Koichi menyampaikan ucapan di Shirasaka-no-kogen kepada semua masyarakat di situ bahawa mereka kini di ambang perang. Tentera Saisho di Kyushu akan berperang dengan tentera Maharaja di sana. Sementara di Hidagawa, Koichi mendapat khabar bahawa Yoshinobu akan menyerang Shirasaka-no-Kogen. Koichi tidak tahu Ayame sedang berpakat dengan Yoshinobu, namun dia sudah mengesyakinya berdasarkan maklumat dari Tatsuhiro dan para pengintip lain.
“Wahai sekalian warga Shirasaka-no-Kogen dan Kogen-no-Shita,
Aku Shirasaka Koichi, ketua Kogen yang merupakan proksi Maharaja dan
sekutunya, memanggil kalian berhimpun di sini demi memaklumkan satu perkara.
Aku berharap kalian dapat menerima berita ini dengan hati yang terbuka. Aku
amat berharap kalian dapat bersama Kogen sehingga akhir hayat kalian.”
Koichi menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya. Dia fikir dia harus
benar-benar bersedia melafazkan khabar hitam ini.
“Kalian, kita sedang berada di ambang perang.”
Ada bisik-bisik dan keluhan kedengaran dari khalayak sebaik Koichi
mengumumkan perkara itu.
Koichi meneruskan ucapannya tanpa mempedulikan reaksi dari khalayak yang
sememangnya sudah dijangka.
“Saisho Takanori, bekas sekutu baginda Maharaja ketika Perang Boshin dan
merupakan samurai yang diangkat menjadi salah seorang ahli kazoku, telah secara rasminya berpaling tadah dan meninggalkan
Tokyo. Beliau sedang merancang untuk menyerang Honshu dua bulan dari sekarang.
Saisho-san kini sedang menyusun bala tenteranya di Kyushu.”
Salah seorang lelaki dari khalayak mengangkat tangan.
“Ya, Fukuda-san.” Koichi
mempersilakan lelaki itu mengemukakan persoalannya.
“Apakah kita semua akan terlibat dalam pertempuran?”
“Sudah pasti.” Jawab Koichi, diikuti suara-suara rungutan dari khalayak.
Koichi menambah, sekali lagi tanpa mempedulikan bunyi-bunyi itu, “Kogen dan
pasukan Maharaja tidak akan menunggu di sini. Kita merancang akan menyerang
pasukan Saisho di Kyushu, sebelum mereka cecah bumi Honshu ini.”
“Sementara itu sebahagian dari kita akan turut berperang di sini di
tengah-tengah gunung di Hidagawa namun akan berhadapan sekutu Saisho iaitu
Hamada Yoshinobu dan Shirasaka Ayame.”
Koichi menahan sebak dan sendu dari terdedah sebaik menyebut nama Ayame.
Wajahnya tenang yang dipaksa-paksa.
Hingar dan bisik-bisik kedengaran dari khalayak sebaik nama Ayame disebut. Kali
ini lebih kuat dari sebelumnya. Mereka mempersoalkan kewajaran keputusan ini,
apakah Koichi sudah memutus semasaknya untuk berperang dengan anaknya sendiri?
Lagi pula Ayame itu sendiri pernah berjuang sebagai sebahagian dari mereka?
“Jadi, kita akan turut berperang dengan bekas ahli Kogen yang menyertai kumpulan
Ayame?”
“Ya, Kitano-san. Ia tidak dapat
dielakkan lagi.”
Shinji berada di dalam perhimpunan itu. Dia berdiri di sebelah Shiori,
memegang tangannya. Kala lafaz perang itu disebut Koichi, dia sedar apa yang
diramalkan sekian lama kini bakal menjadi kenyataan. Jika dahulu dia berfikiran
hanya mahu melarikan diri dari hakikat ini, tangannya kini terikat. Jika dahulu
dia masih seorang rekrut, dia kini antara penyelidik elit Kogen. Bahkan dia
dikenali ramai di sini. Jika dia melarikan diri, apa fikiran mereka nanti
terhadapnya? Terhadap keturunannya?
Aku akan mempertahankan Kogen, bisiknya dalam hati, sambil memandang Shiori
di sebelah.
**
“Engkau gilakah Koichi?”
“Koichi, apakah engkau telah berfikir semasaknya?”
“Koichi, ini bukan perkara main-main!”
Begitulah soalan-soalan pesimistik yang dilontarkan ahli Majlis Tertinggi
Kogen. Namun ada soalan yang optimistik turut dilontarkan.
“Apa yang membuatkan engkau berfikir untuk memilihnya?”
Soalan itu yang membuka mata Koichi dan mendorongnya bersuara.
“Dia memang masih seorang budak. Masih mentah, kurang pengalaman.” Ujar
Koichi perlahan dan tenang nadanya.
Para ahli tidak sabar-sabar mendengar hujah lanjut Koichi, terutama yang
pesimistik. Ada yang mengetuk-ngetuk jari pada meja.
“Tetapi aku perlukan generasi baru yang tidak pernah dididik dengan
kesamuraian, yang bersih akal dan hatinya dari unsur itu. Juga, aku perlukan
seseorang yang memiliki kuasa hayabusa-no-kami.”
Semua terdiam. Kemudian salah seorang menyampuk.
“Namun kuasa magis sahaja tidak menjamin kebolehannya memimpin.”
“Apa yang kau tahu dengan kebolehan memimpin, Sadachi-san?” Koichi memulang
paku buah keras kepada penyoal itu.
Sadachi terdiam seraya menggelengkan kepala.
“Aku yakin Ryouji akan mengubah organisasi ini. Jika dia kekurangan, dia
akan belajar. Kalian, walau siapapun yang aku putuskan sebagai pewaris Kogen,
taatilah dia. Didiklah dia jika dia kurang itu ini. Aku yakin dia akan mampu
memimpin Kogen. Aku harap kalian menghormati keputusanku ini.”
Ada dalam ahli itu merungut, “Buat apa ada Majlis jika semua keputusan
ditentukannya dengan veto. Huh!”
**
“Ne, Koichi. Beta sudah tahu semuanya.” Ujar Maharaja sedang
badannya masih membelakangi Koichi.
“Ampun Heika. Patik mohon bertanya, akan apa yang Heika cuba bicarakan?”
“Tentang Ayame anakmu.” Baginda menoleh dan merenung Koichi, kedua belah
tangannya di belakang.
Koichi menahan diri dari mempamerkan rasa gementarnya. Namun mukanya mulai
merah, rasa gementar jelas tidak dapat dibendung.
“Heika, patik mohon penerangan lanjut.” Soal Koichi perlahan, berpura-pura
tidak tahu.
“Tentang dia meninggalkanmu dan sedang menyusun bala tentera untuk
menentangku. Tentang dia sedang membina kubu di Yokuma. Tentang dia salah
seorang dari calon yang diramalkan Amaguri. Dia Kaisenjyo yang akan melanggar
takhta dan kerajaan beta. Namun beta tidak percaya ramalan itu. Apa yang beta
hiraukan sekarang ialah bagaimana anak kepada sekutu beta boleh menjadi ketua
pengkhianat!”
Koichi tunduk, dia tidak berani langsung bertembung wajah dengan baginda.
Dia tahu Maharaja sedang dikuasai murka, dari nada suaranya.
“Aku perlukan engkau berjanji setia denganku. Dengan darah dan nyawamu!”
Maharaja menarik pedang dari sarung di pinggangnya dan pantas menghunus ke
leher Koichi.
Koichi terkesima.
“Berjanji denganku Koichi, walau darah dagingmu sendiri sekalipun yang
membelotku, engkau tetap bersama beta. Berjanji dengan darahmu!” tegas baginda
sambil merenung Koichi dengan renungan setajam ular.
Koichi tunduk dan melutut. Air matanya menitis.
“Berjanji denganku, Koichi!” Suara baginda lagi kuat dan menekan. Baginda
tahu orang terpercayanya itu sedang berbelah bahagi. Ayame satu-satu zuriatnya
yang tinggal. Ayame jantung hatinya. Mana mungkin dia sanggup menghapuskan anak
kesayangannya sendiri.
Maharaja menyarung kembali pedangnya. Dia mendekati Koichi seraya memegang
kedua-dua belah bahunya.
“Pengorbanan ini besar maknanya Koichi. Demi beratus tahun lamanya generasi
kemudian yang akan mewarisi kita. Jika engkau setia dengan beta, ayuh berjanji dengan
beta sekarang.”
Koichi masih diam dan tunduk. Baginda melepaskan tangannya seraya
membelakangi Koichi, dan menyambung.
“Beta berikan masa untukmu. Jika engkau enggan, beta sendiri yang akan –”
“Patik berjanji denganmu Heika. Akan patik musnahkan Ayame. Andai dia benar
sedang menyusun bala tentera di Yokuma!”
“Engkau pasti dengan keputusanmu? Engkau berjanji dengan beta?” Soal
baginda.
“Patik pasti!”
Maharaja menarik pedang beserta sarungnya keluar dari ikatan di pinggang,
seraya dihulur kepada Koichi dengan sebelah tangan.
“Engkau ambil pedang ini. Andai engkau gagal melaksanakannya, lakukan seppuku di hadapanku.”
Koichi mengambil pedang itu dengan kedua-dua belah tangan.
“Pasti.”
**
Ketika Ayame melawat Shirasaka-no-kogen tidak lama selepas pertemuan dengan Maharaja itu, Koichi membawanya ke tama-no-iwa mereka.
Ayame baru sahaja tiba dari terowong di lembah Amaguri, dan sedang duduk di taman bonsai berhampiran pejabat Koichi. Itu tempat dia
selalu bersendirian dahulu dan mendengar dongeng-dongeng Kirisaki dan Shizue.
Di tangannya boneka monyet. Kepalanya menunduk, dia merenung lesu boneka monyet
yang tersarung di tangannya.
Dia menggerak-gerakkan mulut boneka monyet itu, namun tiada dialog yang
terzahir. Ayame cuba menggeledah memorinya, sekiranya masih ada sisa-sisa
dialog yang masih diingati.
Aku sudah terlalu jauh dari mereka. Kirisaki-san dan Shizue nee-chan. Kalian berdua yang telah aku
bunuh dengan tanganku sendiri. Demi menghukum kalian atas jenayah yang telah
kalian lakukan, aku tetap berpegang pada undang-undang Kogendo, meskipun kalian
telah kuanggap sebahagian dari keluargaku. Demi Kogendo, aku tidak akan
teragak-agak.
Jika mereka aku mampu membunuh kerana jenayah mereka, maka aku akan
pastikan Kogendo kekal dalam keadaan sekarang, tanpa dipinda. Jika aku tidak
memelihara Kogendo dalam keadaan asalnya, maka kematian mereka adalah sia-sia.
Jika otou-san mahu meminda Kogendo,
mengapa tidak dia lakukan sebelum menghukum mereka dahulu? Mengapa sekarang,
selepas mereka pergi selama-lamanya?
“Ayame, akhirnya engkau kembali.” Tegur Koichi. Ayame menoleh.
“Ayuh, kita ke tama-no-iwa.”
Koichi berjalan diikuti Ayame, mendaki tangga tinggi sehingga tiba di
sebuah kuil Shinto di atas bukit. Setibanya di perkarangan kuil tersebut,
mereka berdua menyusur teratak kerikil ke belakang kuil di mana terletaknya
padang rumput lalang ogi yang di
tengahnya tercacak tiang batu utama tama-no-iwa
Shirasaka.
"Naze, otou-san? (Mengapa,
ayah?)"
"Maafkan aku Ayame."
Koichi mengeluarkan pedangnya, pedang bermata yang tidak pernah digunakan.
Ia ditempa khas oleh seorang penempa katana
di Kogen sendiri, dicampurkan dengan resin aomomiji
setelah Shinji berkongsikan formulanya. Bertarung dengan Ayame memerlukan katana khas, kerana hanya katana khas sahaja yang mampu
meningkatkan petarung ke jurus tinggi yang hanya boleh dilakukan Ayame.
"Aku terpaksa melakukan ini. Berahi Kuasa tidak akan lenyap selagimana
mereka yang mendapatnya tidak mati."
"Engkau percaya dengan karutan itu, otou-san? Lebih dari engkau percayakan aku anakmu sendiri?"
"Hayabusa-no-kami tidak
pernah menipu. Dan engkau telah menunjukkan tanda-tandanya."
"Apa maksudmu? Apa tandanya?"
"Engkau mengingkari aku bukan? Engkau mengumpul pengikutmu di
belakangku."
"Hanya itu?"
"Ayame, apakah engkau membunuh kerana patuh kod Kogen atau engkau sememangnya
berahikan darah?"
Ayame terdiam sejenak. Dia menundukkan kepala.
"Otou-san, aku bersumpah
akan membunuh semua penoda wanita sehingga tiada seorangpun yang tersisa."
Ayame mengangkat wajahnya perlahan-lahan, masam mencuka. Wajahnya sungguh menakutkan,
tidak seperti wajah cantik yang biasa ditunjukkan. Sebahagian dari rambutnya
yang panjang jatuh mengurai menutupi sebahagian wajahnya.
"Otou-san, aku tidak akan
bersetuju engkau menggubal kod Kogen dan membenarkan mereka hidup. Jika engkau
memilih untuk tidak melakukannya, aku akan taat kepadamu. Jika tidak, aku
memilih untuk memberontak demi menyelamatkan Kogen. Meskipun banyak nyawa yang
akan terkorban."
"Ayame, apa nilai nyawa padamu?"
"Aku tidak akan memaafkan mereka yang menganiaya wanita di tanah
Yamato ini."
"Jawab soalanku Ayame! Apa nilai nyawa di matamu?!"
"Mereka yang menganiaya wanita tidak layak hidup."
Koichi tidak mendapat jawapan yang dimahukan.
“Otou-san, disebabkan Kogendo, aku telah membunuh mereka yang telah
kuanggap keluargaku.”
“Siapa, Ayame?”
“Shizue nee-chan, dan Kirisaki-san.”
Shizue? Kirisaki? Sebentar. Bukankah Shizue itu penyelidik Kogen? Sedang
Kirisaki, dahulu aku sering bertemunya. Aku pernah terlihat dia seringkali
berdongeng dengan Ayame di taman itu. Tentang Shizue, aku tidak pasti.
“Mengapa mereka, Ayame? Kirisaki hanya bertemumu di taman itu...”
"Ya! Memang mereka sekadar bertemuku. Namun mereka mempedulikanku, tidak sepertimu!"
Ayame berhenti sejenak menahan sebak, sebelum menyambung. Dia tidak akan menangis lagi di sini.
“Tiada halangan lagi untuk aku mengabdikan diri pada Kogendo. Demi kematian
mereka... aku akan pastikan Kogendo ditegakkan tanpa dipinda... agar kematian mereka
tidak sia-sia.”
"Naze da, Ayame? Engkau mahu
melancarkan serangan ke atas Kogen dan Maharaja? Apakah mereka yang kau telah
dan akan bunuh itu juga penoda wanita?"
Ayame kembali tunduk membisu.
"Ayame, engkau sememangnya mahu membunuh bukan? Dan engkau jadikan kod
Kogen bagi mewajarkannya. Ayame, mereka juga bapa, abang dan adik kepada
seseorang. Mereka yang kau bunuh itu!"
“Dan wanita-wanita yang mereka nodai juga ibu, kakak dan adik seseorang
bukan?”
“Tetapi mereka tidak membunuh mereka.”
“Mereka dibunuh! Jiwa mereka dibunuh! Kesannya berbekas sehingga ke hari
mati mereka. Sekali mereka dinodai, dan kesannya dirasai sehingga nyawa mereka
di hujung tenggorok.”
“Namun engkau juga membunuh mereka yang tidak melakukannya. Aku dengar engkau menyerang ronin di Yokuma.”
“Mereka yang bersubahat juga hanya layak mati. Otou-san, semua ini pengorbanan nyawa. Bukankah Shizue nee-chan dan Kirisaki-san mati kerana Kogendo? Apa lagi nilai nyawa berbanding Kogendo? Kogendo adalah nyawa kita. Kogendo mesti ditegakkan. Jadi, apakah engkau hampa denganku, otou-san?"
"Engkau tetap anakku, Ayame. Aku terpaksa melakukan ini demi Maharaja
dan pembaharuannya. Demi bangsa ini. Aku tidak akan sekali-kali memihak kepada
musuh Maharaja, meskipun dia anakku. Engkau perlu mati di tanganku hari
ini." Koichi mengerutkan dahinya, cuba menahan marah yang membuak di dada.
Air matanya gugur. Dia menarik pedang dari sarungnya.
Koichi bersedia bertarung dengan Ayame hari ini. Dia nekad,
sekurang-kurangnya itulah yang cuba diterapkan sungguh-sungguh saat itu..
Namun dia tidak bersungguh jua kerana hati tidak dapat dibulatkan sepertimana
di awal pertarungan. Pemandangan anaknya merobek segala tekad yang cuba
diterapkan.
Setiap kali dia menghayun pedang, dia tidak mampu meneruskannya.
Seolah-olah angin mengepal menahan pedangnya. Tidak, itu bukannya angin. Itu
hanyalah ilusi yang dicipta demi menafikan dirinya sendiri. Dia tidak sanggup
membunuh anak kesayangannya itu. Meskipun hanya itu sahaja cara yang tinggal
demi melindungi bangsa dan Maharaja, demi menghapuskan berahi kuasa yang
diramalkan Amaguri.
Ayame mengelak dengan mudah, serangan demi serangan.
"Naze, otou-san? Engkau mahu
membunuhku? Lakukanlah! Lakukan jika engkau mampu!"
Koichi masih berbelah bahagi.
Namun mengingatkan nyawa-nyawa yang tidak berdosa yang telah menjadi mangsa
Ayame di Yokuma, membuatkan dirinya serba salah. Koichi bertarung semakin pantas bagi
memadankan kelajuannya dengan Ayame yang menggunakan kaminari. Koichi tidak tahu kaminari,
dan tidak berminat mempelajarinya dari Miura. Dia hanya belajar bertarung dan
mencapai kepantasan setanding Ayame disebabkan darah Shirasaka-nya dan pedang
yang digunakan, selain menjadi sami Shinto.
Sehingga ke jurus kesembilan, Koichi mengikut setara.
Koichi menggunakan belakang pedangnya sahaja. Disebabkan dia sami Shinto
dan telah bertahun berusaha mencapai zen dan datang dari keturunan Shirasaka,
dia berjaya mencapai kelajuan Ayame di jurus kesembilan.
"Ayame, menyerah diri sajalah."
Ayame duduk di atas rumput tiba-tiba, seolah sengaja merancang menghentikan
pertarungan. Koichi bersedia melakukan libasan terakhir ke leher Ayame sebaik
melihat kesempatan itu. Namun masih dia berbelah bahagi. Pantas Ayame melompat
dan berdiri di atas puncak tama-no-iwa
keluarga Shirasaka, iaitu batu berwarna putih dan setinggi enam kaki yang
terpacak di tengah-tengah padang rumput lalang ogi di Shirasaka-no-kogen
itu.
Koichi terkejut. Pantas. Bukankah itu jurus kesepuluh?!
“Engkau terkejut otou-san?”
“Ayame… bagaimana, bagaimana engkau menguasainya?”
“Sa, ne. Sepertimana aku menguasai
jurus kesembilan, begitu jugalah aku menguasainya.”
Tidak, tidak! Ayame bukan Kaisenjyo!
Anakku bukan pembunuh yang diramalkan ahli sihir Amaguri itu!
Seribu tahun lepas, di dalam buku catitannya, ahli sihir Amaguri menyatakan
bahawa Kaisenjyo ialah pemegang
terakhir kuasa hayabusa. Ia muncul di
akhir zaman selepas Maharaja Jepun pada ketika itu melakukan pembaharuan dan
menyatukan kembali tanah-tanah di Jepun sebagaimana Maharaja pertama. Kaisenjyo, kata Amaguri, perlu
dipenjarakan jauh dari tanah Yamato agar tidak mengganggu gugat kerajaan
Maharaja. Dia mencadangkan agar Kaisenjyo
dipenjarakan di pulau yang jauh dan tersembunyi dari tamadun manusia, di mana Kaisenjyo tidak akan dapat melepaskan
diri. Kaisenjyo dipilih hayabusa-no-kami dari kalangan pemedang
handal dan merupakan pemedang terhandal dari kalangan mereka. Dia memegang
sepuluh persepuluh dari kuasa tama-no-iwa.
Aku tahu, Kaisenjyo adalah
pemedang terhandal di era ini. Satu-satunya kaedah yang tinggal bagi
mengesannya ialah kearifan mereka tentang jurus kesepuluh. Maka sama ada Ayame
atau Hisamiko yang akan menjadi Kaisenjyo.
Namun disebabkan Ayame sudah menguasainya, bukankah itu jelas sekali? Bukankah
dia calonnya?
Tidak, jika Hisamiko berjaya membunuhnya, Hisamiko adalah Kaisenjyo! Aku perlu mengatur
pertarungan mereka. Selagi mana ia belum berlaku, selagi itulah ia belum
muktamad. Dan aku tidak boleh mencadangkan siapa di antara mereka yang harus
dikeluarkan dari tanah Yamato ini demi melindungi Maharaja dan kerajaan yang
dibinanya.
Koichi dikejutkan dari lamunannya dengan bunyi tetakan pedang di atas tiang
tama-no-iwa itu. Ayame hilang dari
puncaknya. Dia muncul kembali di hadapan Koichi, berdiri, sedang wajahnya
menengadah dan tangannya menadah sesuatu yang bakal gugur dari udara.
Batu tama-no-iwa yang dipotongnya
jatuh di dalam tadahan tangan. Ayame pantas menggenggam batu itu, seraya
memandang Koichi.
“Otou-san, aku akan pastikan
Kogen yang engkau bina berkubur suatu hari nanti. Mata ne! (Jumpa lagi!)” Dia pantas menghilang seperti kilat.
Koichi melutut.
Aku terlalu sayangkannya. Maafkan aku Heika! Aku telah memungkiri janjiku
dengan Heika. Aku tidak layak meneruskan hayatku lagi. Maluku ini terlalu besar
untuk diusung di sepanjang hayat.
Apakah ini beban emosi yang pernah diperkatakan Mitsuo?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan