Shiori sugul sepanjang jalan. Dia menekap muka pada peha sambil melutut berpeluk
tubuh, bersandar pada dinding kereta kuda. Sae hanya merenung sayu. Dia faham
mengapa Shiori berperlakuan begitu. Shiori telah mengetahui segala-galanya.
Pastinya dari mulut budak-budak Kogen itu!
Namun lambat atau cepat, Shiori pasti akan tahu juga, getus Sae. Aku hanya
mahu dia mengetahuinya hanya pabila kami tiba di Osaka nanti. Maafkan aku
Shiori. Engkau harus mengikutku. Andai engkau tinggal di kampung itu, siapa
yang akan menjagamu dan Sumire? Dan aku perlu keluar, demi membayar mereka ini.
Maka kalian harus mengikutku juga, mahu atau tidak.
“Kalian semua, kita sudah sampai di Kisennuma.” Laung Saiki di hadapan.
Kereta kuda berhenti. Sae menyelak jendela. Kedengaran bunyi hingar keramaian.
Orang ramai ke sana ke sini mengusung barangan untuk didagangkan di Osaka,
masuk ke dalam feri yang sedang menunggu di jeti.
“Yada, yada, yada (tak mahu!)” Shiori tiba-tiba meronta sebaik
ditarik keluar dari kereta kuda oleh Suneo dan Takeo. Sae tidak dapat berbuat
apa-apa, dia sudah jauh di hadapan bersama Sumire dan dikelilingi orang-orang
Suneo, Shizuo dan Takeo menuju ke feri. Shiori dengan perangainya masih
terkandas di belakang.
Sae berhenti sejenak sedang tangannya masih memimpin Sumire seraya melaung,
“Shiori, hentikan. Ayuh lekas ke sini.”
“Yada!” Erang Shiori makin kuat dan sayu. Kedua belah tangannya
dipegang dua orang lelaki. “Kakak pergilah! Aku tidak akan ke Osaka! Aku tidak
mahu dilacurkan!” Shiori melaungkan.
“Hei budak perempuan.” Shizuo, lelaki tinggi dan kulit gelap dengan lilit
di kepala, menegur Shiori. “Jika engkau bising lagi, aku akan suntik engkau
dengan ini.” Shizuo menunjukkan picagari berisi cecair warna biru, jelas dari
silindernya yang diperbuat daripada kaca itu.
Shiori memandang lelaki itu tanpa gerun, hanya api kebencian mewarnai
matanya sehingga merah menyala, dahinya berkerut seribu. Dia meludah ke wajah
Shizuo. Shizuo mengesat wajahnya, amarah bangkit.
“Bangsat. Aku tidak akan maafkan bangsat sepertimu. Andai engkau dibasuh
neraka untuk seribu tahun sekalipun, aku tidak akan memaafkan engkau!” Teriak
Shiori dengan renungan penuh kebencian.
“Baiklah, jika ini yang kaumahukan. Kalian, pegang dia erat-erat.” Arah
Shizuo pada dua pemuda yang sedang memegang kedua belah tangan Shiori. Shiori
lagi teriak, nyaringnya bergema sehingga hampir semua yang berada di jeti itu
memandang ke arah Shizuo dan orang-orangnya. Shizuo tidak mengendahkan mereka,
jeritan Shiori seolah tiada kesan pada jiwanya, seolah dia tidak punya anak
perempuan seperti Shiori demi memahami kebencian itu.
Dia menyuntik Shiori dengan cecair biru itu. Shiori masih meraung, namun
raungannya kian perlahan dan akhirnya dia tertidur. Sae mengalirkan air mata,
dan kerana tidak sanggup melihat adiknya diperlakukan begitu, dia pantas
menoleh dan menarik tangan Sumire menuju ke dalam perut feri.
“Aotsuyu barukah itu, Shizuo-san?” Soal Suneo.
“Ya. Aku dapatkan sampel percubaan dari Noguchi-sensei. Sensei
memintaku mengujinya ke atas mereka yang degil. Budak perempuan ini ialah
percubaan pertamaku.”
“Aotsuyu baru... bukankah ini aotsuyu yang hanya boleh
dirawat dengan penawar ciptaan sensei sahaja?”
“Ya. Jika budak perempuan ini diberkas Kogen dan dibawa ke tempat mereka,
Koichi boleh cuba merawatnya.” Shizuo tersengih. Suneo dan Takeo ketawa kecil.
Usah ingat engkau boleh merawat semua racun, Koichi. Shizuo berbisik dalam
hati.
Namun sejurus selepas Shizuo, Takeo dan Suneo beredar dari jeti, Kogen
tiba-tiba muncul dan menahan feri itu. Semua gadis-gadis yang dihantar masuk ke
feri ditahan dan dibawa ke Shirasaka-no-Kogen.
Shiori sembuh sendiri selepas dua tahun sasau di perbaringan di sana.
Selepas Shiori sembuh pada 1873, dia berkahwin dengan Shinji dan tinggal di
rumah lain di sana, masih di Kogen-no-shita. Namun Shiori masih memendam rasa
marah terhadap kakaknya Sae, dan dia langsung tidak bersua muka meskipun Sae
kerap cuba menegurnya.
**
1873, Kogen-no-shita
Ketika ini Shiori sudah sembuh dahulu dari suntikan aotsuyu sebelum
Chisato, dan berkahwin dengan Shinji tidak lama kemudian. Chisato sembuh menyusulinya.
“Shiori nee-chan, Shiori nee-chan!” Sumire menjerit-jerit di
luar rumah Shiori. Shinji membuka pintu gelangsar.
“Ada apa Sumire?”
“Shinji-kun, kakakku di mana?”
“Dia sedang menyiang ikan. Mengapa denganmu Sumire?”
“Sae nee-chan sudah sehari tidak pulang. Semalam dia pergi ke atas
(Shirasaka-no-Kogen) namun tidak pulang sehingga sekarang. Aku naik ke atas dan
bertanya orang-orang di atas, mereka tak nampak pun nee-chan!” Sumire
memaklumkan dengan tergesa-gesa.
“Dia ada tinggalkan pesan?”
“Tak ada. Dia pergi ke atas setiap hari, namun kali ini dia tak
pulang-pulang.”
“Ada apa? Oh Sumire.” Shiori tiba-tiba muncul di muka pintu.
“Shiori nee-chan! Sae nee-chan tak pulang sejak semalam!”
Wajah Shiori berubah kelam. Ada janggal juga menggeletek wajah kerana sudah
lama dia mengabaikan Sae. Sejak dia sembuh dahulu, sudah enam bulan dia
mengabaikan Sae. Setiap kali Sae menegurnya dia memaling muka. Sae seolah tidak
wujud dalam hidupnya. Dia memulaukan Sae jiwa dan raga. Dia tahu Sae kecil hati.
Namun hatinya lebih terluka. Sae harus dihukum fikirnya. Sehingga luka di hati
ini benar-benar sembuh, Sae harus dipinggirkan, kata Shiori dalam hati.
Adakah Sae nee-chan merajuk denganku? Mengapa tiba-tiba saja?
Mengapa nee-chan tidak merajuk sebelum ini sepanjang aku memulaukannya?
Shiori bergegas mengambil sepatu dan keluar dari rumah, rasa risau menjalar
merayap ke tengkuk. Baru Shiori sedar akan kerisauannya dan betapa pentingnya
Sae dalam hidupnya. Shinji mengekorinya.
Ramai sudah mendengar berita kehilangan Sae dari mulut Shiori, Sumire dan
Shinji. Masyarakat gunung itu keluar menyisir semua laluan-laluan penting
keluar masuk lembah atas dan bawah, sehingga ke Gaung Maut. Sae tidak akan
berkuda keluar, kerana dia tidak tahu berkuda, itu yang dilaporkan Shiori. Dia
pastinya hanya berjalan kaki. Jika dia berjalan kaki, dia perlu melalui Daratan
Titian dan pastinya pengakap Kogen akan menemuinya. Namun jika dia gelincir di
salah satu lereng Gunung Kogen, dia akan terperangkap dalam Gaung Maut, mungkin
mati di situ akibat wasap beracun dari tindakan seismik atau dihempap batu-batu
gunung.
“Bagaimana Shinji? Apakah kakak sudah gelincir ke Gaung Maut?” Soal Shiori
penuh getar.
“Lancang mulutmu! Usah difikir yang bukan-bukan, Shiori. Kakakmu pasti
selamat.” Shinji cuba mententeramkan isterinya.
“Nee-chan pasti selamat, Shiori-nee chan.” Tambah Sumire
pula.
Angin bertiup perlahan dan berterusan sejak mereka tiba di sini,
menyebabkan Shinji tidak dapat mendengar bunyi-bunyi halus yang selalu dapat
ditangkap telinganya. Bau busuk dari Gaung Maut yang penuh mayat itu hinggap ke
hidung mereka kala kabus yang melitup gaung ditiup angin dan bubar, Sumire naik
loya dan mencari tempat tersorok di bawah satu tebing tinggi untuk muntah.
Shiori tidak terkecuali. Hanya Shinji yang masih berdiri selamba seolah
menikmati bau busuk itu pula. Bahkan Shinji lagi merapat ke tebing dan
memejamkan mata, menghayati bau busuk itu. Dia teringat beberapa tahun dahulu
Tsuneki hampir terjatuh ke dalam Gaung Maut itu sebelum ditarik Ryouji. Mujur
panjang umurmu musang, getusnya.
Apa yang berada di dalam gaung itu masih menjadi misteri yang menagih
dirungkaikan, namun aku terlalu sibuk dengan perkara lain yang disuguh
pengurusan Kogen agar diutamakan menyelidik. Aku ingin sekali memahami
bagaimana gaung ini berfungsi, tentang bau busuk itu bagaimana ia dihasilkan,
dan bagaimana wasap kabus putih ini sentiasa melitupi gaung ini dari
membebaskan bau busuk itu. Barangkali ada ilmu yang boleh dimanfaatkan kami.
Sedang Shinji menghargai gaung di hadapannya, isteri dan adik iparnya pula
sedang muntah-muntah di kaki tebing tinggi.
“Mengapa engkau muntah ke bajuku, hah?!” Tengking seorang gadis.
Suara gadis itu amat dikenali, baik Shinji, mahupun Shiori dan Sumire.
Shinji menoleh. Sumire dan Shiori menekup mulut.
“Gomen ne... bukankah ini rumput?”
Gadis yang menengking itu mengalihkan rumput-rumput dan daun-daun dicemari
muntah yang melitup belakang badannya, dan bangkit dari duduk menunduk. Dia
berdiri, menyerlahkan rupa wajah dan susuk tubuhnya. Cerlang mata Shiori dan
Sumire.
“Dan kalian muntah di tempat yang sama! Apa salahnya muntah di tempat
lain-lain? Habis kotor bajuku tahu tak?!” Tengking gadis itu lagi.
“Sae nee-chan!” Jerit mereka berdua. “Mengapa engkau di sini? Puas
kami cari tahu tak?!” Sumire menengking seraya menerkam Sae.
“Kalian... engkau Sumire dan ... Shiori? Kalian mencariku?” Soal Sae dengan
menonjolkan wajah kebodoh-bodohan.
“Nee chan Nippon ni ichiban baka jyanai (kakak paling bodoh di
Jepun)!” Jerit Sumire sambil menangis meraung-raung dan memukul kakaknya.
Shiori menunduk, rasa janggal merayap membelai-belai tengkuk. “Engkau
merajuk denganku, nee-chan?” Soal Shiori masih menunduk. Tidak sanggup
dia bertentang mata dengan kakak kandungnya yang dipulaukan sudah enam bulan
itu.
“Pertama kali aku mendengar suara kau Shiori, sejak kau sembuh. Aku gembira
dapat bercakap denganmu semula.”
“Jadi?”
“Aku faham engkau marah denganku. Aku hanya mahu meminta maaf. Namun bagaimana
jika engkau asyik memulaukan dan mengabaikan aku?”
“Itu hukuman.” Balas Shiori perlahan, dia masih tunduk dan rasa janggal
memulas-mulas tangkai hati dan menghalang pandangannya dari menatap Sae.
“Ya, aku sudah dihukum. Berapa lama lagi aku harus terima hukumanmu?
Beritahu aku Shiori. Berapa lama lagi engkau mahu pulaukan aku sehingga puas
hatimu? Aku sanggup menunggu.”
“Aku tidak tahu. Aku sangat benci dengan perbuatanmu, nee-chan.
Namun bagaimana aku mampu menerima jika engkau hilang di Gaung itu.”
“Engkau fikir aku akan bunuh diri?”
“Memang aku fikir begitu.”
“Bodoh! Aku tidak akan melakukannya.”
“Habis mengapa engkau di sini? Semua orang mencarimu tahu tak?”
“Aku mahu menguji. Andai aku tidak diperlukan lagi, buat apa aku kekal di
sini? Aku mahu menunggu di sini tiga hari. Selepas tiga hari jika aku tidak
mendengar sesiapa memanggil namaku, aku akan keluar dari sini.” Jelas Sae
sambil menuding ke arah Daratan Titian yang merentas Gaung Maut, menuju ke
hutan sugi di mana para pengakap Kogen berkawal seperti monyet-monyet.
“Bodoh!” Shiori membentak.
“Maafkan aku Shiori. Kerana aku engkau disuntik aotsuyu dan sasau
dua tahun.” Sae memandang Shiori dengan linangan air mata.
“Berjanji denganku kakak tidak akan ulanginya lagi.” Shiori merenung Sae
dengan dahi berkerut.
“Aku berjanji, Shiori. Aku terpaksa mengambil jalan itu demi otou-san
dan okaa-san. Aku harap engkau faham.”
Mereka tidak menyedari Shinji sedang berdiri dekat dan mendengar perbualan
mereka. Shinji hanya tersenyum melihat hubungan adik-beradik itu kembali
ditaut.
Mereka melonggarkan diri dengan duduk di kawasan berumput di tepi bukit
yang terlindung dari Gaung Maut dan baunya. Sumire mengambil daun dan menggosok
kesan muntah pada belakang Sae.
“Nanti aku basuhkan yukatamu nee-chan.” Tawar Sumire.
“Arigatou Sumire.”
“Bagaimana dengan otou-san dan okaa-san?” Soal Shiro yang
duduk di sebelah.
“Engkau memang mahu bertanyakan soalan ini sejak sekian lama bukan? Namun
engkau tahan diri sebab mahu memulaukan aku?” Soal Sae sengaja memprovokasi
Sumire. Sumire merah muka, kerana sedar Sae menyindirnya.
“Aku ada tanya Sumire juga, namun dia kata mereka berdua dah sihat. Aku
hanya mahu mendengarkannya darimu.”
“Nee-chan tak percayakan aku?” Soal Sumire dengan nada hampa.
“Bukanlah! Engkau terangkan tanpa rincian.” Balas Shiori sambil menepuk
bahu Sumire yang sedang menggosok belakang Sae.
“Kaki mereka sudah sembuh. Tahun depan mereka sudah boleh pulang ke
Yarimura. Kogen katanya berjaya mencipta ubat baru untuk penyakit itu.” Jelas
Sae.
“Apakah kau akan mengikut mereka pulang?” Soal Shiori kepada Sae.
“Aku tidak pasti. Aku hanya mahu tinggal di sini, kemudian ke bandar lain
di luar. Aku tidak mahu lagi pulang ke kampung.”
“Mengapa? Kerana rasa bersalah dengan otou-san dan okaa-san?”
“Aku memang mahu hidup di luar kampung itu. Bagaimana dengan engkau? Mahu
tetap di sini?”
“Shinji bertugas di sini, dan aku pastinya akan tinggal di sini.” Shiori
memandang Shinji dan Shinji mengangguk kecil.
“Nampaknya hanya Sumire yang akan pulang ke Yarimura.”
“Aku tak mahu balik kampung. Aku mahu mengikut nee-chan!” Tegas
Sumire.
“Mengapa engkau begitu mahu keluar, nee-chan?” Soal Shiori kepada
Sae, tidak menghiraukan Sumire.
“Aku tidak minat bertani. Aku hanya mahu mengembara.” Jelas Sae
terus-terang.
“Seperti buku-buku yang kaubaca di perpustakaan Saori itu?”
“Begitulah. Sejak ke sana, aku fikir duniaku terbuka luas. Sebelum
buku-buku itu tiba di kampung kita, aku ingat dunia kita hanya apa yang kita
nampak di Yarimura. Namun ternyata dari buku-buku Saori itu, ada seribu satu
macam dunia lain di luar. Aku mahu mengembara, Shiori. Jika aku kembali ke
Yarimura, pasti otou-san akan menambatku di sana dan tidak akan
membenarkan lagi aku keluar. Lagi pula, dia sudah boleh berjalan kini.”
“Patutlah nee-chan begitu berani dulu... kerana otou-san tak
boleh berjalan, kakinya bengkak besar.” Seloroh Shiori.
Sae mengekek, begitu juga Shinji.
“Nee-chan aku tak mahu pulang. Aku mahu ikut kau mengembara.” Tegas
Sumire lagi dengan suara merayu mendayu.
“Yalah, yalah Sumire. Ke mana kakak pergi, kakak akan membawamu, usah kau
risau Sumire.”
“Hmm. Nampaknya hanya otou-san dan okaa-san sahajalah yang
akan pulang ke Yarimura.” Keluh Shiori. “Siapalah yang akan menjaga mereka di
sana.”
“Andai mereka ada anak lelaki pasti lebih senang.” Tambah Shinji.
“Oh ya. Apa kata jika kita upah pengawal menjaga otou-san dan okaa-san?”
Cadang Shiori.
“Aku cadangkan kita bawa sahaja mereka tinggal di sini, Shiori.” Balas Sae.
“Kita boleh carikan mereka pekerjaan. Di sini lebih selamat dari berdua sahaja
di kampung sana.”
“Betul juga.” Ujar Shiori sambil memandang Shinji.
Sae dan Sumire turut sama memandang Shinji. Shinji kepingaan.
“Mengapa kalian semua memandangku?”
“Tolonglah kami Shinji. Bukankah engkau rapat dengan Koichi-san? Lagipun
ibu bapa kami sudah menjadi ibu bapamu juga.”
“Erk.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan