Ketua syarikat itu menggosok-gosok dagunya.
“Itu sahaja?”
“Ada lagi. Aku mahu
engkau beri pampasan kepada keluarga pelombong yang mati.”
Tidaklah jelas apa
yang dimahukan Yoshihisa dengan permintaan ini. Apakah dia masih punya rasa
sesal kerana membunuh rakannya dan mahu menebus dengan pampasan? Atau sekadar
mahu mencipta konflik bagi mewajarkan pertengkaran dengan ketua syarikat atas
dendam dan marah kerana sikap bersenang-lenang di atas kematian para pelombong
sepertinya dan memandang murah nyawa? Dia sendiri keliru.
“Maaf Yoshihisa.
Engkau pun maklum bukan akan syarat kami? Kami tidak akan bertanggungjawab
terhadap kematian pelombong. Semua pelombong pergi di atas risiko sendiri,
engkau tidak ingat?”
“Ya. Aku mengambil
risiko, tidak, kami mengambil risiko. Sedang engkau duduk di sini bersenang-lenang
menuai hasil. Kamilah yang patut menguruskan hasil lombong. Yoshimura,
Katamori!”
Dua orang kanan
Yato yang belot itu muncul, “Ya, Yoshihisa-sama!”
Yoshihisa memberi
isyarat dengan tangannya, seperti isyarat memotong.
Katamori berhadap-hadapan
dengan ketua syarikat yang sedang duduk di atas kerusi, gesit, memegang hulu pedangnya
dan menarik pantas. Sejurus itu kepala ketua syarikat lesap dari lehernya.
Yoshihisa menutup
mata. Sebaik terdengar bunyi kepala bergolek di atas lantai, dia mengeluarkan
sapu tangan dan menyapu percikan darah di mukanya. Menyedari itu, Katamori
memohon maaf.
“Tidak mengapa,
Katamori.” Kata Yoshihisa seraya bangun dan berjalan menuju ke sebelah kerusi
ketua syarikat itu.
Yoshihisa menendang
tubuh tanpa kepala itu dari kerusi, kemudian dia duduk bersahaja mengambil
tempat mayat itu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia mengeluarkan curut.
Yoshimura menghulurkan pemetik api buatan Amerika, dan menyalakannya.
“Bersihkan
mayatnya. Mulai hari ini aku adalah ketua syarikat lombong ini. Kalian berdua
adalah ketua pegawai operasi.”
Katamori dan
Yoshimura memandang satu sama lain. Kemudian mereka senyum. Hampir serentak
mereka bertanya, “Bagaimana dengan Yato?”
“Oh, kalian bunuh sahaja
dia. Humbankan jauh-jauh dariku.” Ada getar di balik arahan itu. Peringatan
Yato sebelum dia dibawa pergi ke kurungan menaikkan bulu roma. Dia menyedut
asap curut sedalam-dalamnya, seolah-olah cuba memadam jelingan dan renungan
Yato itu dengan kabut asap curut.
“Bawa kepalanya ke
sini sebagai bukti. Selepas itu aku akan menggandakan upah kalian.”
“Ryoukai, Yoshihisa-sama!”
Yoshihisa
mengisyaratkan dengan tangannya seperti isyarat menghalau, agar dua orang itu
segera beredar melaksanakan tugas mereka.
Meski cara yang
digunakan Yoshihisa untuk merampas syarikat itu amatlah kotornya, dia tahu
mengemudinya seperti kapal. Sebagaimana dia mengemudi kapal mereka pulang tanpa
pelan kemudi dan hanya berbekalkan gerak hati dan pengalaman, begitu jugalah
dia mengemudi syarikat itu. Dia pernah gagal dan ditipu ketika mengusahakan
syarikat lama sebelum berlayar ke Yumejima, bahkan dia jatuh murung. Dia
bertekad tidak akan ditipu di dalam dunia perniagaan ini. Untuk itu, dia fikir
dia perlu menggunakan cara hitam demi bertahan dalam dunia anjing makan anjing
ini. Dia tidak mahu kemurungan seperti dahulu. Dia tidak mahu dibuli ahli
perniagaan dan pedagang lain seperti dulu.
Dia adalah pembuli.
Selepas ini tiada sesiapa lagi yang akan membulinya lagi.
Syarikat itu berkembang
maju di bawah pimpinan Yoshihisa dan Maharaja Jepun menganugerahkan berbagai
penghargaan dan memberikan pelbagai projek kepada Yoshihisa, sehinggalah kepada
projek terakhir iaitu perlombongan kesemua emas di Yumejima.
Yoshihisa akan
kembali ke Yumejima kelak, bukan sebagai orang tua miskin dan muflis, namun
sebagai ahli perniagaan berjaya.
**
“ONII-SANNNNNNNNN!!!!!!!!”
raungan Hisamiko bergema di luar gua kecil itu, mengejutkan kelawar-kelawar
yang sedang tidur, gesit mereka berterbangan keluar. Dia sedang duduk sambil
memangku mayat Ryouji.
Dia menangis dan
terus menangis. Lama sedu-sedan dan esakan itu bergema memecah hening pulau.
Jarinya mengesat darah yang mengering di dada Ryouji. Mata abangnya sudah
membiru. Kulitnya sudah mula memutih. Sejuk. Dingin angin samudera sama menambah
mempercepat pendinginannya.
Berjam-jam dia
mendakap tubuh Ryouji yang sudah kaku. Setelah hari hampir gelap, dia keletihan
dan tertidur, masih mendakap tubuh Ryouji. Dia bermimpi.
“Hisamiko, maafkan
abang. Engkau mesti teruskan hidup. Berkawanlah dengan binatang itu. Engkau
pasti selamat di pulau ini.” Ryouji berpesan di dalam mimpi itu.
Hisamiko terjaga.
Dia terkejut mendapati mayat Ryouji sudah tiada di pangkuannya.
Binatang? Binatang
apa? Di mana jasad onii-san?
Dia berjalan
mencari-cari jasad abangnya di sekitar kawasan gua itu. Lubang masuk gua itu
bersaiz sedikit besar berbanding gua di tepi Sungai Miya tempat dia pernah
bersembunyi dahulu. Ia terletak di atas sebuah tebing tinggi menghadap lautan
lepas. Di sekelilingnya hanyalah timbunan batu-batu besar, ada yang bersih dan
ada yang berlumut, serta kawasan-kawasan berumput jarang. Jauh di belakang sana
adalah hutan gelap tempat mereka bersembunyi tempoh hari dan juga tempat
makhluk aneh keluar menyerang musuh mereka.
Ketika
berjalan-jalan mencari jasad Ryouji, Hisamiko terkejut mendapati seekor
binatang yang sangat besar, lebih kurang tiga kali ketinggiannya, bertubuh
lebat berbulu berwarna putih, sedang duduk seperti seekor anjing. Dia
perlahan-lahan berjalan menjauhi makhluk itu, bimbang ia menyedari
kehadirannya.
Sambil berjalan,
Hisamiko dapat mendengar bunyi pernafasan haiwan itu, seperti bunyi dengkuran
yang amat dalam dan berkelangsingan rendah. Sekali-sekala angin yang kuat dari
arah laut bertiup dan menghalangnya dari meneliti bunyi itu. Ketika angin mula
bertiup perlahan, binatang aneh itu menggerakkan hidungnya seperti sedang
mengesan bau sesuatu.
Ia menoleh,
memandang tepat Hisamiko. Hisamiko berjarak hanya kira-kira lima puluh langkah
darinya. Dia kaget, tercatuk langsung di tempat di mana dia berdiri. Mati aku!
Wajah binatang itu
seperti seekor anjing, namun matanya bulat kemerahan. Giginya seperti gigi
serigala, beberapa taring dapat dilihat keluar sekiranya ia menutup mulut.
Telinganya panjang dan menjulur ke udara, seperti telinga kucing. Bulu-bulu
putih, panjang dan lebat memenuhi kening, misai dan pipinya. Rambutnya juga
putih dan keseluruhan badannya dipenuhi bulu-bulu putih. Bahagian bawah
badannya seperti bahagian bawah badan seekor kucing. Lilitan pinggangnya lebih
kurang empat kali pemeluk Hisamiko. Dengan saiz begitu, makhluk ini bolehlah disimpulkan
sebagai seekor gergasi anjing berbulu putih dengan gigi serigala.
Hisamiko seram
sejuk menatap wajah makhluk aneh itu. Dengan wajah serigala dan saiznya besar
luar biasa, siapapun akan gerun. Kemudian dia perasan sesuatu. Terdapat
timbunan tanah di hadapan makhluk itu, seperti baru sahaja digali. Dari
timbunan tanah itu, terjulur keluar obi Ryouji.
Hisamiko tersentak. Ketakutannya hilang serta-merta. Dia menjerit “Onii-san, onii-san!” seraya berlari ke
arah timbunan tanah itu.
Dia menggalinya
tanpa mempedulikan binatang itu. Binatang itu pula, hanya duduk diam memerhati
Hisamiko, tidak pula menyerangnya. Ia nampaknya langsung tidak mengerti
perlakuan Hisamiko.
Hisamiko menggali
dan menemui tubuh Ryouji berada dalam keadaan sempurna di balik timbunan tanah
itu. Dia menarik tubuh Ryouji keluar dan memeluknya sambil menangis.
“Onii-san, doko itta no (Ryouji ke mana
engkau pergi)? Onii-san ikanaide ... (Ryouji
jangan pergi) Miko kowai ne hontou kowai ne hontou kowai ne
hontou kowai ne.... (aku sangat takut)” Hisamiko menampar-nampar tubuh
Ryouji yang bersememeh dengan tanah itu. Jasadnya sudah mulai dirayap ulat dan
kian menghitam. Bibir dan kelopak mata sudah membiru.
Hisamiko mengomel
seorang diri, “Miko hitori dai kirai (aku
amat benci berseorangan)...hitori dai
kirai ne...hitori dai kirai dai kirai dai kirai ne (aku benci berseorangan)...Onii-san...”
Esakannya semakin
kuat, kadangkala angin laut yang berpuput menenggelamkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan