Hisamiko masuk perlahan-lahan dengan wajah tunduk, dia diselubung rasa bersalah kerana menampar kaki abangnya yang tercedera tadi.
“Maafkan aku menampar kakimu tadi. Aku geram...” Ujar Hisamiko perlahan,
seraya mengangkat wajahnya perlahan-lahan.
Ryouji menyeluruhi wajah Hisamiko, ada sisa tangis, bengkak bawah matanya,
kesan air mata membasahi pipi, pipinya yang putih masih merah.
“Engkau mendengar perbualan kami?” Soal Ryouji.
“Ya.”
“Dari yang mana?”
Mata Hisamiko melilau-lilau sebelum menjawab, “Dari ‘aset terpenting
Maharaja’.”
“Oh, begitukah...”
“Onii-san, apa maksud ketua polis itu? Kita boleh menjadi aset
terpenting Maharaja? Adakah dengan kita membantunya kita akan menjadi
sedemikian?”
“Mungkin...”
“Tak syak lagi. Onii-san tak pandai sembunyikan apa-apapun. Ayuh, onii-san.
Ini peluang! Kita harus rebutnya.”
“Tidak Hisamiko.”
“Onii-san, engkau mahu melakukannya bukan?”
Ryouji hanya diam.
“Onii-san, aku mahu mengikutmu ke mana sahaja engkau pergi. Aku tidak
mahu terperap di kampung itu!”
“Hisamiko, berterus-terang denganku, engkau sebenarnya tidak mengajar di
Gero bukan? Engkau berlatih bertarung di hutan buluh bukan?!”
Hisamiko diam.
“Jawab soalanku, Miko. Mengapa kau diam?!”
“Ya. Memang aku tidak mengajar. Namun ia hanya sekali-sekala, bilamana aku
bosan. Onii-san aku bosan di kampung itu, di pekan Gero itu.
Mengulang-ulang perkara sama, mengajar dan mengajar perkara sama. Aku
sesungguhnya tidak betah hidup begitu onii-san. Aku mahu keluar dari
situ. Aku mahu keluar.”
Ryouji tidak berkutik apa-apa. Mahu sahaja dia tengking adiknya itu dengan
sepatah kata, DIAM, IKUT SAHAJA KATAKU. Namun menyedari adiknya sudah pun
dewasa, dia teragak-agak. Patutkah dia mengawal adiknya seperti anak-anak lagi?
“Onii-san aku saran kita terima tawaran ketua polis itu. Ini peluang
onii-san, peluang untuk kita membuktikan kebolehan kita kepada baginda.
Dan pulangannya lebih dari apa yang kita boleh bayangkan, kita akan kaya-raya
dan disanjung onii-san. Kita akan disanjung sepanjang zaman dan nama
keturunan kita akan diingati.”
Ah, ia berulang kembali. Ia seakan-akan sama, getus Ryouji. Ya, ketika itu
Hisamiko baru pulih dari kemurungan selepas kematian Tsuneki. Hisamiko merampas
surat yang diberikan Koichi kepadaku, di mana dalam surat itu Koichi meminta
bantuanku menumpaskan Hamada yang bersembunyi di kubunya di Kobe. Sekali lagi
masalah yang sama bertandang. Waktu itu Hisamiko mendesakku agar menerima
tawaran Koichi, agar kami mendapat ganjaran rumah dan tanah di Gero. Dan kali
ini, apakah aku harus menyambut saranan Hisamiko lagi? Apakah kami akan
bernasib baik lagi kali ini?
Andai kami diterima Maharaja, dan menjadi adiwira negara, bukankah itu
bakal membatalkan dan menyongsangkan segala ramalan Amaguri berkenaan Kaisenjyo
ke atas Hisamiko, segala ramalan yang disampaikan Koichi dan diperingatkan
kepadaku sejak sekian lama itu?
Dan bukankah ini juga peluang untukku? Kasukabe mengatakan aku seorang
pengecut. Sekurangnya jika tidak secara langsung sekalipun, dia memuntahkannya
secara kiasan. Aku tidak faham garis pemisah antara terlalu berhati-hati dan
pengecut. Adakah aku terlalu berhati-hati atau sebenarnya pengecut? Aku tidak
tahu jawapannya. Aku ingin mencari jawapannya sekali lagi, mungkin aku akan
bertemu jawapan itu dalam tawaran Kasukabe ini.
“Aku akan menerima tawaran Kasukabe itu dengan syarat...”
“Apa syaratnya?”
“Engkau kekal di Gero dan terus mengajar di sana.”
“Onii-san!”
“Aku tidak akan...”
“Aku akan mengikutmu! Nasib engkau sungguh baik kerana hanya kakimu yang
tercedera. Bayangkan jika engkau tidak bernasib baik di kuil itu, bayangkan
jika nyawamu melayang sedangkan aku tiada bersamamu...”
Ryouji berbelah bahagi. Dia tidak larat lagi bertengkar dengan Hisamiko.
Hisamiko keluar tanpa meneruskan perbalahan dengan abangnya.
Selepas beberapa hari, selepas berfikir sedalam dan semasak-masaknya,
Ryouji akhirnya membenarkan Hisamiko menyertainya. Mereka menerima topeng dan
baju daripada Kasukabe dan memulakan misi yang disuguh Kasukabe. Namun mereka
hanya bersama Kasukabe selepas beberapa misi sahaja. Ryouji semakin yakin akan
Hisamiko dan nilai tambah selepas beberapa misi, bagaimana Hisamiko
menyelamatkan nyawanya ketikamana sakit di kakinya datang tiba-tiba, dan
melihat bagaimana Hisamiko telah menambahbaik. Maka disebabkan itu, dia kembali
kepada rancangan asalnya, iaitu bertindak sendiri tanpa bergantung kepada
Kasukabe dan pasukan polis. Pada kali itu, dia bersetuju membiarkan Hisamiko
menyertainya.
Ryouji dan Hisamiko melarikan diri dari Kasukabe dan bertindak sendiri.
Mereka menukar reka bentuk topeng, kekal memakainya, namun kembali mengenakan
yukata biasa mereka berbanding pakaian serba hitam yang dibekalkan Kasukabe.
Mereka menjadi yoru-no-kaze yang tiada perkaitan dengan anggota polis
lagi.
**
Ryouji meminta Hisamiko berjanji atas satu
perkara; yang dia tidak akan menumpahkan darah. Hisamiko berjanji, dan dia
menambah janjinya yang dia hanya akan melindungi Ryouji. Dia mungkin perlu
menumpahkan darah demi melindunginya. Ryouji diam. Dia tidak tahu apa yang
boleh dibalas. Mungkin membenarkannya, hanya pada saat-saat di mana dia
memerlukan Hisamiko.
Ryouji dan Hisamiko tanpa jemu mengiklankan
dirinya sebagai yoru-no-kaze (‘Bayang Malam’) dengan menampal poster di
pekan Gero, dan juga pekan-pekan berhampiran saban hari.
Niat Ryouji berbakti sebagai yoru-no-kaze
tidak pernah berubah; demi membina kekuatan spiritual melawan amarahnya, dan
akhirnya menangkap Tatsuya dan membawanya ke mahkamah, dan mengembalikan keamanan
di bumi Yamato, dan menyahsahih kata-kata Kasukabe yang menuduhnya lemah. Namun
luarannya, dia mempamerkan kepada Hisamiko bahawa dia hanya mahukan kemasyhuran
dan perhatian Maharaja, iaitu ganjaran yang pernah dijanjikan Kasukabe, namun
masih relevan meskipun Kasukabe tidak bersama mereka lagi. Demikian juga matlamat
luaran yang dipamerkan Hisamiko di balik penyertaannya. Namun sebenarnya Hisamiko
sendiri menyertai Ryouji kerana mahu melindungi abangnya jiwa dan raga, juga kerana tidak betah hidup
dengan rutin di Gero. Itu niat yang tenggelam di sudut hati Hisamiko, sulit
dari pandangan Ryouji. Setiap mereka, ada tujuan yang tersembunyi.
Namun tanpa dia sedari, tindakannya itu sedikit
demi sedikit membawa Hisamiko kembali ke dunia berdarah dan mungkin, sedikit
demi sedikit, menghampirkannya selangkah lebih dekat ke arah ramalan Amaguri.
Ia berlaku di sepanjang sejarah manusia; semakin
engkau cuba mengelakkan diri dari sesuatu ramalan menimpamu, semakin engkau
dekat dengan ramalan itu. Seorang raja yang cuba mengelak dari kematian telah
membina kubu yang ampuh, namun punca kematian itu yang berupa seekor serangga
menyusup masuk kubu itu dan membunuhnya. Seorang raja yang cuba menghalang
lelaki ramalan dari menumbangkannya, telah membunuh ramai bayi lelaki namun
tidak disangka-sangka lelaki ramalan itu diselamatkan isterinya sendiri yang
akhirnya membesar dan memenuhi ramalan itu.
Takdir dan karma berhasil akibat tindakan kita,
para pelakon di pentas ciptaan Tuhan. Tanpa kita sedari, perlakuan demi
perlakuan kita sebenarnya melengkapkan montaj dan skrip yang telah
dikarang-Nya, tanpa kita sedari. Tanpa kita sedari.
Ryouji mulai menyedari hakikat itu sedikit demi
sedikit. Namun dia tidak memahaminya, lantas semakin dia tenggelam dalam
lakonannya sendiri dalam misi-misi yang disertainya. Dia sedar berkenaan karma
yang disebut-sebut bapa dan pendeta Shinto. Namun dia tidak memahaminya. Dia sedar
karma terzahir atas tindakan, namun dia tidak memahami bahawa tindakan manusia
itu sendiri sebenarnya telah diatur Dia dan bukanlah sepenuhnya berada di bawah
kawalannya. Semuanya telah dikarang sejak azali, semua skrip dan montaj itu.
Semakin benarlah ramalan Amaguri itu ke atas
Hisamiko, nampaknya.
**
Penghujung musim luruh, 1875
Nagano, Jepun Tengah.
Hanya cahaya bulan menerangi sebuah kawasan pinggir hutan pokok-pokok daun
luruh. Musim kian dingin. Dedaun hampir semuanya sudah gugur. Dua bayang
memanjang kelihatan. Di hujung bayang itu berdiri dua orang manusia memakai
topeng kabuki. Seorang lelaki dan
seorang lagi wanita, masing-masing berpedang di pinggang. Pohon shirakaba yang sudah gondol menaungi
mereka.
Tidak jauh dari dua orang manusia bertopeng kabuki itu, di balik sebatang pokok sugi, satu lagi bayang kelihatan. Seorang wanita memakai kimono biru
gelap, bersandar pada batang pokok sugi.
Dia berkata perlahan, “Suami dan anakku dibunuh.”
Ryouji dan Hisamiko mendengar penuh teliti butir-butir lanjut yang
menyusul. Hisamiko sekali-kala menengadah pokok shirakaba di atasnya, memerhati Azuchi kalau-kalau burung itu ada
terlihatkan mana-mana penjejak si wanita pengadu. Azuchi menggelengkan kepala.
Topeng kabuki yang dipakai Hisamiko
sedikit menggerunkan Azuchi.
“Mereka dibunuh ketika sedang berhenti di shukuba. Habis wang dan barang dagangan mereka dirampas.”
“Apakah mereka ada membeli perlindungan?”
“Ada. Namun aku mahu kalian menangkap pembunuhnya dan membawa kepada Kogen.
Polis Maharaja tidak mampu menewaskan mereka. Ramai dari mereka turut dibunuh.”
Tatkala Hisamiko pasti tiada pengekor, mereka berdua bergerak ke lokasi
wanita itu demi memastikan identitinya.
“Ini, tiga puluh peratus pendahuluan.” Wanita itu menghulurkan sebuntil
kain berisi wang emas.
Ryouji menolak seraya berkata, “Simpan semuanya. Kami hanya menerima
bayaran selepas kami melangsaikan tugas kami.”
“Hontou?”
“Hontou da. Berikan aku
pengenalanmu; nama penuh, alamat rumahmu.”
Wanita itu menyimpan kembali buntil kain ke dalam saku kimononya, seraya
memberitahu identitinya, “Urahara Michiko. Pekan Nagano, di sebelah satu-satunya
kedai membuat penyepit.”
“Terima kasih, dan usah risau, kami merahsiakan semua maklumat yang kami
terima. Ada sebarang petunjuk untuk memudahkan kami?”
“Ini... hasil siasatan polis yang berjaya aku seludup keluar.” Michiko
memberikan sehelai kertas berlipat dalam sampul kain berikat.
Ryouji membukanya. Hisamiko membantu membaca mana-mana kanji yang sukar.
“Kami akan membawanya ke sini pada malam keempat.”
Dari laporan polis yang kami terima, penyerang itu merupakan ronin dan
bekas salah seorang samurai Hamada. Dia memberitahu kami yang dahulunya dia
mengikut satu pasukan perompak yang merompak bijih besi dari Shimagane, namun
selepas pasukan perompak itu dibubarkan, dia membawa haluan sendiri. Ia kes
biasa pada era ini, aku fikir. Aku fikir, kami hanya membuat kerja-kerja polis,
namun terhadap petarung yang lebih sukar bagi mereka untuk ditumpaskan. Kes
demi kes yang kami terima semakin lama semakin mencabar dan ia lebih dari
sekadar penyelesaian jenayah. Ia membabitkan pelbagai motif. Tidak semua
penjenayah punya motif kebendaan dan nafsu semata. Ada yang berdendam, dan ada
juga yang secara semulajadi sememangnya gemar menumpahkan darah. Yang itu
adalah jenis yang paling sukar sekali difahami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan