri. Takutnya istana di Kyoto akan dendam Emishi yang masih berlangsung sejak lima ratus tahun lepas. Dendam Emishi yang lahir kerana dosa-dosa Yamato menakluk utara masih belum berbayar. Nyawa-nyawa mereka yang hidup aman di dalam hutan belantara dan dibunuh sekonyong-konyong oleh tentera Yamato masih belum berbayar. Sumpah Amaguri adalah karma. Sumpahan Amaguri adalah hukuman ke atas kami. Ibarat racun yang melagakan sesama kami orang Yamato, ia memakan kami dari dalam, meresap ke salur darah dan urat nadi kami, dan menghancurkannya dari dalam.

 

Namun bagaimana engkau begitu pasti bahawa mana-mana keturunan wanita dari Okuhida, Shirasaka mahupun Higashihara bakal menjadi Kaisenjyo? Tiada kaedah yang pasti. Ia hanya sebuah ramalan dan bukan titah firman dari Tuhan. Ashikawa hanya mengambil kesempatan dari kebodohan dan ketaksuban sebahagian besar kami, demi kelangsungan politiknya. Aku adalah kambing hitam yang mudah. Aku satu-satu keturunan wanita dari salah satu puak yang tiga itu, dan aku petarung yang melindungi Maharaja. Tahun ini ialah ‘tahun sembilan zaman gemerlap’ pada dendangan tafsiran para tukang tilik yang korup dan diupah Ashikawa itu. Mereka dendang dan labun pandangan di pasar dan keramaian, cuba menimbulkan rasa tidak senang sarwa pandang awam dan menjaja bahawa Ashikawa adalah penyelamat mereka.

 

Aku adalah kambing hitam Ashikawa. Syaitan Ashikawa sang penghasut, pembolot. Para syaitan yang mendirikan keshogunan ini di atas darah dan keringat yang bapaku tumpahkan di usia mudanya, empat dekad lalu. Akuma-no-Ashikawa. Akuma-no-Ashikawa (Ashikawa Syaitan)!

 

Aku hanya melindungi baginda sesungguhnya. Bapaku Hanzou telah ditangkap dalam pemberontakan baru-baru ini sedangkan dia bertungkus-lumus cuba mematahkannya. Pemberontakan yang akhirnya berjaya ditangani Ashikawa dibantu bapaku. Ashikawa sang pengkhianat itu, yang memfitnah bapaku bersekongkol dengan pemberontak. Tak guna. Sekarang dia menggunakan kemenangan itu demi membuktikan pada Maharaja bahawa dia mampu melindungi baginda sepertimana empat dekad lalu, ketika moyangnya melakukan perkara sama. Dengan dusta itu dia menghasut Maharaja agar memecatku. Aku dituduh pengkhianat. Anak bakal mengikut bapa, begitulah percayanya.

 

Ashikawa baru sahaja mendirikan keshogunan lebih empat dekad lalu. Sengaja Ashikawa memusatkan kuasa di Kyoto agar hampir dengan baginda dan mudah mengawalnya.

 

“Nozomi!” Laung seseorang dari khalayak. Aku amat mengenali suara itu. Lelaki yang berwajah keanak-anakan, berkulit cerah dan mata sepet, muda setahun dariku dan bertelinga capang. Mengapa engkau di sini, Yoshimaru?

 

Yoshimaru anak seorang samurai kelas rendah. Pakaiannya dari kain kualiti rendah menyerlahkannya.

 

“Nozomi, bapamu masih hidup!” Laungnya bersahaja. Khalayak memandangnya. Yoshimaru, aku harus fikir dua tiga kali sebelum mempercayainya. Lelaki ini kukenali amat kuat menipu, kadangkala untuk melepaskan diri, kadangkala demi menguntungkan diri. Namun, dari riak wajahnya aku tahu dia tidak menipu kali ini. Telinga capangnya memerah, bererti dia berkata benar.

 

Bererti aku masih punya alasan untuk hidup. Otou-san masih hidup.

 

Aku merenung wajah Yoshimaru. Dia berubah pucat sebaik melihat wajahku yang calar dan lebam-lebam dicemar luka juga terdedah dari balik rambutku yang disisih ke tepi. Aku merenung matanya yang mulai bergenang berkaca, aku cuba bertanya tanpa bersuara akan kebenaran khabar yang baru dicanang. Dia menguatkan hati, menelan liur dan menggangguk perlahan, menjawab soalan bisuku. Dari riaknya dia berkata benar, dan oh ya. Telinganya merah. Tiada alasan lagi untuk aku memilih mati.

 

“Aku memilih dibuang ke pulau.”

 

“Baiklah.” Kata hakim atau bugyou. “Dengan ini, aku akan mengarahkan engkau dibuang ke pulau terpencil yang tidak berpenghuni.”

 

“Mohon kutahu pulau apakah itu Tuan Bugyou?” Soal Yoshimaru penuh berani tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang.

 

“Sebarang pulau yang tertebar di laut timur.”

 

Sebarang pulau? Maka tiada mana-mana pulau tertentu yang menjadi destinasi? Apa maksudmu, bugyou?

 

Seorang lelaki membisik ke telinga Yoshimaru, “Mereka akan melepaskan gadis itu ke dalam sampan dan dibiarkan di tengah-tengah laut. Terserah pada takdir di pulau mana dia akan terdampar, itupun jika dia bernasib baik. Jika tak, tenggelamlah dia dalam laut.”

 

Mata Yoshimaru membulat selepas mendengar penerangan dari entah siapa itu. Dia menoleh, dan mendapati seorang yang amat dikenalinya.

 

Otou-san!”

 

“Yoshimaru, pergilah. Hanya ini yang otou-san mampu lakukan.”

 

Arigatou, otou-san!” Yoshimaru memeluk bapanya.

 

Perlayaran menghantar Nozomi untuk dibuang ke tengah lautan bermula. Yoshimaru meminta agar dia turut dibuang bersama Nozomi. Hakim Motoba mulanya berkeras menolak, namun tidak disangka-sangka, bapa Yoshimaru sendiri datang mendesaknya agar membenarkan Yoshimaru menyertai Nozomi.

 

“Aneh engkau. Apakah engkau benar-benar memutuskannya? Engkau tidak akan menyesal nanti?” Soal hakim kepada bapa Yoshimaru.

 

“Aku tidak menyesal.”

 

**

 

“Yoshimaru engkau tidak menipu bukan?” Soal Nozomi. Dia kini berdua di dalam sampan bersama Yoshimaru di tengah-tengah samudera. Ikatan pada tangan sudah dileraikan. Berkelanalah mereka tanpa pelan kemudi, peta dan kompas, hanya berbekalkan onigiri sebekas yang mampu bertahan untuk seminggu dan kayu pendayung.

 

Sememangnya semua ini sengaja dirancang agar mereka mati di tengah-tengah lautan atau sekurang-kurangnya tidak akan dapat pulang ke Jepun.

 

“Maafkan aku, Nozomi.”

 

“Yoshimaru, engkau...”

 

“Ya, aku menipu lagi.”

 

“Tapi telinga kau merah!”

 

“Aku cubit telingaku!”

 

Nozomi menepuk dahi.

 

Yoshimaru cuba memeluknya, namun pantas Nozomi menepis.

 

“Apa telah berlaku pada bapaku?”

 

“Dia telah dicampak ke laut dengan tangan berikat. Aku fikir mustahil dia tidak akan mati lemas dalam keadaan begitu.”

 

Nozomi menganga dan terkesima mendengarkan kenyataan memeritkan itu. Dia menundukkan wajah dan esakan kedengaran.

 

“Sanggup engkau menipu tentang bapaku!”

 

“Maafkan aku, jika aku tidak menipu engkau pasti telah memilih hukuman bunuh.”

 

Nozomi diam.

 

“Nozomi, kita berdua telah diperangkap. Bapaku bersekongkol dengan Ashikawa. Dia mahu menghapuskanku. Dia mahu membenarkan adikku mewarisi keluarga kami. Disebabkan itu dia membenarkan aku menyertaimu dihukum ke sini.”

 

“Dan lagi satu, bapaku akan mendapat bendang keluargamu yang ditinggalkan. Ashikawa akan menyerahkan bendang keluargamu kepada bapaku.”

 

Nozomi membeliak mata. “Maka disebabkan itu Ashikawa menghantar orang menangkap bapaku dan menuduh aku pemberontak?”

 

“Ya.”

Novel: Yumejima (Bab 33)

Kai-sen-jyo ( ) (‘gadis tempur samudera’)

 

BUKU III: YUMEJIMA

 

ARKA II: KAISENJYO

 

 

**

 

Watak-watak utama

 

Okuhida Hisamiko (奥飛騨 久見子 (oku-hi-da hisa-mi-ko))

Genjirou

Nozomi

Yoshimaru

Kaisenjyo

Yoshihisa

Maharaja

 

**

 

Bab 33

 

Kala kesedihan menyelubungi selepas kematian Hisamine, Hisamiko termenung di atas tebing tinggi merenung laut. Segala apa yang berlaku dalam masa dua hari ini berkincahan dalam cepu fikirnya. Pembunuhan yang dilakukan Hisamine, dan kematiannya, dan kemudian pembunuhan yang dilakukannya sendiri di dalam kapal itu, menyebabkan tiga nyawa melayang. Namun mereka telah memperkosa Hisamine. Itulah karma mereka!

 

Kala diganggu cebis demi cebis memori hitam itu, Hisamiko merasakan memori lain yang baru menerpa benak seperti cahaya mentari di balik awan hitam yang berarak beredar ke belahan langit lain. Memori itu kian terang dan menenggelamkan memori hitam.

 

Memori baru itu dirasakan terlalu biasa, seolah-olah ia sudah sedia lekat di benak, sudah lama terpahat di situ. Ia memerikan seorang lelaki yang sedang menghuni di atas tanah tinggi yang hanya boleh dilawati menerusi gua dalam hutan gelap itu. Namanya Tomokazu.

 

Tomokazu? Aku tidak kenal seseorang bernama Tomokazu. Siapakah dia? Bagaimana pula aku merasakan bahawa aku pernah dan selalu bertemunya pula?

 

Memori itu cuba menyuguh kepada Hisamiko, bahawa beberapa puluh tahun lepas, Tomokazu sedang dikejar seseorang, sedang tangannya menekup darah di pinggang. Kemudian datang seekor binatang berbulu hitam seperti serigala yang menerkam dari sisi dan membawanya lari.

 

Hisamiko bermonolog, memori itu memberitahuku bahawa binatang itu Yoshimaru. Lima ratus tahun lepas, dia terjatuh ke sebuah lubang di lantai hutan gelap. Aku mengambus lubang itu agar dia ditimpa sumpahan pulau dan menjadi binatang hitam itu. Dia mengorek keluar sebagai seekor makhluk berbulu hitam dan bersayap, berwajah serigala. Dia terbang meninggalkanku. Aku membiarkan dia bertemu rakan wanitanya.

 

Tidak, aku tidak kenal Yoshimaru. Aku tidak kenal wanita itu. Aku pasti, ini bukan memoriku. Memori siapakah ini?

 

Siapa Yoshimaru? Siapa? Dan beberapa tahun lepas? Lima ratus tahun lepas? Bagaimana, bagaimana pula memori dari puluhan dan ratusan tahun lepas bermain di fikiranku? Sedang umurku hanya belasan tahun? Ini bukan memoriku, ini bukan memoriku!

 

Lagi, ada lagi. Ia datang lagi dan mengatakan bahawa Yoshimarulah yang nekad menyertaiku dibuang ke laut dan kami terdampar di pulau ini...

 

Tidak, semua ini salah! Aku datang ke pulau ini bersama abangku! Ia bukan memoriku, ia bukan memoriku!

 

Satu suara wanita menjelma di telinga Hisamiko...

 

“Engkau keliru bukan, Hisamiko?”

 

“Siapa engkau?!”

 

“Usah takut dan gentar anakku. Aku menumpang tubuhmu. Akulah Kaisenjyo.”

 

“Kaisenjyo?”

 

Hisamiko teringatkan sesuatu. Ia mimpi lama dahulu, sewaktu dia terlantar selepas misi Saikawa. Seorang gadis duduk di atas batu memandang laut dan berwajah jelita, dengan taring pada mulut dan rambut hitam yang panjang berbalut yukata putih. Cuma rambut yang masih hitam.

 

“Jadi, itu memori-memorimu?”

 

“Ya, dan juga memori tubuh yang pernah kutumpang sebelummu. Okuhida Nozomi namanya, salah seorang moyangmu.”

 

“Nyah engkau dari tubuhku!”

 

Kaisenjyo ketawa mengilai, nyaring dan panjang. Hisamiko menekup telinga, bingit.

 

“Mengapa Miko-chan? Engkau tidak ingat nasihatmu dalam mimpi itu? ‘Nee-san walau apapun yang berlaku, teruskan hidupmu. Walau apapun yang sudah tertulis, lalui dengan hati yang kental.’ Bukankah engkau yang berkata begitu? Aku menumpang tubuhmu demi meneruskan hidup. Aku mengikut nasihatmu!”

 

Tidak. Di dalam mimpi itu aku bertemu seseorang dalam yukata putih, rambutnya hitam dan dia bersiung. Sebentar. Wajahnya iras gadis yang mayatnya kubuang ke dalam laut. Tidak, gadis itu berambut uban.  

 

“Kaisenjyo. Apakah gadis yang berubah dan bersiung itu Nozomi?”

 

“Bijak. Dialah moyangmu. Aku telah memilih tubuhmu. Tubuhnya sudah terlalu lama dan lemah. Aku mahu tubuh baru yang kuat dan mampu kugunakan demi mempertahankan pulau ini. Dan jika engkau sudi, kita akan menyerang tanah Yamato dari sini. Aku hanya perlukan kebenaranmu, dan selepas itu, gelora laut yang menghalang kita keluar dari sini akan melenyap.”

 

Gelora laut? Apakah ia perkara sama yang menghalang Shiro dari terbang meninggalkan pulau ini?

 

“Hisamiko, aku akan sentiasa bersembunyi dalam salur darahmu sehingga engkau menerimaku. Hisamiko, ingat, Maharaja telah mengejar engkau dan abangmu dari tanah Yamato. Fikir, andai baginda tidak mengejarmu sudah pasti engkau dan abangmu masih hidup. Fikir Hisamiko, bukankah sekarang masanya untuk engkau membalas dendammu? Dengan memusnahkan baginda dan negara yang baginda bina? Bersatu denganku Hisamiko, bersatu denganku!”

 

Yamerou (hentikan)!”

 

Kaisenjyo ketawa mengilai sekali lagi. Hanya Hisamiko yang mendengar tawa itu. Dia menutup telinga dan mencangkung tatkala tawa itu semakin panjang, kuat dan merengsakan.

 

**

 

Kuro dan Nozomi

 

Musim luruh, 1378, Jepun di bawah pemerintahan Shogun Ashikawa (Ashikawa Shogunate)

 

Nara, Kansai

 

Para shogun dari keturunan Ashikawa telah memerintah Jepun di bawah nama Maharaja dalam tempoh yang singkat, sebelum perang saudara meletus dan berlarutan di Era Negeri-Negeri Berperang. Perang berlangsung sehinggalah Jepun disatukan kembali pada awal abad ke-17 di bawah pemerintahan Shogun Tetsugawa.

 

“Okuhida Nozomi.”

 

Seorang gadis sekitar dua puluhan beryukata putih dengan kedua-dua tangan dirantai dan diikat pada palang di atasnya. Kaki juga dirantai pada pemberat. Yukata putih dipenuhi kotoran tanah dan darah. Rambut panjangnya kusut masai terurai menutup dahi dan hujung bibirnya berdarah, mata dan pipi membengkak.

 

“Okuhida Nozomi, dengarkah engkau?”

 

Gadis itu masih tunduk membisu. Darah dari mulut menitik ke atas pasir di dalam kompleks mahkamah samurai atau bugyou di tengah-tengah kota Nara yang bersejarah itu. Di sini pernah bertapak istana pertama kerajaan Yamato sebelum dipindahkan ke Heian-Kyo di Kyoto pada abad ke-9.

 

Angin musim luruh 1378 bertiup sederhana namun dinginnya menggigit. Khalayak ramai mengelilingi perbicaraan yang sedang berlangsung, sengaja dijemput agar mereka kenal siapa gadis ini, agar mereka mengambil iktibar keras jika cuba-cuba mengkhianati Maharaja dan Ashikawa. Sekali-sekala gadis itu menggigil kesejukan kerana hanya yukata nipis membaluti tubuhnya.

 

Gadis ini telah dituduh sebagai pengkhianat negara.

 

“Bunuhlah aku.” Tutur gadis itu perlahan, namun masih dapat didengari bugyou di hadapannya.

 

“Okuhida Nozomi, engkau diberi pilihan sama ada dibuang ke pulau atau dibunuh. Apakah tidak engkau maklum?”

 

“Bunuhlah aku, bugyou Motoba.”

 

Hakim atau bugyou itu mengusap-usap dagu. Dia mengerling ke arah pembesar lain yang turut berada di kiri dan kanannya. Hatinya berat melihatkan gadis ini bakal dicabut nyawa. Dia difitnah demi kelangsungan politik Ashikawa. Dan dia selaku hakim tersepit di tengah-tengah. Keluarga gadis ini, keluarga samurai Okuhida, telah banyak berjasa kepada keluarganya, keluarga Motoba. Merekalah yang menaikkannya sehingga berjaya menjadi hakim di Nara ini. Sedang di sebelah neraca pertimbangannya yang lain, hasutan dan ugutan Ashikawa menggusarkan memberatkan dan cuba menggugatnya.

Novel: Yumejima (Bab 32 - Epilog)

Andai kautahu kisahku Miko... apakah engkau akan berubah fikiran dan menyokong perbuatanku?

 

Hari itu masih jelas di benakku. Ia musim luruh 1862, dan aku hanya berusia sembilan tahun. Aku diculik di tengah-tengah pekan di utara. Aku mengikut seorang pawang Emishi dalam separa sedar, aku tidak tahu mengapa. Aku terdorong mengikutnya seolah-olah dia bapaku, sedang bapa sudah lama pergi ketika perang kami dengan Emishi. Aku lupa nee-chan yang bersamaku di pekan itu.

 

Ketika engkau berusia sembilan tahun, apa yang kaulalui Miko-chan? Apakah engkau turut melalui perkara sama? Kerana aku dapat lihat sengsara di matamu. Apakah ia sengsara yang sama yang aku lalui? Ah, sukar benar mengorek kisahmu. Engkau berkata pabila ditanya dan berhenti pantas. Lupa aku engkau belum membuka sepenuhnya kisahmu. Engkau memang seorang yang pendiam. Amat pendiam.

 

Aku terpinga-pinga selepas diangkut ke dalam kereta kuda. Sedar dari pukau – yang mana aku hanya mengetahuinya kemudian dari rakan-rakan yang turut sama diculik – aku sudah berada di dalam sebuah rumah tumpangan bersama sekumpulan gadis yang kelihatan sebayaku. Aku melihat mereka ketakutan, duduk memeluk lutut dan menunduk wajah.

 

Hampir setiap hari, seorang demi seorang dari mereka dan kadangkala dalam kumpulan, diambil dan dibawa jauh meninggalkan tempat ini menaiki kereta kuda. Melihatkan pakaian lelaki-lelaki yang mengangkut mereka, jelas mereka dari puak Emishi. Aku dapat mengecam lelaki yang memukauku di pekan tempoh hari salah seorang dari mereka.

 

Suatu hari, aku bersama empat lagi tahanan diangkut ke dalam kereta kuda mereka. Kami diberi makan onigiri seorang satu sebagai sarapan. Perjalanan agak jauh merentas bendang dan hutan belantara selatan. Separuh hari kami dibawa menaiki kereta kuda itu, sehinggalah kami tiba di sebuah kawasan laluan pedagang. Mereka memesong ke laluan di satu simpang menuju ke tepi sebatang anak sungai. Di sana sekumpulan tiga lelaki sedang menunggu kami dengan kereta kuda. Salah seorang dari tiga lelaki itu memakai lilit di kepala dan hitam kulitnya serta tinggi dan tegap tubuhnya.

 

Mereka bercakap-cakap beberapa ketika. Buah butirnya ialah berkenaan berapa harga yang ditawarkan pemerdagang Emishi itu untuk setiap kepala kami. Dua ekor kuda bersamaan satu kepala kami, itu yang jelas di telingaku. Kami dijual seperti binatang ternak.

 

Kami diangkut ke dalam kereta kuda lelaki yang menunggu. Pemerdagang Emishi itu beredar dan aku tidak pernah bertemunya lagi sejak saat itu.

 

Ojii-san, ke mana kami akan dibawa?” Aku memberanikan diri bertanya lelaki berlilit kepala yang kuagak ketua mereka.

 

Lelaki itu tidak menjawab. Rakan-rakanku yang lain hanya tunduk membisu seperti biasa. Semua ketakutan.

 

Ojii-san, onegai. Aku mahu pulang bertemu nee-chan. Onegai!”

 

“Diam!” Tengking lelaki itu.

 

Aku menangis dan meraung. Gadis-gadis lain hanya diam dan memandangku. Seorang gadis yang kecil tubuhnya, duduk di sebelahku, menepuk belakangku. Dia memperkenalkan dirinya, bernama Himawari. ­­Kemudian datang seorang merapati, bernama Kanako, dan seorang lagi bernama Yuri. Dan seorang lagi yang suka diam menyendiri bernama Kumiko.

 

Kami tiba di perkampungan nelayan di Ishikawa. Kami dibawa menaiki bot-bot kecil ke sebuah kapal besar. Aku meraung-raung lagi sehingga kaki dan tanganku diikat dan kami dibawa ke dalam kapal besar.

 

“Aku ambil loket ini. Mulai hari ini engkau akan dilupakan, dan engkau lupakanlah semuanya tentang negara ini.” Kata lelaki berlilit kepala kepadaku selepas memotong loket di leher pemberian kakakku. Dia meletakkan loket itu pada penyepit rambutnya dan menyeringai memandangku. Aku menangis sekuat hati. Itu satu-satu pemberian kakakku. Sampai hati dia mencurinya. Tergamak dia!

 

Pernahkah engkau direnggut semua ingatan terhadap orang yang kausayangi, Miko? Loket itu kecil maknanya pada lelaki itu namun hanya itu sahaja memori nee-chan yang masih aku miliki.

 

Sejak saat itu aku tidak pernah lagi bertemu lelaki berlilit kepala. Kami berlayar sehingga ke Semenanjung Joseon.

 

Di Joseon, aku dihantar ke sebuah rumah geisha di sebuah pekan pelabuhan bernama Busan. Aku dilatih oleh seorang yang kupanggil ‘okaa-san’, bersama empat gadis yang bersamaku dalam kereta kuda itu. Kami dilatih sehinggalah cukup umur untuk melayan lelaki pada usia enam belas tahun. Sejak mula dipaksa melayan lelaki, aku mula merasa betapa gelapnya hidup di sini. Aku dalam enggan terpaksa merelakan tubuhku digomol diratah lelaki-lelaki dari pelbagai bangsa, ramainya dari Joseon sendiri dan ada sekali-sekala pedagang dari tanah tumpah darahku Jepun. Ada yang datang dari Qing juga, dan mereka pembekal candu kepada rumah ini.

 

Ada antara kami yang mulai menghisap candu demi melupakan kejijikan demi kejijikan yang dipaksakan ke atas kami. Aku mahu melarikan diri namun bagaimana? Dengan samurai berkawal di luar? Aku tidak tahu, aku tidak tahu ehwal selok belok di luar kerana aku tidak pernah keluar sejak tujuh tahun lepas. Aku hanya makan dan tidur di dalam rumah ini. Dan aku tidak biasa dengan negara asing ini yang bahasanya sungguh berlainan.

 

Semuanya gelap. Apa harapan lagi yang tinggal?

 

Setiap hari aku berdoa. Aku pinta dari-Nya agar membuka sinar harapan di hujung terowong.

 

Himawari tempat aku selalu bercerita. Himawari banyak mendengar. Umurnya muda tiga tahun dariku. Pada hari pertama dia mula melayan lelaki, dia menangis di bahuku. Kemudian lama-kelamaan dia seperti sasau, bernyanyi seorang diri dan mula menghisap candu.

 

Satu ketika, dia mendapat pelanggan tetap. Kerapkali hanya pelanggan itu yang membawanya keluar dari rumah kami. Dia mendapat penyakit kelamin tidak lama selepas itu dan pergi meninggalkan kami pada usia yang sangat muda. Dia tidak mengambil ubat sakit kelamin yang disuguh kepada kami, kerana dia membenci kesan sampingannya. Itu kufikir penyebab dia dijangkiti.

 

Aku mencuri menyemak buku pelanggan yang okaa-san simpan. Aku tahu siapa mereka. Mereka dari Jepun, dari negara kami sendiri. Aku pasti mereka akan datang lagi ke sini, mencari gadis lain sebagai pengganti Himawari. Aku lihat Kanako dipilih. Namun kali ini bukan setakat Kanako, aku dan Yuri turut diambil sama. Mereka mahu melanggan kami selama berbulan pelayaran ke selatan. Mereka akan melalui Taiwan dan kemudian pulau Luzon. Aku menggetap bibir, mahu sahaja aku potong kemaluan mereka semua. Namun tidak, aku harus menunggu peluang.

 

Yuri kelihatan gembira, kerana dia dapat keluar melihat tempat lain. Namun aku rungsing. Kami akan berada di atas kapal itu berbulan, mengikut ke mana sahaja pedagang itu pergi. Di Taiwan, mereka tersalah lokasi berlabuh. Maka kami terpaksa menunggu dan menaikkan bendera meminta pertolongan.

 

Satu kapal peronda dengan bendera Qing tiba. Mereka memperkenalkan diri sebagai peronda laut Qing dan menawarkan untuk membawa kami ke pelabuhan yang betul. Di kala sesat itu kami terpaksa bermalam di khemah-khemah dan itulah pertama kali aku berpeluang melihat pantai yang luas sejak aku dikurung di Joseon. Kala itulah juga pertama kali aku merasakan kebebasan yang telah lama hilang, sejak aku mula diculik. Perasaan mahu melarikan diri memuncak. Aku cuba melarikan diri, namun amat sukar kerana dibatasi para pengawal.

 

Yuri menangis-nangis tatkala kami diarahkan naik ke kapal untuk ke pelabuhan Taiwan. Aku cuba menenangkan. Namun tindakan ganas pengawal menolaknya masuk membuatkan dia tambah berang, dan tatkala kesempatan muncul dia pantas berlari dan melompat turun ke laut. Aku terkesima. Aku perhati dia perlahan-lahan ditelan arus lautan yang menggila. Kali terakhir gambaran wajahnya tenggelam timbul dengan tangan melambai-lambai sungguh memilukan hati. Aku menangis berhari-hari sehingga kering air mataku dan yang tersisa hanya sendu dan api dendam.

 

Saat itu dendamku mula diselaputi rasa benci yang membuak-buak terhadap mereka. Aku mahu menyapu bersih semua binatang yang menahan kami sejak dari Joseon ini. Namun aku perlukan kekuatan. Aku hanya diam dan sugul tatkala duduk bersandar di dalam bilik kapal. Dua rakanku sudah pergi. Giliranku pasti akan tiba jua nanti, cepat atau lambat. Aku tidak mahu mati selagi aku belum bertemu nee-chan. Nee-chan, nantikan aku. Bersabarlah. Aku pasti akan bertemumu jua.

 

Kami sampai di pelabuhan Taiwan. Aku melihat peronda Qing itu memanggil rakan-rakannya, dan meminta upah dari kru kapal kami. Katanya, dia sebenarnya tidak mewakili Qing dan kerajaan Qing tidak mengawal pulau Taiwan ini meskipun meletakkan di bawah jajahannya. Kami membayarnya. Dari itu aku dapati penguasaan Qing di sini lemah. Mungkin sebarang malapetaka yang menimpa kami tidak akan dilayan. Aku mula berfirasat akan perkara-perkara buruk jika kami dianiaya penjenayah.

 

Dalam kumpulan kami berlima, kini hanya Kumiko dan Kanako yang masih bersamaku. Selain kami adalah wanita baru yang dibawa dari Joseon. Kami tidak rapat dengan mereka. Masing-masing hanya berbicara dan bergaul rapat dengan rakan yang mereka kenali sahaja. Kami semua ketakutan dan berada di luar Jepun. Rasa percaya kami amat terbatas. Pandangan kami pesimistik.

 

Kami bertiga dihantar ke rumah penginapan di pinggir bandar pelabuhan itu. Pelabuhan di Taiwan itu yang dinamakan Tamsui diselia pegawai dari Qing. Di sini ramai pedagang Eropah datang untuk membeli teh, gula tebu, belerang, candu, celupan ‘dye’ dan kapur barus serta produk eksport lain buatan empayar Qing. Juga, Taiwan ialah pulau yang jauh di selatan dan iklimnya sesuai untuk pelbagai jenis tanaman, seperti tebu dan buahan. Disebabkan itu, pedagang Belanda yang tidak dibenarkan memasuki tanah besar Qing membuat pangkalan di sini pada abad ke-17 lepas dan menanam tebu sebanyaknya sehinggakan tebu menjadi salah satu eksport utama pulau ini, dan diteruskan kemudian oleh pendatang Han dari tanah besar Qing dan petani orang asli di sini. Begitulah sejarahnya yang kubaca dan kudengar dari pedagang.

 

Kanako memberitahu dia teringin memakan tebu selepas kami melalui pasar di situ. Dia berasal dari utara namun jauh dari kampungku. Kampungnya lebih dekat dengan Selat Tsugaru. Barangan dari selatan yang salah satunya tebu amat sukar ditemukan di pasar-pasar di utara. Aku cuba memberitahu dan mendesak Kazumasa, lelaki yang mengawal kami agar berhenti sebentar di pasar untuk membeli tebu, namun Kazumasa tidak membenarkan.

 

Kanako bermuram muka. Dahulu sewaktu kami di Joseon dan mendapat berita kami akan dibawa berlayar, dia juga teruja seperti Yuri. Namun tatkala dikawal dan dikongkong dari sekadar membeli-belah cuma, dari sekadar mencuba makanan baru cuma, dia jadi berang. Dia mencuri keluar dari rumah penginapan kami tanpa pengetahuanku. Ketika dia berjalan seorang diri dia diculik. Esoknya sampai laporan kepada kami dia dibunuh penyamun dan rantai emasnya dilarikan. Aku melihat mayatnya dan sejurus itu aku mengecamnya. Aku mendesak Kazumasa agar melaporkan kepada wakil kerajaan Jepun di situ. Namun Kazumasa mengatakan, “Dia hanya pelacur. Dan fikirlah jika aku melaporkan, apa akan terjadi pada hubungan Qing dengan Jepun?”

 

Menyirap darahku tatkala mendengarnya. Aku lagi mendesak, bahkan memegang kaki Kazumasa. Kazumasa menendang perutku dan berkata lagi, “Oi, Mine. Itu bukan salahku. Bukankah telah aku ingatkan kalian agar jangan curi-curi keluar? Sekarang salah siapa dia mati, ha?”

 

“Engkau diamkan sahaja perkara ini, ne? Atau engkau aku bunuh!” Kazumasa mengugut, kemudian dia meludah seraya berlalu pergi.

 

Aku benar-benar kecewa. Kanako hanyalah rakanku. Kami juga manusia, bahkan kami tidak diminta bekerja sebagai pelacur. Kami telah diculik, dijual seperti ternakan dan dipaksa melayan lelaki. Kami berhak mendapat perlindungan undang-undang sepertimana rakyat Yamato yang lain.

 

Esoknya aku membaca satu surat yang ditinggalkan di futon Kumiko. Dia memberitahuku dia telah mengikut satu kumpulan pedagang Qing yang membelinya. Katanya dia tidak akan kembali lagi ke Jepun dan Joseon, dan terus tinggal di Qing. Aku tahu, Kumiko dijual demi menampung hutang yang dibayar kepada ‘peronda Qing’ palsu tempoh hari. Aku fikir, pedagang yang melanggan kami sudah pun memesong jauh dari persetujuan asal dengan pemilik kami di Joseon. Nampaknya aku tidak akan kembali ke Joseon lagi, kecuali jika aku melarikan diri.

 

Selepas kematian Kanako dan Kumiko dijual, aku berseorangan. Aku nekad mahu melarikan diri. Aku menyelinap masuk ke kapal lain. Namun Kazumasa ternampak dan aku ditangkap. Aku dipukul dan dikurung sehingga bengkak-bengkak. Mereka membiarkan aku dirawat tabib kapal. Selepas itu kakiku dirantai dan aku hanya dibenarkan ke mana-mana dalam lingkungan rantai itu. Mereka tidak menyentuhku sejak aku dipukul, namun beralih perhatian kepada wanita lain yang baru dibeli di Taiwan. Aku dibiarkan dirantai di dek bawah, di tempat menyimpan arang.

 

Aku berdoa berhari-hari, tidak putus-putus. Dan tidak semena-mena kapal itu dipukul ribut dan terdampar di sebuah pulau yang aneh.

 

Tidak lama selepas itu, aku bertemumu Hisamiko di tempat yang aneh dan perlakuanmu yang aneh. Pertama kali aku bertemu seorang wanita sepertiku, namun tahu bertarung.

 

Sejak bertemumu Miko, aku bilang tiada lagi hari yang lebih indah dari hari-hari kita bersama. Aku melihat harapan pada dirimu. Aku yakin wanita mampu bertarung dan menewaskan bangsat-bangsat itu. Saat itu aku fikir aku tidak lagi perlu mengalah dan hanya memendam kebencian ini di sudut hati. Aku yakin, aku mampu menzahirkannya, demi Himawari, Kanako dan Yuri.

 

Namun kegembiraan itu tidak mampu menyembuhkan luka lamaku yang kian bernanah. Aku tidak mampu, aku hanya manusia yang lemah, Miko.

 

Engkau tahu, Miko.

 

Setiap kali aku memukul besi itu sehingga pipih dan berkilau, setiap kali itu aku membayangkan aku akan menetak bangsat-bangsat itu dengan bilah yang akan terhasil ini.

 

Setiap kali aku penat tatkala percubaan mengeluarkan besi dari bijihnya gagal, dan aku berasa lemah untuk membina kembali relau tanah liat itu, setiap kali itu wajah-wajah Yuri, Himawari dan Kanako muncul bersilih ganti dalam benakku, mendorong tulang empat kerat dan sendi yang masih bersisa kudrat kecil ini dikerah mengangkut tanah-tanah itu dan mengacunya.

 

Aku kepalkan tekad demi dendam ini, semasa tangan ligat mengepal tanah liat menjadi relau. Aku yakin aku mampu menghasilkan sesuatu. Aku yakin aku dapat beroleh sesuatu darimu Miko.

 

Apakah engkau pernah merasa keperitan ini Miko? Apakah kaufaham apa yang aku rasakan?

 

Sejujurnya aku benar-benar ingin tinggal denganmu di sini. Kala hari itu, aku fikir aku sudah melupakan dendamku itu. Nanah luka lama kian kering dan memarut. Aku bilang masa akan menyembuhkannya, dan kehadiranmu akan menghilangkan parutnya.

 

Namun mengapa mereka tiba di sini Miko? Mengapa tidak sahaja mereka hilang ke mana-mana belahan bumi? Mengapa mereka datang ke sini dan mencucuk jarum ke dalam luka lamaku Miko?

 

Dan aku berdiri di hadapan lelaki yang telah menolak Yuri dan membangkitkan kemarahannya. Yuri berang dan lari terjun ke laut. Dan lelaki ini sedang enak menghirup teh bersama ketuanya. Aku tidak berlengah dan melibas pedangku. 

 

Dan aku berdiri di hadapan lelaki yang mengetuai rombongan pedagang yang membawa kami ke Taiwan dahulu. Dia bertanggungjawab melaporkan kes bunuh Kanako kepada wakil kerajaan Jepun di Taiwan namun dia mendiamkan diri. Aku libas pedang ke lehernya. Ada dua tiga orang di dalam khemah itu terkesima seraya cuba membunuhku dengan pistol, namun dengan kaminari-mu Hisamiko, aku menewaskan mereka seperti angin lalu.

 

Sekarang di mana Kazumasa? Aku tidak pernah bertemunya lagi sejak kakiku ditusuk pisaunya. Ah, itu semua tidak lagi penting. Aku telah menghapuskan semua musuh yang telah muncul di hadapan mataku. Yang tersembunyi itu tidak penting. Aku mahu pulang, Hisamiko. Hanya itu sahaja yang aku mahukan sekarang. Aku mahu pulang!

 

 

*****

 

TAMAT

 

BUKU III: YUMEJIMA

 

ARKA I: HISAMINE

 

SETERUSNYA

 

BUKU III: YUMEJIMA

 

ARKA II: KAISENJYO

 

Novel: Yumejima (Bab 31)

“Mine, Mine!” Laung Hisamiko. Dia sedang berada di atas dek kapal para pendatang baru yang telah dibunuh Hisamine itu.

 

Tiada bunyi. Hisamiko turun ke tingkat bawah kapal.

 

Alangkah terkejutnya dia mendapati dalam bahagian yang malap diterangi cahaya pelita itu, sekujur tubuh wanita dengan yukata koyak rabak tersandar pada dinding. Peha dan buah dadanya separa terdedah di balik koyakan yukata, petanda dia telah dinodai. Tambah meruntun rasa, Hisamiko amat mengenali yukata ini.

 

Dia mengambil pelita di tepi dan menerangi wajahnya. Bercalar-balar dengan luka di bibir dan bengkak matanya. Jelas dia Hisamine. Tubuhnya menampakkan lebam dan calar, di bahagian yang terkoyak. Ada kesan darah menitik dari pintu masuk sehingga ke pinggangnya yang masih ditekup tangan. Darah masih mengalir di celah-celah jari tangan yang menekup.

 

Ada jaring yang sudah terkoyak pada kakinya dan selebihnya tersadai di tepi. Bilik ini sungguh gelap tanpa pelita, dan ruangnya sungguh sempit dan pintu masuknya dari tapak dek di atas agak kecil.

 

“Hisamine, apa yang berlaku?”

 

“Miko, maafkan aku. Maafkan aku.” Hisamine mengulang-ulang. “Aku terburu-buru...”

 

“Apakah mereka telah...” Hisamiko tidak sanggup meneruskan soalannya. Hisamine hanya mengangguk dalam lemah.

 

Menyirap darah Hisamiko tatkala Mine mengiyakan bahawa dia dinodai.

 

“Hisamiko,” tegur Mine, “Nyawaku tidak lama... engkau harus pulang tanpaku...”

 

“Belakangmu...” Bisik Hisamine dalam lemah dengan jari telunjuk menuding. Sejurus itu mata Hisamine terkatup rapat. Hisamiko meletak sejenak jarinya di bawah hidung Mine, namun tiada lagi nafas dihela. Segala di sekelilingnya hitam sehitamnya. Satu-satu tempat dia menyandarkan rasa dan melepas tekanan, Hisamine sudah tiada. Satu-satu tempat dia mencurahkan kasih sayang dan mengenal erti persahabatan yang belum pernah ditimba sepanjang umurnya, kini telah pergi buat selama-lamanya.

 

Hisamiko tidak dapat berfikir lancar, tangannya seolah-olah bergerak sendiri dan sebaik dia menyedarinya, pedangnya sudah membelah perut seorang lelaki yang sedang bersedia menikam leher dengan tantou-nya di belakang. Dua lelaki yang menyusul mudah ditetak kedua lehernya, putus bergolek kepala mereka. Hisamiko meloncat ke atas dek, melibas pedang dari kesan darah. Dia menjerit sekuat hatinya. Dia meraung sekuat hati dan suaranya berbalam-balam menerjah gelora laut di dalam pekat senja yang menyerlahkan cahaya kirmizi jauh di ufuk.

 

“BERSATU DENGANKU HISAMIKO. BERSATU DAN SUBURKAN KEBENCIANMU.”

 

“Siapa engkau?!”

 

Suara itu ketawa. Ia suara sama yang membisik ke telinganya tatkala dia melepaskan diri bersama Ryouji dahulu dari orang-orang Yato.

 

“BERSAMA KITA AKAN MENGHALAU MEREKA DARI PULAU INI. BERSATU DENGANKU WAHAI ANAKKU.”

 

Aku sudah tidak peduli. Aku sudah tidak peduli!

 

“MAKA ENGKAU BERSETUJU. MARI, PEGANG TANGANKU.” Kelibat seorang wanita berambut putih dengan siung terkeluar dari rahang atas, sungguh muda jelita dalam yukata putih dengan bentuk lengkuk badan yang menguja gelora nafsu lelaki, menjelma di hadapannya disinar terang rembulan purnama yang kini menerangi langit malam.

 

Hisamiko benar-benar memerlukan seseorang kini. Bukan Shiro, bukan. Shiro hanyalah peliharaan yang tidak memahami jiwa manusia. Shiro tidak mampu meredakan nestapa yang menikam sanubari ini.

 

Hisamiko menyambut tangan itu tanpa dia sedari, seraya menyahut, “Ibu.”

 

Kelibat itu menghilang dan Hisamiko pengsan.

 

**

 

Gelora laut yang menggoncang kapal dan terang mentari mengejutkan Hisamiko dari pengsan. Mayat-mayat di tingkat bawah sudah pun mulai berbau. Hisamiko membuang mayat lelaki-lelaki itu dan memapah mayat Hisamine menuruni kapal.

 

Namun ada satu mayat wanita yang tidak pernah dia temui, di atas dek. Mayat itu sungguh menakutkan rupanya, dengan siung pada bibir atas dan rabun panjang putih, bersarung yukata serba putih. Dari wajahnya dan bentuk tubuhnya, dia berusia dalam sekitar dua puluhan. Tekstur kain yukatanya juga amat berlainan, seperti seolah-olah kain yukata yang digunakan lima ratus tahun dahulu di zaman Shogun Ashikawa.

 

Hisamiko terkejut besar tatkala mengamati wajah itu, bahawa ia sama dengan lembaga yang muncul semalam. Apakah ia sudah mati?

 

Hisamiko turut membuang mayat lembaga itu ke dalam laut. Fikirnya, dengan membuang ke laut, lembaga itu tidak akan lagi mengganggunya.  

 

Dia membawa mayat Hisamine sehingga ke sebelah kubur abangnya di atas tebing tinggi di muka hutan gelap, dan mengebumikannya di situ.

 

**

Novel: Yumejima (Bab 30)

“Tapi, ia.... engkau pun tahu bukan?”

 

“Ya, aku tahu.” Aku tahu sukar manusia lain menerima kewujudannya kelak. Seekor binatang seakan anjing gergasi berbulu lebat dan berwajah serigala. Pasti kerajaan Maharaja bakal menghalau Shiro atau mungkin membunuhnya.

 

“Dan bukankah ia sudah lama di sini? Aku yakin ia boleh bertahan di sini tanpamu Miko.”

 

“Bukan itu maksudku. Ia bukan binatang biasa, Hisamine. Ia seperti manusia, ia tahu berbicara dan menulis.”

 

“Itu aku tahu. Apa maksudmu sebenarnya?”

 

“Aku fikir ia punya perasaan. Ia sunyi dan mahu aku terus tinggal di sini. Sekurang-kurangnya aku dapat merasakannya sepanjang tinggal di lembah ini. Mine, aku harap engkau memahamiku.” Hisamiko merayu.

 

Selepas diam beberapa ketika merenung wajah Hisamiko, Mine memutus sesuatu.

 

“Begini, kita boleh merancang bersama bagaimana membawa Shiro.”

 

“Shiro tidak boleh dibawa keluar.” Hisamiko melepaskan apa yang cuba dirahsiakan. Dia perlu berterus-terang atau Mine akan berterusan mendesaknya lagi.

 

“Apa maksudmu Miko?”

 

“Shiro...setiap kali ia terbang keluar, ada angin yang akan menolaknya kembali ke pulau. Itu yang aku dapati tatkala terbang dengannya.”

 

“Angin?”

 

“Aku tidak tahu dari mana datangnya. Seolah-olah Shiro dihalang dari keluar meninggalkan pulau ini. Itu yang dia beritahu kepadaku.”

 

Hisamine tunduk sambil menekup muka dengan sebelah tangan. Kemudian dia berlari ke hujung pantai, mungkin merajuk.

 

Hisamiko mengejarnya.

 

“Mine, maafkan aku.”

 

Lama Hisamine berdiam merenung laut lepas sehingga ke ufuk. Hari masih panjang dan matahari belum pun mencecah dada langit.

 

“Miko, maafkan aku juga berbolak-balik. Aku tidak tahu mengapa, selepas aku melihat kapal itu aku teringin benar pulang ke Jepun. Bagaimana Hisamiko, bagaimana jika engkau di tempatku, bagaimana akan engkau singkirkan rasa rindu yang bergejolak ini, Miko? Miko!” Hisamine menggoncang-goncang tubuh rakannya yang kecil itu.

 

Hisamiko memeluk erat Mine. Jelas esakan Mine kedengaran di telinganya perlahan. Ada getaran keletihan dari esakan itu, Mine sudah terlalu lama bersedih. Entah masih ada air mata yang mampu keluar, entah tidak.

 

Dari kejauhan di atas satu tebing tinggi yang mengunjur ke laut, sebatang tubuh bersarung yukata serba putih dengan bentuk badan menggiurkan seorang wanita berdiri sambil memeluk tubuhnya, rambut uban yang panjang melambai-lambai ditiup bayu. Wajahnya menyeringai menampakkan taring yang keluar sedikit dari bibir atas. Telinga panjang menikam udara keluar dari celah uban.

 

“Bagus. Teruskan mengikat hubungan kalian. Tatkala hubungan kalian menguat di kemuncaknya, aku akan pastikan gadis yang tinggi sedikit itu dibunuh manusia upahanku. Dan engkau Hisamiko, akan menjadi milikku kala jiwamu lemah. Engkau tidak perlu membunuh dirimu Miko. Kala engkau lemah, aku masih boleh berkongsi jasad dengan rohmu.”

 

“Tomokazu, apa lagi yang kautunggu, bersedia dengan panahmu.”

 

“Baik, Kaisenjyo.”

 

**

 

“Akhirnya, bilah yang sekian lama aku tempa.... sekian lama kutempa...” Mata Hisamine berseri-seri melihat pedang yang sudah disiapkan.

 

“Wah. Bukankah aku lihat engkau tidak berhenti mengetuk ketulan-ketukan itu?”

 

“Ya. Itu besi tulen yang belum ditempa. Selepas mengetuknya berhari-hari dengan batu-batu sungai itu, aku meleperkannya sehingga berkilat. Ini pedang pertama ciptaanku Miko.”

 

Hisamine mengambil batang buluh yang sudah dibentuk sempurna sebagai sarung pedang, dan menyarung bilah itu sebaik pemegangnya dipasang.

 

“Apakah aku kelihatan seperti samurai?”

 

“Ya. Samurai Goryuuin!”

 

Mereka ketawa.

 

“Ayuh Hisamiko, ikut aku.”

 

“Engkau mahu ke mana Hisamine?”

 

“Ikut sahaja.”

 

Hisamiko mengikut sahaja. Mereka melalui hutan gelap dan menuruni tebing tinggi sehingga ke kawasan lombong emas.

 

“Mengapa ke sini Mine-chan?”

 

“Aku mahu masuk mencuri barangan mereka. Kita kurang pakaian.”

 

“Ha? Hisamine, usah cari penyakit.”

 

Hisamine tidak mengendahkan saranan Hisamiko. Kala mereka mengintai dari balik belukar, Hisamine menjegil.

 

“Mengapa Mine?”

 

“Mereka pedagang yang bersamaku dahulu. Aku tak sangka mereka terselamat! Miko, ayuh!”

 

“Untuk apa?”

 

“Jurus kedua. Kita akan tebarkan mereka jauh ke laut.”

 

“Aku tak mahu, mereka tak mengapa-apakan kita pun.”

 

“Jika kau enggan tak mengapa, Miko. Aku akan melakukannya sendiri.”

 

“Mine, tunggu!” Miko cuba menegah, namun Mine sudah jauh kerana berlari pada jurus pertama kaminari.

 

Hisamine berlari dengan pedangnya.

 

Di pandangan mata Hisamiko, Mine berlari jauh ke arah lain. Apa yang cuba dilakukan? Sedangkan markas para pelayar itu di hadapan mata mereka.

 

Tidak lama kemudian, Hisamiko mendengar di balik belukar bunyi dentingan pedang dan raungan demi raungan. Ia berlaku sungguh pantas dan sejenak. Beberapa orang ahli rombongan kapal itu rebah dengan kesan kelaran dan tetakan. Darah membanjiri sekitar tapak markas mereka.

 

Hisamiko perlahan-lahan keluar dari belukar, dan berjalan mendekati kawasan tempat pelayar itu berkhemah. Dia menutup mulut tatkala pemandangan ngeri di hadapan jelas terhidang di hadapan mata.

 

Hisamine keluar dari sebuah khemah dengan pedangnya dibasahi darah, masih menitik. Tubuhnya tiada kesan cedera langsung.

 

“Aku telah bunuh mereka semuanya. Puas hati aku. Dendam Himawari, Yuri dan Kanako, sudah terbalas!”

 

“Mine!” Miko meluru dan menampar rakannya. “Mereka tidak menyerang kita langsung! Apa yang dah kaubuat Mine? Bukan ini yang mahu aku lihat selepas mengajarmu kaminari!”

 

Hisamine menyeringai. Di balik rambut yang sedikit terlerai dari ikatan dan menutup mata, ada mata setajam renungan ular. Merah, penuh bara dendam yang sekian lama terpendam dan sekarang membakar marak. Wajahnya merah. Hisamine tidak seperti yang biasa dikenalinya. Ia kemarahan terpendam yang membara sekian lama di sudut terpencil hati. Ia luka lama yang meruah kembali. Dan mata itu. Ia kembali menyala membara seperti yang pernah Hisamiko lihat.

 

“Engkau tidak akan faham Miko! Engkau tidak pernah hidup dilacurkan sepertiku sejak kecil! Dan aku, aku akan tinggalkan pulau ini juga!”

 

“Pergilah!” Miko menengking dalam derau amarah.

 

“Baiklah, tapi Miko...” Mine memegang pipi putih gebu Hisamiko, kesan darah dari tangan Mine mengotori wajahnya. “Engkau tetap satu-satu sahabatku. Dan aku tetap menyayangimu. Jika engkau berubah fikiran mahu mengikutku, datanglah ke kapal mereka ini. Aku menunggumu di sana. Bawa Shiro sekali, itupun jika sumpahannya terlerai. Sayounara.” Kemudian Hisamine perlahan-lahan melepaskannya.

 

Hisamiko melihat Hisamine perlahan-lahan meninggalkannya, melenyap ditelan ufuk pantai. Jelas Hisamine sedang menangis tatkala lengannya diangkat menenyeh mata.

 

Air mata Hisamiko mengalir deras tanpa dia sedari. Hisamine, berat. Sungguh berat hati ini menerima perbuatanmu. Bukan perang yang kumahukan. Bukan onar ini yang kumahukan! Tidak pernah terlintas di hatiku melatihmu kaminari dan engkau menggunakannya untuk dendammu. Hisamine.... Hisamine... Hisamine...

 

Hisamiko mengulang-ulang menyebut nama rakannya sedang matanya merenung pasir, dia terlutut. Kedua-dua tangannya memagut dada yang sesak dan perit. Sendunya masih berlagu berselang-seli dengan bunyian unggas dan cengkerik hutan. Matahari mulai turun dari dada langit.

 

Sejarah telah berulang kembali. Manusia yang melakukan kesilapan jelas tidak belajar dari sejarah. Bagaimana Ryouji dahulu telah melatih seorang pembunuh yang membunuh penjaga mereka.

Novel: Yumejima (Bab 29)

Tomokazu teringat saat awal selepas dia diselamatkan Kaisenjyo dan Kuro dijinakkannya. Dia berbaring di tempat sama tika itu, menengadah langit. Kaisenjyo telah mengarahkannya membunuh seseorang yang akan tiba puluhan tahun akan datang, sebagai balasan. Tomokazu memikirkan arahan itu, menyoal diri mengapa tidak Kaisenjyo melakukannya sendiri.

 

“Bukan aku tidak mahu melakukannya sendiri, Tomokazu.” Tersedak Tomokazu tatkala mendengar suara itu. Suara lunak seorang gadis. Tomokazu mengiring. Terkejut bukan kepalang dia. Gadis uban berdiri di sisi.

 

“Nozomi, e to, Kaisenjyo... bila kau tiba di sini?”

 

Kaisenjyo pura-pura tidak mendengarnya seraya menyambung, “Itu syaratku yang diletak Amaguri. Aku hanya boleh memanipulasi sesiapa agar membunuh orang penting dalam hidup gadis calon itu. Aku tidak boleh membunuhnya sendiri. Jika aku melakukannya, jasad gadis itu tidak akan dapat aku tempati.”

 

Kaisenjyo berhenti sejenak dan berjalan mendekati Tomokazu, kemudian menyambung pendek, “Tiada jalan mudah untuk mencapai sesuatu yang berharga. Risiko tinggi untuk pulangan tinggi, dan sebaliknya untuk pulangan rendah. Risiko tinggi untuk mendapat emas di sini berlayar menentang badai menongkah arus, risiko rendah untuk hidup seperti biasa di Jepun. Ingat itu.”

 

Kaisenjyo senyum sinis dan melenyap, terbang turun ke bawah di tepi pantai.

 

Senyuman sinis Kaisenjyo hinggap di benak Tomokazu buat beberapa ketika dan menyelubung seperti seekor labah-labah besar menyelubung seluruh wajah dan kepalanya. Seram dan menggentarkan jantung.

 

Pulangan tinggi. Aku mahu semua emas-emas di sini dan jaminan keselamatan sehingga aku dan emas itu tiba di Jepun dan disimpan dalam khazanahku. Aku fikir hanya Nozomi yang mampu melindungiku selama aku di sini.

 

Ya, pulangan tinggi itu menuntut risiko yang tinggi. Risiko yang tinggi sehingga nyawaku terkorbankah? Apakah aku sanggup memperjudikan nyawaku demi hidup yang singkat dengan kemewahan?

 

Dan yang lebih penting, apakah Nozomi akan membelotku? Yalah, perjanjian kami berat sebelah. Sudahlah aku dua kali diselamatkannya; dari Genjirou gila itu dahulu, dan kemudian aku diselamatkan dari Kuro. Tidak, aku tidak diselamatkan dari Kuro, aku dijadikan tawanan Kuro! Bila-bila masa sahaja Nozomi boleh mengarahkan Kuro membunuhku.

 

Ternyata Nozomi terlalu berkuasa dan mampu membunuhku sekelip mata sahaja. Mungkin aku juga akan dibunuh agar emas-emas itu tidak dibolotku keluar.

 

Tidak, aku yakin benar dia tidak mahu emas-emas itu.

 

Sebentar, bukankah emas-emas itu satu-satunya umpan bagi menarik pelayar ke sini? Bukankah jasad-jasad yang ditempati Kaisenjyo akan melemah dan dia memerlukan jasad baru setiap lebih kurang lima ratus tahun? Maka wajarlah jika aku katakan bahawa emas itu masih diperlukannya sebagai umpan.

 

Apapun, itu cuma kebarangkalian. Aku tidak tamak seperti Genjirou. Aku hanya mahukan sedikit sahaja. Sedikit sahaja untuk meneruskan hidup di Jepun. Tidak luak sedikitpun dari bongkah yang bertimbun di tepi sungai itu.

 

Jauh di bawah di tepi pantai, Kaisenjyo tersenyum sinis usai membaca fikiran Tomokazu.

 

Engkau benar jujur Tomokazu. Engkau tahu aku hanya boleh membaca fikiran engkau seorang di sini. Dan engkau masih tenang tanpa langsung berselindung dengan apa yang kaufikirkan dalam benakmu. Sehingga angan-angan senggamamu denganku pun engkau tidak sembunyikan langsung!

 

Kaisenjyo meludah pada pasir, jijik dengan fikiran kotor Tomokazu. Lelaki.

 

Hah, selepas tamat perancanganku aku akan membunuhmu jua, kerana engkau akan menyebarluas berita kewujudanku di sini. Tak guna si Amaguri nee-chan kerana meletak syarat begitu! Mengapa tidak sahaja dia mudahkan jalan untukku melangsungkan hidup yang sudah lebih dari sealaf ini?

 

**

 

Hisamiko mendaki salah satu bukit yang mengelilingi lembah itu. Hisamine pula sedang sibuk menempa besi-besi yang baru dihasilkannya dari relau tanah liat dengan penukul batu. Dia mahu menghasilkan bilah secepat mungkin.

 

Sudah sebulan dia menempa besi-besi itu. Tika di awalnya, dia seringkali sakit-sakit badan di waktu malam, namun selepas sebulan, fizikalnya semakin kuat. Alah bisa tegal biasa. Dia mula yakin menuruti latihan Hisamiko dan mempraktikkannya. Oleh kerana Hisamiko tidak tahu mengajar dari asas, maka dia harus mencipta sendiri asas itu di benak.

 

Namun dengan bilah yang masih sedang ditempa, dia tidak boleh mempraktikkannya di dunia nyata jika benar-benar diserang. Namun masih dia tersenyum, mengingatkan bagaimana dia menangkap ilmu kaminari daripada Hisamiko. Bahkan dia menguasai jurus kedua yang mampu menghasilkan ribut. Hisamiko mengatakan mereka berdua serasi maka jurus itu mudah dicapai tanpa pembaziran tenaga yang besar. Buktinya dia tidak penat selepas melakukannya.

 

Aku perlukan pedang secepat mungkin. Sudah enam bulan aku terdampar di sini. Mengapa masih tiada kapal terdampar di sini? Sepatutnya jarum kompas mana-mana kapal akan terkesan oleh bukit hitam itu dan membawa mereka ke sini. Aku mahu menyelinap ke dalam kapal dan mencuri pakaian dan pedang mereka. Atau senapang mereka. Mudah untukku menirunya nanti di sini.

 

Hisamine berhenti sejenak dari kerja-kerja pertukangan dan bergegas menuju ke bukit hitam.

 

Tatkala itu baru dia perasan sesuatu, kompasnya hilang. Di mana kompasku?

 

Hisamiko berlari-lari dari kaki sebuah bukit berhampiran dan melaung, “Mine, Mine!”

 

“Ya mengapa Hisamiko? Apa kaubuat di bukit itu?”

 

“Mine, aku bertemu kapal.”

 

“Kapal?”

 

“Ya. Ia menuju ke arah permukaan bukit hitam itu yang tidak diselaputi lapisan.”

 

“Lapisan?”

 

“Aku lihat bukit hitam itu punya lapisan kelabu pada sebahagian permukaan. Yang tidak diselaputinya ialah bahagian utara, di mana kapal itu menghala.” Hisamiko menunjuk. Dia tidak memberitahu Hisamine bahawa dia dapat mengesan medan magnet menggunakan deria istimewanya yang terletak di belakang hidung itu. Dia tahu bahagian yang tidak punya lapisan kelabu itu memancarkan medan terkuat.

 

Hisamine melihat puncak bukit itu dari atas bukit yang tadi didaki Hisamiko. Benarlah, kapal yang dikatakan Hisamiko sudah berlabuh dan bahagian bukit hitam yang mengadap bahagian pantai itu tidak diselaputi lapisan kelabu. Hanya sedikit sahaja bahagian bukit hitam yang menghala ke lembah mereka yang tidak diselaputi lapisan itu menyebabkan jarum kompas Hisamine dipengaruhi ketikamana dia pertama kali menemuinya.

 

Patutlah. Rupanya hanya bahagian tertentu bukit itu sahaja yang boleh mengesani jarum kompas, iaitu bahagian yang sudah pecah selaput kelabunya.

 

Jika kami memecahkan lapisan yang berbaki, kami akan dapat mengundang lebih banyak kapal ke sini dan mungkin, aku dapat kembali ke Jepun!

 

Tatkala itu, Hisamine mula berbelah bahagi. Impian lama mahu pulang semakin mendesak-desak dirinya.

 

**

 

“Aku mengekorimu dan melihatmu melawat kubur abangmu malam itu.”

 

Hisamiko membulat mata seolah-olah tidak mempercayai apa yang baru didengarinya.

 

“Hisamiko, engkau sudah bersedia meninggalkan pulau ini bukan? Malam itu engkau sudah bersedia melepaskan abangmu bukan?”

 

Hisamiko masih membisu seribu kata.

 

Mine menyambung, “Namun engkau hanya menerima sahaja tatkala aku bersetuju untuk tinggal di pulau ini.”

 

“Mengapa Hisamiko, mengapa tidak engkau sarankan agar kita tinggalkan pulau ini pada ketika itu? Aku tidak akan mengabaikanmu Miko, jika engkau bimbang diabaikan. Engkau akan hidup bersama kami di Jepun nanti. Mengapa Miko? Mengapa tidak engkau beritahuku?”

 

Hisamiko hanya membisu dan memandang sayu rakannya.

 

“Aku akan membawamu hidup bersama kami! Dan bukankah engkau kenal kakakku? Dia pasti menerimamu, Miko. Percayai aku.”

 

Hisamiko masih diam.

 

“Atau engkau masih risau dijejak tentera Maharaja? Usah kaurisau. Kita akan bersembunyi sejauhnya. Aku dan kakak tahu tempat bersembunyi terbaik, di utara.”

 

Hisamiko menggeleng. “Bukan itu. Aku juga ada tempat bersembunyi di Hidagawa.” Jawab Hisamiko perlahan. Meski onii-san mengatakan ia tempat tanpa kehidupan, tanpa makanan, namun ia tempat paling selamat juga. Namun aku punya alasan lain Hisamine.

 

“Shiro bukan?” Perlahan tutur Mine, cuba menebak alasan Miko. Cuba mendesaknya.

 

Hisamiko membulat mata.

 

“Shiro bukan?!” Mine mengulang. Suaranya dikuatkan dan dikeraskan. Matanya merenung tajam Hisamiko.

 

“Ya.” Jawab Hisamiko ringkas. Wajahnya tunduk seolah-olah diselubung rasa bersalah, atau seolah menyerah diri selepas tembelang pecah.

 

Hisamiko meneruskan bicara separa berbisik, “Shiro yang menyelamatkanku tatkala aku di gaung paling gelap hidup. Shiro menjagaku tatkala aku mengabaikan diri. Aku tidak boleh meninggalkan Shiro di sini. Shiro terlalu berjasa kepadaku.”

 

Hisamine melepaskan keluhan berat. 

Teaser_Buku II

Teaser Buku II: Yoru-no-kaze Teaser ini adalah bab khas dari Kaisenjyo Buku II: Yoru-no-kaze yang sedang aku siapkan. Ia berkenaan satu w...