Novel: Yoru-no-kaze (Bab 5)

Saat mereka mendaki bukit menuju rimbunan buluh, mereka ternampak kelibat seseorang dari balik buluh-buluh namun Ryouji tidak dapat mengesahkan dek kelajuan kudanya.

 

“Ada seseorang.” Azuchi terbang turun mengesahkan.

 

“Siapa?”

 

“Aku pernah melihatnya dahulu tetapi aku tidak ingat di mana. Oh ya! Ketika aku menyerang Goro (hayabusa Tsugiyama). Hisamiko menyuruhku melindungi rakan perempuan engkau.” Hisamiko menterjemah Azuchi untuk Ryouji.

 

“Rakan perempuan yang mana satu?”

 

“Yang memakai yukata berbunga-bunga dan yang berotot.” Kata Azuchi melalui Hisamiko.

 

Oh, itu Azusa dan Chisato. Itu peristiwa tiga tahun lepas. Ketika misi pertamaku, getus Ryouji.

 

Siapa agaknya yang dilihat Azuchi? Soal Hisamiko dalam hati.

 

“Apakah dia nampak membahayakan?” Soal Ryouji.

 

“Dia membawa dua bilah tantou tersisip. Aku lihat dia asyik duduk termenung di hadapan sebuah busut.” Terang Hisamiko lagi berdasarkan pemerhatian Azuchi.

 

“Hisamiko, Azuchi, kalian ke perkarangan rumah dahulu. Aku akan bertemunya.” Arah Ryouji, tidak memandang enteng khabar dari Azuchi.

 

“Baiklah.” Sahut Hisamiko seraya mengarahkan kudanya ke perkarangan rumah. Ryouji menambat kudanya pada satu pohon dan dia berjalan merentas hutan buluh, tangan tidak lekang dari hulu pedangnya.

 

Kelibat itu semakin jelas tatkala Ryouji menghampiri hujung satu lagi rimbunan buluh.

 

“Engkau... bukankah engkau orang Tsugiyama? Malam itu...engkau menyerang Chisato bukan?” terpacul kata-kata itu dari mulut Ryouji yang memandang dengan wajah terkejut.

 

Tsugiyama cuma ada tiga pengikut seingatku. Dua telah aku tewaskan pada malam itu. Ketikamana aku tiba di tempat Chisato, lelaki ini sudah rebah. Aku tidak tahu apa yang membuatnya rebah, mungkin disuntik aotsuyu. Pastinya Chisato yang melakukannya. Tidak sia-sia aku melatih Chisato saban malam.

 

Lelaki itu mengalih pandang ke arah Ryouji, mematikan lamunannya.

 

Budak ini...bukankah budak ini yang membawa Mariko yang aku panah itu? Dari kata-katanya, jelas dia tidak tahu akulah yang memanah perempuan itu.

 

“Ya, aku pengikut Tsugiyama. Tatsuya namaku.”

 

“Apa yang kaubuat di sini lagi?”

 

“Aku cuma melawat seseorang.” Wajahnya kembali merenung busut.

 

Melawat seseorang? Busut ini seperti kubur. Siapa yang meninggal? Oh, sebentar. Ini pastinya kubur...

 

“Ini kubur Tsugiyama yang dibunuh wanita itu, jika engkau tidak tahu.”

 

Benarlah telahanku. Nampaknya dia dikebumikan di sini. Sebentar. Lelaki ini tahu Tsugiyama dibunuh Mariko?

 

“Bagaimana engkau tahu dia dibunuh Mariko-san?”

 

“Ryouji, aku berada di balik semak. Akulah yang memanah kalian dan Mariko.” Tatsuya berterus-terang penuh yakin, seolah-olah dia tidak bimbang langsung Ryouji akan membalas dendam terhadapnya.

 

“Engkau pembunuh Mariko-san!” Wajah Ryouji berang terbakar. Tangannya menarik keluar pedang sehingga separuh di luar sarung. Tatsuya tidak sedikitpun berganjak dari duduknya.

 

Ne, Ryouji. Mariko telah membunuh ketua dan satu-satunya sahabatku. Bukankah itu adil pabila bunuh dibalas bunuh? Bukankah itu yang dicanang-canang Kogen?”

 

“Mariko-san membunuh Tsugiyama demi melindungi kami!”

 

Sou ka? Kami hanya menurut arahan ketua kami agar menangkap kalian.”

 

“Menangkap? Dengan panah-panah berapimu?”

 

“Ya. Itu cara kami sekadar mengeluarkan kalian dari rumah itu. Aku ingat lebih mudah selepas Takasaki tiada. Tak sangka Takasaki sempat melatihmu sempurna.”

 

Jeda seketika. Tatsuya menyambung kemudian.

 

“Apapun, Ryouji, yang lepas biarkanlah lepas. Aku harap engkau memaafkanku.”

 

“Aku tidak semudah itu melepaskan perkara-perkara lalu. Tatsuya, kami tidak pernah mengganggumu. Namun kalian tetap datang ke sini membuat huru-hara. Jika kalian tidak mengganggu kami pasti Mariko masih hidup! Aku akan menangkap engkau dan membawamu ke Kogen untuk dibicarakan. Menyerah diri sekarang.”

 

Tatsuya ketawa.

 

“Aku dengar engkau berjaya menumpaskan Empat Terbilang di Yokuma. Dua engkau berjaya bunuh. Engkau sememangnya anak Mitsuo, tidak syak lagi.”

 

Empat Terbilang? Oh, mereka Empat Celaka menurut Kogen.

 

“Dan kudengar engkau berjaya menewaskan Tsugiyama malam itu. Nyata, aku bukanlah lawanmu Ryouji. Aku boleh sahaja menyerah diri. Namun, ingin aku beritahu engkau, Saitou sudah kembali ke sini. Dia sedang mencarimu.”

 

Berderau darah Ryouji mendengarnya. Dari mana Tatsuya mengenali nama yang menghantui hidupnya itu?

 

“Dari mana engkau tahu?”

 

“Dia yang memberitahuku. Aku pesan padanya jika dia mengikutku ke mari, barangkali dia bakal terserempak denganmu. Tak sangka pucuk dicita ulam mendatang. Engkau datang pada hari yang tepat, Ryouji!” Sejurus itu dia ketawa terbahak-bahak seperti Tsugiyama bekas ketuanya yang gemar ketawa itu.

 

Kedengaran bunyi ranting patah dipijak dan daun-daun belukar bergeser. Keluarlah dari balik semak di tepi mereka seorang lelaki. Ryouji amat mengenali lelaki ini. Bangsat inilah yang melibas pedangnya di kuil Furukawa dan membunuh penjaga kuil itu.

 

Wajah Ryouji membakar dalam api amarah. Wajah penjaga kuil yang tidak berdosa itu mengaburi pandangannya. Darah merah pekat membasahi pakaian penjaga kuil itu masih segar di ingatan.

 

Dou, Ryouji? Takasaki sudahpun tiada. Aku berharap dapat bertarung satu dengan satu denganmu seperti seorang samurai.” Begitulah kata-kata pertama sebagai buah tangan buat Ryouji yang keluar dari mulut lelaki itu, Saitou Hajime. Dia tunduk hormat seperti kebiasaan samurai. “Ohisashiburi, sudah besar panjang engkau ya sekarang. Wajah engkau masih sama sahaja seperti dahulu.”

 

Ore wa bushi jyanai! (Aku bukan samurai!)” Pekik Ryouji. Dari pekikannya itu terserlah kebencian dan kejijikannya terhadap samurai (bushi). Dia tidak akan sekali-kali menjadi samurai. Dia tidak pernah dididik Mitsuo barang sedikitpun mengenai kesamuraian. Seolah-olah Mitsuo telah meninggalkan kesamuraian sekaligus tanpa menoleh lagi, seperti kacang meninggalkan kulit, dan melemparnya jauh-jauh dari dirinya dan keturunannya.

 

Hee? Jadi engkau apa? Kogenkah?” Soal Saitou sinis.

 

“Aku hanyalah seorang rakyat biasa. Saitou, jika engkau tewas, engkau harus menyerah diri kepada Kogen dan dibicarakan mengikut undang-undang.” Ryouji mengeluarkan pedangnya, Tatsuya menjauhkan diri, Saitou juga mengeluarkan pedangnya.

 

Saitou senyum sinis mendengar kata-kata penuh berwawasan dari Ryouji.

 

“Undang-undang? Bukankah kesamuraian itu undang-undang?”

 

“Undang-undang yang dicipta samurai itu hanyalah akan menghukum penjenayah dari kalangan rakyat biasa namun samurai dilepaskan. Apakah ia layak digelar undang-undang?”

 

“Habis, apakah Kod Kogen juga layak digelar undang-undang? Sedang aku mendengar ada dari penjaga rumah perlindungan kalian yang melanggarnya namun masih dilepaskan.”

 

“Kami tidak pernah melepaskan penjenayah dari kalangan penjaga rumah perlindungan. Jika engkau tidak mengenal kami, usah mempercayai khabar-khabar angin.”

 

“Maka engkau sememangnya tali barut Kogen sejak dahulu lagi. Aku sudah meramalkannya tatkala Mitsuo meletak jawatan dahulu. Mitsuo pastinya mendidik warisnya menjadi tali barut Kogen.”

 

“Aku seorang rakyat biasa. Jika Kogen tetap dalam tujuannya, maka aku akan membantu mereka. Jika mereka menyimpang, maka aku akan hapuskan mereka.” Ryouji menyatakan pendiriannya yang tidak pernah berubah.

 

“Ryouji, bersyarahlah engkau sepuasnya. Selepas aku humban engkau ke dalam kurungan kami, engkau boleh menyambung syarahanmu.” Pantas Saitou meluru dengan pedangnya menghunus ke pinggang Ryouji.

 

Ryouji menepis.

 

“Dan jika benar kesamuraian punya undang-undang, bagaimana seorang penjaga kuil di Furukawa itu diwajarkan engkau untuk membunuhnya hanya kerana dia menipumu?”

 

Tatsuya tersentak mendengar kata-kata Ryouji. Giginya bergetar, marah mungkin, seperti seolah-olah penjaga kuil itu ada kaitan dengan dirinya. Namun pantas dipendamkan. Dia harus menyaksikan pertarungan ini. Dia harus menaksir kekuatan Ryouji yang digembar-gemburkan dari rakan-rakannya di Yokuma itu.

 

Pertarungan yang dinanti-nantikan selepas sekian lama tertangguh akhirnya berlangsung hari ini. Ryouji sememangnya sudah lama menanti pertemuan ini. Sejak Saitou melakukan pembunuhan itu hampir lima tahun lepas, dia menanti hari dan berkira-kira bagaimana dia akan menuntut bela kematian penjaga kuil itu.

 

Dalam tahun-tahun belakangan ini banyak peristiwa mengajar Ryouji agar menahan dan mengawal diri dari membalas dendam. Dendam lahir dari situasi di mana undang-undang lemah dan pincang. Namun hanya Kogen yang masih menawarkan sinar harapan. Ryouji akan menangkap Saitou dan membawanya ke Kogen.

 

Di lokasi ini jugalah lebih dua tahun lepas, Ryouji bertarung dengan Tsugiyama. Namun pada malam itu, Ryouji beruntung kerana dibantu sumpahan hayabusa. Kali ini, sumpahan itu sudah terlerai. Tiada lagi tanda hitam di tangannya. Tiada lagi sumpahan hayabusa yang akan menjadikannya boneka dan mengawalnya bertarung ke tahap setanding kami. Hanya kepantasan kaminari yang diasah bertahun, beserta kuasa hayabusa yang diwariskan Tsuneki yang mungkin bakal menawarkan langkah pemutus.

 

“Kesamuraian adalah undang-undang. Itu hak kami selaku samurai membunuh penipu. Mereka tidak menghormati kedudukan kami. Mereka tidak tahu tempat mereka.”

 

“Jadi Saitou, apakah engkau melakukan seppuku kerana gagal menangkap kami pada hari itu? Mengapa tidak engkau melakukannya?”

 

“Kerana Hamada-sama tidak membenarkannya. Bodoh engkau Ryouji. Lain kali belajar dahulu sebelum bertanya. Bukanlah seorang samurai menafikan arahan tuannya.”

 

Saitou menggunakan pedang aneh. Ia mirip pedang kami.

 

Dou, Ryouji? Engkau ingat pedang ini?”

 

Ryouji mengambil kesempatan meneliti pedang itu ketika bertarung dengan Saitou.

 

Aku pernah melihatnya. Bukankah ini pedang Mariko-san?

 

Tatsuya yang memerhati dari jauh hanya tersenyum sinis. Aku telah mengambil pedang Mariko selepas mengebumikan Tsugiyama, getusnya. Rupanya itulah rahsia kalian? Itulah rahsia kalian sehingga Mariko yang bukan datang dari puak yang dua itu mampu mencapai jurus kesembilan? Menarik, menarik. Aku mahu memerhati sejauh mana kekuatanmu Ryouji. Jika engkau tewas dan dibunuh Saitou, maka terbalas dendamku untuk Tsugiyama.

 

“Dengan pedang Mariko ini, aku yang sedia faham akan kaminari, mampu naik ke jurus sembilan.”

 

“Tidak semudah itu Saitou. Engkau perlu berlatih juga. Pedang itu bukanlah jalan pintas. Jika tidak engkau pasti akan dimamah rusuhan tenaga.”

 

Aku perlu berhati-hati dengan penyerang hendap, getus Ryouji. Meski Saitou ini menggelarkan dirinya samurai, ada kebarangkalian dia berpura-pura seperti Hamada yang melacurkan gelaran samurai mereka demi kepentingan diri. Samurai konon, huh!

 

Pastinya dia merancang serangan hendap dari balik semak. Atau dari atas pokok.

 

Ryouji mengerling ke arah pokok shirakaba. Juga pondok merpati di atasnya, tempat Takasaki mengutus dan menerima surat-surat dahulu. Pondok merpati itu sudah rompong, sehingga terlihat bahagian dalamnya. Barangkali diceroboh dan dirosakkan ribut. Kayu-kayunya telah ditebuk burung tukang.

 

Hisamiko, andai engkau ada di sini, pasti mudah aku dibantu tatkala serang hendap menimpaku. Deria pengesan besimu amat berguna.

 

Tidak, tidak. Aku tidak boleh mempergunakan Miko hanya kerana dia punya kebolehan itu.  

 

**

 

Hisamiko menambat kuda pada pohon momiji di taman bonsai. Disebabkan kawasan rumah perlindungan ini tidak lagi dilindungi tama-no-iwa, banyak haiwan mulai menetap di dalamnya. Dapat dilihat tupai dan arnab hutan berkeliaran di laman yang selalunya lengang itu, dan tatkala Hisamiko mendekati pantas bercempera mereka melarikan diri.

 

Hisamiko menerawang melihat rumah yang dahulunya tersergam indah, kini hanya tinggal tiang-tiang kayu hitam kesan terbakar. Bumbung rumah sudah runtuh, tidak hanya disebabkan kebakaran itu, mungkin kerana ribut yang kadangkala melanda celah pergunungan ini. Ketika mereka menghuni di sini dahulu, selalunya Takasaki akan membaiki bumbung rumah setiap kali selepas dirosakkan ribut saban musim luruh.

 

Ada tumbuhan menjalar yang naik dari tapak sehingga ke bumbung. Ada burung membuat sarang di balik bumbung dan alang. Bahkan ada arnab menetap di dalam rumah yang tinggal puing itu. Sayu hati Hisamiko tatkala matanya menjamah pemandangan kemusnahan itu satu persatu. Pelbagai kenangan bermain di benak. Kenangan bersama Chisato nee-chan, Chiho dan Chinami, Saki dan Azusa... Mariko-san... dan Tsuneki...

 

Hisamiko masuk ke dalam rumah yang sudah rentung. Bumbung di bahagian asrama lelaki masih utuh dan tidak terkesan oleh kebakaran itu. Di belakang rumah itu ialah bangunan perpustakaan. Bahagian itu paling teruk rentungnya.

 

Onii-san memberitahu selepas dia mengebumikan Mariko-san di kuil Furukawa, dia kembali ke sini dan membakar habis perpustakaan itu, demi mematuhi arahan Kogen. Shinji selalu ke situ. Pasti dia akan merasa amat terkilan melihat keadaannya sekarang jika dia bertandang ke mari. Mungkin kenangannya lebih di perpustakaan berbanding di rumah ini. Yalah, buku-buku itu nampaknya lebih rapat dengan dirinya berbanding kami.

 

Sebentar, apa tujuan sebenar onii-san ke sini sebenarnya?

 

Hisamiko keluar ke dataran luas tempat dia selalu berlatih bersama-sama penghuni lain. Dari jauh dapat dia mendengar bunyi pedang berdenting, seperti ada pertarungan sedang berlangsung. Hisamiko meneliti arah punca datangnya bunyi itu.

 

Pengamatan menggunakan deria istimewa pengesan besi membawa Hisamiko ke dataran lapang di celah hutan buluh. Di balik buluh-buluh jelas di mata Hisamiko abangnya sedang bertarung dengan seorang lelaki. Hisamiko terkejut bukan kepalang, namun menahan diri dari keluar dan hanya mengintai dari celah buluh.

 

Tatkala wajah lelaki itu bersetentang dengan wajahnya, Hisamiko tambah terkejut.

 

Bukankah lelaki ini yang membunuh penjaga kuil di Furukawa? Yang bernama Saitou itu? Apa yang dibuatnya di sini?

 

Aku tidak mengesan seorang pengintip pun, hanya seorang lelaki kulihat sedang menikmati pertarungan ini nampaknya, barangkali sekongkol lelaki yang sedang bertarung dengan onii-san. Jika ada pengintip atau penyerang hendap pastinya mereka yang bersedia menyumpit menggunakan fukiya. Jika jarum daripada besi itu ada di sini, pasti aku dapat mengesannya.

 

Mereka bertarung pantas! Namun onii-san seperti sedang pening. Bagaimana Saitou menguasai jurus tinggi kaminari?

 

Hisamiko menumpu tenaga pada hidungnya dan menggunakan derianya untuk  mengesan jenis pedang yang digunakan Saitou.

 

Ia sah pedang Saishi-tou! Dari mana Saitou mendapat pedang ini? Tidak mungkin mereka menghasilkannya. Pasti ia dicuri dari kami. Hanya Shinji yang benar-benar tahu menghasilkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...