Andai kautahu kisahku Miko... apakah engkau akan berubah fikiran dan menyokong perbuatanku?
Hari itu
masih jelas di benakku. Ia musim luruh 1862, dan aku hanya berusia sembilan
tahun. Aku diculik di tengah-tengah pekan di utara. Aku mengikut seorang pawang
Emishi dalam separa sedar, aku tidak tahu mengapa. Aku terdorong mengikutnya
seolah-olah dia bapaku, sedang bapa sudah lama pergi ketika perang kami dengan
Emishi. Aku lupa nee-chan yang
bersamaku di pekan itu.
Ketika
engkau berusia sembilan tahun, apa yang kaulalui Miko-chan? Apakah engkau turut
melalui perkara sama? Kerana aku dapat lihat sengsara di matamu. Apakah ia
sengsara yang sama yang aku lalui? Ah, sukar benar mengorek kisahmu. Engkau
berkata pabila ditanya dan berhenti pantas. Lupa aku engkau belum membuka
sepenuhnya kisahmu. Engkau memang seorang yang pendiam. Amat pendiam.
Aku
terpinga-pinga selepas diangkut ke dalam kereta kuda. Sedar dari pukau – yang
mana aku hanya mengetahuinya kemudian dari rakan-rakan yang turut sama diculik
– aku sudah berada di dalam sebuah rumah tumpangan bersama sekumpulan gadis
yang kelihatan sebayaku. Aku melihat mereka ketakutan, duduk memeluk lutut dan
menunduk wajah.
Hampir
setiap hari, seorang demi seorang dari mereka dan kadangkala dalam kumpulan,
diambil dan dibawa jauh meninggalkan tempat ini menaiki kereta kuda. Melihatkan
pakaian lelaki-lelaki yang mengangkut mereka, jelas mereka dari puak Emishi.
Aku dapat mengecam lelaki yang memukauku di pekan tempoh hari salah seorang
dari mereka.
Suatu
hari, aku bersama empat lagi tahanan diangkut ke dalam kereta kuda mereka. Kami
diberi makan onigiri seorang satu
sebagai sarapan. Perjalanan agak jauh merentas bendang dan hutan belantara
selatan. Separuh hari kami dibawa menaiki kereta kuda itu, sehinggalah kami
tiba di sebuah kawasan laluan pedagang. Mereka memesong ke laluan di satu
simpang menuju ke tepi sebatang anak sungai. Di sana sekumpulan tiga lelaki
sedang menunggu kami dengan kereta kuda. Salah seorang dari tiga lelaki itu
memakai lilit di kepala dan hitam kulitnya serta tinggi dan tegap tubuhnya.
Mereka
bercakap-cakap beberapa ketika. Buah butirnya ialah berkenaan berapa harga yang
ditawarkan pemerdagang Emishi itu untuk setiap kepala kami. Dua ekor kuda
bersamaan satu kepala kami, itu yang jelas di telingaku. Kami dijual seperti
binatang ternak.
Kami
diangkut ke dalam kereta kuda lelaki yang menunggu. Pemerdagang Emishi itu
beredar dan aku tidak pernah bertemunya lagi sejak saat itu.
“Ojii-san,
ke mana kami akan dibawa?” Aku memberanikan diri bertanya lelaki berlilit
kepala yang kuagak ketua mereka.
Lelaki
itu tidak menjawab. Rakan-rakanku yang lain hanya tunduk membisu seperti biasa.
Semua ketakutan.
“Ojii-san, onegai. Aku mahu pulang bertemu nee-chan.
Onegai!”
“Diam!”
Tengking lelaki itu.
Aku
menangis dan meraung. Gadis-gadis lain hanya diam dan memandangku. Seorang
gadis yang kecil tubuhnya, duduk di sebelahku, menepuk belakangku. Dia
memperkenalkan dirinya, bernama Himawari. Kemudian datang seorang merapati,
bernama Kanako, dan seorang lagi bernama Yuri. Dan seorang lagi yang suka diam
menyendiri bernama Kumiko.
Kami tiba
di perkampungan nelayan di Ishikawa. Kami dibawa menaiki bot-bot kecil ke
sebuah kapal besar. Aku meraung-raung lagi sehingga kaki dan tanganku diikat
dan kami dibawa ke dalam kapal besar.
“Aku
ambil loket ini. Mulai hari ini engkau akan dilupakan, dan engkau lupakanlah
semuanya tentang negara ini.” Kata lelaki berlilit kepala kepadaku selepas
memotong loket di leher pemberian kakakku. Dia meletakkan loket itu pada
penyepit rambutnya dan menyeringai memandangku. Aku menangis sekuat hati. Itu
satu-satu pemberian kakakku. Sampai hati dia mencurinya. Tergamak dia!
Pernahkah
engkau direnggut semua ingatan terhadap orang yang kausayangi, Miko? Loket itu
kecil maknanya pada lelaki itu namun hanya itu sahaja memori nee-chan yang masih aku miliki.
Sejak
saat itu aku tidak pernah lagi bertemu lelaki berlilit kepala. Kami berlayar
sehingga ke Semenanjung Joseon.
Di
Joseon, aku dihantar ke sebuah rumah geisha di sebuah pekan pelabuhan bernama
Busan. Aku dilatih oleh seorang yang kupanggil ‘okaa-san’, bersama empat gadis yang bersamaku dalam kereta kuda
itu. Kami dilatih sehinggalah cukup umur untuk melayan lelaki pada usia enam
belas tahun. Sejak mula dipaksa melayan lelaki, aku mula merasa betapa gelapnya
hidup di sini. Aku dalam enggan terpaksa merelakan tubuhku digomol diratah
lelaki-lelaki dari pelbagai bangsa, ramainya dari Joseon sendiri dan ada
sekali-sekala pedagang dari tanah tumpah darahku Jepun. Ada yang datang dari
Qing juga, dan mereka pembekal candu kepada rumah ini.
Ada
antara kami yang mulai menghisap candu demi melupakan kejijikan demi kejijikan
yang dipaksakan ke atas kami. Aku mahu melarikan diri namun bagaimana? Dengan
samurai berkawal di luar? Aku tidak tahu, aku tidak tahu ehwal selok belok di
luar kerana aku tidak pernah keluar sejak tujuh tahun lepas. Aku hanya makan
dan tidur di dalam rumah ini. Dan aku tidak biasa dengan negara asing ini yang
bahasanya sungguh berlainan.
Semuanya
gelap. Apa harapan lagi yang tinggal?
Setiap
hari aku berdoa. Aku pinta dari-Nya agar membuka sinar harapan di hujung
terowong.
Himawari
tempat aku selalu bercerita. Himawari banyak mendengar. Umurnya muda tiga tahun
dariku. Pada hari pertama dia mula melayan lelaki, dia menangis di bahuku.
Kemudian lama-kelamaan dia seperti sasau, bernyanyi seorang diri dan mula
menghisap candu.
Satu
ketika, dia mendapat pelanggan tetap. Kerapkali hanya pelanggan itu yang
membawanya keluar dari rumah kami. Dia mendapat penyakit kelamin tidak lama
selepas itu dan pergi meninggalkan kami pada usia yang sangat muda. Dia tidak
mengambil ubat sakit kelamin yang disuguh kepada kami, kerana dia membenci
kesan sampingannya. Itu kufikir penyebab dia dijangkiti.
Aku
mencuri menyemak buku pelanggan yang okaa-san
simpan. Aku tahu siapa mereka. Mereka dari Jepun, dari negara kami sendiri. Aku
pasti mereka akan datang lagi ke sini, mencari gadis lain sebagai pengganti
Himawari. Aku lihat Kanako dipilih. Namun kali ini bukan setakat Kanako, aku
dan Yuri turut diambil sama. Mereka mahu melanggan kami selama berbulan
pelayaran ke selatan. Mereka akan melalui Taiwan dan kemudian pulau Luzon. Aku
menggetap bibir, mahu sahaja aku potong kemaluan mereka semua. Namun tidak, aku
harus menunggu peluang.
Yuri
kelihatan gembira, kerana dia dapat keluar melihat tempat lain. Namun aku rungsing.
Kami akan berada di atas kapal itu berbulan, mengikut ke mana sahaja pedagang
itu pergi. Di Taiwan, mereka tersalah lokasi berlabuh. Maka kami terpaksa
menunggu dan menaikkan bendera meminta pertolongan.
Satu
kapal peronda dengan bendera Qing tiba. Mereka memperkenalkan diri sebagai
peronda laut Qing dan menawarkan untuk membawa kami ke pelabuhan yang betul. Di
kala sesat itu kami terpaksa bermalam di khemah-khemah dan itulah pertama kali
aku berpeluang melihat pantai yang luas sejak aku dikurung di Joseon. Kala
itulah juga pertama kali aku merasakan kebebasan yang telah lama hilang, sejak
aku mula diculik. Perasaan mahu melarikan diri memuncak. Aku cuba melarikan
diri, namun amat sukar kerana dibatasi para pengawal.
Yuri
menangis-nangis tatkala kami diarahkan naik ke kapal untuk ke pelabuhan Taiwan.
Aku cuba menenangkan. Namun tindakan ganas pengawal menolaknya masuk membuatkan
dia tambah berang, dan tatkala kesempatan muncul dia pantas berlari dan
melompat turun ke laut. Aku terkesima. Aku perhati dia perlahan-lahan ditelan
arus lautan yang menggila. Kali terakhir gambaran wajahnya tenggelam timbul
dengan tangan melambai-lambai sungguh memilukan hati. Aku menangis berhari-hari
sehingga kering air mataku dan yang tersisa hanya sendu dan api dendam.
Saat itu
dendamku mula diselaputi rasa benci yang membuak-buak terhadap mereka. Aku mahu
menyapu bersih semua binatang yang menahan kami sejak dari Joseon ini. Namun
aku perlukan kekuatan. Aku hanya diam dan sugul tatkala duduk bersandar di
dalam bilik kapal. Dua rakanku sudah pergi. Giliranku pasti akan tiba jua
nanti, cepat atau lambat. Aku tidak mahu mati selagi aku belum bertemu nee-chan. Nee-chan, nantikan aku. Bersabarlah. Aku pasti akan bertemumu jua.
Kami
sampai di pelabuhan Taiwan. Aku melihat peronda Qing itu memanggil
rakan-rakannya, dan meminta upah dari kru kapal kami. Katanya, dia sebenarnya
tidak mewakili Qing dan kerajaan Qing tidak mengawal pulau Taiwan ini meskipun
meletakkan di bawah jajahannya. Kami membayarnya. Dari itu aku dapati penguasaan
Qing di sini lemah. Mungkin sebarang malapetaka yang menimpa kami tidak akan
dilayan. Aku mula berfirasat akan perkara-perkara buruk jika kami dianiaya
penjenayah.
Dalam
kumpulan kami berlima, kini hanya Kumiko dan Kanako yang masih bersamaku.
Selain kami adalah wanita baru yang dibawa dari Joseon. Kami tidak rapat dengan
mereka. Masing-masing hanya berbicara dan bergaul rapat dengan rakan yang
mereka kenali sahaja. Kami semua ketakutan dan berada di luar Jepun. Rasa
percaya kami amat terbatas. Pandangan kami pesimistik.
Kami
bertiga dihantar ke rumah penginapan di pinggir bandar pelabuhan itu. Pelabuhan
di Taiwan itu yang dinamakan Tamsui diselia pegawai dari Qing. Di sini ramai
pedagang Eropah datang untuk membeli teh, gula tebu, belerang, candu, celupan
‘dye’ dan kapur barus serta produk eksport lain buatan empayar Qing. Juga,
Taiwan ialah pulau yang jauh di selatan dan iklimnya sesuai untuk pelbagai
jenis tanaman, seperti tebu dan buahan. Disebabkan itu, pedagang Belanda yang
tidak dibenarkan memasuki tanah besar Qing membuat pangkalan di sini pada abad
ke-17 lepas dan menanam tebu sebanyaknya sehinggakan tebu menjadi salah satu
eksport utama pulau ini, dan diteruskan kemudian oleh pendatang Han dari tanah
besar Qing dan petani orang asli di sini. Begitulah sejarahnya yang kubaca dan
kudengar dari pedagang.
Kanako
memberitahu dia teringin memakan tebu selepas kami melalui pasar di situ. Dia
berasal dari utara namun jauh dari kampungku. Kampungnya lebih dekat dengan
Selat Tsugaru. Barangan dari selatan yang salah satunya tebu amat sukar
ditemukan di pasar-pasar di utara. Aku cuba memberitahu dan mendesak Kazumasa,
lelaki yang mengawal kami agar berhenti sebentar di pasar untuk membeli tebu,
namun Kazumasa tidak membenarkan.
Kanako
bermuram muka. Dahulu sewaktu kami di Joseon dan mendapat berita kami akan
dibawa berlayar, dia juga teruja seperti Yuri. Namun tatkala dikawal dan
dikongkong dari sekadar membeli-belah cuma, dari sekadar mencuba makanan baru
cuma, dia jadi berang. Dia mencuri keluar dari rumah penginapan kami tanpa
pengetahuanku. Ketika dia berjalan seorang diri dia diculik. Esoknya sampai
laporan kepada kami dia dibunuh penyamun dan rantai emasnya dilarikan. Aku
melihat mayatnya dan sejurus itu aku mengecamnya. Aku mendesak Kazumasa agar melaporkan
kepada wakil kerajaan Jepun di situ. Namun Kazumasa mengatakan, “Dia hanya
pelacur. Dan fikirlah jika aku melaporkan, apa akan terjadi pada hubungan Qing
dengan Jepun?”
Menyirap
darahku tatkala mendengarnya. Aku lagi mendesak, bahkan memegang kaki Kazumasa.
Kazumasa menendang perutku dan berkata lagi, “Oi, Mine. Itu bukan salahku.
Bukankah telah aku ingatkan kalian agar jangan curi-curi keluar? Sekarang salah
siapa dia mati, ha?”
“Engkau
diamkan sahaja perkara ini, ne? Atau
engkau aku bunuh!” Kazumasa mengugut, kemudian dia meludah seraya berlalu
pergi.
Aku
benar-benar kecewa. Kanako hanyalah rakanku. Kami juga manusia, bahkan kami
tidak diminta bekerja sebagai pelacur. Kami telah diculik, dijual seperti
ternakan dan dipaksa melayan lelaki. Kami berhak mendapat perlindungan
undang-undang sepertimana rakyat Yamato yang lain.
Esoknya
aku membaca satu surat yang ditinggalkan di futon
Kumiko. Dia memberitahuku dia telah mengikut satu kumpulan pedagang Qing yang
membelinya. Katanya dia tidak akan kembali lagi ke Jepun dan Joseon, dan terus
tinggal di Qing. Aku tahu, Kumiko dijual demi menampung hutang yang dibayar
kepada ‘peronda Qing’ palsu tempoh hari. Aku fikir, pedagang yang melanggan
kami sudah pun memesong jauh dari persetujuan asal dengan pemilik kami di
Joseon. Nampaknya aku tidak akan kembali ke Joseon lagi, kecuali jika aku
melarikan diri.
Selepas
kematian Kanako dan Kumiko dijual, aku berseorangan. Aku nekad mahu melarikan
diri. Aku menyelinap masuk ke kapal lain. Namun Kazumasa ternampak dan aku
ditangkap. Aku dipukul dan dikurung sehingga bengkak-bengkak. Mereka membiarkan
aku dirawat tabib kapal. Selepas itu kakiku dirantai dan aku hanya dibenarkan
ke mana-mana dalam lingkungan rantai itu. Mereka tidak menyentuhku sejak aku
dipukul, namun beralih perhatian kepada wanita lain yang baru dibeli di Taiwan.
Aku dibiarkan dirantai di dek bawah, di tempat menyimpan arang.
Aku
berdoa berhari-hari, tidak putus-putus. Dan tidak semena-mena kapal itu dipukul
ribut dan terdampar di sebuah pulau yang aneh.
Tidak
lama selepas itu, aku bertemumu Hisamiko di tempat yang aneh dan perlakuanmu
yang aneh. Pertama kali aku bertemu seorang wanita sepertiku, namun tahu
bertarung.
Sejak
bertemumu Miko, aku bilang tiada lagi hari yang lebih indah dari hari-hari kita
bersama. Aku melihat harapan pada dirimu. Aku yakin wanita mampu bertarung dan
menewaskan bangsat-bangsat itu. Saat itu aku fikir aku tidak lagi perlu
mengalah dan hanya memendam kebencian ini di sudut hati. Aku yakin, aku mampu
menzahirkannya, demi Himawari, Kanako dan Yuri.
Namun
kegembiraan itu tidak mampu menyembuhkan luka lamaku yang kian bernanah. Aku
tidak mampu, aku hanya manusia yang lemah, Miko.
Engkau
tahu, Miko.
Setiap
kali aku memukul besi itu sehingga pipih dan berkilau, setiap kali itu aku
membayangkan aku akan menetak bangsat-bangsat itu dengan bilah yang akan
terhasil ini.
Setiap
kali aku penat tatkala percubaan mengeluarkan besi dari bijihnya gagal, dan aku
berasa lemah untuk membina kembali relau tanah liat itu, setiap kali itu
wajah-wajah Yuri, Himawari dan Kanako muncul bersilih ganti dalam benakku,
mendorong tulang empat kerat dan sendi yang masih bersisa kudrat kecil ini
dikerah mengangkut tanah-tanah itu dan mengacunya.
Aku
kepalkan tekad demi dendam ini, semasa tangan ligat mengepal tanah liat menjadi
relau. Aku yakin aku mampu menghasilkan sesuatu. Aku yakin aku dapat beroleh
sesuatu darimu Miko.
Apakah
engkau pernah merasa keperitan ini Miko? Apakah kaufaham apa yang aku rasakan?
Sejujurnya
aku benar-benar ingin tinggal denganmu di sini. Kala hari itu, aku fikir aku
sudah melupakan dendamku itu. Nanah luka lama kian kering dan memarut. Aku
bilang masa akan menyembuhkannya, dan kehadiranmu akan menghilangkan parutnya.
Namun
mengapa mereka tiba di sini Miko? Mengapa tidak sahaja mereka hilang ke
mana-mana belahan bumi? Mengapa mereka datang ke sini dan mencucuk jarum ke
dalam luka lamaku Miko?
Dan aku
berdiri di hadapan lelaki yang telah menolak Yuri dan membangkitkan
kemarahannya. Yuri berang dan lari terjun ke laut. Dan lelaki ini sedang enak
menghirup teh bersama ketuanya. Aku tidak berlengah dan melibas pedangku.
Dan aku
berdiri di hadapan lelaki yang mengetuai rombongan pedagang yang membawa kami
ke Taiwan dahulu. Dia bertanggungjawab melaporkan kes bunuh Kanako kepada wakil
kerajaan Jepun di Taiwan namun dia mendiamkan diri. Aku libas pedang ke
lehernya. Ada dua tiga orang di dalam khemah itu terkesima seraya cuba
membunuhku dengan pistol, namun dengan kaminari-mu Hisamiko, aku
menewaskan mereka seperti angin lalu.
Sekarang
di mana Kazumasa? Aku tidak pernah bertemunya lagi sejak kakiku ditusuk
pisaunya. Ah, itu semua tidak lagi penting. Aku telah menghapuskan semua musuh
yang telah muncul di hadapan mataku. Yang tersembunyi itu tidak penting. Aku
mahu pulang, Hisamiko. Hanya itu sahaja yang aku mahukan sekarang. Aku mahu
pulang!
*****
TAMAT
BUKU III: YUMEJIMA
ARKA I: HISAMINE
SETERUSNYA
BUKU III: YUMEJIMA
ARKA II: KAISENJYO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan