Hatsuki berbincang dengan Natsuki.
“Ayame ditangkap? Biar betul!” Bisik keras Hatsuki menerjah telinga
Natsuki. “Dia anak Koichi, pasti ganjaran besar menanti kita!” Tambahnya lagi.
“Namun, jika Chisato di sana juga, aku harus ke sana walau apapun ganjaran lain
yang menanti di sini.”
“Tak mustahil Koichi akan menawarkannya disebabkan Ayame anaknya. Namun ini
Yokuma, Hatsuki. Ronin di sana tidak sama dengan ronin lain. Mereka
ronin yang dipilih khas oleh Empat Celaka.”
“Yalah. Lagipun takkan kita bertiga saja berhadapan dengan ronin-ronin
itu. Andai ada sepuluh orang aku akan lebih yakin dengan perancangan Tokui.”
Ujar Hatsuki.
“Jadi, kau nak sertai?”
“Memang aku mahu sertai, demi Chisato, dan juga ganjaran Koichi. Namun
berdasarkan katamu, tak logik aku pertaruhkan nyawa dan mati katak. Ronin di
sana mahir dengan selok-belok hutan itu, kita mungkin akan diperangkap. Jika
beramai ke sana, kita boleh berpecah.”
“Jadi kalau kita bertiga sahaja yang ada, engkau tak akan pergi?”
“Aku tetap akan pergi, demi Chisato dan ganjaran Koichi. Namun aku fikir
pelan ini tak realistik. Lagi pula Ayame turut ditangkap. Pasti bukan
calang-calang ronin itu, seperti katamu.”
“Aku cadang kita bawa Seijurou dan Takajirou. Mereka ahli lelaki Skuad
Sakura. Semua ahli Skuad Sakura tahu selok-belok hutan itu kerana mereka
pengintip kerap dihantar Ayame mengintai pusat Higashi-no-yane.” Cadang
Natsuki.
“Apakah mereka masih di Kogen?” Soal Hatsuki.
“Mereka tidak ke mana-mana. Pangkalan mereka sentiasa di Furukawa.”
“Namun untuk apa-apa tambahan petarung, kita harus minta persetujuan Tokui
dahulu.”
“Ya, jadi engkau setuju kita tambah nama kembar Hosokawa?”
“Aku ikut katamu sahaja.”
Tidak lama selepas itu mereka kembali menemui Tokui.
“Sebelum kami bersetuju, apa ganjaran kepada kami sekiranya kami
menyertaimu?”
“Apa sahaja yang kalian mahukan. Termasuk kenaikan pangkat di Kogen.”
Mata Hatsuki dan Natsuki membulat, kemudian tersenyum dan memandang satu
sama lain, seolah-olah mereka sudah dapat mengagak ganjaran besar itu akan
diberikan.
Kembar ini lebih senior dari Tokui dan pernah tinggal di rumah perlindungan
Kogen di Shinagawa. Selepas umur mereka mencecah lapan belas tahun, mereka
masih tinggal di sana selama empat tahun demi membantu penghuni rumah-rumah
perlindungan lain di sekitarnya melaksanakan misi latihan Kogen, sebagaimana
mereka pernah membantu Ryouji dan Shinji dahulu.
“Tokui, aku fikir kita bertiga sahaja tidak cukup. Aku sarankan kita
cukupkan sepuluh orang.”
“Apa maksudmu?”
“Kita boleh berpecah. Salah seorang akan jadi pengintip. Aku fikir kita
tidak akan mampu melawan ronin di sana bertiga. Aku cadangkan kita bawa
sekali kembar Hosokawa, Seijurou dan Takajiro.”
“Koichi tidak membenarkan kita mengambil mereka berdua.” Jelas Tokui.
“Apa?”
“Kerana mereka berdua pengawal Furukawa.”
“Oh.”
“Aku sudah kesuntukan masa, kalian. Yokuma pun jauh dari sini. Kita cari
sahaja yang dekat.”
“Alangkah baiknya jika Ryouji dan adik perempuannya itu masih di sini...”
“Engkau mengenali Ryouji?” Soal Tokui.
“Siapa tidak kenal Okuhida Ryouji.”
“Maksudku, apakah kalian pernah mengenalinya secara peribadi?”
“Dahulu kami pernah membantu dia melangsaikan misi pertamanya di Hidagawa.
Namun sekarang dia sudah jauh melepasi tahap kita. Malangnya, dia telah
meninggalkan Kogen demi adiknya.”
“Ah, usah dikesali mereka yang telah pergi.” Nada Tokui sedikit cemburu.
“Ayuh.”
“Sebentar, aku tidak akan menyertai jika hanya kita bertiga. Ia sama sahaja
seperti misi bunuh diri.” Tegas Hatsuki.
“Hatsuki, engkau berubah fikirankah? Bukankah tadi kaukata...” Soal
Natsuki.
“Aku... entahlah.
“Habis, kalian mahu menunggu kembar Hosokawa? Tebusan di Yokuma sekarang
menanti masa. Ronin-ronin di sana akan menodai mereka. Hatsuki, Chisato yang
engkau dambakan itu di sana engkau tahu?”
“Ya aku tahu.” Sahut Hatsuki perlahan.
“Maka lekaslah!”
**
Selepas dua hari berlalu, tiada pampasan pun tiba dari Kogen. Konoe dan
konco-konconya mula mengatur perancangan melakukan onar ke atas pasukan Ayame.
Ayame tidak mampu berbuat apa-apa, tangannya masih terikat. Penghinaan
apakah yang akan aku alami ini, getus Ayame. Rakanku akan diperkosa di
hadapanku. Lepaskanlah, lepaskanlah ikatan ini.
Raungan Nariko bergema menikam telinga. Nariko...bertahan Nariko. Ayame
ditekan rasa bersalah kerana membawa mereka semua ke sini. Mengapa tidak dia
batalkan sahaja niatnya menakluk Yokuma. Mengapa dia begitu birah mahu
menguasai gunung yang tiada apa-apa selain dari pusat kuasa Hamada ini?
Pelbagai rasa sesalan meruntun hatinya.
Sengaja para ronin itu merancang melakukannya di hadapan mereka demi
menakutkan dan menghina mereka. Nariko menjerit dan meraung seperti orang
histeria, trauma lamanya kembali menyerang.
Ada tawanan wanita lain yang diikat, yang terkencing melihat Nariko ditindih
dan ronin mula melurutkan seluarnya. Ayame memejam mata tidak mampu
melihat Nariko lagi. Dahulu dia telah memancung kepala perogol Nariko. Itu
dahulu waktu tangannya masih bebas menghayun pedang. Namun saat ini tangannya
hanya terikat, dan dia hanya mampu memandang.
Apakah begini lemah diriku? Di mana kaminari-no-kaze yang aku
banggakan dan dambakan itu? Otou-san, di mana bantuanmu? Argh, aku tidak
pernah meminta bantuan dari otou-san. Otou-san apakah engkau
telah menerima khabar dari Konoe? Mengapa tidak engkau bantu kami? Apakah
engkau masih mengabaikan diriku otou-san? Apakah kerana engkau
memarahiku maka engkau mengabaikan kami? Otou-san!
Kaki Nariko yang sudah separuh bogel itu diangkat dan didepangkan. Nariko
dimalukan. Mata Nariko memutih ke atas, jeritannya terhenti, mungkin sudah
pengsan. Namun itu semua tidak menghalang bangsat-bangsat ini dari meneruskan
onar mereka.
Ayame terus memejam mata, tidak sanggup melihat rakannya dinodai di hadapan
matanya. Nariko adalah gadis yang pernah diselamatkannya dan dia pernah melihat
Nariko berbulan trauma dan kali ini Nariko mengalaminya kembali sehingga
jeritannya tidak mampu mengeluarkan suara lagi dan sekarang terhenti, dia
pengsan. Ayame memejamkan mata, air matanya mengalir. Barangkali ketika Ayame
memejam mata ini Nariko sudah direnggut keperawanannya buat kali kedua dan
Ayame tidak mampu memandangnya. Segala perancangannya di sini terkubur begitu
sahaja. Selepas ini mungkin rakan-rakannya pula menerima nasib sama, dan
mungkin dia akan turut dimangsakan.
Saat itu dirasakan tali yang mengikat tangannya longgar. Dia menoleh dan
mendapati Momoyama berada di belakang pokok tempat dia diikat, baru selesai
mematuk bahagian terakhir tali yang mengikat tangannya.
Momoyama terbang pantas dan disedari pemanah Konoe.
“Burung tak guna!” Jerit pemanah Konoe seraya melepaskan sebatang. Pengikut
Konoe yang hampir menodai Nariko terhenti. Nariko masih lembik di atas tanah,
pengsan dengan mata putih ke atas.
Panah pengikut Konoe tidak mengenai Momoyama, namun panah itu mengenai
untaian terakhir tali yang mengikat tangan Ayame, dan langsung semuanya
terputus. Pantas Ayame mencapai pedangnya dan meluru ke arah Konoe dalam kaminari,
menikamnya dan mengangkut Nariko dari situ.
Selepas meletakkan Nariko di satu tempat yang jauh dan tersembunyi, Ayame
kembali dengan pantasnya dalam kaminari dan melepaskan semua
rakan-rakannya yang diikat, termasuk Chisato dan adik-adiknya. Kala Hotaru
turut dilepaskan, mereka bertarung dengan orang-orang Konoe seketika demi membuka
jalan melepaskan diri dari kawasan itu.
“Semua ikut Hotaru!” Arah Ayame.
Hotaru dipandu Ayame dengan Berahi Kuasa dari jarak jauh, bergerak dalam
separa sedar dan tiba di tempat Nariko dibaringkan.
“Chisato, bawa Chiho dan Chinami ke pusat Yokuma!” Arah Ayame sedang masih
bertarung dengan orang-orang Konoe. Chisato mengangguk dalam sasau, seolah
turut dirasuk Berahi Kuasa Ayame, dan menarik Chiho dan Chinami ke arah kuda
mereka.
“Kejar mereka!” Salah seorang pengikut Konoe mengarahkan yang lainnya
mengejar Chisato dan adik-adiknya. Konoe masih rebah di atas tanah menahan
sakarat, selepas dadanya ditikam Ayame.
Usai menebarkan orang-orang Konoe dan mereka meminggir, Ayame bergegas ke
kudanya dan mengejar Hotaru.
“Bagaimana dengan Nariko, Hotaru?”
“Dia sudah terjaga.” Balas Hotaru.
Nariko sudah dipakaikan kembali seluar hakama-nya dan dibaringkan di
atas lantai hutan. Matanya separa terbuka. Ada sisa air mata di sudut mata. Dia
merenung langit, wajahnya pucat dan tidak bermaya.
Ayame turun dari kuda, dan bergegas menemui Nariko yang sedang terlentang.
Dia duduk di sisi Nariko, tangannya memegang sebelah pipi Nariko.
“Nariko, engkau tak apa-apa? Nariko.” Nariko menoleh pada belah pipinya
yang dipegang Ayame, pandangannya kaku kepada Ayame, dia menggeleng-geleng
kecil.
Sebelah tangan Ayame memegang sebelah lagi pipi Nariko.
“Nariko, kuatkan semangatmu.” Ujar Ayame sambil merenung mata Nariko. Ramai
ahli Skuad Sakura masih berada di sekeliling mereka juga. Ayame memandang
Hotaru yang sedang berdiri. Hotaru mengangguk kepala dan mengarahkan semua ahli
Skuad Sakura di situ agar meninggalkan Ayame dan Nariko berdua sahaja. Mereka
akur dan beredar.
“Nariko, tenung mataku dan usah berkedip.” Pinta Ayame perlahan, separa
berbisik sedang tangannya masih memegang pipi Nariko.
Nariko masih diam namun dia mengikut kata-kata Ayame. Matanya yang separa
terbuka dibulatkan, dan dia memaku pandangan pada Ayame.
“Nariko, engkau tidak sempat diapa-apakan mereka, mujurlah Momoyama
membantuku tadi. Namun bangsat itu telah memalukan engkau!” Suara Ayame
dikeraskan pada ayat kedua itu.
“Aku telah kucarkacirkan mereka. Ada yang terbunuh dan ada yang cedera
parah. Aku akan pastikan mereka semua dihapuskan dengan bantuanmu.”
Nariko mengangguk.
“Nariko, ingat balik peristiwa dahulu.”
Nariko tercengang.
“Ingat di hari engkau pulang ke rumah selepas menjual kayu api. Ingat
Nariko, ibumu yang sakit dibunuh di dalam rumah. Penyangak yang membunuh ibumu
telah merebahkan engkau dan kemudian memperkosamu.”
Air mata Nariko mengalir sebaik mendengar ayat kedua dari Ayame.
“Engkau membencinya bukan?”
Nariko mengangguk, sedu-sedan kedengaran.
“Engkau tak mahu ia berulang bukan?”
Nariko mengangguk lagi.
“Engkau tak mahu ia berlaku pada sesiapapun, pada mana-mana wanita bukan?”
Nariko mengangguk lagi.
“Engkau tak mahu melihat lelaki-lelaki ini membunuh ibu yang lain
sepertimana mereka membunuh ibumu bukan?”
Nariko lagi mengangguk, sedu dan hingus makin menyesakkan, wajahnya yang
cerah naik merah.
“Nariko, mereka serupa seperti bangsat yang menceroboh rumahmu itu, bangsat
yang telah aku pancung kepalanya itu.”
Nariko mengangguk buta-buta dalam lemah. Mata masih terpaku pada renungan
Ayame.
“Nariko dengar baik-baik.” Ayame menekan kedua belah telapak tangannya pada
pipi Nariko.
“Bangkit dari perbaringanmu ini, bangkit dan angkat pedangmu. Bersama-sama
aku, kita akan cincang dan hancurlumatkan mereka sehingga tiada seorangpun yang
berbaki lagi. Kita sama-sama rejam mereka sehingga ke jurang neraka. Mereka
harus mati, Nariko, dengan tangan-tangan kita berdua!”
Ayame perlahan-lahan melepaskan tangannya dari pipi Nariko, namun
tenungannya masih dikunci pada mata Nariko yang semakin terbuka luas dan
semakin cerah bak mentari terbit dari ufuk. Ayame bangkit dan berdiri, Nariko
pula bangkit sendiri dari perbaringan dengan mata masih terkunci pada wajah
Ayame. Semua yang memandang kehairanan, seolah Nariko ditarik oleh tali
halimunan yang terikat pada kepala Ayame. Nariko yang pengsan tadi seolah
dirasuk dibonekakan Ayame, bangkit dengan cergas, pucat di wajahnya memudar dan
menghilang, cahaya matahari yang menusuk dari kanopi hutan menyinar dipantul
wajah Nariko yang putih.
Ayame berjalan undur, Nariko menurut dengan maju ke hadapan menuju Ayame,
perlahan-lahan.
“Nariko, ayuh. Angkat pedangmu.” Ayame menyerahkan pedang Nariko yang masih
bersarung dengan sebelah tangannya. Nariko mengambil, dan menarik pedang itu
dari sarung dalam sasau.
“Mereka di sini!” Laung sekumpulan lelaki. Mereka orang-orang Konoe yang
baru menjejaki semua pengikut Ayame.
“Nariko, serang!” Laung Ayame dengan tangan mengarah kepada kumpulan lelaki
itu.
Ayame berdiri jauh dari Nariko dan mengawal Nariko dengan kata-katanya.
Nariko bergerak bertarung seolah dirasuk Ayame, dengan pantasnya dalam kaminari.
Jika mulut Ayame mengarahkannya melibas pedang, Nariko akan melakukannya. Jika
Ayame mengarahkan Nariko terbang, terbanglah dia ke atas pokok. Jika Ayame
mengarahkan Nariko mengelak, mengelaklah dia sepantasnya sehingga tergeliat
urat saraf penyerangnya. Bagaimana Ayame melakukannya?
Ia jurus kedua kaminari yang dilakukan dari jauh. Nariko menjadi
terlalu kuat. Kerana keserasian mereka, maka tenaga tidak dibazirkan ketika
jurus kedua. Kerana keserasian itu juga, tenaga dari Ayame dialirkan dengan
maksimum kepada Nariko seperti dua sistem dalam resonans, maka ia mampu berlaku
dalam apa jua keadaan tidak terhad kepada jurus kedua sahaja. Maka, menurut
teori Ayame dan Okuhida Mitsuo dan Takasaki Nakatsu, Nariko mampu naik ke jurus
sembilan meskipun dia bukan dari keturunan Shirasaka, oleh bantuan dan Berahi
Kuasa Ayame.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan