Seorang lelaki dengan yukata perang penuh kesan koyak dan tanah-tanah keras degil melekat sana-sini, duduk bertapa di atas batu di luar pintu gua, mengadap laut lepas. Pedang bersarung diletak di atas ribanya. Rambut panjang keriting sekali-sekala menutup mata tatkala angin laut berpuput.
Dari atas dia dapat
melihat dua orang gadis sedang berjalan beriringan di sepanjang pesisir pantai.
Dia tahu, gadis-gadis itulah yang ‘diselamatkannya’ dari seorang pengendap yang
memegang tantou. Pengendap itu telah
dibaham haiwan peliharaannya Kuro. Dengan santapan itu, Kuro tidur lena untuk
seminggu. Namun tanpa daging manusia, Kuro hanya memakan ikan dan perlu
memakannya setiap hari. Daging manusia adalah satu kemewahan buat Kuro,
sepertimana sebuah jamuan perayaan. Perayaan harus dilakukan jarang-jarang.
Jika dilakukan setiap hari, bukanlah perayaan namanya. Jika Kuro dibiarkan
‘beraya’ setiap hari dengan daging manusia, dibimbangi dia mahu ‘beraya’
selama-lamanya.
Sudah sekian lama
dia bertapa di sini, sejak puluhan tahun lalu lagi. Setiap kali dia memejam
mata, mimpi itu pasti datang kembali. Bagaimana dia ditikam rakan sekapalnya di
pinggang. Dia tahu dia tidak tahu bertarung. Dia harus melarikan diri. Tidak
pernah terlintas di fikiran bagaimana tabib kapal sepertinya turut menjadi
mangsa kepada rakan sekapalnya itu. Rakan sekapalnya itu telah membunuh semua
ahli kapal kecuali dirinya dan Yoshihisa. Yoshihisa pula melarikan diri dan
membiarkan dia berseorangan di sini.
Dia tidak langsung
menaruh minat terhadap emas-emas itu. Baginya dia sudah cukup puas dengan
upahnya sebagai tabib. Dia sudah cukup puas jika rawatannya berjaya
menyelamatkan manusia dari ambang maut atau sembuh dari gering. Mujur dia
tabib, dia tahu merawat luka tikaman itu. Mujur Kuro datang menyelamatkannya
hari ini, jika tidak entah apalah nasibnya jika Genjirou berjaya menangkapnya.
Di mana engkau
Genjirou?
Dan anehnya,
mengapa gadis berdua itu boleh keluar masuk dari lubang itu sesuka hati? Sedang
engkau Genjirou telah dia, gadis uban dan bersiung itu, sumbatkan ke dalamnya
sehingga engkau hilang tidak keluar-keluar? Di mana engkau Genjirou? Keluarlah,
aku tahu engkau masih hidup! Aku belum puas menyeksamu. Aku belum puas membalas
dendamku!
Aku menyesal kerana
tidak membunuhmu selepas aku temui engkau rebah di kaki bukit hitam itu. Aku menangguhkan
kerana ingin menyeksa dan mempermainkanmu, dan membalas dendam nyawa
rakan-rakan sekapal yang telah engkau bunuh dan juga perdayakan mereka ke dalam
perangkapmu.
Namun gadis uban
datang dan mengambus engkau kala di dalam lubang itu. Kaisenjyo tak guna. Kala
dia mengambusmu, aku tidak dapat berbuat apa-apa. Dia roh yang berkuasa,
semangat abadi pulau ini yang juga telah menyelamatkanku dari Kuro dan
menjadikan ia jinak di bawah telunjukku.
Apa kaitan engkau
dengan gadis-gadis itu, Genjirou?
Masih dalam
pertapaan, dia menerawang mencari penyelesaian, cuba merungkai agar hidupnya
tidak diselubungi misteri. Dia tidak boleh memunculkan diri. Dia telah melihat
sendiri bagaimana salah seorang dari gadis itu merupakan pemedang handalan yang
memotong jari lelaki itu. Dia tidak pernah melihat petarung sepantas itu.
Bahkan, pergerakannya setara anjing putih itu. Dia telah melihat bagaimana
anjing putih itu mengambil masa menewaskan gadis itu sebelumnya.
Aku melihatnya
sendiri. Aku perlu berhati-hati atau aku pula yang akan ditangkapnya. Gadis
petarung itu bukan sembarangan. Aku tidak menyangka dia masih bertahan meskipun
abangnya telah mati. Kaisenjyo, nampaknya engkau harus menunggu sedikit masa
lagi sebelum berjaya menempati jasad gadis ini.
“Engkau menyeru
namaku, Tomokazu?”
Terkejut beruk,
darah menderu laju ke benak lelaki petapa itu tatkala namanya diseru suara
lunak seorang wanita muda. Dia menoleh. Seorang wanita beryukata serba putih
berdiri, dengan rambut putih panjang mengurai dan wajah muda jelita namun
menggerunkan dengan siung kelihatan terkeluar dari bibir atas. Wanita itu
mengukir senyum. Tomokazu memandang bermula pada wajah, dan tanpa sedar mata melarat
merayap menuruni ke sepasang buah dada yang tersembul di celah yukata dan
pinggang dan peha dan kaki yang tidak bercapal, putih melepak. Oh, indah
tubuhnya, dengan lengkuk menggiurkan seperti bidadari. Ingin sekali dia
menyentuh wanita ini namun dipendamkan keinginan itu atau pertapaannya akan jadi
sia-sia seperti buih-buih yang berpecahan di lautan. Dan bukanlah jiwanya
berani cukup untuk mendekatinya tatkala melihat siung itu dan oh ya, telinganya
tajam dan besar menikam udara dari celah rambut yang mengurai putih.
Wanita ini kurang
manusia penampilannya. Kenyataan itu sudah cukup mengendurkan segala urat
syahwat Tomokazu.
Pandangan Tomokazu
kembali ke wajah gadis rambut uban itu. Dia masih mengukir senyum, Tomokazu
merenungnya. Sinisnya dapat dibaca. Ada seribu satu makna tersimpan. Senyuman
itu menuntut sesuatu seperti ceti menuntut hutang. Satu kemustahilan pabila ceti
yang datang senyum kepadamu, namun satu kebiasaan adalah senyuman itu menikam
dan punya seribu satu perkhabaran yang mengancam sukma, bahawa engkau harus
sedia membayar hutangmu bersekali dengan bunga dan harus sentiasa beringat
dengan janji-janji semanis tebu pada lembaran kontrak yang kautandatangani.
Biasanya manusia berjanji pabila terdesak dan pabila datang senyuman begitu,
barulah dia gelabah menggodek-godek kotak memori akan isi perjanjian.
“Luar biasa gadis
itu.”
“Ia di luar kuasaku
Nozomi.”
“Kaisenjyo.”
“Oh ya, Kaisenjyo.
Maaf.”
“Ingat Tomokazu. Nozomi
adalah jasad yang kutempati ini, gadis buangan Maharaja Yamato itu. Sedang
Kaisenjyo adalah aku, yang telah lama menghuni pulau ini. Apa maksudmu ia di
luar kuasamu?” Jelas amarah mengukir pada wajahnya. Taringnya putih jelas
disinar mentari. Matanya membulat bersinar merah semerah garis senja dan dahi
berkerut seribu melangkau umur.
“Binatang putih itu
menghalangnya dari membunuh dirinya. Hari itu perancanganku hampir berjaya.
Andai binatang putih itu tiada di situ –”
“ – aku berikan
sedikit masa lagi.” Potong Kaisenjyo, enggan mendengar lanjut alasan Tomokazu.
“Kaisenjyo, aku
fikir aku perlukan lebih.”
Gadis uban itu
merenung Tomokazu, menagih penjelasan lanjut. Jantung Tomokazu berdegup
kencang, perasaan gerun bercampur teruja merasuk diri. Gerun kerana renungan
serupa harimau, teruja kerana wajah jelita seorang gadis.
“A...Aku mahu
biarkan dia membina persahabatan dahulu dengan gadis yang baru tiba itu.
Kemudian aku akan membunuh sahabatnya. Se...sedang anjing putih itu, aku
serahkan pada Kuro.”
“Engkau pasti gadis
petarung itu akan cuba membunuh dirinya sekali lagi?”
“Pasti. Namun aku
harus lakukan sesuatu yang lebih perinci untuk membasmi anjing putih itu. Ia
sukar ditewaskan.”
Kaisenjyo
tersenyum. Dia hanya boleh menempati jasad baru hasil bunuh diri akibat
keputusasaan dengan hidup dan manusia. Namun keputusasaan itu harus benar-benar
kukuh dan ia rasa yang benar, yang tidak boleh lagi disembuhkan. Seperti
penyakit yang tiada penawarnya. Seperti penyakit gila.
“Aku telah berikan
kau setahun lebih. Berapa lama lagi yang kauperlukan?” Kaisenjyo membelakangi
Tomokazu dan berdiri mengadap lautan. Tangan kedua belah diletak di belakang
badan. Jelas bentuk tubuhnya yang langsing dan punggung besar menggamit gelora
nafsu Tomokazu. Namun tidak, gadis ini bukan manusia. Bukan manusia. Aku tidak
harus bernafsu padanya.
“Hanya lagi
setahun. Aku pastikan aku akan menjayakannya dalam masa kurang setahun.”
“Baiklah. Ingat
janjimu Tomokazu, atau engkau aku bunuh. Ingat siapa yang menyelamatkanmu dari
rakan gilamu itu.”
Berlaga gigi
Tomokazu, geram kala mengingat kembali ugutan Kaisenjyo tempoh hari. Ingatan
begini bersilih ganti mengganggu zen yang cuba dicapai kala duduk bertapa di
atas batu. Angin laut bertiup menghantar kedinginan bercampur-baur dengan seram
sejuk dari gadis uban bersiung yang menuntut ‘hutang’ seperti ceti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan