Novel: Yumejima (Bab 13)

Dari dalam gelap gua merekahlah mata bersinar merah. Semakin ia mendekati belakang lelaki itu, semakin jelas rupanya, iaitu haiwan berwajah serigala dengan bulu lebat hitam pekat, taring putih keluar dari rahang atas. Ada sepasang sayap tersimpan di balik tulang belikatnya dan terbuka sedikit. Dia duduk di belakang lelaki itu dan matanya kekal merenung wanita di muka gua itu.

 

“Yoshimaru... e to Kuro-chan. Semakin sihat dan berisi engkau sejak Tomokazu datang ke sini.” Tegur perempuan rambut uban kepada binatang berbulu hitam itu.

 

Kuro binatang itu hanya menjilat-jilat bulu di badannya.

 

“Maka engkau berpendapat semua wanita sama? Begitukah?”

 

“Aku pasti, jika kusandar pada pengetahuan dan pengalaman terhadku. Namun bukan aku yang mengawal takdir dan nyawa. Kaisenjyo, aku harap engkau dapat memahamiku bahawa tiada apa yang benar-benar pasti di dunia ini.”

 

“Ramalan Amaguri itu pasti. Pasti akan datang pengganti jasad yang kutempati ini.”

 

“Ia hanya ramalan. Amaguri bukan Tuhan.”

 

“Engkau memang pandai berbicara berbelit-belit. Tomokazu, pastikannya. Engkau masih berhutang denganku. Jika bukan keranaku, sudah pasti engkau telah dibunuh Kuro dan dimakannya. Tidak mungkin Kuro sejinak sekarang bahkan menurut perintahmu, jika bukan kerana kuasaku.”

 

“Ya. Aku sentiasa ingat janji itu.” Matanya tidak berhenti menjalar ke segenap inci tubuh Kaisenjyo, tidak, tubuh Nozomi yang sudah berusia lima abad namun seolah terhenti di usia dua puluhan itu. “Aku akan pastikan jasad gadis itu menjadi milikmu jua.”

 

**

 

Yato masih sugul kerana kehilangan Hisamiko. Dia berbaring di dalam biliknya di dek bawah kapal sambil menekup wajah pada tilam jerami, sementara tugas-tugasnya dijalankan Yoshihisa bersama Yoshimura dan Katamori. Apa punya lembik ketua. Kerana seorang gadis, ketua samseng kini menjadi lembik seperti sawi layu.

 

Yoshihisa dan pelombong-pelombong yang bersama mereka terus-menerus melombong dan mengangkut emas ke dalam kapal.

 

Dengan Yato kemurungan, pasukan pelombong berpecah-belah. Mereka berbunuhan sesama sendiri sehingga hanya tinggal sedikit. Yoshihisa membiarkan sahaja ia berlaku. Selagi boleh dia mahu mengurangkan bilangan pasukan pelombong agar pecahan lebih besar emas yang dilombong dapat diraih. Yoshihisa sentiasa dilindungi oleh Yoshimura dan Katamori kerana diarahkan Yato. Maka, dia dijamin selamat dari sebarang perbalahan yang terjadi dalam kalangan pelombong itu.

 

**

 

Yoshihisa tiba di bilik enjin bertemu Hideki.

 

“Hideki, ramai ahli rombongan kita telah terbunuh. Yato sekarang mengetuai kita. Namun, dia tidak akan menghapuskan salah seorang dari kita berdua.”

 

“Yoshihisa... sumpah aku tak pernah membongkarkan rahsia kita. Aku tidak tahu bagaimana mereka tahu kebolehanmu mengemudi.”

 

“Tidak, aku tidak menuduhmu, Hideki. Aku tidak menyangka Yato sudah mengetahui latar kita, kecuali rahsia itu.” Suara Yoshihisa perlahan, tenang, namun dapat dihidu aura dan bau psikotiknya.

 

“Yoshihisa, engkau tahu yang aku menyaksikannya?”

 

“Ya. Akulah yang mencederakan Katagiri. Namun arigatou, tiada sesiapapun tahu kisah itu. Tapi Hideki, aku masih gusar, jujurnya. Mengapa engkau tidak mati di pulau itu? Bayu apakah yang membawa engkau keluar? Jawab aku betul-betul, Hideki.”

 

“Aku tidak tipu. Sungguh aku dibawa angin. Aku fikir penunggu pulau itu.”

 

Yoshihisa mengeluh. Hideki tahu meskipun Yoshihisa seorang tua, dia tidak mampu mengalahkannya dalam bertarung. Tubuhnya kecil dan matanya sebelah buta.

 

“Hideki, apa kata engkau tinggal sahaja di pulau itu? Aku bimbang engkau akan terbocorkannya sekembali kita ke Jepun.”

 

“Percayai aku Yoshihisa. Aku pasti tidak akan membocorkannya!” tegas Hideki.

 

“Engkau pasti?”

 

Yoshihisa mengambil tempat duduk. Dia menyalakan sebatang curut dan menyedut asapnya.

 

“Yato juga mahu engkau dihapuskan.” Tutur Yoshihisa perlahan, nada mengugut.

 

“Ha? Apa yang kaucuba sampaikan ini Yoshihisa?”

 

“Itu rancangannya denganku. Engkau setia pada syarikat bukan? Engkau lihat apa yang berlaku pada pengurus rombongan kita tempoh hari? Yato dan konconya telah membunuhnya.”

 

Hideki membeliak mata.

 

“Hideki, tinggal sahaja di pulau ini dan tunggu kapal lain tiba. Engkau tumpang ia dan keluarlah dari Jepun. Rombongan ini kini di bawah Yato, bukan lagi syarikat kita.”

 

“Tidak, tidak! Aku tak mahu tinggal di pulau ini Yoshihisa. Aku rela mati dari tinggal di pulau ini!”

 

“Hanya itu yang aku boleh cadangkan sekarang. Hideki, lari, atau mati.”

 

Hideki mengeluarkan dari yukatanya dan menyerahkan surat wasiatnya kepada Yoshihisa yang kebingungan. Dia mencapai pisau seraya menikam dirinya. Katamori yang berdiri di belakang dengan pedang dan bersedia membunuhnya, menyarung kembali pedang sebaik melihat Hideki tumbang akibat tikaman sendiri.

 

**

 

“Mengapa engkau membunuhnya, Yoshihisa?!” Tengking Yato yang baru sahaja reda dari kemurungan. Suara Yato nampak kurang bersungguh, seperti berlakon. Namun jika benar dia berlakon, dia seorang pelakon yang gagal nampaknya. Tanpa perlu menyertai ujibakat, ia terang terbukti di sini. Dalam tengking, dia gembira sebenarnya. Yoshihisa menjalankan perancangannya namun ia terlalu awal.

 

“Aku tidak membunuhnya. Dia membunuh diri sendiri.” Balas Yoshihisa tenang.

 

“Ia serupa seperti engkau membunuhnya! Engkau yang mempengaruhinya bukan?”

 

“Yato, aku melakukannya sebagai insurans. Dengan ini engkau hanya ada seorang penunjuk arah ke Yumejima. Dan engkau selamat dari terbongkarnya pulau ini kepada syarikat pelombong lain. Ne Yato, bukankah itu yang kaurancangkan? Tidak logik menyimpan dua jurukemudi.”

 

Wah, wah, wah. Apakah lelaki tua ini memahamiku sedari awal lagi? Wah, wah, wah.

 

“Apakah engkau tahu menunjuk arah? Apakah engkau boleh mewarisi kecekapannya?” Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Sememangnya dia tahu Yoshihisa punya pengalaman berkapalan.

 

Namun tidak sekali-kali dia tahu, orang tua ini tahu dia tidak menyenangi jurukemudi yang dibunuh itu.

 

“Ya. Aku menghafal selok-belok lautan ke sini.”

 

“Buktikan. Atau engkau aku bunuh.” Yato mendesak. Dia mahu kepastian.

 

“Engkau harus mempercayaiku, Yato.”

 

“Buktikan!”

 

“Bagaimana boleh aku buktikan sedangkan kita masih di sini? Tunggulah sehingga kita berlayar kembali ke Jepun.”

 

Yato terasa seperti diperbodohkan oleh lelaki sadistik ini. Dalam fikiran Yato, jika Yoshihisa sanggup membunuh rakannya, barangkali di masa hadapan Yoshihisa akan turut membunuhnya juga. Yoshihisa nampaknya seorang yang mementingkan diri dan licik. Tua bukan sebarang tua, tua-tua keladi makin tua makin menjadi. Diam bukan sebarang diam, diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat.

 

Yato senyum sumbing. Nyata dia diperbodohkan siang-siang, jatuh dalam perangkap si licik ini. Dia harus memikirkan cara bagaimana mengeluarkan dirinya.

 

“Aku mahu engkau bacakan pelan kemudi (rutter) rakanmu itu.”

 

“Ini?” Yoshihisa menunjukkan pelan kemudi yang sekian lama berada dalam pemilikannya itu. Yato menganga sedikit, tidak menyangka pelan itu sudah berada di tangan Yoshihisa.

 

“Ada satu syarat.” Yoshihisa meminta seolah-olah dia punya kuasa tawar-menawar. Dia tahu Yato semakin terperangkap.

 

Yato mengangkat kening, seperti mengugut Yoshihisa agar menerang lanjut syarat tambahan itu.

 

“Aku hanya akan tahu membacanya selepas aku belajar membacanya sekembali ke Jepun.”

 

“Ha? Maka engkau tidak tahu membacanya sekarang? Bagaimana kita akan pulang ke Jepun?”

 

“Yato, bukankah aku katakan engkau harus mempercayaiku?”

 

Yato terdiam. Darah menderau ke kepala. Marah membuak-buak hampir menghambur api ke muka si tua licik ini.

 

“Baiklah, aku serahkan kepadamu. Namun engkau mesti ingat, jika engkau gagal membawa kami pulang dalam keadaan selamat, engkau akan kubunuh dan kucampakkan ke laut!”

 

Aku akan bunuh lelaki tua ini dan mencari pembaca pelan kemudi yang baru, sekembali kami ke Jepun. Buat masa sekarang aku perlu pulang ke Jepun dahulu, itu harus menjadi keutamaanku, getus Yato.

 

Yoshihisa tidak menunjukkan reaksi. Dia tahu Yato tidak akan sewenang-wenang membunuhnya. Dia tahu, Yato tiada pilihan dan mengharapkannya memandu mereka pulang ke Jepun menggunakan ‘pelan kemudi’ dalam kepalanya, kerana dia sebenarnya tidak tahu membaca pelan yang dicuri itu (peranannya dahulu membantu jurukemudi menggunakan pengalaman berkapalan yang luas, yang membaca pelan kemudi adalan pengemudi yang dibantunya). Dan dia tahu, Yato akan membunuhnya sebaik mereka tiba di Jepun. Tika itu, dia akan memulakan perancangan seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...