“Kalian, aku fikir kita sedang diekori.” Hisamiko memberitahu perlahan, berdasarkan bunyi yang dikesan telinganya yang tajam itu. Ryouji dan Yoshihisa kaget. Tangan Ryouji dan Hisamiko masing-masing memegang hulu pedang, bersedia dengan segala kemungkinan.
“Tomare, omaera! (Berhenti, kalian!),”
kedengaran suara seorang lelaki memanggil mereka bertiga dengan kasar.
“Lari!” Yoshihisa
memecut disusuli Ryouji dan Hisamiko. Orang-orang yang memanggil mereka
mengejar di belakang. Semakin mereka jauh di dalam hutan itu, semakin gelap
sekitaran kerana tiada lagi jamung, dan rimbunan dedaun hutan membayangi cahaya
bulan.
“Yoshihisa...Yoshihisa...”
Ryouji memanggil Yoshihisa dengan suara separa berbisik.
“Aku di sini. Di
mana Hisamiko?”
“Aku di sini.” Suara Hisamiko kedengaran di
balik belukar bersetentang dengan mereka. Ryouji dan Yoshihisa di bahagian yang
sama, manakala Hisamiko berada di sebelah lain denai itu.
“Kalian.” Yoshihisa
bersuara separa berbisik. “Kita harus berpecah. Dengar sini baik-baik. Nampak
di atas sana? Naik tebing tinggi itu, dan temui aku di hutan gelap.”
“Hutan gelap?”
“Ya. Kanopi hutan
itu rapat menjadikan bahagian bawahnya gelap sepanjang masa. Aku akan menunggu
kalian di sebatang pokok berbuah seakan momo dengan cahaya terang.”
“Cahaya terang?”
Duga Hisamiko.
“Di situ kanopinya
lebih renggang dan membenarkan cahaya masuk. Mujur malam ini bulan mengambang,
kalian manfaatkanlah.”
“Baiklah.”
“Kalian jangan lupa
malapkannya. Atau mereka akan mengesanmu. Hanya terangkan pabila perlu.”
Yoshihisa menyerahkan pelita yang dipegang.
“Bagaimana dengan engkau?”
“Aku arif kawasan
ini. Gelap mana sekalipun aku masih tahu arah. Cahaya bulanpun terang malam ini
cukup membantuku.”
“Yoshihisa,
berhati-hati.”
“Kalian pun. Mata
ne!”
**
Ryouji, Hisamiko
dan Yoshihisa telah berada di hutan gelap. Orang-orang Yato berjumlah dalam
sepuluh orang terus mengejar.
Sebaik Ryouji tiba
di pokok itu yang terang disinar rembulan, Hisamiko sudah berdiri di situ.
Yoshihisa tiba kemudian dan terus mengarahkan mereka berdua mengikutnya.
“Mari!”
Mereka menuju ke
satu lubang. Yoshihisa masuk dahulu diikuti Ryouji dan Hisamiko.
“Lubang apakah ini
Yoshihisa?”
“Aku tidak tahu.
Aku pernah bersembunyi di sini sewaktu dikejar musuhku.”
“Musuhmu?”
“Ketika rombongan
aku ke sini dahulu, rakan sekapalku cuba membunuhku namun aku berjaya
melepaskan diri.”
“Omaera! Ryouji, Hisamiko! Yoshihisa!
Keluar kalian! Usah berangan melarikan diri!” Laung Yato. Butirnya tidak jelas
di telinga Hisamiko yang sedang menumpu, namun dia tahu itu suara Yato.
“Yato berada tidak
jauh dari sempadan hutan di tebing tinggi.” Maklum Hisamiko kepada mereka
berdua. Cahaya bulan menerjah masuk dari kanopi yang renggang menerangi malap
lubang masuk tempat mereka sedang bersembunyi.
“Agak engkau dalam
berapa orang?” Soal Ryouji.
“Sekitar sembilan
ke sepuluh orang begitu, berdasarkan jumlah pedang dan pahat.” Jawab Hisamiko
berdasarkan deria istimewanya yang boleh mengesan besi. Hanya pasukan pelindung
yang boleh membawa pedang, sedang selebihnya yang membawa pahat adalah
pelombong yang belot kepada Yato dan sekongkolnya. “Yato paling hampir dengan
sempadan hutan.”
Sebentar. Aku bilang ada lebih dari tiga bilah pedang.
Tidak mungkin. Ini bermakna ada dalam kalangan para pelombong yang turut
membawa pedang! Jika demikian, maka semua pembelotan ini telah dirancang
awal-awal lagi! Getus Hisamiko.
Sementara itu di
luar hutan gelap...
“Sebentar Yato. Aku
nampak sesuatu.” Bisik Katamori, salah seorang orang kanan Yato.
Mata mereka berdua terbeliak
tatkala melihat satu kelibat yang amat besar, seperti binatang berbulu berwarna
hitam – hanya itu yang sempat mereka rakamkan kerana kepantasan pergerakannya dan
kelam dinihari yang menghalang – memasuki hutan gelap dari pelantar tebing
tinggi. Mereka sempat memerhati pokok-pokok di hutan itu bergoyang-goyang dan
ada bunyi dahan patah.
“Aku bilang baik
kita berundur dahulu.” Cadang Yoshimura, seorang lagi orang kanan Yato. Wajah
masing-masing pucat lesi seperti baru memakan limau nipis.
“Ya. Kita berlima. Termasuk
Daisuke dan Kensho.”
“Lima lagi?”
Yoshimura menghala muka ke arah lima orang mereka yang masih di belakang.
“Kita akan hantar
mereka masuk ke hutan itu sebagai percubaan.” Yato menyeringai. Lagipun
lebih berkurang ahli rombongan ini, lebih besar pecahan hasil dari emas itu
akan memasuki kantungku, getusnya.
“Idea yang bagus.”
Sahut Katamori. “Aku setuju.” Memanglah dia setuju, kerana fikirannya pun sama
sahaja denga bosnya Yato.
Atas arahan Yato, lima
dari mereka yang baru tiba diarahkan masuk ke dalam hutan gelap untuk mengesan
lokasi Ryouji, Hisamiko dan Yoshihisa. Mereka agak keberatan, melihatkan
keadaan hutan itu yang gelap dan suasana dinihari yang menyeramkan. Namun oleh
kerana Yato paling berkuasa di sini, mereka terpaksa akur. Tatkala mereka mulai
memasuki hutan, Yato, Katamori dan Yoshimura menyeringai.
“Yato, apakah
berbaloi kita menangkap mereka? Dengan lima nyawa kita bazirkan dalam hutan itu...”
Terdetik Katamori bertanyakannya.
“Selepas kita
pulang ke Jepun, kita akan datang lagi ke sini untuk mengaut emas-emas itu
sehingga habis. Jika kita biarkan budak dua ekor itu tinggal di sini, mereka
akan mengganggu kerja-kerja kita.”
“Apakah engkau mahu
membunuh mereka?”
“Yoshihisa? Tidak.
Yoshihisa amat penting, aku mahu membawanya pulang sekali ke Jepun. Dia
berpengalaman selok-belok pulau ini, bahayanya, manfaatnya semua di dalam
kepala. Bahkan dia boleh menjadi jurukemudi gantian kita.”
“Jurukemudi
gantian? Apa maksudmu?”
“Nanti aku
beritahu.”
“Dan budak dua ekor
itu?”
“Pun aku tidak mahu
bunuh. Aku mahu gadis itu. Dan abangnya juga amat berguna, seni bertarungnya.”
“Hah, engkau pun
maklum kemahiran bertarungnya. Dan engkau yakinkah budak dua ekor itu boleh
ditangkap? Mereka Okuhida, Yato. Okuhida. Petarung Maharaja yang tidak
terkalahkan.” Tegur Katamori cuba memahami kewajaran menangkap dua Okuhida itu.
“Aku ada cara.
Disebabkan itu aku selidik latar semua ahli pasukan pelindung sebelum ke sini.”
“Hah, sedangkan kau
sendiri dari pasukan itu.” Katamori berseloroh.
Yato tersenyum
mendengar ironi yang diperkatakan Katamori.
Yato meneruskan
berbicara mengenai perancangannya, “Jika mereka cuba melarikan diri, aku akan
membiarkan mereka mati. Yoshimura, engkau ada bawa racun baru itu?”
Katamori
kebingungan. Racun? Racun apa pula?
“Ya, Yato. Engkau
bertanyakan soalan ini dua kali dalam satu malam sahaja.”
“Jadi, apakah kau
ada masalahnya dengannya?” Yato menjegil seolah mengugut. Sengaja mahu dia uji
pengikutnya itu.
“Erm, tidaklah.”
“Jadi Yoshimura,
apakah racun yang kau bawa itu?” Sampuk Katamori.
“Ia diolah dari aotsuyu
untuk petarung kaminari. Lebih cepat kesannya. Tentera Maharaja
bercadang menggunakannya ke atas Shirasaka Ayame namun dia telah mati dahulu
sebelum ia berjaya dihasilkan.”
“Kadar resapan
meningkat jika yang disuntik bergerak.” Sambung Yato sekadar mahu menunjukkan
bahawa dia tidak lupa penerangan racun itu yang pernah diberikan Yoshimura.
Yoshimura sekadar
mengangguk perlahan mengiyakan. Dia menambah, “Dan racun itu akan hilang dan
melenyap melalui pernafasan selepas dua hari dengan syarat mereka tidak banyak
bergerak.”
“Ya. Racun yang
amat sesuai untuk insurans. Insurans bagi memastikan tawanan akur jika mereka
berjaya melepaskan diri dari belenggu tali kita. Namun itu tidak bermakna kita
tidak perlu mengikat mereka langsung.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan