“Tapi, ia.... engkau pun tahu bukan?”
“Ya, aku tahu.” Aku
tahu sukar manusia lain menerima kewujudannya kelak. Seekor binatang seakan
anjing gergasi berbulu lebat dan berwajah serigala. Pasti kerajaan Maharaja
bakal menghalau Shiro atau mungkin membunuhnya.
“Dan bukankah ia sudah
lama di sini? Aku yakin ia boleh bertahan di sini tanpamu Miko.”
“Bukan itu
maksudku. Ia bukan binatang biasa, Hisamine. Ia seperti manusia, ia tahu
berbicara dan menulis.”
“Itu aku tahu. Apa
maksudmu sebenarnya?”
“Aku fikir ia punya
perasaan. Ia sunyi dan mahu aku terus tinggal di sini. Sekurang-kurangnya aku
dapat merasakannya sepanjang tinggal di lembah ini. Mine, aku harap engkau
memahamiku.” Hisamiko merayu.
Selepas diam
beberapa ketika merenung wajah Hisamiko, Mine memutus sesuatu.
“Begini, kita boleh
merancang bersama bagaimana membawa Shiro.”
“Shiro tidak boleh
dibawa keluar.” Hisamiko melepaskan apa yang cuba dirahsiakan. Dia perlu
berterus-terang atau Mine akan berterusan mendesaknya lagi.
“Apa maksudmu
Miko?”
“Shiro...setiap
kali ia terbang keluar, ada angin yang akan menolaknya kembali ke pulau. Itu
yang aku dapati tatkala terbang dengannya.”
“Angin?”
“Aku tidak tahu
dari mana datangnya. Seolah-olah Shiro dihalang dari keluar meninggalkan pulau
ini. Itu yang dia beritahu kepadaku.”
Hisamine tunduk
sambil menekup muka dengan sebelah tangan. Kemudian dia berlari ke hujung
pantai, mungkin merajuk.
Hisamiko
mengejarnya.
“Mine, maafkan
aku.”
Lama Hisamine
berdiam merenung laut lepas sehingga ke ufuk. Hari masih panjang dan matahari
belum pun mencecah dada langit.
“Miko, maafkan aku
juga berbolak-balik. Aku tidak tahu mengapa, selepas aku melihat kapal itu aku
teringin benar pulang ke Jepun. Bagaimana Hisamiko, bagaimana jika engkau di
tempatku, bagaimana akan engkau singkirkan rasa rindu yang bergejolak ini,
Miko? Miko!” Hisamine menggoncang-goncang tubuh rakannya yang kecil itu.
Hisamiko memeluk
erat Mine. Jelas esakan Mine kedengaran di telinganya perlahan. Ada getaran
keletihan dari esakan itu, Mine sudah terlalu lama bersedih. Entah masih ada
air mata yang mampu keluar, entah tidak.
Dari kejauhan di
atas satu tebing tinggi yang mengunjur ke laut, sebatang tubuh bersarung yukata
serba putih dengan bentuk badan menggiurkan seorang wanita berdiri sambil
memeluk tubuhnya, rambut uban yang panjang melambai-lambai ditiup bayu.
Wajahnya menyeringai menampakkan taring yang keluar sedikit dari bibir atas.
Telinga panjang menikam udara keluar dari celah uban.
“Bagus. Teruskan
mengikat hubungan kalian. Tatkala hubungan kalian menguat di kemuncaknya, aku
akan pastikan gadis yang tinggi sedikit itu dibunuh manusia upahanku. Dan
engkau Hisamiko, akan menjadi milikku kala jiwamu lemah. Engkau tidak perlu
membunuh dirimu Miko. Kala engkau lemah, aku masih boleh berkongsi jasad dengan
rohmu.”
“Tomokazu, apa lagi
yang kautunggu, bersedia dengan panahmu.”
“Baik, Kaisenjyo.”
**
“Akhirnya, bilah
yang sekian lama aku tempa.... sekian lama kutempa...” Mata Hisamine
berseri-seri melihat pedang yang sudah disiapkan.
“Wah. Bukankah aku
lihat engkau tidak berhenti mengetuk ketulan-ketukan itu?”
“Ya. Itu besi tulen
yang belum ditempa. Selepas mengetuknya berhari-hari dengan batu-batu sungai
itu, aku meleperkannya sehingga berkilat. Ini pedang pertama ciptaanku Miko.”
Hisamine mengambil
batang buluh yang sudah dibentuk sempurna sebagai sarung pedang, dan menyarung
bilah itu sebaik pemegangnya dipasang.
“Apakah aku
kelihatan seperti samurai?”
“Ya. Samurai Goryuuin!”
Mereka ketawa.
“Ayuh Hisamiko,
ikut aku.”
“Engkau mahu ke
mana Hisamine?”
“Ikut sahaja.”
Hisamiko mengikut
sahaja. Mereka melalui hutan gelap dan menuruni tebing tinggi sehingga ke
kawasan lombong emas.
“Mengapa ke sini
Mine-chan?”
“Aku mahu masuk
mencuri barangan mereka. Kita kurang pakaian.”
“Ha? Hisamine, usah
cari penyakit.”
Hisamine tidak
mengendahkan saranan Hisamiko. Kala mereka mengintai dari balik belukar, Hisamine
menjegil.
“Mengapa Mine?”
“Mereka pedagang
yang bersamaku dahulu. Aku tak sangka mereka terselamat! Miko, ayuh!”
“Untuk apa?”
“Jurus kedua. Kita
akan tebarkan mereka jauh ke laut.”
“Aku tak mahu,
mereka tak mengapa-apakan kita pun.”
“Jika kau enggan
tak mengapa, Miko. Aku akan melakukannya sendiri.”
“Mine, tunggu!”
Miko cuba menegah, namun Mine sudah jauh kerana berlari pada jurus pertama kaminari.
Hisamine berlari
dengan pedangnya.
Di pandangan mata
Hisamiko, Mine berlari jauh ke arah lain. Apa yang cuba dilakukan? Sedangkan
markas para pelayar itu di hadapan mata mereka.
Tidak lama
kemudian, Hisamiko mendengar di balik belukar bunyi dentingan pedang dan
raungan demi raungan. Ia berlaku sungguh pantas dan sejenak. Beberapa orang
ahli rombongan kapal itu rebah dengan kesan kelaran dan tetakan. Darah
membanjiri sekitar tapak markas mereka.
Hisamiko
perlahan-lahan keluar dari belukar, dan berjalan mendekati kawasan tempat
pelayar itu berkhemah. Dia menutup mulut tatkala pemandangan ngeri di hadapan
jelas terhidang di hadapan mata.
Hisamine keluar dari
sebuah khemah dengan pedangnya dibasahi darah, masih menitik. Tubuhnya tiada
kesan cedera langsung.
“Aku telah bunuh
mereka semuanya. Puas hati aku. Dendam Himawari, Yuri dan Kanako, sudah
terbalas!”
“Mine!” Miko meluru
dan menampar rakannya. “Mereka tidak menyerang kita langsung! Apa yang dah
kaubuat Mine? Bukan ini yang mahu aku lihat selepas mengajarmu kaminari!”
Hisamine
menyeringai. Di balik rambut yang sedikit terlerai dari ikatan dan menutup
mata, ada mata setajam renungan ular. Merah, penuh bara dendam yang sekian lama
terpendam dan sekarang membakar marak. Wajahnya merah. Hisamine tidak seperti
yang biasa dikenalinya. Ia kemarahan terpendam yang membara sekian lama di
sudut terpencil hati. Ia luka lama yang meruah kembali. Dan mata itu. Ia kembali
menyala membara seperti yang pernah Hisamiko lihat.
“Engkau tidak akan
faham Miko! Engkau tidak pernah hidup dilacurkan sepertiku sejak kecil! Dan
aku, aku akan tinggalkan pulau ini juga!”
“Pergilah!” Miko
menengking dalam derau amarah.
“Baiklah, tapi
Miko...” Mine memegang pipi putih gebu Hisamiko, kesan darah dari tangan Mine
mengotori wajahnya. “Engkau tetap satu-satu sahabatku. Dan aku tetap
menyayangimu. Jika engkau berubah fikiran mahu mengikutku, datanglah ke kapal
mereka ini. Aku menunggumu di sana. Bawa Shiro sekali, itupun jika sumpahannya
terlerai. Sayounara.” Kemudian
Hisamine perlahan-lahan melepaskannya.
Hisamiko melihat
Hisamine perlahan-lahan meninggalkannya, melenyap ditelan ufuk pantai. Jelas
Hisamine sedang menangis tatkala lengannya diangkat menenyeh mata.
Air mata Hisamiko
mengalir deras tanpa dia sedari. Hisamine, berat. Sungguh berat hati ini
menerima perbuatanmu. Bukan perang yang kumahukan. Bukan onar ini yang
kumahukan! Tidak pernah terlintas di hatiku melatihmu kaminari dan
engkau menggunakannya untuk dendammu. Hisamine.... Hisamine... Hisamine...
Hisamiko
mengulang-ulang menyebut nama rakannya sedang matanya merenung pasir, dia
terlutut. Kedua-dua tangannya memagut dada yang sesak dan perit. Sendunya masih
berlagu berselang-seli dengan bunyian unggas dan cengkerik hutan. Matahari
mulai turun dari dada langit.
Sejarah telah
berulang kembali. Manusia yang melakukan kesilapan jelas tidak belajar dari
sejarah. Bagaimana Ryouji dahulu telah melatih seorang pembunuh yang membunuh
penjaga mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan