Novel: Yoru-no-kaze (Bab 11)

Onii-san engkau pucat hari ini. Ada apa-apa berlaku di pekan tadi?” Tegur Hisamiko. Mereka sedang duduk berehat di tepi unggun yang dibina di dalam lantai di tengah rumah.

 

“Oh tidaklah. Miko, aku mahu masuk tidur dahulu.”

 

“Engkau tidak mahu makan malamkah?”

 

“Simpan sahajalah. Aku masih kekenyangan.”

 

“Onii-san...”

 

Ryouji bingkas berlalu meninggalkan Hisamiko duduk berseorangan.

 

Onii-san menyembunyikan sesuatu! Bisik Hisamiko.

 

Aku tidak akan memaksa onii-san. Dia nampak penat sekali. Mungkin aku harus bertanyakan Kiku nee-chan.

 

Hisamiko bingkas bangun, seraya keluar dari rumah, berjalan meredah senja menuju ke rumah Kiku.

 

Kiku sedang bersiap menyediakan makan malam. Takeru dan ibunya sedang duduk bersila mengelilingi sebuah meja makan kecil.

 

“Miko-chan!” Seru Kiku sebaik melihat batang hidung Hisamiko di muka pintu yang sengaja dibuka.

 

“Miko-chan, engkau sudah makan malam? Marilah makan dengan kami.”

 

Hisamiko masih tercegat di muka pintu.

 

“Miko-chan?”

 

Nee-chan, apa berlaku di pekan tadi?”

 

Kiku mendekati Hisamiko seraya berbisikkan sesuatu, “Miko, aku akan beritahumu selepas makan, ne? Ayuh, makanlah bersama kami dahulu. Tentang abangmu, aku akan datang ke rumahmu dan mempelawanya kemudian. Dia pasti keletihan bukan?”

 

“Hmm.” Hisamiko mengangguk.

 

“Ayuh!” Pelawa Kiku sambil menarik tangan Hisamiko masuk ke rumahnya.

 

Hisamiko akur, cair oleh kebaikan dan kemesraan Kiku. Perut pun sedang berkeroncong. Fikirnya mungkin dengan menuruti kata Kiku mudah kelak dia mendapat tahu kisah abangnya.

 

Sedang menikmati makanan, Takeru cuba-cuba mengorek perkara yang menebak rasa ingin tahunya sebentar tadi dengan berbisik kepada kakaknya di sebelah.

 

Nee-chan, apa nee-chan bisikkan pada Miko nee-chan tadi?”

 

Kiku sedari tadi mengelamun. Suapan nasinya perlahan. Sedang Hisamiko sudah menyantap separuh mangkuk, nasi di mangkuk Kiku masih menimbun. Hisamiko perasan kelakuan Kiku sedari tadi.

 

Nee-chan...” Seru Takeru lagi, menyedari soalannya tidak berjawab.

 

“Ah, gomen Takeru. Aku menerawang tadi.”

 

Nee-chan, nani ga atta no sono saki ni? (Apa yang berlaku tadi, kakak?)”

 

“Habiskan makananmu Takeru. Nanti nee-chan akan ceritakan.”

 

Takeru diam menghabiskan makanannya akur dengan nasihat kakaknya.

 

Kiku mengiringi Hisamiko kembali ke rumahnya. Dalam perjalanan dia membuka perbualan.

 

“Miko-chan, cantik bukan malam ini?”

 

“Hmm.”

 

Ureshii na.” Kiku mendepangkan tangannya.

 

“Mengapa engkau kata begitu?”

 

“Aku sungguh gembira kalian datang ke sini.”

 

“Mengapa nee-chan kata begitu?”

 

“Entahlah. Mungkin kerana aku kini punya rakan berbicara?”

 

Hisamiko faham alasan selanjutnya Kiku. Dia melihat bagaimana hidup Kiku dikelilingi adik kecil, dan ibu yang sakit-sakit, dan bapa yang jarang berada di rumah. Dia tidak bertanya lanjut.

 

“Miko-chan, aku mahu melamar abangmu.”

 

He?” Mengapa tiba-tiba sahaja nee-chan mengutarakan perkara ini?

 

“Aku mahu menjadi kakakmu.”

 

“Baiklah, aku tidak kisah.” Ujar Hisamiko dengan nada bersahaja, seolah-olah ia perkara yang sudah lama diterima hati.

 

“Katakanlah sesuatu, Miko-chan.”

 

“Aku tidak kisah.”

 

Hontou?”

 

“Aku hanya mahu melihat dia bahagia. Dia mungkin telah melupakan Chisato-nee chan.”

 

“Chisato nee-chan? Apakah Chisato itu kekasih lamanya?”

 

Hisamiko mahu menumbuk mukanya sendiri kerana terlepas cakap, dan dia menahan dirinya meski tangan sudah digenggam. Sekarang aku terperangkap!

 

“Ya. Chisato nee-chan sangat baik denganku. Namun kami perlu meninggalkannya di Kogen.”

 

“Meninggalkan Kogen? Apakah itu? Mengapa?” Kiku seolah tidak sabar-sabar mahu mengorek seberapa banyak kisah dari Hisamiko.

 

“Kami diarahkan Koichi agar meninggalkan Kogen. Chisato nee-chan mahu mengikut namun onii-san menghalangnya, kerana Chisato nee-chan punya dua adik dan dia masih diburu keluarga Hamada.”

 

Fahamlah Kiku.

 

“Miko-chan, apakah engkau juga punya kekasih?” Soal Kiku dengan senyuman.

 

Hisamiko menyedari dia banyak membongkarkan kisahnya.

 

Nee-chan, apa yang berlaku di pekan tadi?”

 

“Aku akan kisahkan selepas engkau menjawab soalanku dahulu.”

 

“Hmm. Ya. Namun dia telah pergi.”

 

Ara gomen ne!” Kiku pantas merentap tangan Hisamiko dan memandangnya.

 

“Tidak mengapa.” Hisamiko sedikit terkejut tangannya digenggam tiba-tiba.

 

“Boleh kutahu mengapa? Abaikan soalanku jika engkau tidak mahu beritahu.”

 

“Dia melindungi kami sewaktu pertempuran menumpaskan musuh Kogen dan Maharaja.”

 

Sou ka...

 

Kiku memeluk Hisamiko tiba-tiba. Hisamiko kaget.

 

Nee-chan, mengapa tiba-tiba nee-chan...

 

“Aku hanya kasihankan engkau. Boleh biarkan aku memelukmu?”

 

Hisamiko membiarkan. Namun dalam hatinya merasakan tidak perlulah Kiku berlebih-lebihan, kerana dia sendiripun sudah tidak lagi bersedih dengan Tsuneki. Hisamiko dapat merasakan hangat tubuh Kiku, dan bahawa Kiku seorang yang ikhlas dalam menzahirkan perasaannya.

 

Dalam masih memeluk, Kiku berbisik.

 

“Usah kau risau Miko-chan tentang kisah di pekan tadi. Abangmu berjaya menumpaskan mereka.”

 

“Siapa mereka? Apa berlaku di pekan?”

 

“Dua lelaki bernama Saitou dan Tatsuya datang bertemu abangmu. Saitou bertarung dengan abangmu  namun abangmu berjaya menumpaskannya.”

 

Sou ka. Mereka bertemu kami lagi.”

 

“Apakah kau mengenali mereka?”

 

“Oh, kami ada bertemunya beberapa minggu lepas di kampung kami. Nampaknya mereka mengikut kami ke sini.”

 

“Apakah kau pernah bertemu mereka sebelum ini?”

 

“Ya...”

 

“Apa yang mereka lakukan?”

 

Nee-chan, engkau banyak benar menyoal. Mengapa?”

 

“Aku hanya terdorong. Mereka seperti berdendam dengan kalian.”

 

“Oh. Kami pernah menjadi saksi. Saitou itu takutkan kami membongkarnya.” Hisamiko terus membongkarkan rahsia mereka. “Tentang Tatsuya pula aku tidak tahu.”

 

Kiku tidak menceritakan bagaimana dia diculik. Dia berasa sedikit bimbang sekiranya Saitou dan Tatsuya itu menjejakinya dan keluarganya di sini, namun dia cuba memendam rasa bimbang demi menjaga hati Hisamiko.

 

Naruhodo.” Ada bibit gentar dalam nada Kiku. Dia tidak gentar dengan musuh-musuh Ryouji dan Hisamiko, namun dia bimbang jika ibu dan adiknya turut diapa-apakan.

 

“Seorang dari mereka telah melakukan seppuku. Yang bernama Saitou itu.” Kiku mendedahkan.

 

Seppuku? Mengapa?”

 

“Dia berjanji begitu sekiranya dia ditewaskan abangmu. Lelaki yang bernama Tatsuya itu pula berjanji akan bertemu abangmu kembali. Hisamiko, nampaknya perseteruan kalian dengan Tatsuya akan berterusan.”

 

Mereka tiba di rumah Hisamiko dan Ryouji selepas menghabiskan perjalanan kala bersembang.

 

“Boleh aku masuk, Miko-chan?”

 

Douzo. Apa yang kauingin lakukan? Onii-san sedang tidur.”

 

“Engkau pasti? Aku cuba merisik-risik dahulu. Jika dia tidak bersedia bertemu sesiapapun, aku akan pulang.”

 

Kiku arif selok-belok rumah itu kerana dia pernah tinggal di sini. Dia juga maklum di mana bilik Ryouji, kerana dia pernah membantu mengemas rumah ini sewaktu perpindahan mereka ke sini.

 

Tatkala dia melepasi hadapan bilik Ryouji, dia tersenyum. Pelita masih belum dimalapkan.

 

“Ryouji...” Kiku menegur Ryouji perlahan dari luar pintu gelangsar biliknya. “Engkau sudah tidurkah?”

 

“Kiku ka?” Suara Ryouji kedengaran. Derapan kakinya dan bayang-bayang mendekati muka pintu. Pintu gelangsar ditarik dan menampakkan wajahnya.

 

“Boleh aku masuk?”

 

Ryouji teragak-agak. Melihatkannya, Kiku langsung menolak buka pintu itu dan meluru masuk. Ryouji terkesima. Kiku menutup pintu itu kembali. Kini hanya mereka berdua di dalam bilik itu.

 

“Engkau sudah makan?”

 

“Aku tidak lapar.”

 

“Bohong.”

 

Kiku meletakkan makanan yang dibawa.

 

“Apa yang Hisamiko masakkan untukmu?”

 

Ryouji menjungkitkan bahunya.

 

Kiku kembali keluar menuju ke dapur, seraya menghidangkan makanan yang dimasak Hisamiko. Dia membawa semuanya ke dalam dulang, terus ke bilik Ryouji. Hisamiko memerhati tanpa soal.

 

Dalam hati, Hisamiko sedikit cemburu. Mengapa Kiku nee-chan melayani abangnya seperti seorang isteri? Bagaimana nanti jika Ryouji melupakannya? Dia hanya ada seorang sahaja ahli keluarga yang masih tinggal. Bagaimana jika dia berseorangan kelak selepas mereka berkahwin? Apakah dia boleh berkongsi kasih dengan Kiku jika Kiku mengahwini abangnya?

 

Bertalu-talu soalan menghunjam kepalanya, namun dipendamkan. Dia harus bersangka baik. Ryouji tidak akan melupakannya. Sayang Ryouji kepadanya tiada tolok banding. Bahkan, dialah juga yang beriya benar mahu mereka berpacaran dengan mencipta alasan sibuk mengajar di sekolah Kogen. Meskipun alasan itu benar dia sibuk.

 

Semua kini siap terhidang di tepi perbaringan Ryouji. Ryouji hanya duduk termenung, lututnya diangkat, tangannya memeluk lutut. Pedang bersarung sentiasa dibiarkan terbaring di sisinya, iaitu pedang Saishi-tou yang ditempa Shinji.

 

“Makanlah.”

 

“Aku tidak lapar.”

 

“Aku tidak percaya.”

 

Lama mereka diam. Kiku hanya duduk bersimpuh merenung Ryouji seperti seorang isteri mithali yang sangat mengambil berat hal ehwal suaminya.

 

“Berapa lama engkau mahu duduk begini, Kiku?” Suara Ryouji kembali memecah sunyi malam. Ada rasa sedikit tidak selesa ditenung Kiku lama-lama. Mungkin ‘hantu’ Chisato masih bersarang dalam benak dan menggaru-garu pangkal hati?

 

“Aku akan duduk di sini sehingga engkau makan.”

 

“Baiklah, baiklah. Aku akan makan.” Ryouji mengalah sahaja.

 

“Atau engkau mahu disuap?” Pelawa Kiku acuh tak acuh. Berderau darah Ryouji.

 

“Nganga mulut.” Kiku tidak mempedulikan reaksi Ryouji, selamba menghulur ikan bakar yang telah dicubit dengan penyepit ke mulut Ryouji.

 

Ryouji merah muka, malu. Sudah lama benar dia makan tanpa disuap sesiapa kecuali ibunya. Chisato? Lupakan. Chisato tidak akan melakukannya. Rumah Takasaki terlalu ramai penghuni, mudah sahaja untuk mereka ternampakkannya. Terutama Shinji. Shinji pasti akan menjadikan modal untuk mengusiknya.

 

“Aa...” Kiku mengisyaratkan agar Ryouji menganga.

 

Masih berusaha sedaya upaya menahan malu, Ryouji menerima suapan itu.

 

Mengada-ngada sungguh! Getus Kiku. Namun dalam hatinya siapa tahu betapa lebar senyuman yang terukir, betapa indah sakura yang mekar. Betapa hangat dan bahagianya saat-saat ini. Aku inginkan masa terhenti di sini. Aku ingin abadikan saat-saat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...