Berbalik kepada kisahku di Dejima, dari iklan itu, aku mendapat tahu sebuah syarikat sedang merekrut ahli rombongan pelayaran ke sebuah lombong emas di sebuah pulau yang tidak didedahkan namanya. Rombongan tersebut ingin mencari orang yang pandai bertarung dan pandai melombong.
Aku tidak tahu
melombong emas, namun aku tahu serba-sedikit kaedah melombong belerang dari
Azusa. Tapi yang aku pasti, aku tahu bertarung. Itu sudah terbukti. Kami pernah
membantu Maharaja. Tanpa berlengah, aku memohon untuk menyertai, dan kami
diterima mudah.
Aku sedar risiko yang
bakal dihadapi. Aku paling membimbangi Hisamiko kerana dia seorang sahaja
wanita dalam rombongan itu. Aku harus sentiasa bersamanya. Aku harus pastikan
bahawa dia tahu di mana dia harus mengeluarkan kemahiran bertarungnya jika
keadaan menuntut.
Kami berdua
melindungi wajah dengan topi kon yang besar seperti samurai ronin. Kami cuba mengasingkan diri dari
ahli-ahli rombongan yang lain. Hisamiko senantiasa bersamaku ke mana sahaja kami
berjalan di dalam kapal tersebut. Hisamiko hanya akan membuka topi kon tersebut
apabila berada di tempat tersorok.
Azuchi masih
bersama kami, sehinggalah kami berlayar agak jauh dari pesisir di Dejima. Waktu
itu, ia mulai datang rapat dengan Hisamiko dan menuturkan sesuatu dalam
bahasanya. Hisamiko kulihat mengalirkan air mata sambil mengusap jemalanya.
Burung itu memandangku dan Hisamiko dengan wajah sayu. Aku kebingungan. Ia
terbang dan tidak lagi menoleh, menghala ke Jepun. Aku bertanyakan Hisamiko,
dan dia memberitahuku Azuchi tidak boleh meninggalkan Jepun lebih dari jarak di
mana mereka berada sekarang di tengah samudera. Ia akibat sihir Amaguri yang
menuntutnya sentiasa berada di Jepun. Aku faham. Maka dengan terputusnya
Hisamiko dari Azuchi, dia tidak lagi dilindungi hayabusa-no-kami.
Berdasarkan penjelasan Shinji yang menafsir buku ramalan Amaguri, ia petanda
bahawa Hisamiko telah secara rasminya dianggap oleh kami itu tahu
melindungi dirinya sendiri. Hisamiko telah mencapai tahap petarung yang tidak
lagi terkalahkan. Aku gembira bercampur gentar. Gembira, kerana Hisamiko pasti
akan selamat selepas ketiadaanku. Namun aku gentar, kerana petarung yang tidak
terkalahkan itulah Kaisenjyo. Ia salah satu cirinya.
Apakah masih ada
ikhtiar yang boleh kuusahakan demi membentuk Hisamiko agar tidak memenuhi
ramalan itu?
Apapun, aku melihat
tanah tempat tumpah darahku berbalam-balam semakin hitam di kejauhan. Mungkin
ini kali terakhir aku berpeluang melihatnya. Aku tidak akan kembali lagi ke
Jepun.
**
Hisamiko dan Ryouji
telah diterima menyertai pasukan pelindung untuk Syarikat Perlombongan Kyushu.
Pasukan pelindung
bertugas melindungi para pelombong dari sebarang bahaya pulau dan juga sebagai
pasukan bantuan sekiranya pengurus rombongan gagal meleraikan pertengkaran atau
pertengkaran melarat sehingga melibatkan keganasan.
Seorang lelaki tua
kerapkali dilihat duduk di atas kotak-kotak kayu merenung lautan, berhampiran
lokasi Ryouji dan Hisamiko.
Hisamiko duduk di
sebelahnya dan memberanikan diri menegurnya. Ryouji di belakang memerhati.
“Siapa namamu, ojii-san?”
Lelaki tua itu
menoleh. Wajahnya sedikit terkejut. Setelah lama berlayar barulah dia ditegur
seseorang. Jambangnya putih uban dan janggutnya panjang. Dia memakai yukata
berwarna perang dari kain kapas, dan topi kon berwarna kelabu. Tangannya
memegang sebatang kayu berwarna hitam yang seringkali dibawa aristokrat Barat.
“Yoshihisa.” Balas
lelaki tua itu. “Kalian adik-beradik?” Tebaknya. Mungkin dalam lama berada di
situ dia ada mendengar perbualan mereka dan mengagaknya.
“Ya. Namaku Okuhida
Hisamiko. Ini abangku Ryouji.” Ryouji tunduk hormat, Hisamiko menyambung, “Apakah
kau berlayar seorang diri?”
“Begitulah.
Isteriku telah meninggalkanku bersama anakku.” Matanya menjeling ke arah atas
kanannya sebaik menuturkan.
“Oh maaf.”
“Tidak mengapa.
Sememangnya bila kita sudah tiada guna lagi, kita akan dibuang.” Kata lelaki
tua itu. Nadanya kehampaan dan seolah-olah mahu meluahkan namun tertahan sekian
lama. Dari wajah tua berkedut terserlah kekecewaan hidup yang cuba
disembunyikan sekian lama tatkala merenung lautan. Mungkin pelayaran ini ruang
baginya mencari laluan baru hidup dan membawa kekecewaan itu pergi.
Ryouji merenung
tubuh lelaki ini. Bagaimana mungkin dia melombong dengan tubuh tua begini?
Sudahlah bertongkat pula. Namun tongkatnya aneh. Tidak seperti tongkat yang
dibawa untuk menopang. Tetapi lebih kepada gaya, iaitu tongkat yang dibawa
aristokrat berada dan berpakaian ala bangsawan Prussia seperti yang banyak dilihat
di Tokyo.
“Apa yang berlaku
Yoshihisa jii-san ?”
Orang tua itu merenung
lautan.
“Aku punya
perniagaan dahulu. Selepas perniagaanku jatuh akibat Perang Boshin, aku
ditinggalkan isteri dan anakku. Aku berkelana dan bertemu iklan menawar pekerjaan
ini ketika di Kyushu.”
Hisamiko dan Ryouji
tekun mendengar dan rasa kasihan mula berembun membasahi hati. Orang tua ini
juga diduga tragedi seperti mereka. Mereka ‘sekapal’, kiasan juga fizikal.
“Dan kalian pula?”
Giliran Yoshihisa ‘membeli’ selepas menawar ceritanya sedikit.
Hisamiko memandang
Ryouji, seolah-olah meminta pandangan apa wajarkah mereka berkongsi kisah,
sedang mereka adalah orang yang sedang diburu. Ryouji mengangguk kecil, kerana
dia yakin orang tua ini tidak tahu latar mereka melihatkan riaknya selepas
mereka mendedahkan nama.
Orang tua itu
tersengih, “Sudah pastilah kalian menyertai pelindung. Oh, aku benar-benar
sudah tua. Pedang di pinggang kalian itu pun sudah mengisyaratkannya.”
“Ah, ya. Kami
mendapat tahu rombongan ini merekrut pasukan pelindung maka kami telah menawar
diri menyertainya.” Hisamiko menambah.
“Kalian dari
keturunan Okuhida? Apakah Okuhida yang sama yang menumpaskan pemberontakan
Shirasaka Ayame, dan melindungi Maharaja? Dan aku dengar bukankah kalian
mengambilalih sebagai pemimpin utama Kogen?”
Menyirap darah
Ryouji mendengarnya. Habislah kami! Tajam juga orang tua ini! Tak sangka dia
mengambil pusing perkembangan semasa.
“Ya.” Balas Ryouji
perlahan, memotong Hisamiko dari meneruskan bicara. Dia keberatan bercerita
penuh. Namun memikirkan yang mereka sedang berada jauh di tengah samudera, dan
kedudukan mereka yang terasing dari lain-lain anak kapal, dia berasa sedikit
selamat meskipun masih berwaspada dengan bicara.
“Aku telah membubarkan
Kogen dan menyerahkan sepenuhnya kepada Maharaja.”
“Membubarkan
Kogen?”
“Aku terpaksa
mewarisinya. Namun aku memutus melepaskannya.”
“Mengapa engkau
memutus begitu?”
“Aku tidak boleh
membahagi hati.” Terang Ryouji.
“Membahagi hati?”
Ryouji menyambung,
“Aku bimbang aku akan menjadi seperti seseorang. Samurai terakhir itu.”
“Saisho Takanori?
Mengapa dengannya?”
Oh, bukan calang-calang orang tua ini, getus Ryouji. Dia mengambiltahu
hal semasa.
“Ternyata dia tak
mampu membahagi hati antara Maharaja dan kesamuraian, dan akhirnya dia memilih
yang kedua. Aku dengar sehingga di saat akhir titis darahnya dia masih enggan
mengalah.” Terang Ryouji dari perkhabaran Koichi. “Tragik. Bagaimana engkau
mati di hadapan bekas sekutumu.”
“Dan aku bimbang
aku terpaksa menentang baginda demi melindungi darah dagingku.” Jelas Ryouji
separa berbisik agar tidak didengari Hisamiko yang sedang ralit memandang laut
tatkala menyedari dia tersisih dari perbualan itu.
“Saisho Takanori.
Selamanya dia akan diingati kerana mempertahankan kesamuraian, namanya bakal
terpahat dalam lipatan sejarah kita. Namun masa mengubah manusia. Manusia perlu
berubah atau mereka akan diubah. Kita sudah jauh ketinggalan dari Barat. Dan
keengganan aku mempelbagai perniagaanku membuka ruang kepada kemuflisan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan