Hanya sekali itu sahaja Ryouji bermimpi perkara menakutkan yang melibatkan Kiku. Namun mimpi begitu telah menyedarkannya, bahawa dia harus melakukan sesuatu di sini, di dunia ini, selagimana dia masih hidup, dan dia tidak harus mensia-siakan masa dan peluang yang ada. Dia disedarkan bahawa memilih Kiku yang telah sebenar-benarnya tiada di sini hanyalah pilihan berdelusi, pilihan yang tidak realistik. Kiku telah mati, telah mati. Hanya mereka yang hidup di dunia ini sahajalah yang menghidupkannya, dengan membayar hutang-hutang mereka, termasuklah hutang darah. Hanya dengan itu sahaja, Kiku akan kekal hidup dalam sanubari.
Ryouji tidak boleh mati sekarang. Dia harus menuntut bela kematian Kiku dan
menemani Hisamiko.
Ryouji harus bangkit dari perbaringan dan mula merancang. Secepatnya esok.
Namun mimpi demi mimpi tentang Kiku melengah-lengahkan Ryouji. Dia lebih
rela tidur demi bertemu Kiku. Dalam dua ratus mimpi itu, hanya satu sahaja
mimpi yang mana dirasakan Kiku yang itulah Kiku isterinya. Yang lain semuanya
mainan tidur, semua akuma, semua syaitan yang cuba menyerupai isterinya.
Selain berakhir dengan perkara menakutkan seperti di padang lalang ogi
itu, banyak juga dari mimpi-mimpi itu terputus akibat Ryouji dikejutkan wanita
pelayan yang dihantar Hisamiko untuk melihat-lihatkannya.
Aku bukan sakit atau gila, getus Ryouji. Hisamiko tidak perlu menghantar
mak cik ini menjagaku. Aku hanya mahu berehat pada mulanya, dan sekarang
selepas beberapa mimpi itu, aku hanya mahu tidur demi mendapatkan mimpi
sebenar. Aku akan makan bilamana aku lapar. Dia tidak perlu risaukan aku.
Disebabkan itu, pada suatu hari, Ryouji bangun dari perbaringan, dan
meninggalkan Akiko, wanita pelayan tua itu, tanpa pengetahuannya, demi duduk di
sisi kubur Kiku. Dia mahu tidur di sana dengan aman, tanpa gangguan. Mungkin,
dengan tidur di tepi kubur Kiku, Kiku yang sebenar akan hadir.
Tidak disangka-sangka, mimpi bertemu Kiku yang sebenar menjadi kenyataan.
Setelah meredah seratus sembilan puluh sembilan mimpi dengan ‘Kiku’ jelmaan akuma,
Kiku yang sebenar hadir buat julung kalinya.
Hanya Kiku ini sahaja yang benar-benar Kiku, getus Ryouji. Perwatakannya
tidak akan mampu menipuku, dia satu dalam sejuta. Kiku yang sebenar muncul di
hadapanku tiba-tiba. Dia lain dari mimpi-mimpi lain. Perkara pertama yang aku
dapati ialah riak wajahnya, Berbanding mimpi-mimpi lain, Kiku yang ini berkerut
kerisauan melihatkanku. Dia terus meluru dan memegang wajahku dan bertanyakan
mengapa pipiku begitu cekung, apakah aku cukup makan selepas pemergiannya? Ini
watak Kiku yang tiada dalam mimpi-mimpi lain.
Kiku mengalirkan air mata sedang tangannya masih memegang pipiku. Tiada
tutur aku rindu engkau aku rindu engkau. Tiada. Hanya tindak balas automatik
yang lahir dari sanubari, citra kasih yang sekian lama terempang dek benteng
antara nyata dan ghaib.
Latar kemunculan Kiku dalam mimpi ini ialah rumah kami. Tiada padang lalang
aneh. Tiada latar di atas gunung atau di tepi pantai. Hanya rumah kami itulah
yang ada bangku menghadap sawah padi itu, di mana kami duduk berdua-duaan buat
kali terakhir.
Kami duduk dan bersembang panjang. Nada dan suara, lenggok dan gerak
tubuhnya perlahan-lahan kembali mewarnai kenangan lama dirinya dalam kotak
memori yang hampir kelabu dan usang. Ia menyegarkan dan mengingatkan bahawa
Kiku pernah benar-benar hidup dan mencintai dan dicintai dan bukan berpura-pura
mencintai seperti watak-watak Kiku dalam mimpi terdahulu. Aku yakin Kiku yang
inilah yang harus aku percayai. Dan dari mimpi-mimpi lepas, aku sedar aku di
alam mimpi dan aku tidak harus terjerat dengan alam ini. Aku perlu kembali.
Lantas sebelum aku pulang, aku tanyakan kepadanya apa yang boleh aku lakukan
untuknya di dunia. Dia tidak meminta aku membalas dendam terhadap Tatsuya. Ya,
dia sememangnya Kiku! Kiku tidak berdendam, Kiku tidak berhasad dengki, Kiku
terlalu murni untuk itu.
Hanya satu yang dia pinta, agar aku hidup dengan kebaikan. Berbakti kepada
orang sepertinya yang dianiaya.
“Aku ingin bertemumu semula, dengan engkau membawa kebaikan-kebaikanmu ke
sini. Sebab hanya Ryouji yang baik itulah yang aku cintai. Ryouji, usah
sekali-kali dikuasai api dendam.”
Aku menitiskan air mata mendengarkan permintaan Kiku. Inilah Kiku, tidak
syak lagi. Bagaimana isteri sebaik itu ditarik Tuhan terlalu awal, ditarik
keluar dari dunia ini kala menggadaikan nyawanya demi menyelamatkanku? Air mata
jantanku melimpah membasahi tanah pusara, moga ia meresap dan sampai ke jasad
Kiku dan rohnya yang menerawang alam abadi. Aku harapkan inilah kali terakhir
air mataku tumpah untuknya, kerana selepas ini aku akan terus hidup demi
meneruskan legasinya yang sesingkat kerdipan mata. Aku tidak boleh terus
bersendirian dan berbaring di rumah. Aku tidak boleh terus berbaring dan
menangis seperti manusia lembik. Lagipun bukankah aku sudah banyak kali
mengalami kematian?
Terima kasih Kiku kerana pernah hidup bersamaku. Hidupmu adalah kekuatanku
yang sebentar, namun pemergianmu adalah kekuatanku yang abadi, meski hati ini
terlalu berat untuk melepaskanmu.
Sebaik tersedar dari mimpi, Ryouji mengepal tanah yang mengandung jasad
Kiku, dan melumur ke serata wajahnya sehingga hitam seluruhnya, bersememeh
wajah dengan kesan tanah dan air mata yang bercampur-baur, bau hanyir tanah
menikam deria hidu.
Meski aku tidak lagi memikul sumpahan hayabusa di
belakangku, aku memikul hutang nyawa yang maha berat, jiwa-jiwa penting itu
yang telah pergi. Aku tidak akan berhenti. Sekuntum bunga kekwa yang gugur,
seribu kuntum akan aku cambahkan dan pastikan ia mekar menghias bumi Yamato
ini. Aku akan memperkukuh kuasa Maharaja, akan aku bantu baginda menegakkan
kembali undang-undang dan membela mereka yang lemah dari penindasan bekas
samurai Hamada. Hidup takhta kekwa. Hidup Maharaja! Banzai!
Dia termenung sebentar menyedari betapa janggalnya perlakuan menyapu tanah
ke muka itu, sebelum menyedari ada buntil kain yang diikat kain putih
bertuliskan ‘untuk Okuhida Ryouji’ diletakkan di tepi kubur Kiku.
Dia ligat menoleh kepala ke sekeliling, kala merasakan dirinya diekori.
Apakah dia diekori Tatsuya? Atau Shinji? Atau orang-orang Koichi? Dahulu Shinji
pernah berpesan bahawa Koichi bakal memanggilnya pulang. Sekarangkah? Ketika
dia sedang masih bergelut dengan kematian Kiku?
Ryouji pulang ketikamana Akiko masih di luar mencarinya. Lalu dia terus
masuk ke bilik senyap-senyap sebelum Akiko tiba dan berpura-pura tidur.
Sebelumnya, Akiko telah memberitahu Hisamiko yang Ryouji hilang dari
perbaringan. Hisamiko pulang hari itu dan ke bilik Ryouji, mendapati dia masih
di situ. Akiko yang mengikut Hisamiko turut terperanjat besar. Hisamiko cuba
bertanyakan Ryouji ke mana dia menghilang. Namun seperti biasa, tiada jawapan
dari mulutnya. Ryouji tetap berbaring tanpa mempedulikan Hisamiko.
**
Orang ramai di pekan Gero berkerumun di hadapan papan kenyataan di
tengah-tengah pekan itu. Semua kelihatan tercengang menatap banyak poster yang
sama, ditulis dengan kaligrafi dan dakwat hitam, bertampalan pada papan
kenyataan melitupi poster-poster pengumuman lama, termasuklah poster lama yang
bermesej dari Maharaja.
“Kamu telah dizalimi, namun tiada saluran undang-undang yang boleh
diharapkan? Kalian tiada tempat mengadu kezaliman ke atas kalian? Kami akan
membantumu, selepas kalian melaporkan kes kalian dan membuktikan kalian benar
dianiaya. Kami akan memberkas sesiapa sahaja yang kamu fikir telah menzalimimu,
dan menghantarnya ke Kogen untuk dibicarakan.” Begitulah bunyinya rangkap
pertama tulisan pada poster baru itu.
Ada yang mengetawakan poster itu. “Joudan jyanai ka (lawakkah ini)?
Ini poster orang gila. Jaga-jagalah, entah-entah penipu saja ini kalian!”
Rakannya menyambut, “Disuruh kita bertemunya, sekali kita pula diculiknya!”
Dia dan rakannya ketawa.
“Cabut, cabut poster-poster bodoh ni!”
Mereka mula mencabut poster-poster itu. Orang ramai lain yang berkerumun di
situ turut sama mencabutnya.
“Haih, kita sudah ada pasukan polis, mengapa tidak sahaja dia masuk pasukan
polis jika ingin benar menegakkan kebenaran?” Gumam seorang lelaki yang turut
sama mengoyak poster-poster itu.
Ada seorang dua yang mengambil poster itu dan membawanya pulang. Di
pertengahan jalan pulang, salah seorang yang mengambil poster itu membaca
perenggan kedua mesej padanya yang berbunyi:
“Jika kalian berminat, temui kami di dalam gudang kosong tepi hutan buluh
di Kuil Gozen, tengah malam dua hari dari sekarang. Bawa poster ini bersama.”
**
Kuil Gozen terletak di atas sebuah bukit di utara Gero. Ia kuil Shinto
pertama yang akan ditemui pengembara yang menyusur Sungai Miya dari utara.
Tengah malam hari itu, Sami Fukuyama yang menjaga Kuil Gozen menyedari
beberapa orang memanjat tangga kuil ke dalam gudang kosong di tepi hutan buluh
di belakangnya. Gudang itu hanyalah sebuah dewan terbuka yang tidak pernah
dikunci dan boleh digunakan untuk tujuan latihan seni mempertahankan diri
termasuk kendo. Namun penggunaannya haruslah dimaklumkan kepada Sami Fukuyama
dahulu. Dua hari lepas seorang remaja lelaki telah menempahnya selama sehari
dari siang sehingga pagi esoknya, iaitu pada hari ini. Maka Fukuyama pun
mengosongkan dewan itu selama sehari.
“Barangkali jemputan-jemputan remaja itu sudah pun tiba. Mengapa tengah
malam? Aku tahulah dia tempah sehari. Aku fikir dia mahu menggunakannya di
waktu siang. Namun rupanya waktu malam buta? Oh, aku mengantuk dan mahu
tidur...”
Dek risau yang tidak henti-henti, akhirnya Sami Fukuyama terpaksa menahan
mengantuk dan keluar dari bilik tidurnya. Dia memerhati dari jauh. Kedapatan
lima orang sedang memasuki dewan tersebut, berpakaian yukata biasa.
Ryouji turun dari atas bumbung dewan perlahan-lahan tanpa bunyi dengan
berpakaian serba hitam namun tidak menutup wajahnya, sejurus selepas hadirin
terakhir memasuki dewan, memeranjatkan Sami Fukuyama yang sedang memerhati dari
persembunyiannya. Wajah Ryouji jelas disinar rembulan purnama. Ryouji menutup
wajahnya sebaik sebelum memasuki dewan, dan Sami Fukuyama sudah pun merakam
wajahnya. Bunyi krek yang panjang kedengaran kala pintu dewan ditutup.
Budak itu! Getus Sami Fukuyama. Budak yang membuat tempahan dewan itu!
Kenapa dia turun dari bumbung, dan berpakaian serba hitam? Budak ini ninjakah?
Teruja ingin tahu, Sami Fukuyama keluar dari persembunyian dan berjalan
menjengket kaki. Dia berdiri di tepi pintu yang sedang ditutup, dan telinganya
ditekap pada celah pintu demi menangkap suara dari pertemuan itu.
“Kalian datang kerana poster-poster itukah?” Soal Ryouji kepada semua
hadirin.
“Ya.” Jawab semua hadirin. “Namun kami perlukan pengesahan yang engkau tuan
empunya poster.”
“Kalian membawanya sekarang?”
“Ya.”
“Lipatkan seperti apa yang aku buat. Ia akan membentuk tulisan kod,
bermakna hayabusa.”
Mereka melipat seperti apa yang diajar Ryouji. Tatkala kertas poster itu
dilipat, tulisan-tulisan sedia ada membentuk satu tulisan kanji baru,
yang bermakna hayabusa.
“Jadi, apa kebolehanmu yang membolehkan engkau membantu kami?” Salah
seorang hadirin bertanya.
“Aku tahu kaminari-no-kaze.”
“Tunjukkan.”
Serta-merta Ryouji hilang. Semua hadirin kepingaan.
“Apa kalian tercari-cari? Aku di belakang.”
Mereka menoleh, dan mendapati Ryouji benar ada di belakang mereka. Maka
sedarlah mereka akan siapa Ryouji.
“Penipu. Engkau ahli sihir!” Seorang dari hadirin meluru tiba-tiba dari
khalayak dengan pedang terhunus dan langsung dihentak ke atas Ryouji, namun
Ryouji mengelak dengan pantas. Pertarungan berlangsung beberapa ketika namun
hanya beberapa saat sahaja pedang lelaki itu sudah tercampak ke tepi dan dia
tertiarap di atas lantai dewan, lengannya dikunci Ryouji.
Suara-suara kagum menerawang dari khalayak.
“Kalian, seni yang telah aku pamerkan ini adalah seni kaminari yang
dicipta seorang petarung Kogen, bernama Okuhida Mitsuo. Apakah kalian pernah
mendengar namanya?”
Khalayak bersoksek-soksek, cuba menyoal rakan-rakannya.
“Bukankah dia penyumbang dana utama Kogen?” Salah seorang hadirin memberi
pendapatnya.
“Benar. Aku pernah menuntut dengannya. Namun identitiku tidak penting. Apa
yang penting sekarang, dengan kaminari-no-kaze ini, aku akan membantu
kalian. Tanpa perlu wang pendahuluan. Selepas aku menangkap mereka, barulah
kalian membayarku.”
Habis bicara, Ryouji melepaskan kunci lengan ke atas hadirin yang
ditumpaskan itu, menariknya kembali berdiri dan memintanya kembali ke dalam
khalayak. Lelaki itu kembali dengan akur.
Lelaki yang baru bertarung dengan Kogen itu terhenti berjalan sebaik
teringat tawaran Ryouji yang tidak meminta wang pendahuluan. Dia seraya menoleh
memandang Ryouji dan bertanya sinis, “Oh begitukah katamu? Bahawa kami tidak
perlu bayar pendahuluan, sungguhkah?”
“Ya.” Dan aku tidak kisah langsung jika kalian tidak membayarku. Kerana
aku hanya mahu merawat diriku. Aku masih sakit, dan aku tidak tahu bila sakit
ini akan memakan diriku dari dalam. Begitulah gema suara Ryouji dalam
hatinya.
“Engkau sungguh baiklah budak.” Lelaki yang bertanya sinis itu menambah,
dan ketawa kecil.
“Beritahu aku apa yang kalian mahu dibantu. Bermula dengan kamu!” Ryouji
mengunjuk ke arah lelaki yang baru bertarung dengannya tadi.
“Oh benar? Engkau mahu membantuku?”
“Jika kau tak mahu tak mengapa. Dan tak usahlah kau bersusah-payah datang
ke sini.” Balas Ryouji.
“Aku mahu berbincang denganmu sahaja, di sudut itu.” Lelaki itu menuding ke
arah satu sudut dewan.
“Baiklah. Kalian, aku dan lelaki ini akan ke sudut sana sebentar.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan