Yato dan dua pengiringnya ketawa.
“Gila, gila! Aku
tak pernah mendengar alasan segila engkau Ryouji!” Lagi kuat mereka ketawa.
“Souka Ryouji (Benarkah begitu, Ryouji)?
Engkau mahu tinggal di sini dan tidak mahu emas-emas itu?”
“Ya, aku mahu
menetap di sini. Jika kalian mahu pulang dan membawa emas itu sekali keluar,
silakan. Aku tidak mahu masuk campur.”
Yato ketawa lagi,
diikuti rakannya. “Maka engkau pun sama seperti kami. Menipu syarikat itu.”
“Biar aku jujur
denganmu. Ya, aku memang menipu mereka, aku tiada pilihan. Aku menyertainya
kerana mahu melarikan diri. Dan aku tidak akan kembali lagi ke Jepun. Namun
satu yang mahu kupinta. Jangan kalian menumpahkan darah di sini. Berdamailah
sesama kalian. Bahagi hasil sama rata.”
“Wah wah wah. Siapa
engkau untuk menasihati kami? Bahagianku sudah tentulah yang paling besar
kerana aku ketua, mengapa perlu bahagi sama rata? Dan Ryouji, bagaimana jika
aku mahu engkau pulang mengikut kami? Aku menaruh minat dengan adik perempuanmu
itu. Hisamiko namanya bukan?”
Ryouji terdiam.
Maka benarlah lelaki ini memang menaruh hati pada Hisamiko. Segala
pandang-pandang jeling-menjeling ekor-mengekor mencurigakan itu rupanya ada
akar alasan, ada udang di balik batu. Hisamiko satu-satu ahli rombongan wanita,
tambah pula dia cantik jelita, siapa tidak menaruh hati padanya.
“Aku tidak akan
benarkan.” Ryouji membuka pencak, bersedia melarikan diri.
Ketiga-tiga ahli
pasukan pelombong berjaya ditewaskan, namun untuk menewaskan Yato memerlukan
sedikit masa kerana dia juga mahir bertarung. Namun siapa yang mampu menewaskan
kaminari?
Yato berjaya
ditewaskan dan Ryouji bingkas menuju ke tempat Hisamiko.
“Tak guna! Inikah kaminari
yang digembar-gemburkan itu?” Yato menepuk yukata dan dibantu rakannya bangkit.
“Yoshimura, engkau
tidak tercicirkan ia bukan?” Soal Yato kepada rakannya. Yoshimura cuba berjalan
namun terjengket sakit.
“Itai... ya,
Yato. Ia ada bersamaku.”
Di lain kali aku
bertarung denganmu Ryouji, aku akan gunakan racun itu. Bersedialah engkau.
Hisamiko ketika itu
sedang nyenyak tidur.
“Miko, Miko,
bangun!” Ryouji menggoncang-goncang tubuh Hisamiko.
“Onii-san... ada apa? Nemui ne...(mengantuklah)” Hisamiko
menggosok-gosok matanya.
“Miko, dengar sini.
Yato yang menyertai pasukan pelindung telah berpakat dengan pasukan pelombong.
Mereka akan membunuh kita bertiga!” Ryouji menggesa Hisamiko agar segera bangun
melarikan diri.
“Onii-san, apa yang engkau cuba
perkatakan?”
“Aku tidak bergurau
Hisamiko. Aku hampir dibunuh mereka tadi!” Tambah Ryouji.
“Onii-san, engkau mengingkari arahan
syarikat dengan keluar malam begini.”
“Aku terpaksa. Aku
mengesyaki mereka sejak siang tadi. Ayuh, kita tidak punya banyak masa lagi!”
“Sebentar,
bagaimana dengan orang tua itu?” Hisamiko mengunjuk kepada Yoshihisa yang
sedang enak dibuai mimpi tidak jauh dari mereka.
“Aku fikir kita
harus membawanya bersama. Dia satu-satunya rakan kita di sini.”
“Lagipun orang tua
itu pernah ke sini sewaktu zaman mudanya. Ada eloknya dia bersama kita.”
“Sungguh? Mana kau
tahu Miko?”
“Dia tidak sengaja
terbongkarkan rahsianya itu kepadaku. Aku fikir kita memerlukan dia, sekurang-kurangnya
sekarang.”
“Aku akan
mengejutkannya sekarang.”
Ryouji pantas ke
katil Yoshihisa dan mengejutkannya. Hisamiko mengemas yukatanya, membawa
bersama pedang Saishi-tou dengan menyisipnya ke pinggang.
“Yoshihisa, bangun,
bangun!”
“Ada apa Ryouji?”
Soal Yoshihisa sambil menenyeh-nenyeh mata yang sedikit terbuka. Cahaya pelita
terasa menikam-nikam. Mengejutkan Yoshihisa tidak sesusah Hisamiko, kerana
orang tua sepertinya jarang sekali tidur nyenyak.
Ryouji menerangkan
seperti mana dia menerangkan kepada Hisamiko.
“Engkau ikut sahaja
kami.” Saran Ryouji.
Yoshihisa merenung
wajah Ryouji.
“
Mereka
perlahan-lahan keluar dari penginapan itu. Ketiga-tiga mereka berlari
berhati-hati menelusuri denai menuju ke jeti, meredah gelap yang hanya
diterangi cahaya bulan dan jamung, sambil memerhati sekeliling kalau-kalau
mereka diekori.
Langkah mereka
terhenti seketika ketika terserempak dengan mayat pengurus projek melombong
atau ejen yang memberi taklimat pagi tadi, kelihatan seperti baru dibunuh
dengan kesan tikaman di dadanya. Maka tahulah mereka bahawa keadaan telah
menjadi semakin parah dan di luar kawalan syarikat. Mereka harus cepat
melarikan diri.
Ketika semakin
menghampiri jeti, mereka tersentak apabila mendapati ramai pelombong sedang
bersiap di sana menanti kedatangan mereka. Sebahagian dari pelombong sedang
berbaris panjang dari jeti sehingga ke dalam kawasan lombong. Mereka sedang
mengangkut emas-emas yang baru dipahat dari lombong untuk dimasukkan ke dalam
sampan-sampan dan dibawa ke kapal yang sedang disauh di luar muara.
“Aku fikir kita
tidak akan dapat melepaskan diri dari mereka. Kapal itu satu-satunya jalan
keluar dari sini.” Yoshihisa menyuarakan pandangan.
“Nampaknya semua
mereka telah belot.” Sambungnya. “Kita harus bersembunyi dahulu.”
“Kita tidak akan
dapat pulang.” Keluh Yoshihisa, “kecuali jika kita menghalau mereka dari kapal
itu, atau bersembunyi di dalamnya. Apakah kalian mampu menewaskan mereka semua?”
Ryouji dan Hisamiko
hanya mendiamkan diri. Mereka sememangnya tidak akan pulang ke Jepun. Jika
tidak, mereka akan ditangkap orang-orang Maharaja yang berada di mana-mana.
Hatta lukisan wajah mereka pun sudah tersebar di serata Honshu dan sekarang,
mungkin sudah tersebar di Kyushu juga.
Yoshihisa memandang
tingkah laku dua beradik itu. Wajahnya tenang, dia tahu apa yang bersarang di
hati mereka berdua. Dia faham dua beradik itu pernah menceritakan bahawa mereka
melarikan diri dari tentera Maharaja, maka apa guna memaksa mereka kembali ke
Jepun?
Yoshihisa merancang
dalam kepala akan tawaran yang boleh dilakukan kepada dua beradik yang juga
rakannya itu. Sesuatu yang boleh ditawarkan dari pengalaman berpuluh tahun lalu
tatkala dia terperangkap di sini dan diburu Genjirou.
Genjirou, di mana engkau? Apakah engkau masih hidup?
Apakah engkau masih memburuku?
“Aku fikir pasti
akan ada kapal lain tiba di sini. Kita akan menumpangnya dan keluar dari pulau
ini, tanpa perlu menaiki kapal para pelombong itu.” Ryouji cuba menyedapkan
hati Yoshihisa.
“Aku fikir kalian
patut mengekoriku.” Yoshihisa menyuguh seolah-olah tidak mendengar pendapat
mereka.
“Ke mana?”
“Mari, aku tahu di
mana kita boleh bersembunyi. Dan tentang kapal itu usah kau risau. Aku akan
terangkan mengapa.”
Yoshihisa memimpin
mereka mengundur menelusuri sebuah denai.
“Yoshihisa, engkau
pernah ke sini, bukan? Hisamiko memberitahuku.” Soal Ryouji cuba mengesahkan.
Bukan kerana tidak mempercayai Hisamiko, tetapi demi mendapatkan gambaran lebih
jelas dan menilai wajahnya.
“Ya.” Langsung
Yoshihisa mengiyakan. Tiada guna berselindung lagi.
“Bagaimana engkau
boleh sampai ke sini?”
“Pulau ini bukan
tujuan utama kami. Geliung kami terdampar dipukul badai lautan.”
“Bagaimana engkau
melarikan diri?” Ryouji sedikit kurang sabar bertanya.
“Aku naik rakit. Aku
bernasib baik tidak dipukul ribut. Kapal Belanda menemuiku di tengah-tengah
samudera dan membawaku pulang ke Jepun.”
Maka fahamlah
Hisamiko jawapan alternatif Yoshihisa yang dijanjikannya tadi: rakit. Ya, guna
rakit untuk keluar dari sini. Dengan kata lain, engkau berjudi dengan ketahanan
rakit meredah samudera bergelora yang mengelilingi pulau ini. Atau berjudi dengan
‘kemahiran’ Yoshihisa si tua ini membina rakit yang tahan, jika dia benar
memilikinya. Namun itu semua tiada maknanya. Dia dan abangnya sudah nekad mahu
tinggal di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan