“Demikianlah kisahnya bagaimana Ayame-san dibunuh.” Saionji, shugenja yang dipertanggungjawabkan meronda lembah Amaguri dan Gunung Kogen, menamatkan perkhabarannya kepada Koichi berkenaan apa yang berlaku kepada Ayame selepas masuk ke lembah Amaguri itu selepas dikejar tentera Maharaja.
“Maafkan aku, Koichi-san. Aku hanya memerhati dari atas pokok dan
bersembunyi dan tidak melakukan apa-apa, seperti arahanmu. Maafkan aku!”
“Tak perlu meminta maaf Saionji. Engkau telah menuruti segala arahanku. Dan
arahanku itu adalah arahan dari baginda juga.” Meskipun berat. Aku terpaksa
melakukannya.
Saionji meminta izin beredar dari lembah itu, demi meneruskan tugasnya
meronda Gunung Kogen, dan Koichi membenarkan. Koichi turut beredar, keluar dari
lembah Amaguri itu dan terus berkuda ke lembah Okuhida.
Sebaik tiba di lembah itu, dia berjalan menuju ke tiang batu putih Okuhida.
Di sebelah tiang batu itu bersemadinya Ayame. Sudah dua bulan Koichi
berulang-alik begini dari Kogen ke lembah Okuhida demi melawat kubur Ayame.
Semakin hari, dia semakin lama dan kerap ke sini. Jika dahulu hanya seminggu
sekali, namun kini, dia akan datang seminggu tiga kali. Kogen telah diserahkan
beransur-ansur kepada majlis yang dilantik Maharaja. Ryouji sudah pun berpindah
ke Tokyo bersama Hisamiko. Ryouji enggan mewarisinya.
Apa boleh dilakukan, getus Koichi. Aku tidak menyalahkan Ryouji atas
pilihannya. Dia menerima tugas membunuh Ayame dariku dan dari baginda agar dia
mendapat habuan dari Maharaja, dan salah satunya ialah rumah di Tokyo. Lagipun,
melihatkan keadaan Kogen yang semakin berpecah-belah dan ramai yang tidak
bersetuju dengan perlantikannya, adalah lebih baik dia tidak menerima jawatan
itu. Aku memilih Ryouji kerana keperibadiannya. Namun tidak sekali-kali aku
menyangka, hanya aku yang kenal Ryouji. Rata-rata mereka di sini tidak kenal
Ryouji meski namanya diketahui ramai ahli Kogen, mungkin mereka hanya kenal
pada namanya. Disebabkan itu, mereka enggan menerima Ryouji menjadi pemimpin
mereka. Mereka mengenali aku lebih dari itu, sebelum aku menjadi ketua Kogen
lagi, aku berkecimpung sebagai pengintip dan membina jaringan dengan banyak
penjaga rumah perlindungan. Ryouji mungkin ada melawat banyak rumah
perlindungan sewaktu misinya, namun itu misi menghukum, bukan membina jaringan
dengan penjaga rumah.
Aku tidak tahu siapa lagi yang boleh dipercayai selain Ryouji demi
mewariskan Kogen. Namun sekarang masalah itu sudah pun diselesaikan. Maharaja
sudah pun mengambilalihnya. Biarkanlah baginda dan perdana menterinya
bertungkus-lumus mentadbir dan mengubah Kogen. Aku hanya mahu bersara. Aku
hanya mahu bersama Ayame. Sekarang aku sudah pun berjaya menyerahkan hampir
seratus-peratus tugasku kepada penjawat baru, iaitu wakil yang dilantik Perdana
Menteri Ito. Lagi beberapa hari, akan diadakan majlis bagi meraikan perpisahan
dan persaraanku dari Kogen. Ah, andai masih ada Tsubomi dan Ayame. Namun siapa
lagi yang ada. Aku tidak ada ahli keluarga lagi. Aku adalah ahli terakhir puak
Shirasaka. Aku mahu berseorangan di lembah ini sehingga hari matiku.
Koichi menyapu daun-daun dan lalang kering yang bertaburan di atas batu
hampar di atas kubur Ayame dengan tangannya. Di tengah hamparan itu adalah
nisan bertuliskan nama Ayame dalam kanji. Koichi merenung batu itu lama,
seolah cuba memanggil roh Ayame agar datang mempersilakan dirinya.
Sejak dua bulan lalu, entah berapa kali dia mengulangi perbuatan itu.
Pabila dia merenung dan perlahan-lahan matanya terpejam, segala memori bersama
Ayame kembali bertandang ke benak. Namun memorinya terlalu sedikit. Memori yang
banyak bertandang adalah memori yang berkait dengan kerjayanya sebagai
pengintip Kogen. Dengan memori yang sedikit, mana mungkin seseorang boleh kekal
hidup dalam sanubari meskipun dia sudah lenyap dari pandangan mata. Dengan
memori yang sedikit, ia diulang-ulang berkali-kali sehingga membosankan dan
memualkan. Hanya yang berulang-ulang itu memori dia duduk-duduk melayan celoteh
Ayame di bawah pokok di sebelah pejabatnya. Dia mendengar namun tidak
mendengar. Dia mendengar namun yang kedengaran hanyalah masalah-masalah Kogen
yang dibincangkan dalam Majlis Tertinggi, menanti buah akalnya dikeluarkan.
Pabila disoal Ayame dia hanya ber’hah’, ‘ya’, atau ‘wakatta’ atau ‘souka’.
Sehingga patah-patah jawapan itu sudah dihafal dan dihafal juga bila waktu yang
tepat untuk dikeluarkan agar Ayame tidak merasakan bahawa jawapan itu sekadar
jawapan kosong yang tiada makna apa-apa. Bahkan intonasinya juga mestilah
nampak bahawa patah-patah itu dikeluarkan dari hati dan bersungguh dan bukannya
sekadar lafaz di mulut.
Tsubomi sesungguhnya adalah isteri yang tidak dimahukan. Ia adalah isteri
yang dipaksakan ke atasnya oleh Omi yang mahukan zuriat, meskipun dia enggan
berkahwin pada ketika itu. Dan ia berturutan kepada Ayame, yang juga anak yang
tidak dimahukan. Selepas pemergian Tsubomi, Koichi menyesal kerana
mengabaikannya. Namun Koichi tidak mengambil pengajaran dari itu. Meski dia
mengambil pengajaran sekalipun, Ayame sudah liat dan sukar dilenturkan lagi.
Ayame sudah dewasa ketikamana dia menjadi penjatuh hukuman bunuh. Koichi sudah
terlambat mendidiknya. Yang tinggal pada waktu itu hanyalah satu matlamat;
iaitu Ayame yang dicop sebagai ‘penyakit’ Kogen mesti dihapuskan sebelum ia
melarat. Namun dia enggan, kerana jauh di sudut hati dia terlalu menyayangi
Ayame. Hanya satu sahaja yang mampu memaksanya membunuh Ayame, iaitu Maharaja.
Meski begitu, dia masih tidak sanggup melakukannya dengan tangannya sendiri.
Maka Ryouji dan Hisamiko diupah melakukannya.
Apakah manusia boleh mengubah ketentuan-ketentuan Tuhan? Soal Koichi dalam
hatinya. Jika semuanya sudah tertulis, seperti ramalan Amaguri itu, maka apa
maknanya usaha dan ikhtiar? Apa maknanya menjadi manusia yang berakal di dunia
ini? Aku sudah cuba mengelak dari takdir-takdir itu selepas mengetahuinya,
namun bagaimana otou-san masih mampu memaksakan jodoh ke atasku dan aku
pula ditelan paksaan itu? Pastinya ada campur tangan Tuhan bukan? Dan ia
berlarutan sehingga lahirnya calon Kaisenjyo dari keturunanku sendiri yang aku
sudah lama ingin elakkan dari ia berlaku. Jika benar Tuhan memberikanku
pilihan, mengapa aku disibukkan dengan Kogen sedangkan aku patut menumpu pada
keluargaku dan mendidik Ayame?
Apakah semua yang telah berlaku ini salahku, atau salah Tuhan yang telah
mentakdirkannya ke atasku?
Aku tidak tahu jawapannya. Apa yang kutahu, takdir itu sudah pun berlaku
dan ia sudah pun tamat, sekurangnya pada saat ini. Maka isyarat darinya jelas
di sini, Ayame bukanlah Kaisenjyo. Kaisenjyo pasti akan datang dari keturunan
lain, seperti Okuhida, atau jika aku melahirkan zuriat lagi, dari keturunanku.
Namun jika aku mati sekarang, bukankah yang tinggal hanya Okuhida sahaja?
Bukankah Kaisenjyo akan datang dari kalangan mereka jika itu kesudahannya?
Alangkah baiknya jika aku mati sekarang. Dengan matinya diriku, bebaslah
aku dari takdir Dia yang sungguh tidak aku fahami. Lagipun apa gunanya hidup
lagi, kerana hidupnya aku di dunia ini hanya akan meneruskan ramalan itu walau
apa sekalipun usaha yang aku lakukan. Permainan Dia paling sukar sekali kutelah
dan kuelakkan, meski sekuat mana sekalipun usahaku. Maka Tuhan, cabutlah nyawaku
sekarang. Aku mohon, Engkau tamatkan penderitaanku ini.
Koichi begitu dalam menghayati doa dan ratibnya di depan nisan Ayame itu,
sebelum tiba-tiba dirasakan ada pedih pada dada belah kirinya. Pedih itu
mencucuk seperti mata pedang menerjah ulu jantung, mulanya sakit pada satu
titik, namun merebak bak akar pisang, menjalar dari kiri dada, ke bahu dan
hujung lengan dan ke perut dan ari-ari dan menuruni sehingga ke peha dan
kakinya. Seluruh anggotanya menjadi kejang, tangannya memagut dada kiri. Koichi
membulat mata, dia terlentang ke atas rumput, matanya menjegil menentang langit
biru. Wajahnya dari putih bertukar biru, mata putih memenuhi bebola mata sedang
mata hitam sudah ke atas. Jasadnya kaku dan membiru dan kejang dan mengeras, tidak semena-mena nafasnya
terhenti, dengan mulut menganga, mata terbuka.
**
“Huah!” Hisamiko bangun mengejut dari futon-nya, gebar diselak.
Peluh memercik membasahi ubun-ubun. Rambut panjangnya yang mengurai diselak ke
belakang bahu. Yukata putih yang dipakainya lencun di bahagian dada dan leher.
Dia bingkas bangun dan bersandar pada dinding. Pintu gelangsar dibuka,
membenarkan bayu malam sejuk musim sejuk menderu masuk, mengeringkan peluhnya.
Selepas beberapa ketika dia berehat, dia merasakan tidak semena-mena satu
lonjakan tenaga menderu dari dada hingga ke kepalanya. Dia berasa sungguh
bertenaga dan seolah mahu melompat keluar dari bilik itu terus terbang ke
gunung dan menghamburkan api ke seluruh kota Tokyo. Hisamiko menyarungkan
yukata biasanya, dan mencapai pedangnya, dia berlari keluar dari rumahnya.
Ryouji yang berada di bilik sebelah dan tidak tidur, sejak tadi menyedari
Hisamiko bangun tiba-tiba dan bila dia keluar sahaja, Ryouji turut bergegas
keluar cuba mengejar adiknya. Hisamiko sudah hilang ditelan pekat dinihari.
Pada waktu itu juga Ryouji merasakan kekuatan luar biasa mengalir dalam
jasadnya. Dia naik ke jurus kesembilan demi mengejar Hisamiko, dan dirasakannya
peningkatan ke jurus itu terlalu mudah berbanding biasa. Dia tidak tahu dan
enggan memikirkannya lebih-lebih kerana dia lebih memikirkan Hisamiko.
Dia dapati Hisamiko sedang bertenggek di atas sebatang dahan tinggi pokok keyaki
yang sudah gugur semua daunnya. Malam dingin musim sejuk mencengkam tulang,
namun Ryouji menahan diri demi adiknya, dia redah kesejukan itu dan cuba
memanjat pokok tersebut. Namun belum pun dia cecah dahan tersebut, Hisamiko
terjun menjunam dan mendarat di atas tanah. Ryouji mengeluh, dia turun
perlahan-lahan.
Hisamiko sudah memecut berlari meredah hutan konifer di pinggir Tokyo.
Ryouji mengejar dengan jurus tinggi menyedari Hisamiko menggunakan kaminari.
Namun dia kembali diselubung kegelapan hutan konifer, meski fajar sudah mula
menyingsing dan langit membiru. Dalam kegelapan itu dia ditendang Hisamiko dari
belakang. Mereka bertarung dengan lengan sahaja, sehingga Ryouji yang keletihan
dan mahu ia segera dihentikan, berteriak nama Hisamiko.
Hisamiko seolah disentak suara Ryouji yang menengking itu seraya terhenti.
Mata hitamnya yang tadi membesar kian mengecil. Nafasnya mula mencungap sebaik
dia ansur sedar.
“Apa dah berlaku, Hisamiko?” Ryouji memegang kedua-dua belah bahu Hisamiko
yang berpeluh dan mencungap dan menggoncang-goncangkannya.
“Aku tak tahu. Tiba-tiba ada gelora dalam tubuhku ketika bangun tadi.”
“Gelora?”
“Aku teringin berperang dan bertempur tiba-tiba.”
Hisamiko dan Ryouji mendengar bunyi klik dalam benak mereka, dan sejurus
itu, segala bunyi unggas malam di hutan itu juga apa-apa bunyi lain hilang
sekelip mata. Pemandangan di sekeliling mereka gelap dan hitam dan ada satu
bintik cahaya muncul di atas kepala. Mereka memandang ke atas.
“Wahai anak-anak Okuhida. Aku hayabusa-no-kami.”
“Apa yang kau mahu dari kami?” Soal Ryouji. Hisamiko masih mendengar suara
Ryouji dalam situasi ini, selain suara semangat itu.
“Pewaris terakhir puak Shirasaka, Shirasaka Koichi baru sahaja meninggal
dunia semalam. Dengan itu, enam persepuluh kuasa hayabusa diserahkan
kepada kalian, puak Okuhida yang merupakan puak terakhir yang membuat
perjanjian dengan hayabusa-no-kami. Kalian kini adalah pemegang penuh
kuasa hayabusa. Dan calon Kaisenjyo adalah Okuhida Hisamiko.”
“Chotto matte, kami-sama.”
“Sekian, Ryouji. Sayonara.” Sejurus itu bintik cahaya hilang dan
kegelapan bubar, mereka kembali ke alam nyata. Bunyi unggas dinihari dan bayu
bertiup kembali menerjah telinga.
“Koichi-san sudah meninggal dunia. Namun di mana? Dan bagaimana dia mati?”
Soal Ryouji sendirian.
“Kita boleh tanyakan orang-orang di Kogen. Mereka pastinya tahu ke mana
perginya Koichi-san paling akhir.”
Ryouji beralih pandangan ke arah Hisamiko. Segalanya terang kini. Dia faham
kenapa Hisamiko tiba-tiba menyatakan berkenaan gelora. Ia pastinya kerana dia
telah dicalonkan sebagai Kaisenjyo.
“Omaera! Di sini kalian rupanya. Usah lari!” Kedengaran suara dari kejauhan.
Kelibat tentera berkuda, dalam dua ke tiga orang di hujung hutan itu kelihatan
berlatar dinihari yang biru gelap.
Hisamiko menarik tangan Ryouji seraya mengisyaratkannya agar mengikutnya
berpusing. Ryouji tidak mampu berfikir panjang, dia mengikut sahaja permintaan
Hisamiko dan mereka melakukan jurus kedua. Ribut yang berpusaran melontarkan
pengejar mereka itu ke pinggiran hutan. Mereka pula telah keluar dari hutan itu
menuju ke satu kawasan di celah gunung.
“Siapa mereka? Kelibat yang mengikut kita akhir-akhir ini seperti aduanmu?”
Soal Ryouji. Mereka duduk berlindung di balik batu-batu besar di tepi sebatang
sungai glasier. Hingar dari sungai itu boleh menabir suara mereka dari
didengari sesiapa.
“Mungkin.”
“Hisamiko, jujur denganku. Engkau tahu bukan siapa mereka?”
Hisamiko diam.
Siapa yang mengintip kami? Aku boleh senaraikan satu-persatu
kemungkinannya, getus Ryouji. Pertama, ahli Kogen yang tidak berpuashati
denganku. Namun aku pun sudah lari dari sana dan Kogen sudah pun diuruskan
Maharaja. Tidak ada maknanya mengejarku. Atau barangkali ada tentera atau
pengintip Maharaja yang tahu Hisamiko telah menyelamatkan Chiho dan Chisato,
yang terlibat dalam pasukan Ayame menentang baginda? Ya, itu kemungkinan yang
amat kuat! Dan dari dalam gelap itu, aku perasan mereka berpakaian seragam
polis. Polis tidak akan mengejar atau mengintip kami kecuali ada bukti yang
sahih, itu etika kepolisan yang aku fahami dari Kasukabe. Oleh itu, mereka
tidak akan mengintip kami hanya berdasarkan pemerhatian, sebagai contoh,
mata-mata mereka nampak Hisamiko menghantar Chisato dan Chiho ke pelabuhan.
Sesuatu bukti mesti dalam bentuk yang tidak boleh disangkal (incontrovertible
proof), baru polis akan bertindak. Pastinya Hisamiko ada terlepas sesuatu,
ketika menghantar Chisato dan Chiho.
“Hisamiko... apa kau lakukan di pelabuhan Wakayama?” Ryouji menekan lagi,
kali ini dia cuba mengorek sesuatu yang paling hampir dengan tercetusnya
intipan misteri demi intipan misteri yang mereka hadapi di Tokyo sejak
berpindah ke sana dua bulan lepas. Ini kerana Hisamiko hanya berpisah dengannya
ketika ke pelabuhan Wakayama itu sahaja. Sejak pertarungan dengan Ayame di
lembah Amaguri, mereka sentiasa bersama sehingga menetap di Tokyo kini.
“Aku hanya menghantar Chiho dan Chisato nee-chan. Oh ya, aku gunakan
duit simpanan kita sedikit membayar kapal mereka. Bukankah sudah aku beritahu
itu?”
“Oh ya. Abang baru terdetik bertanyakan sesuatu. Tambang kapal itu bukannya
murah. Tak kan kau membayarnya tunai?”
“Aku bayar dengan cek...”
Sebaik mendengarnya, mata Ryouji membulat, benaknya seolah baru dijentik
pencerahan, “Itulah dia! Itulah silapmu, Hisamiko!”
“Mengapa? Apa silapnya?”
“Di atas cek itu kau ada tulis namamu bukan?”
“Ya.”
Ryouji menepuk kepalanya. Bukan dia menyalahkan Hisamiko sahaja, dia
menyalahkan dirinya juga. Kerana melepaskan Hisamiko ke Wakayama itu juga
cadangannya.
“Aku sudah dapat mengagak penyebab kita dijejaki. Pegawai sempadan akan
menyimpan rekod setiap anak kapal di pejabat sempadan seperti di pelabuhan.
Pembayaran dengan cek akan mendedahkan namamu dalam buku rekod butiran anak
kapal sehinggalah cek itu ditunaikan. Jika pegawai di pelabuhan korup, namamu
dan anak kapal yang dibiaya akan terdedah kepada pengintip Maharaja atau
mana-mana pihak luar. Cek itu, adalah bukti yang tidak boleh disangkal dan
sahih dan boleh digunakan polis sebagai asas untuk mengintip kita.”
“Mana onii-san tahu semua ini?”
“Aku pernah dibawa otou-san ke pelabuhan di utara (Laut Jepun)
sewaktu kecil dan tahu bagaimana aktiviti mengangkut barang dan manusia di
pelabuhan dilangsaikan.” Sepertimana Mitsuo selalu membawa Ryouji ke Furukawa,
dia juga pernah membawanya melihat-lihat pelabuhan di utara yang merupakan nadi
utama bekalan senjata Kogen.
“Mana mungkin pengintip Maharaja tahu Chiho dan Chisato-nee chan
terlibat dalam pertempuran menentang baginda?”
“Nama semua ahli Skuad Sakura satu-satu telah dihantar kepada Maharaja oleh
Kogen. Sedang tentera lain yang direkrut lewat oleh Ayame tidak ada dalam
senarai itu.” Tambah Ryouji. “Aku tahu selepas perang berakhir, selepas aku
selidik dalam pejabat Koichi. Juga aku dapat tahu, selepas pertempuran pertama
di timur Nakasendo, Maharaja turut menghantar pengintipnya ke semua pelabuhan
keluar masuk negara demi menangkap tentera Ayame dan Yoshinobu yang melarikan
diri merentas hutan.”
“Maafkan aku onii-san. Tiket mereka mahal kerana dibeli di saat
akhir. Aku terpaksa membayar dengan simpanan sekaligus terpaksa menulis cek
itu...” Segera Hisamiko meminta maaf menyedari kesilapannya.
“Salahku juga, Hisamiko. Salahku juga menghantarmu ke Wakayama.” Ryouji
mengeluh di hujungnya. “Apapun, perkara yang sudah berlaku tak perlu
dikenang-kenang lagi.”
“Tak syak lagi, telahanmu benar onii-san.”
“Kenapa?”
“Aku perasan tentera yang kejar kita tadi memakai pakaian ala tentera
Prussia, pastinya polis Maharaja.”
Ryouji mengangguk perlahan.
“Nampaknya kita kena melarikan diri dari Tokyo dan tidak akan kembali lagi
ke sana. Menyerah diri kepada Maharaja hanyalah akan dihukum bunuh kerana
membantu pemberontak. Kita akan berundur ke lembah Okuhida dahulu.” Cadang
Ryouji.
“Dengan apa? Tak kan dengan berlari?”
“Selepas kita hilang penat di sini, kita akan ke Nakasendo. Di sana kita
akan tumpang mana-mana kereta kuda.” Ryouji mencadangkan, melihatkan mereka
baru sahaja melakukan jurus kedua yang memakan tenaga.
“Baiklah.”
“Hisamiko, engkau sudah tidak apa-apa? Pagi tadi engkau...”
“Aku tidak apa-apa, onii-san. Cuma aku bimbang andai ia berlaku
lagi...”
“Usah kau risau. Rehatlah. Aku perhatikan sekeliling.”
**
“Tak guna!” Polis berpakaian ala tentera Prussia itu mendengus. “Mereka
menggunakan kaminari pula.”
“Agak-agak ke manakah mereka akan lari, Kamimura?” Soal salah seorang dari
pengikutnya, kepada pegawai yang mendengus itu.
“Mereka akan mencari pelabuhan. Mereka pastinya sudah tahu. Aku hairan, apa
yang mereka takut sangat? Maharaja hanya mahu mereka dilokapkan dan
disoalsiasat.”
“Jika takut, bererti benarlah mereka bersalah. Benarlah mereka membantu
pemberontak lari dari sini.” Saenuma memberi pandangan.
“Jika benar begitu, hukumannya amatlah berat. Barangkali hukuman mati.”
“Aku fikir, mereka lari sebab rancangan engkau menggunakan pengintip
itulah, Kamimura. Andai ditangkap terus, pastinya mereka tidak akan ada ruang
melarikan diri. Bukti dari pengintip upahan kazoku itu sudah memadai
untuk kita menangkap mereka.”
“Sepatutnya sudah berjaya ditangkap. Namun entah mengapa baru dua ke tiga
hari lepas bukti itu tiba dan didedahkan. Selama dua bulan selepas perang itu,
senyap saja. Entah apa punya lembab penyiasat upahan kazoku itu. Dengan
dua tiga hari sahaja masa diberi, mana mungkin kita mampu menangkap mereka.”
“Barangkali harga upah tidak dipersetujui.” Saenuma mencadangkan.
“Selalunya begitulah. Tak guna punya penyiasat. Fikir duit saja.”
“Yang menyukarkan kita ialah burung bangsat itu sentiasa ada. Jika
pengintip kita mengintip gadis Okuhida itu pada jarak yang cukup jauh, beberapa
saat selepas itu, pasti dia sudah tiada. Padahal jarak pengintip kita dari
tempatnya agak jauh, dalam satu perenam ri. Aku tak fikir gadis itu
boleh mengesan kita pada jarak itu. Dan pastinya ada burung itu terbang
melintas depan mata pengintip kita!” Jelas Kamimura sambil menggenggam
penumbuk, jelas dia geram dengan kegagalan menangkap Hisamiko berkali-kali.
“Kau yakin ke ‘ninja’ kita tu boleh tangkap dia jika diintip dari dekat?”
“Ninja kita tu tahu kaminari juga. Namun jika bukan kerana burung
bangsat itupun, budak perempuan Okuhida itu sungguh peka seperti kucing!
Pengintip itu juga tahu kaminari, mampu berlari lagi pantas dari ninja
biasa. Namun masih juga terdedah pada pancainderanya!” Kamimura menggenggam
penumbuk lagi menahan geram. “Maka kita tak boleh intipnya dari dekat.”
“Sebentar. Mengapa tak diminta sahaja berdepan-depan agar mereka menyerah
diri? Burung itu takkan tahu dan curigakan kita jika guna cara baik. Selepas
mereka leka, kita kepung dan jaringkan mereka.”
“Burung itu cerdik, Saenuma. Ia bukan calang-calang burung. Bahkan sangat
pandai mengelak panah dan menyerang pemanah kita. Barangkali gadis itu telah
berbincang dengannya dan memintanya menegah sekiranya wajah kita dan mana-mana
polis cuba mendekatinya. Atau jika kita bersedia dengan jaring, akan diberitahu
awal-awal kepada mereka.”
Saenuma mengeluh, “Bagaimana dengan abangnya? Peka seperti gadis itu
jugakah?” Soal Saenuma.
“Aku tak rasa abangnya sepeka itu.” Jawab Kamimura. “Mungkin hanya adiknya
sahaja, kerana yang kudengar, adiknya itu salah seorang dari calon Kaisenjyo.
Namun mereka sentiasa bersama. Agak sukar sebenarnya. Mahu gunakan bom dan
cederakan mereka agar tidak melarikan diri, berisiko membunuh mereka, sesuatu
yang baginda tidak mahukan.”
“Nampaknya fikir panjang pun dah tak guna lagi. Mereka pun dah benar-benar
lari dari kita. Sekarang kita perlu mencari di semua pelabuhan di Honshu ini.”
Saenuma mengeluh di hujung ayat.
“Saenuma, kerahkan orang-orang kita berkawal di semua pelabuhan di barat
Honshu.”
“Ryoukai.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan