Novel: Yumejima (Bab 5)

“Aku faham. Semua dari kita ketakutan dan tidak mempercayai sesiapapun waktu itu. Aku keluar dengan mencuri rakit yang Katagiri buat. Selepas mendapat tahu Katagiri dibunuh Genjirou, aku menyembunyikan rakit itu untuk diriku seorang.”

 

Katagiri dibunuh Genjirou? Lawak apakah itu? Bukankah kau yang membunuh Katagiri, wahai Yoshihisa? Engkau menikamnya curi tanpa dia sedari dan kemudian engkau beritahu Genjirou lokasinya. Memang Genjirou yang menamatkan riwayatnya namun ia dimulakan engkau. Engkau pembunuh!

 

“Haih, perangai sebenar kita terserlah dalam situasi begitu.”

 

“Mungkin sejarah akan berulang lagi.” Tambah Hideki, menjeling sinis Yoshihisa namun sempat ditarik sebelum Yoshihisa mengesannya. Ya, aku tahu perangai sebenarmu.

 

Yoshihisa tidak menunjukkan sebarang reaksi, namun dia jelas menyembunyikannya pabila bibir bergetar-getar seolah menahan diri dari berkata-kata atau akan jelas penafian kosong yang menzahirkan rasa takutnya yang ditimbulkan memori hitam, pekung lama yang cuba disembunyikan.

 

“Yoshihisa, engkau ingat Tomokazu bukan?”

 

“Ya. Selain engkau, dia lagi seorang yang belum aku pasti mati atau tidak. Apa engkau tahukah dia di mana?”

 

“Sebelum aku ditiup bayu, aku nampak dia ketakutan dan sedang memerhati Genjirou. Tomokazu turut diekori binatang berwarna hitam berbulu lebat, seperti anjing besar.”

 

Yoshihisa tekun mendengar.

 

“Mungkin dia telah dibunuhnya.” Tebak Yoshihisa.

 

“Aku fikir begitu. Disebabkan itu aku telah nasihatkan syarikat kita sekarang agar menetapkan para pelombong tidak dibenarkan keluar selepas matahari terbenam. Binatang itu hitam dan sukar dikesan sekiranya ia menyerang kita di waktu malam.”

 

“Hideki, aku mohon engkau rahsiakan kewujudan aku dalam kisah lalu kita di Yumejima.”

 

“Mengapa?”

 

“Aku tak mahu sesiapapun tahu aku pernah ke sana.”

 

“Mengapa pula?” Buat-buat tidak tahu sahaja. Buat-buat tidak tahu sahaja. Namun aku mahu tahu juga kaedah apa yang kaugunakan untuk menipuku sekarang.

 

“Aku hanya mahu melombong sedikit emas dan pulang. Aku tidak mahu menjadi tawanan sesiapapun.”

 

Oh aku faham motifmu Yoshihisa. Alasanmu terlalu normal untuk aku katakan pembohongan. Namun tawanan?

 

“Tawanan? Maksudmu?” Soal Hideki.

 

“Pabila ada tangan-tangan tamak yang berpakat, mereka akan menahan orang yang tahu selok-belok pulau itu untuk memandu mereka.”

 

“Jika begitu maka aku pun dalam bahaya. Apa yang buat kaufikir ada golongan begitu?”

 

Yoshihisa tidak menjawab soalan Hideki namun meneruskan bicara, “Selagimana engkau seorang yang tahu mengemudi, mereka tidak akan membunuhmu. Engkau tidak boleh dimusuhi. Namun keadaan berbeza jika mereka tahu latarku, yang aku pernah ke sini dan pernah mengemudi kapal bersamamu.”

 

“Mereka akan punya pilihan, maksudmu? Memilih antara aku dengan engkau?”

 

“Benar. Otak engkau masih cair.”

 

“Ah, engkau Yoshihisa terlalu banyak fikirlah.” Pabila takut maka otak ligat berfikir.

 

“Aku mengesyaki kewujudan golongan itu sekarang dalam rombongan ini. Apapun, jya, mata ne (jumpa lagi).”

 

Hideki mahu bertanyakan bagaimana Yoshihisa mengesannya, namun belum sempat dia melakukannya, Yoshihisa gesit keluar dari bilik enjin.

 

Hideki, aku harap engkau faham isyaratku. Aku tahu engkau saksinya di mana aku memangsakan Katagiri! Siapa lagi jika bukan engkau yang masih tinggal saat itu? Bahkan aku melihat kelibatmu mengundur dari lokasi Katagiri dibunuh Genjirou.

 

Sementara itu Hideki termenung di dalam bilik enjin. Yalah, aku akan rahsiakan sahaja menurut katamu, getus Hideki. Asalkan engkau tidak mengapa-apakanku dan tidak lagi bertemuku.

 

Hideki meneruskan monolog dalam dilatari bising bilik enjin.

 

Yoshihisa paling bijak dan licik dalam rombongan kami dahulu. Genjirou pandai bertarung dan licik namun dia hanya tahu mengambil kesempatan dan tidak pandai memanipulasi manusia sepertimana Yoshihisa.

 

Dalam rombongan kami dahulu, Yoshihisa adalah pedagang. Rombongan kami terdiri daripada petarung, nelayan, pedagang, tabib dan juga pendeta. Petarung bernama Genjirou, nelayan dan tukang kayu bernama Katagiri, tabib bernama Tomokazu dan pendeta juga kapten kapal bernama Kamishiraishi. Aku pula jurukemudi dan Yoshihisa membantuku mengemudi menggunakan pengalaman pelayarannya yang luas. Kami menaiki geliung panjang yang tidak terlalu besar sehingga dipukul taufan dan terdampar di pulau itu.

 

Sementara itu, Ryouji masih di luar dan sempat memerhati riak wajah Yoshihisa yang baru keluar dari bilik enjin. Yoshihisa mendengus, wajahnya merah berang, barangkali tidak menyenangi identiti jurukemudi itu yang merupakan bekas ahli rombongannya dahulu. Ryouji tidak memahaminya, dia juga tidak mendengar butir perbualan mereka di dalam bilik enjin.

 

Ryouji ternampak Yoshihisa memasukkan buku kecil ke dalam saku kotnya. Dari kulit buku itu ia bertuliskan Yumejima. Barangkali pelan kemudi. Yoshihisa mencuri pelan kemudi kapal ini! Namun apa gunanya lagi pelan itu kerana kapalnya itu sudah pun hampir dengan Yumejima. Dia dan Hisamiko pula tidak akan berlayar pulang. Ini bukan masalah mereka, namun Ryouji merancang melapor kepada kapten kapal.

 

Sementara itu Yoshihisa duduk di atas tong-tong kayu seperti biasa. Dia mengeluarkan kembali pelan kemudi yang dicuri dari bilik enjin, membuka dan menyelak beberapa helai mukasurat.

 

Inikah rahsiamu, Hideki? Tanpa pelan ini aku masih tahu mengemudi. Mengapa Hideki, mengapa engkau masih hidup? Mengapa engkau yang menjadi jurukemudi kapal ini?

 

Sebentar.

 

Aku pun boleh mengemudi kapal ini pulang ke Jepun. Kerana aku tahu pulau ini.

 

Dan aku juga tidak mahu Hideki hidup. Sebelum kami pulang ke Jepun, dia harus dihapuskan. Jika tidak, aku pasti akan diberkas dan dibawa ke muka pengadilan.

 

**

 

Kapal itu berlabuh berhampiran sebuah muara sungai, di bahagian laut yang masih dalam. Sebaik sauh dilabuhkan, sampan-sampan kayu kecil digugurkan dan para ahli rombongan turun ke dalam sampan masing-masing untuk ke jeti yang terletak berhampiran dengan muara.

 

Di muara tersebut terdapat sebuah jeti yang menghala jauh ke sebuah teduhan yang dibina dari batu kerikil dan pelepah kelapa. Semua ahli rombongan turun dari kapal menghala ke teduhan itu. Teduhan itu kelihatan primitif, ia hanyalah batu-batu kerikil besar yang disusun supaya membentuk sebuah tembok dengan bumbung terdiri daripada pelepah-pelepah kelapa.

 

Yoshihisa melihat dan terkenang memori lama, di mana dia bersama-sama ahli rombongannya dahulu membina teduhan tersebut. Kamishiraishi menentukan kawasan sesuai untuk didirikan teduhan, Katagiri berperanan sebagai ‘arkitek’, Genjirou mengangkat batu-batu yang berat dan tidak terdaya diangkat, Hideki dan Yoshihisa pula meneroka sekeliling dan melakar peta. Hideki yang pertama menemui bongkah emas dan melaporkan kepada mereka semua. Tomokazu mengenalpasti tumbuhan yang boleh dijadikan ubat dan makanan dan melaporkan mana-mana herba yang beracun. Setiap mereka punya peranan masing-masing. Namun penemuan emas itu mengubah perangai salah seorang daripada mereka sehingga tragedi berdarah menghancurkan rancangan yang telah digarap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...