Novel: Yumejima (Bab 6)

Ahli rombongan kemudian diberi taklimat oleh pengurus projek melombong. Mereka diperingatkan agar tidak berada di kawasan lombong pada waktu selepas matahari terbenam sehingga matahari terbit. Jika mereka berada di situ pada waktu tersebut, mereka akan menanggung sendiri risiko sekiranya mereka ditimpa musibah.

 

Pengurus kemudiannya bertanya pasukan pelindung. Okuhida bersaudara dan pemuda yang pernah terpaku melihat Hisamiko tadi mengangkat tangan bersama para pengiringnya. Hanya ada lima orang sahaja. Ryouji merenung tajam pemuda tersebut. Pemuda itu tidak membalas renungan Ryouji dan pura-pura memandang ke arah lain.

 

Kontrak yang ditandatangani pasukan pelindung adalah sedikit berlainan berbanding kontrak yang ditandatangani pasukan pelombong. Mereka akan diupah dengan sebahagian emas yang dilombong oleh ejen sekembali ke Jepun, dan mereka tidak perlu melombong dan hanya melindungi para pelombong tersebut. Jika terdapat pelombong yang cedera diserang atau mati di luar waktu yang dibenarkan berada di kawasan lombong dan di luar kawasan penginapan, maka upah kepada pasukan pelindung tidak akan dikurangkan. Namun sekiranya hal yang sebaliknya berlaku, maka upah mereka akan turut dikurangkan. Selain bertugas melindungi para pelombong, pasukan pelindung juga bertugas meleraikan pertelingkahan antara pelombong sekiranya ada berlaku, dan juga menangkap pelombong-pelombong yang cuba melarikan diri dengan emas yang dilombongnya lalu mengingkari kontrak yang telah ditandatangani dengan ejen. Ini menyebabkan sebahagian pelombong yang telah memiliki perancangan sendiri untuk mengaut emas tersebut tidak menyukai pasukan pelindung ini dan bahkan memiliki perancangan untuk membunuh mereka. Yoshihisa telah mengesan golongan ini sejak dari dalam kapal lagi melalui pemerhatiannya.

 

Mereka dikehendaki berjalan 500 meter mengikut sebuah denai untuk ke penginapan mereka. Yoshihisa melilau dan banyak termenung seolah-olah dia cuba mengingat sesuatu, dan perlakuan Yoshihisa sekali lagi menarik perhatian Hisamiko.

 

“Yoshihisa, aku ingin membuang air. Kautahu di mana tempat yang sesuai?” Hisamiko berpura-pura bertanya demi menguji Yoshihisa.

 

“Di sana ada kawasan tanah berpasir, di tepi sungai itu.” Tanpa berfikir panjang, Yoshihisa menunjuk arah ke tempat tersebut.

 

“Yoshihisa, engkau pernah ke sini bukan?” Hisamiko menyoal dengan mata merenung Yoshihisa.

 

Yoshihisa menyedari kata-katanya tadi telah membongkarkan bahawa dia pernah ke sini. Apakah patut dia menafikan? Namun, melihatkan renungan Hisamiko, dia sedikit gentar, ditambah dengan tebakan dan nadanya. Niatnya mahu terus berselindung terbantut. Yoshihisa menyerah kalah, dia menundukkan wajah.

 

“Ah, mengapa engkau mahu menyembunyikannya dari kami.” Ringan mulut Hisamiko menerima tindakan Yoshihisa, seraya terus berjalan. Lelaki tua itu merah padam ditangkap siang-siang begitu sahaja.

 

“Hisamiko, usah bising-bising hal ini. Bolehkah kalian? Aku mohon. Aku telah berjanji simpan kejap rahsia kalian. Mohon kalian juga simpan kejap rahsiaku. Onegai, Hisamiko.”

 

“Usah bimbang Yoshihisa.” Ujar Hisamiko seraya memandang ke hadapan, berjalan mendahului lelaki tua itu. Hisamiko nampak seperti tidak mengendahkan alasan di sebalik Yoshihisa mahu berselindung dari memberitahu perkara sebenar. Namun di dalam hati rasa curiga menusuk. Fikirannya menerawang mencari kewajaran di sebalik tindakan Yoshihisa. Mengapa dia ingin menyembunyikannya?

 

Yoshihisa lega mendengar jaminan Hisamiko. Dia berharap Hisamiko tidak bertanya lanjut. Mereka diam janggal sehingga sampai ke teduhan.

 

Mereka melepaskan lelah di atas lapisan daun dan lalang kering yang dibentuk menjadi tilam di dalam sebuah teduhan dan dilapik dengan kain. Yoshihisa berkongsi rumah dengan Ryouji dan Hisamiko. Setiap rumah menempatkan tiga orang penghuni. Perbaringan Hisamiko jauh dari Yoshihisa dan Ryouji dan ditutup dengan pintu gelangsar, membahagi rumah itu kepada dua. Ada dapur arang kayu terbiar yang perlu dibersihkan dahulu. Ada periuk belanga dan juga salur air yang membawa bekalan air dari sungai, mengalir di bawah lantai dapur. Untuk menggunakannya, mereka hanya perlu membuka penutup salur dan mencedok air ke dalam cangkir kayu. Di rumah itu juga ada ruangan untuk mandi dan membuang air. Segalanya lengkap, hanya perlu dibersihkan dahulu.

 

Mereka ansur mengemas dan membersihkan apa yang perlu. Usai mengemas, mereka melepaskan penat di katil masing-masing.

 

Dalam berehat Ryouji memikirkan kembali berkenaan taklimat dan kontrak mereka. Ryouji berasa hairan berkenaan kontrak yang ditandatanganinya dengan ejen. Jika mereka adalah pasukan pelindung, mengapa mereka hanya perlu melindungi pelombong-pelombong pada waktu siang sahaja? Adakah emas-emas tersebut tidak akan dicuri pada waktu malam meskipun tiada pelindung yang bertugas mengawal lombong? Bagaimana ejen berasa yakin bahawa pelombong tidak akan menceroboh lombong pada waktu malam?

 

Dan ejen itu... aku fikir ejen itu dipengaruhi. Entah, ia hanya firasatku. Aku sedar, lelaki yang bernama Yato itu kerapkali memaku pandangan pada ejen. Seolah-olah dia membonekanya. Seolah-olah dia telah mengugutnya dahulu.

 

Ryouji mengambil keputusan untuk keluar meronda di sekitar kawasan lombong pada waktu malam bagi mendapatkan kepastian. Seperti biasa, dia dan Hisamiko akan tidur bergilir-gilir, seperti amalan kebiasaan mereka ketika berkelana sewaktu bertugas sebagai Bayu Malam ketika di Honshu. Ryouji tidur dahulu, dan Hisamiko memerhati keadaan sekeliling. Kemudian, tibalah giliran Ryouji berjaga. Setelah memastikan Hisamiko nyenyak tidur, dan memastikan Yoshihisa masih lena di katilnya, dia mengambil kesempatan untuk keluar memerhati lombong.

 

Dia terperanjat apabila mendapati beberapa orang pelombong sedang berkumpul dan merancang untuk menyeludup keluar bongkah-bongkah emas-emas tersebut. Mereka juga merancang untuk menculik kesemua pelindung dan sekiranya pelindung-pelindung itu melawan, mereka akan dibunuh. Mendengarkan perancangan itu, Ryouji berasa marah.

 

Tidak semena-mena, bahu Ryouji dipegang seseorang dengan kuat. Ryouji menoleh dan mendapati lelaki yang merupakan sebahagian dari pasukan pelindung, iaitu pemuda yang selalu memerhati Hisamiko itu menghunus pisau ke lehernya. Yato itulah. Di belakang Yato terdapat tiga orang ahli pasukan pelombong.

 

Ryouji tangkas menangkis hunusan pisau Yato dan mengundur. Yato tergamam.

 

“Apa engkau mahu?”

 

“Bertenang, Ryouji. Kita sama-sama pasukan pelindung.”

 

“Jadi?”

 

Sebentar. Apa maksud Yato? Sama-sama pelindung?

 

“Engkau bukan baru sahaja mendengar mereka?” Tebak Yato.

 

“Mereka mahu membunuh kita...”

 

“Benar. Para pelindung yang tidak bersamaku sahaja akan dibunuh.”

 

Jelas, Yato telah bersubahat dengan para pelombong itu, getus Ryouji.

 

“Ryouji, jika engkau menyertai kami, aku tidak akan mengapa-apakan kalian. Bahkan kami akan berkongsi emas-emas ini denganmu.”

 

“Tidak, aku sudah berjanji dengan syarikat kita. Kalian tidak boleh mencuri emas ini. Yato, engkau lupa tugas kita memastikan semua pekerja mematuhi peraturan syarikat dan menjamin keselamatan mereka di sini?”

 

“Hei, Ryouji. Mengapa patuh sangat? Di sini tiada polis, tiada tentera. Siapa yang berpengaruh dan kuat, dia berkuasa. Mereka para pelombong semua sudah bersetuju dengan perancanganku. Kami akan melombong semua emas ini dan lari dari syarikat itu. Dan engkau tidak ingatkah, syarikat itu tidak akan bertanggungjawab jika kita mati di sini. Apa alasan engkau untuk setia dengan mereka?”

 

Ryouji mula berbolak-balik. Pandangan Yato sukar untuk disangkal. Namun tujuannya ke sini bukanlah untuk kembali ke Jepun. Ryouji mahu menetap di sini. Dia sudah tiba di sini dan tidak akan lagi kembali ke sana. Menyertai syarikat itu hanyalah alasan. Tiada guna dia taat setia kepada syarikat itu. Tiada guna. Semua ini tiada maknanya.

 

“Aku tidak akan menyertai kalian. Aku mahu menetap di sini.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...