Novel: Yoru-no-kaze (Bab 64)

Selepas perhimpunan yang penuh drama di Shirasaka-no-Kogen, keadaan kembali stabil dan tenang, dengan ahli Majlis Tertinggi menghalau saki-baki ahlinya yang tidak bersetuju. Huru-hara masih berlaku di rumah-rumah perlindungan yang mana penjaganya tidak bersetuju dengan penyerahan Kogen kepada Maharaja. Ada rumah yang dibubarkan dan diserahkan kepada penjaga swasta yang diuruskan Maharaja. Sementara penjaga yang masih setia dengan Kogen, dinaikkan gaji. Ada 180 rumah yang masih setia dengan Kogen, sedang 20 lagi sudah ditinggalkan dan diserahkan kepada penjaga swasta.

 

Koichi pula sudah meletakkan jawatan dan kembali menjadi sami, dan meminta kebenaran dari Ryouji dan Hisamiko untuk menghabiskan sisa hidupnya di lembah Okuhida. Ryouji tiada masalah membenarkan, kerana Koichi sudah pun bebas masuk dan keluar lembah itu berulang kali sebelum ini. Bahkan Koichi juga yang membawanya ke lembah itu dahulu. Koichi menghabiskan masa sehari-hari bertapa di situ dan menangisi Ayame di kuburnya. Sehinggalah suatu hari, dia diserang sakit jantung dan mati dalam keadaan duduk di tepi kubur anaknya. Tiada sesiapapun yang menyedari kematian itu, maka mayatnya mereput dan pabila Ryouji dan Hisamiko melawatnya beberapa bulan kemudian, ketikamana mereka sedang dalam perjalanan melarikan diri dari Maharaja, yang tinggal hanyalah tulang rangka Koichi dengan pakaiannya.

 

**

 

Puisi ramalan Amaguri di bawah ini adalah rangkap yang menyusul rangkap ramalan berkenaan Kaisenjyo.

 

Di bumi nan julung dipanah suria

 

Andai Yamato masih membuas

Darah ditumpah akan dibalas

 

Dua suria bakal digugur

Di belahan suria terbenam

Di belahan Yamato mula berdiam

 

Zaman gemerlap akan berkubur

Zaman baharu akan mengunjur

Bumi Yamato aman makmur

 

Shinji menafsir ke dalam bahasa Jepun moden namun dia tidak memahami maksudnya – terutama berkenaan ‘dua suria’ – dan berkongsikan rangkap ini dengan Ryouji dengan tujuan meminta pandangannya dan juga memaklumkan kepadanya jika benar ramalan itu menjadi kenyataan agar dia bersedia.

 

Ketika ini Ryouji dan Hisamiko sudah melarikan diri dari Maharaja, dan mereka bertemu Shinji senyap-senyap di hujung pulau Honshu di sebuah kedai udon di tengah-tengah sebuah laluan pergunungan San’yo. Kedai ini dipilih Shinji melalui para pengintipnya, iaitu seorang pengangkut bijih besi yang membeli bijih dari Shimane, melalui kawasan ini dan terus ke Kogen untuk pembuatan senjata mereka.

 

“Ryouji, aku temui satu rangkap dari buku Amaguri itu.”

 

“Hmm?” Udon bergayut pada mulut Ryouji. Santap terbantut. Mata mencerlang. Tidak sukar menarik perhatiannya, getus Shinji. Apa sahaja yang berkait dengan buku Amaguri itu pasti mampu menarik perhatian Ryouji.

 

“Buku yang mana?”

 

“Yang ditemui Hisamiko itulah. Aku dah terjemahkan dalam bahasa kita. Tapi bunyinya peliklah. Tak masuk akal langsung.”

 

“Apa maksudmu?”

 

“Amaguri meramalkan ada ‘dua matahari’ akan gugur di sebelah barat negara ini. Ia selepas peristiwa Kaisenjyo.”

 

“Peristiwa Kaisenjyo?”

 

“Aku tak pasti apa maksudnya, sebab ceritanya tergantung. Jadi aku tak tahu apa nasib Kaisenjyo, sama ada dia mati, atau menghilangkan diri, atau masih hidup namun menghentikan perbuatannya. Namun selepas peristiwa Kaisenjyo itu, dia meramalkan ‘dua matahari’ bakal gugur di sebelah barat. Engkau faham apa maksudnya?”

 

“Entah. Apa yang berlaku selepas ‘dua matahari’ itu gugur?”

 

“Era gemerlap (mei-ji) akan berkubur, itu katanya. Mungkin memaksudkan zaman pemerintahan atau pembaharuan Maharaja sekarang akan lesap. Tapi semua itu berlaku dengan syarat. Amaguri mengatakan ‘kaum Yamato akan membuas’ sebelum semua itu berlaku.”

 

“Membuas? Maksudmu, membunuh sewenang-wenangnya?”

 

“Aku fikir begitu. Mungkin perang? Mungkin memerangi negara lain? Namun jika begitu, untuk apa?”

 

“Aku tidak tahu. Segalanya nampak baik. Pembaharuan itu membawa kebaikan bukan?”

 

“Atau mungkin kita sekadar mangsa propaganda.” Shinji cuba menebak pemikiran Ryouji dengan provokasi.

 

“Propaganda?”

 

“Politik, Ryouji. Politik. Mungkin golongan samurai itu benar? Mungkin Saisho berada di pihak yang benar?”

 

“Shhh!” Ryouji menegah Shinji dari bercakap kuat melihatkan tali barut Maharaja sedang melalui kawasan itu.

 

Shinji mengerling ke arah Ryouji yang sedang melihat belakangnya.

 

Ryouji mengisyaratkan kepada Shinji agar menahan diri dari berkata-kata sehingga pegawai Maharaja itu beredar sepenuhnya.

 

“Teruskan.” Pinta Ryouji.

 

Shinji menyambung, “Mungkin kataku tadi berbunyi radikal. Namun politik akan selalu ada lebih dari satu pandangan. Disebabkan itu kita berperang. Akar peperangan adalah perbezaan pandangan.”

 

**

 

Nota penulis.

 

Ini adalah bahagian khas jika para pembaca sudah hilang jejak dan berkeinginan untuk mengulangkaji kembali watak-watak yang sudah tenggelam dalam jalur cerita yang agak panjang ini.

 

Amaguri: ahli sihir Emishi yang mencipta batu semangat pertama atau tama-no-iwa dengan tujuan melindungi diri dan puaknya dari puak Yamato. Amaguri keciciran batu ini yang telah dipotong tiga ketika kampungnya diserang puak Yamato. Ia semua ditemui Higashihara Hiiragiko dan diagihkan kepada Fujiwara Zenzaburo dan Fujiwara Sekirou.

 

Hayabusa-no-kami: semangat hayabusa yang melindungi calon Kaisenjyo. Hayabusa-no-kami juga menghantar burung hayabusa pengiring yang menjaga calon. Ia juga menjaga tama-no-iwa tiga puak itu.

 

Sumpahan hayabusa: seteru hayabusa-no-kami dan akan menghantar sumpahan dan penyakit kepada sesiapa yang dipilihnya. Ia terhasil sebagai bayaran kepada perjanjian asal Fujiwara Zenzaburo dan Sekirou dengan hayabusa-no-kami. Sumpahan hayabusa ialah sejenis puak hayabusa-no-kami yang tidak bersetuju dengan puak hayabusa-no-kami yang membuat perjanjian dengan puak Fujiwara.

 

**

 

Kisah Yamato Nadeshiko

 

“Siapa engkau?”

 

“Apa kaubuat di sini berseorangan?”

 

“Mengapa pakaianmu koyak-koyak? Mengapa wajahmu berparut dan berdarah? Mengapa kakimu luka-luka?”

 

Begitulah soalan-soalan wanita tua itu yang aku dengari sewaktu mencangkung di dalam lubang sebatang pokok yang besar dan tubuhku menggigil kesejukan, kelaparan dan kesakitan. Hutan di utara Honshu ini amatlah sejuknya, kerana angin dari Laut Jepun bertiup tidak henti-henti bila musim luruh kunjung tiba. Daun-daun pun sudah perang dan kirmizi. Siang semakin pendek. Langit selalu sahaja putih dan suram.

 

Aku tidak tahu dan tidak larat menyahut soalan-soalan itu. Namun aku tahu, nadanya ikhlas. Wajah wanita tua itu menatapku penuh kasihan. Dia menghulur tangan yang berkedut. Aku sambut tangannya dan keluar dari lubang pokok. Dia membawaku ke rumahnya, memandikanku dan merawat lukaku. Dia memasak bubur nasi dan ikan namazu bakar, bersama sup rumpai laut. Aku makan dengan lahapnya.

 

Kemudian dia membentangkan futon yang tebal dan selimut yang tebal dihampar ke atas tubuhku. Aku tidur nyenyak malam itu bertemankan cahaya rembulan.

 

Tiba-tiba pintu bilikku diketuk. Lenaku termati, aku membuka mata menongkah kelam malam yang hanya diterangi rembulan dari jendela. Datanglah seorang lelaki lengkap berbaju zirah dan bertopi tanduk, dengan pedang samurai dihunus padaku di perbaringan dan berdiri di muka pintu. Aku lihat wanita tua itu sudah terbaring di lantai luar, berlumuran darah.

 

Lelaki ini menarikku dari perbaringan, dan mengikatku. Kemudian aku diangkut ke dalam sebuah kereta kuda. Kereta kuda meluncur laju merentas hutan utara dan kabus dinihari.

 

Kereta kuda berhenti selepas fajar mula menyingsing. Aku cuba melepaskan ikatan yang membelenggu. Simpulan berjaya kuleraikan. Aku melompat keluar dari kereta kuda dan menyusup ke dalam belukar. Namun lelaki bertopi tanduk yang sedang kencing pada sebatang pokok ternampakkan aku. Aku berlari meranduk belukar tebal hutan utara dan pokok-pokok yang tumbuh jarang-jarang. Lelaki itu mengejarku sambil menjerit-jerit.

 

Aku bersembunyi dalam lubang sebatang pokok. Aku tidak boleh membiarkan diriku ditangkap. Aku tidak mahu lagi kembali ke situ, di mana aku menjadi mainan para tentera Yamato yang sedang memerangi Emishi di sini. Aku salah seorang dari gundik yang dibawa ke sini oleh angkatan perang diraja. Aku tidak mahu melalui detik-detik hitam diperlakukan mereka. Aku lebih rela mati dari menghadapi mereka lagi.

 

Aku mengintai dari lubang kecil pada kulit dalam batang pokok itu. Lelaki itu masih berkeliaran di luar sambil melibas-libas pedang samurainya. Aku menunggu dengan badan terketar-ketar, jari aku gigit demi menahan diri dari menjerit. Aku tahan esak agar tidak didengari.

 

Mujur, lelaki itu dipanggil rakannya. Dia akhirnya meninggalkanku berseorangan. Aku hembus nafas lega. Aku tidak berani keluar dari batang pokok sehingga malam.

 

Namun kala aku ingin keluar membuang air, wanita tua itu muncul pada muka lubang. Aku terkejut melihatkan wajah tuanya yang menakutkan berlatarbelakangkan hutan senja. Dia menarik tanganku, aku menyambutnya dalam teragak-agak.

 

Aku membuka mata, menyedari semua itu mimpi, dan mendapati wanita tua itu sedang memegang tanganku sambil memandangku.

 

“Aku dengar engkau menangis dalam tidurmu.” Kata wanita tua itu.

 

Aku memeluk wanita tua itu seolah dia ibuku yang telah lama tidak aku tatapi wajahnya. Aku tidak tahu dari mana asal-usulku. Sejak usia kanak-kanak lagi aku dibesarkan di rumah pelayan istana di Kyoto.

 

Obaa-chan benarkan aku tinggal di sini. Benarkan aku tinggal di sini! Aku tiada tempat kembali!”

 

“Usah kau bimbang. Tinggallah selama mana yang kau mahu di sini.” Balas obaa-chan dengan penuh lemah lembut. Tangannya menepuk kepalaku.

 

Aku lega dan terharu mendengarkan wanita tua itu menerimaku. Air mataku mengalir deras membasahi pakaiannya. Tangannya menepuk lembut kepalaku.

 

“Siapa namamu nak?”

 

“Nadeshiko. Yamato Nadeshiko.”

 

“Nadeshiko? Indah bunyinya. Apakah engkau dari kerabat diraja?” Soalnya mendengarkan nama keluargaku Yamato.

 

“Ya.”

 

“Dari jalur yang mana? Fujiwara?”

 

“Aku tidak tahu. Maharaja punya banyak isteri dan gundik, aku anaknya yang keseratus sembilan puluh.” Maklumku, sedang aku sendiri meragui pernyataan yang diwariskan penjagaku itu. Sesungguhnya aku tidak tahu siapa ibu dan bapaku, dan nama ini diberikan penjagaku. Mengapa dia memilih Yamato sebagai nama keluargaku juga tidaklah aku ketahui alasannya.

 

Beberapa hari pertama di rumah wanita tua itu aku hanya bergerak di dalam rumah sahaja. Aku bimbang andai aku keluar, tentera Yamato akan menemuiku lagi. Aku tidak mahu lagi bertemu mereka. Mereka pastinya sedang berada berdekatan sini kerana masih berperang dengan orang Emishi.

 

Rumah ini dibina dengan menebuk sebuah busut yang besar, di atas busut itu hanya lumut-lumut hutan dan akar pokok yang sudah mati. Pintunya kecil, dan wanita tua itu menundukkan badan untuk memasukinya, tetapi tidak aku kerana tubuhku yang kecil dan pendek. Pabila wanita tua itu menutup pintu, dia menarik sejenis tali dan jatuhlah langsir melitupi bahagian hadapan pintu sekaligus menyembunyikan rumah ini dari penceroboh.

 

Bahagian dalam rumah ini tidak seperti rumah biasa yang kulihat di Kyoto. Bahagian dalamnya sungguh aneh. Dindingnya dilapik keping kayu-kayu yang dipotong sempurna. Ada dua bilik, dan satu dapur yang tidak punya banyak makanan kecuali ikan kering, dan rumpai laut kering bergantungan. Ada beras yang ditutup dengan jerami dalam tempayan tanah liat di bawah dapur. Kayu-kayu api berlonggokan di tepi dapur untuk memasak dan memanaskan rumah.

 

Obaa-chan...”

 

“Panggil aku nee-chan.”

 

Nee-chan?”

 

“Aku ingin berasa muda, Nadeshiko. Panggillah aku nee-chan.” Ujar nenek dengan senyuman meleret menambah kedut pada wajah dan menampakkan gigi yang rongak dan kekuningan. Namun wajah nee-chan yang senyum itu seolah bersinar di depanku, seolah ada bahagia yang menarik hati dan rasa selamat yang sudah lama tidak aku rasai. Namun wajah nee-chan agak berlainan dari wanita lain di Kyoto, tempat aku berdiam dahulu.

 

“Baiklah, nee-chan. Nee-chan, dari mana engkau berasal?”

 

“Aku dari puak Emishi juga.”

 

Aku tergamam.

 

“Jadi, mengapa nee-chan menyelamatkanku? Aku dari puak Yamato yang memerangi dan menjajah tanah air kalian?”

 

“Bukankah engkau sedang ketakutan dan kelaparan di dalam pokok itu?” Balas nenek itu. Tambahnya lagi, “Bukankah engkau sedang dikejar mereka?”

 

“Bagaimana nee-chan tahu aku dikejar mereka?”

 

“Dari igauanmu tempoh hari. Engkau meronta-ronta minta dilepaskan dari entah apa. Katamu ‘Aku tidak mahu kembali ke Kyoto.’ Ia benar bukan? Mimpi itu sama dengan apa yang telah engkau lalui bukan?”

 

Nadeshiko mendiamkan diri sejenak sebelum menjawab perlahan.

 

“Benar. Aku dikejar mereka.”

 

“Apa yang telah mereka lakukan terhadapmu?”

 

“Aku dijadikan barang mainan mereka.”

 

Sou desuka... hidoi ne... (benarkah begitu, teruknya).” Ujar wanita tua itu perlahan. “Nadeshiko, usah engkau keluar sehingga mereka beredar. Hanya tetap tinggal di sini, ne?”

 

“Benarkah begitu nee-chan?”

 

“Benar. Usah bimbang, engkau pasti selamat di sini.”

 

“Aku tidak akan menyusahkanmu?”

 

“Tidak, Nadeshiko. Aku senang denganmu sekarang, dan aku senang denganmu sampai bila-bila.”

 

Nadeshiko tidak dapat menahan sebak seraya menangis dan memeluk wanita tua itu.

 

“Nadeshiko, kami tidak pernah menyerang bangsa lain. Segala yang ada di hutan ini cukup buat hidup kami dan kami tidak berkeinginan menakluk dan memerangi sesiapapun. Jika kaum lain datang dan menceroboh tanah kami, maka kami akan melawan. Jika kami bertemu mereka yang dianiaya, maka kami akan selamatkan. Kami berpegang dengan nilai ini.” Kata nee-chan sedang masih memelukku.

 

Nadeshiko terpesona mendengarkan kata-kata dari wanita tua itu. Dia mulai mengaguminya. Dia pernah mendengar Emishi bangsa yang baik, dan menjadi mangsa kerakusan Yamato dan kerana sifat mereka yang tidak melawan dan mundur dari segi ketenteraan. Dalam banyak pertempuran, Emishi hanya melarikan diri dan mundur semakin dalam ke pedalaman. Namun jika mereka nekad memilih untuk bertempur, mereka tidak akan mengalah sekali-kali. Sekali mereka memutus, mereka akan lakukan sehabis baik. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Emishi bangsa yang nekad namun mundur dari segi senjata.

 

Disebabkan pengunduran mereka, ramai yang lari merentas Selat Tsugaru sehingga ke Pulau Ezo di utara, menyebabkan banyak hutan di utara Honshu ini diduduki orang Yamato akhirnya. Penebangan dan pembakaran hutan berleluasa, haiwan di hutan ini hilang tempat tinggal. Semangat-semangat hutan kepercayaan Emishi atau kamui hilang tempat berdiam dan ketenangan, lantas datanglah malapetaka demi malapetaka. Kamui memberontak, kamui membalas dendam. Hilang tenang datanglah kalut hati. Indah buana hilang gundah gulana datang. Di mana hidup dapat menikmati tenang andai hutan ditebang dan sungai dikotori. Bila kamui amarah, maka alam bergoncang, lahar dimuntahkan. Itu tanda Tuhan tidak merestui kerakusan mereka.

 

Aku berasakan aku terlupa sesuatu lantas bertanyakan kepadanya, “Apa namamu nee-chan?”

 

“Amaguri.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...