Mereka berdua berjalan ke satu sudut dewan.
Sebaik tiba di sana, lelaki itu menyoal, “Apa gelaranmu?”
“Panggil sahaja aku yoru-no-kaze (bayu malam).”
“Yoru-no-kaze ka... baiklah Yoru-no-kaze.” Nada sinis dapat dikesan
dari suara lelaki itu.
Lelaki tersebut menyambung, “Namaku Kasukabe Hiroshi. Aku ketua detektif
bagi polis Maharaja, atau engkau bolehlah menggelarku inspektor juga. Aku
bertugas di sepanjang Nakasendo.”
“Inspektor Kasukabe, apa bantuan yang engkau perlukan dariku?”
“Begini, Ryo-, erm, Yoru-no-kaze, kami sedang menyiasat satu kes
pembunuhan. Berdasarkan penyiasatan kami, sudah sepuluh pembunuhan berlaku, dan
kami yakin ia dilakukan orang sama.”
Ryouji dapat mengesan sukukata ‘ryo’ yang sengaja dihentikan itu, namun
tidak memberikan tumpuan kerana dia lebih menumpu pada kes yang sedang
dikisahkan Inspektor Kasukabe.
“Di mana ia berlaku?”
“Kesemua pembunuhan berlaku di sekitar Gunung Hiei, berhampiran Kyoto. Dari
sepuluh itu, tiga rakanku dibunuhnya sewaktu menjejakinya untuk tujuh kes
pertama.”
“Apa motifnya?”
“Tidak pasti. Namun mangsa semua tujuh kes pertama ialah sami Shinto dan
Buddha yang berpangkalan di kuil-kuil di Kyoto dan Kanazawa. Mereka dibunuh
ketika ulang-alik antara dua kota itu dan merentas Hiei.”
“Yoru-no-kaze, aku tidak mahu mensia-siakan nyawaku. Lebih baik aku
ubah seseorang yang lebih tahu bertarung, seperti engkau yang tahu kaminari.”
Polis itu menyambung, “Ayuh yoru-no-kaze. Para ahli keluarga si mati
sedang menekan kami agar menangkap pembunuh ini segera. Aku akan bayar engkau
secukupnya sebaik engkau berjaya menangkapnya. Kami dah tak ada banyak masa
lagi.”
“Sebentar, bagaimana dengan shinsengumi?”
“Shinsengumi sudah terkubur di Hakodate. Engkau tak tahu?”
“Bukan, maksudku, takkan tiada pewaris sekolah pedang mereka dalam pasukan
polis? Shinsengumi sepatutnya membantu kalian kerana ia unit paling
mahir berpedang dan sebahagian dari kalian juga.”
“Ah, sekolah pedang mereka juga dah ditutup. Bahkan, ilmu berpedang mereka
tak sebanding dengan kaminari-mu. Yang aku dapat dari laporan awam,
pembunuh di Hiei itu pantas seolah menggunakan kaminari. Mungkin hanya
kalian yang mampu menewaskannya.”
Ryouji pada awalnya agak enggan membantu polis kerana ia sama seperti dia
melakukan kerja-kerja polis. Dia hanya mahu membantu orang awam. Namun
mendengarkan kewujudan penjenayah dengan ilmu kaminari membuka
perspektif baru. Saat itu Ryouji juga tidak menyangka seni rahsia itu sudah
tersebar luar. Jika keadaan ini berterusan, fikirnya, akan ramai penjenayah
begini menjadi masalah kepada polis.
**
Sami Fukuyama tercengang. Rupanya budak inilah yang menampal poster-poster
di pekan itu!
Siapakah dia? Ninja? Berdasarkan poster-poster itu, katanya dia akan
membela mereka yang dizalimi? Apakah dia hakim? Ninja? Yang diutus Maharaja?
Atau Kogen? Atau bertindak sendiri?
Apapun ini sudah bagus. Sudah tujuh kes bunuh di Hiei melibatkan
rakan-rakanku di Kyoto dan Kanazawa tidak terbelakan, dan tiga orang pegawai
polis turut terbunuh menjadikan sepuluh korban semuanya. Ini peluang untuk aku
meminta bantuannya.
Sebaik pintu dewan dibuka, hadirin keluar meluru seperti tebuan yang
sarangnya dijolok. Ryouji keluar paling akhir dengan topeng masih melitup
wajahnya.
“Orang muda, orang muda!” Panggil Sami Fukuyama dari tempat tersorok di
tepi dewan dengan suara perlahan namun keras dan masih boleh didengari Ryouji.
Ryouji menoleh. Sami Fukuyama agak terperanjat melihatkan topeng Ryouji
yang menyerupai topeng kabuki dengan corak seperti api yang marak
berwarna merah melingkar menghiasi kedua-dua belah pipi topeng. Topeng itu
menjadikan pemakainya terserlah lebih garang dan pada masa yang sama, misteri.
“Ya, Fukuyama-san.”
“E to, engkau yang menampal poster-poster di pekan bukan?” Sami
Fukuyama menyoal langsung.
Ryouji serba salah. Sudahlah sami ini telah tahu wajahnya, kini dia tahu
pula dialah yang menampalnya.
“Ya...” Jawab Ryouji dalam serba salah, perlahan nadanya.
“Tasukatta! Ne, orang muda. Aku juga perlukan bantuanmu.” Pinta Sami
Fukuyama dengan wajah mengharap.
Ryouji agak keberatan kerana dia sudah menerima lima permintaan ketika di
dalam dewan tadi, termasuk dari polis Maharaja itu. Namun melihatkan ini adalah
kali pertama dia berkecimpung dalam bidang ini, dia harus ‘melabur’ reputasi
dahulu. Tidak boleh sekali-kali pamerkan wajah jemu dan letih dan lemah. Ya,
andai itu berlaku secara tidak sengaja dek kebiasaan, maka topeng kabuki
inilah yang akan menyembunyikannya.
“Ya, Fukuyama-san. Ceritakanlah.”
Sami Fukuyama melaporkan rincian kes-kes pembunuhan para sami yang melintas
Hiei. Dari butiran itu Ryouji menyimpulkan pada sami itu, “Buat pengetahuanmu
Fukuyama-san, ia telah dilaporkan kepadaku dalam dewan itu oleh seorang
polis yang menyiasat kes itu. Usah kau risau Fukuyama-san, aku akan
selesaikannya. Namun hanya satu kupinta, disebabkan engkau telah melihat
wajahku, maka rahsiakanlah identitiku.”
“Ya, pasti. Orang muda, boleh kutahu siapa namamu?”
“Yoru-no-kaze.” Jawab Ryouji ringkas seraya berlalu.
Sami tua itu tercengang. Ia tidak berbunyi seperti nama yang normal. Apapun
wajahnya telah aku rakam, getus Fukuyama. Di kali lain aku terserempak, aku
tahu dialah orangnya, yoru-no-kaze!
**
“Aku ke Kyoto sebentar, ada urusan mustahak.”
Begitulah bunyinya pesan Ryouji yang ditulis pada kertas dan ditinggalkan
pada mangkuk makanannya.
Hisamiko bergegas ke Kyoto dan mengambil cuti pada hari itu. Pelayan kepada
Ryouji sudah melepaskan pekerjaannya berikutan keadaan Ryouji yang sudah
kembali pulih dan kerapkali lesap dari rumah itu ketika Hisamiko tiada,
menyebabkan dia berfikir tiada gunanya dia berkhidmat di situ jika khidmatnya
seolah tidak diperlukan.
Sementara itu di pekan Gero, khabar tersebar tentang yoru-no-kaze.
Peristiwa di Gozen tempoh hari membantu membenarkan khabar-khabar itu. Sengaja
Ryouji membiarkan ramai yang menemuinya di Kuil Gozen kerana inilah yang mahu
dicapainya, bahawa kewujudan yoru-no-kaze itu benar dan bukannya penipu.
Ada orang awam yang cuba mengaitkan yoru-no-kaze dengan petarung
Kogen yang hilang selepas menumpaskan Hamada, iaitu Ryouji, namun dia tidak
dapat membuktikannya. Sami Fukuyama yang berjalan-jalan di Gero hanya
mendiamkan diri. Dia tidak pasti apakah remaja yang dilihat malam itu dan yang
menempah dewan itu Ryouji. Namun dia sudah mengenali wajah sebenar yoru-no-kaze.
Bodoh aku tidak mengambil nama orang yang menempah dewan, keluh Fukuyama
dalam hati. Aku harus menghentikan tabiat begitu, tabiat yang tertanam kerana
selalunya yang menempah dewan itu ialah orang yang aku kenali. Apapun, aku
yakin dengan remaja itu di pihak yang benar. Dan aku menunggu buktinya. Andai
dia berjaya menangkapnya, akan aku sebarkan bahawa yoru-no-kaze
sememangnya di belah kebaikan dan bukanlah dari golongan yang batil.
**
Hiei ialah sebuah kawasan berhutan dan berbukit-bukau yang terletak di
utara Kyoto. Ketika musim luruh, daun-daun di hutan ini bertukar kuning, jingga
dan perang dan kirmizi, membentuk sebuah kaleidoskop warna api yang bercampur-campur
dan menarik ramai pelancong dari luar Kyoto mahupun dari dalam kota itu ke sini
saban tahun. Meskipun terdapat banyak lagi kawasan serupa di seluruh Jepun,
pelancong masih ke sini kerana uniknya campuran warna-warni musim luruh di sini
berbanding lainnya.
Di tengah-tengah Hiei ialah laluan pedagang yang mahu terus menuju ke
kawasan Hokuriku dari Osaka, Kyoto atau mana-mana kota di Dataran Kansai.
Laluan pedagang ini ada yang melintas kawasan berpanorama yang menjadi tumpuan
pelancong. Maka ia tidaklah terlalu sunyi. Namun pelaku onar sememangnya bijak
mencari peluang. Mereka akan menunggu sehingga para pelancong beredar sebelum
memulakan onarnya, sebagai contoh, ketika hari sudah senja.
Sekumpulan sami Buddha dari Kuil Enryakuji di puncak Gunung Hiei telah
merentas hutan ini dan menyusur sepanjang tepi tasik air tawar yang dipanggil
Biwa untuk ke utara menuju Kanazawa dan Ishikawa. Bersama mereka ialah seorang
pedagang sutera yang menggalas sutera itu dalam buntil kain di belakangnya.
Namun malang tidak berbau, perompak tunggal menyerang mereka tiba-tiba
ketika hari jatuh senja. Mereka berpecah. Namun seorang demi seorang dibunuh di
serata hutan itu dalam kegelapan senja dan malam yang kunjung tiba.
Seorang demi seorang mayat sami ditemui pemburu dan dilaporkan kepada
polis. Ketika polis cuba menjejaki pembunuh tersebut, tiga dari anggota mereka
turut terbunuh, juga dalam waktu senja. Motif perlakuan kejam pembunuh misteri
ini masih bertandatanya. Sutera pedagang dirampasnya, namun pedagang itu
ditemui selamat di tempat persembunyiannya. Namun jika dia hanya mahukan
sutera, mengapa kesemua sami dibunuhnya? Mengapa sami yang melarikan diri
dikejar dan dicari, dan dibunuh?
Polis menyoalsiasat pedagang sutera tersebut jika dia ada bersekongkol
dengan Pembunuh Senja (tasogare-no-hitokiri) – gelaran yang diberikan
polis kepada pembunuh itu. Namun pedagang sutera itu menafikan
sekeras-kerasnya. Bahkan dia menegaskan barangannya turut dilarikan. Polis
menekan pedagang itu bagaimana dia boleh selamat sedang semua sami yang
bersamanya dibunuh meskipun telah melarikan diri dan bersembunyi. Pedagang itu
tidak pasti, mungkin nasibnya baik. Pedagang itu masih dalam tahanan polis.
Pada polis, pedagang itu masih mencurigakan. Dia mungkin hanya ditugaskan bosnya
sebagai penghantar sutera itu sahaja, namun telah bersekongkol melarikan sutera
itu dengan pembunuh itu. Para sami itu pula adalah souhei (sami
petarung) yang diupah bos kepada pedagang, namun tidak mampu menewaskan
pembunuh itu.
Ryouji dengan bertopeng kabuki sampai di lokasi tempat mayat-mayat
sami ditemui selepas menambat kudanya pada sebatang pokok sugi. Kasukabe
mengiringinya bersama dua orang lagi anggota polis lain. Kasukabe sebenarnya
tidak mahu mengikut Ryouji, namun dia terpaksa kerana perlu memberitahu lokasi
mayat ditemui dan mendedahkan dapatan penyiasatannya kepada Ryouji.
“Aku tidak faham. Tidak mungkin mereka sami petarung. Lihatlah, jarak
mayat-mayat mereka ditemui amat jauh dari satu sama lain, dan juga jauh dari
laluan asal mereka. Ini bermakna mereka tak bersedia bertarung, lantas
melarikan diri.” Ryouji memberikan pandangannya selepas dibawa ke dalam hutan
itu. Hari sudah petang dan redup sedikit.
“Namun berdasarkan rekod dan pengecaman wajah, mereka sami petarung dari
Kuil Enryakuji berhampiran.” Maklum Kasukabe. Ryouji tidak memberikan sebarang
reaksi namun dia menerima pernyataan itu tanpa soal dan berhenti sejenak
menghadamnya.
“Engkau yakin pembunuh itu berseorangan?” Soal Ryouji.
“Menurut pedagang itu yang memerhati, ya. Juga, dapatan dari cara
mangsa-mangsa dibunuh. Mereka ditikam di dada, saiz tikaman dan kedalaman
sama.”
“Mungkin mereka sami petarung namun mengetahui sang pembunuh itu amat mahir
dalam pertarungan lebih dari tahap mereka, mereka berubah fikiran.” Cadang Ryouji.
“Jadi, maksudmu, mungkin suspek itu amat dikenali dengan reputasi tinggi di
hutan ini? “Pembunuh Senja yang Tidak Tertewaskan” contohnya? Reputasi yang
tinggi seperti Miyamoto Musashi?”
“Salah satu kemungkinannya. Atau mungkin dikenali dalam kalangan sami itu
secara peribadi di Enryakuji? Mungkin bekas rakan mereka?” Ryouji menambah
cadangan kemungkinan. Kasukabe hanya mengangguk, jari menggaru-garu dagu seolah
sedang berfikir dengan dalam sekali akan suntikan-suntikan idea bernas dari
Ryouji, namun mungkin juga dia hanya berpura-pura berfikir kerana sememangnya
kerja-kerja berfikir itu selama ini diserahkan kepada anak buahnya.
“Bagaimana mungkin kita mendapatkan kesaksian dari para sami itu sedangkan
semua mangsa pun dah mati?” Soal Ryouji lagi. Dia menyambung dengan soalan lain
memikirkan hanya satu kemungkinan yang paling logik, “Engkau sudah siasat
betul-betul siapa pedagang itu? Apa latar belakangnya?”
“Jadi maksudmu, pedagang itu mungkin juga dikenali sami?”
“Boleh jadilah. Sebab ada mungkin bosnya mengupah sami-sami itu kerana
mengenali mereka. Setahuku jarang sami petarung diupah mengawal barang
dagangan. Selalunya ronin atau pengawal biasa sahaja yang melakukannya.
Sami petarung selalunya hanya bertugas mengawal kuil.” Hujah Ryouji.
Ryouji menyambung, “Namun mengupah sami petarung? Pastinya sami-sami ini
sudah dikenali lama oleh bos pedagang itu sebab itu mereka sanggup. Lagipun
dengan keadaan bergolak sekarang, berapa kerat pelancong datang ke kuil? Pendapatan
para sami pasti berkurang, penginapan di kuil pasti kurang pelanggan, dan
mereka pastinya sanggup menerima upah begini.”
“Logik bukan pendapatku?” Tebak Ryouji. “Bahkan, mengupah sami lebih
selamat, kerana para perompak sutera biasanya tidak akan menyerang sami kerana
mereka akan menyangka para sami itu dalam rombongan spiritual dan menghormati
mereka.”
“Betul juga katamu.” Kasukabe bersetuju, dalam hatinya teruja bagaimana
Ryouji boleh memberikan pendapatnya. Seolah remaja ini pernah menyiasat sebelum
ini, getus Kasukabe.
Ryouji mengeluh dalam hati, kerana sepatutnya soalan itu disoal oleh polis
kepada pedagang tersebut dan sepatutnya difikirkan polis itu. Pada fikirannya,
Ryouji hanya akan membantu menangkap suspek yang sudah lengkap bukti kesalahannya,
sudah cukup syaknya meski belum dapat dibuktikan kesalahannya – yang mana
pembuktian dan pengmuktamadan hukuman itu adalah kerja mahkamah. Zaman ini
zaman pendekar berpedang, menangkap mereka yang mahir berpedang amat sukar.
Selaku manusia paling mahir dalam berpedang dan pernah bekerja di Kogen
menangkap pelaku onar dalam Kogen sendiri, maka Ryouji bercadang menyelesaikan
masalah inilah.
Namun kini dia turut melakukan kerja-kerja detektif pula, bahkan berfikir
untuk mereka. Sedang di Kogen dahulu pun, hanya nazir yang melakukannya, dan
kemudian barulah dia dan Ayame akan dipanggil untuk menangkap mereka. Namun
memikirkan bahawa pasukan polis masih muda di negara ini, dan masih bertatih
dalam meraih pengalaman menyiasat, Ryouji tidak terlalu ambil pusing. Namun
jika ia dilakukan terlalu kerap, lambat-laun Ryouji bimbang dia akan diletihkan
dengan perkara ini jua.
“Namun apa motifnya semua sami dibunuh? Bahkan pembunuh itu mengejar mereka
yang bersembunyi!” Kasukabe mengutarakan kemusykilan selepas mengambil masa
menghadam hujah-hujah Ryouji tadi.
“Demi menghapuskan saksi? Aku tak tahu. Ada seribu satu sebab yang kalian
perlu saring dan rungkaikan, itulah tugas kalian. Tugas aku ialah menangkap
suspek, sang Pembunuh Senja itu. Selepas itu kalian bolehlah tanya dia. Jadi,
aku nak tahu bila dan di mana dia paling mungkin akan keluar.”
“Di waktu senja di sepanjang jalan pedagang. Aku fikir berhampiran kawasan
Kuil Enryakuji juga.”
“Engkau ada rupa wajah dan pakaiannya?”
“Tuan Kasukabe! Tuan Kasukabe!” Kedengaran suara seorang lelaki
memanggil-manggil Kasukabe dari kejauhan tiba-tiba. Kelihatan seorang polis
dalam seragamnya berkuda ke arah mereka.
“Tiga mayat lagi ditemui, di laluan menghala ke Wakayama!”
Wakayama terletak di selatan Kyoto maka laluan ke sana terletak pada arah
bertentangan dengan laluan ke Kanazawa, dari lokasi mereka dalam hutan Hiei
ini.
“Ada kaujumpa apa-apa persamaan dengan kes di sini?”
“Tikaman pada dada. Juga, semua yang mati adalah sami petarung dari kuil di
Shiga. Cuma mereka semua juga shugenja (petapa gunung).”
“Kita ke sana sekarang!”
“Hai, Kasukabe-san!”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan