Hisamiko menangkap Yoshihisa yang melongo dan melopong. Dia mahu menegur mulanya, namun pada fikiran kedua dia membiarkan sahaja.
Yoshihisa agak
bingung bagaimana kewujudan pulau tersebut diketahui oleh syarikat itu
sedangkan beliau tidak pernah menghebahkan berita mengenai penemuan pulau
tersebut setelah kembali ke Jepun. Fikirannya kembali tertancap pada lelaki
misteri yang menasihati kapten kapal.
Siapakah lelaki
yang menasihati kapten kapal? Siapa?
Soalan itu bermain
berputar dalam benak Yoshihisa. Dia cuba memendamnya, namun ia bergema merasuk,
kian kuat dan merengsakan. Dia mengesyaki lelaki itu tahu segala-galanya
berkenaan Yumejima dan dialah yang membongkarkannya kepada syarikat. Tidak, tidak mungkin. Sewaktu aku menaiki
rakit meninggalkan Yumejima dahulu, hanya Genjirou yang masih hidup. Genjirou
si pembunuh gila, sang khianat yang akan membunuh sesiapa sahaja yang cuba
mengambil emas di pulau itu.
Masih adakah yang
hidup di pulau itu selain dari pembunuh gila itu? Bagaimana dengan Tomokazu?
Juga Hideki? Hanya dua orang itu yang aku belum benar-benar pasti kematian
mereka. Tomokazu aku bilang sudah jatuh gaung sewaktu kami melarikan diri dari
Genjirou. Hideki pula sudah ditikam matanya oleh sang khianat itu. Hideki
melarikan diri sambil menekup matanya yang berdarah-darah, Genjirou
mengejarnya. Aku bilang Genjirou sudah membunuhnya, namun aku tidak benar-benar
pasti. Genjirou mungkin gagal mengesannya.
Dan Katagiri...
Tangan Yoshihisa
menggigil tiba-tiba. Katagiri sudah mati
dibunuh Genjirou. Aku menyaksikannya sendiri.
Aku yakin kedua-dua
atau salah seorang daripada mereka kembali ke Jepun, kemudian membocorkan
rahsia pulau ini, termasuk namanya. Hanya rombongan kami yang menggelar pulau
itu Yumejima. Pasti mereka sedang berada bersama syarikat kami. Sama ada di
ibupejabat Kyushu atau di dalam kapal ini sekarang.
Seperti lelaki
misteri yang menasihati kapten itu.
**
Sepanjang berada di
atas kapal, Yoshihisa sentiasa berjaga-jaga. Dia sebenarnya masih bimbang
sekiranya pembunuh gila itu yang juga bekas rakannya masih hidup dan
bersembunyi di pulau itu dan cuba menjejakinya atau sedang memerhati dari jauh.
Yoshihisa
berkira-kira mahu mengekori lelaki penasihat kapten.
Lelaki penasihat
kapten kapal bertugas menasihati arah yang sesuai ke destinasi dan memberitahu
kedudukan semasa kapal dan kapten akan memutus bagaimana mengemudi kapal, sama
ada mematikan enjin atau menggunakannya dan juga berapa banyak pusingan roda
kemudi. Kapten kapal juga bertanggungjawab mengendali kecukupan bahan bakar
arang batu dan bekalan makanan dalam kapal.
Kapal yang dinaiki
Yoshihisa ialah kapal enjin stim yang dibina seorang perekacipta Jepun selepas
mempelajari stim enjin dari seorang diplomat Rusia di Kyushu. Kapal jenis ini
digerakkan oleh kuasa arang batu yang akan memanaskan stim di dandang,
menghidupkan enjin dan menggerakkan kapal. Ia mengeluarkan asap tebal hasil
pembakaran arang batu. Dahulu, ketikamana geliung (sejenis kapal berlayar dan
digerakkan kuasa angin dan pendayung) digunakan, peranan kapten dan jurukemudi
dilakukan individu yang sama. Jurukemudi membaca sekeping manual yang dipanggil
‘rutter’ atau pelan kemudi dan
menafsirnya demi menentukan kedudukan semasa kapal berpandukan struktur tanah,
kedalaman laut, kewujudan dan jenis kekarang dan kekuatan angin. Namun selepas
kapal stim diperkenalkan, peranan ini dipecahkan kerana kapten kapal juga harus
mahir mengendali kecukupan bahan bakar seperti arang batu dan juga kejuruteraan
enjin stim, suatu yang berat untuk dilakukan seorang individu. Jurukemudi
biasanya terdiri dari kalangan pelayar berpengalaman dan tahu selok-belok
laluan pelayaran.
Yoshihisa mengesan
peluang. Lelaki penasihat kapten atau jurukemudi ini selalunya akan ke bilik
enjin sewaktu tengahari. Yoshihisa memerhati kerapkali lelaki itu lelap di
bilik enjin. Bilik enjin bising datar dan menutup segala bunyi lain, memudahkan
sesiapa jua tidur tanpa gangguan. Yoshihisa tidak menyedari bahawa dia turut diekori
Ryouji. Ryouji masih menyimpan sedikit curiga terhadap Yoshihisa.
Yoshihisa
sememangnya menyedari lelaki misteri ini tidak pernah membuka mata sebelah kanannya.
Dia mengesyaki lelaki ini Hideki, rakan yang ditikam matanya itu puluhan tahun
lampau. Mujur dia sedang tidur. Mudah Yoshihisa mengambil kesempatan mengamati
wajahnya.
Jelaslah dia
Hideki! Sekarang dia berjambang pula.
“Oi, Hideki. Engkau Hideki bukan?” Tegur
Yoshihisa perlahan. Lelaki itu masih berdengkur.
Yoshihisa
mengejutkannya dengan menggoncang bahunya.
“Oi, okite (Bangunlah).”
Lelaki berjambang
lebat itu mengerut dahi dan membuka mata kirinya perlahan-lahan. Mata kanan
masih terkatup rapat. Dia terkejut dan bangun menegak, mengambil topi di atas
meja dan menyarung pantas ke kepala, seraya cuba melarikan diri. Yoshihisa
memegang tangannya.
“Engkau Hideki
bukan?”
Lelaki itu
mendengus. Tangan kiri lelaki itu sudah di pinggang cuba menarik keluar tantou, namun membatalkannya tatkala
mendapati suara itu seperti pernah didengarinya. Ia benar suara rakan lamanya
Yoshihisa.
“Mengapa engkau di
sini Yoshihisa?” Soal lelaki itu perlahan, ada keluhan di hujung kata-katanya.
“Itu soalanku juga.
Aku bilang kau telah mati.”
“Berpantang maut
sebelum ajal.”
“Engkau yang
membongkarkan pulau itu kepada syarikat?”
“Jadi? Engkau marah
denganku? Kerana engkau terpaksa berkongsi emas itu?”
“Bukan begitu.
Engkau tahu bukan Genjirou amat berbahaya? Apakah engkau tidak menasihati
syarikat? Engkau tidak bimbang kita semua bakal dibunuhnya pula nanti?”
“Yoshihisa, kita
punya petarung handalan di sini. Engkau pun kenal mereka bukan? Okuhida itu. Pasukan
pelindung kita bukan calang-calang.”
Sebelum sempat
Yoshihisa menyampuk, Hideki menambah, “Entah-entah si khianat itu sudah lama
mati kebuluran di sana. Harap kita tidak lagi bertemunya.”
“Apa terjadi
denganmu selepas ditikam mata?”
“Engkau
menyaksikannya?”
“Aku ada di balik
belukar. Maaf aku tidak berani campur atau aku turut ditikamnya.”
“Seperti yang
kaunampak, aku lari dan dikejar. Mujur dia tak dapat mengesanku.”
“Bagaimana kau
keluar dari situ?”
“Panjang kisahnya.”
“Pendekkan.”
“Ia aneh.”
“Aku tidak kisah.
Ceritakan.” Yoshihisa mendesak.
“Aku didorong bayu
entah dari mana. Dan sedar-sedar aku dalam kapal penangkap paus Amerika.”
“Hah?”
“Mereka membawaku
ke Dejima. Aku tinggal di sana sebelum membongkarkan rahsia pulau ini kepada
syarikat sekarang.”
“Sebentar, jelaskan
lanjut berkenaan bayu itu.”
“Aku tak tahu bayu
dari mana. Aku diangkat dan dipengsankan. Sedar-sedar aku berada di dalam
kapal.”
Yoshihisa diam
sejenak memikirkan kisah aneh Hideki. Dia mengamati wajah Hideki dan tidak
meragui kesahihannya.
“Pulau itu aneh,
Yoshihisa. Emasnya pun sungguh aneh. Wujud dalam bentuk tulen bukan bijih.
Siapa pun akan gila melihat emas begitu. Dan aku ada nampak binatang...”
Yoshihisa menyambung
soalan langsung memotong Hideki yang cuba menambah cerita.
“Apakah kau telah
nampak dan cam bahawa aku di atas kapal ini?”
“Mengapa engkau
tanya?”
“Hanya jawab
soalanku.”
Hideki mengeluh.
“Aku nampak.” Balas
Hideki perlahan. Dia menyambung.
“Mustahil aku tak
kenal kau, kita sama-sama jurukemudi dahulu. Agak terkejut juga bagaimana
engkau masih hidup. Namun aku buat tak tahu, bimbang engkau berdendam kerana
meninggalkan engkau di pulau itu. Yoshihisa, aku harap engkau faham.”
Dan engkau takut bukan aku akan membongkarkannya? Yang engkau juga telah membunuh salah seorang ahli rombongan kita. Usah risau Yoshihisa. Aku tidak akan membongkarkannya. Kita sama-sama mahu bertahan sehingga projek ini berakhir, kembali ke Jepun dan meneruskan hidup masing-masing. Aku tidak mahu berkonflik dengan sesiapa pun di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan