Novel: Yumejima (Bab 3)

“Boleh kutahu perniagaan apa yang telah kauceburi?”

 

“Sutera.” Balas Yoshihisa ringkas. Kemudian pantas dia menyambung dengan soalan,

 

“Oh ya, berkait jasa kalian kepada Maharaja, bagaimana pula kalian boleh memilih bekerja dengan syarikat ini? Apakah baginda tidak membalas jasa dengan memberi kalian pekerjaan yang lebih lumayan?”

 

“Kami dikhianati. Maharaja sedang memburu kami.”

 

“Dikhianati?”

 

“Mereka ahli kazoku menuduh kami mengkhianati Maharaja. Mereka telah menghasut baginda agar menangkap dan membunuh kami. Kami diberikan tanah dan rumah sebagai ganjaran, namun sebenarnya baginda menggerakkan orangnya kemudian demi menangkap kami.”

 

Ryouji berusaha sebaik mungkin menyembunyikan motif sebenar mengapa Maharaja mengejarnya, iaitu ramalan Amaguri itulah.

 

Yoshihisa merenung Ryouji. “Jadi, kalian sebenarnya mahu melarikan diri dari Jepun dan tidak akan kembali?”

 

“Benar.”

 

Lelaki itu menggeletar sebaik menyedari dia menemui seorang yang sedang diburu Maharaja di serata pelusuk Jepun. Jika aku melaporkan kepada Maharaja, sudah pasti aku akan menerima ganjaran besar, getusnya.

 

“Yoshihisa jii-san.” Ryouji menyebut.

 

“Panggil aku Yoshihisa sahaja. Abaikan jurang umur kita.”

 

“Baiklah. Yoshihisa. Kami mahu mempercayai seseorang dalam perjalanan ini. Aku mohon sungguh-sungguh, rahsiakanlah segala apa yang kami kongsikan denganmu dari pengetahuan mereka yang lain di sini.” Ryouji memandang dengan mata penuh mengharap.

 

Yoshihisa merenung Ryouji, berfikir apakah pemuda ini cuba mengujiku? Tidak, ini peluang. Aku harus bijak memanfaatkannya. Jika dia mahukan seseorang untuk dipercayai, ini peluang.

 

Yoshihisa memandang pedang yang tersisip di pinggang kedua beradik itu. Dia teringat kedua beradik ini adalah pasukan pelindung dan pernah bertarung mempertahankan Maharaja.

 

“Usah kau risau.” Ujar Yoshihisa. Dia memutus untuk bersama mereka. Barangkali adik-beradik ini yang tahu bertarung ada manfaatnya yang boleh kugunakan kelak.

 

Yoshihisa menyambung, “Namun aku tidak pasti pulau apakah yang bakal kita tujui ini. Jika pulau ini sudah diteroka, barangkali kerajaan Maharaja akan berjaya menjejaki kalian jua. Namun tidak salah jika kalian masih mahu mempercayaiku. Dan dengarkan aku Ryouji. Aku tidak percaya perkara karut seperti ramalan yang kaunyatakan dan yang mereka percayai itu. Aku yakin kalian bukan pemusnah empayar Maharaja. Dan aku tidak menggunakan perkara karut-marut dalam berniaga. Aku guna ini – ” Yoshihisa melagakan jari telunjuk pada pelipisnya “- akal logik. Juga kemahiran berbahasa. Aku tahu bahasa Belanda dan bahasa Inggeris. Dan kemahiran membaca perangai manusia.”

 

Sambungnya bermanis mulut, “Dan aku fikir Hisamiko dan engkau orang yang baik.” Moga hati dua beradik ini sangkut.

 

Kata-kata orang tua itu membenih membunga di hati Hisamiko dan Ryouji seperti kelopak sakura di musim bunga. Sekian lama mereka dalam pelarian dan akhirnya kini mereka bertemu seseorang selain mereka yang dapat mereka sandarkan rasa percaya.

 

“Selepas ini apa perancanganmu?” Soal Hisamiko kepada Ryouji.

 

“Aku akan mengekorinya.”

 

Ryouji teringat pada malam sebelumnya, akan idea Hisamiko bahawa mereka memerlukan salah seorang daripada kalangan pelombong demi memahami pasukan pelombong dari dalam. Para pelombong itu selalunya tidak bergaul dengan pasukan pelindung. Namun pada hemat Hisamiko, dari pengalaman luas mereka menjadi Bayang Malam dan juga berkhidmat dalam Kogen dan kepada Maharaja, mereka perlu mengetahui yang mana duri dalam daging agar tiada pakatan menentang pasukan pelindung. Ini kerana ada risiko pasukan pelindung mungkin ditumpaskan kerana bilangan mereka sedikit berbanding pelombong. Hisamiko mendapati seorang lelaki yang kerap duduk seorang diri dan memerhati para pelombong lain, seolah-olah membaca mereka. Riak wajah lelaki ini tampak tenang dan boleh dipercayai. Dia lantas mencadangkan lelaki ini, Yoshihisa, kepada Ryouji.

 

Selepas beberapa siri perbualan, kedua beradik tersebut mula mempercayai lelaki tua yang bernama Yoshihisa yang sering bersama mereka. Malah mereka turut makan semeja dan bergurau senda. Yoshihisa yang sering muram dan gemar bersendiri kini mampu tersenyum tertawa dan berkongsi kisah. Yoshihisa seolah-olah bapa yang telah lama pergi dari Hisamiko dan Ryouji. Bayangan Mitsuo bapa mereka kadangkala muncul dan membuatkan Hisamiko mengalirkan air mata di malam hari.

 

Namun jauh di hatinya siapa sangka Yoshihisa bukan orang tua sembarangan. Jauh di hatinya ada perancangan yang rapi, sepertimana seorang ahli perniagaan menganalisa sikap dan perangai manusia dan memanipulasinya.

 

Yoshihisa sedar, dia mendekati dua beradik itu dengan motif bagi melindungi dirinya. Dia sedar, perancangan itu tampak lebih halus jika dua beradik itu mendekatinya dahulu berbanding jika dia mendekati mereka. Perancangan itu akan tampak lebih tersembunyi, lebih berbentuk ketidaksengajaan dan kebetulan, serta sukar dihidu motifnya. Dia tahu dua beradik itu seringkali melepak di tempat itu, maka dia memutus duduk di situ seorang diri juga.

 

Namun kenyataan bahawa dua beradik itu sedang dikejar Maharaja amat mengganggu fikiran. Jika aku menangkap mereka dan membawa kepada baginda, aku bakal diupah lumayan dan tidak perlu lagi menyertai rombongan ini. Ah, pedulikan. Menangkap mereka berdua? Usah berangan, Yoshihisa. Siapa petarung yang bersamamu sekarang untuk membantumu? Persetankan rancanganmu. Guna sahaja mereka dahulu. Bina rancangan baru di pulau nanti.

 

Yoshihisa masih risau sekiranya lombong emas yang ditujuinya itu adalah Yumejima.

 

Yoshihisa ada ternampak salah seorang ahli rombongan yang menasihati kapten kapal arah pelayaran mereka. Dia seperti pernah melihat lelaki itu, namun wajahnya yang berjambang dan berjanggut lebat dan matanya yang sebelah terkatup menyulitkan sebarang usaha pengenalpastian. Tambahan, lelaki itu memakai topi seperti seorang aristokrat Barat.

 

Pada satu ketika, ketika mereka sedang berbual dan Hisamiko tidak memakai topi kon, seorang pemuda ternampak wajah Hisamiko dan terpesona dengan kejelitaannya. Ryouji menyedari hal tersebut dan membalas renungan pemuda itu.

 

“Yato, ayuh.” Tegur rakan pemuda itu.

 

Pemuda itu kemudiannya beredar sebaik dipanggil rakannya. Pemuda itu seringkali Ryouji perhati diiringi dua rakan berpedang di pinggang. Dia turut berpedang. Ryouji hanya menundukkan kepala sedikit setiap kali bertembung dan tidak pernah berbual panjang dengannya. Namun dia masih gusar memikirkan tindak-tanduk pemuda itu yang selalu mencuri pandang Hisamiko.

 

Satu hari, sedang duduk-duduk di atas kotak kayu memerhati samudera lepas, Yoshihisa mengeluarkan teropong kecil yang dibeli di Kyushu dari seorang pedagang dan meneropong ke arah kelibat beting di kejauhan.

 

Dapat dilihat menerusi teropong itu tebing tinggi dengan hutan gelap di atasnya. Ada papan tanda di muara sebatang sungai dan jeti berhampiran masih utuh dibenteng batu-batu yang diikat dengan jaring-jaring. Yoshihisa mengamati dengan mata rabun lensa teropong itu dan kian jelas petanda-petanda bahawa pulau itu pernah disinggahinya dahulu.

 

Yoshihisa amat terperanjat. Dia yakin destinasi tersebut ialah pulau Yumejima yang pernah disinggahinya dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...