Seminggu berlalu, Kuro bangkit menuju lelaki petapa. Dia menegur lelaki itu dengan menulis menggunakan ranting di atas tanah. Tulisan itu berbunyi “Tomokazu, aku kesan bau tiga orang lagi.”
“Apakah bau itu dari
lubang di lantai hutan gelap?”
“Tidak, ia dari
lombong emas.” Balas Kuro dengan menulis.
Tomokazu tersenyum
sinis. “Mengapa kalian begitu kepingin benar mahu menjadi santapan Kuro?
Beruntunglah rakan kalian yang mati lemas di lautan. Sekurang-kurangnya jasad
mereka masih sempurna.”
Jika dari lombong
emas, bererti ia rombongan lelaki yang aku bunuh tempoh hari. Genjirou masih di
dalam lubang. Genjirou, keluarlah.
Kala itu dia
teringat bagaimana ketika kapal mereka terdampar di Taiwan, puluhan tahun
lampau. Bagaimana ketika beruang di pulau itu cuba menyerang, dia menjadi
pembenteng utama yang menundukkan haiwan itu dengan renungan mata dan kebolehan
bahasa badannya. Dia fikir jasa-jasanya dikenang. Dibalas. Namun susu nyata
dibalas tuba. Genjirou bukan dari jenis manusia begitu. Genjirou ialah seorang
yang mengemis namun meludah pada tangan yang menghulur.
“Apakah benar
engkau masih belum berjaya mengesannya bau manusia dari lubang itu Kuro?” Soal
Tomokazu.
Kuro menulis, “Aku
bau binatang sahaja. Dan dua orang gadis.”
“Binatang apa?”
“Aku tak tahu.
Hanya binatang. Baunya aneh.”
Tidak, tidak
mungkin! Gadis-gadis itu dan kemudian binatang pula? Apakah dia sudah
benar-benar mati? Aku hairan. Jika benar mati mengapa Kuro tidak bau mayat? Sepatutnya
Kuro masih boleh menghidu bau mayat.
“Kuro, boleh engkau
masuk ke dalam lubang itu?”
“Aku tidak akan
memasukinya lagi. Kerana lubang itulah aku dikambus dan menjadi seperti
sekarang, dan kekasihku meninggalkanku. Dan mengapa tidak sahaja engkau sendiri
masuk ke dalam lubang itu?” Begitulah bunyi soalan Kuro pada tulisan di tanah.
“Aku masih takut.”
“Hah, tikam orang
berani pula.” Seloroh Kuro.
Aku bukan takut.
Aku tidak percayakan Kuro. Kuro mungkin akan melakukan perkara sama kepadaku,
menyumbat tanah tatkala aku di dalam. Atau mungkin, haiwan aneh seperti anjing
putih itu akan menyerangku. Namun tidak, haiwan aneh itu seringkali bersama dua
gadis itu. Apakah ia haiwan yang memang boleh berdamping aman dengan manusia,
seperti Kuro? Tidak, Kuro berdamping denganku kerana sihir Kaisenjyo. Binatang
putih itu belum tentu. Aku tidak mahu mengambil risiko.
“Bukankah aku ada
di sini? Aku akan melindungi dan menyelamatkanmu.” Kuro mencadangkan dengan
tulisan di atas tanah.
Tomokazu tidak
mengendahkan. Dia menyoal, “Engkau kata dahulu engkau tiada kaitan dengan
anjing putih itu. Namun mengapa rupa kalian serupa?”
“Engkau masih
bertanyakan soalan sama. Memang rupa kami sama, namun aku tidak pernah bertemu
dan tiada kaitan dengannya.”
“Kuro, siapa sebenarnya
engkau? Bagaimana engkau boleh faham bahasa kami dan tahu menulis?”
“Beritahu aku
Tomokazu, apa di pulau ini yang tidak aneh?”
Tomokazu tidak
membalas. Dia merenung Kuro, tidak memahami soalannya dan menunggu dia
melanjutkan bicara.
“Banyak bukan?
Jadi, usah kaugunakan apa yang kaulihat di dunia luar sebagai sandaran
perbandingan. Di sini segalanya aneh. Aku begini sejak lahirku.”
“Lahir? Bererti
kaupunya ibu bapa?”
“Tidak ada. Aku
dilahirkan dari perut bumi dan aku tidak tahu dan tidak ingat apa yang berlaku
sebelum itu.” Kuro pantas meninggalkan Tomokazu sebaik menghabiskan kata-kata,
seolah-olah enggan meneruskan bicara. Sama ada dia punya hal lain yang perlu
dilunaskan atau dia enggan perbualan itu melarat sehingga terbongkar rahsianya.
Mungkin dia juga menipu?
Tak guna. Mengapa
aku tidak membunuhnya dahulu tatkala dia terjatuh dari bukit hitam itu? Bisik
Tomokazu kekesalan. Genjirou, aku akan cari engkau sehingga ke lubang cacing.
Usah ingat engkau boleh selamanya bersembunyi dariku.
**
“Di mana
rakan-rakanmu Hisamine?”
“Semuanya hilang.”
“Tentang anak kapal
yang lain?”
“Aku tidak pasti.
Hanya lelaki itu yang berjaya kukesan.”
Mereka duduk-duduk
di atas batu di tepi sungai air panas. Hingar dari air terjun panas yang
menuruni salah satu bukit di situ sungguh menenangkan, mengingatkan Hisamiko
dengan air terjun di Shirasaka-no-Kogen. Juga memori lama bermain air bersama
kembar Ogasawara di lagun. Memori indah yang bermain di fikiran telah
beransur-ansur menjadi racun yang menyengat jiwa dan menghiris sanubari, hari
demi hari tatkala memikirkan dirinya yang terpenjara di sini. Namun kehadiran
Hisamine sedikit sebanyak memecah sunyi yang menyelubung, menghantar pelangi
dan mentari persahabatan dan menyingkir awan kelabu suram dan sedih. Hisamine
adalah alasan yang kian mengukuh untuk dia terus hidup di sini.
Namun Hisamine
punya beban emosi yang menuntutnya pulang. Sebentar, mengapa aku memanggilnya
beban? Beban adalah sesuatu yang menghalangmu dari melakukan perkara yang lebih
penting. Apakah perkara yang lebih penting? Hisamine bersamaku? Tidak, itu
pandanganku. Padaku, Hisamine bersamaku adalah lebih penting dari bersama
kakaknya. Di mataku, kakaknya adalah beban emosinya. Namun di mata Hisamine,
kakaknya adalah pendorong, sinar harapan untuk dia terus mencari jalan keluar
dari sini. Di matanya, kakaknya bukanlah beban emosi, namun pendorong.
Ah, sungguh aku
pentingkan diri. Aku hanya melihat dunia harus berputar di sekelilingku sahaja.
Aku terlalu biasa begitu, terlalu biasa menerima curahan kasih sayang dari onii-san, dimanja-manja nee-chan, dibelai digurausenda kembar
Chiho dan Chinami, dan dicintai Tsuneki. Aku terlalu biasa menerima. Sungguh
aku pentingkan diri.
“Jadi Hisamine,
apakah engkau masih mahu pulang?” Hisamiko memecah sunyi.
“Mata sono mondai... (soalan itu lagi).”
Hisamine mencebik.
Janggal seketika.
Hisamiko dirundung rasa bersalah. Hisamine pula bimbang dianggap dirimaskan
soalan itu seraya memecah sunyi.
“Aku sudah katakan
aku akan menemanimu di sini. Namun aku tidak boleh nafikan yang aku masih rindukan
kakak.”
“Jika engkau
pulang, aku mahu mengikutmu.”
“Bukankah telah aku
katakan yang aku akan membawamu pulang?”
“Sou ka...” Gumam Hisamiko perlahan.
Dalam hati dia senyum berbunga-bunga.
“Bagaimana dengan pusara
abangmu?” Soal Hisamine.
“Aku sudah tidak
kisah.” Hisamiko sedang membuat gerakan tarung dengan pedangnya, berlatih.
“Onii-san sudah lama pergi.” Ada sendu
yang cuba ditahan di dada. Matanya meredup.
Hisamine hanya
tersenyum sendirian, seolah-olah dia sudah tahu Hisamiko pasti akan mengubah
keputusannya.
Hisamine tertarik
dengan gerakan demi gerakan yang dipamerkan Hisamiko. Sekali-sekala dia
melompat seperti menyusur bersama angin laut yang bertiup.
“Apa yang sedang
kaulakukan?”
“Berlatih.”
“Berlatih?”
“Engkau harus
selalu berlatih atau engkau akan melupakannya.”
Terdetik di hati
Hisamine bertanya.
“Sudi engkau
ajarkanku bertarung?”
“Hmm.” Jawab
Hisamiko ringkas, sedang asyik dalam gerakan-gerakannya.
“Namun engkau
perlukan pedang.” Sambung Hisamiko tatkala dia berhenti sejenak.
“Pedang? Aku tak
memilikinya. Namun dahulu aku pernah melihat tukang pedang membuatnya.”
“Jadi, engkau tahu
bagaimana membuatnya?”
“Sedikit.”
Hisamine melihat
sekeliling. Ada kayu sisa rumah. Dia mengambil dan menghunus ke arah Hisamiko.
“Hisamiko, gunakan
sarung pedangmu.
“Engkau mahu
berlatih sekarangkah?”
“Ya.” Jawab
Hisamine nekad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan