Hisamiko mencampakkan pedangnya dan menggunakan sarung pedang. Pedang Saisho-tou yang sudah ditajamkan itu dibimbangi akan mencederakan jika digunakan ketika berlatih.
Hisamiko pantas
menyelinap dan kurang sesaat berada di belakang Hisamine dengan sarung pedang
di lehernya, sedang tangannya memegang tangan Hisamine yang memegang kayu.
Hisamine terbeliak mata.
“Selangkah demi
selangkah Mine-chan.” Suara tegas
Hisamiko mengingatkan. Namun di telinga Hisamine, suara itu sungguh comel
bunyinya.
“Sou.” Merah padam muka Hisamine
menyedari dia dipeluk ‘adik’ yang comel. Adik comel yang sungguh berbahaya,
seperti seekor kucing dengan kuku tajam yang jika diuja dan anginnya kurang
baik, bakal mencungkil biji matamu keluar bila-bila masa.
Hisamiko meleraikan
pegangannya dan berundur. Hisamine cuba menghayun menetak Hisamiko sekali lagi
namun Hisamiko bergerak pantas ke belakang dan mengulang gerakan sama. Sekali
lagi sarung pedang Hisamiko di leher Hisamine.
“Cukuplah untuk
hari pertama.”
“Sugoi ne! Di mana engkau
mempelajarinya?”
“Dari pemerhatian. Abangku
selalu berlatih bertarung dan aku memerhati.”
Anehnya, getus
Hisamine. Bagaimana seseorang boleh belajar bertarung dari pemerhatian?
Dalam beberapa
minggu berikutnya, Hisamine hanya memerhati Hisamiko berlatih. Hisamine menolak
berlatih melalui bertarung kerana melihatkan Hisamiko tidak cekap mengajar.
Jelas di matanya, Hisamiko tidak arif memperlahankan pergerakannya ke peringkat
asas yang mudah ditanggap pelajar baru. Hisamiko seolah-olah belajar tanpa
perlu menguasai asasnya seolah-olah, asasnya itu sudah lama tertanam sejak
lahir dan dia hanya mempertingkatkan kemahiran dengan melihat orang lain
berlatih.
Hisamine cuba
menggunakan kata-kata Hisamiko sebagai motivasi bagi mendorongnya mempelajari
dari sekadar pemerhatian. Dalam beberapa minggu memerhati, ternyata amat sukar
mengikuti Hisamiko. Satu, kerana kepantasannya. Dua, kerana Hisamine sendiri
tidak terlalu fotografik dan lemah dalam menghafal pergerakan.
Dalam memerhati dan
tatkala dia kebosanan kerana asyik terlepas pergerakan Miko, dia merenung bukit
hitam yang terletak di antara bukit-bukit volkanik yang mengelilingi dan
membenteng lembah rendah itu. Terdetik di hatinya mahu ke kaki bukit hitam.
Bukit hitam itu setahunya berupaya menarik besi. Pasti banyak besi di kakinya.
Tatkala Hisamiko
sibuk dan asyik dalam berlatih, dia bergerak ke kaki bukit tanpa
pengetahuannya. Dia redah batu-batu dan lembah berumput dan berbunga liar, dan
kemudian hutan kecil pokok-pokok tinggi entah apa. Di kaki bukit hitam itu
banyak debu-debu berwarna merah melekat.
“Ini bijih besi.”
Getusnya. “Ini bijih mentah. Aku akan membawanya pulang.”
**
“Kaminari? Apakah itu?”
“Ia seni bertarung
yang mempercepat pergerakan.”
“Maka engkau selalu
menggunakannya?”
“Ya. Namun yang
kaulihat selalu itu jurus kedua dan ketiga sahaja. Jika aku naik lagi tinggi,
engkau tidak akan dapat melihatku. Kecuali seseorang.”
“Siapa?”
“Rakanku yang
bernama Takeuchi Shinji.”
“Shinji? Lelakikan?
Apakah dia teman lelakimu?”
“Tidak. Bukankah
telah aku katakan teman lelakiku Tsuneki?”
“Oh hoh hoh. Aku
bergurau saja Miko. Mungkin muka secomelmu menarik ramai lelaki.”
Hisamiko malas
berbasa-basi lebih panjang seraya menangkap tangan Hisamine dan memusingkan
badannya. “Hei Hisamiko apa kaubuat ni?!”
“Begini. Aku akan
turut berpusing juga.”
Hisamine terkejut.
Dia menyedari sekelilingnya berpusing dalam kawalan Hisamiko. Dia amat risau
sekiranya tubuhnya terpelanting dan menghentam pokok.
Dalam kedua-dua
berpusing pada kaki Hisamiko, dia mengingatkan, “Hei Hisamine, tenung mataku.
Percayai aku. Untuk belajar kaminari, had tampungan tenagamu harus
ditingkatkan dahulu melalui kaedah ini.”
Hari demi hari,
Hisamiko meningkatkan kelajuan pusingan itu sehingga Hisamine mampu
mengikutnya. Ternyata tubuh Hisamine serasi dengan Hisamiko, membolehkan mereka
melakukan jurus kedua tanpa membazirkan tenaga, sepertimana kembar Ogasawara.
Lama-kelamaan
Hisamine mampu meningkatkan had tampungan tenaga sehingga membolehkannya naik
ke jurus kesembilan, iaitu jurus eksklusif untuk puak Okuhida dan Shirasaka.
**
Hisamiko baring
merenung langit malam yang tampak menghitam di muka pintu rumah. Hisamine sudah
berdengkur di sisinya.
Apakah benar aku
ingin meninggalkan pulau ini? Aku senang sahaja mengakuinya pada Hisamine,
kerana aku benar-benar tidak mahu kehilangannya!
Namun bagaimana
dengan onii-san? Bagaimana dengan
Shiro?
Hisamiko bangkit
perlahan-lahan dari perbaringan. Dia memeriksa Saishi-tou, dan menyisipnya pada
pinggang. Dia keluar menuju terowong. Shiro juga sedang berdengkur di luar,
putih terang bulunya disinar bulan mengambang.
Setibanya di hutan
gelap, dia menerangkan pelita dengan memulas sejenis tombol yang membesarkan
api dengan mengeluarkan sumbu lebih dari kelongsongnya. Pelita ini diambil dari
sebuah peti yang terdampar di pantai. Hisamine mengatakan peti itu dari
kapalnya. Mujur minyaknya masih berbaki.
Gelap hutan dan
bunyi unggas malam benar-benar menyeramkan. Hisamiko sekali-sekala ada
terdengar bunyi ranting patah di belakang, seolah-olah dia diekori, namun dia
mengabaikan sahaja dan mempercepat larian.
Hisamiko berlari
pantas keluar dari hutan gelap menuju ke tebing tinggi mengadap laut lepas.
Setiba di sana, dia bergegas menuju ke kubur Ryouji.
Dia duduk di sisi
kubur abangnya itu dan memalapkan pelita.
“Onii-san. Aku bertemu seorang rakan
baru. Kami akan meninggalkan pulau ini dan kembali ke Jepun. Onii-san, arigatou kerana mempertemukan
aku dengan Hisamine. Arigatou, kerana
mempertemukan aku dengan Shiro. Onii-san,
aku berjanji akan terus hidup.”
Saat itu, air
matanya mengalir sendiri. Dia mengesat dengan lengan yukatanya. Dia
menanggalkan loket pada lehernya yang diberikan Ryouji, seraya menanamnya di
atas kubur itu.
Dia berjalan
meninggalkan kubur meredah hutan gelap untuk kembali ke lembah.
Sementara itu di
pintu gua...
“Bertafakur dia
nampaknya. Mereka akan meninggalkan pulau ini nampaknya.” Ujar Tomokazu pada
diri sendiri. Kuro di sisinya sedang mengunyah sesuatu. Di sebelah mereka mayat
seorang lelaki yang perutnya sudah terburai.
“Aku tidak akan
lepaskan kalian. Sebelum sempat kalian keluar dari sini, aku akan membunuh
rakan gadis ini. Aku akan membiarkan dia sekali lagi berduka sepertimana
sewaktu kematian abangnya itu. Aku akan pastikan jiwa gadis ini terseksa dan
dia membunuh dirinya.”
**
Pagi menjelma.
Musim sejuk kian bertemu penghujung. Cahaya matahari semakin galak menyinar
lembah itu dan awan putih yang suram yang menyeluruhi hampir setiap hari musim
sejuk kini beransur kurang. Tirai musim bunga dibuka. Putik-putik bunga liar di
lembah itu kini memunculkan diri. Yang paling awal muncul ialah bunga serupa hepatica, di balik timbunan batu-batu
sungai. Namun hepatica di sini
berwarna kuning, sedang yang biasa berwarna ungu. Bentuknya sahaja sama seperti
hepatica.
Kemudian terbitlah
sakura. Ada sebatang pokok yang sudah tinggal ranting di bahagian yang paling
dekat dengan bukit hitam. Pokok itu kini berbunga sakura selebatnya. Angin laut
bertiup dan menerbangkan haruman beserta putik-putik sakura yang lembayung ke
segenap penjuru lembah.
“Hisamiko, bangun,
bangun!” Hisamine menggoncang-goncang tubuh Hisamiko yang tidur mati.
“Nani yo?” Soal Hisamiko bagai terpaksa
nadanya. Mata masih terpejam, yukata berkeronyok, tubuh masih lembab di
perbaringan.
“Lihatlah di luar.”
Hisamiko yang masih
mamai dan kabur mata, bangkit malas-malas sambil menyelak selimut dari rumput
kering. Dia memerhati ke luar pintu masuk rumah. Mata terbeliak melihat bintik-bintik
warna-warni di hadapannya. Dia menenyeh-nenyeh mata yang berkerak bagi
menghilangkan kabur.
Rama-rama
berterbangan di atas kumpulan bunga-bunga. Air panas yang terjun dari puncak
bukit masih jernih dan sungai di bawahnya kehijauan menampakkan ikan yang
berenang di dasar.
Mereka berdua
bermain berkejaran di tengah-tengah padang bunga liar yang berwarna-warni
beberapa ketika, sebelum berehat melepaskan penat. Sedang duduk-duduk, Hisamine
mengajak Hisamiko ke bukit hitam.
“Engkau pernah ke
bukit hitam itu Miko?”
“Tidak pernah.”
“Bagaimana mungkin?
Sedang engkau sudah lama di sini?”
“Aku tidak
berminat. Entah apa bahaya yang menanti di sana.”
Hisamine bangkit.
“Aku mahu melihat tanganmu Miko.”
“Mengapa
tiba-tiba..” Miko menyoal sambil menghulur tangannya acuh tak acuh.
“Mari, aku mahu
tunjukkan sesuatu!” Pantas Hisamine merentap tangan Hisamiko sehingga terbangun
dia.
“Eh, mengapa Mine?”
“Marilah!” Hisamine
menegas, masih menarik-narik tangan Hisamiko. “Aku mahu melihat bukit hitam itu
lebih dekat.”
Hisamine lantas
berlari sambil menarik Hisamiko yang menurut dalam keterpaksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan